PADA bulan April tahun lepas Donnie Yen membuat keputusan mengejut apabila tidak mahu terlibat dengan projek filem francais 'Ip Man'. Ini kerana disebabkan berlaku pertikaian dan perbalahan dari pihak penerbit iaitu Raymond Wong dan pengarahnya, Wilson Yip. Oleh kerana perbalahan itu makin meruncing, Raymond memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Wilson dan menyerahkan tugas pengarahan filem ini kepada anaknya, Edmond Wong. Keputusan itu menyebabkan Donnie berang dan mengugut untuk tarik diri tanda membantah keputusan drastik tersebut.
Awal tahun 2013, pihak Pegasus Motion Pictures berusaha memujuk Donnie Yen dan Wilson Yip. Sebagai tarikan $150 juta ditawarkan pada mereka berdua untuk kembali menerajui filem tersebut. Pihak Pegasus juga mennyatakan filem Ip Man 3 akan menjalani penggambaran di sekitar Hangzhou pada bulan julai ini. Selain itu, mereka merancang untuk mengeluarkan filem ini dalam bentuk 3D. Tawaran yang cukup lumayan tetapi ianya tidak kekal lama apabila syarikat yang akan menerbitkan Ip Man 3 ini menghadapi masalah pembiayaan dan tidak mendapat sokongan dari syarikat-syarikat Tanah Besar China.
Ini kerana syarikat tersebut mempunyai rekod keluaran filem yang baik sebelum ini seperti filem 'Magic to Win' dan 'Saving General Yang'. Oleh kerana rekod itu, tidak banyak syarikat pelabur yakin syarikat ini boleh memberi untuk atau pulangan baik buat 'Ip Man 3' pada kali ini. Atas situasi itu, pergeseran antara Raymond dan Wilson kembali bersambung. Wilson mencadangkan supaya mengurangkan kos pengeluaran sebaliknya mengekalkan perancangan awal untuk membuat filem ini dalam 3D dengan kos yang sedia ada. Cadangan tersebut ditolak dan Raymond berang lalu menggantikan Wilson dengan anaknya serta Ip Man 3 kembali ke pembikinan filem 2D.
Cadangan Wilson ada benarnya. Jika filem Ip Man 3 ini dilakukan penggambarannya dalam 3D, ianya akan merosakkan kualiti dan reputasi beliau sebagai pengarah filem francais Ip Man ini. Daripada mendapat kritikan dan malu dengan hasil kelak baik memanfaatkan bajet yang kecil ini dengan menjana keuntungan tanpa menemphi risiko yang besar. Saranan itu disokong Donnie Yen dan sekali lagi akan menarik diri jika Wilson disingkirkan! Sememangnya Donnie Yen selesa bekerja dengan Wilson. Buktinya setiap filem gandingan mereka berdua pasti melahirkan naskhah filem yang berkualiti bermula dari filem Sha Po Lang (SPL - tahun 2005).
Apa-apapun buat peminat Donnie Yen, Wilson dan pengikut filem Ip Man ini jangan terburu-buru membuat tindakan menuduh mana-mana pihak. Wilson belum lagi keluar sepenuhnya dalam pembikinan ini, ianya masih didalam perbincangan menuju ke puncak keputusan. Menjawah kekalutan ini, Wilson berkata, "Saya masih didalam proses perbincangan dengan pihak berkenaan, sememangnya saya boleh buat keputusan secara mengejut pada bila-bila masa kerana segalanya terletak pada saya. Dia (Donnie Yen), menunjukkan sokongan penuh pada saya seperti kata-katanya, "Saya Tunggu Wilson Bila Dia Sudah Bersedia!"
Antara faktor penangguhan buat masa ini penggambaran bakal berlaku adalah faktor Donnie Yen sendiri. Kepadatan jadual penggambaran Donnie Yen sendiri turut menyumbang kepada ketegangan yang berlaku dalam produksi Ip Man 3 kali ini. Walaupun sudah menamatkan penggambaran 'The Iceman Cometh' tetapi Donnie Yen masih ada lagi projek penggambaran seterusnya yang bakal berlangsung seperti 'Crouching Tiger Hidden Dragon 2'. Jika Ip Man 3 tidak menamatkan pergeseran itu, maka penggambaran Ip Man 3 akan tertunda dan pihak produksi pasti mendapat bala.
Begitu juga Wilson, beliau tidak kisah jika digantung tak bertali buat masa ini kerana masih ada projek yang boleh beliau jalankan. Penggambaran yang pasti berlangsung adalah projek filem 'Zhong Kui', situasi ini pasti meresahkan pihak penerbit Ip Man 3. Sebagai tindakbalas kekalutan situasi ini, anak perempuan Raymond membidas tindakan mereka berdua dalam satu kenyataan, " Kami adalah syarikat yang diberikan hak dan mempunyai perjanjian dengan para pelabur kami! Tidak kira apapun yang bakal berlaku, kami akan memulakan penggambaran seperti pada tarikh yang telah ditetapkan."
Jika benar apa yang dikata, mungkin Ip Man 3 ini kita bakal kehilangan 'tiang utama' filem ini iaitu Donnie Yen dan Wilson Yip? Atau lebih buruk dari itu... Ada kemungkinan juga kita bakal kehilangan bukan gandingan duo tetapi trio filem ini iaitu Donnie Yen - Wilson Yip - Sammo Hung?