Thursday, February 11, 2021

5 Puak (Episod 1 : Pengenalan)

ilustrasi adalah hiasan semata-mata 


ASSALAMUALAIKUM Semua, Alhamdulillah bertemu kembali dilapangan blog Abang J.A.M. Pada kali Abang J.A.M ada kejutan sedikit, buat julung kali Abang J.A.M menyediakan kolum baru dalam blog ini bermula saat ini. Kolum ini dikenali sebagai kolum 'Naskhah Aksi', berupa cerita penulisan terutama dalam genre aksi. Naskhah yang pertama ini Abang J.A.M siarkan sebuah naskhah dari nukilan M.S Malawi, tajuk cerita '5 PUAK', merupakan kisah bersiri. Nak tahu ceritanya, sila ikuti keluaran episod yang pertama ini. Selamat Membaca moga-moga anda semua gembira!


5 PUAK  (Episod 1 : Pengenalan)

karya : MS Malawi 2021


GUNUNG Segumpal tinggi menjulang, lautan luas terbentang memikat pandangan. Di sinilah lima puak  bersatu hati. Bersatu hati dan bersaudara selamanya, itulah ikrar dan janji mereka sehidup dan semati. Walau berbeza aliran, kelima-lima mereka berpayung di bawah satu naungan. Seorang mahaguru handalan menjadi tempat berpaut. Sang Naga Emas namanya, tak pernah berbelah bahagi kasih sayangnya. Semua lima puak disatukan di bawah pimpinannya.

Sang Naga Emas mahaguru terbilang. Segala ilmu dicurahkan kepada lima orang anak muridnya. Setiap dari mereka mewakili satu jenis gaya seni tempur yang berbeza. Bukan bermaksud mahu memisahkan, bukan jua memilih kasih. Sang Naga Emas mahu mereka sentiasa bersatu hati dalam apa jua keadaan. Lima menjadi satu dan satu adalah lima.

Puak Harimau, puak Helang, puak Gajah, puak Serigala dan puak Seladang saling menghormati antara satu sama lain. Tidak pernah sekalipun terjadi perselisihan faham. Ini semua berkat bimbingan dan ajaran Sang Naga Emas. Sang Naga Emas bukan sahaja mengajarkan mereka ilmu tempur, malah diajarkan ilmu agama sebagai pendinding diri. Agar ada panduan hidup sebagai benteng dari melakukan perkara yang dilaknat Allah SWT.

Saban tahun pertandingan antara mereka sering diadakan di atas puncak Gunung Segumpal. Puak yang menjadi juara akan berdiri megah di sisi Sang Naga Emas sebagai orang kanannya. Oleh kerana itu, pertandingan ini amat penting buat mereka. Sang Naga Emas menjadi juri setiap kali ia diadakan. Namun begitu, pertandingan tempur ini masih tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Sang Naga Emas. Nyawa manusia bukanlah taruhan, hanya kemahiran yang amat dititikberatkan bersama perikemanusiaan dalam pertandingan. 

Sang Harimau Garang, ketua puak harimau. Kegagahan dan kegarangannya sentiasa menjadi sebutan kawan dan lawan. Sang Harimau Garang seorang manusia yang sentiasa mencari kelemahan diri, melihat lebih dalam jika ada kekurangan agar kesempurnaan terhasil dalam setiap teknik tempurnya. Sang Helang Melayang, seorang petarung handalan. Kehebatan dan keistimewaannya adalah dalam pertarungan di udara. Lincah dan garang menerkam. Lawan tidak boleh sesekali alpa dan leka, jika tidak pasti akan terkulai di balik serangan Cakar Helang.

Sang Gajah Gagah, guru dan ketua puak gajah bertubuh besar dan tinggi. Hentakan kakinya bisa menggegar tanah. Lawan tidak dapat berdiri dengan baik dan kukuh ketika menghadapi serangannya. Hentaman Gajah nama ilmunya, bisa membuatkan musuh terpelanting jauh. Sang Serigala Lincah, petarung yang licik dan pantas. Kepantasan adalah ibu ilmu kepada gerak tenaga dalam serta ilmu ringan badan. Jangan dipandang enteng kerana lawan pasti akan kehabisan tenaga jika cuba menandingi kepantasannya.

Dan ketua puak yang terakhir, sang guru yang diberi gelar Sang Seladang Gempita. Tubuh badannya yang besar dan tinggi hampir menyamai Sang Gajah Gegar. Walaupun begitu, pergerakannya pantas dan mengejutkan. Tandukan Seladang ilmu diberi, kepalanya keras bak besi waja. Kelima-lima guru ini adalah ketua kepada puak masing-masing. Pengikut yang juga anak murid mereka digelar dengan pangkal nama Anak-anak. Anak Harimau, Anak Helang, Anak Gajah, Anak Serigala dan Anak Seladang.

Pertandingan tinggal seminggu sahaja lagi. Pada masa ini kelima-lima puak sedang giat berlatih. Pertempuran adalah mengikut peraturan Sang Naga Emas. Seperti biasa, pusingan pertama adalah pertarungan tangan kosong melibatkan Anak-anak kelima-lima puak. Kemudian pertarungan senjata di antara mereka sebelum diakhiri dengan pertarungan antara kelima-lima guru. Pusingan sebelumnya sering dimenangi oleh Sang Harimau Garang. Oleh kerana itu juga dia dicemburui oleh keempat-empat adiknya. Namun begitu, keempat-empat mereka amat menghormati Sang Harimau Garang.

Ilmu pentadbiran kota juga telah dibekalkan oleh Sang Naga Emas. Walau mereka menetap di kaki gunung, namun penempatan mereka tersusun dan teratur. Sang Naga Emas telah membahagi-bahagikan setiap puak kepada lima penempatan atau kampung yang berbeza. Kehidupan mereka tidak tertakluk dan terikat hanya di Gunung Segumpal. Mereka sering keluar untuk menjual hasil hutan dan akar kayu kepada penduduk kampung yang berhampiran. Mereka ini mengenali Sang Naga Emas dan kelima-lima guru puak yang lain. Oleh kerana itu, ketua kampung sedia membenarkan mereka berdagang dan berniaga.

Kehidupan yang aman dan damai itu tak mungkin akan kekal selamanya. Ujian dan dugaan hidup itu perkara biasa, tinggal bagaimana akan dihadapi semuanya. Apakah dengan cara yang baik atau buruk?Usia Sang Naga Emas semakin meningkat. Dapat dirasakan bahawa umurnya tak akan panjang. Setiap kali melatih ilmu, dapat dirasakan tenaganya yang makin lemah, tidak seperti dahulu lagi. Sang Naga Emas tidak bimbang akan kelima-lima anak muridnya. Yang dibimbangkan adalah, siapa yang bakal menggantikannya di kemudian hari. Siapa yang akan mewarisi kitab Naga Emas miliknya itu?

Masih teringat Sang Naga Emas pada 30 tahun dahulu. Dia dua beradik berguru dengan seorang mahaguru. Mahaguru itu tidak pernah mendedahkan apakah namanya, lalu hanya dipanggil Tanpa Nama. Mahaguru Tanpa Nama melatih kedua-dua beradik itu dengan ilmunya tanpa pilih kasih atau berat sebelah. Usai latihan akan sentiasa diadakan pertarungan antara kedua-dua beradik itu bagi menilai kemajuan mereka.

Setiap kali pertarungan itu, Sang Naga Emas sentiasa memenanginya. Oleh kerana itu Mahaguru Tanpa Nama memberikan gelaran Naga Emas kepadanya dan Naga Hitam kepada adiknya. Naga Hitam seorang yang pendendam. Namun tak pernah diluahkan, hanya dipendam sahaja di dalam hati. Akibat memendam rasa, kemarahannya semakin meluap-luap sehingga telah terjadi satu tragedi yang menyayat hati.

Tragedi kematian Mahaguru Tanpa Nama yang telah diracun oleh Naga Hitam. Naga Emas menemui gurunya itu  sedang bertarung nyawa. Sebelum meninggalkan dunia yang fana ini, Mahaguru Tanpa Nama sempat berpesan kepada Naga Emas agar memaafkan Naga Hitam. Kehilangan Naga Hitam bersama kitab-kitab ilmu karangan Mahaguru Tanpa Nama yang telah dilarikan oleh Naga Hitam. Walaupun begitu, sebuah daripada kitab iaitu ilmu Naga Emas berjaya disembunyikan oleh Mahaguru Tanpa Nama. Selepas kejadian itu, Naga Emas tidak lagi bertemu adiknya. Sudah puas dicarinya namun tidak ditemui.

Apa yang ditemui semasa pencarian itu adalah serangan oleh lanun-lanun yang telah merompak, membunuh dan memusnahkan sebuah kampung. Ketika Sang Naga Emas tiba, lanun-lanun itu sedang bermaharajalela. Lalu terjadilah pertempuran antara mereka. Berkat bantuan dari Allah dan ilmu pertarungan yang tinggi, lanun-lanun itu berjaya ditumpaskan. Tiada apa lagi yang tinggal, hanya lima orang kanak-kanak lelaki ditemui sedang bersembunyi. Kelima-lima mereka dari keluarga yang berbeza. Kelima-lima mereka itu telah diselamatkan oleh Sang Naga Emas lalu dibawa meneroka Gunung Segumpal. Akhirnya mereka dijadikan anak murid Naga Emas.

Apakah yang akan terjadi di kemudian hari? Apakah pertandingan antara kelima-lima puak itu akan tetap diadakan?

 Bersambung...

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula naskhah ini perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.