"Apa yang terjadi sebenarnya?"
tanya Anak Serigala.
"Anak buah kalian ini telah
disihir," jawab Naga Hitam.
TIDAK lama kemudian, Tok Serigala pun tiba. Naga Hitam pun
menceritakan secara terperinci atas apa yang terjadi. Jelas, ada sesuatu yang
mencurigakan di dalam rumah Marvick. Naga Hitam dan Tok Serigala memulakan
rawatan bersama. Hampir setengah jam berlalu, lelaki dari Puak Serigala
akhirnya sedar. Lalu diberikan air penawar bagi memulihkan semangatnya. Lelaki
itu merasa sakit-sakit di seluruh badan. Sengal-sengal pada sendi dan sarafnya
begitu terasa. Sakit pada kepalanya beransur-ansur pulih. Mereka semua sangat
bersyukur di atas pertolongan daripada Allah SWT dan asbab Naga Hitam yang
membantu dalam perawatan Islam.
"Macam mana rasa keadaan kau
sekarang?" tanya Tok Serigala kepada anak buahnya itu.
"Alhamdulillah, tok. Hamba rasa sudah
semakin pulih," jawab lelaki tersebut dalam keadaan duduk berlunjur.
"Ada tak kau ingat apa yang terjadi
semasa di rumah Marvick itu?" tanya Naga Hitam pula.
"Hamba dipaksa minum air itu. Selepas
itu hamba rasa seperti dipukau olehnya. Seluruh tubuh hamba tak mampu bergerak.
Hanya mata dan telinga melihat segalanya"
"Sampai ke dalam rumah, mulut hamba
hanya dapat berzikir. Mungkin hamba tidak dapat dikuasai sepenuhnya oleh ilmu
pukau atau ilmu hitam Marvick itu. Hamba lihat ramai rakyat Segumpal di dalam
rumah itu. Tapi, selepas itu hamba akhirnya tak sedarkan diri," tambah
lelaki itu.
"Mungkin Marvick tahu siapa kau
sebenarnya. Kerana itu dia membebaskan kau dari terus berada di rumah itu untuk
dibiarkan mengamuk di kampung kita ini. Mungkin dia rasa kau akan terbunuh
pabila kau mengamuk. Dengan itu, tiada saksi dan tiada bukti mengaitkan
dirinya," kata Naga Hitam.
"Bagaimana, tok? Apakah kita perlu
maklumkan hal ini kepada Maharaja Segumpal Satria? Atau terus serbu rumah
itu?" tanya Tok Serigala pula.
"Pada pendapat aku, Marvick telah
mengetahui yang dirinya telah diperhatikan. Mungkin, jika kita serbu dengan
perkenan Yang Mulia Maharaja, rumah itu telah dibersihkan. Atau, mungkin juga
mereka akan berpindah ke tempat lain selepas ini," jawab Naga Hitam.
Tok Serigala amat geram atas
apa yang telah terjadi kepada anak buahnya. Ternyata Marvick adalah pengamal
ilmu hitam yang tegar. Ada kemungkinan rakyat Segumpal telah diperdaya oleh
Marvick dan anak-anak buahnya dengan ilmu hitam tersebut. Naga Hitam dan Tok
Serigala pun segera mengadakan perbincangan. Melalui perbincangan tersebut,
Naga Hitam dan Tok Serigala telah bersetuju agar Anak-anak Serigala ditugaskan
mencari rakyat Segumpal yang telah menjadi mangsa dan memulihkan mereka dari
ilmu hitam tersebut. Untuk terus menyerbu rumah Marvick, mereka bimbang akan
dimurkai oleh Maharaja Segumpal Satria. Seandainya mereka punya bukti yang
kukuh, pasti dapat menghalang Marvick daripada terus bermaharajalela. Malangnya
mereka tiada sebarang bukti, kecuali daripada mata dan telinga mereka sahaja.
Keadaan di Segumpal nampaknya
tidak aman lagi. Kehadiran Marvick membawa resah dan huru hara. Kehadiran
rakyat Segumpal ke Masjid Segumpal pada setiap waktu solat berjemaah juga
semakin berkurangan. Maharaja Segumpal Satria nampak akan keadaan itu. Sebagai
seorang pemimpin tertinggi, sudah tentu baginda tertanya-tanya ke mana
hilangnya mereka. Begitu juga dengan kehilangan beberapa orang kerabat diraja. Maharaja
Segumpal Satria terus menjadi imam pada beberapa solat berjemaah. Kadangkala
baginda bergilir-gilir dengan Naga Hitam dan beberapa lagi pemimpin yang lain.
Naga Hitam dapat melihat keresahan di hati sang maharaja.
Usai solat Isya' berjemaah,
Naga Hitam telah mendekati Maharaja Segumpal Satria. Mereka berdua telah
berbincang akan sesuatu yang sulit dan rahsia. Seperti yang telah diduga,
Maharaja Segumpal Satria tidak percaya akan tuduhan Naga Hitam ke atas Marvick.
Oleh kerana itu, Naga Hitam telah mencadangkan agar Maharaja Segumpal Satria
dapat menghantar orang kepercayaannya menyiasat bersama dengannya. Maharaja
Segumpal Satria bersetuju menghantar dua orang yang paling dipercayai. Dua
orang itu adalah pembesar yang tidak pernah terlibat dengan kegiatan Marvick,
namun juga tidak akan berat sebelah dalam penyiasatan mereka. Beberapa hari
berlalu, rumah yang diintip kelihatan kosong tiada berpenghuni. Dua orang
pembesar itu, Kilat dan Petir namanya membuka pintu rumah itu. Namun tiada
siapa pun berada di situ, malah rakyat Segumpal yang berkunjung ke rumah
Marvick juga seperti mengetahui Marvick dan orang-orangnya telah berpindah.
Hasil siasatan menemukan
tempat operasi baharu Marvick iaitu di sebuah rumah kerabat diraja. Kerabat
diraja ini sekeluarga adalah pengikut setia Marvick, ada kemungkinan juga telah
dipukau oleh ilmu hitam. Kilat dan Petir telah menyatakan kepada Naga Hitam
akan kesukaran meneruskan siasatan kerana kerabat diraja itu amat rapat dengan
Maharaja Segumpal Satria. Pelayaran Pendita Naga Emas, Pahlawan Bayang dan
orang-orang asal yang telah memeluk Islam telah dipermudahkan Allah. Saudara
baru atau digelar mualaf telah membawa rezeki dan kemudahan di kemudian hari.
Mereka akan tiba ke Mekah dalam dua hari pelayaran, jika tiada aral melintang. Dalam
pelayaran itu, Pendita Naga Emas sering menyampaikan ilmu berkaitan agama Islam
bagi menambah pengetahuan saudara baru tersebut. Dalam pelayaran itu, Pendita
Naga Emas juga sedang merekabentuk senjata baharu hasil daripada kajiannya
berkaitan senjata leletup.
Pendita Naga Emas berpendapat,
senjata leletup ini amat unik dan mudah digunakan. Beberapa kaedah dan bahan
yang sesuai akan menjadikan senjata ini menggerunkan musuh-musuh. Pendita Naga
Emas turut meminta pendapat Pahlawan Bayang untuk tujuan itu.
"Apa pendapat ayahanda berdua? Apakah
senjata yang bakal kita hasilkan ini perlu bentuk yang kecil atau besar?"
Pahlawan Bayang saling berpandangan. Mereka
melihat lakaran rekabentuk yang dilukis oleh Pendita Naga Emas. Ia nyata
menarik hati mereka, namun mereka tidak tahu bagaimana hendak meluahkan
pendapat.
"Terus terang sahaja, ayahanda berdua.
Sebagai Panglima Bayang, apakah senjata ini perlu dihasilkan dalam bentuk yang
kecil dan mudah dibawa atau dalam bentuk besar?"
"Kami rasa, senjata ini boleh
dihasilkan dalam dua bentuk berbeza. Bagi kegunaan untuk mengembara, sesuai
senjata kecil. Tapi, jika untuk mempertahakan tempat kita, perlu dihasilkan
satu senjata yang besar ," kata Indera Wira dan turut dipersetujui oleh
Indera Sakti.
"Terima kasih, ayahanda. Sekarang
tinggal yang penghabisan iaitu untuk bahan yang perlu ada dalam leletup
ini," kata Pendita Naga Emas.
"Untuk itu, mungkin kita akan temui
satu bahan yang boleh menjadi pemudah atau pencetus api dan yang akan mudah
menembusi besi. Mungkin di sana nanti kita akan temuinya," tambah Indera
Sakti pula.
"Di mana?" Tanya Pendita Naga Emas
dan Indera Wira. Indera Sakti hanya mengangkat bahunya tanda tidak tahu.
Perjalanan mereka yang memakan
masa selama dua minggu itu akhirnya selamat tiba jua di Kota Suci Mekah selepas
beberapa hari sebelumnya mereka terpaksa berjalan kaki. Ini kerana tiada tempat
lagi mereka dapat belayar kerana mereka mesti mengharungi perjalanan di daratan
pula. Walaupun kepenatan, rombongan mereka termasuk orang asal merasa begitu
kagum dengan binaan Kaabah. Orang-orang asal segera mendirikan khemah bagi
tujuan merehatkan diri. Walaupun matahari tegak di atas kepala, keadaan di Kota
Suci Mekah itu berbeza dengan apa yang kelihatan. Terasa akan angin yang lembut
membuai rombongan ini. Pada esok hari, mereka akan sama-sama mengerjakan ibadat
haji. Satu peluang yang tidak akan disia-siakan sepanjang hidup mereka semua.
Maka, pada malam itu, Pendita Naga Emas menyampaikan sedikit tazkirah,
peringatan dan pelajaran ulangan atas semua ilmu berkaitan haji kepada ahli
rombongannya.
Usai tazkirah ringkas malam
itu, mereka masuk tidur lebih awal. Dengan tidur yang secukupnya, mereka akan
dapat menunaikan ibadat haji dengan lebih bertenaga dan lebih baik. Akan
tetapi, Pendita Naga Emas tidak berapa lena tidurnya. Beberapa kali dia
terbangun, melihat bayang-bayang adindanya iaitu Naga Hitam yang sedang
berjuang di Segumpal. Dalam bayangan itu juga, Pendita Naga Emas terlihat
bayangan Marvick, pendita yang dibawa dari kerajaan Baratia. Pada mulanya bayangan itu nampak baik dan
elok. Namun begitu, tiba-tiba sahaja wajah Marvick berubah rupa. Wajahnya
terbentuk kepada rupa makhluk yang menakutkan bersama anak muridnya yang turut
berubah rupa. Marvick seakan-akan sedar sedang diintip oleh Pendita Naga Emas
lalu menyerangnya.
"Allah Hu Akhbar.. Astaghfirullahhal
'adzhim," Pendita Naga Emas mengucap panjang sambil mengurut dadanya.
Panglima Bayang turut sama terbangun daripada tidur mereka.
"Mengapa anakanda? Ada apa-apa yang
bermain di fikiran anakanda?" Tanya Indera Wira. Indera Sakti kemudiannya
datang bersama secawan air, lalu diberikan kepada Pendita Naga Emas.
"Anakanda dapat satu mimpi yang buruk.
Anakanda nampak adinda Naga Hitam sedang mengalami kesukaran di Segumpal. Ada
seorang pendita yang mempunyai ilmu hitam yang sangat tinggi. Dan, anakanda
nampak Naga Hitam telah terpengaruh dengan aura hitam itu," kata Pendita
Naga Emas.
"Apakah jin yang menumpang tubuhnya itu
masih tidak mahu melepaskannya?" Tanya Indera Sakti.
"Ya, jin itu nampaknya kembali semula
kerana pengaruh aura hitam dari pendita Baratia itu. Adinda Naga Hitam dalam
keadaan sukar sekarang ini kerana bergelut dengan jin itu dan juga jin-jin dari
Baratia yang mengganas di Segumpal.
"Lalu, apakah kita akan teruskan ibadah
haji di sini?" Tanya Indera Wira pula.
"Ya, kita akan teruskn sampai habis.
Kita akan sama-sama mendoakan kesejahteraan keluarga kita di sana.
Mudah-mudahan Allah akan makbulkan segala doa-doa kita," kata Pendita Naga
Emas.
Apakah benar berlaku huru-hara
di Segumpal? Benarkah gambaran yang dilihat oleh Pendita Naga Emas itu adalah
gambaran sebenar atau mungkin ia gangguan iblis dan syaitan agar dia dan ahli
rombongannya membatalkan hasrat menunaikan ibadah haji? Hanya Allah Yang Maha
Mengetahui...
Bersambung…
Cerita ini adalah cerita
rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan
orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya
naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan
semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah
perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.