PERTARUNGAN itu terhenti seketika bagi mendengarkan laporan yang
dibawa oleh Panglima Besar. Namun begitu, Mahaguru Naga Emas tiba-tiba
menyerang Panglima Besar, menyebabkan keadaan di puncak Gunung Segumpal mula
dilanda resah dan penuh tanda tanya. Panglima Besar terkejut dengan serangan
Mahaguru Naga Emas dan hanya mampu mengelak. Serangan sang mahaguru begitu
pantas walaupun sudah berumur lanjut. Tiada siapa di puncak gunung itu cuba
menahan serangan itu. Mahaguru Naga Emas pasti ada alasan sendiri atas segala
tindakannya.
Panglima Besar akhirnya terpaksa mengeluarkan pedangnya. Jika dibiarkan,
pasti dirinya yang akan tewas dengan mudah di tangan Mahaguru Naga Emas.
Ditetaknya pedang itu ke arah Mahaguru Naga Emas, namun Mahaguru Naga Emas
tidak pula mengelak serangan itu. Ditangkisnya dengan tangan kosong menyebabkan
Panglima Besar terkejut besar. Pedangnya seperti menentang sebilah pedang yang
begitu keras seperti besi waja. Hampir-hampir sahaja pedangnya terlepas dari
tangan Panglima Besar. Panglima Besar mula kelam kabut. Dia mengharapkan ada
bantuan dari para panglima dan hulubalang lain, namun tiada yang sudi membantu.
Tindakan mereka adalah tertakluk kepada titah perintah Maharaja Segumpal
Satria. Selagi tiada titah dari paduka baginda maharaja, maka dia terpaksa
menentang Mahaguru Naga Emas seorang diri.
Panglima Besar memperkuatkan tekadnya. Sekali lagi dia menyerang
Mahaguru Naga Emas. Namun yang mengejutkan adalah Mahaguru Naga Emas tiba-tiba
melompat ke atas. Bayangan seekor naga emas terpancar dari jasad Mahaguru Naga
Emas. Pancaran cahayanya begitu menyakitkan mata Panglima Besar. Dia tidak
dapat melihat dengan jelas. Tiba-tiba dirasakan sambaran angin yang begitu kuat
di bahagian kepalanya. Dia cuba menyerang balas, namun semuanya sudah
terlambat. Mahaguru Naga Emas menggunakan kedua-dua batang jari telunjuk kanan
dan kirinya untuk menyerang bahagian kepala Panglima Besar. Kekuatan serangan
itu menyebabkan Panglima Besar tewas dan jatuh pengsan. Mahaguru Naga Emas
kembali berjejak di atas tanah dalam keadaan selamat dan lembut, seperti dedaun
gugur di atas tanah.
"Angkat segera Panglima Besar dan baringkan dia di
sini," arah Mahaguru Naga Emas. Tok Harimau melangkah ke hadapan dan
segera mematuhi perintah gurunya itu. Dalam keadaan Panglima Besar yang sedang
berbaring, Mahaguru Naga Emas meletakkan telapak tangannya pada ubun-ubun
Panglima Besar sambil mulutnya berkumat kamit membacakan doa.
Perlahan-lahan, Mahaguru Naga Emas menutup matanya. Dirasakan
dirinya mula tenggelam dalam zikir dan doa. Rohnya mula dibawa perlahan-lahan
menuruni Gunung Segumpal. Ia melayang seperti angin dan akhirnya roh Mahaguru
Naga Emas dibawa sehingga ke perkampungan 5 puak. Di sana ia berdiri di hadapan
sebuah rumah. Di sekitar rumah itu dipenuhi kabus yang berwarna hitam. Tiba-tiba,
seorang lelaki muda meluru keluar dari rumah itu. Tubuh badannya dipenuhi asap
beracun dengan mata yang berkilauan dengan warna merah bak saga. Lelaki muda
itu hanya tersenyum sinis dengan berpeluk tubuh.
"Akhirnya kau tiba jua,kanda. Tak kusangka ilmu kau masih
tinggi. Pastinya kau sudah menangkap mata-mata yang kuhantar," gelak
tawanya menggegar kawasan rumah itu namun hanya dapat dirasai oleh mereka
berdua sahaja.
"Sudah, berani kau peralatkan panglima itu. Kau bukan
adindaku lagi, dia telah lama pergi bertemu Yang Maha Pencipta," balas
Mahaguru Naga Emas.
"Ha ha ha ha! Memang kau masih belum dapat menerima hakikat
adikmu itu telah menyerahkan jasadnya kepadaku. Aku telah pelihara tubuhnya
agar kekal muda dan gagah. Marilah bersamaku, kau pasti akan kuat dan gagah
selama-lamanya," kata Jin Naga Hitam.
Yang berdiri di hadapan Mahaguru Naga Emas bukan lagi Naga Hitam
yang dikenalinya selama ini. Melalui mata batinnya, dapat dilihat roh Jin Hitam
yang menakluk jasad Naga Hitam selama ini. Ia sangat mengerikan dan
menyeramkan, namun tidak pada Mahaguru Naga Emas.
Dia mula membacakan zikir dan doa agar dapat mengusir Jin Hitam
itu. Kepanasan mulai terasa pada jasad Naga Hitam, lalu dia segera menyerang
Mahaguru Naga Emas. Serangan yang begitu pantas, namun dapat dielak dengan
kepantasan yang luarbiasa daripada Mahaguru Naga Emas.
Oleh kerana kepanasan itu juga, Jin Hitam mula menyerang dengan
ilmu sihirnya. Tiba-tiba muncul tangan besar berwarna hitam menyerang Mahaguru
Naga Emas. Lantas ia mula menangkap roh Mahaguru Naga Emas.
"Ha ha ha ha! Ternyata kau sudah semakin lemah! Begitu mudah
kau diperangkap olehku," gelak tawa Jin Hitam mula memenuhi suasana.
Tiba-tiba, satu cahaya berwarna keemasan muncul dari celah-celah
telapak tangan Jin Hitam. Cahaya itu begitu menyakitkan mata. Dalam satu
serangan, ia berjaya memisahkan kedua-dua telapak tangan hitam itu. Roh
Mahaguru Naga Emas berwarna keemas-emasan. Dia berjalan dan melangkah gagah
tanpa sebarang kecederaan. Ketenangan masih kekal dan utuh dalam dirinya. Tiada
yang dapat menandingi kekuatan ilmu Allah. Jin Hitam tetap makhluk yang dicipta
oleh Allah. Jin Hitam mulai merasa kesakitan yang begitu dalam. Namun, dia
tidak mahu menunjukkan kelemahannya di hadapan manusia yang dianggap lemah dan
mudah diperdaya. Ia masih terlihat angkuh dan sombong.
"Kau tak mampu memperdayakan diriku, wahai Jin Hitam. Nyah
kau dari sini dan jangan sesekali kau datang ke sini lagi!" Begitu keras
amaran yang dilemparkan oleh Mahaguru Naga Emas kepada pemimpin Puak Bisa itu.
Masa untuk rohnya kembali ke jasad sudah semakin tiba. Kemudian,
terasa ia ditarik kembali ke atas gunung dan memasuki jasadnya kembali.
Berpeluh-peluh seluruh tubuh Mahaguru Naga Emas sebaik sahaja dia kembali ke
alam nyata. Panglima Besar juga sudah sedar dari pengsan. Dalam keadaan separuh
sedar, dia mula meminta air untuk diminum. Panglima Besar segera mengangkat
sembah sebaik sahaja Maharaja Segumpal Satria tiba.
"Ampun tuanku beribu-ribu ampun. Sembah patik pacal yang hina
harap diampun. Izinkan patik bertanya, bagaimana patik boleh berada di puncak
gunung ini?" Pertanyaan Panglima Besar mengejutkan semua yang berada di
situ, namun tidak kepada Mahaguru Naga Emas.
"Panglima Besar, Mahaguru Naga Emas mungkin lebih mengetahui
apa yang terjadi," jawab Maharaja Segumpal Satria mempersilakan Mahaguru
Naga Emas untuk memberikan jawapannya.
"Alhamdulillah, dengan izin Allah, hamba ini hanya membantu
mengusir ilmu hitam yang dikenakan ke atas tuan panglima," jelas Mahaguru
Naga Emas kepada semua yang berada di situ.
Panglima Besar masih kurang jelas dengan jawapan itu. Seingatnya,
dia masih bertarung dengan musuhnya dari Puak Bisa. Pada waktu itu, dia
sebenarnya sedang berhadapan serangan dan tentangan dari Jin Naga Hitam.
"Bagaimana tuan guru? Apakah pertandingan ini harus
diteruskan? Musuh sudah tahu jalan dan perangkap yang kita gunakan di sepanjang
jalan pendakian ke puncak gunung," Tok Harimau segera bertanya,
memandangkan musuh mereka semakin hampir.
"Tak mengapa. Pertandingan ini akan tetap diteruskan. Mereka
tidak akan tiba dengan mudah dalam 2 atau 3 hari ini ke atas puncak
gunung," kata-kata Mahaguru Naga Emas itu menampakkan keyakinan.
"Tapi, bekalan makanan kita tidak mencukupi untuk bertahan
selama 3 hari di sini," tambah Tok Helang pula.
Bersambung…
Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata
Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.