Thursday, March 11, 2021

5 Puak (Episod 6 : Kemelut di Indera Kencana)

MAKA tersebutlah cerita dahulukala di negara bernama Indera Kencana. Negaranya aman dan damai, makmur serta indah pemandangannya. Pemerintah dan rakyat sentiasa bersama membangunkan negara. Maharaja Indera Putera, begitulah namanya. Sebagaimana namanya, begitulah jua empunya diri. Maharaja Indera Putera seorang raja yang adil dan bijaksana dan sentiasa mesra kepada rakyat jelata.  Permaisuri Dewi Cinta, permaisuri yang sentiasa di sisi paduka baginda raja. Bukan sahaja mendengar keluh kesah suami, malah terkadang menjadi penasihat tidak bergelar. Bakti dan jasanya tidak terkira, hanya paduka raja yang mengetahuinya.

Putera kepada Maharaja Indera Putera ada empat orang semuanya, manakala puteri hanya seorang diri. Putera yang sulung dan bergelar Putera Mahkota bernama Indera Perkasa, segah dan sekuat namanya begitulah jua empunya dirinya. Seorang putera yang pintar dan tinggi bijaksana. Sentiasa bersama ayahandanya dalam menguruskan hal-hal negara. Putera kedua bernama Indera Samara. Berbeza dengan kanda yang sulung, Indera Samara seorang yang mempunyai cita-cita yang tinggi. Impiannya adalah untuk terus memajukan negara Indera Kencana dan meluaskan takluk jajahannya. Dia sering mencemburui akan Indera Perkasa. Oleh kerana itu, putera kedua ini boleh dikatakan cuba menyaingi kekandanya itu.

Anakanda ketiga maharaja adalah seorang puteri yang cantik jelita. Namanya Dewi Mewangi, sewangi dan semekar namanya bak sekuntum bunga. Namun begitu jangan disangka puteri ini lemah lembut dan mudah diperdayakan. Puteri ini seorang srikandi yang handal dalam ilmu persilatan dan persenjataan. Ilmu cindainya tiada tandingan termasuk  ilmu keris dan ilmu memanah. Anak keempat dan kelima adalah kembar seiras. Mereka berdua adalah putera yang bernama Indera Sakti dan Indera Wira. Kedua-dua pasangan kembar ini cukup lincah dan handal dalam ilmu persilatan. Pakaian kegemaran mereka adalah pakaian silat berwarna hitam. Walaupun mereka berdua putera raja, mereka jarang-jarang mengenakan pakaian diraja kecuali ketika menghadiri majlis-majlis rasmi.

Malangnya keindahan dan kedamaian itu tidak pernah kekal lama. Selepas kemangkatan Maharaja Indera Putera, Putera Mahkota Indera Perkasa adalah raja yang akan ditabalkan untuk memerintah. Perkara ini membuatkan putera kedua, Indera Samara mula merancang sesuatu. Dia ingin menjadi maharaja kerana merasakan dirinya lebih layak berbanding kekandanya itu yang dianggap lemah dan tidak punya karakter sebagai seorang maharaja. Untuk itu, Indera Samara telah menyatakan hasratnya agar dia ditabalkan menjadi raja yang sah, bukan kekandanya itu. Walau bagaimanapun, para pembesar sepakat dan tidak bersetuju akan perkara itu, lalu diadakan satu pertandingan.

3 pertandingan akan diadakan iaitu pertandingan akal, pertandingan syariah dan pertandingan kemahiran pahlawan. Indera Samara terus bersetuju walau berat di hati Indera Perkasa. Ini kerana syarat yang ditetapkan adalah siapa yang kalah akan diminta meninggalkan negeri itu. Indera Perkasa tidak mahu sayembara itu diteruskan kerana ia melibatkan maruah kerabat diraja Indera Kencana. Dia rela mengundurkan diri dan tidak ditabalkan menjadi raja, namun begitu Indera Samara seorang yang amat angkuh dan sombong. Maruah dirinya diletakkan lebih tinggi, begitu juga keyakinan dirinya bahawa dia tidak akan tewas di tangan Indera Perkasa.

Perlawanan akal menjadi pusingan pertama. Satu kes pembunuhan telah diberikan sebagai satu ujian bagi diselesaikan oleh kedua-dua putera. Kedua-dua putera itu harus menyelesaikannya dalam masa yang singkat dengan cara yang tersendiri. Indera Perkasa mengkaji duduk perkara kes itu dengan siasatan ke atas tertuduh, bukti dan saksi. Agama sebagai pedoman dan panduan dalam menyelesaikan sebarang masalah. Oleh kerana itu, Indera Perkasa telah menggariskan beberapa perkara dan segala penyelesaian masalah itu diberikan kepada Bendahara Indera Kencana.

Indera Samara pula menggunakan cara yang berbeza. Pendekatannya lebih kepada penyiasatan ke atas yang tertuduh dan mangsa bunuh. Dia tidak mengkaji lebih dalam termasuk melihat sendiri mangsa bunuh tersebut, tidak seperti Indera Perkasa. Yakin dengan caranya, Indera Samara menyerahkan penyelesaian masalah itu kepada Bendahara Indera Kencana. Melihat kepada perkara itu, tahulah Bendahara Indera Kencana akan siapa yang lebih adil dan bijaksana. Indera Perkasa telah menyiasat sendiri akan semua perkara, termasuk yang dianggap remeh temeh dan menyusahkan termasuk mayat mangsa bunuh itu. Walau di akhirnya keputusan kedua-dua putera itu adalah sama iaitu yang tertuduh adalah pembunuh sebenar, namun gaya dan corak penyelesaian kes dari Indera Samara amat meragukan.

Pusingan pertama dimenangi oleh Indera Perkasa. Merah padam di wajah Indera Samara selepas kemenangan diberikan kepada kekandanya itu. Sekali lagi Indera Perkasa memujuk Indera Samara agar perseteruan mereka tidak diteruskan. Pusingan kedua adalah perkara berkait undang-undang syariah agama Islam. Terdapat sekumpulan rakyat telah didapati murtad dari agama oleh kerana terpengaruh dengan dakyah yang dibawa oleh pendakwah bukan Islam. Kali ini, Indera Perkasa lebih tegas dan memerintahkan pendakwah tersebut ditangkap. Berbeza pula pendekatan Indera Samara. Dia mahu mendengar sendiri apakah pendakwah bukan Islam itu telah mengajar agama bukan Islam di bumi Indera Kencana itu. Pendekatan lebih lembut dan pendakwah itu telah diberikan layanan yang lebih lembut dari Indera Samara.

Indera Perkasa dan Indera Samara pun berhujah dengan pendapat masing-masing. Indera Perkasa tegas menyatakan bahawa yang bersalah dalam kes ini adalah pendakwah bukan Islam itu. Undang-undang negara tidak membenarkan penyebaran agama selain agama Islam. Hukuman yang lebih tegas harus dikenakan kepada rakyat yang murtad dan hukuman mati kepada pendakwah bukan Islam itu. Sementara itu, Indera Samara pula berhujah bahawa yang bersalah hanya rakyat Indera Kencana. "Mengapa terlalu mudah mengambil keputusan keluar dari ajaran Islam dan terpengaruh dengan dakwah yang dibawa oleh penganut agama lain? Oleh kerana itu, hukuman berat mesti dijatuhkan kepada rakyat Indera Kencana tersebut dan membebaskan pendakwah itu. Namun begitu, pendakwah itu mesti diusir keluar. Secara tertutup, Indera Samara berpendapat ia perlu dilaksanakan begitu bagi melindungi negara dari ancaman negara asing.

Pendapat Indera Samara itu ada benarnya. Demi menjamin keselamatan rakyat dan negara, undang-undang syariah tidak boleh terlalu ketat dan tidak tertakluk kepada orang luar atau orang bukan Islam. Namun begitu, ia menunjukkan kelemahan pentadbiran negara itu sendiri yang tidak sanggup bersikap tegas demi ajaran agama Islam. Bendahara Indera Kencana dengan perbincangan bersama pembesar akhirnya sepakat memilih keputusan yang dibuat oleh Putera Indera Samara. Maka dengan itu, rakyat-rakyat Indera Kencana yang telah murtad dijatuhi hukuman mati sementara pendakwah luar itu diusir keluar dan tidak dibenarkan lagi berada di Indera Kencana. Seandainya dia masih berdegil, hukuman mati akan dikenakan sekiranya dia tertangkap.

Oleh kerana itu, kedudukan kini adalah seri. Ujian terakhir adalah pertarungan. Indera Samara begitu yakin bahawa dia mampu menewaskan Indera Perkasa walau selama ini dia sering kalah kepada kekandanya itu. Pertarungan kali ini tidak dibenarkan sama sekali akan pertarungan ilmu kebatinan. Hanya kemahiran bertarung secara zahir dan bersenjata. Untuk mengelakkan dari kecederaan atau pembunuhan, mereka hanya menggunakan senjata diperbuat dari kayu. Jika kedua-duanya terkorban, siapa pula nanti yang akan ditabalkan menjadi raja? Kedua-dua putera itu bersetuju walau Indera Samara tidak gembira dengan syarat terbaru itu. Indera Samara memulakan tari silatnya. Gerak tangan dan kaki yang cantik kemudian diselang seli dengan teknik tempur yang keras. Beberapa ketika, para pembesar terpegun melihat Indera Samara.

Tiba pula giliran Indera Perkasa. Tari silat dipersembahkan penuh kelembutan, berselang-seli dengan teknik tempur tumbukan dan tendangan. Indera Perkasa sesekali melompat dan berpusing-pusing mempersembahkan tari silat dan tempurnya. Sangat mengkagumkan para hadirin termasuk kerabat diraja yang ada bersama. Kedua-duanya sudah bersedia berlaga. Indera Samara terlebih dahulu menguji dengan satu tendangan layang. Namun ditepis oleh Indera Perkasa dengan tumbukan yang padu. Indera Samara terus menyerang dengan tumbukan bertubi-tubi, namun dapat dielak dengan pantas oleh Indera Perkasa. Indera Perkasa menganalisa kekuatan dan gerak Indera Samara. Dia tidak mahu menghabiskan tenaga dan masa dengan serangan menggila. Indera Perkasa bijak mengelak dan menyerang balas sehingga beberapa kali Indera Samara terpaksa berundur.

Pendekatan yang digunakan Indera Samara memakan diri jua akhirnya. Dia terpaksa menghentikan pertarungan itu buat sementara waktu bagi mengatur semula pernafasannya yang tidak keruan. Indera Perkasa masih berdiri gagah tanpa kepenatan walau sedikit pun. Ini kerana Indera Perkasa bijak menggunakan teknik pernafasan dan strategi tempurnya. Dia punya peluang untuk menyerang balas, namun membiarkan sahaja Indera Samara buat seketika. Ternyata sikap Indera Perkasa amat terpuji dan tidak suka mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain. Oleh kerana tidak mampu menewaskan Indera Perkasa dengan tangan kosong, Indera Samara meminta pedang kayu dari pengikutnya. Setelah mendapat senjata itu, Indera Samara terus menyerang Indera Perkasa.

Serangan tanpa amaran itu mengejutkan Indera Perkasa, namun dia sentiasa bersiap siaga. Serangan Indera Samara amat pantas, namun dihadapi oleh Indera Perkasa dengan tenang. Setiap serangan itu ditepis dengan penumbuknya, disusuli beberapa tendangan padu. Kali ini Indera Perkasa mula menunjukkan belangnya. Kepantasannya luarbiasa, dengan teknik jarinya dia menyerang sendi-sendi Indera Samara. Namun Indera Samara bukan calang-calang lawan. Setiap serangan dari jari Indera Perkasa ditepis dengan beberapa tendangan padu. Indera Perkasa mengelak tendangan itu dan kemudian maju semula menyerang balas. Kebas di seluruh bahagian kaki Indera Samara yang terkena serangan balas itu. Demi mencapai kemenangan, Indera Samara mula menggunakan teknik amukan.

Seperti seekor harimau yang mengamuk, Indera Samara menyerang bertubi-tubi. Satu tendangannya tepat mengenai bahagian leher Indera Perkasa sehingga memaksa Indera Perkasa berundur. Kesakitan mula terasa namun Indera Perkasa masih dalam keadaan tenang. Sekali lagi dia melihat corak serangan Indera Samara yang tidak tentu hala. Serangan begini satu tindakan nekad namun merbahaya. Melihat kepada cara Indera Samara yang menyerang bahagian kepala dan dadanya, Indera Perkasa pun menjatuhkan dirinya dan kemudian menggunakan teknik sapuan kaki. Indera Samara tersentak dengan keadaan itu sehingga dia terjatuh. Namun belum sempat kepalanya terhempas di lantai, Indera Perkasa sempat memeluknya. Indera Perkasa tahu tindakan itu akan menambahkan lagi kemarahan Indera Samara, namun dia mesti menyelamatkan adindanya itu.

Bendahara Indera Kencana segera menghentikan pertarungan itu. Sudah terbukti, Indera Perkasa adalah sehebat namanya dan semulia hatinya. Bendahara segera mengisytiharkan Indera Perkasa sebagai pemenang dan akan ditabalkan menjadi maharaja Indera Kencana yang baharu. Indera Samara akhirnya terpaksa mengakui akan kegagalan dan kekalahannya. Pertabalan Indera Perkasa dipersetujui sebulat suara oleh para kerabat diraja dan para pembesar. Majlis pertabalan Indera Perkasa sebagai Maharaja Indera Kencana disambut penuh meriah di seluruh negara kecuali Indera Samara. Dia tidak menghadiri majlis pertabalan itu malah telah menghilangkan diri. Tiada siapa yang tahu ke mana dia menghilang, dan tiada siapa yang ambil tahu akan Putera Indera Samara. 

Beberapa tahun berlalu, Indera Perkasa telah memerintah Indera Kencana dengan penuh kasih sayang, adil dan saksama. Indera Perkasa disayangi rakyat jelata kerana tidak pernah membezakan layanan sesama manusia. Negara Indera Kencana semakin maju, aman dan makmur di bawah pemerintahan paduka baginda. Namun begitu, keamanan itu tidak kekal lama. Indera Samara kini kembali semula ke Indera Kencana bagi menuntut haknya. Kali ini dia hadir bersama pasukan tentera yang amat menggerunkan. Pasukan tentera ini telah mula mengganas dan menyerang kampung-kampung dan negeri yang bernaung di bawah Indera Kencana. Siapakah yang memimpin pasukan tentera di bawah Indera Samara ini? Mengapa mereka begitu rakus membunuh tanpa belas? Cerita ini akan bersambung lagi dengan episod terbaharu bertajuk Pahlawan Bayang.

Bersambung…

Karya : MS MALAWI

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.