Sunday, January 02, 2022

5 Puak (Episod 31 : Pelayaran Diteruskan) oleh MS Malawi

"AKU mesti siasat sendiri, tak kira apa pun yang terjadi, aku mesti selamatkan orang-orang Segumpal," bisik hati Naga Hitam. "Tunggu, ayahanda Naga Hitam. Jangan bertindak sendirian," tiba-tiba sahaja Mahaguru Harimau Emas muncul dan melarangnya bertindak melulu."Bagaimana pula dia dapat baca fikiran ku," bisik hati Naga Hitam lagi. Mungkinkah amat ketara perubahan pada wajah Naga Hitam sehingga dapat dikesan oleh Mahaguru Harimau Emas.

"Jika ayahanda mahu menyiasat, bawalah bersama beberapa orang kita dari puak Serigala. Mereka ini amat sesuai membantu," tambah Mahaguru Harimau Emas.

Naga Hitam lebih suka bertindak sendirian. Namun begitu, kata-kata Mahaguru Harimau Emas ada benarnya. Jika terjadi apa-apa kepadanya, bagaimana pula nanti keselamatan 5 Puak. Dia telah berjanji dengan kekandanya iaitu Pendita Naga Emas untuk menjaga 5 Puak sepanjang ketiadaan mereka.

"Baiklah, benar bagai dikata. Kita harus mulakan siasatan secepat mungkin. Berikan aku dua orang Anak Serigala yang paling handal akan penyamaran dan penyiasatan ini," kata Naga Hitam.

Puak Serigala terkenal dengan kepakaran dan kemahiran dalam penyamaran. Mahaguru Harimau Emas dan Naga Hitam mengakui akan hakikat ini. Oleh kerana itu, Mahaguru Harimau Emas bersetuju dengan permintaan Naga Hitam itu namun mesti bertanyakan kepada Tok Serigala terlebih dahulu. Mereka berdua pun segera bergegas menuju ke kawasan Puak Serigala. Kedatangan mereka disambut penuh mesra oleh Tok Serigala dan anak-anak buahnya.

"Tentu ada sebabnya tuan Mahaguru dan Tok Naga Hitam datang ke mari. Apakah hajat di hati?" Tanya Tok Serigala.

"Berkenaan apa yang kita bincangkan sebelum ini, siasatan mesti dijalankan secepat mungkin. Tok Naga Hitam akan mengetuai penyiasatan ini dan dengan dibantu oleh dua orang Anak Serigala. Apa pendapat Tok Serigala?" Tanya Mahaguru Harimau Emas.

 "Baik, hamba telah berbincang dengan anak-anak buah hamba sebelum ini. Dua orang itu telah hamba persiapkan dengan ilmu dan barang-barang untuk penyamaran," jelas Tok Serigala. Ternyata mereka telah bersepakat bersama-sama dalam satu puak tersebut.

"Tapi, bilakah akan dimulakan siasatan ini?" Tanya Tok Serigala.

"Kita akan pilih hari yang sesuai. Hal ini tak boleh terburu-buru. Perlu ada perancangan yang teliti," kata Mahaguru Harimau Emas.

Jika diikut pada hati Naga Hitam, hari ini juga dia mahu menyiasat. Namun begitu, ada benarnya kata-kata Mahaguru Harimau Emas itu. Tanpa perancangan, segala usaha akan menjadi sia-sia dan membuang waktu. Sudah beberapa hari Pendita Naga Emas dan dua Pahlawan Bayang tinggal bersama puak suku orang asal itu. Mereka bertiga amat menghormati adat dan budaya orang-orang suku kaum ini. Begitu juga dengan ketua serta anak-anak buah puak suku orang asal itu.

Pendita Naga dan Pahlawan Bayang bebas menunaikan ibadat di kawasan perkampungan puak orang asal itu. Dalam masa yang sama, tok ketua dan anak buahnya kelihatan tertarik melihat sikap dan keperibadian mulia ketiga-tiga lelaki tua dari Segumpal itu. Daripada segi bahasa mungkin berbeza dan sukar berinteraksi. Namun dari segi lenggok bahasa tubuh mereka menceritakan segalanya. Oleh itu, Pendita Naga Emas berbesar hati menunjukkan dan mengajar Tok Ketua berkaitan solat terlebih dahulu.

Walaupun belum pernah mendengar tentang ajaran Islam, namun keinginan mereka untuk belajar amat tinggi. Semuanya bermula daripada sikap dan keperibadian Pendita Naga Emas yang baik hati dan lemah lembut. Ia menjadi daya penarik yang membuatkan mereka ingin belajar tentang Islam. Oleh kerana itu, Pendita Naga Emas membuat keputusan untuk tinggal lebih lama. Menyampaikan tentang agama Islam itu lebih baik dan satu pahala yang besar jika mereka membuat keputusan untuk menjadi saudara baharu. Urusan mengerjakan haji itu boleh ditangguh buat sementara waktu.

Maka bermulalah pelajaran mereka dengan Pendita Naga Emas. Pelajaran dan perkongsian ilmu berjalan seiring antara kedua belah pihak. Orang asal juga mula mempelajari bahasa Melayu daripada Pendita Naga Emas, begitu juga sebaliknya. Pahlawan Bayang pula belajar menggunakan alat memburu yang dipanggil 'Leletup'. Leletup sangat berkesan dan mudah digunakan dalam pemburuan. Pahlawan Bayang mula mahir menggunakan alat memburu itu setelah belajar selama sehari.

Beberapa bulan berlalu, ketua orang asal bersama pengikutnya bersama Pendita Naga Emas dan Pahlawan Bayang mula merancang untuk membina sebuah kapal. Orang-orang asal juga telah menguasai sedikit sebanyak ajaran Islam. Dan, mereka juga ingin ke Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Pembinaan sebuah kapal tidak semudah yang disangka. Pendita Naga Emas merangka rekabentuk sebuah kapal yang besar. Sumber kayu kayan amat mudah diperolehi dengan adanya pokok-pokok di dalam hutan tempat tinggal orang-orang asal tersebut.

Mereka semua bertungkus lumus membina kapal di siang hari, belajar ilmu tempur pula di malam hari. Mereka semua sangat tekun belajar dan berusaha penuh gigih. Kapal itu berjaya disiapkan dalam masa yang amat singkat. Kapal yang cukup besar yang boleh memuatkan semua orang-orang asal bersama keluarga mereka. Sudah terbiasa dengan berpindah randah, semua itu tidak menjadi kesukaran buat orang-orang asal.

Maka, mereka pun belayar dengan senang hati ke Tanah Suci Mekah. Alat leletup dibawa bersama sebagai salah satu senjata bagi mempertahankan diri. Leletup makin bertambah banyak dihasilkan dan turut ditambah nilai dengan penggunaan api. Dalam ertikata sebenar, peluru yang akan digunakan adalah batu berapi. Perjalanan kali ini pasti akan ada banyak ujian dan dugaan. Namun begitu, mereka tetap tabah menghadapi segala ujian dan dugaan itu demi niat mereka menunaikan ibadat haji.

Pembelajaran mereka dengan ajaran agama Islam tidak terhenti begitu sahaja. Di atas kapal, Pendita Naga Emas tetap akan menyampaikan ilmunya. Ada kalanya mereka akan berhenti di setiap pelabuhan untuk membeli bahan-bahan mentah, bahan-bahan masakan dan pakaian. Kapal yang dibina itu mempunyai kabin dan bilik yang memisahkan bukan muhrim. Juga ada bilik untuk keluarga. Sementara Pendita Naga Emas dan dua Pahlawan Bayang di dalam sebuah bilik.

Apakah yang akan terjadi dalam pelayaran mereka nanti? Bagaimana pula dengan hasil risikan oleh anggota puak? Apakah mereka akan dapat maklumat yang mencukupi untuk dibawa ke hadapan Maharaja Segumpal Satria?

Bersambung...

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.