Thursday, July 29, 2021

5 Puak (Episod 25 : Pertarungan Terakhir)

MAHAGURU Harimau Emas tidak berlengah lagi terus menyerbu ke dalam kabus hitam itu. Dia mesti menyelamatkan gurunya itu walau tidak mengikut perancangan asal guru mereka. Ketika dia masuk ke dalam kabus itu, mereka bertiga seolah-olah berada di dunia yang lain. Keadaan di sekeliling terlihat berbeza di luar sana. Kilat sambar menyambar di dalam kabus hitam itu menandakan ada pertarungan antara ilmu kebatinan dan ilmu hitam yang sedang bertarung. Mahaguru Harimau Emas terus mara dan ketika itu dia mendapati dua ekor naga sedang bertempur. Satu daripadanya berwarna hitam dan satu lagi berwarna emas. Kedua-dua naga itu saling menggigit, dan keduanya mengalami kecederaan. Semasa mendekati mereka, Mahaguru Harimau Emas mendapati berlaku perubahan pada jasadnya.

Perlahan-lahan ia bertukar menjadi seekor harimau emas. Jin Naga Hitam telah menguasai medan pertarungan itu. Bukan kerana Pendita Naga Emas tidak handal dan tidak gagah, namun ini semua sudah kehendak Tuhan Yang Maha Esa. Kekuatannya semakin berkurangan dek kerana usia. Jin Naga Hitam terkejut melihat kemunculan seekor harimau emas. Harimau itu menderam dan membuka mulutnya, menunjukkan giginya yang sangat tajam. Sudahlah dia terpaksa menghadapi serangan dari dalam, kini musuhnya bertambah lagi seorang. "Bagaimana dia mampu menembusi kabus hitam ini? Apakah aku telah memandang rendah kepadanya?"  Harimau emas itu berpusing dan berjalan beberapa kali, cuba mencari sudut serangan yang lebih baik. Jin Naga Hitam telah terganggu akan tumpuannya menyebabkan serangannya terhadap Pendita Naga Emas mulai kendur. Melihat akan keadaan itu, Pendita Naga Emas telah melepaskan satu tendangan padu yang tepat ke kepala Jin Naga Hitam.

Akhirnya, naga emas itu berjaya melepaskan diri. Peluang itu tak mungkin akan dilepaskan, lalu Mahaguru Harimau Emas terus menyerang dengan kekuatan yang telah dipertingkatkan. Jin Naga Hitam mulai gerun dengan serangan itu lalu cuba melepaskan dirinya dengan memperalatkan kabus hitam itu sekali lagi. Tiba-tiba, Mahaguru Harimau Emas melompat dan mengeluarkan sesuatu dari serangan jari jemarinya. Satu cahaya yang amat menyilaukan mata cuba memerangkap Jin Naga Hitam. Mahaguru Harimau Emas telah menebarkan Jaring Emas Penangkap Naga ke atas Jin Naga Hitam. Tiba-tiba, satu sosok tubuh meluru masuk ke dalam Jaring Emas Penangkap Naga itu. Orang itu tidak lain dan tidak bukan adalah Pendita Naga Emas. Segala perancangan akan musnah jika dia terus menunggu. Oleh kerana telah mendapat isyarat dari Mahaguru Harimau Emas, dia tidak akan berlengah lagi.

Jin Naga Hitam cuba menentang, namun jantungnya mulai berasa kesakitan yang teramat sangat. Terangsang oleh aura Mahaguru Harimau Emas dan Pendita Naga Emas, roh Naga Hitam telah berjaya membebaskan dirinya dan mula menyerang roh Tok Bisa dan Jin Hitam. Muncul sebilah pedang pada tangan Naga Hitam. Pedang hitam yang tiba-tiba bercahaya itu semakin mengembang cahaya nya, menyilaukan pandangan mata roh Tok Bisa dan Jin Hitam. Pada saat itu juga, tiba-tiba muncul Pendita Naga Emas di dalam alam roh itu. Jaring Emas Penangkap Naga telah berjaya menangkap Jin Naga Hitam, oleh kerana itu juga Pendita Naga Emas telah berjaya masuk dan meloloskan diri. Satu serangan berangkai tangan dan kaki tepat ke dada Jin Naga Hitam, dek kerana serangan itu juga lah roh Naga Hitam telah terbebas.

Jari telunjuk dan jari hantu pada tangan kanan Pendita Naga Emas diluruskan dan kemudian ditusuk tepat serangan itu ke arah jantung Jin Naga Hitam. Ketika itu, dengan doa yang dibaca, roh Pendita Naga Emas berjaya memasuki jasad Naga Hitam. Sementara Mahaguru Harimau Emas masih tetap utuh dengan Jaring Emas Penangkap Naga. Pesanan gurunya tidak akan sesekali dilupakan. Perancangan manusia sememangnya tidak mampu melawan perancangan Allah Yang Maha Berkuasa. Oleh kerana bantuan Mahaguru Harimau Emas tiba lebih awal, roh Naga Emas belum dapat pulih sepenuhnya. Namun itu tidak akan sesekali mematahkan semangatnya bagi membebaskan Naga Hitam dari cengkaman jin durjana. Roh Naga Emas mula mengembara, mencari istana iblis yang terletak di hulu hati Naga Hitam. Dari jauh, dia nampak asap hitam berkumpul di satu tempat. Pendita Naga Emas segera mempertingkatkan tenaga dalamnya, tanpa berlengah lagi terus menuju ke tempat yang dituju.

Ketibaan Pendita Naga Emas mengejutkan Jin Hitam. Pada masa yang sama, kekuatan Naga Hitam semakin pulih dengan kemunculan kekandanya itu. Pendita Naga Emas terus meluru dan menyerang Tok Bisa dan Jin Hitam. Dua bilah pedang emas menyerang Jin Hitam dan Tok Bisa. Menyerang dan kemudian terpaksa bertahan dari semburan racun Tok Bisa. Walaupun pertarungan itu berat sebelah, Jin Hitam dan Tok Bisa belum mampu menewaskan Pendita Naga Emas dengan mudah. Berlaku pertembungan yang sangat sengit antara ketiga-tiga nya. Mereka bertiga punya ilmu yang berbeza, namun pada hakikatnya Tok Bisa adalah di dalam kawalan Jin Hitam.

Jin Hitam tidak dapat menahan silauan yang menyakitkan matanya. Dia mesti menjadikan medan tempur itu sebagai medan tempurnya sendiri. Oleh itu, dia berundur ke belakang dan mula membaca mantera. Kabus hitam mula menyelubungi kawasan istana Jin Hitam  itu. Akhirnya dia berjaya mengubah tempat pertarungan. Tiba-tiba, beratus-ratus lembing dan tombak menyerang Pendita Naga Emas. Pendita Naga Emas memusingkan sebilah pedang emasnya sehingga membentuk perisai dan medan magnet yang membuatkan lembing dan tombak itu melekat pada perisainya itu. Sebaik sahaja ia menyentuh perisai emas tersebut, kesemuanya hancur luruh ke tanah.

"Ilmu apa yang kau pakai ini, hah?" Jin Hitam mula ketakutan.

"Ini adalah ilmu dari Allah. Ilmu yang membezakan antara yang haq dan yang bathil," balas Pendita Naga Emas.

Sebaik sahaja Pendita Naga Emas melayan kata-kata Jin Hitam itu, tiba-tiba sahaja Jin Hitam itu ghaib. Tok Bisa segera meluru ke hadapan selepas melihat tumpuan Pendita Naga Emas yang mula terjejas. Tok Bisa dapat menepis dan kemudian mencakar tangan Pendita Naga Emas selepas mengelak satu serangan hebat darinya. Tanpa disedari, satu bayangan hitam sudah berada di belakang Pendita Naga Emas. Dia tidak dapat bergerak kerana seluruh tubuhnya seperti telah dipaku. Jin Hitam amat bergembira dengan keadaan yang kembali dikuasainya itu, lalu cuba menikam dengan pedang hitamnya. Serangan dari belakang memang tidak bermoral, namun Jin Hitam tidak mempedulikan semua itu. Akan tetapi, baru sahaja pedang yang diperbuat daripada tangannya sedikit menusuk Pendita Naga Emas, muncul seseorang yang tidak dijangkakan. Orang yang muncul menyelamatkan Pendita Naga Emas itu adalah Naga Hitam.

Bagaimana Naga Hitam boleh muncul semula? Semuanya adalah kerana kemunculan Naga Emas. Kekuatannya telah tersebar sehingga terbuka kunci yang membelenggu Naga Hitam selama ini. Dan, kekuatannya mulai pulih selepas dia mengatur semula pernafasan dan tenaga dalamnya. Tendangan padu Naga Hitam singgah tepat ke muka Jin Hitam sehingga menyebabkan musuhnya terpelanting. Pedang yang menusuk ke dalam perisai Naga Emas sebenarnya telah mengenai kulit Naga Emas, namun momentum tendangan Naga Hitam itu hanya mengguris sedikit kulit Naga Emas.  Belakang Naga Emas mengalami sedikit kecederaan. Belum sempat dia berundur, satu serangan dari Tok Bisa datang menyusul. Tangan pada roh Tok Bisa juga boleh bertukar menjadi sebilah pedang dan sebilah panah beracun, mungkin jua kerana pemberian ilmu daripada Jin Hitam.

Naga Hitam terus berentap dengan Jin Hitam. Tendangan-tendangan padu menghujani Jin Hitam ke beberapa bahagian tubuhnya. Naga Hitam seperti seekor harimau yang mengamuk selepas terlepas dari ikatan rantainya. Jin Hitam bukan mudah ditewaskan. Tendangan Naga Hitam dibalas juga dengan tendangan. Juga pedang yang terbentuk dari tangannya mulai menyerang balas menyebabkan Naga Hitam terpaksa berundur. Naga Hitam tidak bersenjata, oleh kerana itu serangan balas musuhnya terpaksa dielak.

"Ini dunia roh, maka aku juga boleh mendapatkan senjata dan perisai besi ku sendiri," bisik hati Naga Hitam.

Satu cahaya tiba-tiba muncul di tangan dan badan Naga Hitam. Sebilah pedang berhulu naga tiba-tiba muncul dalam genggamannya bersama perisai berbentuk naga pada badannya. Dengan senjata dan perisai itu, Naga Hitam kembali bersemangat. Dia kembali melompat ke hadapan Jin Hitam dan terus menyerang dengan serangan yang amat menggerunkan. Sementara itu, Tok Bisa mulai kelam kabut menghadapi serangan Pendita Naga Emas. Sudah banyak kecederaan yang dialaminya, namun dia tetap tidak mahu berundur. Pendita Naga Emas memesatkan serangannya agar dia dapat membantu Naga Hitam dalam pertarungan dengan Jin Hitam. Kekuatan yang dimiliki Naga Hitam tidak mungkin akan bertahan lebih lama oleh kerana ilmunya tidak setanding Jin Hitam.

Tok Bisa meraung kesakitan apabila pedang Naga Emas menembusi kakinya. Dia cuba menyerang balas, namun kekuatannya semakin berkurangan. Pada saat itu, satu lagi pedang emas menetak di bahagian kepalanya. Jeritan Tok Bisa menyebabkan Jin Hitam sedikit terganggu, namun dia tidak dapat membantu kerana sedang berhadapan dengan Naga Hitam. Pendita Naga Emas sekali lagi menyerang dengan pedangnya. Satu libasan yang hinggap ke bahagian tengkuk Tok Bisa, memisahkan kepala dan badannya. Apakah roh Tok Bisa akan hancur? Jawapannya, belum lagi.Tangan dan kaki Tok Bisa masih bergerak-gerak. Pendita Naga Emas teringatkan sesuatu iaitu ilmu hitam ini mesti dihapuskan dengan segera dengan tusukan ke bahagian istana iblis yang letaknya di hulu hati. Pendita Naga Emas menghentak bahagian dada Tok Bisa dengan telapak tangannya yang bercahaya. Kekuatannya menembusi bahagian dada Tok Bisa sehingga menghancurkan jantungnya.

Pendita Naga Emas segera menetakkan pedang emasnya ke bahagian hulu hati Tok Bisa yang terpisah dengan jantungnya. Akhirnya, Tok Bisa telah berjaya ditewaskan. Rohnya yang hancur kemudian menjulang menjadi asap hitam, menuju kembali kepada tuannya iaitu Jin Hitam dan menyerang Naga Hitam. Naga Hitam terasa lemas dan terganggu dengan serangan asap hitam itu. Peluang yang amat ditunggu oleh Jin Hitam digunakan sepenuhnya. Jin Hitam segera mengunci roh Naga Hitam dan asap hitam itu kemudiannya disedut masuk melalui mulutnya. Naga Hitam cuba membebaskan diri, namun kekuatan Jin Hitam mengatasi kekuatannya. Pendita Naga Emas meluru ke hadapan, namun begitu dia tidak dapat menyerang Jin Hitam yang telah mengunci roh Naga Hitam. Perbezaan kali ini adalah Naga Hitam tidak lagi dapat dikurung seperti dahulu.

Pada saat yang getir itu, di luar alam roh, kabus hitam mulai hilang. Terlihat di hadapan pahlawan-pahlawan itu adalah kelibat Mahaguru Harimau Emas yang telah memerangkap jasad Pendita Naga Emas dan Naga Hitam di dalam Jaring Emas Penangkap Naga. Namun begitu, jaring itu tidak dapat dilihat oleh  pahlawan-pahlawan lain yang tidak memiliki ilmu Telus Mata. Maharaja Segumpal Satria meluru ke hadapan bagi membantu, namun serangannya menyebabkan dia terpelanting jauh sehingga mengalami sedikit kecederaan. Anak-anak murid Pendita Naga Emas yang lain juga meluru ke hadapan dengan niat untuk membantu, namun kerlingan mata Mahaguru Harimau Emas membatalkan hasrat mereka. Oleh kerana itu, anak-anak murid Pendita Naga Emas menganjurkan agar mereka semua memberikan bantuan melalui doa-doa yang dipanjatkan kepada Allah Yang Maha Esa. Moga dengan doa-doa mereka itu, usaha guru mereka akan dipermudahkan. Tok Helang Melayang memimpin bacaan doa itu. Ayat-ayat Al-Quran bergema di atas puncak Gunung Segumpal. Bacaan dari Ayatul Qursi dan surah Yassin bergema dan memberikan kekuatan kepada pengamalnya dan melemahkan pengamal ilmu hitam.

"Kanda, musnahkan diriku dan Jin Hitam ini. Musnahkan sekarang agar dia tidak terus menggunakan jasad aku ini untuk kerja-kerja yang terkutuk," Naga Hitam menyampaikan hasratnya melalui Ilmu Kalbu yang hanya boleh didengari oleh Pendita Naga Emas.

"Tidak, dinda. Sudah lama kita berpisah, tidak sanggup lagi kanda memusnahkan roh dan jasad dinda ini," balas Pendita Naga Emas melalui Ilmu Kalbu.

"Musnahkan aku sekarang sebelum dia kembali menguasai diriku ini," jerit Naga Hitam yang kali ini didengari oleh Jin Hitam.

"Abang kau itu pengecut. Tak mungkin dia akan mengabulkan hasrat kau itu. Mari bergabung semula dengan ku. Jangan kau tolak lagi peluang ini jika mahu hidup selama-lamanya," gertak Jin Hitam, memperkuatkan lagi kunciannya.

Pendita Naga Emas bergerak beberapa kali, berpusing di hadapan dan belakang Jin Hitam bagi menyerangnya. Dia tidak punya peluang besar bagi membebaskan Naga Hitam, kerana tubuh mereka berdua itu amat rapat kedudukannya. Pendita Naga Emas mulai merasakan sesuatu. Dia dapat melihat akan anak-anak muridnya bersama Maharaja Segumpal Satria dan pahlawan mereka sedang duduk berzikir dan berdoa. Kekuatan zikir dan doa itu kembali meresap ke dalam diri Pendita Naga Emas, begitu juga Naga Hitam. Pendita Naga Emas membacakan ayat-ayat Al-Quran dari surah Al-Ikhlas, surah Al-Falaq dan surah An-Nas termasuk Ayatul Qursi dan beberapa ayat dari petikan surah Yassin. Tiba-tiba keadaan di situ mula bergegar, menyebabkan Jin Hitam mula gentar, kilat sabung menyabung dan muncul gunung ganang menghimpit Jin Hitam dan Naga Hitam.

Kesakitan mula terasa kepada Jin Hitam, namun dia tidak akan mudah melepaskan mangsanya itu. "Lanar jumannakum walayamassannakum minna 'azaabun alim".. Satu petir yang amat kuat terus menerjah ke belakang Jin Hitam menyebabkan ia meraung kuat, namun begitu dia masih berdegil dan enggan melepaskan Naga Hitam. Pendita Naga Emas memutarkan kedua bilah pedangnya. Dia telah bersedia melancarkan serangan, namun keraguan masih bersarang di hatinya. Sudah beberapa kali Naga Hitam memberikan isyarat matanya, membenarkan Pendita Naga Emas menyerangnya dengan menikamkan tepat ke jantung dan hatinya.

"Kabulkan hasrat adinda ini, moga di satu hari nanti kita akan bertemu kembali di Hari Akhirat yang abadi," bisikan melalui Ilmu Kalbu kembali merayu Pendita Naga Emas agar tidak teragak-agak lagi.

Pendita Emas segera menggabungkan kedua-dua bilah pedang emasnya sehingga ia berubah menjadi busur dan dua anak panah keemasan. Dia menarik nafasnya agak panjang, lalu ditarik busur keemasan itu. Mulutnya terkumat kamit membaca doa, agar anak panah ini akan mengenai sasarannya. Cahaya menyilaukan muncul dan menyerang Jin Hitam dari arah belakang badannya. Kecederaan yang semakin parah dihadapi oleh Jin Hitam, namun dia masih berdegil. Pada saat itu, air mata mulai mengalir di pipi Pendita Naga Emas dan Naga Hitam. Masanya sudah tiba, mereka akan berpisah sekali lagi setelah bertemu dalam masa yang amat singkat. Dua anak panah sudah sedia untuk dilepaskan. Dengan sepenuh kekuatan, akhirnya anak panah itu dilepaskan oleh Pendita Naga Emas, menuju ke arah Naga Hitam dan Jin Hitam. Mungkin inilah perpisahan yang amat perit dihadapi dua adik beradik ini.

Pendita Naga Emas akhirnya kembali ke dunia nyata. Apakah pertarungan di alam roh itu telah berakhir? Apakah Jin Hitam telah berjaya dihapuskan? Bagaimana pula dengan Naga Hitam? Mahaguru Harimau Emas segera memberikan bantuan dengan memindahkan tenaga dalamnya kepada gurunya itu. Pendita Naga Emas mulai berasa selesa dan walaupun kecederaan yang dialami belum pulih sepenuhnya, ia sudah cukup dan memadai. Di sebelah Pendita Naga Emas adalah jasad Naga Hitam yang telah berubah menjadi tua. Selama ini Jin Hitam yang menghuni jasad Naga Hitam telah mengubah penampilannya agar nampak gagah dan lebih muda.

"Apakah Naga Hitam telah pergi buat selama-lamanya?"

Bersambung...

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.

Thursday, July 22, 2021

5 Puak (Episod 24 : Pertarungan Dua Musuh Lama)

"Dia sudah datang!" Pendita Naga Emas yang berada di puncak mengesan satu tenaga mula bergerak dengan kepantasan yang luarbiasa diiringi oleh kepulan asap hitam.

MENDENGARKAN amaran dari Pendita Naga Emas, Maharaja Segumpal Satria dan pahlawan-pahlawan yang berada di puncak terus bersiap siaga. Debaran terasa di hati kerana musuh yang akan dihadapi bukan lawan yang mudah. Apakah Tok Harimau Garang telah tertewas? Mampukah Pendita Naga Emas menghadapi musuh lama yang memanipulasi jasad adindanya itu? Kepulan asap hitam semakin berkembang, namun begitu tidak kelihatan siapa pun di dalamnya. Dengan titah perintah Maharaja Segumpal Satria, pasukan pemanah terus memanah ke arah kepulan asap hitam itu. Begitu juga dengan pahlawan yang memiliki senjata-senjata panjang seperti lembing dan tombak, segera dilemparkan semua senjata itu ke arah asap hitam tersebut.

Tiba-tiba, terdengar bunyi ketawa yang amat besar. Belum sempat Pendita Naga Emas memberi amaran, senjata-senjata yang dilemparkan tadi dipulangkan semula kepada tuannya dengan kelajuan yang amat luarbiasa. Semua senjata-senjata itu telah mengenai semua pahlawan tersebut, namun ada yang berjaya mengelak dan ada yang tidak. Yang terkena serangan terus mati syahid dan gugur di medan perang.

"Ini sahajakah kemampuan pahlawan-pahlawan kerajaan Segumpal, wahai tuanku Maharaja Segumpal Satria?" Satu suara kedengaran dari asap hitam tersebut.

Maharaja Segumpal Satria berasa murka dan dukacita dengan apa yang telah terjadi kepada para pahlawannya. Dia cuba mara ke hadapan namun ditahan oleh satu tangan tua yang masih gagah perkasa.

"Tuanku tunggu di sini. Biar patik yang melayannya," kata Pendita Naga Emas lalu terus berdiri di hadapan Maharaja Segumpal Satria. Maharaja Segumpal Satria menganggukkan kepala tanda memperkenankan hasrat Pendita Naga Emas itu.

Demi sahaja melihat kelibat Pendita Naga Emas, bayang Jin Naga Hitam mulai muncul menampakkan dirinya. Dari pandangan mata kasar, hanya jasad Naga Hitam yang terlihat. Namun tidak pada pandangan Telus Mata yang dimiliki oleh Pendita Naga Emas. Dia dapat melihat dengan jelas ada tiga bayang lain iaitu Jin Hitam, Tok Bisa dan Naga Hitam.

"Ayuh ke mari wahai kanda ku," kata Jin Naga Hitam, mungkin cuba menjerat Pendita Naga Emas. Pendita Naga Emas masih kelihatan tenang walau musuh yang dihadapinya adalah adiknya sendiri.

Tiba-tiba, satu serangan dari arah belakang Jin Naga Hitam menyusul dengan pantas. Dua sosok tubuh dengan pedang hitam mereka terus menyerang Jin Naga Hitam. Gerak mereka sangat pantas menyebabkan semua yang berada di situ juga terkejut. Jin Naga Hitam segera mengelak serangan berkembar itu. Dua orang musuh lama yang pernah ditewaskannya tidak lama dahulu, kini muncul semula. Mereka itu tidak lain dan tidak bukan adalah Pahlawan Bayang, bapa saudara kepada Pendita Naga Emas dan Naga Hitam.

"Ku fikirkan kamu berdua sudah mati! Berani sekali menyerangku dari belakang!" Jin Naga Hitam berputar-putar di udara, menepis dengan tangan kosong akan serangan pedang berkembar tersebut.

Ternyata, kekuatan Jin Naga Hitam itu agak mengejutkan. Bagaimana tangan kosong boleh mengatasi serangan pedang yang tajam itu. Bagaimana pun, Pahlawan Bayang tidak mudah mengaku kalah. Serangan mereka dipertingkatkan, kepantasan mereka semakin bertambah dan serangan mereka seperti dapat membaca pergerakan Jin Naga Hitam. Pengalaman mereka dalam pertarungan sangat luas. Sudah banyak kali mereka menghadapi pertarungan yang akan meragut nyawa mereka, namun dengan izin Allah, mereka masih bernafas. Jin Naga Hitam mula berasa rimas dengan serangan mereka berdua, lalu mula melancarkan satu serangan balas. Mulutnya dibuka luas, lalu dihembusan angin berbisa ke arah dua pahlawan tersebut.

Melihat kepada serangan tersebut, kedua pahlawan itu tidak mudah cemas, mereka mengelak ke tepi dan menyerang pula ke arah muka Jin Naga Hitam. Kegeraman melanda Jin Naga Hitam kerana kedua-dua pahlawan tersebut amat licik. Pahlawan Bayang kembali menyerang, pedang mereka diputarkan beberapa kali sehingga menghasilkan cahaya dan bunyi yang berdesing kuat. Mata dan telinga Jin Naga Hitam diserang oleh serangan yang tidak dijangkakan itu, satu ilmu baru yang mungkin diperolehi oleh kedua-dua pahlawan itu semasa 'kehilangan' mereka. Jin Naga Hitam tidak mahu mengambil mudah akan serangan tersebut, lalu dipertingkatkan ilmu hitam nya.

Sekali lagi dia cuba memperalatkan asap hitam yang kemudian bertukar menjadi kabus. Serangan kedua-dua pahlawan itu ternyata sia-sia kerana lawan mereka telah ghaib dari medan pertarungan. Mereka terpaksa menarik semula serangan hebat tersebut dan kembali berjejak di atas tanah. Pedang mereka sentiasa diputarkan agar tumpuan mereka tidak hilang. Pancaindera mereka dipersiapkan termasuk bulu roma mereka sebagai deria pengesan kepada musuh yang tidak kelihatan. Pendita Naga Emas segera membuka ilmu Telus Mata. Dia segera mencari jejak Jin Naga Hitam. Akhirnya dia dapat mengesan keberadaan Jin Naga Hitam, namun tidak sempat memberikan amarannya kepada Pahlawan Bayang.

Satu serangan yang padu tepat mengenai tubuh kedua-dua pahlawan tersebut. Satu serangan berbentuk pusaran gerudi menembusi tubuh kedua-dua Pahlawan Bayang sehingga tersembur darah dari mulut mereka. Kecederaan yang dialami terlihat parah, namun mereka berdua masih tetap melawan. Pedang yang diputarkan tadi segera dilibaskan ke arah kaki Jin Naga Hitam. Pendita Naga Emas tidak mampu bersabar lagi. Kedua-dua paduka bapa saudaranya akan terbunuh jika dia duduk berdiam diri sahaja. Dia terus bergerak pantas menyerang dengan tangannya sendiri. Terlihat satu cahaya seperti pedang emas berada dalam genggaman Pendita Naga Emas. Pendita Naga Emas segera menetakkan tangannya ke arah Jin Naga Hitam yang akhirnya terpaksa berundur ke dalam asap hitam dan melepaskan Pahlawan Bayang. Serangan Pendita Naga Emas tidak boleh dipandang rendah.

Pendita Naga Emas hilang di dalam asap hitam yang bertukar menjadi kabus. Hanya kedengaran bunyi dentingan besi yang memekakkan telinga, menunjukkan pertempuran dan pertembungan yang sengit. Sementara itu, Maharaja Segumpal Satria dan para panglima sempat menyambut kedua-dua Pahlawan Bayang sebelum mereka tersungkur menyembah bumi.Tidak lama kemudian, Tok Harimau Garang yang kini bergelar Mahaguru Harimau Emas tiba di puncak Gunung Segumpal. Nampaknya dia berjaya menewaskan Tok Ular Bercabang. Mahaguru Naga Emas kemudiannya membuka keilmuan Telus Mata. Dari Telus Mata, Mahaguru Harimau Emas dapat melihat kesukaran yang dihadapi oleh gurunya itu. Oleh kerana itu, dia segera meluru ke hadapan bagi melancarkan serangannya. Namun begitu, dia mendapat pesanan ghaib dari gurunya itu. "Masanya belum tiba, aku belum tewas lagi".

Beberapa detik kemudian, anak-anak murid Pendita Naga Emas yang lain mulai muncul bersama pahlawan-pahlawan dari puak masing-masing di puncak Gunung Segumpal. Mereka semua nampaknya telah berjaya menewaskan musuh dari Puak Bis sama ada telah menawan atau telah menghapuskan mereka yang cuba menceroboh Gunung Segumpal. Maharaja Segumpal Satria segera menitahkan agar Pahlawan Bayang dirawat dengan segera. Beberapa orang panglima segera memberikan bantuan, sama ada dengan rawatan luaran atau tenaga dalam. Pada mereka, Pahlawan Bayang sangat berani menentang musuh yang jauh lebih kuat dari mereka.

Pertarungan antara Jin Naga Hitam dan Pendita Naga Emas semakin sengit. Ada masanya Jin Naga Hitam menguasai pertarungan itu, ada kalanya Pendita Naga Emas sangat pantas menyerang. Sepanjang pertarungan itu, kelihatan dua ekor naga dari bayangan mereka, satu adalah naga hitam dan satu lagi naga berwarna keemas-emasan. Masih belum dapat diketahui siapa yang akan menang. Pertarungan itu akhirnya telah membangkitkan semula roh Naga Hitam yang dikunci oleh Jin Hitam. Naga Hitam dapat melihat kekanda yang amat dirinduinya itu sedang bertarung dengan Jin Hitam yang menumpang di jasadnya.

"Aku mesti bangkit semula. Aku akan lawan sehingga Jin Hitam ini keluar dari jasadku walau roh aku ini akan hancur bersama jasad," bisik hati Naga Hitam. Oleh kerana itu, dia segera mengatur semula tenaga dalaman yang masih bersisa. Semakin tinggi kekuatan dalaman nya, maka Jin Hitam dan roh Tok Bisa akan semakin lemah.

Dapat dirasakan, tangannya sudah mampu bergerak semula. Anggota badan yang lain masih kaku. Dia cuba mengingati akan ilmu yang pernah dimilikinya, doa-doa yang telah lama ditinggalkan akibat taklukan Jin Hitam. Dia mula membaca istiazah, "Aku berlindung dengan Allah daripada Syaitan yang direjam". Ayat pertama yang diingatinya sebelum dia beristighfar panjang. Kebangkitan Naga Hitam menyebabkan Jin Hitam mulai kepanasan. Sistem pertahanannya mulai runtuh dan perhatiannya kepada pertarungan dengan Pendita Naga Emas mulai kabur. Dia cuba melawan serangan dari luar dan dalam, namun sukar baginya menangani kedua-duanya. Oleh kerana itu, dari istana miliknya yang berada di bahagian hati Naga Hitam, beberapa pahlawan hitam telah diarahkan menyerang dan menawan semula Naga Hitam.

Melihat kabus hitam mulai hilang perlahan-lahan, Mahaguru Harimau Emas tidak mampu bersabar lagi. Jin Naga Hitam mungkin mampu bertahan, namun gurunya itu sudah tua dan uzur. Dia mesti membantu gurunya itu dengan ilmu yang dimiliki olehnya. Sundang Harimau telah dipersiapkan. Apabila dipertingkatkan tenaga dalamnya, sundang itu berubah menjadi keemasan. Begitu juga dengan Mahaguru Harimau Emas, pada pakaiannya telah dibaluti oleh baju perisai berwarna emas. Apakah yang akan terjadi seterusnya? Mampukah kedua-dua pahlawan itu menghadapi Jin Naga Hitam? Apakah akan ada keputusan yang mengejutkan?

Bersambung…

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.

Wednesday, July 14, 2021

5 Puak (Episod 23 : "Dia sudah datang!")

"Adakah mereka sudah bermula?" Tiba-tiba sahaja Maharaja Segumpal Satria kelihatan teruja dan mahu meluru turun dari puncak Gunung Segumpal. "Ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun. Patik berharap agar Tuanku tidak membuat keputusan terburu-buru turun ke bawah bersendirian tanpa para panglima mengiringi".

"BENAR kata-kata Panglima Hitam itu, Yang Mulia Tuanku. Patik harap Yang Mulia bersabar dan tunggu sahaja di sini. Sasaran jin durjana itu adalah hamba ini. Ia pasti akan mencari hamba  Oleh itu, kita mesti bersiap sedia sebelum musuh datang menyerang," kata-kata Pendita Naga Emas itu ada kebenarannya tanpa dapat dinafikan oleh Maharaja Segumpal Satria. Pendita Naga Emas yakin akan kemampuan Tok Harimau Garang yang kini bergelar Mahaguru Harimau Emas. Namun begitu, dia masih bimbangkan pewarisnya itu kerana kemampuan Jin Naga Hitam itu tidak mudah dijangka. Pertarungan antara Tok Harimau Garang dan Jin Naga Hitam berlangsung sengit. Kekuatan mereka hampir setara, namun Jin Naga Hitam sangat licik dan punya ilmu hitam yang ampuh. Sudah banyak kali dighaibkan dirinya bagi menghabiskan tenaga Tok Harimau Garang. Namun begitu, Tok Harimau Garang masih teringat akan pesanan gurunya.

"Ilmu Telus Mata ini adalah satu ilmu yang bisa membuka mata kamu tanpa hijab. Dengan keilmuan ini, kamu dapat mengesan di mana sahaja musuh berada walaupun mereka berada dalam keadaan ghaib. Pusatkan kedua-dua belah mata dan kemudian letakkan ia pada titik di tengah antara kedua-duanya. Dengan izin Allah, kamu akan dapat mencari lawan kamu itu dengan segera". "Setiap lawan ada helah tersendiri. Kamu perlu menggunakan ilmu yang tok ajarkan dan menggunakan akal yang Tuhan kurniakan bagi menguasai pertarungan. Ingat, pertarungan bukan bergantung kepada kekuatan atau ilmu sahaja, akal fikiran juga sangat penting. Jika musuh itusegala ilmu telah tok sampaikan. Sekarang terpulang kepada diri kamu sendiri".

Pesanan Pendita Naga Emas masih terngiang-ngiang di telinga Tok Harimau Garang. Oleh itu, dia cuba menghidupkan Ilmu Telus Mata dan cuba mencari di mana Jin Naga Hitam berada. Dalam masa yang sama, dia melibaskan sundang nya tanpa arah tujuan. Inilah yang Jin Naga Hitam mahukan iaitu memperdayakan mangsanya agar mereka kehabisan tenaga. "Anak murid Naga Emas ini amat dungu. Sedikit masa lagi tenaganya pasti akan berkurangan dan lemah. Sampai masanya aku sendiri yang akan menamatkan nyawanya," bisik hati Jin Naga Hitam.

Akhirnya Ilmu Telus Mata berjaya dihidupkan. Dari pandangan mata batin itu, Tok Harimau Garang mendapati Jin Naga Hitam sedang bersembunyi di belakang Tok Ular Bercabang. Akan tetapi, Tok Harimau Garang buat-buat tidak nampak akan kelibat Jin Naga Hitam itu. "Sudah sampai masanya untuk melancarkan serangan. Aku akan gunakan ilmu yang hampir sama kaedahnya dengan ilmu hitam yang digunakan oleh Jin Naga Hitam itu. Tanpa berlengah lagi, Tok Harimau Garang pun menerkam ke arah Tok Ular Bercabang. Tok Ular Bercabang yang sedang merawat kecederaannya sudah pasti terperanjat dengan serangan itu. Dia cuba mengundurkan diri, namun tiba-tiba dia merasakan seseorang sedang memegang kedua-dua belah bahunya lalu menolaknya ke hadapan.

Tok Ular Bercabang merasakan seluruh tubuhnya kaku dan tidak bermaya. Dia sudah tidak mampu melawan, apatah lagi mengelak serangan maut Tok Harimau Garang itu. Pada saat sundang harimau kepunyaan Tok Harimau Garang itu hampir menikam di jantung, tiba-tiba Tok Harimau Garang ghaib. Tok Harimau Garang telah menggunakan Ilmu Pelimun bagi mengghaibkan dirinya. Malah, Jin Naga Hitam sendiri tidak mampu mencari di mana kedudukan Tok Harimau Garang. Akan tetapi, setiap ilmu itu ada kelebihan dan kekurangannya.

Ilmu Pelimun itu hanya boleh dihidupkan pada saat Tok Harimau Garang menarik nafasnya dan menyimpan selama yang mungkin. Jika dia  terpaksa menghembuskan nafas, jasadnya akan terlihat semula. Mampukah dia terus menahan nafasnya selama beberapa minit bagi menewaskan Jin Naga Hitam? Jin Naga Hitam mulai resah kerana Tok Harimau Garang tidak dapat dikesan  walaupun menggunakan ilmunya yang paling hebat. "Apakah ilmunya ini lebih hebat dari ilmu ku? Mungkinkah dia telah dapat melihat aku ini?"

Tiba-tiba sahaja terdengar satu sambaran angin yang amat kuat dari belakang Jin Naga Hitam. Dia tidak sempat mengelak, namun tetap cuba mempertahankan dirinya dengan melancarkan serangan balas tanpa melihat musuhnya. Namun begitu, bahagian tangannya tiba-tiba dilukai oleh seseorang. Pada saat yang getir itu, baharulah muncul sosok Tok Harimau Garang. Darah mulai mengalir lalu jatuh ke tanah. Ketika itu juga sosok Jin Naga Hitam kembali muncul di medan pertarungan. Begitu jug dengan Tok Harimau Garang. Senyuman kepuasan terukir di wajah Tok Harimau Garang kerana berjaya melukai musuhnya itu.

Darah merah itu kemudiannya bertukar menjadi warna hitam sebaik sahaja menyentuh tanah. Kepulan asap hitam mulai terlihat di mata semua pahlawan yang berada di medan pertarungan itu. Jin Naga Hitam tersenyum walau dalam kesakitan. Baginya itu hanyalah kecederaan kecil sahaja.

"Serangan yang sekuat itu belum mampu menumbangkan dia. Aku akan terus menyerangnya sampai dia lemah. Kalau tidak, aku pula yang akan tewas," bisik hati Tok Harimau Garang.

Jin Naga Hitam masih belum tergerak untuk melancarkan serangan. Dia hanya tersenyum, mungkin niat nya mahu memperdayakan Tok Harimau Garang. Itu mungkin satu daripada helah nya, mungkin kecederaan yang dialami tidak separah yang difikirkan oleh Tok Harimau Garang. Serangan kebatinan dari Tok Harimau Garang telah membangkitkan roh Naga Hitam. Walau sedikit, namun bantuan tidak terduga itu telah memberikan Naga Hitam sedikit kekuatan dan tenaga baharu. Dia cuba mempertingkatkan kekuatannya yang telah lama terpendam bagi menyaingi roh Tok Bisa dan Jin Hitam. Mungkin mudah baginya menewaskan roh Tok Bisa, namun tidak Jin Hitam.

Kesukaran baginya adalah ketika roh Tok Bisa berganding bahu dengan Jin Hitam. Naga Hitam mempertingkatkan kekuatannya secara beransur agar tidak disedari oleh Jin Hitam itu. Dia dapat merasakan kekuatannya kembali terbina. "Aku mesti serangnya sekarang. Tak kiralah apa helah nya, aku akan tetap terus menyerang," bisik hati Tok Harimau Garang.

Tanpa berlengah lagi, Tok Harimau Garang terus meluru ke hadapan. Ilmu Mergastua, satu ilmu yang tidak diketahui sama ada oleh Naga Hitam, Jin Hitam mahu pun Tok Bisa. Ilmu Harimau Menerkam digunakan dengan sepenuh kekuatan, sundang bercahaya terhunus bisa menghancurkan musuh yang cuba menghalang. Jin Naga Hitam sudah bersedia menghadapi musuhnya. Namun, dia mula merasakan sesuatu yang tidak kena. Ada sesuatu yang menyerang di dalam batinnya. Pada saat itu, tiba-tiba sahaja Tok Ular Bercabang yang masih punya kekuatan melompat ke hadapan. Tok Ular Bercabang sedar kekuatanya tidak setanding Tok Harimau Garang. Dia terus menyerang balas dengan berani dengan senjatanya. Dia cuba bertahan, namun beberapa bahagian di tubuhnya sudah dilukai oleh sundang Tok Harimau Garang.

"Ke tepi, kau bukan lawan ku," jerit Tok Harimau Garang namun tidak diendahkan oleh Tok Ular Bercabang. Dia terus bertahan dan sesekali menyerang balas, namun tenaganya semakin berkurangan. Pada saat itu, Jin Naga Hitam tiba-tiba ghaib sekali lagi.

Pada saat sundang Tok Harimau Garang menghampiri jantung Tok Ular Bercabang, tiba-tiba muncul asap hitam menyerang ke arah Tok Harimau Garang. Tok Harimau Garang terpelanting ke belakang dan mengalami sedikit kecederaan. Serangan hendap Jin Naga Hitam berjaya mengundurkan Tok Harimau Garang. "Dia sudah datang!" Pendita Naga Emas yang berada di puncak mengesan satu tenaga mula bergerak dengan kepantasan yang luarbiasa diiringi oleh kepulan asap hitam. Mendengarkan amaran dari Pendita Naga Emas, Maharaja Segumpal Satria dan pahlawan-pahlawan yang berada di puncak terus bersiap siaga. Debaran terasa di hati kerana musuh yang akan dihadapi bukan lawan yang mudah.

Apakah Tok Harimau Garang sudah tewas? Mampukah Pendita Naga Emas menghadapi musuh lamanya itu? Apakah hajatnya akan terlaksana?

Bersambung…

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.

Wednesday, July 07, 2021

5 Puak (Episod 22 : Putih menentang Hitam - Harimau melawan Ular)

PERTARUNGAN di antara Tok Gajah Gagah menentang Kala Hitam boleh dikatakan telah tamat sepenuhnya. Pertarungan antara mereka berlangsung sengit, malahan Tok Gajah Gagah hampir-hampir tewas kepada Kala Hitam. Semuanya berpunca daripada dirinya jua yang telah memandang rendah akan kehandalan Kala Hitam. Di saat-saat hampir mengalami kekalahan itu, muncul dua orang pahlawan membantunya. Entah siapa mereka berdua itu, namun kepantasan pergerakan mereka amat dikagumi. Kala Hitam maut di tangan pedang salah seorang daripada pahlawan tersebut. Selepas berjaya membantu, salah seorang daripada pahlawan tersebut bergegas ke tingkat pertama. Manakala, seorang lagi daripada mereka telah membantu Tok Gajah Gagah mengeluarkan racun yang mula menyerang organ dalaman Tok Gajah Gagah. Bisa racun di dalam tubuh Tok Gajah Gagah cepat merebak. Mujur lelaki tua itu tahu apa yang dilakukannya.

Badan Tok Gajah Gagah menyerap tenaga dalaman jenis dingin, mula menyerang racun berbisa yang bersifat panas. Beberapa kali Tok Gajah Gagah memuntahkan darah beku. Apabila darah itu terkena permukaan tanah, ia mula berasap. Tok Gajah Gagah amat terkejut melihat keadaan itu, mujur nyawanya telah terselamat."Cucu rehat dulu di sini. Tubuh cucu ini masih lemah. Tok mahu segera membantu di atas sana," kata lelaki tua itu meminta diri. Oleh kerana masih lemah, kekurangan daya dan tenaga, penglihatan Tok Gajah Gagah agak terjejas. Baru sahaja matanya berkelip beberapa kali, lelaki tua tersebut tiba-tiba hilang dari pandangan. "Tok, tok," jerit Tok Gajah Gagah. Dia cuba bangun untuk berdiri, namun akhirnya jatuh semula. Oleh kerana itu, Tok Gajah Gagah perlu melakukan sesuatu, lalu dia duduk bersila. Mulutnya mula terkumat kamit membacakan doa dan meminta serta berserah kepada Allah Yang Maha Perkasa, agar dia mampu kembali bertarung.

Anak-anak buah Tok Gajah Gagah melindungi ketua mereka dengan berdiri di sekelilingnya. Tok Gajah Gagah mesti memulihkan tenaganya dalam kadar segera bagi membantu puak yang berlima menangani Puak Bisa. Beberapa kali dia mengatur pernafasannya, perlahan-lahan dirasakan tubuhnya kembali segar. Seorang daripada anak buahnya membawakan air minuman buatnya, lalu segera Tok Gajah Gagah meminumnya.

"Masih adakah saki baki pahlawan-pahlawan kita dari Puak Gajah?"

"Hampir separuh daripada kita telah terkorban, tok ketua. Tapi kami masih tetap mahu berjuang bersama tok ketua," jawab salah seorang dari Anak Gajah.

"Jika begitu, ayuh kita rempuh Puak Bisa kita. Kita mesti membantu rakan seperjuangan kita di atas sana," kata-kata bermotivasi itu semestinya menambah semangat perjuangan Puak Gajah. Tok Gajah Gagah cuba berdiri dengan bantuan anak-anak buahnya.

"Tak perlu, biar aku berjalan sendiri," tolak Tok Gajah Gagah yang merasakan dia sudah semakin kuat dan bertenaga. Tolakan itu agak lemah dirasakan, namun Anak-anak Gajah hanya berdiam diri agar tidak pecah rahsia yang tersimpan.

"Ayuh kita mara. Ayuh kita lawan habis-habisan. Tok Gajah Gagah menarik nafas begitu panjang, agar tenaganya pulih dengan segera. Dengan itu dia berharap semangat anak buahnya akan terus marak menyala.

Puak Gajah bersama ketua mereka, Tok Gajah Gagah meneruskan perjalanan mereka ke tingkat pertama Gunung Segumpal. Kehadiran mereka pasti akan membantu pahlawan dari lima buah puak. Walau berlainan puak, persaudaraan antara mereka amat mengkagumkan. Jin Naga Hitam terus mara bersama puak Ular ke tingkat keempat Gunung Segumpal. Dia sudah membayangkan akan seseorang yang telah lama tidak ditemuinya. Siapa lagi kalau bukan Pendita Naga Emas. Akan tetapi, satu pemandangan di hadapan mata telah menarik perhatiannya. Pada ketika dia terpandangkan akan Tok Harimau Garang, dapat dirasakan akan kekuatan aura yang berlipat kali ganda dari tubuh Tok Harimau Garang.

"Apakah kau telah melengkapkan perjanjian dengan sang Naga Emas itu? Kekuatan kau memang luarbiasa, namun belum mampu mengatasi aku," Jin Naga Hitam dengan isyarat mata, telah mengarahkan Tok Ular Bercabang supaya segera menyerang Tok Harimau Garang. Tok Ular Bercabang bersama puak Ular terus menyerang Tok Harimau Garang dan puak nya. Satu serangan ular-ular beracun telah diarahkan kepada Tok Harimau Garang dan pahlawan-pahlawannya. Satu pertarungan yang tidak dapat dielakkan lagi. Pada saat itu, Tok Harimau Garang mengesan sesuatu yang pelik dan aneh. Dia dapat mengimbas akan ular-ular yang telah dilemparkan ke arahnya oleh Tok Ular Bercabang . Pada saat keadaan kelam kabut itu, ternyata semuanya adalah serangan palsu. Ia jelas terlihat di mata Tok Harimau Garang, namun bukan kepada para pengikutnya.

Mereka bertungkus lumus melibaskan senjata ke arah ular-ular itu. Dalam masa yang sama, anak-anak buah Tok Ular Bercabang mengambil kesempatan ini menyerang mereka. Serangan dua dalam satu, namun pada hakikatnya hanyalah satu serangan sahaja. Demi menyelamatkan anak-anak buahnya, Tok Harimau Garang segera berundur dari pertarungannya dengan Tok Ular Bercabang. Namun bukan semudah itu kerana Tok Ular Bercabang ini licik orangnya. Pergerakannya sangat pantas dan menyusur di atas tanah, sama seperti pergerakan seekor ular. Dalam keadaan kelam kabut itu, Tok Harimau Garang segera mencabut sundang. Demi terpisah sahaja ia dari sarung, pancaran cahaya yang menyilaukan mata pun mulai terpancar dari bilahnya. Pancaran cahaya itu membakar 'ular-ular' palsu yakni dari ilmu hitam itu. Tok Ular Bercabang juga merasa kesakitan yang amat sangat pada matanya dan kepanasan pada tubuh badannya, mungkin kerana dia telah menggunakan ilmu hitam yang amat menjijikkan.

Ular-ular yang terbakar itu kemudiannya mengeluarkan asap yang berwarna hitam. Namun semuanya lenyap apabila Jin Naga Hitam menyedutnya semula masuk ke dalam hidungnya. "Ha! Ha! Ha! Ha! Ternyata pewaris ilmu Naga Emas bukan sebarangan orang. Tapi, aku tak berminat untuk bertarung dengan mu. Aku mahukan Naga Emas, ini perhitungan antara aku dengannya," Jin Naga Hitam memandang rendah akan keupayaan Tok Harimau Garang. Tok Harimau Garang tidak gentar dengan pandangan Jin Naga Hitam itu. Keyakinannya amat tinggi dan dia bersedia berhadapan dengan sesiapa sahaja. Tak kira Tok Ular Bercabang atau Jin Naga Hitam atau kedua-duanya sekali. Berundur bukan pilihan buatnya. Tiba-tiba, Jin Naga Hitam menepuk belakang Tok Ular Bercabang. Nampaknya dia cuba memperkuatkan harapan terakhirnya bagi menentang Tok Harimau Garang. Walaupun dia tidak yakin akan kemampuan Tok Ular Bercabang, namun pertarungan antara mereka berdua pasti akan berlangsung lebih lama agar Tok Harimau Garang tidak mengganggunya bagi melawan Pendita Naga Emas.

Tok Ular Bercabang merasakan kekuatannya semakin bertambah, begitu juga keyakinan dirinya. Beberapa orang anak buahnya segera membawakan sebilah pedang berhulukan motif ular kepadanya. Pedang tanpa sarung itu mengeluarkan asap berwarna hitam sebaik dipegang oleh Tok Ular Bercabang. "Ini ilmu hitam, akan ku tentang habis-habisan," bisik Tok Harimau Garang, berdiri dalam keadaan bersedia menunggu serangan. Getaran kuasa ilmu sihir telah menyerang Tok Harimau Garang, namun kubu kebatinan dalam diri Tok Harimau Garang tidak mudah ditembusi. Kubu pendinding dari segala doa dan zikir diperhebatkan agar dirinya tidak mudah terpedaya. Begitu juga dengan Anak Harimau yang lain, mereka juga memperkuatkan zikir dan doa bagi membantu Tok Harimau Garang. Merasakan ancaman yang besar dari Tok Harimau Garang, Tok Ular Bercabang terus menyerang dengan pedangnya. Serangan senjata ditambah ilmu bisa dan ilmu hitam, gabungan tiga serangan bukan mudah hendak ditangani. Tok Harimau Garang mengerti akan semua itu, lalu dia bertempik dan mengucapkan, "Allah Hu Akhbar, Allah Hu Akhbar, Allah Hu Akhbar". Ternyata penyerahan dirinya amat tinggi, begitu jua pengharapan agar Allah akan sentiasa membantunya.

Senjata bertemu senjata, bunyi dentingan kedua-duanya memekakkan telinga mereka. Ada antara pahlawan kedua-dua puak yang jatuh pengsan kerana tidak tahan dengan kekuatan zahir dan batinnya pertarungan itu. Kedua-dua pahlawan sama handal dan sama hebat, mungkin jua belum dikeluarkan sepenuhnya akan keilmuan mereka itu. Perlahan-lahan Tok Harimau Garang menguasai pentas pertarungan. Sundang Harimau yang bercahaya itu bukan sahaja amat menyilaukan, malah ia turut sama membakar tenaga dalaman Tok Ular Bercabang. Namun begitu, Tok Ular Bercabang bukan sahaja memiliki ilmu pertarungan senjata, dia juga memiliki ilmu bisa peringkat kedua tertinggi selepas Jin Naga Hitam. Pertarungan di setiap tingkat bangunan masih berlangsung sengit. Pahlawan misteri yang telah membantu Tok Gajah Gagah telah banyak mengubah akan situasi pertarungan. Ada antaranya dikuasai oleh Puak Bisa, namun kedatangan pahlawan misteri itu telah merubah segala-galanya.

Tok Gajah Gagah juga turut sama membantu setelah dia berjaya memulihkan hampir sepenuhnya kecederaan dan tenaganya usai kemenangan di dataran Gunung Segumpal. Pertarungan yang sebelum ini hampir memihak kepada Puak Bisa, kembali seimbang dengan kemunculan semula Tok Gajah Gagah dan dua orang pahlawan misteri. Sangat mengerikan keadaan di dalam pertarungan itu. Mayat-mayat bergelimpangan di atas tanah dan ada antaranya yang terpisah badan dan kepala. Keadaannya sama sahaja antara Puak Berlima dan Puak Bisa. Ternyata antara kedua-dua belah pihak ini sama sahaja iaitu berlaku kejam kepada lawan. Ada antara pahlawan Puak Bisa yang masih menyayangi nyawa mereka sendiri. Walaupun ketua mereka tidak mahu menyerah kalah, tiada apa yang lebih penting berbanding nyawa mereka. Untuk apa diserahkan akan nyawa itu buat perjuangan seorang ketua yang amat kejam dan zalim iaitu Jin Naga Hitam. Kematian mereka itu tidak bererti langsung kepada Jin Naga Hitam yang hanya mahu membalas dendam.

Jin Naga Hitam hanya berpeluk tubuh melihat pertarungan antara Tok Harimau Garang dan Tok Ular Bercabang. Sedikit pun tidak dibantu akan orang kanannya itu yang sedang mengalami kesulitan menentang Tok Harimau Garang. Dengan ilmu hitam yang dipindahkan ke dalam tubuhnya oleh Jin Naga Hitam, masih belum mencukupi buatnya. Tok Harimau Garang terlihat memakai perisai besi berwarna keemasan. Yang dapat melihat keadaan itu hanyalah Jin Naga Hitam. Itulah sebabnya Tok Ular Bercabang masih belum mampu menembusi pertahanan kental dari Tok Harimau Garang. Tok Harimau Garang, sehebat dan segah namanya. Dia begitu garang menyerang dengan gabungan ilmu kebatinan dan ilmu pertempuran yang dimilikinya. Semakin menguasai pertarungan, walau bagaimanapun Tok Harimau Garang masih tetap bersiap siaga seandainya diri diserang oleh Jin Naga Hitam.

Oleh itu, pada saat berjaya mengundurkan Tok Ular Bercabang, Tok Harimau Garang akan mengundurkan diri semula sekiranya kedudukan dirinya menghampiri Jin Naga Hitam. Tok Ular Bercabang semakin lemah, dengan luka-luka di seluruh badannya. Tok Harimau Garang masih mahu 'bermain' dengan Tok Ular Bercabang walaupun dia punya peluang menamatkan nyawa Tok Ular Bercabang. Jin Naga Hitam begitu kecewa dengan orang kanannya itu. Apakah Tok Ular Bercabang masih belum mahu bertarung sepenuh kekuatannya? Apakah yang ditunggu-tunggu oleh Tok Ular Bercabang? "Berundur, kau belum layak bertarung dengannya," arah Jin Naga Hitam kepada Tok Ular Bercabang. Tok Ular Bercabang segera berundur, dia sangat lega kerana tidak perlu lagi bertarung. Dia sangat menyayangi nyawanya itu dan tidak mahu terbunuh dalam pertarungan itu. Kini, dia akan dapat menyaksikan Jin Naga Hitam menunjukkan kehandalannya.

Jin Naga Hitam meregangkan segala otot tubuh badannya. Serentak dengan itu, aura berwarna hitam mulai menyelubungi seluruh tubuhnya. Kini dia kelihatan seperti kabus hitam, terus menyerang Tok Harimau Garang yang sedang menanti. Tok Harimau Garang segera mempertingkatkan kekuatannya. Cahaya keemasan mulai terpancar dari seluruh tubuhnya. Itulah dia Perisai Cahaya Emas, satu tingkat keilmuan pewaris ilmu Naga Emas. Setelah merasakan kekuatannya semakin bertambah, Tok Harimau Garang turut mara ke hadapan dengan Sundang Harimau. Di tangan Jin Naga Hitam terbentuk sebilah pedang hitam pada tangannya yang dihasilkan dari ilmu sihir dan ilmu bisa. Jin Naga Hitam bertarung dengan pinjaman kekuatan dan keilmuan yang dimilikinya dari Naga Hitam dan Tok Bisa. Oleh kerana itu, tidak mudah buat Tok Harimau Garang bagi menghadapi Jin Naga Hitam.

Walaupun pedang Jin Naga Hitam itu adalah tangannya sendiri, namun kekuatannya adalah seperti seribu bilah pedang besi. Maka, bunyi dentingan besi tetap kedengaran. Sundang Harimau yang diperkuatkan dengan Perisai Cahaya Emas juga bukan calang-calang senjata. Jin Naga Hitam sendiri terperanjat dengan kekebalan senjata itu. Tok Harimau Garang terus menyerang walaupun adakalanya Jin Naga Hitam hanya seperti kabus. Dengan ilmunya itu, dia mampu menghilangkan diri sekelip mata.  Tok Harimau Garang tidak akan menyerang musuhnya itu secara melulu kerana ia hanya akan menghabiskan tenaganya sahaja. Siapakah yang akan menang pertarungan ini? Apakah dendam Jin Naga Hitam akan terbalas?

Bersambung…

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.