ALHAMDULILLAH, setiap yang mula ada penghujungnya. Ini merupakan episod yang terakhir bagi tajuk 22 Pelakon Lelaki Filem Aksi Seni Beladiri. Mungkin masih terdapat beberapa nama yang saya tercicir untuk dipersembahkan, bukan kerana terlupa, tetapi pemilihan saya ini mengikut populariti dan kekerapan mereka yang tampil di layar perak sebagai ‘Pelakon Seni Beladiri’ yang juga pengamal beladiri tegar yang boleh dijadikan contoh dan bukannya ‘Pelakon Lagak Ngeri’ semata-mata... walaubagaimanapun, pasti saya tampilkan juga bagi pengamal dan pelakon aksi yang mana tidak saya senaraikan kelak, baik lelaki atau perempuan... apa-apa pun, untuk edisi ini kita habiskan baki enam lagi Pelakon Aksi Seni Beladiri yang sejati...
1# Steven Frederick Seagal a.k.a STEVEN SEAGAL
Bukan sekadar pelakon, tetapi pelakon yang ada ilmu, mahir, pakar dalam seni beladiri Aikido dan merupakan manusia pertama bukan berbangsa Jepun membuka do-jo di sana... |
Seperti yang anda kenal dan tahu, Steven Seagal bukan sekadar pelakon, malah beliau merupakan pengamal beladiri yang tegar dan berfalsafah seperti Bruce Lee. Mahir dalam seni mempertahankan diri seperti Aikido. Beliau juga merupakan seorang pemuzik, penuli dan terbaru, Timbalan Sheriff Simpanan seperti dalam rancangan realiti Steven Seagal : Lawman kini dimainkan di stesen TV, salah satu di rangkaian ASTRO.
Di lahirkan pada 10 April 1952, di Lansing, Michigan, Amerika Syarikat. Karier Seagal bermula pada tahun 1987 hingga sekarang, filem terbarunya adalah filem MACHETTE, tetapi filem itu terlalu ganas dan tidak sesuai ditonton oleh orang ramai walaupun dibintangi JESSICA ALBA, MICHELLE RODRIGUEZ, DANNY TREJO, LINDSAY LOHAN dan ROBERT DE NIRO. Untuk pengetahuan, Seagal memegang talipinggang hitam tahap 7 dalam Seni Aikido dan merupakan orang pertama bukan berbangsa Jepun membuka gelanggang di Tokyo.
2# Zōu Zhàolóng a.k.a COLLIN CHOU
Wataknya terserlah dalam filem aksi Flash-Point bersama Donnie Yen. Siapa kata ahli seni beladiri tidak boleh berlakon? Padahal pelakon biasa yang sebenarnya tidak boleh atau reti berlawan... |
Pelakon di Hong Kong ramai yang berasal dari kemahiran seni beladiri pasti boleh berjaya sehingga menembusi Hollywood. Collin Chou, salah satu nama besar di Hong Kong dalam filem seni beladiri turut menjejaki ‘hero-hero’ terdahulu seperti Bruce Lee, Jackie Chan, Jet Li atau Donnie Yen. Namun, Collin Chou lebih cocok dengan watak jahat seperti Bolo Yeung. Lakonannya dalam filem Flash-Point berlawan dengan Donnie Yen cukup memberi kesan. Ada juga lakonannya yang tidak di sedari seperti filem Hollywood dalam sekuel Matrix (Seraph), The Forbiden Kingdom (Jade Warlord) menentang Jackie Chan di samping Jet Li dan Fearless sebagai ayah pada Hou Yinjia (Jet Li) sudah cukup menampakkan kredibilitinya sebagai pakar seni beladiri.
Mengikut kariernya sebagai pelakon bermula pada tahun 1988 hingga sekarang. Collin Chou dilahirkan pada 11 Ogos 1967, di Kaoshiung, Taiwan. Sebelum ini segala kredit namanya menggunakan nama Ngai Sing. Pernah memegang watak hero seperti filem hollywood dalam D.O.A (Dead or Alive) sebagai Hayate. Selepas lebih 20 tahun menceburi bidang ini, Chou telah melakonkan lebih 40 buah filem aksi lawan dan yang terbaru dalam tahun 2010, Kung Fu Wing Chun.
3# Wesley Trent Snipes a.k.a WESLEY SNIPES
Filem Blade sedikit banyak menaikkan imej pelakon aksi seni beladiri dan kredibiliti Wesley Snipes... |
Dilahirkan pada 31 Julai 1962, pelakon, penerbit dan pengamal beladiri berbangsa Amerika. Berasal dari Orlando, Florida, memulakan karier pada tahun 1987 hingga kini. Wesley Snipes sering berlakon dalam filem aksi, antara filem aksinya yang hebat adalah filem Blade bahagian 1-3 (trinity), U.S Marshall atau The Art of War (1 & 1). Filem aksi hebat dalam seni beladiri yang pernah ditampilkan beliau dalam filem Blade, filem-filem lain ada sedikit kekurangan namun tetap menampilkan adegan pertarungan. Terutama dalam filem Blade 2 turut dibintangi oleh Donnie Yen.
Sehingga kini, Wesley Snipes sudah masih meneruskan pembelajaran dalam seni beladiri yang terbaru ialah Capoeira, dibawah mestre Jelon Viera. Sebelum ini beliau merupakan pemegang talipinggang hitam tahap lima dalam karate shotokan dan talipinggang hitam tahap dua dalam hapkido. Terkini, beliau telah dipenjara kerana gagal melunaskan cukai pendapatan pada tahun 2011 dan dibebaskan kemudiannya. Selepas kebebasannya, Wesley pantas mengeluarkan filem barunya dalam bentuk DVD iaitu Games of Death, walaupun kurang impak, namun nampak perbezaan bentuk tubuh dan gerakannya tidak seperti dulu akibat dipenjara. (kurus sedikit)
4# Lê Cung a.k.a CUNG LI
Di pilih dan di beri peranan sebagai Marshall Law dalam filem Tekken, filem yang diadaptasikan melalui permainan video popular keluaran Namco. |
Ini satu lagi salah seorang ‘fighter’ yang terjun ke bidang lakonan selain Billy Chow. Cung Li, ramai yang tidak kenal beliau, merupakan juara bekas juara dunia IKF light-heavyweight Sanshou dengan rekod profesionalnya sebelum memasuki ke pertandingan mix-martial art ialah 16-0. Cung Le juga pernah menewaskan Frank Shamrock (legenda UFC) dalam strikeforce middleweight championship sebelum beralih menjadi pelakon dan tenaga pengajar.
Ramai yang tidak mengenali Cung Le sebagai pelakon sebaliknya sebagai juara full contact. Namun, sejak ke belakangan ini beliau sering mendapat tawaran berlakon, namun bukan sebagai pelakon membawa watak, cuma penampilan khas yang tidak berdialog seperti Tekken (Marshall Law) dan dalam filem Donnie Yen (Bodyguards and Assassins). Cung Le sebenarnya berketurunan dari Vietnam, namun membesar di Amerika, dilahirkan pada 25 Mei 1972.
5# Jonathan Patrick Foo a.k.a JON FOO
JIN KAZAMA...watak hero dalam filem TEKKEN. Sebelum itu, Jon Foo pernah beraksi dalam filem Tom Yum Goong. |
Di kalangan para peminat park-our atau seni lompatan dan wushu di sekitar britain khususnya, mungkin ada yang mengenalinya beliau. Memiliki wajah kacak dan susuk tubuh yang menarik serta mahir dalam ilmu beladiri wushu dan pelagak ngeri dalam filem aksi lawan. Dilahirkan pada 30 oktober 1982 di London, England, namun begitu bapanya berasal dari Singapura dan ibunya berasal dari Ireland yang menetap di England. Menarik tentangnya adalah genetiknya, bapanya seorang ahli seni beladiri karate manakala ibunya dalam ilmu judo. Mempelajari kung fu dalam usia 8 tahun, apabila mencecah usia 15 tahun, Jon Foo mendalami ilmu wushu dan idolanya adalah Jet Li.
Memulakan karier dalam perfileman bermula pada tahun 2004 hingga kini, masih baru bukan? Namun aksi dan ketangkasannya mengagumkan dengan akrobatik yang setanding Tony jaa, cuma yang berbezanya Tony Jaa lebih ganas... semasa mendalami ilmu wushu, Jon Foo memulakan langkah lakonan sebagai pelakon aksi dengan filem aksi Tony Jaa dalam Tom Yum Goong, Batma Begins, House of Fury, Left for Death dan Life. Namun, pada tahun 2010, Jon Foo diberi peluang dengan watak Jin Kazama (Tekken) buat kali pertama sebagai hero. Kemunculannya itu, membuka laluannya untuk bergerak lebih jauh apabila bersedia muncul dalam filem pendek sebagai Ryu (Street Fighter : Legacy).
6# Jacky Wu atau Jing Wu a.k.a WU JING (Wú Jīng)
Pernah diangkat sebagai pengganti Jet Li kerana aliran Wushunya yang klasikal. Namun, Wu Jing memilih laluannya sendiri dan tidak suka disamakan dengan legenda tersebut... |
Di lahirkan pada 3 April 1974, di Beijing, China. Berasal dari daerah Manchu, merupakan ahli seni beladiri dan mahir dalam beladiri klasik china, pelakon dan pengarah filem. Memulakan kariernya pada tahun 1994 hingga sekarang dan melakonkan lebih 20 buah filem aksi seni beladiri. Selebihnya, Wu Jing bertindak sebagai pelakon aksi atau body-double dan pengarahan.
Antara aksi lakonannya yang berkesan dari segi pertarungan yang diingati ialah dalam babak filem hebat Donnie Yen iaitu Sha Po Lang (SPL), yang mana Wu Jing (Jack) bertarung dengan Donnie Yen dalam pertarungan yang brutal, kasar dan berseni menggunakan pisau dan belantan pendek. Begitu juga dalam filem Taichi boxer, Wu Jing memegang watak Jackie beraksi dalam pertarungan di bawah koreografer legenda Hong Kong & Hollywood, Yuen Woo Ping.
Begitulah selesainya kesemua 22 pelakon aksi seni beladiri yang berjaya dilakarkan oleh saya sebagai rujukan awal bagi anda yang ingin mengenali dunia sebenar buat filem aksi seni beladiri. Mereka adalah Guru, Pakar, Gurulatih senior atau muda dan pengamal tegar yang menjayakan sesuatu filem seni beladiri. Di ulangi, bukan pelakon yang tidak ada ‘background’ atau lebih tepat ‘kaki bangku’ atau ‘mat bunga’.
Ini kerana, mereka semua ini tidak melakonkan atau berlakon dalam filem bukan genre mereka sebaliknya mereka-mereka ini diberi peluang memartabatkan filem-filem aksi seni beladiri supaya kualiti dan ketulenan genre ini terbela dan dilindungi... insya-Allah Malaysia akan ada jua, tetapi bukan seperti yang ada sekarang... berilah peluang pada yang hak untuk kebaikan kita bersama jua...
Wassalam!!!