Friday, May 10, 2013

Sebaik-Baiknya Biarlah Pemimpin Jadi Imam



BELIA adalah aset atau harta yang sangat berharga kepada negara. Merekalah tonggak kekuatan negara serta pewaris kepada kepimpinan negara. Bagaimanakah yang dikatakan belia yang mampu memimpin negara?

Mereka adalah belia yang berjaya memimpin diri sendiri. Selain itu, mereka juga mampu menjadi imam dalam jemaah solat, bijak dalam ekonomi, mesra dengan masyarakat, celik dalam bidang politik dan cemerlang dalam menguasai ilmu pengetahuan.

Semua ciri-ciri berikut sebenarnya telah diasuh dan didik sejak dari zaman kanak-kanak agar mereka menjadi salah seorang belia yang dikatakan mampu memimpin negara.

Mempraktikkan sembahyang berjemaah dalam masyarakat mampu menguatkan sistem organisasi dalam negara. Hal ini dapat dilihat melalui hikmah sembahyang berjemaah, antaranya, merapatkan hubungan rakyat dengan pemimpin dan mengekalkan perpaduan dalam kalangan penduduk.



Alangkah indahnya jika pemimpin menjadi imam, kerana kekuatan sembahyang berjemaah juga boleh menimbulkan sikap kasih sayang, hormat-menghormati dan menjalinkan persefahaman.

Syarat-syarat untuk menjadi imam sembahyang berjemaah adalah sama dengan syarat untuk menjadi pemimpin dari segi kemampuan menguasai ilmu agama. Seorang imam perlu menguasai bacaan Al-Quran lebih baik daripada makmumnya dan lebih faham perkara berkaitan rukun dan syarak.

Begitu juga pemimpin, seorang pemerintah perlu menguasai ilmu pengetahuan yang mendalam untuk mentadbir negara kerana kuasa menghukum terletak di bahunya. Kejayaan umat Islam sebelum ini adalah kerana mereka mempraktikkan roh sembahyang itu di luar sembahyang.

Dalam sembahyang, mereka merendah diri kepada Allah SWT. Di luar sembahyang, mereka tawaduk, tidak sombong, tidak angkuh atau membesarkan diri.

Mereka sembahyang berjemaah dan patuh kepada imam selagi imam patuh kepada syarat dan rukun. Di luar sembahyang, mereka hidup dalam masyarakat yang harmoni, mentaati pemerintah selagi pemerintah mentaati Allah SWT.



Dalam sembahyang berjemaah juga mereka berbaris dalam satu saf yang tersusun rapi. Di luar sembahyang, mereka berganding bahu dalam organisasi yang teratur untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

Seseorang yang dianugerahi Allah SWT untuk menjadi pemimpin hendaklah menunjukkan rasa cintanya dalam menyampaikan dakwah Islam kepada bawahannya atau rakyatnya. Dakwah tidak semestinya dilakukan oleh pendakwah, ustaz mahupun tabligh tetapi dakwah juga dipertanggungjawab kepada pemimpin.

Maksud dakwah ialah mengajak individu ataupun masyarakat ke arah yang lebih baik dari setiap sudut ekonomi, politik, sosial, pendidikan, sains dan teknologi serta kesihatan.

Insya-Allah, jika seseorang itu berjaya menjadi imam dalam sembahyang jemaah, maka dia akan berjaya dalam memimpin rakyatnya.