Friday, May 31, 2013

Aktiviti Bulan Mei 2013

PENGGAMBARAN
Setakat ini masih belum ada... Elok juga dapat rehatkan sikit badan yang lesu di'balun' dek penggambaran filem KL Tak Gangster baru-baru ini ;-)

PERSEMBAHAN


18 Mei 2013 - Persembahan Silat & Seminar Silat Sendeng di Kolej iCAN, Menara Maxis Segar, Pandan Indah, Kuala Lumpur.
Buat julung kalinya, Akmal Edge dijemput membuat tutorial berkenaan beladiri silat di sebuah kolej di Kuala Lumpur. Alhamdulillah, sambutannya sungguh memberangsangkan. Terima kasih buat pihak pengurusan kolej ICAN, yang memberi peluang saya membuat persembahan diulami dengan majlis ilmu yang dapat dikongsi bersama-sama para pelajar kolej tersebut. Moga-moga ianya dapat memberi impak positif dan dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang.

 
18 Mei 2013 - Persembahan Silat Di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Selepas tamat membuat persembahan dan tutorpal beladiri di kolej ICAN, Akmal terus bergegas ke Plaza Alam Sentral Shah Alam bagi memenuhi promosi majlis Expo Perkahwinan dan Pakaian Pengantin Malaysia pada sebelah tengaharinya. Seperti biasa majlis ini adalah undangan daripada sahabat seperjuangan iaitu encik Nizan selaku 'perancang majlis perkahwinan' yang sering berkolabrasi dengan pasukan silat saya iaitu 'AkmalSilat'. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar semoga kerjasama ini berkekalan sampai bila-bila.

SEMINAR@BENGKEL BELADIRI
Mengikut perancangan adalah awal bulan mei, namun terpaksa ditunda dek piliharaya umum pulakkk. Insya-Allah, jika diizinkan-Nya, Akmal Edge akan mengadakan Seminar Pengenalan Silat Sendeng dan Teknik Beladiri di Pasir Mas, Kelantan DN selepas berakhir proses PRU 13 ini.

LATIHAN SILAT
Dibawah bimbingan Akmal Edge di AU3 Keramat dan Wangsa Maju Seksyen 1. Insya-Allah, awal Bulan MEI 2013, Gelanggang Sendeng akan dibuka di Shah Alam dan Puchong. Bagi anda yang berminat mempelajari silat Sendeng, sila hubungi Cikgu Akmal ditalian 017-3325657 atau 013-3484934.  Latihan secara peribadi (Personal Training) turut disediakan!

Thursday, May 30, 2013

EP2 : Silat : Definisi & Pengertiannya


SENI Silat atau Pencak Silat adalah salah satu bagi bangsa atau yang diamalkan sejak berkurun yang lampau. Usia sesebuah ilmu atau salasilah seni silat atau pencak silat itu tidak dapat dihuraikan secara terperinci dan tepat kerana tiada usaha-usaha untuk mengkaji dari pihak berwajib secara mendalam. Ada yang menganggarkan beladiri ini sememangnya telah berusia beratus-ratus tahun dan diperturunkan dari generasi ke sebuah generasi. Ini termasuklah adanya para pengamal seni mempertahankan diri dari aliran silat di Malaysia, Filipina, Brunei, Indonesia dan Thailand.Sekarang ianya menular ke Vietnam, Burma dan Laos.

Di Malaysia sahaja telah wujud beratus-ratus tahun yang lampau dan mempunyai pelbagai cara seperti menggunakan senjata atau tanpa menggunakan senjata. Bagi silat yang menggunakan senjata sebagai kaedah beladirinya, senjata-senjata Melayu yang lama sering digunakan seperti keris, badik, kerambit, parang, pedang, lading, tumbuk lada, tekpi, tongkat, tembong dan sundang. Terdapat juga senjata yang jarang kita lihat dalam silat seperti tuas, perisai atau kerambit, hinggakan kain pun boleh dijadikan senjata seperti permainan cindai. Bagi silat yang tanpa menggunakan senjata, pengajaran akan menumpukan perhatian kepada pertempuran tangan kosong (tanpa senjata).
  

Walau apa-pun jenis atau kaedahnya, sememangnya ilmu silat nusantara ini unik dan sofitikated. Ada yang mengikut resmi haiwan, alam, manusia dan ilham. Segalanya ada kepelbagaian dan kelainan tetapi masih terdapat diantara kita yang keliru tentang pengunaan nama dan panggilan sesuatu jenis silat yang menggunakan nama seperti ‘Seni’ dan ‘Pencak’. Pada saya ianya adalah identity dan simbol asal sesuatu silat merujuk pada latar belakang dan georafi lahirnya silat tersebut. Di sini, saya ingin kongsikan buat anda para pembaca yang budiman tentang definisi dan pengertian seni dan pencak silat.

Seni Silat

Ianya bolehlah kita definisikan sebagai satu kefahaman teori dalam silat itu sendiri. Penggunaan nama ‘Seni Silat’ iatu sendiri sering dapati di tanah melayu kita ini iaitu Malaysia. Kebanyakkan pertubuhan atau persatuan silat yang bertapak dan lahir di Malaysia menggunakan jenama ‘Seni’ bagi identiti  silatnya selain memperkenalkan jenama tersebut. Kenapa ‘Seni’, kenapa tidak ‘Jurusan’, ‘Kali’, ‘Mancak’ atau ‘Pencak’? Untuk pengetahuan definisi seni itu dalam takrifannya. ‘Seni’ adalah bermaksud kehalusan atau kelembutan gerak atau langkah yang tersusun ketika menggayakan atau melakukan sesuatu pergerakan jasmani. Manakala ’Silat’ pula bererti ketangkasan pergerakan jasmani ketika mempertahankan atau menyerang sama ada bermain secara tangan kosong atau bersenjata.


Apa yang pasti, penggunaan nama ’Seni Silat’ itu lebih sinonim di Malaysia. Jika tidak ’Seni Silat’ ianya hanya diterbalikkan sedikit seperti ’Silat Seni’ seperti Silat Seni Gayong Malaysia sebagai contohnya. Antara nama silat di Malaysia yang mempunyai pengaruh besar dalam lapangan beladiri silat yang  mengenakan nama ’Seni’ pada pertubuhan atau persatuan silat adalah seperti Seni Silat Sendeng Malaysia, Seni Silat Lincah Malaysia, Seni Silat Cekak Malaysia, Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia dan banyak lagi. Berbeza di negara jiran serumpun kita, Indonesia. Mereka lebih sinonim menggunakan nama ’Pencak’ atau ’Jurus’.

Pencak Silat

Beberapa pengertian ‘Pencak Silat’ menurut para pakar diantaranya sebagai berikut: Abdus Syukur menyatakan bahawa, Pencak adalah gerakan langkah keindahan dengan menghindar yang disertakan gerakan berunsur komedi. Pencak dapat dipertontonkan sebagai sarana hiburan, sedangkaan Silat adalah unsur teknik bela diri menangkis, menyerang dan mengunci yang tidak dapat diperagakaan di depan umum. Mr.wongsonegoro, ketua IPSI yang pertama mengatakan bahawa, Pencak adalah gerakan serang bela, berupa tari dan berirama dengan peraturan adat kesopanan tertentu yang bisa dipertunjukkan di depan umum.


Silat adalah intisari dari pencak, iaitu kemahiran untuk sesuatu perkelahian atau membela diri bermati-matian yang tidak dapat dipertunjukkan di depan umum. Manakala Imam Koesoepangat mengatakan Pencak merupakan gerakan bela diri tanpa lawan, sementara silat sebagai bela diri yang tidak boleh dipertandingkan. Antara nama-nama silat di Indonesia yang menggunakan nama ‘Pencak’ di permulaan silatnya seperti Pencak Silat Siwah, Pencak Silat Pertempuran, Pencak Silat Gerakan Suci, Pencak Silat Tri Bela, Pencak Silat Maung Lugay, Pencak Silat Bintang Suci, Pencak Silat Rangjat dan lain-lain lagi.

Pada keluaran akan datang, saya akan memperkenalkan tidak lebih 360 jenis-jenis silat yang lahir dan bertapak di Malaysia dari dulu hingga kini. Kemungkinan jumlah itu makin bertambah dari tahun ke tahun yang akan saya kongsikan bersama anda. Tujuan, supaya anda lebih kenal, dekat dan cintakan seni silat bangsa sendiri. Insha-Allah ;-)

Monday, May 27, 2013

SAH! Lawan Jadi Kawan – Neymar Milik Barça…


“RONALDINHO + Rivaldo + Ronaldo + Romario Baru!”... mungkin itu yang dilabelkan oeh peminat Barça terutamanya setelah Neymar membuat keputusan memilih FC Barcelona dan menolak tawaran lumayan Real Madrid CF. Pemain bola sepak berumur 21 tahun yang berasal dari Brazil dan kelab antos FC ini akan bermain untuk Barça diikat kotrak lima musim sememangnya dikenali di Amerika Selatan dengan kemahiran menggelecek yang tinggi dan membuatnya sering ditakuti oleh pemain pertahanan seluruh Amerika Selatan terutama dalam kejohanan Copa Libertadores dan Liga Brazil.

Legenda Brazil, Pelé, memuji corak permainannya yang sungguh indah dan mendapat pengiktirafan serta pujian dari pemain legenda Pele tersebut, dan percaya dia bakal menjadi pemain seterusnya meneruskan permainansamba Brazil. FC Barcelona dan Santos FC telah mencapai kesepakatan mengenai karier Neymar da Silva Junior. Pemain dari Brazil ini akan bergabung dengan kelab FCB untuk lima musim seterusnya. Neymar juga bakal bergandingan dengan Lionel Messi apabila memulakan musim baru bersama Barça kelak.
-


Pemain itu mengumumkannya tentang keputusannya mahu berhijrah ke FCB dengan kata-kata berkais di Twitter dan Instagram:

“...Galera! Tô aqui reunido com amigos e familiares e eles me ajudaram a escrever algumas coisas...”

 “...Galera! Untuk berkumpul di sini dengan rakan-rakan dan keluarga serta bersama mereka yang akan membantu saya menulis beberapa perkara...”

- Neymar Júnior (@ Njr92) May 26, 2013

Neymar da Silva Santos Junior adalah salah seorang pemain di dunia yang paling menghiburkan. Kelajuan dan skilnya membuatnya dapat mengubah permainan bila-bila masa. Neymar yang lahir di Sao Paulo boleh menyesuaikan di posisi penyerang tengah atau bermain di sayap. Ia boleh bermain dengan kedua kakinya yang ia gunakan untuk menggelecek dan menjaringkan gol.

Diberkati oleh Pelé
 -

Semua kualiti dan juga secara faktanya bahawa Neymar berasal dari Brazil, dan hasil produk dari Akademi Santos FC yang membuatnya sering dibandingkan dengan Pelé. Dan kedua-duanya batang tubuh istimewa ini tidak menyembunyikan kekaguman diantara mereka. Seperti 'O'Rei' dimasanya, Neymar adalah bintang daripada Santos FC (debut pertama kali tahun 2009) dan dia juga berada di pasukan kebangsaan Brazil. Dia adalah harapan dari semua orang iaitu rakyat di Brazil untuk membawa negara mereka menjuarai Piala Dunia 2014 yang bakal diadakan di Brazil. Sebelum ini sudah pemain Santos FC yang berjaya dan dilabelkan sebagai ‘next Pelé’ iaitu Robinho tetapi Pelé tidak bersetuju dengan pilihannya ke Real Madrid CF kerana merasakan Robinho belum bersedia dan masih muda. Hasilnya benar seperti larangan Pelé, dia gagal dan bakatnya terus pudar.

Banyak anugerah


Perbandingannya dengan Pelé adalah tidak berlebihan. Meskipun dia masih muda, Neymar telah menerima banyak penghargaan. Dia mendominasi pencalonan anugerah dalam FIFA Ballon dörr pada tahun 2010, 2011 dan 2012 bagi wakil Amerika Selatan. Dia juga merupakan satu-satunya pemain bola sepak terbaik di Amerika Selatan pada tahun 2011 dan yang termuda yang pernah menerimanya. Dengannya, Santos FC kembali berjaya, dengan memenangi tiga kejuaraan Paulista Brazil dan Copa Libertadores di tahun 2011, Neymar juga meraih penghargaan sebagai pemain terbaik di kejohanan pada tahun tersebut.

Piala Dunia Kelab 2011


Sebagai juara Amerika Selatan, Santos FC menjadi wakil kelab Amerika Selatan dalam kejohanan Piala Dunia Kelab di tahun 2011. Neymar memukau peminat di Jepun dengan menjaringkan gol yang cantik pada aksi separuh akhir tetapi tidak dapat mengulangi aksi tersebut apabila bertemu FCB yang akhirnya Santos FC tewas di final. Ketika itu, FCB mempamerkan aksi permainan terbaik dan terpuji mereka di era Guardiola dan ‘mendera’ Santos FC dengan 4-0. Setelah tamat permainan Neymar menerima pengiktirafan ditempat ketiga pada kejohanan tersebut di belakang Messi dan Xavi.

-

Friday, May 24, 2013

Ip Man Versi Donnie Yen Yang Terbaik!


DUNIA perfileman seni beladiri Hong Kong sering berlaku revolusi. Seperti yang kita tahu, Hong Kong adalah kilang menghasilkan filem beladiri yang berkualiti sejak azali lagi. Kemuncak awal adalah Bruce Lee, kemudian kesinambungan diwarisi Jackie Chan, Jet Li, Yuen Biao, Sammo Hung dan pilihan masakini, Donnie Yen. Maka lahirlah filem beladiri kung-fu cina yang baru iaitu Ip Man. Tanpa anda sedari filem francais Ip Man sudah ditayangkan dalam pelbagai versi sejak filem pertamanya pada tahun 2008. Dalam versi tersebut sudah masuk empat individu telah pun ‘menjawat’ watak Ip Man. Keempat-empat mereka ialah Donnie Yen, Dennis To, Tony Leung dan yang terbaru Anthony Wong.  Dalam kempat-empat pelakon ini, siapakah anda rasa yang berjaya memberi kesan atau impak dalam memegang watak Ip Man?

Adakah Anthony Wong (Ip Man – The Final Fight), Tony Leung (Ip Man – The Grandmaster), Dennis To (Ip Man – The Legend Is Born) atau Donnie Yen (Ip Man 1 & Ip Man 2 – Legend Of The Grandmaster)? Rasanya saya sependapat dengan anda... sudah pasti Donnie Yen. Kalau dahulu, filem-filem beladiri Hong Kong sering dikaitkan dengan lagenda mereka Wong Fei Hung, Hou Yuanjia, Chen Zhen atau mitos Fong Sai Yuk. Beberapa orang pelakon turut memainkan peranan tersebut terutama watak Wong Fei Hung antara Jet Li dan Jackie Chan. Kedua-duanya pada saya berjaya memberi impak tentang kehebatan Wong Fei Hung dalam aksi kung-funya. Jet Li dalam Once Upon A In China 1-4 dan Jackie Chan dalam Drunken Master 1 & 2. Begitu juga kelebihan dan kelainan Donnie Yen dalam mendokong watak Ip Man sehingga kita mendapat sesuatu dari kesan watak yang dimainkan.


Apa yang pasti penonton lebih mengerti atau lebih pandai menilai ‘genre’ sesuatu cerita dalam filem. Itu yang patut kita belajar sebenarnya terutama di Malaysia. Penggiat filem kita tidak pernah belajar akan kejayaan sesuatu filem mengikut genre perfileman. Sebaliknya apa yang mereka tahu hanya ‘copy’ filem dan terjemahkan serta diubah kembali mengikuti aliran dan kebudayaan melayu. Itu antara faktor filem kita gagal dipentas antarabangsa kerana tiada ciri-ciri ‘original’, identiti dan kekuatan. Kita berbalik pada pokok asal artikel ini. kenapakah Donnie Yen diterima berbanding tiga lagi pelakon yang pernah melakonkan watak Ip Man? Adakah lakonan mereka gagal? Atau mereka kurang ada komersil ‘value’? Adakah faktor umur? Pada saya terdapat beberapa perkara yang menyebabkan Donnie Yen berbeza.

Kemahiran Seni Beladiri

Ini merupakan faktor utama! Bagi menjayakan sesuatu filem seni beladiri, pelakon itu mesti ‘master’ atau jurulatih tegar yang aktif dan berpengalaman dalam bidang tersebut. Ini kerana, kemahiran yang hendak dipamerkan dalam filem tersebut bukan hadir dalam sekelip mata atau dalam dua tiga jam berlatih atau enam bulan atau setahun. Tambahan pula watak tersebut mesti pakar beladiri atau guru! Pelakon lain seperti Anthong Wong atau Tony Leung bukan orang beladiri, sudah pasti mereka gagal kecuali Dennis To yang merupakan pengamal seni beladiri wing chun! Oleh itu, peminat mahu aksi sebenar yang mantap oleh watak Ip Man, kerana ianya mewakili komuniti dan disiplin wing chun! Jika gagal memberi impak makna wing chun pun gagal. Penonton mahukan apa yang dipaparkan itu sampai melalui kaedah serangan, tumbukan dan tendangan yang mantap serta berkesan.


Di Malaysia, selalunya filem aksi berunsur pertarungan sering dilakonkan oleh pelakon tiada kemahiran dalam beladiri. Sudahlah tiada latar belakang belakang, langsung tidak cekap dan mahir, akhirnya merosakkan filem tersebut dan ‘gulung’ tikar! Mana tidaknya, pelakon yang diberi peranan hero dalam filem aksi Malaysia tidak ada kredibiliti sebagai hero beladiri yang mahir sebaliknya mahir dalam memikat ‘burung’ oleh ‘kumbang’ yang sumbang. Maka sumbanglah filem tersebut! Kenapa sumbang? Cuba lihat apabila aksi pertarungan, aksi terpaksa dibantu oleh ‘stuntman’ atau ‘body-double’. Bukan itu sahaja, genggam tumbuk pun tak tahu, langkahan sumbangan, permainan senjata tidak tahu da banyak lagi tetapi lagak dan nafsu sentiasa ‘besar’ mengalahkan Tony Jaa. Nak tiru tapi tak mampu!

Pengalaman

Apa yang membezakanya antara Donnie Yen dan Dennis To? Satu perkara sahaja iaitu ‘Pengalaman’. Benar, faktor pengalaman yang membezakan mereka berdua selain ‘camera-favour’. Kalau dibandingkan dalam bidang seni beladiri, Donnie Yen terlebih dahulu berbanding Dennis To. Untuk makluman, Dennis To adalah atlit seni beladiri Hong Kong yang diangkat menjadi pelakon. Dennis To pernah mewakili Hong Kong dalam Sukan Asia tahun 2002 dan memenangi pingat perak, manakala dalam Sukan Asia Timur memenangi pingat emas. Dennis juga pernah merekodkan pelbagai pingat dalam pertandingan seni beladiri amatur sekitar Hong Kong. Asas beladiri adalah seni wushu. Dari segi nama dan populariti sememangnya Donnie Yen lebih kukuh daripadanya kerana Donnie Yen bertapak dalam bidang seni ini pada awal 80an lagi.


Namun, satu kredit dan contoh yang baik buat penggiat serta penerbit filem seni beladiri Hong Kong yang mengekalkan formula ini iaitu ‘watak hero filem seni beladiri, mesti pelakonbeladiri yang mahir, mahu hasil filem beadiri terbaik, jawapannya sama iaitu mesti dilakonkan oleh pelakon seni beladiri yang mahir!’ formula ini terbukti berkesan! Bukti terkini ialah Siam (Thailand) dan Indonesia! Mereka kini boleh berbangga dengan ‘wira’ beladiri asli  mereka seperti Thailand melahirkan Tony Jaa, Dan Chupong, Kazu Neda, Yanin Jeeja. Manakala Indonesia berjaya mengangkat martaba silat melalui Iko Uwais atau Joe Taslim. Lebih menguntungkan ialah apabila industri filem mereka sendiri mula dikenali oleh kerana satu sebab iaitu SENI BELADIRI! Malaysia? Tahu tiru tapi tak reti nak buat! Nak tiru biar 100%! Ini tidak, pelakon ‘Mat Bunga’ jadi hero filem aksi seni pertarungan atau beladiri. Maka jadilah filem ‘debunga mewangi’ versi seni beladiri Malaysia.

Terbaik Bukan Jaminan

Walaupun Ip Man dilakonkan oleh pelakon terbaik Hong Kong dan dunia pun, ianya masih gagal menyaingi Ip Man versi Donnie Yen. Tony Leung bukan calang-calang pelakon, beliau merupakan bekas pelakon terbaik di festival filem cannes. Begitu juga Anthony Wong, walaupun veteran tetapi beliau merupakan pelakon berpengalaman selain pernah memegang watak uncle Nong dalam filem ‘Legend of Fist – The Return of Chen Zhen’ serta ‘Fist of Legend’ bersama Jet Li (Chen Zhen). Memang tidak dinafikan pelakon seperti Tony Leung akan memanipulasi bakatnya dalam mempengaruhi emosi penonton, tetapi mahukan aksi realistik, bertenaga dan bukan ‘chicken-chop’ semata-mata untuk menipu para penonton. Namun, semua itu gagal menyaingi Donnie Yen yang lebih arif dalam filem seni beladiri dengan ‘mengaktifkan’ atau memaksimunkan aksi sehingga menenggelamkan permainan emosi yang ‘melo’. Itu yang kita mahukan!


Saya menulis bukan kerana hendak menghentam-tuli secara tak tentu pasal, tetapi ianya adalah fakta dan praktikal telah pun berlaku. Bukan sekadar teori. Pada saya, di Malaysia penggiat dan penerbit filem lebih menjual ‘orang’ daripada menjual ‘produk’. Itulah pendapat saya. Jika ini berlarutan maka industri perfileman kita tidak akan ke mana-mana, sebaliknya anak tempatan dianaktirikan, orang asing mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Terbaik bukan jaminan? Benar, rata-rata peminat antarabangsa tetap teguh menyokong Donnie Yen dan berharap beliau meneruskan watak Ip Man dalam filem seterusnya. Terdapat desas-desus menyatakan Donnie Yen tidak akan terlibat dalam Ip Man 3, adakah benar? Sama-sama nanti kita tunggu akan jawapannya. Apa-apapun, Donnie Yen sepanjang tahun beliau sememang terlalu sibuk dengan aktiviti penggambarannya. Filem terbaru yang menemui peminat dipawagan pada tahun ini ialah ‘The Iceman Cometh’!

Saturday, May 18, 2013

Persembahan Silat Di Plaza Alam Sentral, Shah Alam

Tarikh : 18 Mei 2013
Majlis : Rasmi Expo Perkahwinan & Pakaian Pengantin Malaysia
Pesilat : Akmal Edge, Salehuddin, Sharifuddin & Irman








Seminar Silat Sendeng di Kolej iCAN, Maxisegar, Pandan Indah, Kuala Lumpur

Tarikh : 18 Mei 2013
Majlis : Persembahan Seni Beladiri
Fasilitator : Akmal Edge
Pesilat : Salehuddin, Sharifuddin & Irman














Tutorial Seni Silat Sendeng di Kolej iCAN, Menara Maxisegar, Pandan Indah, Kuala Lumpur

 
SETELAH menamatkan persembahan silat pada majlis 'martial art performers', Akmal meneruskan aktiviti 'tutorial' secara praktikal buat para pelajar kolej ICAN. Alhamdulillah, sambutan begitu hangat dan memberangsangkan. Sebenarnya, ia luar jangkaan kerana pelajar-pelajar kolej ICAN ini begitu bersemangat dan komited disamping sokongan yang diberikan tidak berbelah bagi. Tahniah buat semua pelajar yang hadir pada majlis tersebut.

Pada sessi 'tutorial' tersebut, Akmal menerangkan serba ringkas berhubung silat yang boleh dipelajari oleh semua lapisan masyarakat, tidak kira melayu, cina, india dan semuanya. Erti kata lain, 'Silat 4 All'! Penerangan tersebut membuka minda pelajar di situ yang selama ini kebanyakkan masyarakat terutama bukan melayu menganggap silat sebagai satu seni beladiri untuk bangsa melayu sahaja. Setelah di beri penerangan secara santai dan menghiburkan, seluruh pelajar yang memenuhi ruangan dewan tersebut mula tertarik dengan silat, tidak kira lelaki, perempuan, melayu atau bukan melayu.


Kemudian, Akmal meneruskan sessi teori dan praktikal seni silat dengan kupasan dan kegunaan silat dalam tari silat yang dipersembahkan sebentar tadi. Ramai yang tidak menyangka bahawa persembahan tari tadi bukan sekadar tarian tetapi terdapat ilmu dan intipati beladiri didalamnya. Kelihatan mudah untuk dibuat tetapi pabila dicuba ianya perlu tunjuk ajar terlebih dahulu. Ternyata tunjuk ajar itu membuatkan dewan menjadi riuh-rendah kerana sessi tersebut. Kelihatan beberapa orang pensyarah kolej mula turun ke dewan untuk tidak melepaskan sessi ilmu tersebut.

Lebih membanggakan, walaupun pelajar disini ramainya dikalangan wanita, kerana kolej ini lebih menjurus pada kursus kejuruwatan dan kesihatan tetapi mereka tidak segan silu dalam bab ilmu. Apabila diminta wakil untuk mencuba teknik yang diberikan, mereka semua berebut-rebut tampil untuk mendapatkan tunjuk ajar. Sikap begini yang kita mahukan. Lelaki, perempuan dan tidak kira bangsa mereka berani kehadapan. Hasilnya, mereka memahami apa itu silat yang sebenarnya.



Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar pada sessi tersebut, sekali lagi diucapakan sekalung tahniah buat pihak penganjur serta pengerusi majlisnya, Ethan dan Dayana yang memberi saya peluang dan kesempatan untuk mempromosikan silat dalam majlis tersebut. Semoga perkara ini dapat dipanjangkan dan ianya dapat memberi manfaat pada para pelajar pada masa hadapan demi melahirkan bangsa Malaysia yang maju, cergas, cerdas dan berdaya saing.
 

Persembahan Silat di Kolej iCAN, Menara Maxisegar, Pandan Indah, Kuala Lumpur

Tarikh : 18 Mei 2013
Majlis : Persembahan Seni Beladiri
Pesilat : Akmal, Salehuddin, Sharifuddin & Irman









Thursday, May 16, 2013

EP1 : Silat : Pencak Silat & Sejarahnya


PENCAK Silat atau Silat (bertarung dengan menggunakan teknik pertahanan diri) ialah seni bela diri Asia yang berakar umbi dalam rumpun dan budaya Melayu. Seni mempertahankan diri ini dikenali secara meluas di Indonesia, Malaysia, Brunei, dan Singapura tetapi boleh juga didapati dalam variasi yang berbeza di negara-negara yang berbeza dari sudut penyelarasan dengan penyebaran budaya Melayu, seperti selatan Filipina dan selatan Thailand. Terima kasih kepada peranan jurulatih dari Indonesia dan Vietnam yang berjaya melahirkan ramai pesilat-pesilat yang mantap.

Organisasi induk Pencak Silat di Indonesia adalah IPSI (Institut Pencak Silat Indonesia). PERSILAT (Persatuan Pencak Silat Antara Bangsa), adalah nama organisasi yang telah dibentuk oleh Indonesia, Singapura, Malaysia dan Brunei Darussalam untuk menampung Pencak Silat persekutuan di seluruh negara.
 
Sejarah Silat


Tradisi Silat diturunkan dari mulut ke mulut dan merebak dari mulut ke mulut, diajar dari guru kepada murid. Ini kerana catatan asal seni mempertahankan diri menyatakan adalah amat sukar untuk ditemui. Kebanyakan seni mempertahankan diri mempunyai sejarah yang tersendiri mengikut hikayat legenda yang berbeza dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain. Seperti cerita asal seni silat aliran Cimande, kaedah seni mempertahankan diri berdasarkan peristiwa tentang seorang wanita yang menyaksikan pertarungan antara harimau dan monyet. Kemudian, wanita tersebut mendapat ilham dan mencipta gerakan bela dirinya mengikut resmi pergerakan haiwan bertarung tadi. Terdapat juga mengatakan asal-usul seni mempertahankan diri di Indonesia mungkin berkembang daripada kemahiran puak-puak Indonesia asli dalam memburu dan berjuang dengan parang, perisai dan lembing. Seperti yang kini dihadapi dalam tradisi suku Nias sehingga abad ke-20 yang agak tidak disentuh oleh pengaruh luar.

Silat seterusnya merebak ke Nusantara lain sejak abad ke-7 SM, tetapi asalnya tidak dapat dipastikan. Walau bagaimanapun, silat kini diiktiraf sebagai rumpun dan budaya Melayu dalam erti kata yang luas, iaitu penduduk kawasan di pesisiran pantai Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu, serta pelbagai kumpulan etnik lain yang menggunakan bahasa Melayu lingua franca dalam pelbagai bidang di kepulauan Jawa, Bali, Kalimantan, Sulawesi dan lain-lain. Ianya termasuk dengan kegiatan membangunkan bentuk seni mempertahankan diri tradisional mereka sendiri. Dalam bahasa Minangkabau, silat disebut dengan nama ‘silek’. Sheikh Shamsuddin (2005) berpendapat bahawa terdapat pengaruh seni mempertahankan diri dari China dan India dalam seni mempertahankan diri seperti silat. Malah bukan itu sahaja. Ini boleh difahami kerana budaya Melayu (termasuk Pencak Silat) adalah budaya yang terbuka, di mana budaya Melayu sejak awal lagi dididik untuk menyesuaikan diri dengan budaya yang berbeza yang sering dibawa oleh pedagang dan nomad dari India, China, Arab, Turki dan lain-lain.


Sejarah pembangunan dan penyebaran seni mempertahankan diri mula dibawa ke serata empat apabila penyebaran mereka banyak dipengaruhi oleh Ulama, bersama-sama dengan penyebaran Islam pada abad ke-14 di nusantara.  Sebagai contoh, kebanyakkan silat banyak menerapkan unsur-unsur dan nilai-nilai murni keagamaan dalam setiap seni mempertahankan diri. Selain itu, negeri-negeri Melayu terutama Semenanjung Melayu percaya bahawa legenda ‘Hang Tuah’ beragama Islam pada abad-14. Perkara yang sama juga berlaku di Jawa yang mana mereka mempunyai Pahlawan bernama Gajah Mada’. Inilah rekod sejarah dianggap ‘sahih’ dalam sejarah seni mempertahankan diri yang pengaruhnya masih dapat dilihat hari ini. Pada ketika itu, seni mempertahankan diri boleh diajar di masjid-masjid. Silat kemudian merebak daripada sekadar seni mempertahankan diri dan tarian rakyat, menjadi sebahagian daripada pendidikan untuk mempertahankan negara dan menentang penceroboh. Selain itu, seni mempertahankan diri ianya menjadi sebahagian daripada amalan kerohanian.

Saban hari, silat telah banyak disebarkan terutama di Indonesia dan Malaysia (termasuk Brunei dan Singapura) serta mempunyai persamaan sejarah sebagai satu ‘senjata’ untuk menentang penceroboh asing. Selepas kemerdekaan, seni mempertahankan diri dibangunkan menjadi seni mempertahankan diri rasmi. Maka wujudlah seni mempertahankan diri kebangsaan seperti organisasi yang telah ditubuhkan oleh  Persatuan Pencak Silat Indonesia (IPSI) di Indonesia, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) di Malaysia, Singapura Silat Association (SAMA) di Singapura dan Brunei Darussalam Silat Association (PERSIB) di Brunei. Atas perkembangan itu, ianya kepada berpuluh-puluh universiti serta mendapat sambutan seperti di Amerika Syarikat dan serata Eropah. Silat kini telah secara rasmi memasuki sukan ini dalam perlawanan antarabangsa, terutamanya yang bertanding dalam Sukan SEA.

Itulah serba sedikit sejarah perkembangan pencak silat di nusantara ini. Insya-Allah pada keluaran akan datang, anda akan didedahkan tentang kekeliruan atau perbezaan penggunaan perkataan ‘pencak silat’ dan ‘seni silat’. Apakah perbezaannya atau adakah nama berbeza tetapi pengertian sama? Apa-apapun, semua akan dapat informasi pada keluaran akan datang.