"Tapi, bekalan makanan kita tidak mencukupi untuk bertahan
selama 3 hari di sini," tambah Tok Helang pula.
"Usah dirisaukan akan hal makan dan minum. Pohon berbuah dan
air mata air di atas puncak gunung ini lebih dari mencukupi. Sekarang, kita
perlu perkukuhkan pertahanan kita di sepanjang jalan pendakian agar musuh tak
mampu sampai ke puncak gunung ini. Bagaimana pendapat paduka maharaja?"
"Beta menurut sahaja. Lagipun beta belum puas menonton pertarungan
akhir ini. Apa kata disambung semula?" Jawab Maharaja Segumpal Satria
sambil tersenyum.
Sungguh hairan mereka semua yang berada di situ. Ancaman musuh
bukan sebarangan, tapi Mahaguru Naga Emas dan Maharaja Segumpal Satria masih
kelihatan tenang. Mungkinkah hati mereka begitu berserah kepada Allah, Yang
Maha Esa?
"Teruskan pertarungan ini," Mahaguru Naga Emas segera
mengarahkan pertarungan antara Puak Harimau dan Puak Helang disambung semula.
Wajah kedua-dua petarung terakhir menunjukkan kepenatan, namun mereka terpaksa
akur.
SAYEMBARA
diteruskan semula. Anak Harimau yang diwakili petarung kedua mula menyerang
petarung kedua dari Puak Helang. Serangan pertama menggunakan tendangan,
disusuli dengan teknik lutut. Kekuatan petarung kedua ini bukan sahaja kerana
tubuh badannya yang sasa dan tegap, namun kemahirannya juga melebihi petarung
pertama. Setiap langkahnya terlihat berat, namun hanya petarung kedua dari Puak
Helang dapat melihat keadaan sebenar. Pergerakan pertama lebih kepada satu helah
dan acahan, maka selepas tendangan dan teknik lutut berjaya ditepis dan ditahan
oleh petarung Anak Helang, satu serangan cakaran harimau menyusul dengan
kekuatan yang luarbiasa. Namun begitu, Anak Helang tersebut sempat mengelak.
Dia segera memutarkan seluruh tubuh badannya sehingga terjadinya satu serangan
balas ke atas lawannya. Tangan Anak Harimau terkena serangan balas yang tidak
disangka-sangka itu. Hampir sahaja dia tersungkur menyembah bumi.
Dia sempat menahan tubuh badannya dengan kedua-dua tangan yang
keras bak waja. Selepas itu dia berpusing-pusing di udara dan mengatur semula
pernafasannya yang terganggu dan menjadi tidak keruan. Belum sempat dia
mendarat di atas tanah, Anak Helang tiba-tiba datang menyerang, sekali lagi
dengan teknik putaran. Namun kali ini dia menggunakan kekuatan tendangan bagi
menewaskan Anak Harimau. Anak Harimau sempat menangkis serangan itu dengan
tumbukan. Kedua-duanya terpelanting ke belakang selepas pertembungan itu.
Kedua-duanya mula mengalami kesakitan pada tangan dan kaki. Anak Helang segera
mengatur semula pernafasannya, begitu juga dengan Anak Harimau. Kedua-dua
petarung itu mula berasa lelah dan kepenatan. Tenaga dalaman yang berpunca dari
teknik pernafasan mereka semakin berkurangan. Tiada cara lain lagi, mereka
mesti menghabiskan pertarungan ini dengan secepat mungkin.
Kali ini Anak Helang menyerang terlebih dahulu walaupun dia belum
pulih sepenuhnya. Peluang begini tidak akan disia-siakan. Lebih baik menyerang
dari menunggu Anak Harimau berjaya memulihkan tenaga dalamnya. Namun begitu,
Anak Helang punya perancangan yang licik. Semasa dia melancarkan serangan,
ternyata semuanya palsu. Helahnya adalah bagi memastikan Anak Harimau bertahan
dan menyerang balas. Satu peluang terhidang kepada mereka yang lalai dan leka
dengan helah licik lawan masing-masing. Dari bahagian hadapan, Anak Helang
cepat-cepat bergerak ke bahagian belakang Anak Harimau. Satu serangan menyentuh
badan Anak Harimau, namun kemudian ditarik semula selepas Anak Harimau
memusingkan badannya. Satu tendangan berbentuk putaran dilepaskan oleh Anak
Harimau, nyaris-nyaris mengenai kepala Anak Helang.
Tiba-tiba terpancar dari anak mata Anak Harimau sesuatu yang
menggerunkan dan menggetarkan hati. Semua yang berada di situ turut merasakan
perasaan yang sama. Anak Harimau yang telah berjaya memulihkam tenaga dalamnya
terus menyerang dengan kepantasan luar biasa. Anak Helang cuba mengelak setiap
serangan, namun gerak langkahnya seperti sudah dapat dibaca. Pada saat
langkahnya mula sumbang dan tidak teratur, Anak Harimau menyerang dengan
Cakaran Berganda. Anak Helang kemudiannya melepaskan dua tumbukan berkembar. Namun
begitu, kedua-dua tumbukan itu telah berjaya ditangkap oleh Anak Harimau. Anak
Helang semakin ketakutan. Walaupun tubuh badannya sama tegap dan sasa, namun
kemahiran dan ilmu yang dimiliki Anak Harimau ini melebihi kemampuannya. Anak
Helang cuba melepaskan diri dengan menendang ke arah tangan Anak Harimau, namun
ia tetap teguh dan keras seperti waja. Dia cuba memutarkan tubuh badannya,
namun tenaga yang dimilikinya tidak lagi mampu menghasilkan tenaga dan teknik
putaran.
Anak Helang diangkat ke atas oleh Anak Harimau dan pada saat dia
dijulang ke atas, tiba-tiba Anak Harimau melepaskan cengkamannya. Anak Helang
sedar, satu lagi serangan ganas akan menyusul. Selepas melepaskan genggamannya,
Anak Helang yang berada di udara jatuh ke bawah. Pada saat itulah, Anak Harimau
melancarkan teknik tendangan Kaki Berkembar. Pada saat tendangannya hampir
mengenai leher Anak Helang, tiba-tiba sahaja muncul seseorang menahan serangan
itu. Dan, pada saat itu juga Anak Harimau merasakan tubuh badannya telah
ditarik oleh seseorang ke belakang. Tendangan yang dilancarkan sebentar tadi
adalah serangan dengan sepenuh kekuatan. Oleh kerana itu, lelaki yang menahan
serangan itu sedikit melayang ke belakang bersama Anak Helang yang dipegangnya.
Tok Helang berjaya menyerap serangan Anak Harimau itu dan melepaskan sisa
kekuatannya di atas tanah. Manakala Tok Harimau pula berjaya menarik Anak
Harimau yang berbadan tegap dan sasa itu dengan sebelah tangannya. Mengapa pula
ia terjadi sedemikian rupa?
Mahaguru Naga Emas sempat memberikan arahannya kepada Tok Harimau dan Tok Helang dengan pandangan matanya. Dia tidak mahu pertarungan itu berakhir dengan kematian atau kecederaan parah kerana ada musuh sedang menanti mereka untuk pertarungan maut.
"Cukup sampai di sini sahaja pertarungan ini. Kalah dan
menang sudah tertulis. Kita tidak punya masa lagi. Puak Bisa akan mula
menyerang kita lagi dua hari," Mahaguru Naga Emas segera memberikan
jawapan yang agak mengejutkan. Bagaimana dia boleh tahu secepat itu?
Semuanya datang dari Allah SWT yang mengurniakan ilmu firasat
kepada Mahaguru Naga Emas. Kekuasaan Allah tidak mampu dibandingkan atau
difikirkan dengan akal fikiran manusia. Segalanya, semuanya adalah dari Allah
Yang Maha Kuasa.
"Alhamdulillah, sudah
terbukti Puak Harimau yang dipimpin oleh Tok Harimau adalah pemenangnya. Beta
amat berbesar hati dapat melihat pertarungan yang hebat ini walau sedikit
kecewa kerana tidak dapat melihat pertarungan antara ketua puak," panjang
lebar Maharaja Segumpal Satria bertitah. Paduka baginda maharaja kemudiannya
menyampaikan sebilah sundang sebagai hadiah kepada pemenangnya iaitu kepada
Puak Harimau. Sundang diraja itu disampaikan oleh baginda kepada Tok Harimau.
"Patik menjunjung perintah dan kurnia tuanku," Tok
Harimau mengangkat sembah semasa penerimaan sundang diraja itu. Semasa dia
menggosok hulu sundang itu, tiba-tiba ia berubah bentuk kepada bentuk harimau.
Tok Harimau menamakan ia sebagai Sundang Harimau.
"Harimau, sebagai bakal pemimpin utama 5 Puak, aku sebagai
gurumu akan mengurniakan ilmu tertinggi
ku kepadamu. Gunakan ia nanti sebagai pembela agama, bangsa dan tanah air
kita," kata Mahaguru Naga Emas.
"Dan anak-anak muridku yang lain, bantulah Harimau sebagai
pewarisku. Saling bantu membantu itulah harapanku di kemudian hari. Walau kamu
semua berbeza dan berbilang puak, namun kita semua sebenarnya adalah satu iaitu
hamba Allah. Ingat pesananku," tambah Mahaguru Naga Emas lagi.
Mendengarkan akan kata-kata Mahaguru Naga Emas, pahlawan-pahlawan
dari 5 puak pun saling berpelukan. Mereka tidak akan dapat dipisahkan walau
badai datang melanda. Persiapan harus segera diatur rapi bagi menghadapi
serangan Puak Bisa. Mahaguru Naga Emas segera membawa Tok Harimau ke dalam Gua
Segumpal. Dia akan segera mewariskan segala ilmunya kepada Tok Harimau yang
mungkin akan memakan masa selama dua hari sebelum ia benar-benar berjaya 'masak
ranum'. Apakah benar firasat Mahaguru Naga Emas itu? Atau mungkin Puak Bisa
akan mempercapatkan serangannya? Bagaimana pula persiapan 5 Puak dan
pahlawan-pahlawan dari Istana Segumpal? Mampukah mereka menghadapi ancaman Puak
Bisa yang tidak berperikemanusiaan itu?
Bersambung…
Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata
Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini
hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah
meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog
Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media
elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran
dari admin blog ini.