Thursday, June 27, 2013

‘Profesional'kah Pasukan Liga Malaysia Yang Bertanding?


LIGA Malaysia kembali hangat buat musim baru tahun 2013. Ini membuatkan saya kembali bersemangat untuk menyokong dan bercerita tentang bolasepak tempatan kita. Siapa yang tidak sayangkan bolasepak kita Malaysia! Sudah lama kita tidak mendengar berita-berita panas tentang bolasepak yang sebelum ini suram. Namun kini, ianya kembali dengan paparan yang hangat dan gosip, buat pasukan bertanding atau sendiri berkenaan dengan kerenah birokrasi FAM! Macam-macam ada dalam liga kita sekarang! Bagus! Sengungguh menyeronokkan sekarang. Pemain import kita juga turut dikenali seperti Martias Conti, Leonel Nunez atau Effa Owona.

Tumpuan kali ini sudah tentu terarah pada saingan Liga Super, namun begitu Liga Perdana tidak kurang hebatnya. Menjadi lumrah mana-mana liga terbaik dunia, tumpuan pasti pada kumpulan liga-liga utama dalam setiap negara. Di sepanyol Primera Liga menjadi tumpuan, di Itali Serie A, Perancis Ligue 1, Portugal Liga Sagres (tempat Nazmi Faiz bermain dengan kelab SC Beira Marr) atau di Belanda Eredivise serta di Jerman Bundesliga. Nama-nama yang disebutkan ini adalah liga utama negara masing-masing. Begitu juga Malaysia, dulu Semi-Pro, kemudian Liga Perdana, kini Liga Super.

Ya, benar. Kehangatan Liga Super negara kita semakin dikenali dirantau Asia Tenggara. Lihat sahaja persiapannya, pelbagai kontroversi, skandal dan persaingan mendapatkan pemain-pemain terhandal kembali mewarna liga kita. Ianya bagus untuk publisiti. Segalanya bermula setelah beberapa pasukan bertanding membuat perubahan. Contoh, pasukan Kelantan DN. Mereka menjenamakan semula pasukan dengan menswastakannya. Hasilnya, mereka menjadi kuasa baru dalam arena bolasepak kita dalam tiga tahun ini, kehebatannya dapat kita saksikan mereka berjaya menawan ketiga-tiga piala yang dipertandingkan disamping berjaya ke suku akhir dalam pertandingan Piala AFC.

Persoalannya sekarang, adakah liga Malaysia ini sudah cukup ‘profesional’ sepenuhnya seperti liga-liga utama di dunia? Pada pendapat saya ianya TIDAK. Jikalau ada pasukan yang hampir ke arah itu setakat ini adalah Kelantan DN dan yang terbaru mengikut jejak The Red Warrior ialah Johor DT (Darul Takzim). Apa erti ‘Profesional’? Profesional berasal dari perkataan latin iaitu ‘proffesio’. Ianya membawa dua pengertian iaitu janji atau ikrar dan pekerjaan. Manakala profesional adalah orang yang menyandang suatu jabatan atau pekerjaan yang dilakukan dengan keahlian atau keterampilan yang tinggi. Hal ini juga pengaruh terhadap penampilan atau mewujudkan unjuk seseorang dalam melakukan pekerjaan di profesinya yang mengandungi pengertian menjalankan suatu profesi untuk keuntungan atau sebagai sumber penghidupan.


Pendek kata profesional dalam bolasepak ialah MAKAN BOLA, TIDUR BOLA, MAIN BOLA! Hidupnya hanya fikirkan pasukan bolasepaknya berjaya. Cuba lihat diluar sana (liga-liga asing) seperti Sepanyol, Itali, Jerman, Belanda, Perancis dan sewaktunya dengannya. Pasukan yang bertanding dikepalai oleh golongan atau individu yang berpengaruh dan sepenuh masa terhadap pasukan yang dipimpinnya. Malangnya, Liga Malaysia tidak! Masih dimonopoli oleh golongan yang ada ‘kuasa’ tetapi tidak ada kredibiliti dalam mentadbir pasukan bolasepak. Hasilnya kita tidak boleh maju dalam bolasepak dan ketinggalan. Ini kerana mereka bukan ‘fulltime’ dalam organisasi tetapi sekadar menumpang pengaruhdan namanya sahaja.

Kadang-kadang kita malu melihat pengurusan pasukan bolasepak yang bertanding. Serba-serbi kekurangan dan tidak ‘berdikari’. Masih lagi tidak berusaha untuk memperbaiki mutu pengurusan seperti tidak ada azam untuk maju. Tidak menunjukkan kecintaan terhadap pasukan yang dipimpinnya baik pihak pengurusan atau pemain. Cuba kita lihat ketika sessi pengenalan pemain atau sidang akbar, masih terdapat pemain yang datang sidang akbar atau tandatangan kontrak dengan memakai seluar ‘jeans’, t-shirt dan yang tidak sesuai untuk majlis berkenaan. Cuba kita lihat liga luar, mereka hadir penuh disiplin dan ‘formal’. Jika pemain itu ada penaja mereka akan pakai jenama penaja mereka. Sedih melihat senario bolasepak kita yang masih kekampungan.


Stadium? Pengurusan bolasepak kita tidak ada ‘vision’ atau cita-cita untuk menjadikan stadium yang bertanding diberi penghormatan. Masalah lampu limpah, kualiti padang yang dan ‘scoreboard’ yang masih ketinggalan, malah masih ada yang gunakan papan mata yang ‘manual’! tempat duduk penonton tidak diselanggara dengan betul, bilik persalinan yang tidak melambangkan identiti pasukan yang bertanding. Sepatutnya tempat duduk penonton dijaga dan dicorakkan seperti di Nou Cam, Barcelona tertulis jika dari jauh tertera tulisan ‘mes que un club’. Begitu jua dengan perial identiti dibilik persalinan. Barulah pelawat yang hadir berasa teruja, bangga dengan sesuat pasukan yang mereka lawan, bukan kerana kehebatan sahaja tetapi teruja kerana keselesaan dan kualiti tempat mereka bertandang.

Selain itu, penampilan jersi pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia amat-amat memalukan dan mendukacitakan! Masih ada yang bertampal seperti sarung guni, tiada penaja dan menyakitkan mata! Masih bertampal bermaksud, terdapat pasukan yang bertanding seperti tidak sensitif tentang susun letak penaja didalam jersi mereka. Main letak dan tangkap muat! Lihat jersi pasukan Selangor DE bertampal tidak kena dengan warna penaja dan baju. Hairannya, penaja pasukannya adalah penaja pasukan yang sama sejak beberapa tahun kebelakangan ini tetapi kenapa masih bertampil siap ada latar belakang warna putih? Lihat Kelantan DE, Johor DT, Pahang DM atau Terengganu DI, susun letak penaja pasukan merekakemas dan tidak sakit mata. Jangan keliru dengan warna korporat penaja, ianya boleh diselaraskan mengikut warna jersi. Jika jersi hitam tetapi warna penaja hitam, ianya boleh diubah ke warna putih seperti pasukan liga-liga luar buat.



Penyokong juga perlu memainkan peranan supaya mengubah sedikit kaedah sokongan anda. Jika pasukan negeri yang bertanding seharusnya mereka membuat atau membawa bendera atau sepanduk pasukan yang bertanding dengan mengenakan logo persatuan bukan bendera negeri. Itu yang dipraktik oleh penyokong luar negara. Kalau tidak apa guna kita lihat logo persatuan bolasepak yang tertera pada dada jersi pemain yang bertanding. Baru ada semangat tambahan cintakan pasukan bertanding selain negerinya sendiri. Siapa yang tidak kenal logo Real Madrid CF, Manchester United FC, Paris Saint Germain, AC Milan atau FC Barcelona? Itulah hasilnya jika pihak penyokong kita turut prihatin dan berdisiplin! Ianya juga akan membantu mempromosikan pasukan kesayangan dengan lebih berkesan.

Dan yang terakhir berkenaan dengan penggunaan nama pasukan yang bertanding. Malu juga penggunaan nama buat pasukan yang bertanding pasukan liga kita. Cacamerba! Buat pasukan negeri yang bertanding sebaik-baik biarlah persatuan bolasepak selaras atau selarikan dengan nama yang lebih ‘pro’ atau ada identiti tersendiri seperti liga luar negara. Memang kebanyakkan liga luar yang bertanding dalam liga mereka adalah berasal dari kelab bola atau kelab sukan. Jika liga Sepanyol, liga bolasepak mereka dimonopoli oleh kelab sukan. Contoh FC Barcelona, Real Madrid dan sebagainya, begitu juga Itali, Grecce atau di sekitar Eropah. England hanya kelab bolasepak sahaja. FC Barcelona, kalau kita perasan pada motto kelab mereka iaitu mes que un club bermaksud bukan sekadar kelab. FC Barcelona adalah antara kelab sukan yang berjaya dalam bolasepak, futsal, bola keranjang, bola baling, hoki beroda dan sukan amatur Eropah dan dunia.


Oleh itu sebagai cadangan buat liga Malaysia supaya diselarikan nama pasukan bertanding. Sebagai contoh, jika pasukan negeri yang bertanding, selarikan nama yang bertanding seperti KELANTAN DN, JOHOR DT, PAHANG DM, TERENGGANU DI, PERAK DR, KEDAH DA, NEGERI SEMBILAN DK dan lain. Atau boleh juga kita guna dengan nama bermula dengan DARUL buat pasukan negeri seperti yang disarankan oleh Tengku Muda Johor dengan DARUL TAKZIM FC. Buat pasukan kelab yang bertanding pula sediakan nama-nama yang ‘matang’, jangan main tangkap muat sahaja. Jika kelab itu berasal dari Selangor, tidak perlulah letak nama Selangor tersebut. Dulu ada Public Bank, MPPJ atau PKNS, tidak perlu letak Selangor, sebaliknya letak perkataan FC, SC atau apa-apa yang ada identiti kelab bola dan sukan. Contoh, Athletic de Bilbao atau Sporting Lisbon.

Jika ini (profesional) kita jaga, inshaallah, liga kita akan bertambah menarik dan berseri, bukan sekadar skandal, kontroversi, kemeriahan, tetapi juga dikenali dengan tahap profesional yang bermutu tinggi! Inshaallah, Majulah bolasepak Tanahair, Hidup Malaysia!