Sunday, June 06, 2021

5 Puak (Episod 18 : Kejahatan Puak Bisa)

DALAM tempoh rehat itu, Tok Harimau berkesempatan melihat keadaan sekeliling di puncak Gunung Segumpal. Satu keanehan mulai terasa pada deria penglihatannya. Ia  dirasakan cukup luarbiasa kerana seolah-olah dapat menembusi sesuatu termasuk ke dalam diri seseorang.

"Apa nak dihairankan dengan kurniaan dari Allah itu, anak muridku," tersentak Tok Harimau dengan sapaan dari Mahaguru Naga Emas. Dari tadi dia hanya tersenyum sahaja melihat gelagat Tok Harimau yang sudah banyak kali menggosok matanya.

"Marilah tok, kita sambung semula kerja kita," Tok Harimau bangkit dengan penuh semangat. Dia segera menghlurkan tangannya kepada sang mahaguru.

"Sabarlah dahulu. Berikan tok masa untuk berehat sekejap. Berikan tumpuan penuh kepada anugerah yang baharu Allah kurniakan kepadamu itu," Mahaguru Naga Emas mahu Tok Harimau meneroka deria penglihatan ajaib itu sepenuhnya sementara dia berehat.

Tok Harimau mula 'meneropong' ke dalam salah seorang daripada anak muridnya iaitu petarung kedua Anak Harimau yang dilihatnya sebelum ini telah bertarung dengan penuh semangat dan luarbiasa aksinya. Dia begitu mengagumi semangat anak muda itu, mengingatkan dirinya dahulu sewaktu mula-mula berguru dengan Mahaguru Naga Emas. Sungguh luarbiasa, penglihatan ajaib itu mampu menembusi sehingga ke dalam jasad dan hati manusia. Dia dapat melihat organ-organ dalaman Anak Harimau itu. Dari seorang dia segera beralih kepada seorang lagi anak muridnya. Kini dia dapat melihat potensi seseorang itu dengan mata 'barunya'.  Agak lama juga dia melihat dengan penuh takjub, penuh kesyukuran dan penuh kesedaran hati bahawa ini semua bukan miliknya, tapi milik Allah, Tuhan Yang Maha Perkasa dan Maha Esa.

"Mungkinkah begitu caranya tok memilih bakal pewaris?" bisik hati Tok Harimau. Apabila difikirkan, Tok Harimau cepat-cepat beristighfar, dia tidak mahu berfikiran sebegitu lagi kerana semuanya adalah rahsia Mahaguru Naga Emas dan hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

"Usah banyak berfikir lagi. Mari kita sambung semula kerja kita," kata Mahaguru Naga Emas lalu meletakkan cawan besinya ke bawah. Tok Harimau menganggukkan kepala lalu mengikut Mahaguru Naga Emas sama-sama bangun dan berjalan semula ke dalam Gua Segumpal.

Puak Bisa yang diketuai Jin Naga Hitam juga sedang mempersiapkan segala-galanya. Semasa zaman pimpinan Tok Bisa, semuanya telah habis musnah dek kerana krisis dalaman dan perpecahan antara mereka. Oleh kerana itu juga, Puak Bisa disangkakan telah lenyap dari mukabumi. Kemunculan Jin Naga Hitam telah menghidupkan semula sisa-sisa perjuangan anggota asal Puak Bisa yang telah melarikan diri. Ketua-ketua di bawah Tok Bisa dahulu telah terbunuh oleh serangan Maharaja Segumpal Sakti dan gabungan kekuatan Mahaguru Tanpa Nama dan beberapa orang lagi pahlawan lain.

Pada ketika itu, Jin Hitam yang menumpang jasad Tok Bisa telah menemui sasaran baharu iaitu Naga Hitam. Naga Hitam tak mudah dipengaruhi, namun kekuatan Jin Hitam sedikit sebanyak melemahkan roh Naga Hitam. Dengan itu Jin Hitam telah berpindah kepada jasad Naga Hitam. Dengan jasad ini juga Jin Naga Hitam berhasil membunuh seterunya iaitu Mahaguru Tanpa Nama. Namun begitu, Jin Naga Hitam juga terpaksa membayar harga yang mahal dengan kemenangannya itu. Bukan sedikit dan kecil kecederaannya sehingga dia terpaksa mengasingkan diri dari dunia luar. Dia telah berkelana dan mula mencari perintis yang akan menjadi pengikut terbaharunya.

Tidak sukar mencari manusia yang punya sifat buruk dan durjana di dalam diri. Sifat-sifat itu sentiasa ada di dalam diri semua manusia, namun hanya yang tidak dapat mengawal hawa nafsu dan kejahatan sahaja yang akan melakukan kejahatan dan kerosakkan kepada diri dan orang lain. Seperti mana Tok Bisa yang menyembah dan memuja Jin Hitam hingga akhirnya jasad dan jiwanya ditakluk sepenuhnya. Roh Tok Bisa lenyap apabila Jin Hitam berjaya menguasai jasadnya itu. Tidak sukar kerana Tok Bisa benar-benar mahukan dirinya menjadi yang terkuat dan tidak terkalah. Tok Bisa sendiri yang mahu menyerahkan jasad dan jiwanya sebagai pertukaran untuk menakluk dunia.

Ternyata semua yang dilakukan itu hanya sia-sia. Dia telah diperdaya oleh Jin Hitam. Akan tetapi, pertarungannya dengan Mahaguru Tanpa Nama benar-benar telah menjejaskan jasad Tok Bisa itu sehingga dia tidak mampu berdiri dengan sendiri. Oleh kerana itu, Jin Hitam mesti mencari jasad yang baharu. Bukan satu atau dua, malah sudah banyak kali jasad-jasad manusia durjana yang ditakluki, namun semuanya tidak mampu bertahan lama. Lebih-lebih lagi kebanyakkan daripada mereka tidak mempunyai ilmu tinggi seperti Tok Bisa. Segala ilmu Tok Bisa itu akhirnya dimiliki Jin Hitam setelah roh Tok Bisa hancur dan musnah sepenuhnya.

Setelah menakluk Naga Hitam, maka ilmu Naga Hitam akan menjadi miliknya. Namun begitu, Naga Hitam agak sukar dikawal. Ada kalanya roh Naga Hitam menentang kemahuan Jin Hitam, terutama sekali pada  pertembungan dan pertarungannya dengan Mahaguru Tanpa Nama.  Dek kerana ilmu racun Tok Bisa, baharulah Jin Hitam berjaya melemahkan Mahaguru Tanpa Nama. Walaupun berjaya membunuh Mahaguru Tanpa Nama, sekali lagi Jin Hitam yang kini dikenali sebagai Jin Naga Hitam mengalami kecederaan yang agak parah dan terpaksa melarikan diri. Kecederaan yang dialami itu menyebabkan roh Naga Hitam mengambil kesempatan untuk menyerang. Akan tetapi, bukan mudah menewaskan Jin Hitam yang kini memiliki segala ilmu milik Naga Hitam. Tiada satupun yang mampu disembunyikan oleh Naga Hitam yang tidak dapat dicapai Jin Hitam itu. Semuanya menjadi kepunyaan Jin Hitam.

Naga Hitam tewas lagi di tangan Jin Hitam. Dia sudah tidak punya akal dan upaya bagi melawan Jin Hitam. Namun dia tidak akan mudah mengalah dan putus asa begitu sahaja. Dia berharap satu hari nanti akan ada sinar baru untuk dirinya atau bantuan dari sesiapa yang dapat menewaskan Jin Hitam seterusnya membebaskan dirinya dari belenggu kejahatan. Agak lama Jin Naga Hitam berkelana bagi menyembuhkan luka dalamannya. Di setiap tempat dia berada, akan ada nyawa-nyawa manusia yang dikorbankan bagi merawat lukanya. Bukan tiada yang cuba menentangnya, namun mereka itu ibarat durian dengan mentimun, menggolek rosak dan digolek binasa. Jin Naga Hitam mesti membalas dendamnya. Seluruh keturunan yang berkait dengan Mahaguru Tanpa Nama mesti dihapuskan. Namun, dia tidak akan bergerak sendirian. Puak Bisa mesti ditubuhkan semula.

Dalam perjalanan itu, dia bertemu dengan penjahat-penjahat yang sedang merompak, menyamun dan membakar sebuah kampung. Bukan itu sahaja perbuatan durjana mereka, kaum wanita tak kira tua atau muda akan menjadi mangsa hawa nafsu serakah mereka sebelum dibunuh. Jin Naga Hitam melihat segala perbuatan mereka itu dengan keseronokkan yang tidak terhingga. Dia tahu, di hadapannya kini ada di antara mereka yang akan dijadikan perintis dan bakal menjadi pengikutnya. Kumpulan durjana tersebut terkejut dengan kehadiran Jin Naga Hitam, lalu terjadilah pertarungan. Jin Naga Hitam bertembung dengan kumpulan perompak seramai 100 orang. Ketua perompak itu menyangkakan Jin Naga Hitam adalah salah seorang penduduk kampung tersebut, lalu dilancarkan serangan ke arahnya. Dan ternyata mereka semua itu bukan lawan Jin Naga Hitam.

Jin Naga Hitam tidak membunuh kesemua perompak-perompak tersebut. Hampir separuh daripada mereka dibunuh dengan kejam. Hanya yang kuat dibiarkan hidup, manakala yang lemah tidak akan sesekali dibawanya menyertai Puak Bisa. Akhirnya ketua perompak itu tunduk menyerah bersama-sama pengikutnya. Dia tahu, mereka tidak akan mampu melawan. Daripada mati, lebih baik hidup. Jin Naga Hitam menamakan ketua penyamun itu dengan gelaran Lelabah Hitam. Diajarkan segala ilmu bisa dan ilmu hitamnya. Demi keselamatannya, segala ilmu tersebut tidak diajar sepenuhnya. Pada ketika itu, Puak Bisa mula berkembang. Dengan kumpulan Lelabah Hitam itu, mereka mengembara sekali lagi. Di setiap tempat yang dikunjungi, pasti akan berlaku perkara jenayah yang sangat mengerikan. Dari satu kumpulan tersebut, mereka berkembang dengan tambahan seorang lagi ketua baharu yang digelar Ular Bercabang Hitam.

Ular Bercabang Hitam telah bertarung dengan Lelabah Hitam bersama pengikutnya yang lebih ramai. Namun begitu, mereka akhirnya tewas dengan separuh daripada mereka terselamat daripada dibunuh. Syarat dan perjanjian tetap sama. Lelaki yang digelar Ular Bercabang Hitam itu akhirnya menjadi anak murid kedua. Ular Bercabang Hitam diajarkan ilmu bisa dan ilmu hitam. Dari satu tempat ke satu tempat yang lain, mereka tidak pernah tertinggal dalam melakukan kejahatan. Sehingga akhirnya Jin Naga Hitam menambah lagi ketua-ketua baharu bersama-sama pengikut mereka. Selepas menghadapi puluhan pertarungan hidup dan mati, akhirnya lengkap 5 buah kumpulan kecil bersama ketua-ketua mereka yang terdiri daripada tiga orang lagi ketua iaitu Kala Hitam, Lipan Hitam dan Kelawar Hitam. Bersama-sama Jin Naga Hitam, mereka telah banyak melakukan kejahatan di mana sahaja mereka sampai atau kunjungi.

Mereka yang berlima ini dan para pengikut masing-masing telah menjadi ancaman di seluruh negeri di Tanah Melayu. Oleh kerana itu, setiap negeri di Tanah Melayu terpaksa memperkukuhkan dan memperkuatkan pertahanan mereka bagi menghadapi ancaman Puak Bisa. Jin Naga Hitam telah menanam ulat bisa kepada semua pengikutnya termasuk ketua mereka bagi mendapatkan kesetiaan mereka. Jika mereka mengkhianatinya, pasti akan maut sekiranya tidak mendapat penawar dalam masa yang terdekat. Ada di antara mereka ini yang telah melarikan diri, namun didapati telah menjadi 'mayat hidup' setelah dimakan oleh ulat-ulat bisa tersebut. Sekalipun telah mati, Jin Naga Hitam tak akan melepaskan mereka sebagai hukuman bagi menakutkan mereka yang cuba melarikan diri.

Mayat-mayat hidup ini telah dibentuk semula menjadi askar tidak terkalah. Mereka sudah tiada sebenarnya di dunia ini, namun Jin Naga Hitam telah memanggil jin-jin lain masuk ke dalam tubuh mereka lalu digelar Askar Bisa. Askar Bisa ini tidak punya akal fikiran, tiada rasa sakit dan juga sangat menyeramkan di saat mereka melakukan serangan hendap. Senjata mereka adalah racun berbisa yang sukar dikalahkan dengan senjata biasa.

Bersambung…

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.