PERTARUNGAN di antara Tok Gajah Gagah menentang Kala Hitam boleh
dikatakan telah tamat sepenuhnya. Pertarungan antara mereka berlangsung sengit,
malahan Tok Gajah Gagah hampir-hampir tewas kepada Kala Hitam. Semuanya
berpunca daripada dirinya jua yang telah memandang rendah akan kehandalan Kala
Hitam. Di saat-saat hampir mengalami kekalahan itu, muncul dua orang pahlawan
membantunya. Entah siapa mereka berdua itu, namun kepantasan pergerakan mereka
amat dikagumi. Kala Hitam maut di tangan pedang salah seorang daripada pahlawan
tersebut. Selepas berjaya membantu, salah seorang daripada pahlawan tersebut bergegas
ke tingkat pertama. Manakala, seorang lagi daripada mereka telah membantu Tok
Gajah Gagah mengeluarkan racun yang mula menyerang organ dalaman Tok Gajah
Gagah. Bisa racun di dalam tubuh Tok Gajah Gagah cepat merebak. Mujur lelaki
tua itu tahu apa yang dilakukannya.
Badan Tok Gajah Gagah menyerap tenaga dalaman jenis dingin, mula
menyerang racun berbisa yang bersifat panas. Beberapa kali Tok Gajah Gagah
memuntahkan darah beku. Apabila darah itu terkena permukaan tanah, ia mula
berasap. Tok Gajah Gagah amat terkejut melihat keadaan itu, mujur nyawanya
telah terselamat."Cucu rehat dulu di sini. Tubuh cucu ini masih lemah. Tok
mahu segera membantu di atas sana," kata lelaki tua itu meminta diri. Oleh
kerana masih lemah, kekurangan daya dan tenaga, penglihatan Tok Gajah Gagah
agak terjejas. Baru sahaja matanya berkelip beberapa kali, lelaki tua tersebut
tiba-tiba hilang dari pandangan. "Tok, tok," jerit Tok Gajah Gagah.
Dia cuba bangun untuk berdiri, namun akhirnya jatuh semula. Oleh kerana itu,
Tok Gajah Gagah perlu melakukan sesuatu, lalu dia duduk bersila. Mulutnya mula
terkumat kamit membacakan doa dan meminta serta berserah kepada Allah Yang Maha
Perkasa, agar dia mampu kembali bertarung.
Anak-anak buah Tok Gajah Gagah melindungi ketua mereka dengan berdiri
di sekelilingnya. Tok Gajah Gagah mesti memulihkan tenaganya dalam kadar segera
bagi membantu puak yang berlima menangani Puak Bisa. Beberapa kali dia mengatur
pernafasannya, perlahan-lahan dirasakan tubuhnya kembali segar. Seorang
daripada anak buahnya membawakan air minuman buatnya, lalu segera Tok Gajah
Gagah meminumnya.
"Masih adakah saki baki pahlawan-pahlawan kita dari Puak
Gajah?"
"Hampir separuh daripada kita telah terkorban, tok ketua.
Tapi kami masih tetap mahu berjuang bersama tok ketua," jawab salah
seorang dari Anak Gajah.
"Jika begitu, ayuh kita rempuh Puak Bisa kita. Kita mesti
membantu rakan seperjuangan kita di atas sana," kata-kata bermotivasi itu
semestinya menambah semangat perjuangan Puak Gajah. Tok Gajah Gagah cuba
berdiri dengan bantuan anak-anak buahnya.
"Tak perlu, biar aku berjalan sendiri," tolak Tok Gajah
Gagah yang merasakan dia sudah semakin kuat dan bertenaga. Tolakan itu agak
lemah dirasakan, namun Anak-anak Gajah hanya berdiam diri agar tidak pecah
rahsia yang tersimpan.
"Ayuh kita mara. Ayuh kita lawan habis-habisan. Tok Gajah
Gagah menarik nafas begitu panjang, agar tenaganya pulih dengan segera. Dengan
itu dia berharap semangat anak buahnya akan terus marak menyala.
Puak Gajah bersama ketua mereka, Tok Gajah Gagah meneruskan
perjalanan mereka ke tingkat pertama Gunung Segumpal. Kehadiran mereka pasti
akan membantu pahlawan dari lima buah puak. Walau berlainan puak, persaudaraan
antara mereka amat mengkagumkan. Jin Naga Hitam terus mara bersama puak Ular ke
tingkat keempat Gunung Segumpal. Dia sudah membayangkan akan seseorang yang
telah lama tidak ditemuinya. Siapa lagi kalau bukan Pendita Naga Emas. Akan
tetapi, satu pemandangan di hadapan mata telah menarik perhatiannya. Pada
ketika dia terpandangkan akan Tok Harimau Garang, dapat dirasakan akan kekuatan
aura yang berlipat kali ganda dari tubuh Tok Harimau Garang.
"Apakah kau telah melengkapkan perjanjian dengan sang Naga
Emas itu? Kekuatan kau memang luarbiasa, namun belum mampu mengatasi aku,"
Jin Naga Hitam dengan isyarat mata, telah mengarahkan Tok Ular Bercabang supaya
segera menyerang Tok Harimau Garang. Tok Ular Bercabang bersama puak Ular terus
menyerang Tok Harimau Garang dan puak nya. Satu serangan ular-ular beracun
telah diarahkan kepada Tok Harimau Garang dan pahlawan-pahlawannya. Satu
pertarungan yang tidak dapat dielakkan lagi. Pada saat itu, Tok Harimau Garang
mengesan sesuatu yang pelik dan aneh. Dia dapat mengimbas akan ular-ular yang
telah dilemparkan ke arahnya oleh Tok Ular Bercabang . Pada saat keadaan kelam
kabut itu, ternyata semuanya adalah serangan palsu. Ia jelas terlihat di mata
Tok Harimau Garang, namun bukan kepada para pengikutnya.
Mereka bertungkus lumus melibaskan senjata ke arah ular-ular itu.
Dalam masa yang sama, anak-anak buah Tok Ular Bercabang mengambil kesempatan
ini menyerang mereka. Serangan dua dalam satu, namun pada hakikatnya hanyalah
satu serangan sahaja. Demi menyelamatkan anak-anak buahnya, Tok Harimau Garang
segera berundur dari pertarungannya dengan Tok Ular Bercabang. Namun bukan
semudah itu kerana Tok Ular Bercabang ini licik orangnya. Pergerakannya sangat
pantas dan menyusur di atas tanah, sama seperti pergerakan seekor ular. Dalam
keadaan kelam kabut itu, Tok Harimau Garang segera mencabut sundang. Demi
terpisah sahaja ia dari sarung, pancaran cahaya yang menyilaukan mata pun mulai
terpancar dari bilahnya. Pancaran cahaya itu membakar 'ular-ular' palsu yakni
dari ilmu hitam itu. Tok Ular Bercabang juga merasa kesakitan yang amat sangat
pada matanya dan kepanasan pada tubuh badannya, mungkin kerana dia telah
menggunakan ilmu hitam yang amat menjijikkan.
Ular-ular yang terbakar itu kemudiannya mengeluarkan asap yang
berwarna hitam. Namun semuanya lenyap apabila Jin Naga Hitam menyedutnya semula
masuk ke dalam hidungnya. "Ha! Ha! Ha! Ha! Ternyata pewaris ilmu Naga Emas
bukan sebarangan orang. Tapi, aku tak berminat untuk bertarung dengan mu. Aku
mahukan Naga Emas, ini perhitungan antara aku dengannya," Jin Naga Hitam
memandang rendah akan keupayaan Tok Harimau Garang. Tok Harimau Garang tidak
gentar dengan pandangan Jin Naga Hitam itu. Keyakinannya amat tinggi dan dia
bersedia berhadapan dengan sesiapa sahaja. Tak kira Tok Ular Bercabang atau Jin
Naga Hitam atau kedua-duanya sekali. Berundur bukan pilihan buatnya. Tiba-tiba,
Jin Naga Hitam menepuk belakang Tok Ular Bercabang. Nampaknya dia cuba
memperkuatkan harapan terakhirnya bagi menentang Tok Harimau Garang. Walaupun
dia tidak yakin akan kemampuan Tok Ular Bercabang, namun pertarungan antara
mereka berdua pasti akan berlangsung lebih lama agar Tok Harimau Garang tidak
mengganggunya bagi melawan Pendita Naga Emas.
Tok Ular Bercabang merasakan kekuatannya semakin bertambah, begitu
juga keyakinan dirinya. Beberapa orang anak buahnya segera membawakan sebilah
pedang berhulukan motif ular kepadanya. Pedang tanpa sarung itu mengeluarkan
asap berwarna hitam sebaik dipegang oleh Tok Ular Bercabang. "Ini ilmu
hitam, akan ku tentang habis-habisan," bisik Tok Harimau Garang, berdiri
dalam keadaan bersedia menunggu serangan. Getaran kuasa ilmu sihir telah
menyerang Tok Harimau Garang, namun kubu kebatinan dalam diri Tok Harimau
Garang tidak mudah ditembusi. Kubu pendinding dari segala doa dan zikir
diperhebatkan agar dirinya tidak mudah terpedaya. Begitu juga dengan Anak
Harimau yang lain, mereka juga memperkuatkan zikir dan doa bagi membantu Tok
Harimau Garang. Merasakan ancaman yang besar dari Tok Harimau Garang, Tok Ular
Bercabang terus menyerang dengan pedangnya. Serangan senjata ditambah ilmu bisa
dan ilmu hitam, gabungan tiga serangan bukan mudah hendak ditangani. Tok
Harimau Garang mengerti akan semua itu, lalu dia bertempik dan mengucapkan,
"Allah Hu Akhbar, Allah Hu Akhbar, Allah Hu Akhbar". Ternyata
penyerahan dirinya amat tinggi, begitu jua pengharapan agar Allah akan sentiasa
membantunya.
Senjata bertemu senjata, bunyi dentingan kedua-duanya memekakkan
telinga mereka. Ada antara pahlawan kedua-dua puak yang jatuh pengsan kerana
tidak tahan dengan kekuatan zahir dan batinnya pertarungan itu. Kedua-dua
pahlawan sama handal dan sama hebat, mungkin jua belum dikeluarkan sepenuhnya
akan keilmuan mereka itu. Perlahan-lahan Tok Harimau Garang menguasai pentas
pertarungan. Sundang Harimau yang bercahaya itu bukan sahaja amat menyilaukan,
malah ia turut sama membakar tenaga dalaman Tok Ular Bercabang. Namun begitu,
Tok Ular Bercabang bukan sahaja memiliki ilmu pertarungan senjata, dia juga
memiliki ilmu bisa peringkat kedua tertinggi selepas Jin Naga Hitam. Pertarungan
di setiap tingkat bangunan masih berlangsung sengit. Pahlawan misteri yang
telah membantu Tok Gajah Gagah telah banyak mengubah akan situasi pertarungan.
Ada antaranya dikuasai oleh Puak Bisa, namun kedatangan pahlawan misteri itu
telah merubah segala-galanya.
Tok Gajah Gagah juga turut sama membantu setelah dia berjaya
memulihkan hampir sepenuhnya kecederaan dan tenaganya usai kemenangan di
dataran Gunung Segumpal. Pertarungan yang sebelum ini hampir memihak kepada
Puak Bisa, kembali seimbang dengan kemunculan semula Tok Gajah Gagah dan dua
orang pahlawan misteri. Sangat mengerikan keadaan di dalam pertarungan itu.
Mayat-mayat bergelimpangan di atas tanah dan ada antaranya yang terpisah badan
dan kepala. Keadaannya sama sahaja antara Puak Berlima dan Puak Bisa. Ternyata
antara kedua-dua belah pihak ini sama sahaja iaitu berlaku kejam kepada lawan. Ada
antara pahlawan Puak Bisa yang masih menyayangi nyawa mereka sendiri. Walaupun
ketua mereka tidak mahu menyerah kalah, tiada apa yang lebih penting berbanding
nyawa mereka. Untuk apa diserahkan akan nyawa itu buat perjuangan seorang ketua
yang amat kejam dan zalim iaitu Jin Naga Hitam. Kematian mereka itu tidak
bererti langsung kepada Jin Naga Hitam yang hanya mahu membalas dendam.
Jin Naga Hitam hanya berpeluk tubuh melihat pertarungan antara Tok
Harimau Garang dan Tok Ular Bercabang. Sedikit pun tidak dibantu akan orang
kanannya itu yang sedang mengalami kesulitan menentang Tok Harimau Garang.
Dengan ilmu hitam yang dipindahkan ke dalam tubuhnya oleh Jin Naga Hitam, masih
belum mencukupi buatnya. Tok Harimau Garang terlihat memakai perisai besi
berwarna keemasan. Yang dapat melihat keadaan itu hanyalah Jin Naga Hitam.
Itulah sebabnya Tok Ular Bercabang masih belum mampu menembusi pertahanan kental
dari Tok Harimau Garang. Tok Harimau Garang, sehebat dan segah namanya. Dia
begitu garang menyerang dengan gabungan ilmu kebatinan dan ilmu pertempuran
yang dimilikinya. Semakin menguasai pertarungan, walau bagaimanapun Tok Harimau
Garang masih tetap bersiap siaga seandainya diri diserang oleh Jin Naga Hitam.
Oleh itu, pada saat berjaya mengundurkan Tok Ular Bercabang, Tok
Harimau Garang akan mengundurkan diri semula sekiranya kedudukan dirinya
menghampiri Jin Naga Hitam. Tok Ular Bercabang semakin lemah, dengan luka-luka
di seluruh badannya. Tok Harimau Garang masih mahu 'bermain' dengan Tok Ular
Bercabang walaupun dia punya peluang menamatkan nyawa Tok Ular Bercabang. Jin
Naga Hitam begitu kecewa dengan orang kanannya itu. Apakah Tok Ular Bercabang
masih belum mahu bertarung sepenuh kekuatannya? Apakah yang ditunggu-tunggu
oleh Tok Ular Bercabang? "Berundur, kau belum layak bertarung
dengannya," arah Jin Naga Hitam kepada Tok Ular Bercabang. Tok Ular
Bercabang segera berundur, dia sangat lega kerana tidak perlu lagi bertarung.
Dia sangat menyayangi nyawanya itu dan tidak mahu terbunuh dalam pertarungan
itu. Kini, dia akan dapat menyaksikan Jin Naga Hitam menunjukkan kehandalannya.
Jin Naga Hitam meregangkan segala otot tubuh badannya. Serentak dengan itu, aura berwarna hitam mulai menyelubungi seluruh tubuhnya. Kini dia kelihatan seperti kabus hitam, terus menyerang Tok Harimau Garang yang sedang menanti. Tok Harimau Garang segera mempertingkatkan kekuatannya. Cahaya keemasan mulai terpancar dari seluruh tubuhnya. Itulah dia Perisai Cahaya Emas, satu tingkat keilmuan pewaris ilmu Naga Emas. Setelah merasakan kekuatannya semakin bertambah, Tok Harimau Garang turut mara ke hadapan dengan Sundang Harimau. Di tangan Jin Naga Hitam terbentuk sebilah pedang hitam pada tangannya yang dihasilkan dari ilmu sihir dan ilmu bisa. Jin Naga Hitam bertarung dengan pinjaman kekuatan dan keilmuan yang dimilikinya dari Naga Hitam dan Tok Bisa. Oleh kerana itu, tidak mudah buat Tok Harimau Garang bagi menghadapi Jin Naga Hitam.
Walaupun pedang Jin Naga Hitam itu adalah tangannya sendiri, namun
kekuatannya adalah seperti seribu bilah pedang besi. Maka, bunyi dentingan besi
tetap kedengaran. Sundang Harimau yang diperkuatkan dengan Perisai Cahaya Emas
juga bukan calang-calang senjata. Jin Naga Hitam sendiri terperanjat dengan
kekebalan senjata itu. Tok Harimau Garang terus menyerang walaupun adakalanya
Jin Naga Hitam hanya seperti kabus. Dengan ilmunya itu, dia mampu menghilangkan
diri sekelip mata. Tok Harimau Garang
tidak akan menyerang musuhnya itu secara melulu kerana ia hanya akan
menghabiskan tenaganya sahaja. Siapakah yang akan menang pertarungan ini?
Apakah dendam Jin Naga Hitam akan terbalas?
Bersambung…
Gambar
dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata
Cerita
ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak
berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau
bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala
peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun
online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.