Thursday, April 15, 2021

5 Puak (Episod 11 : Pertandingan Bermula!)

HARI pertandingan telah tiba. Di saat ini, para peserta memberi tumpuan penuh pada latihan akhir sebelum pertandingan. Segala amanat ketua puak dijadikan sebagai azimat dan kata-kata semangat sebelum melangkah ke dalam gelanggang. Mahaguru Naga Emas sebagai pengadil pertandingan tersebut juga sudah bersiap sedia. Di sebalik kebimbangan, Mahaguru Naga Emas sentiasa berdoa agar firasatnya selama ini tidak menjadi kenyataan. Namun begitu, belum pernah sekali pun telahan akan firasatnya itu salah selama ini. Perkara inilah yang amat membimbangkan Mahaguru Naga Emas. Panji-panji 5 Puak berkibaran di atas Gunung Segumpal. Bunyi-bunyian seperti gendang memecah suasana, seolah-olah akan berlakunya peperangan. Para peserta sudah bersedia, begitu juga dengan pemimpin tertinggi kelima-lima puak.

Maharaja Segumpal Satria adalah tetamu kehormat pertandingan. Bersama para panglima, paduka baginda duduk megah di atas kerusi emas dan berpayung kuning. Di hatinya sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menonton pertandingan itu. Semasa ketibaannya di kaki gunung, rombongan Maharaja Segumpal Satria telah disambut oleh Mahaguru Naga Emas. Namun begitu, paduka baginda merasa hairan melihatkan keadaan di perkampungan 5 puak. "Mengapa mereka begitu bimbangkan sesuatu? Apakah sebabnya mereka mengetatkan kawalan?" Oleh kerana itu, sebahagian panglima dari kerajaan Segumpal bersama para tentera telah dititahkan untuk sama-sama berkawal dan menentang sebarang ancaman. Mahaguru Naga Emas terpaksa memberitahu akan firasatnya kepada paduka baginda sebelum pertandingan ini bermula. Jika tidak diberitahu, pasti keselamatan mereka semua akan terancam.

"Ketibaan Yang Teramat Mulia Maharaja Segumpal Satria ke Pertandingan Antara 5 Puak amat-amat disanjungi dan dihargai. Paduka Tuanku sudi mencemar duli dan berangkat ke Gunung Segumpal bagi merasmikan pertandingan ini yang sudah masuk tahun ke-10. Moga kita semua sentiasa dalam perlindungan dan rahmat Allah SWT. Aaminnnnnnn Aaminnnnnnn ya robbal 'alaminnnnn," kata-kata aluan yang ringkas dari pengerusi majlis.

"Terima kasih beta ucapkan di atas kesudian Mahaguru Naga Emas menjemput beta ke pertandingan ini. Ini adalah julung-julung kalinya Yang Mulia Mahaguru menjemput beta. Terima kasih dan selamat bertanding," ringkas sahaja kata-kata Maharaja Segumpal Satria seterusnya merasmikan pertandingan itu.

Para hadirin bertepuk tangan memberikan sokongan mereka. Begitu juga para pahlawan dari lima puak yang tidak bertanding. Mereka saling memberikan sokongan tidak berbelah bahagi buat pasukan mereka. Pertandingan pertama dimulakan dengan persembahan seni yang dimulakan oleh pemimpin-pemimpin puak. Sangat mengkagumkan melihat persembahan seni tangan kosong yang dimulai oleh Sang Harimau Garang atau Tok Harimau. Teknik yang dipersembahkan sangat menggerunkan. Selepas itu, anak muridnya memberikan Sundang Harimau kepada Tok Harimau. Dari tangan kosong, Tok Harimau bergerak pantas dengan sundangnya. Setiap orang yang berada di situ bertepuk tangan dan bulu roma mereka terasa meremang melihat kepantasan pergerakan dan teknik sundang yang ditunjukkan oleh Tok Harimau. Persembahan Tok Harimau berakhir selepas teknik senjata itu.

Selepas Tok Harimau, tiba giliran Puak Helang. Sang Helang Melayang atau dipanggil Tok Lang, melangkah gagah di atas gelanggang. Selepas memberi sembah hormat, Tok Lang mula membuka langkah tarinya. Tok Lang mula bertari silat. Geraknya sering terlihat melompat dan seakan-akan terbang menyerang musuh.  Selepas persembahan tangan kosong, anak-anak murid Puak Helang menyerahkan sejenis senjata yang agak pelik. Sejenis rantai berkuku helang yang buat pertama kalinya dipersembahkan oleh Tok Lang begitu menakjubkan. Senjata itu seperti dikawal dari jarak jauh dan boleh juga digunakan dari jarak dekat. Tok Lang akan memakai kuku besi helang itu yang kadangkala seperti sarung tangan berbulu helang. Rantai yang meliliti sarung tangan itu kemudiannya dililit di pinggang dan mudah disambungkan untuk menjadi senjata berbeza. Tiba-tiba, seorang dari anak muridnya melemparkan seketul batu yang agak besar ke arah gurunya.

Tok Lang segera melompat dan dengan sarung tangan berkuku besi itu ia mencengkam batu yang dilemparkan sehingga hancur berkecai. Satu kekuatan zahir yang disertai dengan kekuatan tenaga batin. Pemimpin-pemimpin puak yang lain hanya tersenyum melihat kekuatan yang ditunjukkan oleh Tok Lang itu. Selepas persembahan Tok Lang, Sang Gajah Gagah pula melangkah. Setiap derapan langkah kakinya membuatkan tanah di sekeliling bergegar. Walaupun berbadan besar, Tok Gajah Gagah mula mempersembahkan tari silatnya. Tari silat Tok Gajah Gagah amat berbeza dengan persembahan dua guru sebelumnya. Ini kerana setiap langkah kakinya disertakan dengan hentakan kaki. Selepas persembahan bertenaga itu, anak murid Tok Gajah Gagah memberikannya sejenis senjata seperti gading besar. Namun ia bukan gading biasa kerana ia diperbuat daripada besi.  Tok Gajah Gagah mula menunjukkan kehebatan seni senjatanya. Gading Besi itu ada dua jenis yang berbeza. Tok Gajah Gagah mula menunjukkan seni perang Gading Besi itu. Diputar-putarkan sehingga ia menghasilkan putaran angin yang begitu kuat.

Gading Besi itu juga boleh dicantumkan menjadi satu senjata. Apabila disambungkan, ia menjadi senjata yang berbeza. Ia kelihatan seperti sabit besi berkilauan keemas-emasan. Para penonton bertepuk tangan melihat kehebatan Tok Gajah Gagah.  Kini tiba giliran Sang Serigala Lincah. Walaupun bertubuh kecil, Tok Serigala sememangnya seorang yang lincah dan amat sesuai dengan gelaran yang diberi. Tari silatnya yang dipersembahkan ibarat sekawan serigala menyerang mangsanya. Di mana-mana sahaja dia melangkah terlihat Tok Serigala bukan seorang, tapi ada tiga bayangan yang berbeza. Pakaian samarannya berwarna kelabu, terkadang kelihatan berwarna hitam dan terkadang terlihat berwarna coklat. Ia begitu mengelirukan pandangan oleh kerana kelincahan Tok Serigala. Senjata yang dipakainya juga pelbagai jenis, dari yang kecil sehingga yang panjang seperti lembing. Semua dipertontonkan dengan begitu pantas.

"Tuan guru, ternyata anak-anak murid tuan guru begitu hebat dan handal. Entah mengapa, badan beta ini mula gatal-gatal. Bolehkah beta turut serta dalam persembahan ini nanti?" Kata-kata Maharaja Segumpal Satria mengejutkan Mahaguru Naga Emas.

 "Jika itu yang paduka tuanku mahukan, patik tidak akan menghalang. Tapi tunggu selepas persembahan yang ini," kata Mahaguru Naga Emas sambil menunjukkan kepada Sang Seladang Gempita atau Tok Seladang yang sedang bersiap sedia.

"Baik, beta akan tunggu".

Sang Seladang Gempita atau Tok Seladang pula mengambil giliran. Tubuhnya yang tegap dan gagah, tinggi dan besar namun berbeza dengan tubuh Tok Gajah Gagah. Tok Seladang memulakan persembahan tarinya. Mahaguru Naga Emas mula memerhatikan anak muridnya yang terakhir ini. Ternyata segala ilmu yang diperturunkan telah dipersembahkan tanpa cacat cela. Malah, ada juga seni tari silat yang ditunjukkan oleh Tok Seladang dan anak-anak murid yang lain tidak pernah diajar oleh Mahaguru Naga Emas. Namun begitu, Mahaguru Naga Emas tidak pernah memarahi mereka yang mengubah dengan menambah pergerakan yang berbeza.  Ilmu yang dipelajari oleh Mahaguru Naga Emas dari Mahaguru Tanpa Nama juga telah mengalami perubahan sesuai dengan diri dan keadaan persekitaran. Malah, Mahaguru Naga Emas juga ada belajar seni silat yang lain dengan guru yang berlainan. Tiada halangan buat Mahaguru Tanpa Nama, malah dia amat menggalakkannya. Sama jua kaedah pengajaran dari Mahaguru Naga Emas. Persembahan Tok Seladang begitu menggerunkan. Dia juga ada memakai sejenis senjata yang diletakkan di bahagian kepalanya. Dengan satu tandukan di kepala, sebatang pokok tumbang menyembah bumi. Nasib baik tiada sesiapa berhampiran pokok itu.

"Persembahan rasmi sudah dimulakan. Pertandingan dan pertarungan akan bersambung selepas Maharaja Segumpal Satria mempersembahkan tari perangnya," kata Mahaguru Naga Emas sambil mempersilakan Maharaja Segumpal Satria ke tengah gelanggang.

"Terima kasih, tuan guru. Terima kasih buat semua. Beta minta tunjuk ajar dari guru-guru sekalian," kata Maharaja Segumpal Satria sambil memberikan pakaian luarnya yang mewah itu kepada panglimanya. Lebih selesa dan mudah buatnya bergerak. Maharaja Segumpal Satria terus melangkah ke tengah gelanggang.

Bunyi gendang kembali bergema, mengiringi persembahan tari silat dari Maharaja Segumpal Satria. Tidak sedikit pun ada tanda-tanda kepenatan walau telah bermain sejak persembahan pertama lagi. Maharaja Segumpal Satria membuka langkahnya. Jari jemarinya mula bergerak, tangannya mula berputar lembut namun kelihatan cantik dan tegap. Dari perlahan, pergerakan Maharaja Segumpal Satria semakin pantas. Maharaja Segumpal Satria seperti Gunung Segumpal, kelihatan tegap dan gagah dan tak mudah ditumbangkan. Maharaja Segumpal Satria mula melompat dan menunjukkan ketangkasan kakinya. Mahaguru Naga Emas juga mula terasa ingin ke tengah gelanggang. Tanpa disedarinya, kakinya telah mula melangkah. Persembahan Maharaja Segumpal Satria terhenti seketika, lalu Mahaguru Naga Emas segera meminta keampunan kerana mengganggu.

"Patik ingin sekali meminta tunjuk ajar dari paduka tuanku. Ilmu tuanku memang luarbiasa dan menarik perhatian patik. Ampun tuanku," sembah Mahaguru Naga Emas kepada Maharaja Segumpal Satria.

"Dipersilakan, tuan guru".

Mahaguru Naga Emas pun berdiri di tengah gelanggang. Matanya dipejamkan dan memandang ke bawah.  Tiba-tiba, gendang perang kembali bergema. Mahaguru Naga Emas menarik nafas yang panjang dan kemudian mula menunjukkan seni tari Sang Naga. Kelembutan diselang selikan dengan keras, itulah keistimewaan keilmuan Sang Naga. Selepas persembahan yang mengkagumkan para penonton, tiba-tiba sahaja Mahaguru Naga Emas menyerang Maharaja Segumpal Satria. Walaupun agak terkejut, Maharaja Segumpal Satria yang masih muda itu begitu tenang. Dia segera mengarahkan para panglima tidak masuk campur dan dalam masa yang sama setiap serangan Mahaguru Naga Emas dihadapi dengan cara berhadapan. Setiap cakaran sang naga hanya mengenai ilmu perisai Maharaja Segumpal Satria yang diibaratkan seperti gunung yang kukuh dan megah. Namun begitu, Maharaja Segumpal Satria tidak hanya menunggu serangan itu. Makin lama, serangan Mahaguru Naga Emas itu bisa menembusi ilmu perisainya. Maharaja Segumpal Satria segera menyerang balas.

Jika dilihat pada mata kasar, pertarungan hebat itu seperti hanya persembahan silat sahaja yang tidak mengenai mana-mana jasad sesiapapun antara mereka berdua. Namun begitu, dengan ilmu kebatinan pada tahap tertinggi, keadaannya amat berbeza. Kelima-lima guru dari lima puak dapat melihat pertarungan zahir dan batin itu. Mahaguru Naga Emas dan Maharaja Segumpal Satria saling serang menyerang. Tidak terlihat seorang pun yang bertahan. Hanya mengelak dan menyerang balas dengan sepenuh kepantasan.

"Alangkah bertuahnya kita dapat melihat pertarungan yang hebat ini," kata Tok Harimau kepada keempat-empat rakan seperguruannya. Mereka berempat menganggukkan kepala, mengakui akan hakikat yang terlihat di depan mata.

Walaupun masih muda, ternyata ilmu Maharaja Segumpal Satria hampir setanding Mahaguru Naga Emas. Oleh kerana tubuh yang semakin tua, Mahaguru Naga Emas tidak lagi dapat bergerak selincah dahulu. Namun begitu, Maharaja Segumpal Satria masih belum mampu menewaskan Mahaguru Naga Emas. Pertarungan mereka akhirnya berakhir apabila kedua-duanya berundur beberapa langkah ke belakang selepas telapak tangan mereka bertembung antara satu sama lain. Berpeluh jua Maharaja Segumpal Satria, menyaksikan kekalahannya di tangan Mahaguru Naga Emas. Namun begitu, demi mengambil hati dan menjaga air muka sang maharaja, Mahaguru Naga Emas sengaja berundur beberapa langkah lagi. Hadirin semuanya bertepuk tangan. Mereka menyangkakan Maharaja Segumpal Satria telah menewaskan Mahaguru Naga Emas. Namun hakikat sebenar hanya diketahui oleh beberapa orang guru yang berada di situ.

"Ayahanda guru masih handal dan bertenaga," bisik Maharaja Segumpal Satria kepada Mahaguru Naga Emas. Dia amat mengetahui akan jalur keturunan Mahaguru Naga Emas itu yang berkait jua dengan keturunan diraja Segumpal. Walaupun layak bergelar ninda, namun demi penghormatan tertinggi, Maharaja Segumpal Satria memanggilnya dengan gelaran ayahanda.

"Paduka tuanku juga tidak kurang hebatnya. Marilah kita beristirehat terlebih dahulu sebelum menonton sambungan pertandingan seterusnya," pelawa Mahaguru Naga Emas ke bahagian makanan dan minuman.

Selepas jamuan makanan dan minuman itu, pertandingan mula bersambung. Kali ini tiba giliran anak-anak murid dari lima puak mengambil bahagian. Pertarungan kini bermula antara mereka. Matlamat pertandingan adalah jelas dan tanpa melibatkan sebarang kematian. Hanya pertarungan tangan kosong dan tanpa pertarungan senjata. Kesemua mereka bertarung bersungguh-sungguh demi puak yang diwakili mereka. Pada pusingan pertama, puak Harimau menentang puak Serigala. Pada pusingan pertama, peserta yang beraksi secara solo dari puak Harimau telah berjaya menumpaskan peserta puak Serigala. Masuk pula srikandi di pusingan kedua. Kali ini pertarungan keduanya amat sengit, namun srikandi dari puak serigala berjaya mengunci pergerakan srikandi puak harimau. Srikandi puak harimau tidak mampu melepaskan diri dan mengaku kalah. Maka, kedudukan kini berakhir dengan seri satu sama.

Pusingan ketiga adalah pusingan penentuan. Pusingan kali ini lebih kepada acara pertarungan yang melibatkan dua orang dalam satu pasukan. Anak harimau pertama kelihatan kecil dan menentang anak serigala yang hampir sama sahaja tubuh fizikalnya. Pertarungan tempur tangan kosong mereka setanding, namun anak serigala lebih lincah dan banyak tipu helah. Segera ia digantikan dengan anak harimau berbadan tegap dan gagah. Anak harimau ini membuka langkahnya. Ternyata gerak langkahnya menggerunkan anak serigala yang pertama tadi. Namun begitu, dia terus menyerang dengan kepantasan dan kelincahannya. Dicuba banyak tipu helah dan acahan serangan, namun semuanya dapat dibaca dengan mudah oleh anak harimau. Dalam satu tendangan padu yang tepat mengenai muka, akhirnya anak serigala itu telah tewas di tangan anak harimau kedua. Masuk pula anak serigala kedua, kali ini dia lebih tenang dan tidak terburu-buru. Dia berpusing-pusing dan cuba mencari kelemahan anak harimau, namun dia masih belum dapat menyerang.

Anak harimau tidak dapat bersabar lagi. Dia terus menerkam anak serigala yang terlihat tidak bersedia mempertahankan diri. Namun begitu, anak serigala berjaya mengelak serangan tersebut yang sangat ganas dan menggerunkan. Pada saat itu juga, anak serigala segera menyerang balas sehingga belakang badannya terkena cakaran. Anak harimau yang kesakitan mula meraung dan mengaum. Dalam satu serangan hamburan harimau, anak serigala tak dapat mengelak lagi. Dia terpaksa menerima serangan anak harimau secara berdepan. Kekuatan anak harimau di luar jangkaan sehingga anak serigala terpelanting jauh. Anak serigala yang tertewas hampir sahaja menghentam seketul batu besar. Namun dia sempat diselamatkan oleh anak harimau yang bertarung dengannya tadi. Anak harimau berjaya menyelamatkan anak serigala daripada terkena batu yang besar dan keras itu. Pertarungan ini bukan pertarungan berdarah sampai mati, namun kecederaan sememangnya tidak dapat dielakkan.

Kedua-dua petarung saling bersalaman sebagai salah satu semangat setiakawan. Kemenangan akhirnya memihak kepada puak harimau. Tok Serigala akur dengan kekalahan tersebut, namun dia masih punya peluang dalam pertarungan sesama mereka nanti. Pertarungan diteruskan dengan anak-anak gajah bertemu anak-anak seladang. Kedua-dua puak ini sama kuat dan sama gagah, namun keputusan akhirnya memihak kepada puak gajah. Puak helang pula akan bertemu dengan dua puak yang kalah sebelum ini iaitu puak serigala. Puak helang bertarung begitu hebat, mengambil kesempatan atas kekalahan yang dialami oleh puak serigala.

Mereka akhirnya berjaya menewaskan puak serigala tanpa sebarang kekalahan. Sementara itu, puak harimau pula menentang puak seladang. Pertempuran sengit berlaku di mana anak seladang berjaya memenangi pusingan pertama. Anak harimau kembali bangkit di pusingan kedua dan begitu juga di pusingan ketiga. Pusingan akhir adalah perlawanan di antara puak harimau dan puak helang. Dua puak ini adalah puak yang paling handal dan tandingan sejak zaman berzaman. Begitu juga dengan guru mereka, sering bersaing di peringkat akhir dalam pertandingan terdahulu. Apakah yang akan berlaku dalam pertandingan itu? Bagaimana pula keadaan mereka yang sedang berkawal di kaki Gunung Segumpal? Apakah firasat Mahaguru Naga Emas itu benar-benar akan terjadi?

Bersambung…

Karya : MS MALAWI

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.