"Adakah mereka sudah bermula?" Tiba-tiba sahaja Maharaja
Segumpal Satria kelihatan teruja dan mahu meluru turun dari puncak Gunung
Segumpal. "Ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun. Patik
berharap agar Tuanku tidak membuat keputusan terburu-buru turun ke bawah
bersendirian tanpa para panglima mengiringi".
"BENAR kata-kata Panglima Hitam itu, Yang Mulia Tuanku. Patik harap Yang Mulia
bersabar dan tunggu sahaja di sini. Sasaran jin durjana itu adalah hamba ini.
Ia pasti akan mencari hamba Oleh itu,
kita mesti bersiap sedia sebelum musuh datang menyerang," kata-kata
Pendita Naga Emas itu ada kebenarannya tanpa dapat dinafikan oleh Maharaja Segumpal
Satria. Pendita Naga Emas yakin akan kemampuan Tok Harimau Garang yang kini
bergelar Mahaguru Harimau Emas. Namun begitu, dia masih bimbangkan pewarisnya
itu kerana kemampuan Jin Naga Hitam itu tidak mudah dijangka. Pertarungan
antara Tok Harimau Garang dan Jin Naga Hitam berlangsung sengit. Kekuatan
mereka hampir setara, namun Jin Naga Hitam sangat licik dan punya ilmu hitam
yang ampuh. Sudah banyak kali dighaibkan dirinya bagi menghabiskan tenaga Tok
Harimau Garang. Namun begitu, Tok Harimau Garang masih teringat akan pesanan
gurunya.
"Ilmu Telus Mata ini adalah satu ilmu yang bisa membuka mata
kamu tanpa hijab. Dengan keilmuan ini, kamu dapat mengesan di mana sahaja musuh
berada walaupun mereka berada dalam keadaan ghaib. Pusatkan kedua-dua belah
mata dan kemudian letakkan ia pada titik di tengah antara kedua-duanya. Dengan
izin Allah, kamu akan dapat mencari lawan kamu itu dengan segera". "Setiap
lawan ada helah tersendiri. Kamu perlu menggunakan ilmu yang tok ajarkan dan
menggunakan akal yang Tuhan kurniakan bagi menguasai pertarungan. Ingat,
pertarungan bukan bergantung kepada kekuatan atau ilmu sahaja, akal fikiran
juga sangat penting. Jika musuh itusegala ilmu telah tok sampaikan. Sekarang
terpulang kepada diri kamu sendiri".
Pesanan Pendita Naga Emas masih terngiang-ngiang di telinga Tok Harimau
Garang. Oleh itu, dia cuba menghidupkan Ilmu Telus Mata dan cuba mencari di
mana Jin Naga Hitam berada. Dalam masa yang sama, dia melibaskan sundang nya
tanpa arah tujuan. Inilah yang Jin Naga Hitam mahukan iaitu memperdayakan
mangsanya agar mereka kehabisan tenaga. "Anak murid Naga Emas ini amat
dungu. Sedikit masa lagi tenaganya pasti akan berkurangan dan lemah. Sampai
masanya aku sendiri yang akan menamatkan nyawanya," bisik hati Jin Naga
Hitam.
Akhirnya Ilmu Telus Mata berjaya dihidupkan. Dari pandangan mata
batin itu, Tok Harimau Garang mendapati Jin Naga Hitam sedang bersembunyi di
belakang Tok Ular Bercabang. Akan tetapi, Tok Harimau Garang buat-buat tidak
nampak akan kelibat Jin Naga Hitam itu. "Sudah sampai masanya untuk
melancarkan serangan. Aku akan gunakan ilmu yang hampir sama kaedahnya dengan
ilmu hitam yang digunakan oleh Jin Naga Hitam itu. Tanpa berlengah lagi, Tok
Harimau Garang pun menerkam ke arah Tok Ular Bercabang. Tok Ular Bercabang yang
sedang merawat kecederaannya sudah pasti terperanjat dengan serangan itu. Dia
cuba mengundurkan diri, namun tiba-tiba dia merasakan seseorang sedang memegang
kedua-dua belah bahunya lalu menolaknya ke hadapan.
Tok Ular Bercabang merasakan seluruh tubuhnya kaku dan tidak
bermaya. Dia sudah tidak mampu melawan, apatah lagi mengelak serangan maut Tok
Harimau Garang itu. Pada saat sundang harimau kepunyaan Tok Harimau Garang itu
hampir menikam di jantung, tiba-tiba Tok Harimau Garang ghaib. Tok Harimau
Garang telah menggunakan Ilmu Pelimun bagi mengghaibkan dirinya. Malah, Jin
Naga Hitam sendiri tidak mampu mencari di mana kedudukan Tok Harimau Garang.
Akan tetapi, setiap ilmu itu ada kelebihan dan kekurangannya.
Ilmu Pelimun itu hanya boleh dihidupkan pada saat Tok Harimau
Garang menarik nafasnya dan menyimpan selama yang mungkin. Jika dia terpaksa menghembuskan nafas, jasadnya akan
terlihat semula. Mampukah dia terus menahan nafasnya selama beberapa minit bagi
menewaskan Jin Naga Hitam? Jin Naga Hitam mulai resah kerana Tok Harimau Garang
tidak dapat dikesan walaupun menggunakan
ilmunya yang paling hebat. "Apakah ilmunya ini lebih hebat dari ilmu ku?
Mungkinkah dia telah dapat melihat aku ini?"
Tiba-tiba sahaja terdengar satu sambaran angin yang amat kuat dari
belakang Jin Naga Hitam. Dia tidak sempat mengelak, namun tetap cuba
mempertahankan dirinya dengan melancarkan serangan balas tanpa melihat
musuhnya. Namun begitu, bahagian tangannya tiba-tiba dilukai oleh seseorang.
Pada saat yang getir itu, baharulah muncul sosok Tok Harimau Garang. Darah mulai
mengalir lalu jatuh ke tanah. Ketika itu juga sosok Jin Naga Hitam kembali
muncul di medan pertarungan. Begitu jug dengan Tok Harimau Garang. Senyuman
kepuasan terukir di wajah Tok Harimau Garang kerana berjaya melukai musuhnya
itu.
Darah merah itu kemudiannya bertukar menjadi warna hitam sebaik
sahaja menyentuh tanah. Kepulan asap hitam mulai terlihat di mata semua
pahlawan yang berada di medan pertarungan itu. Jin Naga Hitam tersenyum walau
dalam kesakitan. Baginya itu hanyalah kecederaan kecil sahaja.
"Serangan yang sekuat itu belum mampu menumbangkan dia. Aku
akan terus menyerangnya sampai dia lemah. Kalau tidak, aku pula yang akan
tewas," bisik hati Tok Harimau Garang.
Jin Naga Hitam masih belum tergerak untuk melancarkan serangan.
Dia hanya tersenyum, mungkin niat nya mahu memperdayakan Tok Harimau Garang.
Itu mungkin satu daripada helah nya, mungkin kecederaan yang dialami tidak
separah yang difikirkan oleh Tok Harimau Garang. Serangan kebatinan dari Tok
Harimau Garang telah membangkitkan roh Naga Hitam. Walau sedikit, namun bantuan
tidak terduga itu telah memberikan Naga Hitam sedikit kekuatan dan tenaga
baharu. Dia cuba mempertingkatkan kekuatannya yang telah lama terpendam bagi
menyaingi roh Tok Bisa dan Jin Hitam. Mungkin mudah baginya menewaskan roh Tok
Bisa, namun tidak Jin Hitam.
Kesukaran baginya adalah ketika roh Tok Bisa berganding bahu
dengan Jin Hitam. Naga Hitam mempertingkatkan kekuatannya secara beransur agar
tidak disedari oleh Jin Hitam itu. Dia dapat merasakan kekuatannya kembali terbina.
"Aku mesti serangnya sekarang. Tak kiralah apa helah nya, aku akan tetap
terus menyerang," bisik hati Tok Harimau Garang.
Tanpa berlengah lagi, Tok Harimau Garang terus meluru ke hadapan.
Ilmu Mergastua, satu ilmu yang tidak diketahui sama ada oleh Naga Hitam, Jin
Hitam mahu pun Tok Bisa. Ilmu Harimau Menerkam digunakan dengan sepenuh
kekuatan, sundang bercahaya terhunus bisa menghancurkan musuh yang cuba
menghalang. Jin Naga Hitam sudah bersedia menghadapi musuhnya. Namun, dia mula
merasakan sesuatu yang tidak kena. Ada sesuatu yang menyerang di dalam
batinnya. Pada saat itu, tiba-tiba sahaja Tok Ular Bercabang yang masih punya
kekuatan melompat ke hadapan. Tok Ular Bercabang sedar kekuatanya tidak
setanding Tok Harimau Garang. Dia terus menyerang balas dengan berani dengan
senjatanya. Dia cuba bertahan, namun beberapa bahagian di tubuhnya sudah
dilukai oleh sundang Tok Harimau Garang.
"Ke tepi, kau bukan lawan ku," jerit Tok Harimau Garang
namun tidak diendahkan oleh Tok Ular Bercabang. Dia terus bertahan dan sesekali
menyerang balas, namun tenaganya semakin berkurangan. Pada saat itu, Jin Naga
Hitam tiba-tiba ghaib sekali lagi.
Pada saat sundang Tok Harimau Garang menghampiri jantung Tok Ular
Bercabang, tiba-tiba muncul asap hitam menyerang ke arah Tok Harimau Garang.
Tok Harimau Garang terpelanting ke belakang dan mengalami sedikit kecederaan.
Serangan hendap Jin Naga Hitam berjaya mengundurkan Tok Harimau Garang. "Dia
sudah datang!" Pendita Naga Emas yang berada di puncak mengesan satu
tenaga mula bergerak dengan kepantasan yang luarbiasa diiringi oleh kepulan
asap hitam. Mendengarkan amaran dari Pendita Naga Emas, Maharaja Segumpal
Satria dan pahlawan-pahlawan yang berada di puncak terus bersiap siaga. Debaran
terasa di hati kerana musuh yang akan dihadapi bukan lawan yang mudah.
Apakah Tok Harimau Garang sudah tewas? Mampukah Pendita Naga Emas menghadapi musuh lamanya itu? Apakah hajatnya akan terlaksana?
Bersambung…
Gambar
dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata
Cerita
ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak
berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau
bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala
peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun
online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.