Tuesday, December 20, 2011

The SILAT Fighter


"...BORN TO FIGHT...Walaupun ketika kecil didendangkan dengan cerita-cerita filem hebat kung-fu, namun jiwa tetap mencari kelainan dalam ilmu silat..."

MULA berjinak-jinak dalam arena persilatan sejak berusia 10 tahun di Kuala Lipis, dibawah bimbingan Allahyarham Cikgu Rosli Bin Abdullah. Ketika itu, dirinya masih hijau bagi seorang 'budak' untuk menyertai kelompok pemuda yang kebanyakkannya sudah berumur. Namun itu bukan halangan bagi Akmal untuk mempelajari silat kerana minat mendalam dalam menimba ilmu persilatan amat tinggi. Jika ada halangan ketika itu hanyalah dari ibunya sahaja yang betegas supaya Akmal lebih menumpukan pada pembelajaran akademik. Ini kerana latihan silat kerap berlatih di waktu malam. Adakala Akmal kecewa kerana tidak dibenar menghadiri latihan silat terutama di hari 'sekolah', kerana ketika itu adalah masa sesuai untuk mengulangkaji pelajaran sekolah. Namun, jika di masa cuti Akmal berkesempatan menyertai kelas silat jika ada kelapangan. Kebebasan mutlak buat Akmal setelah mencecah usia 16 tahun, barulah Akmal dapat mempelajari silat secara 'total' tanpa gangguan.


"...Foto yang dirakamkan sekitar tahun 1999 dipejabat seni beladiri, Danau Kota, taman setapak Indah, Kuala Lumpur. Foto untuk sessi tutorial Ryhtmic Martial Art..."

Silat pertama yang menjadi 'darah daging' Akmal adalah Silat Sendeng. Di Zaman kanak-kanaknya, Akmal telah pun mencongak jenis-jenis yang akan dipelajari apabila meningkat remaja, namun tidak terfikir pun akan mendalami ilmu Silat Sendeng. Itulah 'jodoh' pertamanya tentang dunia silat yang dipegangnya hingga kini. Guru pertamanya ialah Allahyarham Cikgu Rosli Abdullah yang bertanggungjawab membimbingnya sebelum Akmal 'berpindah' ke Kuala Lumpur atas urusan pembelajaran di Kolej. Atas nasihat Cikgu Rosli setelah melihat minat mendalam pada diri Akmal dalam Silat Sendeng, beliau menyarankan Akmal menyambung pembelajaran Silat Sendeng ini dengan seorang guru di Kuala Lumpur. Beliau ialah seorang bekas editor majalah seni beladiri iaitu Cikgu Jamaluddin A. Jalal. Majalah beladiri yang dimaksudkan ialah majalah 'Pendekar'. Bila tiba di Kuala Lumpur, perkara pertama selepas Akmal mendaftar di kolej adalah mencari tempat latihan silat dibawah Cikgu Jamal pada tahun 1995.


"...KENANGAN...Gelanggang SMK Zon R1, Wangsa Maju pada tahun 1996. Kini masih lagi mengajar sana, sedat tak sedar dah dekat 20 tahun..."

Setelah berjaya menemui guru tersebut, Akmal menyambung latihan silatnya sehingga kini telah mengajar dibeberapa buah tempat disamping memiliki gelanggang latihan sendiri di sekitar Kuala Lumpur. Pada usia 19 tahun Akmal telah mula mengajar silat dibawah pemerhatian Cikgu Jamal, Mat Akhir, Ustaz Mahat, Dr. Zainal, Azizul, Munuwar dan Idros di Sekolah Menengah Zon R1, Wangsa Maju, Seksyen 1. Selepas 2 tahun, membantu mengajar di sana, akhirnya kelas di situ 'dilepaskan' kepadanya dan dipertanggungjawab untuk mengembang Silat Sendeng di sekolah tersebut pada tahun 1997. Pada tahun itu juga Akmal turut menimba pengalaman dalam 'pengurusan' beladiri dengan sering terlibat dengan aktiviti yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan. Aktiviti yang sering dianjurkan seperti Rythmic Martial, KESUMA, Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Kebangsaan dan aktiviti anjuran Silat Sendeng sendiri diperingkat Kuala Lumpur serta Kebangsaan, selain aktiviti persembahan di kompleks membeli belah dan rasmi.


"...SENDENG FULL CONTACT...Salah satu acara rasmi tahunan bagi Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia selain pertandingan seni dan senjata..."

Penglibatan Akmal dalam aktiviti itu telah banyak mematangkannya personalitinya ddalam arena beladiri dari segi pergaulan dan identiti. Dalam usia yang masih hijau, Akmal telah mendapat pengiktirafan dalam Rythmic Martial Art sebagai Pegawai Teknikal Peringkat 2 lulus dengan kepujian. Sesuatu yang membanggakan buat diri dan juga Silat Sendeng kerana dalam puluhan Guru-guru serta jurulatih beladiri dari pelbagai disiplin yang mengambil bahagian, hanya 4 orang pengamal beladiri termasuk Karate, Ving Chun dan Silat Seri Pelandok. Selain penglibatan dalam 'teknikal', Akmal juga merupakan Juara Sendeng 'Full-Contact' pada 2001 pada Kejohanan Terbuka Seni Silat Sendeng Malaysia di Pahang dan Kuala Lumpur. Dari tahun 1997 hingga 2005 Akmal sering bertanding dalam Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Kebangsaan sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Melaka, Perak & Johor. Dalam pertandingan tersebut Akmal tidak pernah ketinggalan meraih pingat emas dalam acara seni silat dan 'sparring'.


"...GELANGGANG...Kelas latihan pertama sejak berpindah dari Kuala Lipis ke Kuala Lumpur. Ketika ini masih berusia 19 tahun..."

Terkini, Akmal telah membuka kelas latihan silatnya di Keramat dan Pandan Indah, selain mengajar di sekolah-sekolah kebangsaan di Puchong dan Wangsa Maju. Selain mengajar Akmal giat membuat persembahan untuk majlis-majlis perkahwinan, VIP, persembahan pentas, kebudayaan dan teater. Sebelum itu, Akmal turut mendalami ilmu persilatan lain seperti Silat Buah Pukul Mersing, Senjata Silat dan Full Contact.