Tuesday, January 18, 2022

5 Puak (Episod 32 : Diserang Ilmu Hitam) oleh MS Malawi

SUDAH beberapa hari Anak-anak Serigala merisik keadaan di rumah tumpangan milik orang dari Baratia. Belum nampak akan perkara yang mencurigakan. Akan tetapi, sepanjang penyiasatan itu, mereka lihat terlalu ramai rakyat Segumpal yang keluar masuk. Ada antara mereka berada di dalam rumah itu dalam jangkamasa yang agak lama. Ada yang masuk dalam tempoh yang singkat. Yang lebih menghairankan adalah, mereka yang keluar dari rumah itu kelihatan seperti sedang berkhayal, senyum sahaja sepanjang masa.

Jika diikutkan hatinya, mahu sahaja Naga Hitam itu menyerbu ke dalam rumah tersebut. Namun memikirkan akan kata-kata Mahaguru Harimau Emas, terus dibatalkan sahaja akan niatnya. "Kita mesti hati-hati. Cari bukti yang mencukupi sebelum dibawa ke pengetahuan Maharaja Segumpal Satria."

Mata hijab Naga Hitam juga tidak dapat menembusi ke dalam rumah itu. Seolah-olah ada dinding penghalang di dalamnya sehingga amat sukar buat Naga Hitam merisik ke dalamnya. Rumah itu akan ada seorang daripada pengikut Marvick berdiri di luar dengan menatang secawan air. Apabila seseorang itu mahu masuk ke dalam rumah bagi bertemu Marvick, mereka akan diminta untuk minum seteguk daripada air tersebut.  Apakah isi kandungan air tersebut? Tiada siapa pun yang tahu.

Untuk melancarkan siasatan, seorang daripada pengikut Puak Serigala telah menyamar menjadi orang kampung. Maka, berjalanlah perisik itu mengikuti beberapa orang kampung. Tidak lama kemudian, perisik itu pun akhirnya tiba. Di saat tiba di hadapan rumah itu, beberapa orang kampung yang berdiri di hadapannya telah diminta untuk minum air tersebut. Setelah minum air itu, barulah dibenarkan masuk. Akhirnya tiba giliran perisik itu, namun dia menolak untuk minum. Berlaku kekecohan di luar menyebabkan Marvick terpaksa keluar melihat keadaan itu.

"Kalau hendak masuk bertemu aku, kamu mesti minum air ini," kata Marvick dengan mata yang merah menyala. Perisik itu agak terkejut melihat Marvick yang sedang dalam keadaan marah. Ini kerana bukan sahaja wajah Marvick yang kelihatan. Ada beberapa wajah jin mula menghantui perisik itu sehingga akhirnya dia minum jua minuman yang telah disediakan.

Naga Hitam dan dua orang perisik dari Puak Serigala melihat perisik itu sudah pun masuk dengan diiringi oleh Marvick. Naga Hitam dan dua perisik puak Serigala pun menunggu dengan sabar. Beberapa jam berlalu, perisik yang memasuki rumah Marvick belum kelihatan keluar dari rumah itu. Sedangkan orang-orang yang masuk kemudian selepasnya sudah ramai yang pulang ke rumah masing-masing.

"Mari kita serbu rumah itu," bisik Naga Hitam kepada salah seorang perisik tersebut.

"Maaf, tuan. Amat merbahaya kita serbu tanpa sebarang bukti. Mungkin nanti kita pula akan dipersalahkan," bisik lelaki dari puak Serigala itu.

 

"Hurmmm, ada benar kata-katanya itu. Tak mengapalah, kita tunggu sekejap sahaja lagi," bisik hati Naga Hitam.

Tidak berapa lama kemudian, perisik Serigala yang memasuki rumah itu pun keluar dari rumah tersebut. Bukan sahaja itu, lelaki tersebut diiringi secara penuh hormat oleh Marvick. Selepas mengucapkan selamat tinggal, lelaki perisik itu pun terus berjalan melepasi tempat persembunyian mereka semua.

"Eh, mengapa dia tidak ke mari?" Tanya Naga Hitam kepada lelaki yang berdua dari puak Serigala tersebut. Mereka berdua juga kehairanan, lalu membuat keputusan agar segera mengekori dan bertanya sendiri kepada lelaki tersebut.

Perlahan-lahan mereka berjalan, agar tidak mengejutkan perisik Serigala itu. Kelihatan lelaki sang perisik itu berjalan menuju ke perkampungan 5 puak. Oleh kerana tidak bersabar lagi, Naga Hitam segera berlari bagi menahan lelaki tersebut sebelum tiba ke perkampungan 5 puak.

"Tunggu dahulu, saudara. Mari kita berbual dahulu," kata Naga Hitam sambil menepuk bahu lelaki tersebut. Tanpa diduga, lelaki itu tiba-tiba menyerang Naga Hitam dengan sebilah pisau kecil. Mujur refleksi diri Naga Hitam lebih pantas.

Dua orang lelaki perisik dari puak yang sama merasa hairan melihat perilaku lelaki tersebut. Tidak pernah selama ini dia menyerang orang tanpa usul periksa. Naga Hitam mula memeriksa lelaki tersebut dengan mata kebatinan. Dari pandangan matanya, lelaki itu telah dipukau. Bergayutan beberapa ekor jin ganas di anak matanya dan belakang tubuhnya. Tiba-tiba, lelaki itu sekali lagi menyerang Naga Hitam. Kali ini pergerakannya lebih pantas daripada biasa.

Mereka dari sebuah keluarga yang besar. Memegang akan hakikat itu, Naga Hitam tidak sedikit pun mahu menyerang balas. Dia hanya berundur dan sesekali menepis serangan ganas itu. Baginya, pisau yang ada pada lelaki tersebut memang amat ganjil. Pisau kecil itu sesekali menyilaukan mata Naga Hitam membuatkan Naga Hitam mula terasa sesuatu. "Mungkinkah pisau itu adalah sihirnya? Aku mesti jauhkan pisau itu dari tangannya.

Akhirnya Naga Hitam menyerang balas lelaki tersebut. Sudah dapat dibaca siapa yang akan menang. Perbezaan tahap ilmu mereka amat ketara. Setelah berjaya menangkap pergelangan tangan lelaki tersebut, Naga Hitam berjaya menjatuhkan pisau tersebut. Dengan tidak semena-mena, lelaki itu tiba-tiba jatuh tersungkur dan tidak sedarkan diri. Dua orang rakannya segera meluru ke arah rakannya itu. Mereka segera memeriksa nadi dan jantung lelaki itu. Mujur buat mereka, lelaki itu hanyalah pengsan sahaja.

Sebelum mengambil pisau itu, Naga Hitam segera menyingkirkan jin-jin yang ada di dalamnya. Setelah semuanya selesai, Naga Hitam cuba mengambil pisau itu. Namun begitu, ia tiba-tiba sahaja hilang dari pandangan.

"Cis! Ini semua permainan ahli sihir dari Baratia itu," Naga Hitam begitu berang dengan kegagalannya mendapatkan bukti dari pisau tersebut. Sementara itu, salah seorang perisik dari puak Serigala segera mendukung rakannya.

Naga Hitam turut sama ke perkampungan Puak Serigala. Dia mahu mendengar sendiri apakah yang berlaku kepada lelaki tersebut setelah dia minum seteguk air yang diberikan dan apa yang ada di dalam rumah tumpangan orang Baratia itu. Lelaki dari puak Serigala yang menyerang Naga Hitam dibaringkan di ruang tamu rumahnya. Beberapa orang berada di dalam rumah itu bagi mendengar sendiri apa yang dialami oleh lelaki tersebut. Antaranya adalah Naga Hitam dan Tok Serigala.

Naga Hitam melihat dengan mata hijabnya, namun tiada pula kelihatan akan sebarang makhluk halus di samping lelaki tersebut. Sementara itu, Tok Serigala memerintahkan Anak Serigala duduk di ubun-ubun lelaki tersebut dan dia sendiri akan berada di bahagian kaki. Ayat-ayat suci Al-Quran mula berkumandang, termasuk seorang daripada mereka mula melaungkan azan. Satu pergerakan daripada tubuh lelaki tersebut mula menunjukkan reaksinya. Anak Serigala menekan bahagian ubun lelaki tersebut dengan telapak tangan kanannya manakala Tok Serigala mula memicit-micit kaki lelaki tersebut. Tiba-tiba, lelaki itu mula membuka matanya.

Apa yang terjadi seterusnya mengejutkan semua yang berada di situ.  Naga Hitam mula melihat beberapa ekor jin belaan Marvick mula kepanasan. Naga Hitam segera menutup matanya, lalu mulutnya mula berkumat kamit membacakan beberapa potong doa dari ayat suci Al-Quran. Perlahan-lahan Naga Hitam mula merasakan sesuatu. Bergetar tubuh badannya, dan kini dia mula berada di alam kebatinan. Pada saat itu, Naga Hitam dapat melihat beberapa ekor jin itu memeluk erat lelaki tersebut. Lelaki itu cuba melawan, namun pelukan mereka semakin erat dan ketat.

"Nyah kamu semua dari sini. Tinggalkan lelaki ini sebelum aku hancurkan kamu semua," jerit Naga Hitam di alam kebatinan itu. Jin-jin itu terperanjat melihat kedatangan Naga Hitam, namun mereka tidak menunjukkan sebarang perasaan gentar dengan kehadiran Naga Hitam. Yang sebenarnya, kehadiran Naga Hitam telah membakar tubuh badan mereka, namun jin-jin itu memang licik dan cuba menipu Naga Hitam. Mereka menjelirkan lidah dan kemudian cuba menyerang dengan senjata daripada tubuh badan mereka, namun semuanya hancur sebelum dapat mengenai tubuh badan Naga Hitam.

Aura yang panas memancar dari tubuh badan Naga Hitam. Naga Hitam membacakan lagi beberapa ayat suci Al-Quran. Tanah di alam kebatinan itu mula merekah dengan cahaya mulai memancari dari bawah tanah diikuti dengan gegaran yang agak kuat. Jin-jin itu cuba bertahan lalu sekali lagi menyerang dari jarak jauh. Naga Hitam segera mengunci pergerakan mereka dengan aura cahaya yang meliliti kaki mereka. Naga Hitam cuba menyentak jin-jin itu dari jauh namun mereka enggan melepaskan lelaki tersebut.

Naga Hitam mulai marah. Tiba-tiba dia menyerbu dengan kepantasan yang luarbiasa dengan tubuh badannya telah terbahagi kepada tiga. Ketiga-tiga tubuh badan Naga Hitam itu memegang senjata yang berlainan rupa. Melihat kepada serangan yang menggerunkan itu, jin-jin itu merapatkan tubuh lelaki itu agar menjadi perisai mereka. Akan tetapi, mereka mengalami masalah untuk menyeimbangkan diri. Tali yang mengikat lelaki dari puak Serigala itu hampir-hampir sahaja terurai. Serangan Naga Hitam semakin hampir bersama aura cahaya yang sangat menyilaukan mata.

"Lepaskan dia, kalau tidak aku hancurkan kamu semua di sini," jerit ketiga-tiga tubuh badan Naga Hitam itu serentak. Mahu atau tidak, jin-jin itu akhirnya terpaksa melepaskan jua tubuh lelaki itu lalu segera disambut oleh salah satu daripada tubuh Naga Hitam. Sementara dua lagi tubuh Naga Hitam terus menyerang dan menghancur lumatkan jin-jin tersebut.

Sungguh hebat kekuasaan Allah. Tiada yang dapat mengatasi kekuasaan dan kekuatan Allah itu. Dengan izin Allah Yang Maha Esa, Naga Hitam akhirnya berjaya membawa lelaki itu pulang ke jasadnya semula. Akhirnya, Naga Hitam dan lelaki itu membuka mata mereka. Sebaik sahaja matanya terbuka, lelaki itu terus bangun dan memuntahkan sesuatu yang sangat busuk. Mujur salah seorang daripada pahlawan puak Serigala sempat menadah muntahnya itu dengan sebuah bekas besi daripad tembaga.

Apa yang dimuntahkan itu adalah darah pekat yang agak cair dan berwarna hitam. Mungkin ia adalah daripada air yang diminum ketika di rumah tumpangan Marvick. Anak Serigala segera menepuk belakang tubuh lelaki itu bagi mengeluarkan segala bisa dan racun yang ada. Selepas ianya telah habis dikeluarkan, Naga Hitam segera mengambil bekas muntah itu dan dibawanya keluar. Naga Hitam segera membacakan ayat suci Al-Quran dan tiba-tiba muntah yang berada di dalam bekas tembaga itu terbakar dengaan sendirinya. Setelah beberapa minit, kesan muntah itu sudah tiada lalu dibawa masuk semula oleh Naga Hitam dan diberikan kepada Anak Serigala.

Apa yang terjadi kepada lelaki itu? Adakah Marvick mengetahui identitinya? Apakah kandungan air itu dan adakah orang yang meminumnya sudah menjadi pengikut Marvick?

Bersambung…

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.