INDERA Sakti dan Indera Wira dua putera kembar yang tampan wajahnya dan punya pesona menarik di Istana Kencana. Namun, mereka berdua memiliki karakter berbeza. Indera Sakti dilahirkan lebih awal 5 minit daripada Indera Wira. Sebagai abang kepada kembarnya, Indera Sakti seorang yang lincah dan nakal berbanding Indera Wira yang pemalu. Dayang-dayang di istana sering diusik oleh Indera Sakti yang kadangkala menyamar sebagai Indera Wira yang pemalu. Kelima-lima putera dan puteri ini berguru dengan guru yang sama iaitu Pendita Alif. Mereka belajar ilmu agama, ilmu persilatan dan ilmu kehidupan. Pendita Alif mengajar putera dan puteri sepenuhnya tanpa pilih kasih. Oleh kerana kelincahan pasangan kembar ini, Pendita Alif sering menggelar mereka dengan nama Monyet Lincah. Gelaran sebegitu tidak sesekali membuatkan putera kembar ini rasa terhina, malah mereka begitu gembira dengan gelaran seperti itu dan menyanjung tinggi akan Pendita Alif. Indera Sakti dan Indera Wira adalah putera yang rajin belajar. Oleh kerana itu juga, Pendita Arif telah mengajarkan mereka berdua Ilmu Bayang. Hanya mereka berdua diberikan ilmu ini, menunjukkan betapa Pendita Alif begitu menyayangi mereka.
Dengan ilmu bayang ini, Indera Sakti semakin nakal mengusik dan menyakat bukan sahaja dayang-dayang, malah kekanda mereka, kerabat diraja dan para pembesar. Bukan itu sahaja, mereka juga begitu berani mengusik Indera Perkasa yang terkenal dengan kehandalan ilmu persilatannya. Indera Perkasa sering bermain-main dengan mereka berdua dan mengetahui tahap ketinggian ilmu bayang yang dimiliki pasangan kembar ini. Semakin meningkat usia dan melepasi usia remaja, kedua-dua pasangan kembar ini semakin matang dan dewasa. Di awal pemerintahan Indera Perkasa sebagai Maharaja Indera Perkasa, kedua-dua putera ini telah dilantik menjadi Panglima Bayang. Tugas mereka adalah khas sebagai panglima yang mengiringi dan memastikan keselamatan Maharaja Indera Perkasa di sepanjang pemerintahannya.
Bukan satu, malah mereka terpaksa menghadapi banyak ancaman bunuh terhadap Maharaja Indera Perkasa. Pakaian yang mereka pakai sentiasa berwarna hitam, bertutup muka dengan kain semutar dan pergerakan mereka sentiasa tersembunyi tapi tersusun. Pembunuh-pembunuh upahan terpaksa menghadapi Pahlawan Bayang tanpa sempat menyelesaikan tugas mereka. Belum sempat mengangkat senjata atau membidik dengan busur dan anak panah, tahu-tahu sahaja Pahlawan Bayang muncul di hadapan. Tugas Pahlawan Bayang adalah menghapuskan sebarang ancaman, maka pembunuh yang cuba membunuh maharaja akan terus dihukum bunuh oleh Pahlawan Bayang tanpa belas kasihan. Mereka berdua adalah bayang-bayang Maharaja Indera Perkasa. Mereka bertiga tidak akan pernah berpisah jika keluar dari istana dan akan sentiasa menghadapi sebarang kemungkinan bersama-sama. Namun begitu, keamanan yang dikecapi tidak pernah kekal lama. Indera Samara kini kembali ke Indera Kencana bagi menuntut haknya. Kali ini dia hadir bersama pasukan tentera yang amat menggerunkan. Pasukan tentera ini telah mula mengganas dan menyerang kampung-kampung dan negeri yang bernaung di bawah Indera Kencana.
Siapakah mereka ini dan mengapa mereka begitu kejam membunuh insan yang tidak bersalah? Apakah Indera Samara sudah tidak menyayangi akan rakyat jelatanya sendiri semata-mata mahu memenuhi hajatnya bagi memerintah Indera Kencana? Selepas kekalahan kepada Indera Perkasa, Indera Samara telah melarikan diri dari istana bersama dua panglimanya yang terbilang iaitu Si Pisau dan Si Parang. Kedua-dua panglima ini amat terkenal dengan kemahiran mereka dalam seni perang pisau terbang dan parang terbang. Indera Samara berjalan tanpa hala tuju sebenar. Dia berasa malu yang teramat sangat kerana gagal menjadi seorang maharaja. Kalaulah dia tidak sombong dan bongkak serta menerima sahaja kata-kata Indera Perkasa tanpa perlu bertanding, sudah pasti dia yang akan duduk megah di atas takhta singgahsana maharaja. Perkara yang lepas sudah tidak berguna dikenangkan lagi. Setelah melalui perjalanan yang jauh, mereka akhirnya telah tersesat di dalam sebuah hutan. Namun yang menghairankan mereka adalah, hutan itu penuh dengan kabus dan bauan yang tidak enak dihidu oleh hidung mereka.
Mereka bertiga mulai muntah dan sendi-sendi di kaki mula terasa lemah, mata mula terasa pedih dan kepala terasa berat dan sakit. "Di manakah beta berada?" Bisik hati Indera Samara yang akhirnya turut sama pengsan tidak sedarkan diri bersama dua panglimanya. Beberapa jam berlalu, Indera Samara telah tersedar dari pengsan. Didapati tangan dan kakinya telah diikat, begitu juga dengan dua orang panglimanya. Terlihat di mata kasar Indera Samara akan keadaan di dalam sebuah gua yang kelam. Beberapa orang lelaki dan perempuan, tak kira tua atau muda, semuanya berpakaian agak aneh. Kulit mereka juga kelihatan pelik dan menggerunkan. Ada yang menggerutu seperti seekor katak, ada yang kulitnya berwarna merah seperti udang yang dibakar. Di antara mereka itu, ada seorang lelaki tua dan seorang perempuan yang sangat jelita. Rambut si lelaki panjang sehingga ke paras lutut, warna kulitnya pelbagai. Sebahagian wajahnya terlihat berwarna merah, di bahagian lain ada yang berwarna hitam dan ada yang berwarna kuning.
"Cakap, siapakah engkau? Sungguh berani menceroboh di kawasan kami," tempik lelaki tua lanjut usia itu. Tempikan lelaki itu menggetarkan jiwa sehingga kedua-dua orang panglima kepada Indera Samara jatuh pengsan sekali lagi. "Cakap, siapakah engkau? Atau kau hendak aku seksa baru hendak jawab?" gertak lelaki itu. Namun begitu, Indera Samara tetap tenang dan cuba menentang lelaki tua tersebut. Namun begitu, ikatan pada tangan dan kakinya sangat ketat. Dengan tenaganya yang lemah, Indera Samara tidak mampu melawan. Keadaan di dalam gua itu begitu menyesakkan nafas. Dengan bauan yang amat busuk, yang menghairankan adalah semua mereka yang berada di situ tidak terjejas sedikit pun. Hanya Indera Samara dan dua panglimanya sahaja yang merasa sesak nafas dan sakit segala sendi-sendi mereka. Seorang daripada pengikut yang kelihatan gagah perkasa segera menunjukkan hasil rampasannya daripada Indera Samara. Melihat kepada cop mohor yang dibawa, tahulah mereka bahawa Indera Samara adalah kerabat diraja Indera Kencana.
"Aku sudah tahu siapa kau. Kau ini adalah musuh kami. Tiga puluh tahun yang lalu, kami telah berperang dengan para tentera Indera Kencana, tewas dan diusir sehingga ke gua ini. Apa yang kau mahu, wahai anakanda kepada Maharaja Indera Kencana?" Teriak lelaki itu dalam nada yang marah dek kerana dendam yang meluap-luap.
"Sabar, kanda. Dengarlah dahulu apa yang ingin diperkatakan. Jangan dibunuh mereka ini, tentu ada sebab mereka bertiga ini berjalan sehingga datang ke tempat kita," pujuk seorang wanita muda yang berkemungkinan adalah isteri kepada pemimpin Puak Bisa. "Tanggalkan ikatan mereka, beri mereka makan dan minum," perintah lelaki tua itu yang tidak sabar-sabar lagi mahu mengetahui duduk perkara sebenar. Akhirnya mereka bertiga dilepaskan dari tawanan Puak Bisa. "Aku ini Tok Bisa dan ini isteriku, Nek Bisa. Apakah tujuan seorang putera seperti engkau datang ke tempat aku yang terpencil ini?" Tanya Tok Bisa kepada Indera Samara yang sedang menikmati makanan dan minuman yang sedia terhidang. "Aku telah tersesat sehingga sampai ke tempat ini. Tujuan aku adalah mencari satu pasukan tentera yang kuat dan tidak terkalah. Aku mahu merampas kembali takhta maharaja kepunyaanku dari kekanda ku," balas Indera Samara.
"Ha! Ha! Ha! Apakah aku ini sedang bermimpi? Musuh yang amat aku benci kini merayu meminta bantuan ku," ketawa besar Tok Bisa mendengarkan permintaan Indera Samara. Indera Samara menyedari dia kini berada di dalam genggaman musuh yang pernah ditewaskan oleh pasukan tentera Indera Kencana. Namun begitu dia nekad meminta bantuan dari Puak 5 Bisa yang telah lama memencilkan diri dari dunia luar. Indera Samara tidak kisah menjalin hubungan dengan musuh demi takhta yang amat didambakan. "Kamu semua, periksa di luar dan lihat jika ada pasukan tentera Indera Kencana yang bersama mereka. Bunuh mereka jika ada," ternyata Tok Bisa masih meragui kedatangan Indera Samara lalu memerintahkan anak-anak buahnya memeriksa keadaan di luar gua dan sekeliling hutan. "Jika benar engkau mahu kami dari Puak Bisa ini menjadi sandaran, apakah yang akan engkau berikan jika kami berjaya menghancurkan mereka?" Tanya Tok Bisa lagi. "Aku akan melantik kau menjadi pembesar dan penasihat di dalam istana. Kau dan anak-anak buah kau tak perlu lagi hidup sengsara di dalam gua. Segala kesalahan kau sebelum ini akan dihapuskan oleh ku sebagai maharaja nanti dan kamu semua akan hidup bebas tanpa batasan lagi," jawapan Indera Samara penuh meyakinkan.
"Aku masih belum percaya. Jika mahukan bantuan kami, engkau mesti jadi anak murid ku. Sebelum menjadi anak murid ku, engkau mesti minum air bisa ini," kata Tok Bisa lalu menghulurkan segelas air yang menggelegak. Tanpa keraguan lagi, Indera Samara terus mengambil air bisa itu lalu meminumnya. Selepas selesai minum air bisa itu, tiba-tiba perutnya mula terasa panas dan begitu juga seluruh sendi-sendi di badannya. Indera Samara punya ilmu yang tinggi. Dia segera bertenang, menarik dan mengatur semula nafasnya agar air yang beracun itu tidak dapat merosakkan tubuh badannya. "Ha! Ha! Ha! Ternyata putera raja ini punya ilmu yang tinggi. Bagaimana pula dua panglimanya?" Tambah Tok Bisa dan menghulurkan dua lagi gelas air bisa kepada Panglima Si Pisau dan Si Parang. Selepas meminum air bisa itu, keadaan yang sama dialami oleh kedua-duanya, lalu mereka cuba menentang dengan ilmu mereka. "Ha! Ha! Ha! Ilmu kamu berdua belum setanding putera ini. Tak guna menentang, kerana isi di dalam perut akan mudah dihakis. Serap air bisa ini dan biarkan ia mengalir di setiap sendi kamu," kata Tok Bisa sambil disambut oleh gelak ketawa Nek Bisa.
Mereka segera mengikut panduan yang diberikan lalu perlahan-lahan kesakitan mula berkurangan. Apa yang tidak diketahui oleh mereka, sebenarnya Tok Bisa telah menanam ulat bisa di dalam tubuh mereka. Hanya dia punya penawarnya. Begitulah cara Tok Bisa mengawal para pengikutnya. "Kamu bertiga telah menjadi anak murid ku. Oleh itu, sebelum kami semua dari Puak Bisa ini menjadi rakan sekutu, benarkan kami berbincang dahulu. Sila, sila tambah makanan lagi. Ha! Ha! Ha!" Indera Samara dan kedua-dua panglima berpandangan antara satu sama lain. Kini mereka telah menjadi anak murid Tok Bisa dan pengikut Puak Bisa. Semasa dalam perbincangan itu, Indera Samara menyedari dirinya dipandang dengan penuh minat oleh Nek Bisa yang jelita dan cuba menggoda dirinya. "Apakah Nek Bisa ini masih muda umurnya?" Bisik hati Indera Samara. "Ha! Ha! Ha! Aku sudah berbincang dan sudah mendapat keputusan. Kami semua telah bersetuju untuk menyerang seluruh Indera Kencana, dengan syarat aku yang akan memimpin," gelak ketawa Tok Bisa kembali bersambung.
"Terima kasih, tok guru," ketiga-tiga mereka segera mengangkat sembah ke atas Tok Bisa. Tok Bisa semakin angkuh dan bongkak memandangkan anak raja sendiri mengangkat sembah kepadanya. Tok Bisa semakin teruja. Selepas mengangkat sumpah setia, Indera Samara dan kedua-dua panglima akhirnya menjadi anak murid Tok Bisa. Sebelum menggempur Indera Kencana, mereka bertiga telah dilatih oleh Tok Bisa dengan ilmu racun dan ilmu sihir. Namun begitu, Tok Bisa tidak mengajar mereka sepenuhnya. Ada ilmu yang sengaja disembunyikan. Mereka juga baru mengetahui akan hakikat ulat bisa telah ditanam di dalam perut mereka. Mereka mesti mendapatkan penawar pada setiap 3 purnama bagi mengurangkan kesakitan di dalam badan. Kini mereka makin mengganas di Indera Kencana. Setiap tempat yang diserang akan dipenuhi dengan kabus beracun dan haiwan-haiwan berbisa. Rakyat jelata semakin menderita akibat serangan Puak Bisa. Mereka tidak mampu menentang kemaraan tentera jahat ini. Maharaja Indera Perkasa kini semakin tertekan. Pasukan tenteranya kini tidak mampu lagi mengatasi serangan Puak Bisa. Paduka baginda ingin turut sama menghadapi musuh, namun tidak dibenarkan oleh para pembesar.
"Bagaimana, dinda? Bolehkah kamu berdua merisik keadaan semasa di sana? Tanya Maharaja Indera Perkasa kepada kedua-dua adindanya iaitu Panglima Bayang. Indera Sakti dan Indera Wira saling berpandangan. Mereka tidak gentar menghadapi musuh-musuh namun siapakah yang akan melindungi Maharaja Indera Perkasa? Menyedari keadaan mereka berdua yang masih kelu dan membisu, Maharaja Indera Perkasa segera menambah, "usah dirisaukan akan keadaan kanda ini. Kanda tahu menjaga diri. Mohon risik segera kerana perisik-perisik yang kita hantar telah lenyap tanpa khabar berita," desak Maharaja Indera Perkasa. Pahlawan Bayang akhirnya terpaksa bersetuju dengan perintah Maharaja Indera Perkasa. Mereka pun bersegera meninggalkan istana dan terus menuju ke arah perkampungan yang telah ditakluki Puak Bisa. Mayat-mayat rakyat jelata bergelimpangan di atas tanah. Bau mereka begitu busuk dan ada antaranya telah mulai mereput. Bagaimana boleh terjadi perkara sedemikian rupa sedangkan baru beberapa hari mereka dibunuh?
Kepantasan luarbiasa dipertontonkan oleh Panglima Bayang. Kehadiran mereka tidak disedari oleh anak-anak buah Tok Bisa yang telah membuat onar di kampung itu. Mereka begitu asyik melakukan jenayah. Bagai bayang, kedua-dua Pahlawan Bayang membaling sejenis senjata kecil yang kemudian telah memenggal kepala musuh. Kepala terpisah dari badan dan kemudiannya sejenis wap mulai keluar dari tubuh badan mereka. "Nampaknya mereka bukan orang yang kebal," bisik hati Indera Sakti. Tubuh badan penjahat Puak Bisa itu akhirnya rebah ke tanah dan tiba-tiba terbakar dan hancur musnah. Apakah yang akan terjadi di kemudian hari? Apakah Pahlawan Bayang akan bertembung dengan Puak Bisa? Mampukah mereka menghadapi anggota tentera bisa yang begitu ramai?
Bersambung…
Karya : MS MALAWI
Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata
Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.