PEMANDANGAN di tempat orang
menambah ilmu pengetahuan buat si pengembara. Apa yang dicari di dalam dunia
yang fana ini, hanya sang pengembara sahaja yang tahu. Perjalanan ke tempat
yang tidak pernah dikunjungi sedikit sebanyak akan meninggalkan seribu
kenangan. Pelayaran tiga orang lelaki tua mencari seberapa banyak bekalan yang
akan dibawa ke Segumpal. Pendita Naga Emas dan si kembar Pahlawan Bayang akan
bertemu banyak perkara sepanjang pelayaran itu. Tugas mereka amat berat, bukan
sahaja mengejar ilmu Akhirat, ilmu pembangunan dan persenjataan juga amat
penting dalam memajukan agama, bangsa dan tanah air tercinta.Dari satu kampung
ke satu kampung, dari daerah ke daerah telah mereka jelajahi.
Tiada siapa pun yang dapat
mengenali mereka bertiga kerana teknik penyamaran yang sangat sempurna.
Penyamaran ini amat penting kerana buat ketiga-ketiga pahlawan tersebut musuh
ada di mana-mana. Pada mulanya mereka bertiga telah sepakat untuk tidak masuk
campur andai berlaku pergolakan di setiap tempat yang mereka kunjungi. Namun
begitu, semangat kepahlawanan dan perikemanusiaan yang terpendam dalam diri
membuatkan mereka terpaksa menolong insan yang mengalami kesusahan dan
penderitaan. Apatah lagi apabila kampung yang mereka kunjungi itu telah
diserang oleh lanun-lanun durjana. Mahu tidak mahu, pedang telah terhunus keluar dari sarungnya
demi menyelamatkan dan membalas budi penduduk kampung.
Dan, untuk itu mereka terpaksa
menyamarkan diri bagi melindungi identiti sebenar. Dengan pakaian serba hitam
dan wajah yang dilitupi kain hitam, mereka menyerang lanun-lanun itu dengan
kekuatan dan kepantasan luar biasa. Setelah memastikan kampung itu selamat dan
bebas dari lanun-lanun itu, mereka terus menghilangkan diri tanpa dapat dikesan
oleh orang-orang kampung. Penduduk kampung terpaku menyaksikan dengan biji mata
mereka sendiri akan kehebatan tiga orang pahlawan tua itu menentang puluhan
orang lanun. Ketangkasan tiga orang pahlawan itu akhirnya telah menyelamatkan
nyawa dan maruah penduduk kampung. Selama ini, penduduk kampung tersebut tidak
mampu menentang lanun-lanun yang sering menjadikan kampung mereka sasaran.
Lawatan mereka ke sesebuah tempat
biasanya berakhir dalam masa yang singkat. Setiap tempat yang dilawati mempunyai keistimewaan
dan budaya yang tersendiri. Telah banyak maklumat yang mereka bertiga kumpulkan
dan diperolehi untuk dibawa ke Segumpal, namun begitu masih ada terasa
kekosongan di hati. Untuk itu, Pendita Naga Emas telah merancang perjalanan
seterusnya ke Kota Suci Mekah. Perjalanan ini pasti memakan masa yang lebih
panjang kerana jarak perjalanan yang sangat jauh. Mereka memperkuatkan diri dan
semangat mereka kerana ini adalah hajat Pendita Naga Emas yang mahu mereka
bertiga menunaikan Rukun Islam yang kelima itu dengan sempurna.
Pelayaran kali ini lebih sukar
memandangkan keadaan ombak dan angin yang tidak dapat dijangka. Akan tetapi ia
tidak sedikit pun mematahkan semangat Pendita Naga Emas dan dua orang Pahlawan
Bayang. Namun begitu, kuasa Allah tiada siapa yang dapat tandingi. Sudah
tersurat bahawa pada hari itu ribut telah melanda di perairan itu. Fenomena
ribut jarang terjadi dalam sejarah pelayaran mereka. Namun kali ini ia amat
dahsyat sekali. Paduan ribut dan ombak yang menggulung telah membadai kapal
yang mereka tumpangi sehingga pecah dan karam. Apakah ketiga-tiga pahlawan itu
dapat menyelamatkan diri daripada lemas? Atau, jasad mereka akan terkubur di
tengah lautan?
Serangan yang dilakukan oleh
lelaki asing itu telah berjaya dihentikan oleh Mahaguru Harimau Emas. Kedua-dua
petarung itu telah terpelanting dan berundur ke belakang di alam kebatinan
setelah pertarungan mereka diganggu oleh Mahaguru Harimau Emas. Lelaki dari
negara Baratia yang menyerang Naga Hitam itu begitu terperanjat dengan serangan
daripada Mahaguru Harimau Emas. Dapat dirasakan kekuatan serangan yang berpunca
dari laungan azan itu begitu kuat dan menghentak dirinya sehingga dia mengalami
sesak nafas. Dalam hatinya tertanya-tanya, "ilmu
apakah itu?" Bukan itu sahaja, ngauman dari kekuatan ilmu Mahaguru
Harimau Emas itu telah menggetarkan jiwa lelaki tersebut. Serangan mengejut itu
telah dapat mengendurkan niat lelaki itu untuk terus menyerang Naga Hitam.
Beberapa kali dia mengurut dadanya dan menarik nafas bagi memulihkan semangat
dan kekuatannya.
Usai menjamu selera, Maharaja
Segumpal Satria telah memperkenalkan tetamu-tetamu asing itu kepada semua
jemputan yang hadir. Seorang lelaki yang terlihat berbeza dan segak dengan
pakaian mewahnya adalah seorang putera raja dari negara Baratia. Putera raja
itu dalam rangka lawatannya bagi menjalinkan hubungan persahabatan dan
perdagangan dengan negeri-negeri di Tanah Melayu. Putera raja dari Baratia itu
telah memperkenalkan dirinya sebagai Putera Archie, kemudiannya telah
memperkenalkan semua ahli rombongannya kepada tetamu-tetamu lain. Amat
mengejutkan buat Naga Hitam dan Mahaguru Harimau Emas kerana identiti lelaki
yang berwajah bengis itu adalah seorang mubaligh yang lebih dikenali sebagai
Marvick.
"Entah mengapa hamba rasa kurang senang dengan mubaligh itu.
Apakah agama yang dibawanya dan mengapa Maharaja Segumpal Satria membenarkan
mereka bertapak di Segumpal ini?" Bisik hati Naga Hitam sendirian.
Naga Hitam dan Mahaguru Harimau
Emas saling berpandangan. Seolah-olah terdetik di hati mereka, Segumpal akan
dilanda musibah lagi. Dari riak wajah Mahaguru Harimau Emas terlihat berkerut
seribu tanda. Petanda dirinya kurang senang dengan kehadiran rombongan luar
negara itu. Demi menghormati majlis Maharaja Segumpal Satria, mereka terpaksa
bersabar. Namun begitu, Marvick seakan-akan cuba mencabar mereka berdua dengan
senyuman sinisnya. Dari renungan matanya
yang tajam seolah-olah berkata, "ayuh
kita sambung pertarungan di alam nyata". Tidak meriah sesuatu majlis
jika tiada persembahan. Persembahan bukan sahaja satu hiburan seperti nyanyian
atau tarian, persembahan ini luas sekali maksudnya. Persembahan dari
pahlawan-pahlawan juga biasanya menarik hati para tetamu.
Putera Archie dilihat mendekati Maharaja
Segumpal Satria. Dibisikkan akan sesuatu di telinga Raja Segumpal itu. Maharaja
Segumpal Satria pula hanya menganggukkan kepala, mungkin membenarkan akan
cadangan Putera Archie tersebut.
"Dengan bangganya, buat tuan-tuan dan puan-puan semua, Maharaja Segumpal Satria
telah memperkenankan akan persembahan tari perang yang akan dibawa oleh
pahlawan negara Baratia. Sekian dipersilakan," ujar juruacara Istana
Segumpal.
Marvick bersama-sama para
pahlawan Baratia berjalan dengan penuh angkuh dan lagak semasa berjalan
melintasi hadapan Mahaguru Harimau Emas dan Naga Hitam, sebelum tiba ke hadapan
Maharaja Segumpal Satria. Mereka punya ahli muzik yang dibawa sendiri dari
Baratia, lalu dimainkan alat muzik perang mereka bagi menghangatkan suasana. Alunan
muzik yang kedengaran asing oleh Maharaja Segumpal Satria dan rakyat jelata,
begitu mempersonakan dan memukau. Alunan lembut yang dimainkan tiba-tiba
bertukar ganas, mengejutkan para hadirin. Ketika itulah Marvick memulakan
langkah perangnya, menunjukkan setiap kehebatan dan keperwiraannya bersama
anak-anak buahnya.
Pada kebiasaan dalam sesuatu
majlis diraja, pahlawan 5 Puak yang akan diminta ke hadapan bagi
mempersembahkan tari perang mereka. Namun kali ini lain pula jadinya apabila
para pahlawan Baratia yang terlebih dahulu memulakan gerak langkah mereka.
Seperti mana Marvick, para pahlawan Baratia berbadan besar dan tegap,
ketinggian mereka jua berbeza dengan para pahlawan dari 5 Puak. Kemudian,
mereka segera membuat bentuk bulatan. Marvick berdiri di tengah-tengah bagi
menunggu serangan dari anak-anak buahnya. Ini persembahan biasa, namun kali ini
ia terlihat luarbiasa kerana Marvick akan berhadapan dengan serangan senjata
daripada anak-anak buahnya. Dan, dia akan menghadapi mereka dengan tangan
kosong.
Marvick sudah bersedia, lalu
salah seorang pahlawan Baratia tidak teragak-agak menyerang Marvick. Serangan
senjata itu nampak begitu menyakinkan dan menggerunkan, seolah-olah ia bukanlah
sekadar satu persembahan. Akan tetapi, Marvick dengan mudah menewaskan serangan
tersebut. Dengan kepantasan luar biasa, Marvick telah mengilas tangan
pengikutnya dan melucutkan senjata yang dipegangnya. Kedengaran jua tangan
pengikutnya itu telah dipatahkan. Maharaja Segumpal Satria juga terperanjat
melihat persembahan tersebut. Apakah maksud Marvick mencederakan pengikut
mereka sendiri? Tidak lama rasa kehairanan di hati Maharaja Segumpal Satria itu
kerana lebih banyak lagi kecelakaan yang telah dilakukan oleh Marvick ke atas
para pengikutnya.
Putera Archie kelihatan tenang
sahaja, sesekali dia merenung tajam ke wajah permaisuri kepada kerajaan
Segumpal. Nampaknya Putera Archie telah terpesona dengan kejelitaan sang
permaisuri. Permaisuri Segumpal iaitu Kencana Dewi dapat merasai renungan
Putera Achie tersebut, namun dia hanya membalas dengan senyuman bersahaja. Persembahan
tari perang Baratia lebih menggerunkan apabila Marvick dengan senjatanya yang
begitu berbeza rekabentuknya, memusingkan ia beberapa kali. Pada kebiasaannya,
senjata para pahlawan Segumpal seperti keris, sundang, lembing dan tombak
mempunyai hulu di bahagian pangkal senjata sebagai pemegangnya. Namun begitu,
senjata Marvick ini lebih unik. Bahagian tengah senjata tersebut adalah hulunya
dengan kedua-dua bahagian kanan dan kiri adalah senjata.
Beberapa kali jua Marvick memusingkan senjata tersebut sehingga menghasilkan bunyian yang membingitkan. Ramai antara hadirin dan jemputan kehormat yang terpaksa menutup telinga mereka, namun Mahaguru Harimau Emas, Naga Hitam dan Maharaja Segumpal Satria dapat menentang serangan bunyi dari senjata tersebut.
"Ya, hebat sekali tuan Marvick!" Laungan suara Maharaja
Segumpal Satria menghentikan persembahan tersebut. Ternyata Maharaja Segumpal
Satria amat kurang senang dengan perlakuan biadab Marvick itu, namun tidak
ditunjukkan sejujurnya. Maharaja Segumpal Satria amat bijaksana, dengan
jeritannya itu paduka baginda telah menyelamatkan ramai orang termasuk rakyat
jelata yang berada di situ.
"Maafkan sahaya, Maharaja Segumpal Satria," Marvick
mengangkat tangan tanda memohon maaf atas perlakuannya sebentar tadi. Akan
tetapi, apa yang telah dilakukannya tadi pastinya mempunyai tujuan tertentu.
Maka, berakhirlah sudah
persembahan Marvick dan anak-anak buahnya. Walaupun persembahannya telah
terganggu, Marvick terpaksa mengalah dan berundur. Persembahan seterusnya adalah
persembahan dari pahlawan 5 Puak. Marvick kemudiannya menghilangkan diri dari
Istana Segumpal. Pahlawan dari 5 Puak berjalan ke badapan Maharaja Segumpal
Satria bagi memulakan persembahan mereka. Namun begitu, sebelum memulakan
persembahan, kaki mereka seakan dipasung oleh sesuatu yang tidak kelihatan.
Sudah puas mereka berusaha, namun kaki mereka terasa berat sekali. Para hadirin
dan jemputan semua sedang menunggu dengan penuh sabar.
"Nampaknya ada seseorang cuba memalukan kami. Biar aku 'lihat' dengan
Ilmu Telus Mata ku," bisik hati Mahaguru Harimau Emas, lalu menghalakan
pandangannya pada pahlawan 5 puak. Demi terlihat sahaja kepada anak-anak
buahnya, Mahaguru Harimau Emas amat terperanjat melihat keadaan mereka.
Apakah yang terlihat di mata Mahaguru Harimau Emas? Siapakah yang cuba mensabotaj persembahan dari pahlawan 5 Puak?
Bersambung…
Cerita ini adalah cerita rekaan.
Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang
masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah
ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula
samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu
mendapat kebenaran dari admin blog ini.