Thursday, March 04, 2021

5 Puak (Episod 5 : Guruh Pertarungan)

MATA Naga Hitam tiba-tiba merah menyala. Dalam satu serangan dan pergerakan yang pantas, Naga Hitam cuba menyerang pahlawan-pahlawan bayang. Namun begitu, pahlawan bayang lebih cekap dan pantas. Serangannya itu berjaya dielak dengan mudah dan bersahaja. Kali ini tiba giliran dua pahlawan bayang menyerang balas. Naga Hitam yang dirasuk Jin Hitam berputar-putar dengan pantas bagi mengelak serangan mereka. Setiap kali diserang, Naga Hitam akan menghembuskan asap yang berwarna hitam. Apakah tujuan Naga Hitam yang sebenarnya? Pahlawan bayang tidak dapat melihat dengan jelas akibat dikaburi asap hitam. Dalam masa yang sama, asap hitam itu mengeluarkan bauan yang aneh. Bauan yang amat busuk dan berbisa. Pahlawan bayang akhirnya dapat melihat bahaya yang akan menimpa mereka jika kurang berhati-hati.

Pokok-pokok di sekeliling tempat pertempuran mereka itu mati secara tiba-tiba. Nampaknya asap itu adalah sejenis senjata racun yang berbisa. Jika mengenai senjata mereka, ia mungkin akan menghakis, belum lagi jika ia terkena tubuh badan seorang manusia. Oleh kerana itu, salah seorang pahlawan bayang mencuba nasibnya. Dia melemparkan sejenis senjata tajam yang mampu terbang jauh dan dapat menembusi pertahanan lawannya. Serangan ini adalah satu serangan bagi menduga di mana lawan berada memandangkan pandangan mata mereka dikaburi oleh asap hitam tersebut. Selepas melemparkan senjata itu, kedua-dua pahlawan bayang duduk dan menunggu. Tidak kedengaran langsung sebarang bunyi di seberang sana. Apakah serangan itu berjaya mengenai sasaran? Walaupun begitu, asap hitam semakin lama semakin merebak dan mula membakar pokok-pokok dan dedaunan.

Dua orang pahlawan bayang mula bergerak ke hadapan bagi merapatkan kedudukan. Mereka sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang serangan dari Naga Hitam. Senjata sentiasa di tangan dan pancaindera mereka sentiasa dalam keadaan bersiap sedia. Oleh kerana keadaan yang masih kabur dan kelam, mereka terpaksa menggunakan deria pendengaran sebagai deria pengesan. Tiba-tiba, satu sosok hitam mula berlari di sekeliling pahlawan bayang. Pergerakannya amat pantas dan ia seperti cuba mengepung mereka. Berang dipermainkan sedemikian rupa, seorang daripada pahlawan bayang itu mula melemparkan semula senjata-senjata tajamnya berupa pisau belati. Namun begitu, satu pun tidak tepat pada sasarannya. "Ha! Ha! Ha! Kamu berdua sudah semakin tua. Tak akan mampu mengatasi tubuh baru tumpangan aku ini yang lebih muda dan gagah. Tak akan dapat menewaskan aku sekali lagi seperti dahulu. Ha! Ha! Ha!"

Suaranya gegak gempita dan membingitkan. Apakah mereka pernah bertemu dan bertarung sebelum ini? Mungkin juga pada masa dahulu mereka adalah seteru ketat. Namun begitu, pahlawan bayang tidak menghiraukan gelak ketawa dan ejekan Jin Hitam yang berlindung di sebalik tubuh Naga Hitam. Mereka memesatkan serangan walau terpaksa menghadapi asap dan kabus beracun. Baju yang dipakai mula terbakar dan terhakis membuatkan mereka terpaksa membuangnya. Hanya tinggal pakaian yang berupa perisai besi di badan mereka. Terlihat pelbagai jenis senjata di kanan dan kiri pinggang mereka. Semuanya akan digunakan jika terpaksa. Pahlawan bayang tidak mahu menunggu lama dan kembali menyerang. Pergerakan mereka yang pantas membuatkan Naga Hitam memberhentikan lariannya. Mereka mesti menewaskan Naga Hitam yang telah dirasuk dan ditakluk oleh Jin Hitam.

Walaupun begitu, Mahaguru Tanpa Nama telah memerintahkan kedua-dua pahlawan bayang itu agar sentiasa berhati-hati dalam menangani Naga Hitam. Ini kerana Mahaguru Tanpa Nama amat menyayangi Naga Hitam dan tidak mahu jasadnya diperalatkan dan dipergunakan oleh Jin Hitam sesuka hati. Naga Hitam mesti ditangkap dan Jin Hitam akan diusir oleh Mahaguru Tanpa Nama. Namun begitu, perkara ini ada risikonya. Jika tidak dihapuskan, pastinya akan membawa bahaya dan kemusnahan kepada orang lain. Pahlawan bayang berada dalam keadaan yang serba salah. Mereka tidak punya pilihan lain seandainya terpaksa mengorbankan jasad Naga Hitam itu. Naga Hitam tidak hanya menunggu serangan kedua-dua pahlawan bayang. Di saat serangan kedua-dua pahlawan itu semakin menghampirinya, Naga Hitam juga turut menerkam dan menyerang. Pertahanan yang paling teguh adalah serangan. Pertahanan yang lemah pula adalah menunggu sahaja.

Naga Hitam menangkis setiap tetakan pedang pahlawan bayang dengan tangan kosong. Bunyi dentingan besi jelas kedengaran, seolah-olah tangan Naga Hitam itu keras seperti seketul besi waja. Hampir-hampir sahaja terlepas pedang dari tangan pahlawan bayang pada ketika itu. Melihat keadaan kelam kabut yang dihadapi pahlawan bayang, Naga Hitam terus memesatkan serangannya. Dari lengan bajunya tiba-tiba sahaja muncul haiwan-haiwan berbisa. Seekor ular yang pantas dan ganas cuba mematuk pergelangan tangan salah seorang pahlawan bayang, namun ia sempat ditetak dan akhirnya ular itu mati dan terputus dua. Sebaik sahaja ular itu menemui ajalnya, tiba-tiba sejenis gas berbisa keluar memancut. Pahlawan bayang terpaksa mengelak dan memutarkan pedang sehingga terhasil satu pusaran angin. Seorang daripada pahlawan bayang pula terus menyerang dan bergelut dengan Naga Hitam.

Selepas seekor daripada ularnya mati, tiba-tiba muncul berpuluh-puluh ular yang lain. Kali ini ular-ular ini lebih ganas walaupun bentuk fizikalnya lebih kecil. Kedua-dua pahlawan bayang terus menetak, namun tetakan mereka seperti tidak mengenai apa-apa. Apakah ia hanya sekadar ilusi yang ditimbulkan oleh Naga Hitam? Naga Hitam mengambil peluang itu untuk menyerang balas. Seorang daripada pahlawan bayang sempat melompat ke atas dan menyerang di udara sementara seorang lagi menundukkan badannya dan cuba menyerang dari bawah. Gabungan serangan dari mereka cukup sempurna dan sukar dielak. Mahu atau tidak, Naga Hitam terpaksa menangkis kedua-dua serangan itu. "Tang!" Kekuatan Naga Hitam tidak dapat dibayangkan lagi. Naga Hitam telah sekali lagi berjaya menangkis kedua-dua serangan dengan tangan dan kakinya yang pantas.

Pahlawan bayang terpaksa berundur ke belakang selepas pertembungan yang dahsyat itu. Naga Hitam tidak mahu melepaskan peluang lalu dia maju ke hadapan dan melepaskan satu tendangan yang padu. Satu tendangan yang tepat mengenai kedua-dua pahlawan bayang sehingga mereka berdua terpelanting jauh dan darah mula tersembur dari mulut mereka. Kelima-lima kuasa mula berpadu dan bersatu di dalam jasad sang Naga Emas. Satu kekuatan yang istimewa mulai terhasil. Naga Emas bangun dari duduk bersila lalu mula bertari silat. Kelima-lima cahaya itu adalah satu bentuk panduan dari Ilmu Mergastua. Walaupun Naga Emas memiliki dan melatih Ilmu Mergastua dari kitab yang diperolehinya, namun begitu panduan amalan dan kekuatannya hanya akan terhasil dari pertapaan tersebut.

Naga Emas mula bertari dengan Tari Harimau Garang. Gaya tari dengan corak cengkaman dan cakaran bak seekor harimau dipersembahkan sempurna bersama teknik tempurnya. Permainan harimau ini mengandungi serangan ganas di bahagian bawah dan cara berhadapan. Walaupun petarung teknik ini telah dijatuhkan di atas tanah, mereka masih mampu bertahan dan menyerang balas. Malah, serangannya lebih merbahaya ketika dalam keadaan terbaring. Gerakan menghambur dari tanah adalah satu serangan yang terhasil dan tidak mampu dijangka oleh sesiapa. Dengan satu serangan mengejut, musuh mampu ditumbangkan dengan tamparan keras tepat ke bahagian kepala. Selepas bertari harimau, Naga Emas menukar corak tarinya dan mempersembahkan Tari Serigala Licik. Serigala seekor haiwan yang fizikalnya lebih kecil dari harimau, namun teknik tempurnya hampir juga sehebat teknik harimau. Pergerakan serigala adalah lebih licik dan pantas, dalam berundur masih mampu menyerang, dan dalam menyerang masih mampu bertahan.

Kekuatan teknik tempur serigala ini tidak boleh diperlekehkan oleh sesiapa pun. Tambahan kepada teknik ini adalah kepantasan dan stamina seperti sekumpulan serigala. Cakaran dan cengkaman yang berbeza dari harimau, namun mampu mencederakan musuh jika mereka terleka. Dari teknik serigala, Naga Emas beralih pula kepada teknik Gajah Gagah. Kekuatan bak seekor gajah mengamuk diperlihatkan dalam tari dan tempurnya. Kekuatan daripada bahagian tangan dan kaki mampu memecahkan seketul batu besar. Walau tidak selincah teknik serigala, kekuatan sang gajah ini tidak boleh dipandang enteng. Teknik gajah tidak punya bentuk cengkaman atau cakaran. Cukup dengan satu tumbukan dan tendangan, ia mampu menghancurkan kepala manusia. Jika terjadinya pertembungan di dalam pertempuran, teknik gajah ini akan membuatkan musuh terpelanting jauh.

Selepas teknik sang gajah, Naga Emas beralih kepada teknik Seladang Ganas. Teknik seladang adalah lebih tertumpu kepada bahagian kaki dan kepala. Pengamal teknik ini memiliki bahagian kepala dan kaki yang agak keras. Di saat-saat kecemasan, sekiranya pahlawan yang menggunakan ilmu ini terperangkap dan dikunci musuh, penggunaan kepala amat berkesan bagi menyelamatkan diri. Jarang sekali kepala digunakan sebagai senjata, oleh itu inilah keistimewaan utama teknik tempur Seladang Ganas. Tiba-tiba Naga Emas meloncat ke udara. Ketika berada di udara, Naga Emas mula menunjukkan teknik tempur Helang Melayang. Tari silat yang amat mengasyikkan bak seekor helang yang melebarkan sayapnya. Bersama tari silat itu, Naga Emas beralih kepada teknik tempur yang mampu mengoyak leher musuh dalam satu cengkaman jitu. Kelebihan teknik ini lebih bertumpu kepada tempur di udara dan bahagian atas badan manusia.

Musuh yang leka dan alpa akan mudah ditewaskan jika memandang rendah akan teknik Helang Melayang ini. Serangannya yang begitu efektif dan pantas adalah tertumpu kepada bahagian kelemahan manusia terutama di bahagian leher dan kepala serta dari bahagian dada sehingga ke perut. Selepas mempersembahkan tari dan teknik Ilmu Mergastua, Naga Emas kembali duduk bersila. Matanya berada dalam keadaan terpejam dan dari mulutnya terlafaz zikir-zikir. Tinggal beberapa hari sahaja lagi tempoh pertapaan Naga Emas. Sepanjang berada di Gua Serambi, solat tidak pernah dilupakan. Solat itu tiang agama, jika tidak ditunaikan dan didirikan, maka runtuhlah diri seorang Muslim. Pertapaan ini melibatkan diri Naga Emas dengan Allah SWT, Yang Maha Pencipta. Hubungan dengan Allah Yang Maha Pencipta tidak akan pernah diabaikan oleh Naga Emas. Tidak akan pernah sesekali Naga Emas melupai Allah SWT.

Berhampiran Gua Serambi terdapat sebuah air terjun yang cantik dan indah. Di sinilah Naga Emas mandi bagi membersihkan diri serta berwuduk. Bagaimana pula dengan makanan dan minuman? Naga Emas telah dibekalkan dengan beras oleh isterinya sebagai bekalan makanan utama manakala air terjun pula sebagai sumber minumannya. Di sepanjang pertapaan itu, Naga Emas telah diperintahkan oleh Mahaguru Tanpa Nama agar berpuasa. Puasa yang diberi nama puasa pemutih itu disyaratkan agar hanya nasi putih dan air sahaja sebagai makanan dan minuman untuk bersahur dan berbuka puasa. Ujian dan cubaan sering datang mengganggu Naga Emas. Yang paling berat diterima adalah ujian dari makhluk yang menjelma sebagai isteri dan anaknya. Jelmaan mereka merayu agar Naga Emas segera pulang dan membatalkan hasrat untuk meneruskan pertapaan. Bermula sejak dari hari pertama lagi ia datang dan kadangkala cuba menggoda di saat Naga Emas tidur dalam keadaan bertapa.

Selain itu, jin-jin ini menjelma sebagai gurunya iaitu Mahaguru Tanpa Nama. Di saat jin-jin ini cuba mendekati, di saat itu jugalah rupa sebenarnya terdedah. Cahaya yang terpancar dari dalam gua akhirnya telah menembusi penyamaran jin-jin ini membuatkan segala rahsia terdedah dan kemudian membakar mereka sehingga terpaksa melarikan diri. Namun begitu, keesokkan hari akan datang pula jin-jin lain bagi menyesatkan dan memesongkan perhatian Naga Emas. Sudah janji iblis dan syaitan akan sentiasa menyesatkan manusia sehingga akhir zaman. Jin-jin ini tidak dapat menghampiri Naga Emas dengan lebih rapat. Ini kerana perlindungan dari Yang Maha Melindungi terhasil dari doa pendinding dan zikir-zikir yang dilafazkan oleh Naga Emas. Penyerahan diri dan jiwa Naga Emas hanya sepenuhnya kepada Allah Yang Maha Esa. Zikir mulut dan zikir nafas adalah berbeza sama sekali. Zikir mulut dilafazkan melalui mulut dan dapat didengari di telinga dengan jelas dan nyata manakala zikir nafas adalah melalui hati dan pernafasan. Hanya Allah Yang Maha Mendengar setiap zikir nafas dari Naga Emas.

 

Setiap apa jua perkara yang ada di dunia ini merupakan kurniaan dari Allah SWT. Jasad dan roh juga adalah pinjaman dari Yang Maha Esa agar manusia dapat menjaga dan mentadbir bumi ini sebaiknya. Hati yang bersih ini datang dari hati yang taat dan sentiasa menyintai Allah. Raja yang sebenar adalah Allah SWT dan bukan manusia. Manusia hanyalah khalifah di muka bumi ini. Ya Allah Ya Malik, yang menguasai pemerintahan dan hari pembalasan yakni Hari Akhirat. Setiap apa yang berlaku di dunia tidak akan terlepas dari pengetahuan, pandangan dan pendengaran Allah SWT. Allah Yang Maha Mengetahui walau manusia berjaya menyembunyikan segala rahsia dari pengetahuan manusia atau makhluk yang lain. Apa yang akan terjadi kepada Pahlawan Bayang dan Naga Hitam? Siapakah sebenarnya kedua-dua Pahlawan Bayang ini? Apakah identiti mereka akan terbongkar satu hari nanti?

Bersambung…

Karya : MS MALAWI



Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.