Sunday, August 15, 2021

5 Puak (Episod 26 : Bermula Pengembaraan Baru) oleh MS Malawi

PERTARUNGAN telah berakhir. Keadaan  kembali aman damai di Segumpal. Maharaja Segumpal Satria juga telah kembali ke Istana Segumpal bersama para panglima. Mayat para pahlawan sama ada dari pihak 5 Puak, kerajaan Segumpal atau pun pihak musuh telah dikebumikan sebaiknya. Sebelum kepulangan para pahlawan Segumpal, mereka terlebih dahulu telah bekerjasama memulihkan semula perkampungan 5 Puak. Anak isteri dan keluarga kepada 5 puak juga telah kembali ke rumah mereka. Perkampungan 5 puak akan dibangunkan semula, itulah janji Maharaja Segumpal Satria kepada Pendita Naga Emas.

Jika tidak kerana 5 Puak, pasti sukar bagi kerajaan Segumpal menangani musuh durjana dari Puak Bisa. Oleh kerana itu, mereka telah berjanji akan sentiasa setia sebagai sebuah keluarga besar. Susah dan senang akan dihadapi semuanya bersama-sama. Kecederaan pahlawan kembar iaitu Pahlawan Bayang juga sudah semakin pulih. Mereka kini sedang bersiap sedia untuk memulakan pengembaraan bersama Pendita Naga Emas bagi meneruskan pencarian ilmu dan pemodenan Segumpal. Ilmu yang akan dibawa masuk demi memajukan dan mempertingkatkan pertahanan kerajaan Segumpal.

"Esok aku akan meninggalkan kamu semua. Oleh kerana itu, aku mohon agar kamu semua sentiasa bersatu dan bekerjasama dengan mahaguru kamu yang baharu iaitu Mahaguru Harimau Emas," kata Pendita Naga Emas kepada anak-anak muridnya.

"Ya, jangan lupa juga agar sentiasa mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kanda dan bapa saudara hamba yang berdua ini," tiba-tiba muncul seorang lelaki berpakaian serba hitam. Dia sangat segak dan sasa ketika melangkah. Pergerakannya hampir-hampir tidak disedari oleh sesiapa. Lelaki itu segera menanggalkan penutup kepalanya bagi menunjukkan identitinya.

"Apa khabar ayahanda Naga Hitam. Apakah ayahanda Naga Hitam sudah pulih sepenuhnya?" Tanya Mahaguru Harimau Emas yang kelihatan terkejut dengan kemunculannya.

"Alhamdulillah, ayahanda semakin pulih. Semuanya berkat doa kamu semua dan dengan keizinan Allah Yang Maha Berkuasa. Ayahanda amat bersyukur kerana dapat kembali bersama. Bagai mati hidup semula," tambah Naga Hitam yang kini tinggal di perkampungan 5 Puak.

Akan tetapi, bagaimana kah Naga Hitam kembali hidup semula? Bukankah rohnya telah hancur lebur bersama Jin Hitam?

Anak panah yang dilepaskan oleh Pendita Naga Emas meluncur laju ke arah sasarannya. Namun begitu, anak panah itu sepertinya bermata. Ia tidak terbang lurus tetapi berbengkang bengkok seolah-olah dikawal oleh seseorang dari jarak jauh. Jin Hitam berpusing-pusing sambil sebelah tangannya terus memaut Naga Hitam. Pada saat itu juga, Naga Hitam cuba melepaskan diri, sedaya upayanya berzikir dan berdoa meminta bantuan daripada Allah agar dapat melepaskan diri dari genggaman Jin Hitam. Dari jauh, Pendita Naga Emas menggunakan jari telunjuk kedua-dua belah tangannya bagi mengawal anak panah tersebut. Dari ilmu Telus Mata, Pendita Naga Emas cuba mencari peluang untuk menyerang. Namun begitu, Jin Hitam amat licik, terus dieratkan pelukannya terhadap Naga Hitam.

"Bacakan doa-doa ini," tiba-tiba terdengar satu arahan di telinga Naga Hitam. Naga Hitam amat mengenali suara itu, terus membaca doa-doa yang telah lama tidak diamalkan. Perlahan-lahan dia mula merasakan sesuatu pada dirinya. Satu cahaya yang mulanya kecil, bertambah besar dan semakin besar.

Cahaya itu menyilaukan mata Jin Hitam, namun tidak pada Pendita Naga Emas dan Naga Hitam. Oleh kerana tidak tertahan lagi dengan cahaya itu, Jin Hitam melepaskan tangannya dari terus memeluk Naga Hitam. Dia mahu melarikan diri daripada anak panah itu, akan tetapi tiba-tiba sahaja pinggangnya dipeluk dari belakang. Naga Hitam memeluk Jin Hitam dari belakang, kemudian mematahkan tulang rusuk Jin Hitam. Jin Hitam menjerit kesakitan dan meronta-ronta. Dia cuba melepaskan diri, namun kekuatannya sudah semakin berkurangan. Mereka berdua berpusing-pusing beberapa kali. Pada saat mata Naga Hitam memandang Pendita Naga Emas, dia memberikan arahannya yang hanya didengari oleh Pendita Naga Emas. Satu arahan yang benar-benar mengejutkan Pendita Naga Emas.

"Inilah masanya kanda. Biar anak panah itu tembus melalui dinda".

"Tidak, dinda. Mungkin ada cara lain lagi yang lebih selamat," balas Pendita Naga Emas.

"Dinda tidak dapat bertahan lebih lama. Inilah masanya, inilah masanya kanda. Dinda amat gembira dapat bertemu semula kanda walau hanya di alam roh ini," kata Naga Hitam.

Airmata mulai mengalir di pipi Pendita Naga Emas. Dia amat menyayangi Naga Hitam, satu-satunya adindanya, tiada yang lain. Dia buntu, tapi hanya itu sahaja cara yang dapat memusnahkan Jin Hitam, namun Naga Hitam juga berkemungkinan akan turut hancur bersama.

"Moga kita kan bertemu lagi, wahai kanda ku," airmata di pipi Naga Hitam juga mengalir, mengenangkan dirinya akan berpisah sekali lagi dengan Pendita Naga Emas. Pada saat itu, Naga Hitam merasakan kekuatan Jin Hitam mula bertambah. Dia cuba menentang cahaya yang terpancar dari Naga Hitam dengan kekuatan hitam, mungkin kekuatannya yang terakhir.

"Sekarang, kanda!" Kali ini Naga Hitam menjerit sekuat hati bersama kekuatan yang terpancar sepenuhnya, satu kekuatan yang amat menggerunkan sehingga keadaan di situ mula bergegar. Mungkin inilah kekuatan terakhir Naga Hitam.

Pendita Naga Emas menggerakkan kedua-dua anak panah tersebut. Kali ini, Jin Hitam sudah tidak mampu bergerak lagi. " Allah Hu Akhbar," dengan jerita dari Pendita Naga Emas, anak panah itu terus menuju dan menembusi bahagian jantung Jin Hitam dan juga menembusi dada Naga Hitam, manakala satu lagi anak panah menembusi dari belakang Naga Hitam dan kemudian tembus dan berpusar di dalam Jin Hitam.

Sebaik sahaja serangan itu berhasil, kelibat Jin Hitam mulai terpisah daripada Naga Hitam. Ia mulai terbakar dan akhirnya hangus menjadi debu. Sementara itu, Naga Hitam perlahan-lahan jatuh dari udara ke bawah, namun sempat ditampung oleh Pendita Naga Emas. Pendita Naga Emas terus memangku roh Naga Hitam, cuba menyedarkannya.  Namun begitu, Naga Hitam seperti berada di alam tidur, wajahnya kelihatam tersenyum. Mungkin penderitaannya sudah berakhir.

"Tok guru, sudah tiba masanya," tiba-tiba terdengar satu suara memanggilnya pulang ke alam nyata.

Dalam pada itu, muncul Mahaguru Harimau Emas di alam roh itu. Ia mungkin satu percubaan yang berisiko kerana sebenarnya ilmu Mahaguru Harimau Emas  masih belum cukup tinggi. Pendita Naga Emas segera meletakkan Naga Hitam di atas tanah di alam roh itu, membacakan sesuatu dan menyelimuti rohnya dengan bacaan-bacaan doa. Satu cahaya yang berkilauan melindungi roh Naga Hitam.

"Mari kita pulang," kata Pendita Naga Emas lalu meluncur laju membawa Mahaguru Harimau Emas kembali ke alam nyata. Akhirnya Pendita Naga Emas berjaya mengusir Jin Hitam dari terus memperalatkan jasad Naga Hitam, semuanya dengan izin Allah SWT. Tiada kuasa yang dapat menandingi kekuatan Allah, tiada daya dan upaya manusia dan makhluk lainnya.

Ketika Pendita Naga Emas kembali, dia dapat melihat Maharaja Segumpal Satria dan empat orang lagi anak murid utama yang juga pemimpin puak memindahkan tenaga dalam mereka kepada Mahaguru Harimau Emas. Mungkin kerana itulah dia berjaya sampai ke alam roh itu. Terbaring di sisi Pendita Naga Emas adalah jasad Naga Hitam. Pendita Naga Emas meletakkan telapak tangannya di dada Naga Hitam dan mendapati jantung Naga Hitam berdenyut. Dadanya berombak menandakan ada pernafasannya, menunjukkan Naga Hitam masih hidup. Naga Hitam mungkin berada di alam tidur, oleh kerana serangan terakhir Pendita Naga Emas tersebut. Oleh kerana sudah kehabisan tenaga, Pendita Naga Emas terpaksa berehat terlebih dahulu. Dia telah memimpin anak-anak muridnya membacakan Surah Yassin untuk Naga Hitam.

Hari berganti hari, purnama berganti purnama. Hampir sembilan purnama Naga Hitam berada dalam keadaan itu. Setiap rawatan telah dicuba oleh Pendita Naga Emas, namun masih belum berhasil. Naga Hitam tetap menutup matanya, namun nafasnya masih ada. Akhirnya, pada purnama yang kesembilan, pada malam yang hening itu, Naga Hitam telah bangun dari lena yang panjang. Akhirnya, dia telah kembali ke alam nyata. Pendita Naga Emas amat gembira dengan kepulangan adindanya itu. Mereka saling berpelukan kerana akhirnya dapat juga bersama. Satu perubahan yang aneh telah terjadi kepada Naga Hitam. Matanya boleh melihat alam lain terutama isi makhluk di dalamnya. Semua itu adalah ketentuan dan kurniaan Allah. Mungkin kerana rohnya telah diikat selama ini oleh Jin Hitam, maka dia dapat melihat alam itu. Tak perlu menggunakan ilmu Telus Mata, kerana matanya kini tidak berhijab.

Bersambung…

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.