Thursday, July 22, 2021

5 Puak (Episod 24 : Pertarungan Dua Musuh Lama)

"Dia sudah datang!" Pendita Naga Emas yang berada di puncak mengesan satu tenaga mula bergerak dengan kepantasan yang luarbiasa diiringi oleh kepulan asap hitam.

MENDENGARKAN amaran dari Pendita Naga Emas, Maharaja Segumpal Satria dan pahlawan-pahlawan yang berada di puncak terus bersiap siaga. Debaran terasa di hati kerana musuh yang akan dihadapi bukan lawan yang mudah. Apakah Tok Harimau Garang telah tertewas? Mampukah Pendita Naga Emas menghadapi musuh lama yang memanipulasi jasad adindanya itu? Kepulan asap hitam semakin berkembang, namun begitu tidak kelihatan siapa pun di dalamnya. Dengan titah perintah Maharaja Segumpal Satria, pasukan pemanah terus memanah ke arah kepulan asap hitam itu. Begitu juga dengan pahlawan yang memiliki senjata-senjata panjang seperti lembing dan tombak, segera dilemparkan semua senjata itu ke arah asap hitam tersebut.

Tiba-tiba, terdengar bunyi ketawa yang amat besar. Belum sempat Pendita Naga Emas memberi amaran, senjata-senjata yang dilemparkan tadi dipulangkan semula kepada tuannya dengan kelajuan yang amat luarbiasa. Semua senjata-senjata itu telah mengenai semua pahlawan tersebut, namun ada yang berjaya mengelak dan ada yang tidak. Yang terkena serangan terus mati syahid dan gugur di medan perang.

"Ini sahajakah kemampuan pahlawan-pahlawan kerajaan Segumpal, wahai tuanku Maharaja Segumpal Satria?" Satu suara kedengaran dari asap hitam tersebut.

Maharaja Segumpal Satria berasa murka dan dukacita dengan apa yang telah terjadi kepada para pahlawannya. Dia cuba mara ke hadapan namun ditahan oleh satu tangan tua yang masih gagah perkasa.

"Tuanku tunggu di sini. Biar patik yang melayannya," kata Pendita Naga Emas lalu terus berdiri di hadapan Maharaja Segumpal Satria. Maharaja Segumpal Satria menganggukkan kepala tanda memperkenankan hasrat Pendita Naga Emas itu.

Demi sahaja melihat kelibat Pendita Naga Emas, bayang Jin Naga Hitam mulai muncul menampakkan dirinya. Dari pandangan mata kasar, hanya jasad Naga Hitam yang terlihat. Namun tidak pada pandangan Telus Mata yang dimiliki oleh Pendita Naga Emas. Dia dapat melihat dengan jelas ada tiga bayang lain iaitu Jin Hitam, Tok Bisa dan Naga Hitam.

"Ayuh ke mari wahai kanda ku," kata Jin Naga Hitam, mungkin cuba menjerat Pendita Naga Emas. Pendita Naga Emas masih kelihatan tenang walau musuh yang dihadapinya adalah adiknya sendiri.

Tiba-tiba, satu serangan dari arah belakang Jin Naga Hitam menyusul dengan pantas. Dua sosok tubuh dengan pedang hitam mereka terus menyerang Jin Naga Hitam. Gerak mereka sangat pantas menyebabkan semua yang berada di situ juga terkejut. Jin Naga Hitam segera mengelak serangan berkembar itu. Dua orang musuh lama yang pernah ditewaskannya tidak lama dahulu, kini muncul semula. Mereka itu tidak lain dan tidak bukan adalah Pahlawan Bayang, bapa saudara kepada Pendita Naga Emas dan Naga Hitam.

"Ku fikirkan kamu berdua sudah mati! Berani sekali menyerangku dari belakang!" Jin Naga Hitam berputar-putar di udara, menepis dengan tangan kosong akan serangan pedang berkembar tersebut.

Ternyata, kekuatan Jin Naga Hitam itu agak mengejutkan. Bagaimana tangan kosong boleh mengatasi serangan pedang yang tajam itu. Bagaimana pun, Pahlawan Bayang tidak mudah mengaku kalah. Serangan mereka dipertingkatkan, kepantasan mereka semakin bertambah dan serangan mereka seperti dapat membaca pergerakan Jin Naga Hitam. Pengalaman mereka dalam pertarungan sangat luas. Sudah banyak kali mereka menghadapi pertarungan yang akan meragut nyawa mereka, namun dengan izin Allah, mereka masih bernafas. Jin Naga Hitam mula berasa rimas dengan serangan mereka berdua, lalu mula melancarkan satu serangan balas. Mulutnya dibuka luas, lalu dihembusan angin berbisa ke arah dua pahlawan tersebut.

Melihat kepada serangan tersebut, kedua pahlawan itu tidak mudah cemas, mereka mengelak ke tepi dan menyerang pula ke arah muka Jin Naga Hitam. Kegeraman melanda Jin Naga Hitam kerana kedua-dua pahlawan tersebut amat licik. Pahlawan Bayang kembali menyerang, pedang mereka diputarkan beberapa kali sehingga menghasilkan cahaya dan bunyi yang berdesing kuat. Mata dan telinga Jin Naga Hitam diserang oleh serangan yang tidak dijangkakan itu, satu ilmu baru yang mungkin diperolehi oleh kedua-dua pahlawan itu semasa 'kehilangan' mereka. Jin Naga Hitam tidak mahu mengambil mudah akan serangan tersebut, lalu dipertingkatkan ilmu hitam nya.

Sekali lagi dia cuba memperalatkan asap hitam yang kemudian bertukar menjadi kabus. Serangan kedua-dua pahlawan itu ternyata sia-sia kerana lawan mereka telah ghaib dari medan pertarungan. Mereka terpaksa menarik semula serangan hebat tersebut dan kembali berjejak di atas tanah. Pedang mereka sentiasa diputarkan agar tumpuan mereka tidak hilang. Pancaindera mereka dipersiapkan termasuk bulu roma mereka sebagai deria pengesan kepada musuh yang tidak kelihatan. Pendita Naga Emas segera membuka ilmu Telus Mata. Dia segera mencari jejak Jin Naga Hitam. Akhirnya dia dapat mengesan keberadaan Jin Naga Hitam, namun tidak sempat memberikan amarannya kepada Pahlawan Bayang.

Satu serangan yang padu tepat mengenai tubuh kedua-dua pahlawan tersebut. Satu serangan berbentuk pusaran gerudi menembusi tubuh kedua-dua Pahlawan Bayang sehingga tersembur darah dari mulut mereka. Kecederaan yang dialami terlihat parah, namun mereka berdua masih tetap melawan. Pedang yang diputarkan tadi segera dilibaskan ke arah kaki Jin Naga Hitam. Pendita Naga Emas tidak mampu bersabar lagi. Kedua-dua paduka bapa saudaranya akan terbunuh jika dia duduk berdiam diri sahaja. Dia terus bergerak pantas menyerang dengan tangannya sendiri. Terlihat satu cahaya seperti pedang emas berada dalam genggaman Pendita Naga Emas. Pendita Naga Emas segera menetakkan tangannya ke arah Jin Naga Hitam yang akhirnya terpaksa berundur ke dalam asap hitam dan melepaskan Pahlawan Bayang. Serangan Pendita Naga Emas tidak boleh dipandang rendah.

Pendita Naga Emas hilang di dalam asap hitam yang bertukar menjadi kabus. Hanya kedengaran bunyi dentingan besi yang memekakkan telinga, menunjukkan pertempuran dan pertembungan yang sengit. Sementara itu, Maharaja Segumpal Satria dan para panglima sempat menyambut kedua-dua Pahlawan Bayang sebelum mereka tersungkur menyembah bumi.Tidak lama kemudian, Tok Harimau Garang yang kini bergelar Mahaguru Harimau Emas tiba di puncak Gunung Segumpal. Nampaknya dia berjaya menewaskan Tok Ular Bercabang. Mahaguru Naga Emas kemudiannya membuka keilmuan Telus Mata. Dari Telus Mata, Mahaguru Harimau Emas dapat melihat kesukaran yang dihadapi oleh gurunya itu. Oleh kerana itu, dia segera meluru ke hadapan bagi melancarkan serangannya. Namun begitu, dia mendapat pesanan ghaib dari gurunya itu. "Masanya belum tiba, aku belum tewas lagi".

Beberapa detik kemudian, anak-anak murid Pendita Naga Emas yang lain mulai muncul bersama pahlawan-pahlawan dari puak masing-masing di puncak Gunung Segumpal. Mereka semua nampaknya telah berjaya menewaskan musuh dari Puak Bis sama ada telah menawan atau telah menghapuskan mereka yang cuba menceroboh Gunung Segumpal. Maharaja Segumpal Satria segera menitahkan agar Pahlawan Bayang dirawat dengan segera. Beberapa orang panglima segera memberikan bantuan, sama ada dengan rawatan luaran atau tenaga dalam. Pada mereka, Pahlawan Bayang sangat berani menentang musuh yang jauh lebih kuat dari mereka.

Pertarungan antara Jin Naga Hitam dan Pendita Naga Emas semakin sengit. Ada masanya Jin Naga Hitam menguasai pertarungan itu, ada kalanya Pendita Naga Emas sangat pantas menyerang. Sepanjang pertarungan itu, kelihatan dua ekor naga dari bayangan mereka, satu adalah naga hitam dan satu lagi naga berwarna keemas-emasan. Masih belum dapat diketahui siapa yang akan menang. Pertarungan itu akhirnya telah membangkitkan semula roh Naga Hitam yang dikunci oleh Jin Hitam. Naga Hitam dapat melihat kekanda yang amat dirinduinya itu sedang bertarung dengan Jin Hitam yang menumpang di jasadnya.

"Aku mesti bangkit semula. Aku akan lawan sehingga Jin Hitam ini keluar dari jasadku walau roh aku ini akan hancur bersama jasad," bisik hati Naga Hitam. Oleh kerana itu, dia segera mengatur semula tenaga dalaman yang masih bersisa. Semakin tinggi kekuatan dalaman nya, maka Jin Hitam dan roh Tok Bisa akan semakin lemah.

Dapat dirasakan, tangannya sudah mampu bergerak semula. Anggota badan yang lain masih kaku. Dia cuba mengingati akan ilmu yang pernah dimilikinya, doa-doa yang telah lama ditinggalkan akibat taklukan Jin Hitam. Dia mula membaca istiazah, "Aku berlindung dengan Allah daripada Syaitan yang direjam". Ayat pertama yang diingatinya sebelum dia beristighfar panjang. Kebangkitan Naga Hitam menyebabkan Jin Hitam mulai kepanasan. Sistem pertahanannya mulai runtuh dan perhatiannya kepada pertarungan dengan Pendita Naga Emas mulai kabur. Dia cuba melawan serangan dari luar dan dalam, namun sukar baginya menangani kedua-duanya. Oleh kerana itu, dari istana miliknya yang berada di bahagian hati Naga Hitam, beberapa pahlawan hitam telah diarahkan menyerang dan menawan semula Naga Hitam.

Melihat kabus hitam mulai hilang perlahan-lahan, Mahaguru Harimau Emas tidak mampu bersabar lagi. Jin Naga Hitam mungkin mampu bertahan, namun gurunya itu sudah tua dan uzur. Dia mesti membantu gurunya itu dengan ilmu yang dimiliki olehnya. Sundang Harimau telah dipersiapkan. Apabila dipertingkatkan tenaga dalamnya, sundang itu berubah menjadi keemasan. Begitu juga dengan Mahaguru Harimau Emas, pada pakaiannya telah dibaluti oleh baju perisai berwarna emas. Apakah yang akan terjadi seterusnya? Mampukah kedua-dua pahlawan itu menghadapi Jin Naga Hitam? Apakah akan ada keputusan yang mengejutkan?

Bersambung…

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.