Wednesday, June 30, 2021

5 Puak (Episod 21 : Siapa Lelaki Tua Itu?)

"Adinda Lang, sudahkah tuan hamba bersedia?"

"Tuan Mahaguru Harimau Emas, hamba bukan lagi adinda buat kanda tapi kini adalah seorang murid. Jika ditanyakan akan perihal ini, sudah tentu hamba bersedia. Hamba dan puak Helang tidak akan gentar dan sudah tidak sabar lagi menerkam musuh," jawab Tok Helang Melayang penuh bersemangat.

KABUS hitam semakin lama semakin menyelubungi dan 'menghantui' hampir ke segenap kawasan gunung. Pada ketika ini, Jin Naga Hitam semakin mara ke tingkat gunung yang seterusnya. Kini tinggal dua buah puak sahaja daripada Puak Bisa iaitu Puak Kelawar Hitam dan Puak Ular Bercabang mengiringi Jin Naga Hitam. "Siapakah gerangan lelaki tua yang membantu hamba ini? Gerak gerinya sangat pantas, liciknya tidak mudah dibaca," bisik hati Tok Seladang Ganas penuh tanda tanya dan kekaguman. Dia hanya mampu memerhati dari jauh akan pertarungan antara lelaki tua itu menentang Lelabah Hitam dan anak buahnya. Ternyata Lelabah Hitam mengalami kesukaran dalam menangani lelaki tua itu. Akhirnya, Lelabah Hitam melemparkan Jaring Bisa bagi memerangkap lelaki tua itu, namun rencananya itu sudah dapat dibaca. Lelaki tua itu segera berpusing di udara, mengelak jaring itu dan kemudian menetak beberapa orang musuh yang berhadapan dengannya sehingga bercerai kepala dari badan. Tumbangnya pahlawan dari puak Lelabah itu menambahkan lagi kemarahan Lelabah Hitam.

Melihat kepada peluang yang terhidang di depan mata, Lelabah Hitam bergerak pantas dan terus maju ke hadapan bagi menyerang lelaki tua itu yang telah membelakangi dirinya. Senjatanya yang tajam dan penuh bisa itu terus dihalakan menuju ke bahagian kepala lelaki tua tersebut yang sama sekali tidak menyedari dirinya telah terdedah kepada bahaya. Akan tetapi dan secara tiba-tiba, muncul satu sosok tubuh besar telah merempuh Lelabah Hitam sehingga dia terpelanting ke tepi dan melanggar anak-anak buahnya sendiri. Mungkin juga dia terlupa akan kehadira  Tok Seladang Ganas yang sebelumnya hanya menjadi pemerhati. Darah yang banyak mula memancut keluar dari mulutnya, tulang rusuknya sudah patah dan kecederaannya semakin bertambah parah. Beberapa orang pahlawan dari Puak Lelabah segera bertindak melindungi ketua mereka. Kemaraan Tok Seladang Ganas mesti ditentang habis-habisan. Namun begitu, kegagahan Tok Seladang Ganas tidak mampu dihadapi oleh pahlawan biasa seperti mereka.

Lelaki tua itu juga telah berjaya menyekat dan menewaskan musuh-musuhnya. Puak Lelabah terpaksa berhadapan dengan dua orang pahlawan yang handal dan pahlawan-pahlawan dari Puak Seladang yang terkenal dengan sifat kepahlawanan mereka yang tidak mudah mengaku kalah. "Berundur, berundur," terdengar suara Lelabah Hitam mengarahkan anak-anak buahnya agar berundur. Dia sudah tidak mampu bertarung lagi. Siapa yang tidak sayangkan nyawa? Lelabah Hitam masih mahu terus hidup. Akan tetapi, mampukah dia berundur dari medan pertarungan kerana di setiap tingkat ada pertarungan antara puak yang berbeza. Tok Seladang Ganas akhirnya berjaya menumbangkan beberapa orang anak buah Lelabah Hitam. Dia berjalan ke hadapan, menghampiri Lelabah Hitam yang sedang ketakutan. Apakah Tok Seladang Ganas akan menghabiskan nyawa Lelabah Hitam dan anggota puak nya?

Tok Helang Melayang dan puak Helang sudah berada di tempat mereka iaitu tingkat ketiga Gunung Segumpal. Setiap daripada anggota puak Helang telah bersedia dengan senjata mereka terutama sekali pasukan Pemanah Helang yang sudah terkenal di seluruh Segumpal dan kawasan jajahan nya. Pasukan Pemanah Helang telah dilatih dengan ketepatan panahan mereka, maka kerana itu mereka amat digeruni. Jin Naga Hitam semakin menghampiri pintu gerbang ke tingkat ketiga Gunung Segumpal. Baharu sahaja kakinya melangkah masuk, Tok Helang Melayang segera mengarahkan pasukan pemanah agar segera membidikkan anak panah mereka. Anak-anak panah meluncur laju ke arah Jin Naga Hitam dan Puak Bisa. Namun begitu tiba-tiba muncul seorang lelaki yang agak aneh, dengan pakaian serba hitam. Di sebelah kedua-dua tangannya, terdapat kain yang seperti sayap yang besar. Dia segera merentangkan sayapnya itu bagi melindungi Jin Naga Hitam. Anak-anak panah itu melekat di kedua-dua sayap tersebut menjadikan Kelawar Hitam seperti seekor landak.

"Seranggggg!!" Tanpa bertangguh puak Helang terus menyerbu dengan arahan ketua mereka. Tok Lang cuba menyerang Jin Naga Hitam, namun Kelawar Hitam menghalang serangannya. Mahu tak mahu, Tok Lang mesti menewaskan Kelawar Hitam sebelum dapat berhadapan dengan Jin Naga Hitam. Pertarungan antara kedua-dua belah pihak berlangsung sengit. Kekuatan mereka agak setanding, malah masih belum ada yang tewas dalam pertarungan itu. Kelawar Hitam bukan calang-calang orangnya. Wajahnya tersenyum seakan mengejek Tok Helang Melayang.  Kepantasan mereka hampir setara. Kelawar Hitam lebih banyak mengelak dan melarikan diri dari serangan Tok Helang Melayang. Tok Helang Melayang seorang pahlawan yang panas baran. Melihat serangannya tidak mengena sasaran, dia memesatkan lagi serangan bertubi-tubi. Tidak dihiraukan lagi akan tenaganya yang mungkin akan kehabisan.

Kelawar Hitam terus bergerak dengan kepantasan yang luarbiasa. Tok Helang Melayang terus mengejar dan menyerangnya, namun Kelawar Hitam seakan menyindirnya. Makin bertambah panas di hati Tok Helang Melayang dengan keadaan yang tidak menyebelahi dirinya. Tok Helang Melayang mempertingkatkan kekuatan pernafasan dan tenaga dalamnya. Dalam satu serangan, Tok Helang Melayang berteriak dan melompat ke udara. Kali ini Kelawar Hitam tidak lagi mampu ketawa, malahan tersenyum juga tidak kelihatan lagi di wajahnya. Tok Helang Melayang menerkam dari udara, membuatkan Kelawar Hitam terjatuh di atas tanah. Serangannya itu membuatkan Kelawar Hitam merasa sesak pada pernafasannya. Dalam keadaan mencemaskan itu, Kelawar Hitam menahan serangan Tok Helang Melayang dengan sejenis golok berkembar. Golok itu sememangnya senjata rahsia Kelawar Hitam yang berjaya disembunyikan di dalam pakaiannya. Kuku Helang adalah senjata yang dipasang pada kedua-dua tangan Tok Helang Melayang. Ia dicipta khas oleh tukang senjata yang digelar Tok Besi. Ia seperti sepuluh batang kuku yang amat tajam dan mampu menyiat daging lawan dengan mudah.

Kuku Helang bertemu golok berkembar, menghasilkan satu percikan api dan bunyi besi yang kuat. "Tang! Tang!" Tok Helang Melayang kemudiannya berundur ke belakang selepas pertembungan itu. Sebaik sahaja dia mendarat di atas tanah, tiba giliran Kelawar Hitam pula menyerang. Ditinggalkan kain mantel yang penuh dengan anak panah itu, lalu dilemparkan ke arah Tok Helang Melayang. Tok Helang Melayang tidak sempat mengelak kain itu, lalu dia terperangkap dengan helah licik Kelawar Hitam. Satu serangan pantas dari Kelawar Hitam sudah pasti akan membunuh Tok Helang Melayang. Ditusukkan golok berkembar itu tepat ke arah sasarannya. Akan tetapi, sesuatu yang mengejutkan telah berlaku. Serangan golok berkembar seperti telah tersekat pada tembok yang keras. Kelawar Hitam memusingkan golok nya, namun dia masih belum mampu mencabutnya dari kain mantel miliknya sendiri. Tiba-tiba, satu tendangan padu menyusul dari bawah kain tersebut.

Tendangan itu cukup pantas dan padu sehingga Kelawar Hitam terpaksa melepaskan goloknya. Dia mesti membuat keputusan dengan segera, memilih antara nyawanya atau senjatanya itu. Dia sempat menangkis tendangan itu dengan tepisan tangannya. Namun kekuatan tendangan itu yang disertai bersama tenaga dalaman, membuatkan Kelawar Hitam berundur ke belakang beberapa langkah. Tok Helang Melayang segera membuangkan kain itu ke atas tanah. Kini Kelawar Hitam sudah tidak bersenjata lagi. Dia cuba bertenang agar tidak terlihat di wajah lawannya akan perasaannya yang sedang dalam ketakutan. Tok Helang Melayang memang lebih handal darinya, maka Kelawar Hitam mesti merancang strategi baharu bagi menumpaskan lawannya.

"Apa yang kau tunggu lagi? Marilah serang aku," jerit Tok Helang Melayang, mencabar Kelawar Hitam. Peluh di dahi menitis laju, membasahi pakaiannya yang serba hitam itu. Pakaian yang disarungkan itu memang membebankan jiwa raga, namun dia terpaksa mengikut kehendak Jin Naga Hitam. Tiba-tiba, Kelawar Hitam membaling beberapa pisau belati beracun ke arah Tok Helang Melayang. Pada saat itu, muncul pahlawan-pahlawan dari Puak Helang memakai perisai, segera menghadang serangan tersebut. Kekuatan serangan itu menghentam perisai tersebut membuatkan mereka terpaksa berundur ke belakang. Terdapat kesan lekuk pada perisai Puak Helang, namun ia belum mampu menembusi perisai tersebut. Pahlawan-pahlawan dari Puak Helang tidak menunggu lebih lama. Belum sempat Tok Helang Melayang memberikan arahannya, mereka telah bertindak terlebih dahulu menyerang Kelawar Hitam. Semangat pahlawan Helang mungkin terdorong dari kejayaan mereka menyekat serangan Kelawar Hitam sebelum ini, namun mereka telah memandang rendah akan keupayaan musuh.

Kelawar Hitam seorang yang bijak dan licik. Kali ini dia menyerang lagi dengan beberapa bilah pisau belati. Akan tetapi serangannya berubah-ubah dan sukar diagak. Beberapa bilah pisau belati telah mengenai sasarannya, menikam ke jantung dan beberapa bahagian tubuh badan pahlawan Helang. Tiba-tiba, pisau belati itu kembali kepada tuannya. Apakah Kelawar Hitam  punya ilmu hitam yang mampu mengawal senjatanya dari jarak jauh. Tok Helang Melayang tidak mampu berbuat apa-apa. Tok Helang Melayang sendiri tidak punya jawapan akan kelicikan Kelawar Hitam. Jika sebelum ini beberapa bilah pisau belati terlekat pada perisai pahlawan-pahlawannya, mengapa kali ini Kelawar Hitam mampu menarik senjatanya kembali kepadanya? Apa yang Tok Helang Melayang tidak tahu, pada hulu bilah belati itu telah diikat dengan sejenis benang sutera. Benang sutera itu sejenis benang yang berwarna putih, tidak mampu dilihat sekali imbas. Jika rahsianya diketahui, sudah tentu sukar baginya menewaskan lawannya.

Kelawar Hitam segera menyimpan senjata tersebut yang akan digunakan pada waktu kecemasan. Beberapa orang pahlawan dari puak Kelawar segera membawakan sejenis senjata lain bagi menentang Tok Helang Melayang. Sejenis senjata seperti sebilah lembing, namun bilahnya lebih panjang berbanding kayu pemegang. Kelawar Hitam menunjukkan kehandalannya mengendalikan senjata yang panjang dan berat itu dengan memutarkan ia beberapa kali. Setiap kali ia berpusing, satu bunyi yang aneh akan kedengaran sehingga menyakitkan telinga. Kali ini, Kelawar Hitam pula mencabar Tok Helang Melayang agar menyerangnya. Tok Helang Melayang tersenyum dengam cabaran itu. Dia amat berpengalaman dalam medan pertempuran, oleh kerana itu dia tidak mudah terpengaruh dengan permainan lawan musuhnya. Jika sebelum ini dia kelihatan tidak mampu mengawal emosi, sebenarnya itu adalah salah satu dari rancangan Tok Helang Melayang.

Ditarik sebilah pedang lembut yang terlilit di pinggangnya. Selama ini pasti ramai tidak menyedari bahawa ia adalah salah satu senjata. Tok Helang Melayang kemudian menanggalkan Kuku Helang dan memberikan ia kepada anak buahnya untuk disimpan. Kelawar Hitam sudah menunjukkan teknik permainan lembingnya, kali ini tiba giliran Tok Helang Melayang. Dia memutarkan pedang lembut itu dan menunjukkan tari pedang sang helang. Kelawar Hitam pasti, itu adalah rancangan Tok Helang Melayang agar dirinya takut dan resah apabila melihat senjata baharu tersebut.

"Ah, senjata aku lebih panjang, lebih keras dan lebih segala-galanya berbanding pedang lembutnya," bisik hati Kelawar Hitam. Usai sahaja persembahan tari pedang oleh Tok Helang Melayang, Kelawar Hitam terus menyerang tanpa amaran lagi. Apakah yang akan berlaku seterusnya? Apakah mampu 5 buah puak ini mempertahankan tanah air mereka dari dicerobohi dan ditakluk musuh? Kekuatan bukan segala-galanya, tapi kekuatan itu mesti disertakan bersama kebijaksanaan dan keyakinan diri.

Bersambung…

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.

Wednesday, June 23, 2021

5 Puak (Episod 20 : Pertarungan Semakin Sengit)

KALA Hitam seakan-akan tidak mahu lagi menyambung pertarungannya dengan Tok Gajah Gagah. Namun begitu, Tok Gajah Gagah telah menghalang satu-satunya laluan masuk. Apakah ada cara  lain bagi melepasi pahlawan dari 5 puak itu? Kala Hitam melemparkan beberapa senjata yang seperti tidak kelihatan di mata. Tok Gajah Gagah segera memutarkan senjata gadingnya sehingga senjata-senjata itu melekat kepadanya. Senjata yang dilemparkan oleh Kala Hitam itu rupa-rupanya adalah jarum beracun. Tok Gajah Gagah tidak akan sesekali mencabutnya tanpa perlindungan, lalu dia terus menyerang dengan penuh kegeraman. Kala Hitam pula tidak akan menunggu sahaja serangan yang menggerunkan itu, maka dilibaskan cemeti beracun ke arah Tok Gajah Gagah namun tidak pula kena pada sasarannya.

Malang sekali libasan cemeti beracun itu telah mengenai beberapa orang pahlawan dari puak Gajah sehingga mereka tumbang menyembah bumi. Dari mulut mereka mula keluar buih bersama darah hitam yang amat pekat. Kematian anak-anak buahnya menambahkan lagi kemarahan Tok Gajah Gagah. Dia segera menghentak kakinya beberapa kali menyebabkan tanah di kaki gunung itu seperti berlaku gempa bumi yang sebenar. Anak-anak buah Kala Hitam tidak dapat menyeimbangkan tubuh badan mereka dan terhuyung hayang menahan serangan Tok Gajah Gagah. Kesempatan dan kekalutan itu diambil sepenuhnya oleh Tok Gajah Gagah dengan melibaskan Tukul Gajahnya ke arah Kala Hitam. Namun begitu, Kala Hitam sempat menunduk dan mengelak serangan itu, namun begitu serangan itu mengenai kepala anak-anak buahnya. Kepala mereka hancur berkecai terkena serangan dari Tok Gajah Gagah.

Kala Hitam amat terkejut melihat serangan ganas itu akhirnya tidak dapat menahan serangan selanjutnya dari Tok Gajah Gagah. Satu hentakan dari kaki Tok Gajah Gagah menyebabkan dia terpelanting ke belakang. Kesakitan yang dialaminya menyebabkan dia mula muntah darah yang warnanya hitam dan amat pekat. Sementara itu, Tok Gajah Gagah terasa kebas di kakinya. Tanpa disedari, dia telah terkena jarum yang ada pada pakaian yang dipakai oleh Kala Hitam. Tok Gajah Gagah segera mengoyakkan kain pada bajunya lalu dililit pada tapak tangannya. Dia menggunakan kain itu bagi mencabut jarum yang terlekat pada tapak kaki dan senjatanya. Kain itu segera dibuang jauh-jauh.

Kedua-dua pahlawan tersebut kini telah mengalami kecederaan. Di saat mereka berhenti, anak buah kedua-dua belah pihak turut sama menghentikan serangan. Mereka berdiri dan mengelilingi kedua-dua pahlawan tersebut bagi menjaga ketua mereka. Tok Gajah Gagah dan Kala Hitam segera merawat kecederaan yang dialami dengan duduk bersila. Kecederaan seperti itu perlu dirawat dengan segera sebelum pertarungan disambung semula. Tok Gajah Gagah menarik nafas sedalamnya. Dia cuba melihat dengan mata batinnya akan kecederaan yang dialaminya.

"Syukurlah, aku berjaya menghentikan racun itu dari terus merebak," bisik hati Tok Gajah Gagah.

"Kaki si gajah ini begitu kuat. Hentakannya hampir meluruhkan dadaku. Nasib baik aku pakai perisai beracun ini," bisik hati Kala Hitam pula apabila ditilik keadaan dirinya.

Sementara itu, Jin Naga Hitam dan pasukannya terus mara dan mula mendaki laluan yang pertama. Di sebalik laluan itu, mereka akan bertemu dengan tingkat pertama gunung tersebut. Di setiap tingkat akan terhampar satu kawasan tanah yang rata. Sedang menunggu di tingkat pertama adalah Tok Serigala Lincah bersama-sama puaknya. Nampaknya mereka telah lama menunggu kedatangan Jin Naga Hitam dan anggota Puak Bisa. Tanpa berlengah lagi, Tok Serigala Lincah terus menyerang bersama-sama Puak Serigala. Jin Naga Hitam tersenyum aneh melihat serangan itu. "Ia hanya membuang masa dan tenaga aku. Mereka ini bukan lawan ku," bisik hatinya. Jin Naga Hitam memandang ke belakang seperti mengarahkan seseorang agar menyekat serangan itu.

Tiba-tiba sahaja, melompat satu bayangan hitam ke hadapan. Dia segera melancarkan serangan dari jarak jauh. Serangan yang mengejut itu tidak dapat dielak oleh beberapa orang pahlawan dari Puak Serigala. Mereka jatuh tersungkur dan berlumuran darah. Pada jasad mereka terlekat satu senjata seperti anak panah. Mujur jua Tok Serigala Lincah sempat mengelak serangan hendap itu. Kali ini dia bertemu musuh yang kelihatan aneh pakaiannya. Bukan sahaja lelaki itu, malah semua anggota Puak Lipan memakai pakaian yang sama.  Pakaian Puak Lipan itu terdapat banyak senjata tajam dan beracun. Dan, setiap senjata itu boleh dicabut dari pakaian mereka yang kelihatan seperti seekor lipan bara. Seekor lipan bara yang punya banyak kakinya.

Tok Serigala Lincah segera mencabut pedangnya. Sebilah pedang yang punya tiga mata di hujung bilah. Melihat ketua mereka telah mencabut senjata, anggota-anggota Puak Serigala turut berbuat perkara yang sama. Mereka telah siap sedia bertarung sehingga ke titisan darah yang terakhir. Tok Serigala Lincah terus menyerang Lipan Hitam. Dia terus menikam Lipan Hitam dengan kepantasan yang luarbiasa. Lipan Hitam merasa takjub apabila bertemu lawan yang handal seperti Tok Serigala Lincah. Namun begitu, dia segera mengelak serangan Tok Serigala Lincah itu dengan kepantasan yang amat mengejutkan. Akan tetapi, itu baru serangan pertama. Baru sahaja mengelak serangan itu, tiba-tiba datang lagi serangan baharu dari Tok Serigala Lincah. Tok Serigala Lincah pula seperti dapat membaca pergerakan Lipan Hitam setiap kali dia mengelak serangannya.

Serangan dari Serigala Lincah itu adalah satu teknik membaca gerak. Teknik Gerak Catur Pedang, bermakna Tok Serigala Lincah yang mengatur pertarungan itu. Ketajaman pedang itu hampir-hampir memusnahkan diri Lipan Hitam membuatkan dia cuba berundur. Baru sahaja berundur, tiba-tiba sahaja Tok Serigala Lincah sudah berada di belakangnya. Kali ini dia tidak dapat mengelak sepenuhnya apabila tetakan pedang itu mengenai baju perisainya. Tetakan pedang itu tergelincir dan terbabas dari sasaran sebenar. Lipan Hitam terus menendang dengan sepenuh kekuatan, namun dapat dielak oleh Tok Serigala Lincah. Lipan Hitam makin marah membara. Tidak pernah dirinya diperlakukan sedemikian rupa. Lipan Hitam tidak mahu dibuli sekali lagi. Dicabut dua besi pada pakaian, lalu dicantumkan. Kedua-dua bilah besi itu akhirnya membentuk sebilah pedang pendek yang mempunyai pemegang di tengah-tengahnya.

"Tang! Tang!" Kali ini barulah pertarungan lebih seimbang dan setara.  Kedua-dua pedang itu saling bertembung, menghasilkan percikan api yang dahsyat. Tok Serigala Lincah memesatkan serangannya termasuk menghujankan beberapa tendangan padu ke arah Lipan Hitam.

Kedua-dua puak bertarung dengan semangat dan keberanian yang meluap-luap. Antara serigala dan lipan, manakah yang lebih gagah dan mampu untuk terus hidup dan bertahan? Begitu jua dengan pemimpin kedua-dua puak, masih belum terlihat siapa yang menguasai pertarungan itu. Di sepanjang jalan pendakian yang dilalui oleh Jin Naga Hitam dan konco-konconya, asap hitam akan sentiasa mengiringi perjalanan mereka. Asap hitam itu bukan sejenis asap biasa kerana ia dipenuhi dengan bahan-bahan yang beracun. Kepada yang lemah, pasti akan rebah ke bumi. Jin Naga Hitam meneruskan perjalanan bersama beberapa orang kanan dan puak mereka yang masih tinggal. Tiba-tiba, kedengaran bunyi sesuatu yang besar dan kuat menuju ke arah mereka. Jin Naga Hitam memberhentikan langkahnya serta mengarahkan mereka segera berhenti. Ini kerana, setiap perangkap yang ada telah berjaya diatasi sebelumnya. Ia semua hasil ilmu hitam yakni ilmu pukau yang digunakan oleh Jin Naga Hitam ke atas Panglima Besar.

Beberapa ketul batu yang besar bergolek dengan laju ke arah mereka. Jin Naga Hitam berdiri tegak dan sudah bersedia menghadapi serangan hendap itu. Dia segera mempertingkatkan ilmu tenaga batin dan tenaga dalamnya. Tiba-tiba tangannya mula kelihatan berwarna merah dan seperti dibakar. Api berwarna biru mula kelihatan pada tangannya. Pada saat itu, batu-batu yang bergolek jatuh itu terus menyerang Jin Naga Hitam. Jin Naga Hitam sudah bersedia memindahkan atau menghancurkan batu-batu itu tanpa menyedari akan sesuatu. Jin Naga Hitam berjaya menahan batu yang pertama sehingga ia meletup dengan kuat. Kemudian dia segera mengalihkan serangan ke arah batu yang lain. Kesemua batuan itu meletup dengan amat kuat. Namun ada suatu misteri yang tidak diketahui oleh Jin Naga Hitam. Tok Seladang Ganas tiba-tiba muncul dari batuan itu dan terus menyerang dengan Lembing Bermata Tiga ke arah Jin Naga Hitam. Nyaris-nyaris lagi mengenai kepalanya, namun dia sempat berputar bagi mengelakkan serangan.

Dari arah belakang Jin Naga Hitam meluru satu bayangan. Bayangan itu terus menerkam Tok Seladang Ganas dengan senjatanya yang aneh. Senjata seperti sumpit itu terus menyerang Tok Seladang Ganas namun ia berjaya dielak. Dengan perisai pada tangannya, Tok Seladang Ganas berjaya menepis setiap serangan yang pastinya beracun dan berbisa. Kini tiba giliran Puak Seladang dan Puak Lelabah pula bertarung sesama mereka. Pertarungan yang amat menggemparkan di tingkat kedua Gunung Segumpal itu berlangsung begitu pantas dan ganas.  Lelabah Hitam menyedari akan kegagahan dan kehebatan ilmu pertarungan Tok Seladang Ganas. Dia segera menggunakan senjata sulitnya iaitu sejenis jaring waja yang bukan sahaja sukar ditembusi, malah melekat racun yang banyak padanya. Lalu dilemparkan jaring waja itu ke arah Tok Seladang Ganas.

Tok Seladang Ganas yang sedang menghadapi anak-anak buah Lelabah Hitam dapat menghidu perangkap tersebut. Dia segera berundur daripada jarak serangan Lelabah Hitam, lalu jaring waja itu telah memerangkap anak buah Lelabah Hitam. Melihatkan serangannya tidak berhasil, Lelabah Hitam segera mengangkat semula jaring waja itu. Usai terangkat sahaja jaring waja itu, anak-anak buahnya yang terperangkap tadi telah tumbang menyembah bumi. Mereka semua telah mati akibat racun pada jaring waja itu. Ini telah menambahkan kegeraman di hati Lelabah Hitam lalu dia menyerang Tok Seladang Ganas dengan melemparkan beberapa bilah pisau. Tok Seladang Ganas segera menepis dengan perisai lalu terus maju menyeramg Lelabah Hitam. Dia melihat ada peluang yang terhidang di depan mata. Akan tetapi, Lelabah Hitam bukan lawan sebarangan. Serangan Tok Seladang Ganas tidak menggetarkan jiwanya.

Lelabah Hitam mengangkat semula jaring waja beracun itu agar serangan Tok Seladang Ganas dapat dibendung. Namun begitu, Tok Seladang Ganas bukanlah pahlawan yang tidak berakal dan hanya menyerang tanpa berfikir. Dia segera berpusing lalu menyerang ke arah tangan Lelabah Hitam yang memegang jaring waja beracun tersebut dengan Lembing Bermata Tiga.  Lelabah Hitam terpaksa melepaskan jaring waja beracun itu demi menyelamatkan tangan dan nyawanya. Dia terpaksa membayar harga yang mahal akibat memandang rendah akan kemampuan Tok Seladang Ganas. Beberapa orang anak buahnya segera datang kepadanya membawakan dua bilah golok yang sudah pastinya beracun. Senjata panjang bertemu senjata pendek. Sudah tentu pertarungan ini akan lebih menarik dan luarbiasa. Lelabah Hitam terpaksa mengelak serangan lembing Tok Seladang Ganas bagi mendekati jarak sasaran. Oleh kerana goloknya lebih pendek berbanding lembing kepunyaan Tok Seladang Ganas, dia harus bergerak lebih pantas.

Lelabah Hitam kemudiannya menyerang dengan alat sumpitan yang tersimpan di mulutnya. Disumpitnya ke arah Tok Seladang Ganas bagi memesongkan perhatiannya. Tok Seladang Ganas dapat menghadang serangan itu dengan perisai di tangan kirinya, namun peluang yang amat menguntungkan itu tidak akan sesekali dilepaskan oleh Lelabah Hitam. Lelabah Hitam sudah berjaya mendekati Tok Seladang Ganas. Dua tetakan dari kedua-dua goloknya pasti akan mengenai sasarannya. Pada saat yang genting itu, tiba-tiba sahaja muncul seorang lelaki tua. Entah dari mana dia datang, munculnya pula bak bayang-bayang. Lelabah Hitam terpana seketika melihat serangannya tidak berjaya. Lelaki tua itu tidak berlengah lagi lalu segera menendang ke arah kepala Lelabah Hitam. Serangan itu begitu kuat sehingga Lelabah Hitam terpelanting jauh dan melanggar orang-orang yang sedang bertarung. Lelabah Hitam memuntahkan darah pekat dari mulutnya, namun dia segera melompat ke udara.

"Siapakah kau orang tua? Sungguh berani mengganggu pertarungan kami. Nyah kau dari sini jika tidak mahu mati!" Herdikan Lelabah Hitam itu bagaimanapun tidak menakutkan lelaki tua itu. Dia hanya tersenyum dan kemudian tiba-tiba menyerang balas dengan kepantasan yang luarbiasa.

"Siapakah orang tua ini? Mengapa dia muncul tiba-tiba dan kemudian selamatkan aku dari serangan lelaki durjana itu?" Bisik hati Tok Seladang Ganas. Dia melihat dengan matanya akan kehebatan lelaki tua itu yang tidak gentar sedikit pun dengan ugutan Lelabah Hitam.

  Melihat ketua mereka diserang, konco-konco dari Puak Bisa segera membantu. Kini, lelaki tua itu telah dikepung oleh musuhnya. Mereka yang mengepung cuba menyerang bergilir-gilir, akan tetapi lelaki tua itu bergerak terlalu pantas. Dilibaskan pedangnya secara berpusing. Ligat seperti gasing lagaknya, membuatkan serangan musuh tidak berjaya. Kini konco-konco Lelabah Hitam pula yang terdedah kepada serangan. Senjata-senjata mereka terpelanting jauh dan ada antara mereka yang mati tanpa sempat menjerit dek kerana kepantasan dan ketajaman pedang yang dimiliki oleh lelaki tua itu. 

Melihatkan nyawa anak-anak buahnya yang sedang terancam, Lelabah Hitam segera menebarkan jaring beracun ke arah lelaki tua itu. Belum sempat ia mengenai bayang-bayang lelaki tua tersebut, dia telah ghaib dari pandangan. Deria pendengaran Lelabah Hitam dapat menangkap satu serangan dari arah belakangnya. Adakah ia serangan dari lelaki tua tersebut.Tok Seladang Ganas yang mengalami sedikit kecederaan telah membuat keputusan untuk menyerang hendap. Serangan itu bagaimanapun berjaya dipatahkan oleh Lelabah Hitam dengan serangan balas golok beracun.

Siapakah lelaki tua tersebut? Apakah kemunculannya dapat mengubah segala-galanya?

Bersambung…

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.

Thursday, June 10, 2021

5 Puak ( Episod 19 : Hari Yang Ditunggu Telah Tiba!)

DUA hari telah berlalu. Dalam dua hari itu juga persiapan kedua-dua belah pihak telah giat dijalankan. Sama ada proses pemulihan, proses perwarisan atau latihan, semuanya telah sempurna. Mahaguru Naga Emas bukan sahaja telah mewariskan segala ilmunya, malah Tok Harimau akan diangkat menjadi sang mahaguru seandainya dia mati syahid dalam pertarungan itu. Semuanya sudah difikirkan sedalamnya memandangkan dirinya sudah berusia dan sudah tidak sekuat dahulu. Seandainya tidak berlaku apa yang difikirkan dan terlintas di hati Mahaguru Naga Emas, Tok Harimau akan tetap menjadi mahaguru buat 5 Puak. Seorang dari Anak Harimau akan menjadi Tok Harimau yang baharu bagi menggantikan bakal mahaguru tersebut.

"Harimau, lengkaplah sudah perwarisan ilmu zahir dan kebatinanku. Kini kau memiliki segala-galanya. Ingat apa yang telah kita rancangkan bersama, kekal lah ia menjadi rahsia antara kita," kata Mahaguru Naga Emas sejurus tamat segala proses perwarisan.

"Tapi tok, itu bermakna tok akan menggadaikan dan mengorbankan diri sendiri. Hamba tak setuju ia diteruskan. Mungkinkah ada rancangan lain yang bisa diatur bersama guru-guru yang lain?" Balas Tok Harimau dengan wajah yang muram.

"Adindaku sudah lama menderita dibelenggu kejahatan Jin Hitam yang durjana. Aku mesti membebaskan dia agar roh dan jasadnya bebas selama-lamanya. Sudah, turutkan sahaja rancanganku. Selebihnya kita berserah kepada Allah Yang Maha Mengetahui dan sebaik-baik perancang," jawapan Mahaguru Naga Emas itu sukar dipatahkan oleh sesiapa pun. Azam dan tekadnya kukuh dan tak mampu diruntuhkan.

"Kau akan naik menjadi Mahaguru Harimau Emas. Dengan ini, pimpinan 5 Puak akan diserahkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab mu. Ini amanah dan amanat dari ku sebagai guru mu," tambah Mahaguru Naga Emas lagi.

"Baik, tok guru. Hamba menerima amanah dan amanat ini sepenuh hati".

"Sebelum kita keluar, berikan sundang mu itu," pinta Mahaguru Naga Emas kepada Tok Harimau. Tok Harimau segera memberikan sundang berhulukan kepala harimau itu tanpa bertanya atau mengemukakan bantahan. Apabila sudah berada di tangannya, Mahaguru Naga Emas segera membacakan sesuatu selepas sundang itu ditarik keluar daripada sarungnya.

Mahaguru Naga Emas mengusap dan menggosok sundang itu bermula dari bilahnya sehingga ke bahagian hulu sundang beberapa kali. Walaupun sundang itu sangat tajam, ia sedikit pun tidak mencederakan Mahaguru Naga Emas. Beberapa kali digosok dan diusap, tiba-tiba sundang itu bercahaya keemasan. Tok Harimau tidak berani bertanya kerana dia tidak mahu mengganggu proses tersebut.

"Ambil lah sundang ini. Beritahu aku apa yang kau rasa," Mahaguru Naga Emas segera memberikan semula sundang harimau itu kepada Tok Harimau. Demi tersentuh sahaja bahagian hulunya, Tok Harimau merasakan satu arus yang pelik menusuk ke telapak tangannya.

Tiba-tiba dia merasakan tubuh badannya diselubungi oleh satu perisai emas.  Perisai emas itu sedikit berbeza daripada sosok perwira muda yang ditemuinya sebelum ini semasa proses perwarisan ilmu daripada Mahaguru Naga Emas. Tok Harimau kemudiannya bangun dari duduk silanya. Dia segera menggerakan tubuh badannya yang sudah lama tidak bergerak. Ia benar-benar memberikan Tok Harimau satu perasaan yang tidak dapat digambarkan. Kini dia tahu dan sedar akan siapakah sebenarnya sosok perwira yang dilihatnya semasa di alam kebatinan. Dia amat yakin kerana sosok perwira itu mempunyai corak sang naga emas pada bahagian dadanya.

Selepas itu, kedua-dua lelaki itu mulai berjalan keluar dari gua. Sewaktu melangkah keluar, Maharaja Segumpal Satria terpandang akan cahaya emas yang menyelubungi kedua-dua pahlawan tersebut. Sedarlah dia bahawa Mahaguru Naga Emas telah memberikan segala yang termampu kepada pewarisnya, Tok Harimau. Guru-guru yang lain segera menyambut Tok Harimau yang kelihatan amat berbeza dari sebelumnya. Tok Harimau amat gembira menyambut pelukan dari saudara-saudaranya, guru-guru dan ketua kepada lima buah puak.

"Mulai hari ini, Tok Harimau adalah Mahaguru Harimau Emas. Aku mahu kamu semua taat perintahnya selepas ini. Diriku ini sudah tidak bergelar sang mahaguru. Panggil lah aku ini Pendita Naga Emas sahaja dan aku akan menjadi penasihat kepada Mahaguru Harimau Emas sekiranya kita semua selamat dalam pertarungan maut yang akan datang tidak lama lagi".

Kata-kata itu telah menerbitkan kesedihan di dalam hati semua pahlawan dari 5 Puak dan para pahlawan dari Istana Segumpal yang diketuai Maharaja Segumpal Satria. Kata-kata Pendita Naga Emas adalah seperti kata perpisahan buat selama-lamanya. Mungkinkah itu yang akan terjadi kepada Pendita Naga Emas?

Keesokkan harinya, Jin Naga Hitam telah selesai memulihkan kecederaan dan tenaganya. Jin Naga Hitam melangkah keluar dari tempat pertapaan dengan wajah yang amat menggerunkan. Matanya yang merah menyala bak saga, segera melihat keadaan di sekeliling sebaik sahaja kakinya melangkah keluar dari rumah.

"Selamat kembali tok. Kami semua sedia menunggu arahan tok," kata Lelabah Hitam mewakili semua anggota Puak Bisa.

"Bagus, bagus! Apakah kamu semua sudah bersedia untuk menggempur musuh-musuh kita?"

"Kami semua sudah bersedia, tok!" Riuh rendah suara pahlawan Puak Bisa, penuh bersemangat dengan senjata mereka diangkat ke atas. Mereka nampaknya sudah tidak sabar untuk bertarung.

Jin Naga Hitam kemudiannya mengangkat tangannya ke atas. Dari telapak tangannya, keluar asap hitam yang berkepul-kepul terus menuju ke arah anak buahnya. Asap hitam itu terus masuk ke dalam rongga hidung dan telinga mereka. Mereka merasakan kekuatan semakin bertambah dan semangat yang semakin membara. Laungan dan ucapan terima kasih kepada Jin Naga Hitam kuat bergema di seluruh perkampungan puak yang berlima itu. Mereka bertambah yakin akan dapat menghancurkan musuh. Jin Naga Hitam memimpin Puak Bisa, meneruskan perjalanan ke Gunung Segumpal yang tidak berapa jauh dari perkampungan itu. Asap pelbagai warna mengiringi perjalanan mereka. Asap-asap itu adalah beracun adalah senjata utama mereka.

Perjalanan yang singkat itu akhirnya berakhir di kaki gunung. Telah menunggu Panglima Besar dengan bala tenteranya bersama-sama pahlawan-pahlawan dari lima buah puak. Mereka tetap bersatu hati walaupun berbeza puak. Panglima Besar segera meniup semboyan perang. Serentak dengan itu kedengaran bunyi gendang bersahut-sahutan bermula dari kaki gunung sehingga ke puncak. Penggunaan alatan tersebut adalah sebagai petanda perang atau pertempuran akan bermula, dan gendang-gendang perang yang bersahutan itu sebagai tanda semuanya telah bersedia serta sebagai kaedah yang digunakan untuk menakutkan lawan. Namun semua itu tidak menggentarkan Jin Naga Hitam dan Puak Bisa. Mereka sudah biasa menghadapi musuh yang menggunakan pelbagai cara sedemikian rupa. Tanpa mempedulikan akan kehadiran lawan mereka, Puak Bisa segera maju ke hadapan.

"Serangggggg!" Jeritan Panglima Besar bergema kuat. Tiba-tiba ratusan anak panah terbang dari atas, terus menyerang ke arah musuh. Dari bawah, ia terlihat seperti air hujan yang jatuh menimpa.

Anak-anak panah itu begitu rakus menuju mangsanya. Mereka terpaksa menghunuskan senjata bagi menangkis serangan dari atas tanpa menyedari sesuatu akan terjadi. Panglima Pemanah sudah bersedia bersama anak-anak buahnya. Melihatkan musuh mereka sedang alpa dan leka menghadapi serangan pasukannya yang berada di atas jalan pendakian, Panglima Pemanah mengetuai serangan di kaki gunung.  Anak-anak panah berterbangan mencari mangsa. Ada antara pahlawan Puak Bisa tidak sempat mengelak. Manakan tidak, serangan itu memang di luar jangkaan. Jin Naga Hitam segera bersiul kuat, memberikan isyarat yang tidak diketahui.

Tiba-tiba, muncul Askar Bisa. Mereka tidak bersenjata, namun mereka adalah perisai Puak Bisa. Anak-anak panah menembusi kepala, dada, tangan dan kaki mereka, namun mereka masih terus berjalan. Sekali imbas, Askar Bisa ini sudah menjadi seekor landak. Batang kayu yang menjadi sebahagian dari anak panah segera dipatahkan, yang tertinggal di seluruh tubuh mereka hanyalah mata panah sahaja. Melihat keadaan itu, Panglima Besar segera mengarahkan anak-anak buahnya menyerbu Puak Bisa. Kini berlaku pertempuran di kaki gunung. Asakan demi asakan Puak Bisa mampu dihadapi oleh Panglima Besar dan orang-orangnya, namun Jin Naga Hitam dan lima orang ketua di bawahnya masih belum beraksi.

Panglima Besar mahu menyekat Puak Bisa dari menghampiri jalan pendakian, akan tetapi bukan mudah menghadapi Puak Bisa tersebut. Melihatkan keadaan yang huru hara itu, Kala Hitam segera menyerbu ke dalam pertarungan itu bersama anak buahnya. Kehebatan Kala Hitam tidak terperi. Senjata berada di kiri dan kanan tangannya. Cemeti di tangan kanan dan sejenis senjata seperti rantai besi di tangan kirinya. Sebaik sahaja cemeti itu dilibas ke arah lawan, musuh akan segera tumbang, begitu juga di saat rantai besi melilit kepala mangsa, maka terpisahlah kepala dari badannya.

Panglima Besar terpaksa menghadapi Kala Hitam yang licik dan pantas itu. Pasukannya sudah tidak dapat lagi berkawal di jalan pendakian yang pertama, membuatkan Jin Naga Hitam dan Pasukan Bisa terus mara ke hadapan. Di saat Panglima Besar hampir-hampir ditewaskan, muncul seorang lelaki berbadan besar. Senjatanya seperti gading gajah, di hujungnya tajam dan mampu mengoyakkan mangsanya. Salah seorang anak murid Pendita Naga Emas telah muncul iaitu Tok Gajah Gagah. Sebilah lagi senjata seperti tukul besi dihayunkan ke kepala Kala Hitam. Panglima Besar segera berundur, namun undurnya bukan bermaksud dia mengaku kalah. Bersama sebahagian daripada pasukan tentera yang masih hidup, mereka segera berlari ke jalan pendakian. Mereka mahu mengejar Jin Naga Hitam dan pasukannya itu.

Kala Hitam bukan sebarangan lawan. Walaupun bertubuh kecil, namun dia amat pantas menyerang dan bertahan. Namun begitu, musuh yang dihadapi juga bukan sebarangan. Kedudukan sebagai seorang guru bagi Puak Gajah adalah sebagai salah satu petanda bahawa bukan mudah bagi Kala Hitam. Silap haribulan dia pula yang mati di tangan musuh. Kala Hitam mula berasa resah gelisah. Dia mahu bersama Jin Naga Hitam, namun amat sukar bagi dirinya melepaskan diri. Setiap pergerakannya dikawal ketat oleh Tok Gajah Gagah. "Tumpukan perhatianmu kepada pertempuran ini. Tuan kau itu pasti akan maut di tangan guruku. Sedarkan diri, baliklah dan bertaubatlah," Tok Gajah Gagah cuba menyerang secara psikologi. Hampir-hampir sahaja Kala Hitam terpedaya, lalu dia terus menyambung serangan.

Sementara itu, Panglima Pemanah yang sedang menghadapi Askar Bisa mula mati akal. Askar-askar bisa itu memang luarbiasa, seakan-akan mereka bukan lawan setanding. Panglima Pemanah berundur ke belakang. Dicapainya tiga bilah anak panah sekaligus, lalu mulutnya mula terkumat kamit membacakan sesuatu. Selepas dihembusnya ke arah anak panah tersebut, dia segera menarik tali dan melepaskan tiga das anak panah. Satu daripadanya menembusi kepala musuhnya, satu lagi anak panah menembusi kepala manakala satu lagi tepat ke bahagian hati manusia. Serentak dengan itu, Askar Bisa tersebut terus tumbang dan tidak bangun-bangun lagi. Nampaknya Panglima Pemanah sudah punya cara untuk menewaskan Askar Bisa.

"Sasarkan ke bahagian jantung dan hatinya dengan jampi(doa) yang diajarkan Pendita Naga Emas.  Allah Hu Akbar!" Jeritan Panglima Pemanah sedikit mengejutkan mereka yang sedang bertarung di jalan pendakian pertama.

Apakah yang akan terjadi seterusnya? Mampukah mereka mengekang musuh atau diri mereka yang akan mati syahid demi mempertahankan agama, bangsa dan negara?

Bersambung…

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.

 

Sunday, June 06, 2021

5 Puak (Episod 18 : Kejahatan Puak Bisa)

DALAM tempoh rehat itu, Tok Harimau berkesempatan melihat keadaan sekeliling di puncak Gunung Segumpal. Satu keanehan mulai terasa pada deria penglihatannya. Ia  dirasakan cukup luarbiasa kerana seolah-olah dapat menembusi sesuatu termasuk ke dalam diri seseorang.

"Apa nak dihairankan dengan kurniaan dari Allah itu, anak muridku," tersentak Tok Harimau dengan sapaan dari Mahaguru Naga Emas. Dari tadi dia hanya tersenyum sahaja melihat gelagat Tok Harimau yang sudah banyak kali menggosok matanya.

"Marilah tok, kita sambung semula kerja kita," Tok Harimau bangkit dengan penuh semangat. Dia segera menghlurkan tangannya kepada sang mahaguru.

"Sabarlah dahulu. Berikan tok masa untuk berehat sekejap. Berikan tumpuan penuh kepada anugerah yang baharu Allah kurniakan kepadamu itu," Mahaguru Naga Emas mahu Tok Harimau meneroka deria penglihatan ajaib itu sepenuhnya sementara dia berehat.

Tok Harimau mula 'meneropong' ke dalam salah seorang daripada anak muridnya iaitu petarung kedua Anak Harimau yang dilihatnya sebelum ini telah bertarung dengan penuh semangat dan luarbiasa aksinya. Dia begitu mengagumi semangat anak muda itu, mengingatkan dirinya dahulu sewaktu mula-mula berguru dengan Mahaguru Naga Emas. Sungguh luarbiasa, penglihatan ajaib itu mampu menembusi sehingga ke dalam jasad dan hati manusia. Dia dapat melihat organ-organ dalaman Anak Harimau itu. Dari seorang dia segera beralih kepada seorang lagi anak muridnya. Kini dia dapat melihat potensi seseorang itu dengan mata 'barunya'.  Agak lama juga dia melihat dengan penuh takjub, penuh kesyukuran dan penuh kesedaran hati bahawa ini semua bukan miliknya, tapi milik Allah, Tuhan Yang Maha Perkasa dan Maha Esa.

"Mungkinkah begitu caranya tok memilih bakal pewaris?" bisik hati Tok Harimau. Apabila difikirkan, Tok Harimau cepat-cepat beristighfar, dia tidak mahu berfikiran sebegitu lagi kerana semuanya adalah rahsia Mahaguru Naga Emas dan hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

"Usah banyak berfikir lagi. Mari kita sambung semula kerja kita," kata Mahaguru Naga Emas lalu meletakkan cawan besinya ke bawah. Tok Harimau menganggukkan kepala lalu mengikut Mahaguru Naga Emas sama-sama bangun dan berjalan semula ke dalam Gua Segumpal.

Puak Bisa yang diketuai Jin Naga Hitam juga sedang mempersiapkan segala-galanya. Semasa zaman pimpinan Tok Bisa, semuanya telah habis musnah dek kerana krisis dalaman dan perpecahan antara mereka. Oleh kerana itu juga, Puak Bisa disangkakan telah lenyap dari mukabumi. Kemunculan Jin Naga Hitam telah menghidupkan semula sisa-sisa perjuangan anggota asal Puak Bisa yang telah melarikan diri. Ketua-ketua di bawah Tok Bisa dahulu telah terbunuh oleh serangan Maharaja Segumpal Sakti dan gabungan kekuatan Mahaguru Tanpa Nama dan beberapa orang lagi pahlawan lain.

Pada ketika itu, Jin Hitam yang menumpang jasad Tok Bisa telah menemui sasaran baharu iaitu Naga Hitam. Naga Hitam tak mudah dipengaruhi, namun kekuatan Jin Hitam sedikit sebanyak melemahkan roh Naga Hitam. Dengan itu Jin Hitam telah berpindah kepada jasad Naga Hitam. Dengan jasad ini juga Jin Naga Hitam berhasil membunuh seterunya iaitu Mahaguru Tanpa Nama. Namun begitu, Jin Naga Hitam juga terpaksa membayar harga yang mahal dengan kemenangannya itu. Bukan sedikit dan kecil kecederaannya sehingga dia terpaksa mengasingkan diri dari dunia luar. Dia telah berkelana dan mula mencari perintis yang akan menjadi pengikut terbaharunya.

Tidak sukar mencari manusia yang punya sifat buruk dan durjana di dalam diri. Sifat-sifat itu sentiasa ada di dalam diri semua manusia, namun hanya yang tidak dapat mengawal hawa nafsu dan kejahatan sahaja yang akan melakukan kejahatan dan kerosakkan kepada diri dan orang lain. Seperti mana Tok Bisa yang menyembah dan memuja Jin Hitam hingga akhirnya jasad dan jiwanya ditakluk sepenuhnya. Roh Tok Bisa lenyap apabila Jin Hitam berjaya menguasai jasadnya itu. Tidak sukar kerana Tok Bisa benar-benar mahukan dirinya menjadi yang terkuat dan tidak terkalah. Tok Bisa sendiri yang mahu menyerahkan jasad dan jiwanya sebagai pertukaran untuk menakluk dunia.

Ternyata semua yang dilakukan itu hanya sia-sia. Dia telah diperdaya oleh Jin Hitam. Akan tetapi, pertarungannya dengan Mahaguru Tanpa Nama benar-benar telah menjejaskan jasad Tok Bisa itu sehingga dia tidak mampu berdiri dengan sendiri. Oleh kerana itu, Jin Hitam mesti mencari jasad yang baharu. Bukan satu atau dua, malah sudah banyak kali jasad-jasad manusia durjana yang ditakluki, namun semuanya tidak mampu bertahan lama. Lebih-lebih lagi kebanyakkan daripada mereka tidak mempunyai ilmu tinggi seperti Tok Bisa. Segala ilmu Tok Bisa itu akhirnya dimiliki Jin Hitam setelah roh Tok Bisa hancur dan musnah sepenuhnya.

Setelah menakluk Naga Hitam, maka ilmu Naga Hitam akan menjadi miliknya. Namun begitu, Naga Hitam agak sukar dikawal. Ada kalanya roh Naga Hitam menentang kemahuan Jin Hitam, terutama sekali pada  pertembungan dan pertarungannya dengan Mahaguru Tanpa Nama.  Dek kerana ilmu racun Tok Bisa, baharulah Jin Hitam berjaya melemahkan Mahaguru Tanpa Nama. Walaupun berjaya membunuh Mahaguru Tanpa Nama, sekali lagi Jin Hitam yang kini dikenali sebagai Jin Naga Hitam mengalami kecederaan yang agak parah dan terpaksa melarikan diri. Kecederaan yang dialami itu menyebabkan roh Naga Hitam mengambil kesempatan untuk menyerang. Akan tetapi, bukan mudah menewaskan Jin Hitam yang kini memiliki segala ilmu milik Naga Hitam. Tiada satupun yang mampu disembunyikan oleh Naga Hitam yang tidak dapat dicapai Jin Hitam itu. Semuanya menjadi kepunyaan Jin Hitam.

Naga Hitam tewas lagi di tangan Jin Hitam. Dia sudah tidak punya akal dan upaya bagi melawan Jin Hitam. Namun dia tidak akan mudah mengalah dan putus asa begitu sahaja. Dia berharap satu hari nanti akan ada sinar baru untuk dirinya atau bantuan dari sesiapa yang dapat menewaskan Jin Hitam seterusnya membebaskan dirinya dari belenggu kejahatan. Agak lama Jin Naga Hitam berkelana bagi menyembuhkan luka dalamannya. Di setiap tempat dia berada, akan ada nyawa-nyawa manusia yang dikorbankan bagi merawat lukanya. Bukan tiada yang cuba menentangnya, namun mereka itu ibarat durian dengan mentimun, menggolek rosak dan digolek binasa. Jin Naga Hitam mesti membalas dendamnya. Seluruh keturunan yang berkait dengan Mahaguru Tanpa Nama mesti dihapuskan. Namun, dia tidak akan bergerak sendirian. Puak Bisa mesti ditubuhkan semula.

Dalam perjalanan itu, dia bertemu dengan penjahat-penjahat yang sedang merompak, menyamun dan membakar sebuah kampung. Bukan itu sahaja perbuatan durjana mereka, kaum wanita tak kira tua atau muda akan menjadi mangsa hawa nafsu serakah mereka sebelum dibunuh. Jin Naga Hitam melihat segala perbuatan mereka itu dengan keseronokkan yang tidak terhingga. Dia tahu, di hadapannya kini ada di antara mereka yang akan dijadikan perintis dan bakal menjadi pengikutnya. Kumpulan durjana tersebut terkejut dengan kehadiran Jin Naga Hitam, lalu terjadilah pertarungan. Jin Naga Hitam bertembung dengan kumpulan perompak seramai 100 orang. Ketua perompak itu menyangkakan Jin Naga Hitam adalah salah seorang penduduk kampung tersebut, lalu dilancarkan serangan ke arahnya. Dan ternyata mereka semua itu bukan lawan Jin Naga Hitam.

Jin Naga Hitam tidak membunuh kesemua perompak-perompak tersebut. Hampir separuh daripada mereka dibunuh dengan kejam. Hanya yang kuat dibiarkan hidup, manakala yang lemah tidak akan sesekali dibawanya menyertai Puak Bisa. Akhirnya ketua perompak itu tunduk menyerah bersama-sama pengikutnya. Dia tahu, mereka tidak akan mampu melawan. Daripada mati, lebih baik hidup. Jin Naga Hitam menamakan ketua penyamun itu dengan gelaran Lelabah Hitam. Diajarkan segala ilmu bisa dan ilmu hitamnya. Demi keselamatannya, segala ilmu tersebut tidak diajar sepenuhnya. Pada ketika itu, Puak Bisa mula berkembang. Dengan kumpulan Lelabah Hitam itu, mereka mengembara sekali lagi. Di setiap tempat yang dikunjungi, pasti akan berlaku perkara jenayah yang sangat mengerikan. Dari satu kumpulan tersebut, mereka berkembang dengan tambahan seorang lagi ketua baharu yang digelar Ular Bercabang Hitam.

Ular Bercabang Hitam telah bertarung dengan Lelabah Hitam bersama pengikutnya yang lebih ramai. Namun begitu, mereka akhirnya tewas dengan separuh daripada mereka terselamat daripada dibunuh. Syarat dan perjanjian tetap sama. Lelaki yang digelar Ular Bercabang Hitam itu akhirnya menjadi anak murid kedua. Ular Bercabang Hitam diajarkan ilmu bisa dan ilmu hitam. Dari satu tempat ke satu tempat yang lain, mereka tidak pernah tertinggal dalam melakukan kejahatan. Sehingga akhirnya Jin Naga Hitam menambah lagi ketua-ketua baharu bersama-sama pengikut mereka. Selepas menghadapi puluhan pertarungan hidup dan mati, akhirnya lengkap 5 buah kumpulan kecil bersama ketua-ketua mereka yang terdiri daripada tiga orang lagi ketua iaitu Kala Hitam, Lipan Hitam dan Kelawar Hitam. Bersama-sama Jin Naga Hitam, mereka telah banyak melakukan kejahatan di mana sahaja mereka sampai atau kunjungi.

Mereka yang berlima ini dan para pengikut masing-masing telah menjadi ancaman di seluruh negeri di Tanah Melayu. Oleh kerana itu, setiap negeri di Tanah Melayu terpaksa memperkukuhkan dan memperkuatkan pertahanan mereka bagi menghadapi ancaman Puak Bisa. Jin Naga Hitam telah menanam ulat bisa kepada semua pengikutnya termasuk ketua mereka bagi mendapatkan kesetiaan mereka. Jika mereka mengkhianatinya, pasti akan maut sekiranya tidak mendapat penawar dalam masa yang terdekat. Ada di antara mereka ini yang telah melarikan diri, namun didapati telah menjadi 'mayat hidup' setelah dimakan oleh ulat-ulat bisa tersebut. Sekalipun telah mati, Jin Naga Hitam tak akan melepaskan mereka sebagai hukuman bagi menakutkan mereka yang cuba melarikan diri.

Mayat-mayat hidup ini telah dibentuk semula menjadi askar tidak terkalah. Mereka sudah tiada sebenarnya di dunia ini, namun Jin Naga Hitam telah memanggil jin-jin lain masuk ke dalam tubuh mereka lalu digelar Askar Bisa. Askar Bisa ini tidak punya akal fikiran, tiada rasa sakit dan juga sangat menyeramkan di saat mereka melakukan serangan hendap. Senjata mereka adalah racun berbisa yang sukar dikalahkan dengan senjata biasa.

Bersambung…

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.