Thursday, August 11, 2011

Aktiviti Bulan Ogos 2011

Sempena Ketibaan Bulan yang Mulia ini, AKMAL mengucapkan Selamat Menunaikan Ibadat Puasa, Semoga segala Ibadah yang dikerjakan mendapat Keberkatan & Kebaikan di sisi Allah S.W.T, - AMIN

1] Latihan : Segala bentuk latihan di dalam Ramadhan tahun ini tidak akan dijalankan dan akan bersambung selepas sambutan perayaan kelak.

2] Pembentangan : Akan ke FINAS pada 18hb Ogos 2011 ini, untuk membuat presentation filem pendek bertajuk SILAT. Semoga usaha ini mendapat keberkatan dan berhasilnya hendak-Nya.

Bruce Lee : Hidup dan Matinya Masih Hangat Di Perkatakan!

Lee Zheng Fan a.k.a Bruce Lee, Pengamal Seni Beladiri, Pelakon dan Pengasas Jeet Kune Do.

BERTEMU kembali di arena penulisan dalam blog saya. Ini merupakan hasil nukilan saya yang pertama dalam bulan ogos 2011 sempena bulan puasa umat Islam seluruh dunia. Pada mulanya saya ingin membataskan penulisan saya dalam bulan ramadhan terutama berhubung penulisan dalam topic seni beladiri dan aksi perfileman seperti mana saya membataskan aktiviti kelas latihan silat dan lakonan. Namun, gerak hati ini tidak mampu menghalang kepekaan idealogi dan gerak fizikal untuk menyampaikan sesuatu yang boleh kita kongsikan bersama-sama pada sudut kebaikan.

Bruce Lee, satu insan atau makhluk ciptaan Allah s.w.t yang kerdil, kemungkinan antara insan terpilih dalam bidang diceburi tetapi berjaya menggegar dunia perfileman dengan kehebatan, kontroversi & konspirasi. Sepanjang hidupnya pelbagai rentetan peristiwa direkodkan oleh beliau sama ada yang baik atau yang kurang baik, luar kehidupan atau dalam kehidupan. Barang kali inilah yang dikatakan dalam pepatah melayu, ‘harimau mati tinggalkan belang, manusia mati tinggal nama’. Barangkali bertetapan barangkali tidak. Sebenarnya ada sesuatu yang mengheret saya menulis kisahnya pada kali ini.

Seperti tajuk di atas Bruce Lee, Hidup dan Matinya Masih Hangat Diperkata... bukan untuk mendedahkan kronologi kehidupan dari saat kelahiran sehingga kematiannya tetapi ingin mengupas serba sedikit berhubung isu kematiannya. Kehebatan dirinya acapkali diperkatakan, ada yang boleh kita jadikan rujukan, kontroversi yang dilakukan diterjemah pelbagai versi, baik kita jadikan sempadan tetapi konspirasi terhadap diri masih belum jelas kita dengari sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi dari media masa dan cakap-cakap umum.

Di Malaysia, isu kematian Bruce Lee sering dikaitkan dengan pertarungan maut dalam bentuk seni beladiri yang memaparkan kehebatan sesebuah atau sesuatu seni beladiri. Ingat ketika saya masih kecil dan remaja, sering kedengaran isu kematian Bruce Lee disebabkan pertarungan maut melibatkan Dicky Zulkarnain (pelakon beladiri Indonesia). Penulis sendiri hampir percaya 100% pada masa itu. Mahu tidak? Sebagai seorang pesilat pasti bangga apabila ada pesilat menumbangkan raja kung-fu.

Beberapa dekad selepas itu muncul lagi satu pendedahan yang kononnya Bruce Lee matikan akibat terkena buah pukulan maut persilatan dari Malaysia pula. Agak mengejutkan, kenapa sekarang baru nak di war-warkan isu itu? Kenapa tidak diwar-warkan pada masa peristiwa kematian Bruce Lee. Lebih memalukan ianya melibatkan imej persilatan seni silat melayu di Malaysia yang penuh tradisi adab, tertib yang melambangkan kehebatan sebenar seni silat melayu Malaysia! Bukan itu sahaja, boleh dikatakan seluruh dunia, seluruh negara ada versi tersendiri berhubung kematian Bruce Lee yang memanjangkan ‘talian hayat’ sehingga ke hari ini walaupun hayat sebenarnya sudah lama bertitik noktah...

Pertarungan dalam Filem Way of the Dragon bersama Chuck Norris (juara karate Amerika) yang juga pelakon...
Kematian Bruce Lee sangat mengejutkan, unik dan penuh misteri. Bahkan ada yang tidak masuk akal langsung. Pelbagai cerita tentang kematiannya berkemunandang, antaranya;

1] Dibunuh oleh kumpulan samseng (yang nyata bukan KL Gangster {saja berlawak}) kerana tidak membayar wang perlindungan, suatu kelaziman dalam dunia perfileman Hong Kong saat itu.

2] Dibunuh pendekar shaolin yang marah kerana Bruce Lee telah menyebarkan ilmu dan rahsia kung fu kepada bangsa asing.

3] Terkena sumpahan kerana membeli rumah berhantu.

4] Bruce Lee meninggal di saat berasmara dengan Betty Ting Pei.

5] Kebanyakan orang Cina yakin Bruce mati kerana latihannya sendiri yang memang berat.

Berpandukan fakta perubatan, Bruce Lee meninggal setelah mengalami koma mengejut disebabkan berlaku Cerebral Edema, iaitu pembengkakan otak akibat pencairanan yang berlebihan. Fakta-fakta ini adalah sebahagian spekulasi, tetapi ada bermacam-macam versi yang ada masuk akal dan ada yang luar dari kotak fikiran kita. Di bawah, adalah antara fakta-fakta yang boleh kita kongsikan bersama-sama hal-hal mengenai Bruce Lee.

1] Bruce Lee bukan 100% berdarah cina, ibunya Grace Lee adalah kacukan Cina dan Jerman (Aryan), jadi boleh dikatakan Bruce Lee memiliki 1/4 darah Jerman.

2] Bruce Lee berlakon buat kali pertama ketika berusia 3 bulan. Beliau dibawa ayahnya, seorang yg cukup terkenal dalam Opera Cina.

3] Sebuah surat tulisan tangan Bruce Lee untuk memotivasikan dirinya sendiri dengan judul “My Definite Chief Aim” terjual dengan harga US$29,500.

4] Kepantasan pukulan tangan Bruce Lee adalah 1/500 detik dari jarak sekitar satu meter ke sasarannya.

5] Bruce Lee seorang yang sangat kuat tenaganya, beliau boleh melakukan pull-up sebanyak 50 kali dengan satu tangan. Bolo Yeung (aka Chong Li-dalam filem Bloodspot) merupakan bekas juara bina badan gagal menyainginya.

6] Bruce Lee berkebolehan membuat push-up dengan satu tangan hanya menggunakan dua belah jari (ibu dan jari telunjuk) dan kadang dengan dua tangan.

7] Bruce Lee mempopularkan teknik ‘one inch punch’ iaitu tinju dari jarak satu inci.

8] Pada umur 13 tahun Bruce Lee berguru pada Yip Man untuk belajar Wing Chun.

9] Terdapat tiga murid Bruce Lee yang pernah memenangi kejuaraan karate dunia, mereka ialah Chuck Norris, Joe Lewis dan Mike Stone.

10] Di Amerika, Bruce Lee mengajarkan kung fu kepada semua bangsa kerana itu beliau disanggah oleh perguruan kung fu lain dengan tuduhan membocorkan rahsia beladiri Cina pada bangsa lain.

11] Filem, Dragon : The Bruce Lee Story yang dilakonkan oleh Jason Scott Lee adalah filem yang sangat tidak menggambarkan cerita sebenar Bruce Lee. Di filem tersebut Bruce Lee menjadi lumpuh disebabkan kecederaan hasil pertarungan sulit dan duduk di kerusi roda. Dalam kejadian sebenar, kecederaan Bruce Lee disebabkan oleh latihan beliau yang terlalu berat dan menyebabkan tulang belakangnya cedera, dan sebenarnya dia tidak pernah duduk di kerusi roda.

12] Semasa proses ‘istirehatnya’ dari cedera tulang belakangnya Bruce Lee selama enam bulan, terciptalah buku “Tao of Jeet Kune Do” yg menjadi ‘best-seller’ di seluruh dunia.

13] Sebelum kematian Bruce Lee, Pa Kua (sejenis azimat dipercayai dapat menangkis semangat jahat) pada rumah Bruce Lee telah jatuh sebagai tanda ajalnya sudah tiba.

Otot sempurna Bruce Lee antara faktor X yang menyebabkan kita terpesona melihat kelebihannya...
Apa-apapun spekulasi, khabar angin atau fakta, saya percaya ianya pasti melibatkan satu kes yang lebih besar dari apa yang anda jangka. Saya lebih percayakan KONSPIRASI telah berlaku pada diri Bruce Lee yang menjadi dalang atau punca kematian sebenarnya. Fakta-fakta yang kita dengar dan lihat di dada akhbar atau di media elektronik adalah sekadar fakta yang masih misteri dan belum terbukti kebenarannya. Walaupun konspirasi ini jarang kita dengar tetapi faktanya yang logik telah menarik saya mengikutinya.

Mengikut fakta konspirasi, Bruce Lee mati akibat ‘pembunuhan terancang’ oleh syarikat pesaingnya. Kehebatan dan populariti Bruce Lee ketika itu telah membantu syarikat produksi yang asalnya kecil iaitu Golden Harvest mengatasi syarikat ‘gergasi’ perfileman di Hong Kong. Bimbang akan kejatuhan dan berkemungkinan akan ‘bankrup’ penangan dek Bruce Lee. Senario itu ada kaitan dengan keenganan Bruce Lee bekerjasama dengan syarikat terbabit yang dahulu memandang Bruce Lee sebagai ‘sampah’ dan tidak percayakan kebolehannya.

Punca keenganan Bruce Lee menyertainya disebabkan beliau pernah ‘ditolak’ oleh syarikat berkenaan, sebaliknya syarikat kerdil seperti Golden Harvest yang pertama memberikan beliau peluang sehingga berjaya. Oleh itu, Bruce Lee bertekad tidak akan membantu balik sesiapa yang pernak ‘menolaknya’ dulu. Telahan Bruce Lee benar, bermula dengan filem pertama The Big Boss, diikuti Fist of Fury, The Way of Dragon, usahasama dengan Hollywood Enter the Dragon dan yang terakhir, Game of Death (tak sempat habis), telah menaikkan nama Bruce Lee serta memberi keuntungan berlipat-ganda buat Golden Harvest yang hampir-hampir bungkus pada asalnya.

Melihat keadaan itu, pihak yang berkaitan dengan syarikat yang hampir-hampir bankrup ini telah merancang pakatan sulit untuk ‘menyingkirkan’ Bruce Lee. Setelah mendapat ‘jalan’, mahu atau tidak, Bruce Lee mesti dihapuskan untuk selama-lamanya, bukan setakat di arena perfileman tetapi dalam hayatnya. Mungkin ada sesuatu yang tersembunyi disebalik kata pemilik Golden Harvest yang turut menaikkan Jackie Chan, Sammo Hung dan Yuen Biao selepas itu. "Jadi garis besarnya, itu adalah kecelakaan," kata Raymond Chow yang juga merupakan salah satu perintis mendirikan studio filem Golden Harvest yang sangat popular di Hong Kong.

Sebenarnya Raymond Chow terkilan dengan pemergian Bruce Lee yang sedang memuncak naik, dan terpaksa meneruskan produksi filem GAME OF DEATH yang juga dibintangi oleh Bruce Lee separuh jalan. "Saya tidak berfikir tentang hal lain seperti masalah ini. Pada saat ini hal yang terpenting adalah saya merasa kehilangan seorang teman yang sangat baik," ujarnya. Kematian Bruce Lee memang masih menyimpan misteri sehingga ke saat ini, banyak pihak yang berspekulasi tentang penyebab kematiannya. Namun mantan produser filem Bruce Lee, Raymond Chow, memberikan pendedahan yang tegas bahawa kematian bruce Lee adalah ‘kecelakaan’. Apakah Kecelakaan itu? Itulah konspirasi yang telah berlaku keatas Bruce Lee yang akan saya kupas lagi pada keluaran yang akan datang...

Monday, July 11, 2011

22 Pelakon Filem Aksi Beladiri Lelaki (Bahagian 4 - Akhir)

Industri Filem Hollywood cuba memberi saingan pada industri filem Hong Kong atau Asia (Thailand) sejak dari dulu lagi dalam aspek seni beladiri. Alaf baru ini mereka masih gagal menyaingi Hong Kong termasuk yang terbaru seperti Tekken, King of Fighter dan Dragonball.

ALHAMDULILLAH, setiap yang mula ada penghujungnya. Ini merupakan episod yang terakhir bagi tajuk 22 Pelakon Lelaki Filem Aksi Seni Beladiri. Mungkin masih terdapat beberapa nama yang saya tercicir untuk dipersembahkan, bukan kerana terlupa, tetapi pemilihan saya ini mengikut populariti dan kekerapan mereka yang tampil di layar perak sebagai ‘Pelakon Seni Beladiri’ yang juga pengamal beladiri tegar yang boleh dijadikan contoh dan bukannya ‘Pelakon Lagak Ngeri’ semata-mata... walaubagaimanapun, pasti saya tampilkan juga bagi pengamal dan pelakon aksi yang mana tidak saya senaraikan kelak, baik lelaki atau perempuan... apa-apa pun, untuk edisi ini kita habiskan baki enam lagi Pelakon Aksi Seni Beladiri yang sejati...


1# Steven Frederick Seagal a.k.a STEVEN SEAGAL

Bukan sekadar pelakon, tetapi pelakon yang ada ilmu, mahir, pakar dalam seni beladiri Aikido dan merupakan manusia pertama bukan berbangsa Jepun membuka do-jo di sana...

Seperti yang anda kenal dan tahu, Steven Seagal bukan sekadar pelakon, malah beliau merupakan pengamal beladiri yang tegar dan berfalsafah seperti Bruce Lee. Mahir dalam seni mempertahankan diri seperti Aikido. Beliau juga merupakan seorang pemuzik, penuli dan terbaru, Timbalan Sheriff Simpanan seperti dalam rancangan realiti Steven Seagal : Lawman kini dimainkan di stesen TV, salah satu di rangkaian ASTRO.

Di lahirkan pada  10 April 1952, di Lansing, Michigan, Amerika Syarikat. Karier Seagal bermula pada tahun 1987 hingga sekarang, filem terbarunya adalah filem MACHETTE, tetapi filem itu terlalu ganas dan tidak sesuai ditonton oleh orang ramai walaupun dibintangi JESSICA ALBA, MICHELLE RODRIGUEZ, DANNY TREJO, LINDSAY LOHAN dan ROBERT DE NIRO. Untuk pengetahuan, Seagal memegang talipinggang hitam tahap 7 dalam Seni Aikido dan merupakan orang pertama bukan berbangsa Jepun membuka gelanggang di Tokyo.

2# Zōu Zhàolóng a.k.a COLLIN CHOU

Wataknya terserlah dalam filem aksi Flash-Point bersama Donnie Yen. Siapa kata ahli seni beladiri tidak boleh berlakon? Padahal pelakon biasa yang sebenarnya tidak boleh atau reti berlawan...

Pelakon di Hong Kong ramai yang berasal dari kemahiran seni beladiri pasti boleh berjaya sehingga menembusi Hollywood. Collin Chou, salah satu nama besar di Hong Kong dalam filem seni beladiri turut menjejaki ‘hero-hero’ terdahulu seperti Bruce Lee, Jackie Chan, Jet Li atau Donnie Yen. Namun, Collin Chou lebih cocok dengan watak jahat seperti Bolo Yeung. Lakonannya dalam filem Flash-Point berlawan dengan Donnie Yen cukup memberi kesan. Ada juga lakonannya yang tidak di sedari seperti filem Hollywood dalam sekuel Matrix (Seraph), The Forbiden Kingdom (Jade Warlord) menentang Jackie Chan di samping Jet Li dan Fearless sebagai ayah pada Hou Yinjia (Jet Li) sudah cukup menampakkan kredibilitinya sebagai pakar seni beladiri.

Mengikut kariernya sebagai pelakon bermula pada tahun 1988 hingga sekarang. Collin Chou dilahirkan pada 11 Ogos 1967, di Kaoshiung, Taiwan. Sebelum ini segala kredit namanya menggunakan nama Ngai Sing. Pernah memegang watak hero seperti filem hollywood dalam D.O.A (Dead or Alive) sebagai Hayate. Selepas lebih 20 tahun menceburi bidang ini, Chou telah melakonkan lebih 40 buah filem aksi lawan dan yang terbaru dalam tahun 2010, Kung Fu Wing Chun.

3# Wesley Trent Snipes a.k.a WESLEY SNIPES

Filem Blade sedikit banyak menaikkan imej pelakon aksi seni beladiri dan kredibiliti Wesley Snipes...

Dilahirkan pada 31 Julai 1962, pelakon, penerbit dan pengamal beladiri berbangsa Amerika. Berasal dari Orlando, Florida, memulakan karier pada tahun 1987 hingga kini. Wesley Snipes sering berlakon dalam filem aksi, antara filem aksinya yang hebat adalah filem Blade bahagian 1-3 (trinity), U.S Marshall atau The Art of War (1 & 1). Filem aksi hebat dalam seni beladiri yang pernah ditampilkan beliau dalam filem Blade, filem-filem lain ada sedikit kekurangan namun tetap menampilkan adegan pertarungan. Terutama dalam filem Blade 2 turut dibintangi oleh Donnie Yen.

Sehingga kini, Wesley Snipes sudah masih meneruskan pembelajaran dalam seni beladiri yang terbaru ialah Capoeira, dibawah mestre Jelon Viera. Sebelum ini beliau merupakan pemegang talipinggang hitam tahap lima dalam karate shotokan dan talipinggang hitam tahap dua dalam hapkido. Terkini, beliau telah dipenjara kerana gagal melunaskan cukai pendapatan pada tahun 2011 dan dibebaskan kemudiannya. Selepas kebebasannya, Wesley pantas mengeluarkan filem barunya dalam bentuk DVD iaitu Games of Death, walaupun kurang impak, namun nampak perbezaan bentuk tubuh dan gerakannya tidak seperti dulu akibat dipenjara. (kurus sedikit)

4# Lê Cung a.k.a CUNG LI

Di pilih dan di beri peranan sebagai Marshall Law dalam filem Tekken, filem yang diadaptasikan melalui permainan video popular keluaran Namco.

Ini satu lagi salah seorang ‘fighter’ yang terjun ke bidang lakonan selain Billy Chow. Cung Li, ramai yang tidak kenal beliau, merupakan juara bekas juara dunia IKF light-heavyweight Sanshou dengan rekod profesionalnya sebelum memasuki ke pertandingan mix-martial art ialah 16-0. Cung Le juga pernah menewaskan Frank Shamrock (legenda UFC) dalam strikeforce middleweight championship sebelum beralih menjadi pelakon dan tenaga pengajar.

Ramai yang tidak mengenali Cung Le sebagai pelakon sebaliknya sebagai juara full contact. Namun, sejak ke belakangan ini beliau sering mendapat tawaran berlakon, namun bukan sebagai pelakon membawa watak, cuma penampilan khas yang tidak berdialog seperti Tekken (Marshall Law) dan dalam filem Donnie Yen (Bodyguards and Assassins). Cung Le sebenarnya berketurunan dari Vietnam, namun membesar di Amerika, dilahirkan pada 25 Mei 1972.

5# Jonathan Patrick Foo a.k.a JON FOO

JIN KAZAMA...watak hero dalam filem TEKKEN. Sebelum itu, Jon Foo pernah beraksi dalam filem Tom Yum Goong.

Di kalangan para peminat park-our atau seni lompatan dan wushu di sekitar britain khususnya, mungkin ada yang mengenalinya beliau. Memiliki wajah kacak dan susuk tubuh yang menarik serta mahir dalam ilmu beladiri wushu dan pelagak ngeri dalam filem aksi lawan. Dilahirkan pada 30 oktober 1982 di London, England, namun begitu bapanya berasal dari Singapura dan ibunya berasal dari Ireland yang menetap di England. Menarik tentangnya adalah genetiknya, bapanya seorang ahli seni beladiri karate manakala ibunya dalam ilmu judo. Mempelajari kung fu dalam usia 8 tahun, apabila mencecah usia 15 tahun, Jon Foo mendalami ilmu wushu dan idolanya adalah Jet Li.

Memulakan karier dalam perfileman bermula pada tahun 2004 hingga kini, masih baru bukan? Namun aksi dan ketangkasannya mengagumkan dengan akrobatik yang setanding Tony jaa, cuma yang berbezanya Tony Jaa lebih ganas... semasa mendalami ilmu wushu, Jon Foo memulakan langkah lakonan sebagai pelakon aksi dengan filem aksi Tony Jaa dalam Tom Yum Goong, Batma Begins, House of Fury, Left for Death dan Life. Namun, pada tahun 2010, Jon Foo diberi peluang dengan watak Jin Kazama (Tekken) buat kali pertama sebagai hero. Kemunculannya itu, membuka laluannya untuk bergerak lebih jauh apabila bersedia muncul dalam filem pendek sebagai Ryu (Street Fighter : Legacy).

6# Jacky Wu atau Jing Wu a.k.a WU JING (Wú Jīng)

Pernah diangkat sebagai pengganti Jet Li kerana aliran Wushunya yang klasikal. Namun, Wu Jing memilih laluannya sendiri dan tidak suka disamakan dengan legenda tersebut...

Di lahirkan pada 3 April 1974, di Beijing, China. Berasal dari daerah Manchu, merupakan ahli seni beladiri dan mahir dalam beladiri klasik china, pelakon dan pengarah filem. Memulakan kariernya pada tahun 1994 hingga sekarang dan melakonkan lebih 20 buah filem aksi seni beladiri. Selebihnya, Wu Jing bertindak sebagai pelakon aksi atau body-double dan pengarahan.

Antara aksi lakonannya yang berkesan dari segi pertarungan yang diingati ialah dalam babak filem hebat Donnie Yen iaitu Sha Po Lang (SPL), yang mana Wu Jing (Jack) bertarung dengan Donnie Yen dalam pertarungan yang brutal, kasar dan berseni menggunakan pisau dan belantan pendek. Begitu juga dalam filem Taichi boxer, Wu Jing memegang watak Jackie beraksi dalam pertarungan di bawah koreografer legenda Hong Kong & Hollywood, Yuen Woo Ping.

Begitulah selesainya kesemua 22 pelakon aksi seni beladiri yang berjaya dilakarkan oleh saya sebagai rujukan awal bagi anda yang ingin mengenali dunia sebenar buat filem aksi seni beladiri. Mereka adalah Guru, Pakar, Gurulatih senior atau muda dan pengamal tegar yang menjayakan sesuatu filem seni beladiri. Di ulangi, bukan pelakon yang tidak ada ‘background’ atau lebih tepat ‘kaki bangku’ atau ‘mat bunga’.

Ini kerana, mereka semua ini tidak melakonkan atau berlakon dalam filem bukan genre mereka sebaliknya mereka-mereka ini diberi peluang memartabatkan filem-filem aksi seni beladiri supaya kualiti dan ketulenan genre ini terbela dan dilindungi... insya-Allah Malaysia akan ada jua, tetapi bukan seperti yang ada sekarang... berilah peluang pada yang hak untuk kebaikan kita bersama jua...

Wassalam!!!

Friday, July 01, 2011

22 Pelakon Filem Aksi Beladiri Lelaki (Bahagian 3)

Pertarungan hebat dua jagoan (Collin Chou vs Donnie Yen) dalam satu filem aksi FLASH POINT arahan Wilson Yip dan pengarah aksi oleh Donnie Yen sendiri...
BULAN Jun lepas memang bulan sibuk bagi saya, kecewa kerana hanya mampu menyiapkan satu sahaja artikel. Insya-Allah bulan Julai ini akan saya manfaatkan masa yang ada untuk menghasilkan artikel sambungan hasil dari keluaran yang lepas pada bahagian kedua 22 pelakon lelaki filem aksi seni bela diri. Di harap kemunculan siri artikel ini akan memberi anda penambahan informasi berkenaan dengan dunia filem aksi seni beladiri yang sebenar secara jelas.

1# Zhēn Zǐdān a.k.a DONNIE YEN

IP MAN... telah mengangkat kembali nama Donnie Yen ke persada filem aksi seni beladiri mengatasi Jackie Chan dan Jet Li...
Dilahirkan di Taishan, Guangzhou, GuangDong, China pada 27 November 1963. Memulakan karier pada tahun 1983 hingga kini. Namun, bakat dan bintang aksi lakonannya baru menyinar dipenghujung usia yang kini mencecah 47 tahun. Itulah perjuangan, bila tiba masanya pasti berbaloi segala pengorbanan. Kini Donnie Yen semakin dikenali dan filem-filem yang menaikkan nama yang terkini adalah Ip Man, Flash Point dan SPL (Sha Po Lang). Donnie Yen kini sebaris dengan legenda Pelakon Seni Beladiri Hong Kong yang Berjaya bersama Bruce Lee, Jackie Chan, Jet Li, Yuen Biao, Sammo Hung, Lau Kar Leung dan Gordon Liu. Donnie Yen boleh berbangga dengan pencapaian sekarang walaupun lewat sebagai actor, martial artist, film director, producer dan action choreographer.

2# Lǐ Liánjié a.k.a JET LI

FEARLESS... Jet Li menghidupkan kembali semangat Hou Yin Jia di kalangan ahli Wushu yang satu ketika dahulu pernah bergabung di bawah satu bumbung.
Satu lagi nama besar dalam industri filem Hong Kong bagi filem genre aksi dan seni beladiri, iaitu Jet Li. Di lahirkan di Beijing, China pada 26 April 1962. Tua setahun dari Donnie Yen, namun Jet Li terlebih dahulu menyinar berbanding Donnie Yen dengan filem aksi seni beladiri seperti Once Upon A Times in China, Fong Sai Yuk, Fist of Legend, Fearless dan Last Hero in China. Jet Li merupakan Juara Wushu Kebangsaan China, sering melakonkan watak wira kung fu cina seperti yang popular dalam sejarah mereka iaitu Wong Fei Hung (ten tigers of kwangtung). Sehingga kini Jet Li masih laku walaupun tenggelam sedikit dek kehebatan Donnie Yen kin yang menguasai pasaran filem pertarungan di Hong Kong dan Antarabangsa.

3# Mark Alan Dacascos a.k.a MARK DACASCOS

ONLY THE STRONG...Eksperimental oleh penggiat filem Hollywood yang berjaya memperkenalkan ilmu seni beladiri brazil iaitu Capoeira ke peringkat global.
Merupakan pelakon aksi Amerika, selebriti TV dan Pengamal Beladiri setanding dengan pelakon aksi beladiri Hong Kong. Sama seperti Jet Li, Mark Dacascos adalah juara dalam seni beladiri seperti Karate dan gaya bebas Kung Fu dari umur 7 hingga 18 tahun. Dilahirkan pada 26 February 1964 di Honolulu, Hawaii, Amerika Syarikat dan memulakan kariernya pada tahun 1984. Nama mula meningkat naik apabila berjaya dalam satu buah filem seni beladiri bertemakan capoeira, Only The Strong. Sejak filem itu, namanya mula di kenali, bukan sahaja di Hollywood, bahkan di Hong Kong. Kemudian, diikuti dengan filem The Crow : Stairway to Heaven, Crying Freeman, Brotherhood of Wolf dan terbaru dalam Kamen Rider Dragon Knight (Advent Master).

4# Lǐ Guóháo a.k.a BRANDON LEE

UMUR TAK PANJANG... ada yang mengatakan Brandon terkena sumpahan ayahnya yang dahulunya pernah di buru oleh 'malaikat maut' dalam kepercayaan orang cina.

Rasanya ramai yang kenal beliau dan juga yang tidak kenal beliau. Siapa yang kenal mendiang Bruce Lee, Brandon Lee juga mengikut jejak ayahnya dengan menjadi wira filem seni beladiri Cuma Brandon tidaklah sehangat ayahnya. Ini dalam tempoh yang singkat hayatnya untuk berjaya seperti ayahnya tidak tercapai akibat kemalangan maut yang meragut nyawanya pada sessi penggambaran filem The Crow. Di lahirkan pada 1 Februari 1965 di Oakland, California, Amerika Syarikat. Memulakan karier pada tahun 1985 dan terakhir pada tahun 1993. Merupakan pengamal Jeet Kune Do (JKD) aliran ayahnya dan pelakon aksi seperti ayahnya. Antara filem yang melonjak naik namanya adalah Showdown in Little Tokyo, Rapid Fire dan The Crow.

5# Jeffery F. Speakman a.k.a JEFF SPEAKMAN

JEFF pernah berlakon pelbagai filem aksi, namun hanya satu filem yang berjaya mengangkat kredibilitinya sebagai pelakon aksi yang berwibawa iaitu filem PERFECT WEAPON, yang memperkenalkan seni beladiri American Kenpo sebagai subjek yang berjaya.
Seorang lagi pelakon aksi seni beladiri kelahiran Amerika, iaitu Jeff Speakman. Beliau merupakan pemegang tali pinggang hitam dalam karate Goju-Ryu 7th Dan dan American Kenpo Karate 8th Dan. Di lahirkan pada 8 November 1958 di Chicago, Illinois. Memulakan karier sebagai pelakon pada tahn 1988. Filem yang benar-benar menaikkan namanya terlebih dahulu ialah Perfect Weapon pada tahun 1991 yang berlatarkan lagu ‘The Power’. Selepas dari itu, filem lain gagal menaikkan namanya dan yang terbaru antara gosip-gosip beliau akan membuat penampilan dalam filem arahan Sylvester Stallone, Expendables 2.

6# Chow Bei Bei a.k.a BILLY CHOW

Sering melakonkan watak jahat seperti Dolph Lundgren, jika diberi watak hero pasti filem itu gagal mendapat impak yang baik kerana tiada 'komersil' faktor.
Billy Chow atau Chow Bei Bei merupakan bekas juara kickboxing antarabangsa, pelakon cina kanada dan pengamal beladiri. Dilahirkan di Kanada, pada 24 Ogos 1958, memulakan karier pada tahun 1984 dan bersara dalam bidang lakonan filem aksi seni beladiri pada tahun 2006. Sepanjang penglibatannya, Billy Chow pernah berjaya melakonkan watak Antagonis dengan berkesan seperti dalam filem Fist of Legend sebagai Jeneral Fujita (1994) dan Tai Chi Kickboxer sebagai Wong-Great Kick of the North pada tahun 1996. Pertarungan yang paling diingati adalah dalam filem Fist of Legend, yang mana Billy bertarung dengan Jet Li (Chen Zhen).

Sekian, setakat ini dahulu bahagian ketiga artikel ini yang dapat saya karangkan untuk anda semua. Walaupun ringkas tetapi ianya padat untuk pengenalan awal tentang pelakon aksi seni bela diri yang sebenar. Insya-Allah, kita bertemu kembali nanti dalam bahagian keempat (akhir) yang akan saya siarkan dalam masa terdekat tidak lama lagi…

Wassalam!!!

Aktiviti Bulan Julai 2011

Pada 15 Julai 2011 baru-baru ini, Akmal Edge telah memohon dana daripada FINAS untuk menerbitkan Filem Pendek bertajuk SILAT. Doa-doa segala usaha ini berbaloi dan mendapat perhatian serta berjaya diterjamahkan kemudian. - INSYA-ALLAH

1] Latihan : Berikut adalah kelas latihan seni silat sendeng saya bagi bulan Julai 2011 di gelanggang AU3 Keramat seperti berikut ; 4hb, 6hb, 11hb, 13hb, 18hb, 20hb, 25hb dan 27hb.

2] Latihan : Putra Perdana : Kelas latihan silat sendeng setiap hari selasa atau khamis di gelanggang Putra Perdana, Selangor.

3] Latihan : Wangsa Maju : Kelas Silat Sendeng setiap hari sabtu bertempat di SMK Zon R1, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Thursday, June 09, 2011

22 Pelakon Filem Aksi Beladiri Lelaki (Bahagian 2)

Filem Seni Beladiri melibatkan pertarungan identiti, fizikal, taktikal, kreatif dan falsafah, bukan sekadar membuatnya sekadar seperti 'melepaskan batuk ditangga' sahaja... tanpa rujukan dan maruah...
BULAN Jun ini memang antara bulan sibuk bagi saya, terlibat dalam dua produksi filem tamil dari India, namun hobi menulis tetap diteruskan disebalik kesuntukan masa. Artikel ini merupakan sambungan hasil dari keluaran yang lepas pada bahagian pertama 22 pelakon lelaki filem aksi seni bela diri. Pada keluaran yang lepas, nama-nama seperti Lau Kar Leung, Bruce Lee, Gordon Liu, Chuck Norris dan Jackie Chan mendahului senarai pelakon filem seni bela diri yang tersohor. Pada keluaran ini, lima lagi lagenda filem aksi seni bela diri dipaparkan buat tatapan umum. Di harap kemunculan siri artikel ini akan memberi anda penambahan informasi berkenaan dengan dunia filem aksi seni beladiri.

1# YANG SZE a.k.a BOLO YEUNG
Bolo...sering diberi peranan watak jahat dalam filem seni beladiri. Namun begitu, Bolo sering berjaya dengan tugasan yang diberi dengan pakej raut wajah yang bengis, fizikal tegap dan kemahiran beladirinya...
Di lahirkan pada 3 Julai 1946 di Guangzhou, China, merupakan ahli seni bela diri dan ahli bina badan yang kompetitif. Memulakan kariernya sebagai pelakon secara aktif pada tahun 1970 sehingga 2008. Sering membintang filem aksi seni beladiri sebaagai watak jahat kerana wajah penampilannya yang bengis. Beliau tidak setampan seperti Bruce Lee pada ketika itu, namun belaiu memiliki keunikan dari segi bentuk fizikal yang gempal, berotot dan sasa.

Oleh kerana keunikan itu, beliau terpilih dalam filem aksi Bruce Lee, Enter the Dragon yang menjadi batu loncatan untuknya mencipta nama selepas Bruce Lee. Pelbagai gelaran diberikan padanya seperti Hercules atau World Strongest Man. Filem lakonannya yang menjadi ingatan buat peminat adalah filem Holywood yang turut dibintangi oleh Jean Claude Van Damme iaitu Bloodsport. Bolo juga pernah berlakon memegang beberapa watak hero dalam filem seperti Shootfighting tetapi kurang Berjaya kerana kebanyakkan filem-filem tersebut bertaraf B-Movies.

2# HUNG KAM PO @ HONG JINBAO a.k.a SAMMO HUNG
Tidak Kacak, Fizikal Gemuk tetapi memiliki pasaran di Hollywood kerana kepakaran dalam ilmu seni beladiri mengangkat Sammo Hung setaraf dengan Bruce Lee, Jackie Chan, Jet Li dan Donnie Yen...
Sammo Hung atau nama tradisionalnya dalam bahasa mandarin Hong Jinbao atau Hung Kam Po semasa kelahirannya, dilahirkan pada 7 Januari 1952 di Hong Kong. Namun begitu, ahli keluarganya berasal dari daerah Ningbao, Zhengjiang, China. Merupakan seorang pelakon aksi, ahli seni bela diri, pengarah aksi, koreografer, penerbit dan penulis skrip. Beliau memulakan karier dalam industri filem pada tahun 1961 sehingga sekarang, masih lagi aktif serta merupakan antara ikon filem seni bela diri antarabangsa. Untuk makluman, walaupun rupanya tidak semenarik hero-hero filem aksi seni bela diri, beliau juga turut diberi peranan sama seperti Bolo Yeung.

Antara filem-filem lakonannya yang berjaya seperti Project A, Wheel on Meals, Dragon Forever, walaupun bergandingan bersama Jackie Chan dan Yuen Biao. Lakonan secara solo sebagai hero yang Berjaya adalah siri Tv seperti Martial Law keluaran Hollywood. Sammo Hung membuktikan paras rupa dan fizikal bukan ukuran untuk Berjaya tetapi bakat dan kemahiran yang menentukan. Sammo sama seperti Jackie Chan yang mereka berdua turut merasa buah tangan Bruce Lee. Jackie terdahulu menerima tendangan Bruce Lee dalam Fist of Fury, manakala Sammo dibelasah Bruce Lee dalam Enter of Dragon.

3# JYUN BIU@YUAN BIAO a.k.a YUEN BIAO
Merupakan 'fighter' seangkatan Jackie Chan dan Sammo Hung yang berjaya diarena perfileman. Ketangkasannya setaraf Jackie Chan dan Kekuatannya menyamai Sammo Hung...
Yuen Biao adalah nama yang akan kita dapat lihat pada skrin dalam filem lakonan beliau. Namun begitu, Yuen Biao ini memiliki pelbagai nama panggilan mengikut loghat bahasa kaum cina. Dalam bahasa mandarin berbunyi Yuán Biāo dan dalam bahsa kantonis berbunyi Jyun Biu. Dilahirkan pada 26 Julai 1957, di Castle Peak Road, Hong Kong. Merupakan seorang ahli seni bela diri, pelakon dan speacialises dalam akrobatik dan seni bela diri cina. Memulakan karier dalam industri perfileman Hong Kong pada tahun 1962 dan berpengalaman luas dalam pembikinan filem aksi seni bela diri lebih 80 buah sebagai pelakon, koreografer aksi dan pelagak ngeri.

Sebelum menceburi dunia perfileman, Yuen Biao mengasah bakat diri di Sekolah Opera Peking. Pada masa yang sama ramai yang tidak tahu, bahawa Jackie Chan dan Sammo Hung adalah rakan persekolahannya di Akademi Drama China serta dianggap ‘saudara’ di Sekolah Opera Peking. Mereka bertiga juga merupakan pelajar yang paling cemerlang di sekolah sehingga mendapat jolokan Seven Little Fortune.

4# BENNY URQUIDEZ a.k.a BENNY ‘THE JET’ URQUIDEZ
Benny The Jet... Menyinar bakatnya dilayar perak kerana aksi pertarungan ketika menentang Jackie Chan dalam filem Wheel on Meals dan Dragon Forever.
Benny Urquidez dilahirkan pada 20 Jun 1952, merupakan seorang ahli seni bela diri, koreografer dan pelakon. Mendapat jolokan ‘the jet’ kerana kehebatan dan kepantasan serangannya ketika aktif dalam pertandingan karate full-contact. Untuk makluman, Benny merupakan Juara Dunia sebanyak enam kali dalam sukan lasak ini dalam lima kelas berbeza dari tahun 1974. Benny juga mengekalkan gelaran itu selama 27 tahun penglibatannya sebagai fighter! Diantara tahun 1974 dan 1993, Benny merekodkan 67-0-0 dengan 57 keputusan knockout. Oleh kerana kehebatannya itu, majalah popular seni bela diri Amerika, Black Belt menabalkan Urquidez sebagai Fighter of the Year pada tahun 1978.

Ketika namanya sedang hangat di arena pertarungan, Benny meluaskan pengaruh dalam bidang lakonan pula. Benny telah pun membintangi pelbagai filem seni bela diri dan bermula dari Hollywood. Namun, kredibilitinya sebagai pelakon filem seni bela diri lebih terserlah apabila Jackie Chan menawarkan watak buatnya dalam dua filem hebat dan pecah panggung, iaitu Wheel on Meals dan Dragon Forever.

5# JEAN-CLAUDE CAMILLE FRANCOIS VAN VARENBERG a.k.a JEAN CLAUDE VAN DAMME
Beliau berjaya mengalih seketika tumpuan peminat filem seni beladiri kepada industri Hollywood selepas Chuck Norris dengan filem aksi lakonannya seperti No Retreat No Surrender!, Black Eagle, Bloodsport dan Kick-Boxer.
Selepas kejayaan Chuck Norris sebagai pelakon seni beladiri, muncul seorang lagi perwira kulit putih (nat su kaw) yang berjaya dilayar perak menerusi filem seni beladiri. Beliau ialah Jean-Claude Camille Francois Van Varenberg atau lebih dikenali dengan Jean Claude Van Damme (Van Damme). Dilahirkan pada 18 Oktober 1960 di Brussels, Belgium. Merupakan seorang pengamal bela diri, pelakon dan pengarah, yang terbaru filem arahannya ialah JCVD.

Memulakan karier dalam industri perfileman dari tahun 1984 sehingga kini dan semua filem lakonannya berversi filem seni bela diri. Antara filem-filem top belaiu yang mencecah box-office ialah Bloodsport, Kick-Boxer, Cyborg, Universal Soldier dan The Quest. Sepanjang kariernya, Van Damme bermula dengan pelagak ngeri dalam filem Missing in Action (Chuck Norris) sebagai pemandu teksi. Kemudian, beliau sering diberikan peranan watak jahat seperti filem No Retreat No Surrender dan Black Eagle. Selepas itu, barulah Van Damme diberi peranan hero dalam filem seni bela diri kerana kemahirannya.

Setakat ini dahulu bahagian kedua artikel ini yang dapat saya karangkan untuk anda semua. Insya-Allah, kita bertemu kembali nanti dalam bahagian ketiga yang akan saya siarkan dalam masa terdekat tidak lama lagi…

Wassalam!!!

Wednesday, June 01, 2011

Aktiviti Bulan Jun 2011

Kenangan bersama rakan-rakan semasa menjayakan siri empat episod drama Natrah arahan Wan Hasliza (KL Motion) untuk Astro Warna pada awal tahun baru-baru ini.


1] Latihan : Berikut adalah kelas latihan seni silat sendeng saya bagi bulan Jun 2011 di gelanggang AU3 Keramat seperti berikut ; 1hb, 6hb, 8hb, 13hb, 15hb, 20hb, 22hb, 27hb dan 29hb.

2] Latihan : Putra Perdana : Kelas latihan silat sendeng setiap hari selasa atau khamis di gelanggang Putra Perdana, Selangor.

3] Latihan : Wangsa Maju : Kelas Silat Sendeng setiap hari sabtu bertempat di SMK Zon R1, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

4] Penggambaran : 6hb hingga 30hb Jun di sekitar Kuala Lumpur & Putrajaya : Akmal terlibat dalam projek filem tamil dari India Selatan yang dibarisi bintang popular sebagai FIGHT MASTER.