DARI sebuah kapal ke sebuah kapal
mereka menumpang. Tiada siapa pun yang memperdulikan tiga orang lelaki tua
menumpang kapal mereka. Semuanya melayan dengan penuh hormat akan tiga orang
lelaki tua tersebut. Dugaan demi dugaan di lautan mahu pun di daratan sentiasa
menjelma. Sudah banyak juga pertarungan yang mereka bertiga tempuhi, namun
begitu penyamaran berjaya melindungi identiti mereka. Mereka bertarung dengan
gagah bak orang muda. Misi mereka adalah untuk menuntut sebanyak mana ilmu
agama, ilmu dunia, ilmu persenjataan dan segala jenis ilmu yang difikirkan
sesuai dan akan dibawa ke Segumpal. Segala ilmu itu akan disampaikan semula
kepada semua rakyat Segumpal.
Pendita Naga Emas bertemu dengan
ramai tokoh-tokoh hebat dengan ilmu masing-masing. Antaranya tokoh ulama
tersohor di Nusantara, tokoh perang dan ramai lagi. Setiap ilmu itu akan
disimpan dan ditulis dalam beberapa buah buku. Oleh kerana itu, buku-buku itu
amat bernilai dan tidak dapat dijual beli. Pada satu hari, kapal yang
ditumpangi oleh mereka telah dilanda ombak yang begitu ganas. Ombak ganas yang
menggulung itu telah menyebabkan kapal itu pecah dan karam di lautan. Mereka
terpaksa berpaut pada beberapa keping papan sebelum akhirnya tiba di daratan.
Mereka bertiga terselamat daripada
maut. Semuanya dengan izin Allah SWT Yang Maha Kuasa. Pulau yang di hadapan
mereka sepertinya tiada hidupan selain mereka bertiga. Mereka bertiga berehat
untuk beberapa ketika bagi mengeringkan pakaian. Nasib mereka jua baik kerana
buku mereka telah dilindungi oleh kertas yang kalis air. Namun begitu, ia juga
harus dikeringkan bagi mengelakkan tulisannya rosak.
"Agaknya di mana kita berada
sekarang? Sunyi sepi pulau ini seperti dilanda geroda," kata Pendeta Naga
Emas kepada kedua-dua orang Pahlawan Bayang.
"Buat seketika, kita
istirehat dahulu di sini. Makanan ada di hadapan mata," kata Indera Sakti
menunjukkan ke arah lautan yang terbentang luas.
"Selepas kita selesai di
sini, ayuh kita masuk ke dalam hutan belantara itu. Ada sesuatu yang
menarik-narik diriku ke dalam hutan itu," balas Pendita Naga Emas.
Kedua-dua Pahlawan Bayang
mengangguk serentak. Mungkin juga mereka berkongsi perasaan yang sama dengan
Pendita Naga Emas. Indera Wira mencari kayu dan batu untuk menyalakan unggun
api. Kedinginan pada tubuh mereka mesti diatasi segera dengan kehangatan api. Selepas
selesai menjamu selera dengan ikan-ikan yang ditangkap oleh Indera Sakti dan
Indera Wira, Pendita Naga Emas kemudiannya menjadi imam bagi solat Zuhur.
Apa-apa pun yang berlaku, solat mesti diutamakan berbanding perkara lain. Itu
adalah pendirian Pendita Naga Emas dan dua orang Pahlawan Bayang.
"Kita sudah solat, kita sudah
makan, adakah sudah tiba masanya kita ke hutan itu?" Tanya Indera Sakti.
"Inilah masanya. Ayuh kita
bergerak sekarang," kata Pendita Naga Emas. Indera Wira segera memadamkan
unggun api dan kemudiannya mereka bertiga pun segera melangkah ke hutan
belantara itu.
Baharu sahaja beberapa langkah ke
dalam hutan itu, tiba-tiba mereka terdengar bunyi sesuatu berlari dengan
pantas. Ia seperti sedang diburu oleh ramai orang. Beberapa bunyi letupan juga
kedengaran kuat. Alangkah terkejut ketiga-tiga mereka apabila melihat seekor
khinzir liar yang amat besar sedang melarikan diri daripada segerombolan lelaki
yang tidak dikenali. Luka-luka pada tubuh badan khinzir itu bukan akibat
tikaman atau tetakan. Terdapat lubang pada bahagian tubuh badannya dengan darah
meleleh keluar begitu banyak.
Lelaki-lelaki yang mengejar mereka
itu memakai pakaian yang amat aneh, amat berbeza dengan pakaian orang Melayu.
Pakaian mereka daripada bahan semulajadi seperti dedaunan. Namun begitu,
senjata yang digunakan oleh mereka sangat menarik hati Pendita Naga Emas. Khinzir
liar itu akhirnya tewas dan mati akibat kekurangan darah dalam badannya. Tanpa
berlengah lagi, seorang daripada mereka segera menyembelih dan melapah daging
khinzir tersebut. Namun begitu,
kehadiran tiga orang asing di hutan itu mengejutkan pemburu-pemburu tersebut.
Salah seorang daripada mereka tanpa amaran telah menggunakan senjata yang
dimiliki dan melepaskan satu serangan yang secara tiba-tiba menuju pantas ke
arah Pendita Naga Emas.
Pendita Naga Emas tak sempat
hendak mengelak lagi. Dia hanya sempat mengeluarkan pedangnya bagi menangkis
serangan tersebut. Serangan itu sangat kuat membuatkan Pendita Naga Emas
terpelanting. Batu berapi yang keluar daripada senjata tersebut menggesel pipi
Pendita Naga Emas sehingga berdarah. Melihatkan keadaan yang mencemaskan itu,
Pahlawan Bayang segera mendapatkan Pendita Naga Emas. Mereka segera melindungi
Pendita Naga Emas dengan berdiri di hadapannya. Lelaki yang menggunakan senjata
tersebut kemudiannya telah ditampar oleh ketua mereka kerana menggunakan
senjata itu ke atas seorang lelaki tua. Oleh kerana itu, ketua itu dan
anak-anak buahnya segera berjalan ke hadapan. Melihat kemaraan mereka, Panglima
Bayang mula menarik pedang mereka.
Andai mereka maut di sini, mereka
terima dengan redha. Mungkin itu adalah ketentuan dan takdir dari Allah. Selain
debaran yang menyelubungi hati, amarah juga menguasai di hati. Mereka tidak
mengerti apakah sebabnya lelaki itu menyerang Pendita Naga Emas. Akhirnya
lelaki si ketua pemburu itu tiba di hadapan mereka bertiga. Anak-anak buahnya
hanya menunggu di belakang ketua mereka itu. Tiba-tiba, ketua pemburu itu
bertanyakan sesuatu kepada mereka bertiga dalam bahasa yang amat sukar
difahami. Sudah tentu bahasa yang dituturkan itu boleh menyebabkan salah faham
yang lebih dalam. Dari riak wajah lelaki itu, dia seperti mahu memohon maaf
atas keterlanjuran anak buahnya menyerang Pendita Naga Emas. Lelaki itu
memegang tangan Indera Sakti, namun Indera Sakti segera menolak tangan lelaki
itu sehingga ia terdorong ke belakang. Melihatkan ketua mereka ditolak
sedemikian rupa, anak-anak buahnya segera mengangkat senjata mereka. Namun
begitu, ketua mereka segera menahan anak-anak buahnya daripada bertindak
melulu.
"Ayahanda Indera Sakti,
bersabarlah. Ketua mereka itu nampaknya ingin berdamai. Lagi pun aku ini tidak
apa-apa," Pendita Naga Emas menguatkan semangatnya untuk bangun dan
berjalan ke hadapan. Pendita Naga Emas akhirnya berhadapan dengan ketua pemburu
itu. Tangannya segera menyentuh tangan lelaki itu. Walaupun berbeza suku
bangsa, namun bahasa tubuh badan dan riak wajah lebih mudah difahami. Melihat
kejernihan di wajah Pendita Naga Emas, lelaki pemburu itu seperti memahami apa
yang ingin dikatakan oleh Pendita Naga Emas. Lelaki itu mengusap wajah Pendita
Naga Emas yang berdarah. Dia kemudian mengeluarkan sesuatu daripada sebuah
bakul, lalu mengeluarkan beberapa helai daun dan dilapkan pada luka di wajah
Pendita Naga Emas. Beberapa helai daun
lagi dihancurkan dan diludah oleh lelaki itu, lalu dilekapkan pada wajah
Pendita Naga Emas.
Melihatkan perdamaian itu, kedua-dua
Pahlawan Bayang mula meletakkan pedang mereka. Begitu juga dengan anak-anak
buah pemburu tersebut. Lelaki itu kemudiannya menarik tangan Pendita Naga Emas
untuk mengikut mereka. Mereka pun berjalan mengikuti kumpulan pemburu itu.
Disangkakan tiada penghuni, rupa-rupanya ada sebuah perkampungan di dalam hutan
itu. Sebuah kampung yang agak tersembunyi dan jauh ke dalam hutan, tak mungkin
dapat dilihat dari pantai. Pada malam itu, mereka dilayani dengan baik oleh
ketua pemburu itu. Ketua pemburu itu rupa-rupanya adalah ketua kampung
tersebut. Pada malam itu, khinzir liar itu telah dijadikan hidangan utama. Namun
begitu, mereka tidak menjamah sedikit pun daging khinzir tersebut. Mereka hanya
makan ikan dan buah-buahan yang dihidangkan. Selepas jamuan, para wanita mula
menarikan tarian suku kaum mereka. Dalam hati Pendita Naga Emas berharap agar
dapat melihat senjata yang digunakan dengan lebih dekat. Peluang itu akhirnya
tiba apabila ketua tersebut memberikan kepada Pendita Naga Emas untuk dilihat
sebaiknya.
"Senjata ini amat unik. Ia
mempunyai keupayaan untuk sampai kepada sasarannya dari jarak jauh. Dari apa
yang aku lihat, ia mempunyai batu yang berapi. Urmmmm, bukan batu tapi ia
berbentuk bulat, " bisik hati Pendita Naga Emas. Lelaki itu kemudiannya
menunjukkan cara penggunaan senjata tersebut. Gabungan antara sumpit dan
sesuatu yang berbentuk seperti lonjakan atau tolakan dari luar, menghasilkan
momentum yang begitu dahsyat. Pendita Naga Emas segera membuat lakaran akan
senjata tersebut. Daripada pemerhatiannya, senjata itu boleh dihasilkan dengan
lebih baik. Mungkin dengan rekabentuk dan bahan yang lebih bermutu. Ketiga-tiga
pahlawan tersebut akhirnya dapat berlindung di dalam sebuah pondok yang selesa.
Sekurang-kurangnya mereka selamat daripada haiwan liar dan mungkin keadaan
cuaca yang tidak menentu.
Majlis di Istana Segumpal akhirnya
berakhir. Namun begitu, timbul persengketaan di antara kumpulan Lima Puak dan
rombongan daripada negara Baratia. Ada sesuatu yang mencurigakan di sebalik
kedatangan Putera Baratia dan anggota rombongannya. Putera Baratia telah
meminta izin daripada Maharaja Segumpal Satria agar dapat tinggal di Segumpal
untuk beberapa ketika. Mereka ingin menjalinkan hubungan perdagangan dan
perkongsian ilmu dan budaya. Maharaja Segumpal Satria akhirnya memberi perkenan
dan bantuan kepada rombongan tersebut. Beberapa buah rumah yang sudah tiada
penghuninya telah diberikan untuk diduduki oleh Putera Baratia dan ahli
rombongannya.
Mahaguru Harimau Emas tidak dapat
menghalang jalinan persahabatan itu, namun dia sempat memberikan nasihat dan
amaran agar Maharaja Segumpal Satria berhati-hati dalam setiap perkara. Mungkin
akan berlaku musibah di kemudian hari jika mereka terlalu lembut hati dan tidak
berhati-hati. Lebih-lebih lagi mereka tidak mengenali sepenuhnya tetamu yang
datang itu. Beberapa purnama berlalu, Putera Baratia dan kerabat diraja
akhirnya meninggalkan Segumpal. Namun begitu, Marvick dan anak-anak buahnya
masih kekal berada di rumah tersebut dan tidak pulang bersama. Marvick telah
dilantik oleh Putera Baratia bagi menjalankan urusan perdagangan.
Akan tetapi, bukan hanya
perdagangan yang menjadi tumpuan utama Marvick. Dia juga sudah mula menjalankan
agendanya sendiri dengan menyampaikan ilmu agamanya yang sudah tentu bertentangan
dengan ajaran agama Islam. Menggunakan hak dan kebebasan beragama, Marvick cuba
menarik rakyat Segumpal agar menganut ilmu agamanya. Dengan kemewahan yang
diberikan, sudah tentu ada antara rakyat Segumpal tertarik hati untuk menyertai
kumpulan agama Marvick.
Namun tidak ramai yang tahu dan
sedar, agama yang dianuti Marvick sebenarnya bukan agama sebenar atau agama
yang mentauhidkan Allah SWT. Marvick sebenarnya telah mengajarkan ilmu sesat
yakni ilmu hitam. Beberapa pengikut yakni rakyat Segumpal telah mula hilang dari
pandangan ahli keluarga mereka sendiri. Perkara ini membuatkan Mahaguru Harimau
Emas mulai resah. Andainya ajaran ilmu itu meresap masuk ke dalam perkampungan
Lima Puak, maka akan hancurlah akidah mereka yang disesatkan oleh Marvick si
pengikut Iblis dan Syaitan.
"Kita mesti siasat perkara
ini dengan segera. Oleh itu, kawalan di kampung ini mesti diperketalan. Jangan
ada sesiapa pun dari kampung ini dilihat di rumah puaka itu," arah
Mahaguru Harimau Emas kepada anak-anak buahnya.
"Aku mesti siasat sendiri,
tak kira apa pun yang terjadi, aku mesti selamatkan orang-orang Segumpal,"
bisik hati Naga Hitam.
Apakah yang akan terjadi kepada
Pendita Naga Emas dan dua orang Pahlawan Bayang. Apakah rancangan mereka untuk
menunaikan haji akan terlaksana? Bagaimana pula keadaan di Segumpal? Apakah
yang akan ditemui oleh Naga Hitam nanti?
Bersambung…
Cerita ini adalah cerita rekaan.
Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang
masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah
ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula
samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu
mendapat kebenaran dari admin blog ini.