"Tok, mengapa kita berhenti di sini?" Bukankah kita
harus mengejar mereka?"
"Tak perlu kita kejar dan ekori mereka semua. Lebih baik
duduk bersenang lenang dahulu di perkampungan ini. Makanan pun banyak,"
jawab Jin Naga Hitam sambil tertawa besar. Anak-anak buahnya kurang mengerti dengan
kata-kata pemimpin mereka.
"Tak perlu kamu semua risau akan perangkap yang dipasang di
gunung itu. Aku sudah memasang mata-mata yang telah melihat semua keadaan di
sepanjang perjalanan ke puncak gunung. Kita tinggal dahulu di sini dalam dua ke
tiga hari. Kita habiskan bekalan makanan mereka semua. Ha ha ha ha!"
DAN
kemudian kita akan melangkah dengan gagah tanpa perlu rasa gentar," tambah
Jin Naga Hitam dengan matanya yang bersinar-sinar kemerahan bak saga. Senyuman
menyeramkan mula terlihat di wajahnya, menandakan dia amat yakin dengan
pengintip yang dihantar olehnya. Siapakah mata-mata yang dimaksudkan oleh Jin
Naga Hitam? Apakah orang itu salah seorang pengikut kepada Puak Bisa? Pertandingan
antara 5 puak masih berlangsung dengan penuh kemeriahan. Anak Harimau menentang
Anak Helang, satu pertarungan yang seringkali terjadi antara dua puak ini.
Namun begitu, kemenangan sering dimiliki Puak Harimau, bukan sekali malah boleh
dikatakan hampir kesemuanya menjadi milik Puak Harimau. Namun kini Puak Helang
menunjukkan peningkatan daripada segi kemahiran dan kekuatan. Anak-anak Helang
giat berlatih dan sentiasa menunjukkan semangat yang membara semasa pertandingan
sedang berlangsung.
Semua diibaratkan adalah pertandingan akhir buat mereka. Anak
Helang kedua ini jelas seorang petarung yang tidak terikat dengan peraturan
atau gaya Puak Helang. Dia tidak terlalu bergantung kepada teknik tempur helang
yang sebenar. Bukanlah tiada langsung imej tempur dan perang sang helang, namun
Anak Helang kedua ini lebih mementingkan kekuatan dalam pertarungannya. Anak
Harimau pertama masih merasakan dia mampu terus bertarung. Walau keadaan
jasadnya semakin lemah, namun semangatnya tetap tinggi membara. Dengan ertikata
lain, dia enggan berputus asa dan masih yakin dengan kemampuan dirinya sendiri.
Keyakinan yang terlalu tinggi itu lebih berupa kepada sikap ego dan memandang
rendah keupayaan lawan. Dia masih cuba bermain-main dengan lawannya. Dengan
sisa tenaga yang masih ada, Anak Harimau berpusing-pusing di sekeliling Anak
Helang sebagai petarung kedua. Caranya itu lebih banyak menghabiskan tenaga.
Anak Helang lebih bijak dan tidak langsung terpengaruh dengan
permainan minda Anak Harimau. Oleh kerana itu dia sentiasa berdiri dalam posisi
tegak, dan pancaindera dipasang sebagai tindak balas bersiap siaga. Dia tidak
terus menyerang balas kerana itulah yang dimahukan Anak Harimau agar lawan
senantiasa melayani acahannya. Walaupun begitu, Anak Helang tahu Anak Harimau
akan menyerangnya bila-bila masa dan dari arah yang tidak dijangka. Tepat
seperti jangkaannya, Anak Harimau tiba-tiba sahaja menyerang dengan teknik
sapuan kaki. Anak Helang sempat melompat bagi mengelak serangan tersebut dan
kemudian menyerang balas dengan satu tendangan padu, namun sempat dielak Anak
Harimau yang segera berundur dan kembali berpusing-pusing di sekelilingnya.
"Arghhhh, dia cuba menaikkan kemarahan aku," bisik hati
Anak Helang yang kemudian menutup matanya. Deria pendengaran akan digunakan
sepenuhnya bagi menggantikan mata. Ini adalah kali pertama ia digunakan dalam
pertandingan setelah dia banyak kali berlatih dengan teknik seperti itu.
Anak Harimau masih teragak-agak untuk menyerang. Lebih-lebih lagi
dalam keadaan Anak Helang yang dilihat menutup mata. "Apakah dia ada helah
yang lain atau telah buntu dengan helahku?" Bisik hati Anak Harimau. Kedua-dua
petarung muda itu semakin hilang sabar. Bukan sahaja mereka, para penonton juga
begitu dan ternanti-nanti apakah aksi
seterusnya. Tok Harimau juga memerhati dengan penuh geram melihat sikap anak
muridnya itu. Tiba-tiba, Anak Harimau menerkam ke arah Anak Helang.
Mendengarkan pergerakan yang begitu pantas dari arah belakangnya, Anak Helang
dengan mata tertutup melepaskan satu tendangan padu. Tendangan itu
hampir-hampir mengenai Anak Harimau, namun sempat juga dia menghentikan
langkahnya, seolah-olah dia dapat membaca sesuatu dalam fikiran si Anak Helang.
Anak Harimau sempat menyambut tendangan kaki Anak Helang lalu cuba membanting
dan menghumbannya. Anak Helang pula tidak sempat menyerang balas dan terpaksa
merelakan dirinya dihumban. Anak Helang terpelanting jauh, namun dia segera
bangkit dengan bibirnya yang dipenuhi darah.
Akan tetapi, Anak Harimau tidak terus menyambung serangan. Dia
hanya melihat keadaan itu sambil tersenyum sinis, kemudian mendekati rakan
seperguruannya yang akan menjadi petarung seterusnya. Selepas menepuk tangannya
dengan rakannya itu, Anak Harimau pertama terus duduk bersila. Anak Harimau
kedua ini punya tubuh yang lebih tegap dan sasa. Ketinggiannya melebihi
ketinggian fizikal Anak Helang kedua. Walau bagaimanapun, gerak langkahnya
begitu tersusun, sopan santun dan lemah lembut. Dia memberi salam sembah hormat
kepada semua yang berada di situ sebelum membuka langkah tempurnya. Anak Helang
yang geram, kini tidak mampu bertenang lagi. Dia segera menerkam lawannya dan
mula menyerang dengan teknik Cakaran Helang. Akan tetapi, semua serangan itu
dapat ditepis dan dielak dengan mudah. Sebaliknya, jari jemari Anak Helang pula
yang mengalami luka-luka kecil. Tangan Anak Harimau kedua ini keras seperti
besi waja. Oleh kerana pertarungan antara 5 Puak tidak membenarkan pertarungan
ilmu kebatinan, semua petarung telah berlatih teknik pernafasan. Setiap
otot-otot mampu menjadi keras dan pejal dengan teknik pernafasan itu.
Pertarungan kali ini lebih kepada kekuatan fizikal. Kedua-dua
petarung punya kelebihan dan kekuatan yang luarbiasa. Masing-masing mampu
menahan dan menyerap segala serangan dan tekanan. Anak Harimau kedua masih
bertenaga. Ini kerana dia adalah petarung yang baru masuk ke medan pertempuran
berbanding Anak Helang kedua. Pertarungan antara mereka bertambah sengit,
kedua-duanya saling berbalas serangan. Tumbukan berbalas dengan tumbukan.
Tendangan juga dibalas dengan tendangan. Tiada satu pun yang dielak, kerana
mereka tidak sempat lagi mengelak serangan lawan dan mengatur strategi. Tiba-tiba,
satu serangan Anak Harimau disambut dengan pertembungan telapak tangan. Mereka
saling menolak antara satu sama lain dengan tenaga dalaman yang datangnya dari
ilmu pernafasan peringkat tertinggi. Dalam keadaan tolak menolak itu, Anak
Helang menyentap telapak tangan Anak Harimau. Anak Harimau terduduk apabila
dapat dirasakan serangan balas itu begitu menyakitkan. Melihat keadaan Anak
Harimau, Anak Helang tidak bertangguh lagi. Satu tendangan pantas dilepaskan ke
arah sasarannya iaitu kepala Anak Harimau.
Walaupun berasa kesakitan, Anak Harimau sempat mengelak serangan
itu dan kemudian mengepit kaki Anak Helang dengan lehernya. Anak Helang
menjerit kesakitan dan akhirnya terpaksa melepaskan cengkaman tangannya. Dia
segera berundur bagi memulihkan kekuatannya yang sedikit terjejas. Pada saat
itu, tiba-tiba muncul panglima-panglima dan hulubalang diraja bersama para pengikut
5 Puak. Mereka kelihatan begitu cemas dan segera menyembah kepada Maharaja
Segumpal Satria. Pertarungan itu terhenti seketika bagi mendengarkan laporan
yang dibawa oleh Panglima Besar. Namun begitu, Mahaguru Naga Emas tiba-tiba
menyerang Panglima Besar, menyebabkan keadaan di puncak Gunung Segumpal mula
dilanda resah dan penuh tanda tanya.
Apakah yang berlaku sebenarnya? Mengapa Mahaguru Naga Emas
tiba-tiba menyerang Panglima Besar yang juga rakan sekutunya?
Bersambung…
Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata
Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah
rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal
dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi
Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau
media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog
ini.