KOTA Segumpal penuh meriah pada
hari ini. Rakyat negeri Segumpal seluruhnya telah dijemput bagi meraikan
kelahiran seorang putera raja. Anakanda Maharaja Segumpal Satria telah diberi nama Putera
Perkasa. Maharaja dan Permaisuri begitu gembira menyambut kelahiran Putera
Perkasa setelah sebelumnya dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan yang
diberi nama Puteri Teratai Sakti dan Puteri Mawar Mewangi. Kelahiran seorang putera amat penting dalam
institusi beraja. Ini kerana hanya putera yang akan mewarisi takhta dan kuasa
seoran pemerintah pada masa badapan. Kegembiraan yang tidak terhingga terpapar
di wajah Maharaja Segumpal Satria dengan kelahiran pewarisnya. Ini kerana jika
tiada pewaris, takhta itu kemungkinan akan berpindah tangan kepada kerabat
diraja yang lain.
Pemimpin dan penduduk kampung
Lima Puak turut dijemput ke Istana Segumpal bagi meraikan majlis yang
berbahagia ini. Pahlawan-pahlawan dari 5 puak sedang mempersiapkan diri mereka
dengan pakaian yang cantik dan bersih serta diserikan dengan senjata, sudah
tentu mesti ada sekurang-kurangnya dua jenis. Setelah persiapan semuanya sudah
lengkap, para pemimpin dan
pahlawan-pahlawa telah mengiringi Mahaguru Harimau Emas turun dari puncak
Gunung Segumpal. Mahaguru Harimau Emas kelihatan segak bergaya dengan jubah
yang mempunyai lambang harimau keemasan di belakang kainnya, begitu jua dengan
pemimpin dari empat puak lain bersama lambang puak mereka. Jarak di antara
Gunung Segumpal ke Istana Segumpal memakan masa suku hari perjalanan jika
menunggang kuda, manakala jika berjalan kaki perjalanannya memakan masa lebih
lama iaitu setengah hari perjalanan.
Mahaguru Harimau Emas dan
pemimpin puak adalah pemimpin berjiwa rakyat, maka mereka bersama-sama anak
buah semuanya telah bersetuju akan berjalan kaki bersama penduduk kampung yang
terdiri daripada keluarga masing-masing ke Istana Segumpal. Sebelum memulakan
perjalanan itu, Mahaguru Harimau Emas membacakan doa pendinding buat semua ahli
rombongannya. Amalan itu sering dilakukan bermula daripada Pendita Naga Emas
lagi. Meminta bantuan dan harapan agar tiada halangan dan semuanya hanyalah
kepada Allah agar perjalanan mereka dirahmati, diberkati dan diredhai-Nya. Tiba-tiba
Mahaguru Harimau Emas duduk dan menyentuh tanah, matanya dipejam dengan
makrifat dan mulutnya masih terkumat kamit membacakan beberapa buah doa.
Beberapa minit berteleku dalam keadaan begitu, Mahaguru Harimau Emas kembali
berdiri dan membuka matanya.
"In shaa Allah, perjalanan kita ini akan selamat, ayuh kita
mulakan perjalanan," ringkas sahaja kata-kata Mahaguru Harimau Emas
sebagai penanda permulaan perjalanan mereka yang berkemungkinan akan ditempuhi
tanpa halangan atau geruh yang tidak dapat dijangka. Para pahlawan semuanya
telah bersiap sedia untuk memulakan perjalanan yang agak jauh ini bersama ahli
keluarga mereka. Pahlawan 5 puak pun memulakan perjalanan dengan langkah kaki
kanan, dengan langkah gagah menuju ke Istana Segumpal. Perkampungan 5 Puak ini
ibarat dinding dan kubu kerajaan Segumpal. Musuh terpaksa menghadapi
pahlawan-pahlawan dari lima puak ini sebelum dapat menyerang Istana Segumpal.
"Tunggu akan ayahanda," tiba-tiba sahaja muncul satu kelibat
dan berpakaian serba hitam bergerak pantas ke sisi Mahaguru Harimau Emas.
Kepantasannya tidak disedari oleh sesiapa pun ketika itu kecuali Mahaguru
Harimau Emas.
"Anakanda fikir ayahanda tidak berminat untuk bersama ke Istana
Segumpal," kata Mahaguru Harimau Emas kepada lelaki tersebut.
"Pada mulanya ayahanda ragu-ragu, tapi ayahanda sudah berjanji
dengan kekanda Naga Emas untuk sentiasa bersama puak-puak kita," balas
lelaki tersebut menanggalkan kain yang terlilit di wajahnya dan kemudian
melilitkan ia di pinggang. Lelaki itu tidak lain dan tidak bukan adalah Naga
Hitam yang telah sembuh sepenuhnya dari kecederaannya yang lalu.
Mahaguru Harimau Emas tersenyum
dengan jaminan daripada Naga Hitam itu. Dia menyedari akan kekuatan dan
kehandalan Naga Hitam itu melebihi tahap keilmuannya. Lebih-lebih lagi, kini
Naga Hitam telah mendapat anugerah kurniaan daripada Allah iaitu mata yang
tidak terhijab. Dengan kehadiran Naga Hitam, pasti perjalanan mereka lebih
terjamin akan keselamatannya. Penduduk-penduduk kampung yang berjiran dengan
Kampung 5 Puak juga telah mengorak langkah mereka. Tok-tok penghulu mereka amat
senang hati dengan kemunculan pahlawan dari 5 puak, sekurang-kurangnya mereka
dapat berlindung seandainya diancam bahaya. Mahaguru Harimau Emas sedar akan
niat mereka, namun sebagai seorang pemimpin yang berwibawa, dia sentiasa
menghormati ketua-ketua kampung lain. Kampung-kampung itu juga memiliki
pahlawan-pahlawan. Mereka juga handal dalam pertarungan, namun begitu jumlah
mereka tidak ramai dan amat sedikit berbanding pahlawan dari 5 puak.
Mahaguru Harimau Emas saling
bersalaman dengan ketua-ketua kampung tersebut, begitu juga dengan para
pahlawan. Berita pertempuran di Gunung Segumpal menjadikan Mahaguru Harimau
Emas dan para pahlawan 5 Puak lebih disegani dan dihormati. Mereka sendiri
mengerti akan tahap dan kemampuan pahlawan mereka yang tidak mungkin akan mampu
bertahan jika diserang Puak Bisa. Perjalanan mereka diteruskan semula. Semakin
lama, semakin ramai yang menyertai rombongan mereka itu. Nampaknya penduduk di
kampung-kampung lain seperti telah lama merancang dan berpakat untuk menunggu
rombongan dari 5 Puak. Riuh rendah dan gegak gempita jadinya keadaan ketika
itu.
Tiba-tiba, kedengaran bunyi
derapan kaki beberapa ekor kuda yang amat kuat, menerpa ke telinga Mahaguru
Harimau Emas. Tidak lama kemudian, terlihat beberapa buah kereta kuda bersama
pengiring yang berkuda bergerak pantas mendekati dan melepasi rombongan Lima
Puak.
"Siapakah mereka dan ke
manakah arah tujuan mereka?"
Sekali imbas dari sudut
pandangannya, Mahaguru Harimau Emas mendapati pakaian mereka yang agak aneh dan
berbeza dengan pakaian orang-orang di Segumpal. Salah seorang daripada mereka
tiba-tiba telah menarik perhatian Harimau Hitam. Lelaki itu kemudiannya
memusingkan kepalanya kerana renungan tajam daripada Harimau Hitam. Pandangan
mereka saling bertemu walau hanya untuk beberapa detik sahaja. Mahaguru Harimau
Emas segera merapati Harimau Hitam yang tiba-tiba terpaku tidak bergerak.
Perlahan-lahan dia menepuk bahu Harimau Hitam seraya bertanya, "apakah
yang menarik perhatian ayahanda?" Harimau Hitam yang terkejut dengan
pertanyaan Mahaguru Harimau Emas hanya menggelengkan kepalanya.
Mereka pun kembali menyambung
semula perjalanan yang terhenti seketika itu. Pergerakan mereka dirasakan
semakin pantas, seolah-olah pergerakan mereka seperti terapung di udara. Dalam
beberapa detik dan ketika, mereka akhirnya tiba di pelabuhan Segumpal dengan selamat
tanpa apa-apa halangan. Pelabuhan Segumpal penuh sesak dengan kehadiran ramai
pengunjung terutama sekali mereka yang telah dijemput ke majlis di istana. Pada
saat itu, sebuah kapal yang sangat besar dan sarat dengan penumpang telah
berlayar menuju ke Istana Segumpal yang terletak di sebuah pulau. Pulau yang
dinamakan Pulau Segumpal itu punya sejarahnya yang tersendiri.
Pulau Segumpal tidak dapat
dilalui oleh mana-mana kapal melalui laut yang terbentang luas. Perjalanan ke
pulau itu hanya boleh dilalui apabila mereka tiba di Pelabuhan Segumpal.
Bermakna tiada laluan lain sama ada dari utara, selatan, timur atau barat yang
dapat terus sampai ke Istana Segumpal. Pulau Segumpal itu amat besar dengan
kawasan hutan yang amat besar. Para pengawal dari istana dan panglima-panglima
Segumpal sedang mengawasi keadaan di Pelabuhan Segumpal dengan kawalan yang
agak ketat. Tiba-tiba satu sosok lelaki yang tegap dan sasa datang menghampiri
Mahaguru Harimau Emas. Dia segera mengucapkan salam kepada Mahaguru Harimau
Emas dan para rombongannya.
"Assalamualaikum, tuan Mahaguru. Kapal yang menanti tuan dan
rombongan dari Lima Puak sedang menunggu di sana," kata Panglima Pemanah
yang menyambut kedatangan mereka. Pahlawan itu amat dikenali kerana beliau
antara yang turut sama berjuang dalam pertarungan dengan Puak Bisa.
"Rombongan hamba ini amat besar. Apakah kapal itu mampu memuatkan
kami semua ini?" Tanya Mahaguru Harimau Emas agak ragu-ragu.
"Perkara itu tidak menjadi beban, tuan Mahaguru. Kami telah
sediakan sebuah kapal besar dan dua buah kapal yang sedikit kecil untuk tujuan
itu, hanya untuk Lima Puak. Dipersilakan tuan-tuan semua". Panglima
Pemanah segera mempersilakan dan menjemput Mahaguru Harimau Emas, Naga Hitam
dan empat pemimpin utama lima puak untuk menaiki kapal utama bersama-sama
penduduk lima puak menaiki kapal yang disediakan. Layanan yang sangat istimewa
buat para pahlawan dari Gunung Segumpal itu amat menarik hati semua orang yang
berada di pelabuhan itu.
Dua buah kapal lagi akan membawa
lebihan penduduk dari Lima Puak dan kampung-kampung berhampiran bersama para
ketua kampung dan pahlawan-pahlawan mereka. Ternyata, tiga buah kapal itu cukup
besar dan selesa. Kegembiraan terpancar
di wajah semua rakyat jelata, namun tidak bagi Naga Hitam. Di wajahnya tidak
terukir sedikit pun akan kegembiraan. Mahaguru Harimau Emas menyedari perubahan
pada wajah Naga Hitam itu sejak pertembungan mereka dengan rombongan kereta
berkuda dan seorang lelaki yang telah bertentang mata dengan Naga Hitam. Bukan
sahaja Naga Hitam, Mahaguru Harimau Emas juga telah menyedari sesuatu pada
wajah lelaki tersebut. Aura hitamnya terasa amat menakutkan dan menyeramkan,
ditambah lagi dengan wajah yang bengis, berkepala botak dan mempunyai kening
yang bersambung bersama tubuh badan yang tinggi dan sasa.
Pada ketika pertembungan mereka,
Mahaguru Harimau Emas tidak sempat menghidupkan keilmuan Telus Mata, berbeza
dengan Naga Hitam yang dapat melihat sesuatu secara terus dan tidak berhijab.
Siapakah sebenarnya lelaki itu? Dan siapakah mereka semua yang berpakaian agak
ganjil dan berbeza daripada orang Melayu di tanah yang bertuah ini? Kapal yang
berlayar menuju Istana Segumpal terasa begitu pantas bergerak. Tidak lama
pelayaran itu, rombongan dari Gunung Segumpal akhirnya tiba ke Istana Segumpal.
Istana yang amat besar dan tersergam indah itu amat unik binaannya. Di keliling
istana terbina tembok yang kelihatan seperti sebuah kubu. Setiap masa pengawal
istana akan melakukan rondaan secara bergilir-gilir. Tiada masa buat mereka
untuk berehat lebih-lebih lagi dengan kehadiran jemputan yang amat ramai.
Dari kejauhan, Mahaguru Harimau
Emas melihat Maharaja Segumpal Satria sedang berbual dengan beberapa orang
tetamu. Panglima Pemanah datang menghampiri Maharaja Segumpal Satria
menyampaikan makluman akan ketibaan rombongan dari Lima Puak. Mendapat makluman
itu, Maharaja Segumpal Satria segera meminta diri bagi menyambut Mahaguru
Harimau Emas dan rakyat Lima Puak.
"Selamat datang ke istana beta buat Yang Mulia Mahaguru Harimau
Emas dan para pahlawan bersama keluarga dari Lima Puak. Terima kasih beta
ucapkan kerana dapat hadir bagi menyerikan majlis beta ini," ucap Maharaja
Segumpal Satria sambil saling berpelukan dengan Mahaguru Harimau Emas, Naga
Hitam dan empat guru utama dari Lima Puak.
"Terima kasih Yang Mulia Maharaja Segumpal Satria atas jemputan
kepada kami semua. Kami amat berasa bahagia dan berbesar hati kerana Yang Mulia
sanggup mencemar duli menyambut kedatangan kami semua ini," balas Mahaguru
Harimau Emas.
Tiba-tiba, Naga Hitam dapat
merasakan sesuatu sedang cuba menyerangnya dari jarak jauh. Hanya dia yang
dapat merasakan serangan itu, lalu dia merenung kembali lelaki yang cuba
menyerangnya. Naga Hitam mempertingkatkan kekuatan ilmu batinnya dan cuba
bertahan. Mahaguru Harimau Emas telah merasakan 'pertarungan' ilmu kebatinan
yang berbeza daripada kedua-dua petarung. Dia tidak mahu majlis yang indah dan
damai itu dicemari oleh pertarungan sedemikian rupa. Lalu dia memejamkan
matanya, menghidupkan keilmuan Telus Mata dan kemudian melafazkan azan di dalam
hati.
Pada saat itu, Mahaguru Harimau
Emas dapat melihat pertarungan kedua-duanya di alam kebatinan. Pertarungan yang
sama handal dan dan sama gagah itu mesti dihentikan. Akhirnya, dengan izin
Allah dan dengan kekuatan azan kurniaan dari-Nya, kedua-dua petarung itu telah
terpelanting ke belakang dalam alam kebatinan. Pada saat itu, Naga Hitam telah
tersedar dari pertarungan itu. Sungguh dia tidak menyangka akan diserang oleh
seseorang yang tidak dikenalinya. Nampaknya telah bertambah seorang lagi
musuhnya.
Apakah yang akan terjadi di kemudian hari? Siapakah mereka semua itu? Apakah hajat mereka datang ke bumi Segumpal?
Bersambung…
Cerita ini adalah cerita rekaan.
Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang
masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah
ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada
dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat
kebenaran dari admin blog ini.