Thursday, April 01, 2021

5 Puak (Episod 9 : Pertempuran Di Istana Kencana)

PANGLIMA Besar bersama-sama anak buahnya mula menyerang dengan senjata-senjata mereka. Setiap daripada askar-askar itu semuanya menutupi wajah mereka dengan kain hitam bagi mengelakkan mereka terbau racun berbisa yang ada pada tubuh anggota Puak Bisa. Namun begitu, amat sukar menentang pahlawan dari Puak Bisa yang seperti mayat hidup itu. Beberapa kali ditikam tepat ke jantung, mereka akan bangkit semula. Hanya setelah kepala bercerai dari badan, barulah tiada lagi penentangan. Setiap kali pahlawan Puak Bisa mati dibunuh, kawasan pertempuran akan dipenuhi dengan asap beracun. Terbentuk kabus yang tebal sehingga mengganggu pandangan mata pahlawan dari Indera Kencana. Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Puak Bisa yang tidak terjejas oleh kabus tersebut. Mereka kebal daripada asap beracun itu kerana diri mereka sendiri penuh beracun.

Panglima Pemanah semakin kurang sabar. Disalurkan Jurus Naga ke anak-anak panah, lalu dibidik ke arah musuh. Tiga batang anak panah sekaligus terus menerjah bersama aura naga lalu menembusi enam orang musuhnya. Melihatkan kehebatan Panglima Pemanah, Gagak Pemarah sebagai antara panglima Puak Bisa semakin berang. Lalu dia terus menyerbu ke arah Panglima Pemanah dengan senjatanya. Panglima Pemanah tidak sempat menarik anak panah, lalu terpaksa bertempur secara bersemuka dengan Gagak Pemarah. Panglima Pemanah juga bukan sebarangan orang. Dilahirkan sebagai kerabat diraja Indera Kencana, Jurus Naga walaupun tidak sehebat Jurus Cakar Naga mampu membunuh musuhnya. Gagak Pemarah dan Panglima Pemanah sama hebat dan sama handal. Pertembungan pertama boleh dikatakan seimbang kedua-duanya.

Panglima-panglima Puak Bisa yang lain terus menyerbu ke arah musuh mereka. Ular Bisa dan Lipan Bisa yang masih belum sembuh sepenuhnya turut dikerah dalam penyerbuan itu. Ular Bisa mengeluarkan Sumpitan Bisa lalu menyumpit ke arah pahlawan-pahlawan Indera Kencana. Beberapa orang pahlawan tidak sempat mengelak lalu gugur syahid. Melihat keadaan itu, Panglima Kecil segera menyerang Ular Bisa. Ular Bisa mula kelam kabut diserang sedemikian rupa. Tendangan yang dilepaskan bersama aura Jurus Naga begitu menggerunkan. Ular Bisa terpaksa mengelak dengan kepantasan luarbiasa yang dimilikinya. Dia segera melepaskan Sumpitan Bisa dan menyerang balas dengan Jurus Ular Menari. Pergerakannya begitu lembut namun mampu membelit musuh seperti seekor ular. Panglima Kecil terpaksa mengelak serangannya kerana racun hitam yang dilepaskan oleh Ular Bisa mampu menghakis kulit dan dagingnya. Kesakitan mula terasa kerana beberapa serangan Ular Bisa telah tepat mengenai kaki Panglima Kecil. Dia segera membuang bisa beracun itu dengan tenaga dalamnya. Rupa-rupanya beberapa jarum bisa telah menusuk ke dalam kulit Panglima Kecil.

Lipan Bisa turut sama membantu menyerang Panglima Kecil. Namun begitu, tiba-tiba sahaja muncul seorang lelaki berbadan agak gempal dan tinggi. Lelaki itu adalah Panglima Gemuk. Dengan senjata berbentuk seperti belantan berduri, ia mampu memecahkan kepala musuh. Lipan Bisa terperanjat dengan kemunculan Panglima Gemuk itu. Ternyata masih ramai panglima-panglima Indera Kencana yang belum menampakkan diri mereka. Lipan Bisa terpaksa mengelak serangan berat dari Panglima Gemuk itu, namun tiba-tiba muncul seorang lelaki yang agak kurus dari belakang Panglima Gemuk.  Lelaki berbadan kurus itu digelar Panglima Kurus. Panglima Kurus ini begitu lincah dan pantas. Dia menggunakan senjata lembing serampang tiga lalu menyerang dengan pantas. Kesemua panglima-panglima ini memiliki ilmu Jurus Naga, menunjukkan mereka adalah dari kerabat diraja Istana Kencana. Lipan Bisa mula kelam kabut. Gabungan serangan kedua-dua panglima itu sangat serasi dan kemas. Mereka berdua saling melengkapi antara satu sama lain.

Namun begitu tiba-tiba muncul Kelawar Gelap, salah seorang panglima Puak Bisa yang agak misteri. Dengan pakaian serba hitam, wajahnya juga tidak kelihatan. Hanya matanya sahaja yang dapat dilihat. Mengambil peluang atas kabus yang menguasai keadaan, dia menyerang Panglima Gemuk. Kini keadaan mereka berubah. Kelawar Gelap dengan senjata Kuku dan Taring Bisa menyerang Panglima Gemuk dengan pantas. Dia menyerang dan berundur dengan pantas di saat Panglima Gemuk menghayun belantan berduri. Kelincahannya amat luar biasa dan dia mampu melompat terbang di atas Panglima Gemuk. Tok Bisa dan Nek Bisa dengan dipimpin oleh Indera Samara bergegas masuk ke dalam istana. Mereka mesti menewaskan Maharaja Indera Perkasa dan seterusnya menakluk Indera Kencana. Semasa menaiki tangga ke tingkat atas, mereka terpaksa berhadapan rintangan dan serangan dari panglima dan pengawal-pengawal.

Namun begitu, tiada antara pengawal dan panglima yang mampu menyekat mereka. Tiba-tiba muncul tiga orang lelaki lengkap dengan pedang. Mereka bertiga ini digelar Panglima Pedang Bertiga. Kehebatan mereka bertiga tiada taranya. Ketiga-tiga mereka juga kerabat diraja Indera Kencana. Ketiga-tiga mereka terus menyerang dengan berani ke arah Indera Samara dan orang-orangnya. Indera Samara melompat ke atas bersama pedangnya. Ternyata Indera Samara memang hebat dengan gabungan pedang dan Jurus Cakar Naga. Jurus Cakar Naga adalah peringkat tertinggi dalam ilmu Jurus Naga. Oleh kerana itu, ketiga-tiga panglima pedang telah terpelanting ke belakang. Kala Menyengat mengambil alih dan menyerang ketiga-tiga panglima tersebut. Namun begitu, ketiga-tiga mereka segera bangkit bertahan dan kemudian menyerang balas. Oleh kerana itu, Nek Bisa terpaksa datang membantu. Dengan Seruling Bisanya, dia cuba menyerang sendi-sendi panglima pedang.

Kini tinggal Indera Samara dan Tok Bisa. Mereka berdua maju ke tingkat paling atas yang menempatkan balairong seri dan kamar Maharaja. Di saat pintu dibuka, Maharaja Indera Perkasa sudah menunggu ketibaan mereka bersama Panglima Bayang. Demi melindungi Maharaja Indera Perkasa, Panglima Bayang tidak teragak-agak lagi lalu terus menyerang. Tok Bisa segera menyekat mereka dengan tongkat beracun. Namun begitu, Tok Bisa telah memandang rendah kehebatan Panglima Bayang. Kedua-dua mereka walaupun masih muda, namun berpengalaman luas dalam pertempuran. Pahlawan Bayang bijak mempelbagaikan serangan sehingga Tok Bisa sendiri mulai keliru. Lalu dihembuskan asap berbisa bagi menyekat pergerakan kedua-dua lawannya itu. Namun begitu, Pahlawan Bayang sudah belajar dari pertemuan mereka dengan anak murid Tok Bisa. Mereka segera mengibas asap beracun itu dengan senjata seperti sebuah kipas.

Di samping menggunakan kipas, mereka juga menyerang Tok Bisa dengan senjata-senjata kecil. Di dalam keadaan yang kelam akibat asap beracun itu, mereka terpaksa menggunakan kaedah serangan jarak jauh. Tok Bisa mula kelam kabut akibat serangan tersebut. "Kanda, berikan sahaja takhta maharaja itu kepadaku," Indera Samara kini berhadapan kekandanya iaitu Maharaja Indera Perkasa. Sebilah pedang ditujukan bilahnya ke arah Maharaja Indera Perkasa, tanda sebagai cabaran dengan niat membunuh. "Telah aku berikan takhta ini kepadamu dahulu, namun mengapa kau masih ingin membunuhku? Bukankah lebih baik kita berdamai sahaja dan jangan melibatkan nyawa mereka yang tidak bersalah. Kesalahan kau amat besar, sudah ramai terkorban kerana sikap tamak kau itu. Kini, kau berpakat dengan Puak Bisa yang sememangnya berdendam dengan kita dan amat jahat perilakunya," Maharaja Indera Perkasa seorang lelaki yang boleh diajak berbincang, namun tidak akan berkompromi dengan kuasa jahat yang cuba merosakkan keamanan dan kedamaian Indera Kencana.

"Ah, terimalah serangan aku ini," Indera Samara tidak mahu terus bertikam lidah. Dia terus menyerang Maharaja Indera Perkasa dengan Jurus Cakar Naga. Maharaja Indera Perkasa yang duduk di atas takhta singgahsana penuh bergaya, menanggalkan kain mantel dan melompat tinggi. Jurus Cakar Naga menentang Jurus Cakar Naga. Keadaan di dalam balairong seri itu amat menggemparkan bukan sahaja di dalamnya malah di luar istana. Gambaran dua ekor naga saling menggigit antara satu sama lain mula kelihatan. Kedua-dua mereka sama hebat dan sama handal, namun begitu Indera Samara penuh dengan niat membunuh. Keadaan itu telah meningkatkan kuasa Jurus Cakar Naga. Maharaja Indera Perkasa masih siuman dan tidak menggunakan kekuatan sepenuhnya. Apakah dia sanggup membunuh saudara kandungnya itu? Sudah tentu tidak memandangkan takhta kerajaan Indera Kencana juga sedia dilepaskan. Namun begitu, Puak Bisa mesti dihapuskan dengan segera.

Momentum dari pertembungan telapak tangan mereka berdua digunakan sebaiknya oleh Maharaja Indera Perkasa untuk berganjak ke belakang Tok Bisa. Dia mahu membunuh Tok Bisa dengan segera lalu kekuatannya segera dipertingkatkan. Dengan niat membunuh, Maharaja Indera Perkasa semakin menggerunkan Tok Bisa. Sementara itu, Indera Samara yang terpelanting ke belakang juga cuba menyelamatkan rakan subahatnya iaitu Tok Bisa. Akan tetapi, Pahlawan Bayang muncul menghalang. "Ke tepi wahai dinda berdua jika tidak ingin mati". Tok Bisa semakin kelam kabut dengan serangan Maharaja Indera Perkasa. Namun begitu, tiba-tiba sahaja muncul Indera Samara yang datang membantu. Kedua-duanya bertembung dengan Maharaja Indera Perkasa yang semakin pantas dan kuat. Ternyata kekuatan Maharaja Indera Perkasa melebihi jangkaan Indera Samara. Hanya kerana sebelumnya Maharaja Indera Perkasa tidak bertarung sepenuh hati, kehebatannya tidak dapat disaksikan oleh mata Indera Samara.

Pahlawan Bayang telah berlumuran darah. Ternyata kekuatan mereka masih belum mampu mengatasi Indera Samara. Mereka cuba bangun, namun sebelah kaki mereka seakan tersekat. Ilmu Kunci Naga telah memaku kaki mereka berdua, lalu apa caranya bagi melepaskan diri. Kedua-duanya segera mempertingkatkan tenaga dalam mereka dengan sebelah telapak tangan mereka berdua saling bertembung antara satu sama lain. Indera Sakti lebih kuat dan gagah dari Indera Wira. Oleh itu, pertembungan kedua-dua telapak tangan mereka saling menyeimbangkan kedua-dua tenaga dalam. Perlahan-lahan ilmu Kunci Naga berjaya dibuka. Mereka kini mampu bergerak semula. Dari kejauhan, mereka dapat melihat kehebatan Maharaja Indera Perkasa. Namun begitu, Indera Samara penuh berhelah. Dia sedang mencari ikhtiar bagi memerangkap Maharaja Indera Perkasa. Dibiarkan Tok Bisa bergelut dengan Maharaja Indera Perkasa sementara dirinya sedang mengikhtiarkan sesuatu yang lebih hebat.

Indera Sakti dan Indera Wira sebagai Pahlawan Bayang yang ditugaskan melindungi Maharaja Indera Perkasa masih belum mampu bergerak. Oleh kerana itu, mereka segera melemparkan senjata-senjata kecil ke arah Indera Samara. Namun begitu, semua serangan itu seperti hanya mengenai dinding yang teguh. Indera Samara segera mengaktifkan Jaring Naga bagi menangkap Maharaja Indera Perkasa. Bersama ilmu bisa yang dipelajari, Jaring Naga tidak boleh dipandang enteng. Indera Samara menanti peluang keemasan sebelum menggunakan Jaring Naga Berbisa ke atas Maharaja Indera Perkasa. Di saat pertembungan dua kuasa dan kekuatan antara Maharaja Indera Perkasa semakin memuncak, kedua-dua petarung itu telah terpelanting ke belakang. Pada saat itu, Maharaja Indera Perkasa telah berundur ke arah Indera Samara. Peluang itu digunakan sepenuhnya oleh Indera Samara bagi memerangkap kekandanya itu.

Tok Bisa terbaring di atas lantai dan tidak mampu bergerak lagi. Mulut dan hidungnya mulai berlumuran darah. Akhirnya Tok Bisa tidak sedarkan diri lagi. Di saat Maharaja Indera Perkasa telah terperangkap dalam Jaring Naga Berbisa, dia juga sebenarnya telah mengalami kecederaan. Oleh kerana itu, Maharaja Indera Perkasa tidak mampu mengoyakkan Jaring Naga Berbisa itu dengan segera. Pahlawan Bayang terpaksa juga bergerak dan meluncur ke arah Indera Samara. Maharaja Indera Perkasa mesti dilindungi dan diselamatkan. Dengan paduan Jurus Naga Kembar, mereka cuba mengoyakkan Jaring Naga Berbisa. Serangan seumpama itu adalah serangan kekuatan sepenuhnya. Serangan itu menyamai kekuatan Indera Samara, namun oleh kerana dia sendiri juga telah mengalami kecederaan, Indera Samara telah terpelanting ke belakang dan Jaring Naga Berbisa telah berjaya dihancurkan.

Demi menyelamatkan Maharaja Indera Perkasa, Pahlawan Bayang segera memecahkan tingkap istana dan melarikan Maharaja Indera Perkasa. Mereka berdua meluncur laju dari Istana Kencana dengan Indera Sakti memeluk tubuh Maharaja Indera Perkasa yang telah terkena racun.  Akhirnya Istana Kencana telah dapat ditawan oleh Indera Samara dengan bantuan Puak Bisa. Apakah yang akan berlaku di kemudian hari? Apakah nasib rakyat Indera Kencana di saat pemerintahan telah bertukar tangan? Apakah janji-janji Indera Samara akan dikotakan?

Bersambung…

Karya : MS MALAWI

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata 

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.