Thursday, May 30, 2013

EP2 : Silat : Definisi & Pengertiannya


SENI Silat atau Pencak Silat adalah salah satu bagi bangsa atau yang diamalkan sejak berkurun yang lampau. Usia sesebuah ilmu atau salasilah seni silat atau pencak silat itu tidak dapat dihuraikan secara terperinci dan tepat kerana tiada usaha-usaha untuk mengkaji dari pihak berwajib secara mendalam. Ada yang menganggarkan beladiri ini sememangnya telah berusia beratus-ratus tahun dan diperturunkan dari generasi ke sebuah generasi. Ini termasuklah adanya para pengamal seni mempertahankan diri dari aliran silat di Malaysia, Filipina, Brunei, Indonesia dan Thailand.Sekarang ianya menular ke Vietnam, Burma dan Laos.

Di Malaysia sahaja telah wujud beratus-ratus tahun yang lampau dan mempunyai pelbagai cara seperti menggunakan senjata atau tanpa menggunakan senjata. Bagi silat yang menggunakan senjata sebagai kaedah beladirinya, senjata-senjata Melayu yang lama sering digunakan seperti keris, badik, kerambit, parang, pedang, lading, tumbuk lada, tekpi, tongkat, tembong dan sundang. Terdapat juga senjata yang jarang kita lihat dalam silat seperti tuas, perisai atau kerambit, hinggakan kain pun boleh dijadikan senjata seperti permainan cindai. Bagi silat yang tanpa menggunakan senjata, pengajaran akan menumpukan perhatian kepada pertempuran tangan kosong (tanpa senjata).
  

Walau apa-pun jenis atau kaedahnya, sememangnya ilmu silat nusantara ini unik dan sofitikated. Ada yang mengikut resmi haiwan, alam, manusia dan ilham. Segalanya ada kepelbagaian dan kelainan tetapi masih terdapat diantara kita yang keliru tentang pengunaan nama dan panggilan sesuatu jenis silat yang menggunakan nama seperti ‘Seni’ dan ‘Pencak’. Pada saya ianya adalah identity dan simbol asal sesuatu silat merujuk pada latar belakang dan georafi lahirnya silat tersebut. Di sini, saya ingin kongsikan buat anda para pembaca yang budiman tentang definisi dan pengertian seni dan pencak silat.

Seni Silat

Ianya bolehlah kita definisikan sebagai satu kefahaman teori dalam silat itu sendiri. Penggunaan nama ‘Seni Silat’ iatu sendiri sering dapati di tanah melayu kita ini iaitu Malaysia. Kebanyakkan pertubuhan atau persatuan silat yang bertapak dan lahir di Malaysia menggunakan jenama ‘Seni’ bagi identiti  silatnya selain memperkenalkan jenama tersebut. Kenapa ‘Seni’, kenapa tidak ‘Jurusan’, ‘Kali’, ‘Mancak’ atau ‘Pencak’? Untuk pengetahuan definisi seni itu dalam takrifannya. ‘Seni’ adalah bermaksud kehalusan atau kelembutan gerak atau langkah yang tersusun ketika menggayakan atau melakukan sesuatu pergerakan jasmani. Manakala ’Silat’ pula bererti ketangkasan pergerakan jasmani ketika mempertahankan atau menyerang sama ada bermain secara tangan kosong atau bersenjata.


Apa yang pasti, penggunaan nama ’Seni Silat’ itu lebih sinonim di Malaysia. Jika tidak ’Seni Silat’ ianya hanya diterbalikkan sedikit seperti ’Silat Seni’ seperti Silat Seni Gayong Malaysia sebagai contohnya. Antara nama silat di Malaysia yang mempunyai pengaruh besar dalam lapangan beladiri silat yang  mengenakan nama ’Seni’ pada pertubuhan atau persatuan silat adalah seperti Seni Silat Sendeng Malaysia, Seni Silat Lincah Malaysia, Seni Silat Cekak Malaysia, Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia dan banyak lagi. Berbeza di negara jiran serumpun kita, Indonesia. Mereka lebih sinonim menggunakan nama ’Pencak’ atau ’Jurus’.

Pencak Silat

Beberapa pengertian ‘Pencak Silat’ menurut para pakar diantaranya sebagai berikut: Abdus Syukur menyatakan bahawa, Pencak adalah gerakan langkah keindahan dengan menghindar yang disertakan gerakan berunsur komedi. Pencak dapat dipertontonkan sebagai sarana hiburan, sedangkaan Silat adalah unsur teknik bela diri menangkis, menyerang dan mengunci yang tidak dapat diperagakaan di depan umum. Mr.wongsonegoro, ketua IPSI yang pertama mengatakan bahawa, Pencak adalah gerakan serang bela, berupa tari dan berirama dengan peraturan adat kesopanan tertentu yang bisa dipertunjukkan di depan umum.


Silat adalah intisari dari pencak, iaitu kemahiran untuk sesuatu perkelahian atau membela diri bermati-matian yang tidak dapat dipertunjukkan di depan umum. Manakala Imam Koesoepangat mengatakan Pencak merupakan gerakan bela diri tanpa lawan, sementara silat sebagai bela diri yang tidak boleh dipertandingkan. Antara nama-nama silat di Indonesia yang menggunakan nama ‘Pencak’ di permulaan silatnya seperti Pencak Silat Siwah, Pencak Silat Pertempuran, Pencak Silat Gerakan Suci, Pencak Silat Tri Bela, Pencak Silat Maung Lugay, Pencak Silat Bintang Suci, Pencak Silat Rangjat dan lain-lain lagi.

Pada keluaran akan datang, saya akan memperkenalkan tidak lebih 360 jenis-jenis silat yang lahir dan bertapak di Malaysia dari dulu hingga kini. Kemungkinan jumlah itu makin bertambah dari tahun ke tahun yang akan saya kongsikan bersama anda. Tujuan, supaya anda lebih kenal, dekat dan cintakan seni silat bangsa sendiri. Insha-Allah ;-)