Thursday, April 22, 2021

5 Puak (Episod 12 : Pertarungan Antara Puak)

 

PUSINGAN akhir adalah perlawanan di antara puak harimau dan puak helang. Dua puak ini adalah puak yang paling handal dan tiada tandingan sejak zaman berzaman. Begitu juga dengan guru mereka, sering bersaing di peringkat akhir dalam pertandingan terdahulu. Pertarungan telah bermula. Anak Harimau menentang Anak Helang pada pusingan yang pertama. Pertarungan sengit bermula sejak nafas dan langkah pertama mereka berpadu. Tiada kesempatan untuk mereka berehat dan melepaskan lelah. Pertarungan sengit yang sudah dapat dijangka, kerana kedua-duanya adalah anak murid harapan kedua-dua puak. Pertarungan tangan kosong dengan kemahiran yang luarbiasa dipersembahkan di hadapan tetamu kehormat membuatkan Maharaja Segumpal Satria begitu kagum.

"Darah muda mereka semakin panas membara. Semoga tiada antara mereka mengalami kecelakaan," bisik hati Maharaja Segumpal Satria.

Pertarungan antara mereka berdua boleh dikatakan bertemu buku dengan ruas. Namun begitu, tiada satu pun serangan yang mengenai lawan masing-masing dek kerana kepantasan mereka mengelak semua serangan. Mereka saling mengenali antara satu sama lain, begitu jua teknik pertarungan yang sering digunakan. Tiba-tiba, Anak Harimau seperti cuba melarikan dirinya. Dia tidak langsung cuba menyerang balas, dan pergerakannya mula tidak tentu arah. Anak Helang segera mengambil kesempatan ini untuk menyerang. Anak Harimau jatuh terbaring di atas tanah. Setiap serangan Anak Helang cuba dielak tanpa dilihatnya. Amat menghairankan Anak Helang kerana tiada satu pun serangannya mengenai sasaran.

Anak Helang mencuba serangan dari udara. Teknik ini jarang menghampakannya, lalu digunakan sebagai senjata yang paling ampuh buatnya. Tiba-tiba, Anak Harimau memusingkan kakinya dalam keadaan kaki ke atas. Tangannya mencengkam tanah dan Anak Harimau tiba-tiba melonjak ke belakang. Serangan balas ini mengejutkan Anak Helang namun segalanya sudah terlambat. Kaki Anak Harimau telah berjaya menangkap kedua-dua belah tangan Anak Helang. Tok Harimau juga terkejut dengan serangan itu. Nampaknya Anak Harimau telah berjaya mengubah teknik hamburan menjadi teknik yang terbalik. Anak Harimau segera memusingkan tangan Anak Helang. Jika dia terus berkeras, tanganya mungkin akan patah. Anak Helang seorang yang bijaksana. Dia tahu bagaimana mahu menyesuaikan diri dengan sebarang serangan mengejut. Seperti aluran air di dalam sungai, begitulah pergerakan Anak Helang.

Pergerakan badannya turut sama mengikut corak serangan Anak Harimau.  Merasakan sesuatu yang pelik telah berlaku, Anak Harimau segera menyerang balas. Dilantunkan Anak Helang ke udara, lalu Anak Harimau menghambur dan menyerang balas dengan tangan dan kakinya. Udara adalah kelebihan dan keistimewaan buat Anak Helang. Ketika dilantunkan oleh Anak Harimau, Anak Helang turut sama menyerang balas. Kini barulah berlaku pertembungan antara mereka berdua. Pertarungan mereka sebenarnya baru bermula. Pertembungan itu membuatkan kedua-duanya melantun ke belakang. Nafas mereka mula tidak keruan, inilah masanya merehatkan nafas buat sementara waktu, mengumpul dan memulihkan tenaga dengan segera. Semasa tempoh bertenang itu, barulah mereka sedar seluar dan baju mereka sedikit terkoyak di beberapa tempat.

Kekuatan mereka hampir setara. Anak Harimau mula bertari teknik harimau sebagai cara penyembuhan otot dan sendi-sendinya. Anak Helang sudah tidak mahu bertangguh lagi. Dia mesti menewaskan Anak Harimau yang sering menewaskannya dalam setiap pertarungan. Dengan pergerakan yang pantas, Anak Helang berlari ke arah Anak Harimau. Kemudian dia melompat ke udara, mengembangkan kedua-dua tangannya seperti seekor helang yang terbang di udara. Kekuatannya telah dipertingkatkan. Satu serangan berbentuk cengkaman terus dihujankan ke arah Anak Harimau. Anak Harimau sudah lama menunggu. Tenaganya sudah hampir pulih sepenuhnya, lalu Anak Harimau segera menyerang balas dengan cakaran. Cengkaman bertemu cakaran, namun Anak Helang tiba-tiba mengubah bentuk serangan. Dia memusingkan badannya lalu menyerang dengan kakinya yang pantas.

Perubahan pantas begitu menyebabkan Anak Harimau kelam kabut. Beberapa tendangan Anak Helang mengenai beberapa tubuh badannya. Anak Harimau mula berasa kesakitan. Dalam satu raungan yang kuat, Anak Harimau sekali lagi menggunakan serangan sebelumnya yang dinamakan sebagai Serangan Ekor Harimau. Kali ini, tendangan itu lebih kepada bentuk libasan ekor hariyanmau g tepat mengenai kepala Anak Helang. Anak Helang telah mengalami kecederaan. Dia jatuh terbaring di atas lantai dan kemudian tidak sedarkan diri lagi. Kemenangan pertama nyata milik puak harimau. Mereka semua mula bersorak gembira. Keadaan meriah di puncak gunung tidak dapat dirasai oleh orang-orang di kaki gunung. Para pahlawan dari 5 puak yang ditugaskan berkawal, sedang meronda di setiap keliling kawasan perkampungan. Kali ini tiada peraturan ketat antara puak kerana mereka bergabung tenaga bersama panglima dari kerajaan Segumpal.

"Apakah firasat Mahaguru Naga Emas itu benar? Tidak pula ada pergerakan atau musuh yang mencurigakan. Semuanya baik-baik sahaja," bisik hati Panglima Besar kepada Maharaja Segumpal Satria.

Segala laporan disampaikan terus kepada Panglima Besar. Tiada satu pun yang tertinggal dalam setiap pemerhatian mereka. Namun begitu, mereka tidak boleh alpa dan leka. Tiba-tiba, segumpal asap berwarna putih mula 'menyerang' mereka. Panglima Besar mula tidak senang duduk. Bersama para panglima yang lain, dia mula menyerbu ke arah asap putih itu. Mereka mula menyerang, namun serangan mereka sia-sia sahaja. Serangan mereka hanya serangan angin. Sia-sia sahaja dan hanya menghabiskan tenaga dan masa. Namun begitu, mata mereka mulai terasa pedih, begitu juga pernafasan mereka. "Berundur, berundur segera," Panglima Besar mulai cemas dengan keadaan itu. Beberapa orang panglima sempat melarikan diri, namun begitu asap putih itu telah memakan mangsanya. Yang tidak sempat melarikan diri mulai berasa sengsara. Asap putih itu bukan sahaja menyerang setiap saraf dan sendi, malah terus memberi kejutan pada jantung mereka.

Panglima Besar tidak mahu mengambil sebarang risiko lagi. Segera diarahkan para pemanah agar menyerang dengan panah berapi. Panglima-panglima yang terperangkap di dalamnya sudah tidak dapat diselamatkan lagi.

"Ha ha ha ha! Sangat kejam seorang panglima kepada orang bawahannya. Sungguh aku tidak sangka," satu suara yang memekakkan telinga bergema di udara. Namun begitu, masih belum terlihat akan sosok empunya suara.

Panglima Besar bersama para panglima dan pahlawan puak mula bersiap siaga. Musuh yang datang ini sangat menggerunkan. Belum kelihatan tapi sudah amat menakutkan. Dari kepulan asap putih itu, tiba-tiba api yang panas membara mulai muncul dan bergerak ke hadapan mereka. Beberapa orang pahlawan dari pihak musuh membawa bersama anak panah berapi yang terpacak di tubuh badan mereka. Sangat mengerikan, mereka masih hidup dengan api yang membakar di tubuh badan. Salah seorang dari mereka telah mencabut anak panah itu dengan bersahaja. Darah berwarna hitam mulai mengalir dari luka di badan, namun lelaki itu tidak kesakitan malah dia menjilat mata anak panah itu tanpa perasaan. Perbuatannya segera dituruti oleh rakannya yang lain. Apakah mereka ini kebal dari sebarang serangan? Panglima Besar sekali lagi mengarahkan agar para pahlawan pemanah segera melepaskan anak panah mereka.  Lautan anak panah berapi seperti hujan, menyerang dan menjunam ke arah musuh-musuh mereka. Tiba-tiba semuanya hilang di dalam kabus yang berubah warna. Dari asap atau kabus berwarna putih, ia mula bertukar kepada warna hitam seperti minyak.

Dari asap hitam itu, muncul seorang lelaki yang dibawa di atas tandu. Pembawa-pembawa tandu adalah beberapa orang wanita yang agak pelik warna tubuh badannya. Ada yang berwarna hitam, ada yang berwarna ungu, ada yang berwarna merah dan ada yang berwarna biru. Anak-anak panah yang dilepaskan sebentar tadi, terlekat di atas perisai yang diangkat ke atas. Api-apinya sudah terpadam bersama anak-anak panah yang melekat pada perisai. Perisai itu seperti besi magnet, mengumpulkan semua anak-anak panah dari pihak lawannya. Lelaki yang di atas tandu itu punya rupa menggerunkan. Rambutnya panjang berwarna kelabu, tubuhnya berwarna hitam dan berotot kekar, matanya kelihatan berwarna merah bersama pandangan yang menggerunkan.

"Hanya ini pahlawan yang ada bagi menahan aku dan Puak Bisa? Ha ha ha ha ha! Kamu semua hanya menempah maut!" Gertak lelaki itu lalu melompat dari tandu.

Sebaik sahaja kakinya berjejak di atas tanah, pahlawan dari Puak Bisa segera bertekuk lutut. Suara mereka mula bergema kuat, menyambut kedatangan pemimpin mereka. "Selamat datang tuan kami yang gagah dan berbisa, Jin Naga Hitam!" Apakah itu Naga Hitam, adinda kepada Mahaguru Naga Emas? Bagaimanakah Naga Hitam masih kelihatan muda dan kuat berbanding Mahaguru Naga Emas? Apakah Jin Hitam masih menguasai tubuhnya atau Naga Hitam berjaya menyingkirkan roh Jin Hitam tersebut?

Bersambung...

Karya : MS MALAWI

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.