Sunday, February 14, 2021

5 Puak (Episod 2 : Riwayat Dua Naga)

MAHAGURU Naga Emas, sebelumnya tiada gelaran apa-apa adalah seorang daripada pelajar Mahaguru Tanpa Nama. Bersama adiknya Naga Hitam, mereka berguru ilmu pendekar dan ilmu agama dengan Mahaguru Tanpa Nama. Setelah sekian lama berguru, Mahaguru Tanpa Nama telah mengahwinkan kedua-dua anakandanya dengan kedua-dua anak muridnya itu. Harapannya tinggi agar kedua-duanya dapat mengembangkan ilmunya selain berjuang mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan Tanah Melayu yang bertuah ini.

Puteri Kencana, gadis yang jelita dan menawan bak bulan purnama. Anak sulung Mahaguru Tanpa Nama itu telah dikahwinkan kepada Naga Emas. Seorang wanita yang lemah lembut dan memiliki keperibadian yang mulia. Puteri Kesuma, adinda Puteri Kencana pula dikahwinkan dengan Naga Hitam. Wajahnya juga cantik dan manis, tak kalah jika hendak dibandingkan dengan kekandanya itu. Seorang wanita yang punya semangat yang tinggi dan kelihatan kuat zahir dan batin.

Tidak diketahui mengapa adanya gelar nama Puteri pada pangkal nama kedua-dua anakanda Mahaguru Tanpa Nama itu. Ini kerana Mahaguru Tanpa Nama seorang lelaki yang terlalu berahsia. Sejarah silam hidupnya tidak dibenarkan dibuka atau ditanya. "Yang lalu biarkan berlalu," kata-kata yang sering diungkapkan oleh Mahaguru Tanpa Nama. Mungkin terlalu banyak peristiwa pahit dalam sejarah hidupnya. Naga Emas cuba bertanyakan akan hal ini kepada isterinya, Puteri Kencana. Namun begitu jawapan yang diterima amat menghampakan hati.

Puteri Kencana mengakui bahawa dia tidak mengetahui peristiwa sebenar yang berlaku kerana mereka berdua masih kecil dan tidak mengerti apa-apa pada ketika itu. Mahaguru Tanpa Nama ditemani dua orang pahlawan handalan yang setia sehingga ke saat ini, menjadi bayang-bayang yang jarang terlihat, namun akan muncul sekiranya Mahaguru Tanpa Nama diancam musuh. "Kanda, usah ditanya lagi akan perihal perkara ini. Benar, dinda tidak mengetahui kisah silam ayahanda kerana kami berdua ini telah dilarikan ayahanda sejak kecil lagi. Yang lebih sakit dan menyedihkan, kami tidak dapat mengingati siapakah bonda kami," begitulah jawapan Puteri Kencana memberikan pandangan yang sayu dan kesedihan. Kelu Naga Emas untuk melanjutkan pertanyaannya.

Jika benar Mahaguru Tanpa Nama mahu melupakan peristiwa silam, mengapa tidak ditukarkan sahaja nama kedua-dua puterinya itu? Bukankah ini akan membawa kesulitan dan bahaya di kemudian hari? Apakah mungkin Mahaguru Tanpa Nama seorang kerabat diraja bergelar? Perkara ini sering bermain di fikiran Naga Emas. Malah pernah dibincangkan bersama adiknya Naga Hitam. Akan tetapi, Naga Hitam tidak mahu masuk campur akan perkara itu, malah dia menasihatkan abangnya agar melupakan sahaja hajat untuk bertanyakan perkara itu kepada mahaguru mereka.

Sebagai kayu pengukur dan tanda aras kemajuan ilmu mereka, pertandingan antara kedua beradik itu sering diadakan. Mahaguru Tanpa Nama mahu kedua-duanya bersaing secara adil. Dari situ dia dapat melihat dan menilai keperibadian kedua-dua anak muridnya ini yang sangat berbeza dari pelbagai segi. Naga Emas seorang pahlawan yang pintar, pantas dan lebih bertimbang rasa berbanding Naga Hitam yang lebih gagah dan ganas. Kedua-dua perkara ini menjadi perhatian Mahaguru Tanpa Nama akan hakikat sebenar siapa antara mereka berdua yang layak menjadi pewarisnya. Bakal pewaris segala ilmu dan bakal menjadi mahaguru seterusnya mesti memenuhi kriteria yang ditetapkan olehnya yang hanya dirinya sendiri tahu.

"Aku sudah tua. Semakin lama semakin dekat dengan kematian. Aku pohon agar keputusan yang akan aku sampaikan ini dapat diterima dengan hati yang terbuka," Mahaguru Tanpa Nama memulakan bicaranya sambil memandang kedua-dua anak muridnya itu penuh pengharapan. "Marilah datang lebih dekat kepadaku. Duduk bersila di sini, dan aku sendiri akan meletakkan tapak tanganku di kepala yang akan terpilih. Buat yang tidak terpilih kelak, usahlah kecewa. Berilah kerjasama sebaiknya kepada yang terpilih itu".

Kedua-dua adik beradik itu kemudiannya melangkah ke hadapan dua tapak lagi sebelum duduk bersila. Selepas itu, Mahaguru Tanpa Nama bangun dari duduk, berpusing-pusing beberapa kali di antara mereka berdua. Tiba-tiba Mahaguru Tanpa Nama berhenti di belakang mereka. Tangannya segera diangkat, lalu diletakkan di atas ubun-ubun salah seorang dari dua beradik itu. Kehangatan terasa di kepala anak murid yang terpilih itu, lalu dia pun bangun. Siapakah 'dia' yang terpilih itu?

Anak murid yang terpilih menjadi pewaris segala ilmu Mahaguru Tanpa Nama adalah Naga Emas. Terpancar sedikit kekecewaan di wajah Naga Hitam, namun dia cuba mengawal emosinya. "Mengapa bukan aku yang terpilih?" Selepas pemilihan itu, Naga Emas telah diberi tunjuk ajar akan segala ilmu rahsia milik Mahaguru Tanpa Nama. Oleh kerana itu juga, Naga Hitam semakin cemburu dengan abangnya sendiri. Di hatinya masih tersimpan rasa tidak puas hati dan hasad dengki yang meluap-luap.

"Sudah rezeki kanda Naga Emas, wahai kanda pujaan hati beta. Usahlah bermuram durja, berilah sokongan kepadanya," bisik Puteri Kesuma kepada suami tercinta. Dia mahukan yang terbaik buat suaminya itu, namun keputusan ayahandanya adalah muktamad. Tiada siapa dapat mengubahnya lagi. "Usahlah dinda bimbang, kanda tak apa-apa. Kanda menghormati keputusan ayahanda itu," balas Naga Hitam lalu memeluk isterinya erat. Sambil dia memandang ke arah anakandanya yang masih kecil,  dielus-elus dan diusap-usap wajah anakandanya yang diberi nama Naga Sakti itu.

"Apakah begitu mudah kau lepaskan semuanya kepada abang kau itu? Kau lebih gagah darinya dan lebih layak menjadi pewaris". Tiba-tiba kedengaran satu suara mengejutkan Naga Hitam yang sedang tidur lena. "Siapa kau? Apakah maksud kau berkata begitu?" Naga Hitam seorang pahlawan yang berani dan tidak takut menghadapi sebarang ancaman. Dia bersiap sedia menghadapi musuh yang tidak kelihatan itu. "Aku bukan musuh kau. Aku datang mahu bantu kau rebut peluang menjadi pewaris ilmu Tanpa Nama itu," balas suara itu lagi lebih kuat dan bergema di seluruh bilik. Yang menghairankan hanya Naga Hitam yang dapat mendengar suara itu. Isteri dan anaknya masih tidur lena.

Naga Hitam masih ragu-ragu. Apakah dia sedang berbicara dengan manusia atau makhluk halus? Naga Hitam cuba menenangkan dirinya, menarik nafas dan memejamkan matanya rapat-rapat. Dia cuba memasuki alam kebatinan bagi mencari siapa yang berinteraksi dengannya. Naga Hitam merasakan dirinya semakin lama semakin tenggelam dalam kegelapan. Tubuhnya ditarik ke satu arah, lalu ditentang dengan segala kekuatan batin. Akan tetapi, Naga Hitam telah terpelanting ke belakang.

Dia berjaya mendarat di atas tanah yang hitam. Sebaik kekuda kakinya berjaya diperkukuhkan, Naga Hitam menunggu sebarang serangan yang bakal dihadapinya. Dia merasakan satu angin yang amat kuat datang menyerang, cuba menolak dan menjatuhkannya. Namun begitu, Naga Hitam kekal bertahan. "Ha! Ha! Ha!" Kau memang seorang lelaki yang gagah perkasa. Maka tak salah aku memilih kau bagi menjadi pewaris ilmu aku ini," suara yang sama menjelma kembali, menerbitkan tanda tanya kepada Naga Hitam.

"Siapa kau? Mengapa pula aku mesti menjadi pewaris ilmu hitam kau?" Tempik Naga Hitam lagi. Nampaknya Naga Hitam sudah dapat meneka makhluk yang cuba merapatinya. Oleh kerana itu, makhluk itu tidak punya pilihan lain lagi selain menjelma terus di hadapan Naga Hitam. Makhluk yang muncul mengejutkan Naga Hitam. Kerana ia menyerupai dirinya, dengan aura naga hitam menyelubungi seluruh tubuhnya. Matanya yang merah amat menyeramkan Naga Hitam. Dia tahu, makhluk yang ada di hadapannya ini bukan manusia, tapi jin yang sentiasa menyesatkan manusia.

"Aku adalah kau, kau adalah aku. Aku ini adalah diri kau pada masa hadapan. Terimalah aku, maka kau akan mendapat kekuatan dan kuasa yang luarbiasa dan tiada tandingannya," makhluk itu terus cuba menghasut Naga Hitam. Akan tetapi, Naga Hitam bukan mudah dipengaruhi walau hatinya mula terusik dengan ganjaran dan peluang di depan mata. "Aku tahu kau adalah jin yang cuba memesongkan dan menyesatkan hatiku ini dengan ganjaran sebagai pewaris ilmu hitam kau itu. Tak mungkin aku mudah terpedaya dengan helah kau. Mari bertarung denganku jika kau benar-benar hebat," cabar Naga Hitam.

Naga Hitam terus menyerang jin yang menyerupainya itu, namun seperti angin ia menghilang. Kepantasan makhluk itu luarbiasa, tiba-tiba ia menghembuskan sesuatu yang amat meloyakan dari mulutnya. Keluar asap yang berbagai warna menyerang Naga Hitam. Naga Hitam terpaksa memusingkan tangannya bagi menghalang angin berbisa itu dari merapatinya. Namun begitu, putaran tangannya membuatkan asap berbisa itu semakin merebak. Jin itu mula ketawa melihat perangkapnya telah mula mengena.

Walau ke mana jua Naga Hitam mengelak, asap itu terus mengekori. Lalu dikeluarkan senjatanya iaitu tombak pedang hitam. Naga Hitam perlu menghapuskan jin itu dengan segera, jika tidak dia akan tewas. Naga Hitam terus menyerang jin itu. Tepat jangkaannya, asap berbisa itu terus mengekorinya ke mana sahaja dia bergerak. Dengan kekuatan bak seekor naga ganas, Naga Hitam menyerang balas. Namun jin itu kelihatan bersahaja menghadapi serangan Naga Hitam itu. Malah asap berbisa yang disangka Naga Hitam akan turut sama menyerang jin itu, disedut kembali dan dihembuskan semula.

"Ha! Ha! Ha! Ini ruang iblis kepunyaan aku. Sekali masuk, kau tidak mampu keluar. Dalam ruang ini, aku yang mengawal segala-galanya," jeritan suara jin itu begitu kuat sehingga menyakitkan telinga Naga Hitam. Sementara itu, asap berbisa kembali menyerang Naga Hitam. Ia berjaya menembusi perisai pelindung tenaga batin Naga Hitam. Kesakitan mula terasa apabila ia menyerang sendi-sendi dan saraf Naga Hitam. Naga Hitam meningkatkan semula tenaga dalamnya. Cahaya kekuatannya mula muncul dan semakin kuat menyebabkan jin itu mula gementar. Melihatkan akan perkara itu, jin itu terbang dan meluncur ke arah Naga Hitam.

Ia terus menyerang Naga Hitam dengan telapak tangan dan kukunya yang tajam. Merasakan ancaman dan serangan semakin menghampirinya, Naga Hitam menahan serangan itu dengan telapak tangannya. Terasa kesejukan mula menusuk ke dalam tulangnya. Jin itu cuba membekukan tulang Naga Hitam, namun berjaya dihalang oleh kekuatan perisai tenaga batin Naga Hitam. Serangan pertama tidak berjaya, lalu jin itu melayang seperti angin dan menyerang tulang belakang Naga Hitam. Kesakitan kembali terasa dan dia cuba menentang. Akan tetapi, jin itu telah mengubah corak serangan dan ia terbang melayang ke udara dan menyerang ubun-ubun Naga Hitam.

Sebenarnya ia sudah nampak kelemahan Naga Hitam, lalu dilancarkan serangan palsu ke bahagian tulang belakang.  Jin itu mengubah dirinya menjadi asap hitam lalu menembusi ubun-ubun, telinga, mata dan mulut Naga Hitam. Nampaknya ia cuba menguasai roh dan jasad Naga Hitam. Dengan cara itu, jin itu akan mula membina istana di bahagian hati Naga Hitam yang sudah mula rosak akibat perasaan cemburu dan hasad dengki.  Apakah yang akan terjadi kepada Naga Hitam? Apakah dia akan dikuasai oleh jin durjana itu? Atau mungkin dia dapat mengusir jin itu dari hatinya?

Bersambung...

Karya : MS MALAWI

- Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

- Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia