Akmal Edge bersama Yus Waisar dalam drama TITISAN DARAH PAHLAWAN. |
Bertemu Kembali, memang tidak dinafikan, sekitar bulan disember 2011 yang lepas pelbagai peristiwa yang telah saya harungi dan tempuhi pada hari-hari penggambaran berlangsung. Dari filem, drama dan telemovie mahupun persembahan serta kelas beladiri. Dalam bidang ini, ianya merupakan 'asam garam' pekerjaan yang telah diceburi atau dipilih sejak pertama kali melangkah ke arena perfileman tanahair ini. Siapa yang tidak tahan pasti kecundang awal, siapa kuat akan terselamatlah. Jika terselamat tidak bermakna akan selamat buat selama-lamanya kerana adal lagi dugaan yang tidak putus-putus yang bakal menanti dihadapan tanpa mengenal erti kasih dan kasihan.
Sesuatu perkara yang terjadi bukan kehendak diri sendiri, tetapi terkadang apa yang berlaku ianya berpunca kesilapan yang datang dari diri sendiri juga diatas ketidakcekapan diri mengawal dan menguruskannya. Di dunia ini tiada manusia yang sempurna sepenuhnya melainkan di kehendaki oleh Allah SWT. Memang benar, jika kita manusia ingin maju di dunia dan di akhirat ilmu dan amal perlu di isi penuh di dalam diri jika tidak mahu tewas dan terkulai ditengah jalan. Dalam apa jua bidang diceburi, ilmu dan amal perlu di'tegas'kan! Saya menulis ini bukan hendak membicarakan kehebatan saya tentang ilmu-ilmu atau menonjolkan kebaikan diri sendiri. Cuma sekadar untuk berkongsi supaya kita sentiasa muhasabah diri atas kelemahan dan kelebihan.
BERBEZA...Ramai dikalangan pelakon-pelakon tempatan gagal beraksi sebaik mungkin dalam filem-filem melibatkan pertarungan. Itulah punca filem pertarungan kita gagal mendapat tempat di hati peminat. |
Dalam perfileman tanahair, banyak perkara kita terlepas pandang dalam sesuatu masa. Hasil yang baik dan kualiti datangnya dari hasil kerja 'positif', hasil yang kurang baik atau tercemar datangnya dari hasil kerja yang negatif. Itu adalah 'karma' yang tidak lari dari landasan di dalam kehidupan kita di muka bumi Allah SWT ini. Kita sering lupa siapa diri kita, di mana kita menumpang dan apa yang kita sedang kita kerjakan kerana apa? Jika apa yang kita kerjakan semata-mata untuk diri sendiri, maka tangan-tangan diri sendiri jualah yang bakal merosakkan apa yang telah kita kerjakan kerana kita lupa akan Allah SWT. Memang benarlah Allah menyebut dalam firman-Nya, "Telah zahir kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan-tangan manusia, supaya Allah menimpakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)." - Surah Ar-Rum : 41.
Sebenarnya, kata-kata ini adalah satu peringatan buat umat akhir zaman! Namun, nescaya ayat-ayat Allah SWT yang perturunkan ayat ini bukan sekadar bermaksud untuk sesatu perkara sahaja tetapi ia adalah untuk menceritakan dari semua aspek dan sudut kehidupan di muka bumi pada setiap detik dan setiap masa. Apa yang cuba saya sampaikan ini bukanlah satu 'kuliah' agama kerna saya pun tidak layak menyampaikan dengan secara rasmi. Apa yang mampu saya kongsikan ini boleh dijadi iktibar dan muhasabah diri kerana sesungguhnya diri ini kecil buat Allah SWT. Dari awal bulan disember hingga penghujung disember yang lepas sememangnya tarikh 'BZ' buat kalendar hidup saya. Mungkin kerana penutup tahun, penutup akaun atau penutup perancangan pelaksanaan dan lain-lain lagi kot... Tanpaku sedari ianya satu 'disaster' buatku...
Awal bulan disember saya di'hina' kerana muka, kemudian banyak pula perkara lain berlaku, pada penghujung bulan disember ada lagi 'disaster' yang melanda. Adoiiiyyaii... bukan kemahuan ku... tetapi tetap ku harungi walaupun meredahi ombak yang besar selagi terdaya. Pada detik 26 disember 2012, saya menerima satu 'job' untuk satu watak, boleh dikira seperti 'main-cast' jugalah. Pada mulanya agak keberatan buatku menerima 'job' tersebut kerana secara mengejut (last minutes) la katakan. Mana tidaknya, dapat panggilan pada awal tengah malam dalam 12.30 malam pada tarikh tersebut. Dikehendaki melapor diri pada awal paginya jam 9 pagi di Ipoh, kawasan lu Kinta di markas Pasukan Gerakan Am (PGA) berhampiran Tambun. Namun atas semangat dan tidak mahu mengecewakan 'kawan' ku terima cabaran dan menyertai 'job' itu.
Barangkali ku terlupa pada tarikh itu yang tidak sepatutnya ku terima 'job' tersebut. Kenapa ku berkata demikian? Jika anda nak tahu, sama ada ia kebetulan atau tersurat, pada tarikh 'berangka' 26 atau nombor 26 ini, sering berlaku peristiwa-peristiwa 'bencana' yang telah tercatat dalam sejarah bencana dunia. Ingat tak pada tarikh 26 disember 2004, berlaku bencana alam tsunami di Acheh, 26 mei 2006, berlaku gempa bumi di Tasik Malaya, 26 oktober 2010 berlaku tsunami di Mentawai! Ada apa lagi dengan nombor 26? Ternyata dalam kitab suci iaitu Al-quran menyatakan dalam surat ke-26 Surah Asy-Syu'ara yang menyatakan tentang azab Allah SWT bagi kita manusia yang lali akan perintah-Nya. Apa yang berlaku ke atas diriku bukanlah satu persamaan cuma kita perlu beringat dan berhati-hati dengan angka 26, kemungkinan anda tidak terlepas dari musibah!
Musibah!? Ya, itu yang berlaku padaku sewaktu menjalani penggambaran drama pada baru-baru ini di Ipoh, sebuah drama bersiri tentang perjuangan 'wira-wira' negara yang gugur dimedan perang sewaktu di era darurat dan komunis. Buatku ianya merupakan satu penghormatan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Selama ini diri ini sering menghormati orang lain dalam apa jua bidang yang dilakukan, namun berbeza pula baru-baru ini, saya dilayan seperti 'hamba' yang tiada maruah dan kasihan oleh kerana kesalahan di dalam melakonkan watak yang diberikan. Pada saya dalam lakonan tiada yang betul dan tiada yang salah. Jika ada ianya bukannya kesalahan tetapi tidak tepat sahaja. Namun, kesalahan yang dilakukan saya itu seolah-olah hukumannya seperti melakukan jenayah berat, mencuri, hisap ganja dan lain-lain lagi. Di mana nilai-nilai murni kita sebagai manusia 'membikin' filem demi tauladan buat penonton selama ini?
Saya tidak faham, jika seseorang pelakon itu gagal menepati watak yang didokongnya, patutkah bagi seseorang pengarah yang tersohor kononnya membiarkan situasi itu berlaku tanpa bimbingan yang baik? Tanpa rasa hormat dan menghargai seseorang pelakon yang ikhlas hadir memberi komitmen berlakon demi menjayakan drama tersebut tanpa bertanyakan 'sesen' pun bayaran yang patut diterimanya? Kalau saya menghadapi situasi begitu, saya tidak akan memarahi pelakon atau memaki dan menghina, sebaliknya tugas sebagai pengarah membantu pelakon tersebut mencapai tahap yang dikehendaki, bukan 'menjatuhkan' terus 'mood' lakonan sehingga menjejaskan keseluruhan cerita tersebut! Kalau inilah pendekatan yang sering diguna pakai, maka industri perfileman kita akan sentiasa diselubngi aura 'negatif' yang akan membunuh industri kita! Tiada rasa belas, kasihan, seronok menjatuhkan maruah orang lain yang pada asalnya menghormati dan menghargainya.
Kalau diikutkan hati sewaktu saya bertindak sebagai pengarah aksi atau koreografer, ramai pelakon 'establish' kita gagal beraksi tahap aksi yang saya mahukan! tetapi saya tidak pernah memarahi mereka walaupun sedar 'persembahan' aksi itu boleh menjejaskan kredibiliti saya sebagai koreografer atau pengarah aksi. Sebaliknya, saya akan tengok pada kemampuannya beraksi dan cuba mencantikkan gerakkannya melalui kemahiran pengarahan kita demi pelakon tersebut. Tiada pula keluar perkataan-perkataan kesat yang boleh menjatuhkan maruah artis tersebut. Itu yang membezakan seseorang itu sebenarnya berilmu dan beramal atau tidak! Zaman marah-marah, maki-maki sudah berlalu, itu zaman primitif dan tiada tamadun! Jika masih ada yang bertindak sedemikian, maknanya orang itu tidak matang dan yang paling teruk, orang itu sudah rosak adab dan akidah disamping bongkak dengan ilmu yang dimiliki!
Kenapa saya katakan bongkak, tiada adab dan akidah? Barangkali anda lupa dengan kejadian diri anda sendiri, dari mana asal usul kita, dari mana ilmu itu kita dapat, adakah kita besyukur dengan-Nya? Oleh kerana itu berlaku maka, seseorang itu akan merasakan diri lebih baik daripada orang lain. Tidak boleh melihat orang lain lebih sedikit daripadanya, maka mula terpacul dalam lubuk hatinya yang berbaur 'busuk' dan mencari jalan dan peluang menjatuhkan seseorang jika 'diberi' kesempatan. Masih ada lagi individu sedemikian dalam industri ini, patutlah industri filem kita hanya gah sebagai 'jaguh kampung' sahaja. Ini tanda, adabnya ditahap minima, begitu juga akidahnya. Mana tidaknya, bongkak dengan ilmu yang ada, tetapi tidak amal dan istiqomah di jalan Allah SWT.
Saya bukannya hendak menempelak tidak tentu pasal, tetapi inilah realiti bagi anda yang baru dala industri ini. Saya juga tidak menunding atas nama sesiapa pun, cuma kalau ada yang terasa itu terpulang pada anda. 'Siapa termakan cili, dia akan terasa kepedasannya'. Jangan benarkan diri anda 'dijual' maruahnya sesuka hati demi periuk nasi dan cita-cita yang tanpa tujuan dan perjuangan dalam bidang yang diceburi. Anggaplah artikel ini sebagai satu 'pengkongsian' pengalaman, supaya bagi anda yang baru hendak berjinak-jinak dalam bidang ini perlu berhati-hati. Jika benar berminat carilah 'the right person' yang boleh membimbing anda dengan cara yang betul (positif) bukannya pendekatan dan penekanan negatif.
Akhir kata, saya tinggalkan kata-kata mutiara ini buat pedoman untuk anda. Ianya merupakan cebisan ayat bagi kita yang mahu menunjukkan contoh-contoh dan teladan yang baik buat semua. Daripada Abu Mas'ud al-Ansori r.a, Nabi s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang menunjuk kepada kebaikan, ia akan mendapat ganjaran kebaikan amalannya itu dan ganjaran seumpama orang yang mengikutnya." (Riwayat Muslim)
...AMIN... ;-)