Tuesday, November 30, 2021

5 Puak (Episod 29 : Marvick Tunjuk Belang!) oleh MS Malawi

DEMI sahaja terlihat akan hakikat di depan matanya, hati Mahaguru Harimau Emas begitu berang. Namun begitu, dia menarik nafas panjang dan membacakan sesuatu iaitu ayat pembuka dari ayat 1-3 dari Surah Al-Fath lalu dihembuskan ke arah anak-anak buahnya. Sebaik sahaja hembusan itu mengenai anak-anak Harimau, kunci yang memasung kaki mereka akhirnya terbuka. Namun begitu, jin-jin yang terlihat di mata Mahaguru Harimau Emas mengalihkan perhatian mereka kepada Mahaguru Harimau Emas. Jin-jin itu sangat marah kerana telah diserang balas oleh Mahaguru Harimau Emas. Sebelum serangan itu menghampiri tubuh Mahaguru Harimau Emas, satu cahaya yang sangat menyilaukan terpancar dari tubuhnya sehingga membuatkan jin-jin itu terpelanting dan terbakar.

Sebelum serangan itu mengenai tubuhnya, Mahaguru Harimau Emas telah membacakan Ayatul Qursi sebagai ayat pendinding dirinya disusuli serangan daripada satu ayat dari surah Yassin. Ayat itu telah menjelmakan petir yang memancar kuat cahayanya lalu merejam jin-jin itu bak lembing. Mahaguru Harimau Emas memberikan isyaratnya kepada Anak Harimau agar memulakan persembahan mereka. Oleh kerana mereka terburu-buru, Anak-anak Harimau telah leka dan lalai kerana tidak memulakan pembukaan gelanggang dengan ayat-ayat suci Al-Quran. Pembukaan gelanggang dengan ayat Al-Quran dari surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Nas, Al-Fatihah dan Ayatul Qursi amat penting sebelum membuka gelanggang.

Sudah menjadi kebiasaan akan sifat manusia yang sentiasa hasad dengki dan iri hati. Begitulah jua yang sering terjadi kepada Puak Berlima. Namun begitu, jin-jin yang datang melanda mereka kali ini kelihatan berbeza dan sangat menggerunkan. Setelah ayat pembuka gelanggang dibacakan, baharulah Anak-anak Harimau dapat memulai persembahan mereka. Sementara itu, Naga Hitam berlari keluar dari balairung Istana Segumpal. Pada firasatnya, ada sesuatu yang tidak kena tatkala Marvick tiba-tiba keluar meninggalkan majlis. Naga Hitam berjalan mengikut gerak hati dan ilham dari Allah SWT. Beberapa langkah lagi menuju ke arah sebuah hutan di belakang Istana Segumpal. Dapat dirasai satu kuasa yang kuat berada di dalam hutan belantara itu.

Di saat kaki Naga Hitam melangkah masuk ke dalam hutan belantara, terlihat olehnya kelibat seseorang di udara dalam keadaan terapung. Dari matanya yang tidak berhijab itu, kelihatan dua ekor jin berwarna merah darah dan bersayap sedang memeluk Marvick. Marvick dilihat sedang membacakan sesuatu kemudian dihembuskan ke bawah. Mungkin ia jampi serapah, kerana dari hembusan nafas Marvick itu terlihat dari mata Naga Hitam akan beberapa ekor jin kecil bersayap dan ganas sedang menuju ke arah Istana Segumpal. "Kurang ajar. Aku mesti lancarkan serangan balas," bisik hati Naga Hitam lalu dia mula duduk bersila. Naga Hitam mula membacakan ayat-ayat suci Al-Quran dan ditepuk kedua-dua telapak tangannya ke atas tanah. Getaran mulai terasa pada tubuh badan sang Naga Hitam.

Getaran itu adalah roh Naga Hitam. Kekuatannya semakin bertambah, lalu rohnya keluar dari jasadnya. Pada saat ia terbang ke udara, seekor naga hitam telah bergabung dengan rohnya itu. Sang naga terus meluru ke arah Marvick. Marvick dapat merasakan satu aura yang kuat meluru ke arahnya dengan kepantasan yang luarbiasa. Perhatiannya sudah beralih arah. Diarahkan jin-jin kecil itu menyerang sang naga hitam itu. Akan tetapi, kekuatan naga hitam itu bukan sebarangan. Dilibaskan ekornya kepada jin-jin kecil itu sehingga mereka tertewas dengan begitu mudah sekali. Wajah Marvick semakin merah padam. Diperkuatkan bacaan manteranya. Lalu muncul jin merah bertanduk tiga. Semakin lama ia semakin membesar sehingga tubuh badannya sebesar sang naga hitam. Kali ini Naga Hitam menyedari Marvick bukan calang-calang lawan. Naga Hitam yang bergabung dengan naga telah membulatkan tekad untuk terus menyerang.

Memang ini yang amat ditunggu-tunggu oleh Marvick. Pada saat kuasa gabungan Naga Hitam dan sang naga menyerang ke arahnya, telah tersedia akan perangkap yang tidak disedari oleh Naga Hitam. Tiba-tiba, tangan jin merah bertanduk tiga berubah menjadi seperti pedang darah. Serangan sang naga sudah semakin hampir, jin merah itu tidak mahu terus menunggu menghadapi ancaman maut itu. Ia terus menyerang sang naga. Pertarungan luarbiasa kini berlangsung begitu pantas. Kedua-duanya saling berbalas serangan. Masih belum diketahui siapa yang akan memenangi pertarungan ini. Marvick memperkuatkan bacaan manteranya. Jin merah itu semakin bertambah kuat nampaknya. Beberapa kali Naga Hitam berundur ke belakang. Naga Hitam segera membacakan sesuatu. Moga Allah akan membantunya di saat kesukaran berhadapan musuhnya itu.

Langit di alam kebatinan mula berubah warna. Tiba-tiba guruh berbunyi, kilat sabung menyabung. Keadaan itu tidak dihiraukan oleh Marvick kerana dia mesti menghapuskan musuhnya dengan segera. Tiba-tiba, jin merah bertanduk berjaya menangkap kaki sang naga. Dengan kekuatan yang telah dipertingkatkan, jin merah itu cuba menghumban sang naga hitam. Namun begitu, Naga Hitam dan naganya dapat menyerang balas. Kibasan sayapnya tepat mengenai jin merah itu sehingga ia terpaksa melepaskan kuncian tangannya. Kesempatan ini seharusnya tidak dipersia-siakan oleh Naga Hitam. Namun dia bertindak sebaliknya. Naga Hitam berundur ke belakang. Apakah Naga Hitam sudah mengaku kalah?

Marvick semakin angkuh melihatkan keadaan yang disangkakan menyebelahi dirinya. Tiba-tiba, satu pancaran sepantas kilat mengenai tubuh jin merah sehingga ia hancur berkecai. Ia adalah petir tunggal yang didatangkan oleh Allah, daripada doa yang dibacakan oleh Naga Hitam. Marvick meraung keras. Jin merah bertanduk itu adalah satu daripada jin kesayangannya. Marvick telah salah menilai akan kekuatan Naga Hitam. Disangkakan Naga Hitam itu lebih lemah daripada Mahaguru Harimau Emas. Namun begitu, akhirnya dia telah terperdaya dengan helah licik Naga Hitam itu. Marvick mengghaibkan dirinya daripada pandangan Naga Hitam. Kemenangan telah memihak yang hak dan menghancurkan yang bathil. Semuanya adalah dengan izin Allah SWT, Yang Maha Berkuasa dan Maha Perkasa.

"Alhamdulillah, hamba-Mu ini amat bersyukur atas bantuan yang dikurniakan oleh-Mu, Ya Allah," bisik hati Naga Hitam. Perlahan-lahan rohnya kembali ke dalam jasadnya, berpadu dan bersatu semula. Terasa setiap sendinya akan sedikit kesakitan dan kekejangan. Pertarungan di alam kebatinan lebih memenatkan berbanding di alam nyata. Naga Hitam menarik nafasnya dan cuba mengatur semula pernafasannya. Setelah beberapa lama, akhirnya kekuatannya kembali pulih.

"Apa agaknya yang berlaku di dalam istana," bisik hati Naga Hitam, menyapu keringat yang membasahi dahinya. Dia bangun dan kemudian berjalan semula menuju istana. Setibanya di pintu istana, Naga Hitam melihat persembahan anak-anak buahnya dalam keadaan selamat dan teratur. Naga Hitam menarik nafas lega sambil pandangan matanya mencari-cari akan Marvick. Akhirnya pandangan dua seteru itu bertemu, terlihat oleh Naga Hitam akan wajah geram si Marvick.

"Jangan sesekali mencabar kami, pahlawan Melayu di Segumpal ini," seakan itulah ayat yang ingin disampaikan oleh Naga Hitam kepada Marvick. Seakan dapat membaca pesanan itu, Marvick mengalihkan renungan matanya kepada Putera Baratia yang datang menghampirinya.

"Ini baru permulaan. Mungkin di lain kali akan ada lagi pertarungan antara kami. Kedatangan mereka ke Tanah Melayu ini sangat mencurigakan," bisikan hati Naga Hitam tidak pernah salah.

Apakah yang akan berlaku di kemudian hari? Apakah tujuan rombongan dari Baratia datang ke Segumpal, sebuah kerajaan kecil di Tanah Melayu?

Bersambung…

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.