Thursday, June 09, 2011

22 Pelakon Filem Aksi Beladiri Lelaki (Bahagian 2)

Filem Seni Beladiri melibatkan pertarungan identiti, fizikal, taktikal, kreatif dan falsafah, bukan sekadar membuatnya sekadar seperti 'melepaskan batuk ditangga' sahaja... tanpa rujukan dan maruah...
BULAN Jun ini memang antara bulan sibuk bagi saya, terlibat dalam dua produksi filem tamil dari India, namun hobi menulis tetap diteruskan disebalik kesuntukan masa. Artikel ini merupakan sambungan hasil dari keluaran yang lepas pada bahagian pertama 22 pelakon lelaki filem aksi seni bela diri. Pada keluaran yang lepas, nama-nama seperti Lau Kar Leung, Bruce Lee, Gordon Liu, Chuck Norris dan Jackie Chan mendahului senarai pelakon filem seni bela diri yang tersohor. Pada keluaran ini, lima lagi lagenda filem aksi seni bela diri dipaparkan buat tatapan umum. Di harap kemunculan siri artikel ini akan memberi anda penambahan informasi berkenaan dengan dunia filem aksi seni beladiri.

1# YANG SZE a.k.a BOLO YEUNG
Bolo...sering diberi peranan watak jahat dalam filem seni beladiri. Namun begitu, Bolo sering berjaya dengan tugasan yang diberi dengan pakej raut wajah yang bengis, fizikal tegap dan kemahiran beladirinya...
Di lahirkan pada 3 Julai 1946 di Guangzhou, China, merupakan ahli seni bela diri dan ahli bina badan yang kompetitif. Memulakan kariernya sebagai pelakon secara aktif pada tahun 1970 sehingga 2008. Sering membintang filem aksi seni beladiri sebaagai watak jahat kerana wajah penampilannya yang bengis. Beliau tidak setampan seperti Bruce Lee pada ketika itu, namun belaiu memiliki keunikan dari segi bentuk fizikal yang gempal, berotot dan sasa.

Oleh kerana keunikan itu, beliau terpilih dalam filem aksi Bruce Lee, Enter the Dragon yang menjadi batu loncatan untuknya mencipta nama selepas Bruce Lee. Pelbagai gelaran diberikan padanya seperti Hercules atau World Strongest Man. Filem lakonannya yang menjadi ingatan buat peminat adalah filem Holywood yang turut dibintangi oleh Jean Claude Van Damme iaitu Bloodsport. Bolo juga pernah berlakon memegang beberapa watak hero dalam filem seperti Shootfighting tetapi kurang Berjaya kerana kebanyakkan filem-filem tersebut bertaraf B-Movies.

2# HUNG KAM PO @ HONG JINBAO a.k.a SAMMO HUNG
Tidak Kacak, Fizikal Gemuk tetapi memiliki pasaran di Hollywood kerana kepakaran dalam ilmu seni beladiri mengangkat Sammo Hung setaraf dengan Bruce Lee, Jackie Chan, Jet Li dan Donnie Yen...
Sammo Hung atau nama tradisionalnya dalam bahasa mandarin Hong Jinbao atau Hung Kam Po semasa kelahirannya, dilahirkan pada 7 Januari 1952 di Hong Kong. Namun begitu, ahli keluarganya berasal dari daerah Ningbao, Zhengjiang, China. Merupakan seorang pelakon aksi, ahli seni bela diri, pengarah aksi, koreografer, penerbit dan penulis skrip. Beliau memulakan karier dalam industri filem pada tahun 1961 sehingga sekarang, masih lagi aktif serta merupakan antara ikon filem seni bela diri antarabangsa. Untuk makluman, walaupun rupanya tidak semenarik hero-hero filem aksi seni bela diri, beliau juga turut diberi peranan sama seperti Bolo Yeung.

Antara filem-filem lakonannya yang berjaya seperti Project A, Wheel on Meals, Dragon Forever, walaupun bergandingan bersama Jackie Chan dan Yuen Biao. Lakonan secara solo sebagai hero yang Berjaya adalah siri Tv seperti Martial Law keluaran Hollywood. Sammo Hung membuktikan paras rupa dan fizikal bukan ukuran untuk Berjaya tetapi bakat dan kemahiran yang menentukan. Sammo sama seperti Jackie Chan yang mereka berdua turut merasa buah tangan Bruce Lee. Jackie terdahulu menerima tendangan Bruce Lee dalam Fist of Fury, manakala Sammo dibelasah Bruce Lee dalam Enter of Dragon.

3# JYUN BIU@YUAN BIAO a.k.a YUEN BIAO
Merupakan 'fighter' seangkatan Jackie Chan dan Sammo Hung yang berjaya diarena perfileman. Ketangkasannya setaraf Jackie Chan dan Kekuatannya menyamai Sammo Hung...
Yuen Biao adalah nama yang akan kita dapat lihat pada skrin dalam filem lakonan beliau. Namun begitu, Yuen Biao ini memiliki pelbagai nama panggilan mengikut loghat bahasa kaum cina. Dalam bahasa mandarin berbunyi Yuán Biāo dan dalam bahsa kantonis berbunyi Jyun Biu. Dilahirkan pada 26 Julai 1957, di Castle Peak Road, Hong Kong. Merupakan seorang ahli seni bela diri, pelakon dan speacialises dalam akrobatik dan seni bela diri cina. Memulakan karier dalam industri perfileman Hong Kong pada tahun 1962 dan berpengalaman luas dalam pembikinan filem aksi seni bela diri lebih 80 buah sebagai pelakon, koreografer aksi dan pelagak ngeri.

Sebelum menceburi dunia perfileman, Yuen Biao mengasah bakat diri di Sekolah Opera Peking. Pada masa yang sama ramai yang tidak tahu, bahawa Jackie Chan dan Sammo Hung adalah rakan persekolahannya di Akademi Drama China serta dianggap ‘saudara’ di Sekolah Opera Peking. Mereka bertiga juga merupakan pelajar yang paling cemerlang di sekolah sehingga mendapat jolokan Seven Little Fortune.

4# BENNY URQUIDEZ a.k.a BENNY ‘THE JET’ URQUIDEZ
Benny The Jet... Menyinar bakatnya dilayar perak kerana aksi pertarungan ketika menentang Jackie Chan dalam filem Wheel on Meals dan Dragon Forever.
Benny Urquidez dilahirkan pada 20 Jun 1952, merupakan seorang ahli seni bela diri, koreografer dan pelakon. Mendapat jolokan ‘the jet’ kerana kehebatan dan kepantasan serangannya ketika aktif dalam pertandingan karate full-contact. Untuk makluman, Benny merupakan Juara Dunia sebanyak enam kali dalam sukan lasak ini dalam lima kelas berbeza dari tahun 1974. Benny juga mengekalkan gelaran itu selama 27 tahun penglibatannya sebagai fighter! Diantara tahun 1974 dan 1993, Benny merekodkan 67-0-0 dengan 57 keputusan knockout. Oleh kerana kehebatannya itu, majalah popular seni bela diri Amerika, Black Belt menabalkan Urquidez sebagai Fighter of the Year pada tahun 1978.

Ketika namanya sedang hangat di arena pertarungan, Benny meluaskan pengaruh dalam bidang lakonan pula. Benny telah pun membintangi pelbagai filem seni bela diri dan bermula dari Hollywood. Namun, kredibilitinya sebagai pelakon filem seni bela diri lebih terserlah apabila Jackie Chan menawarkan watak buatnya dalam dua filem hebat dan pecah panggung, iaitu Wheel on Meals dan Dragon Forever.

5# JEAN-CLAUDE CAMILLE FRANCOIS VAN VARENBERG a.k.a JEAN CLAUDE VAN DAMME
Beliau berjaya mengalih seketika tumpuan peminat filem seni beladiri kepada industri Hollywood selepas Chuck Norris dengan filem aksi lakonannya seperti No Retreat No Surrender!, Black Eagle, Bloodsport dan Kick-Boxer.
Selepas kejayaan Chuck Norris sebagai pelakon seni beladiri, muncul seorang lagi perwira kulit putih (nat su kaw) yang berjaya dilayar perak menerusi filem seni beladiri. Beliau ialah Jean-Claude Camille Francois Van Varenberg atau lebih dikenali dengan Jean Claude Van Damme (Van Damme). Dilahirkan pada 18 Oktober 1960 di Brussels, Belgium. Merupakan seorang pengamal bela diri, pelakon dan pengarah, yang terbaru filem arahannya ialah JCVD.

Memulakan karier dalam industri perfileman dari tahun 1984 sehingga kini dan semua filem lakonannya berversi filem seni bela diri. Antara filem-filem top belaiu yang mencecah box-office ialah Bloodsport, Kick-Boxer, Cyborg, Universal Soldier dan The Quest. Sepanjang kariernya, Van Damme bermula dengan pelagak ngeri dalam filem Missing in Action (Chuck Norris) sebagai pemandu teksi. Kemudian, beliau sering diberikan peranan watak jahat seperti filem No Retreat No Surrender dan Black Eagle. Selepas itu, barulah Van Damme diberi peranan hero dalam filem seni bela diri kerana kemahirannya.

Setakat ini dahulu bahagian kedua artikel ini yang dapat saya karangkan untuk anda semua. Insya-Allah, kita bertemu kembali nanti dalam bahagian ketiga yang akan saya siarkan dalam masa terdekat tidak lama lagi…

Wassalam!!!

Wednesday, June 01, 2011

Aktiviti Bulan Jun 2011

Kenangan bersama rakan-rakan semasa menjayakan siri empat episod drama Natrah arahan Wan Hasliza (KL Motion) untuk Astro Warna pada awal tahun baru-baru ini.


1] Latihan : Berikut adalah kelas latihan seni silat sendeng saya bagi bulan Jun 2011 di gelanggang AU3 Keramat seperti berikut ; 1hb, 6hb, 8hb, 13hb, 15hb, 20hb, 22hb, 27hb dan 29hb.

2] Latihan : Putra Perdana : Kelas latihan silat sendeng setiap hari selasa atau khamis di gelanggang Putra Perdana, Selangor.

3] Latihan : Wangsa Maju : Kelas Silat Sendeng setiap hari sabtu bertempat di SMK Zon R1, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

4] Penggambaran : 6hb hingga 30hb Jun di sekitar Kuala Lumpur & Putrajaya : Akmal terlibat dalam projek filem tamil dari India Selatan yang dibarisi bintang popular sebagai FIGHT MASTER.

Sunday, May 29, 2011

22 Pelakon Filem Aksi Beladiri Lelaki (Bahagian 1)

Bruce Lee dan Chuck Norris, merupakan ikon dunia seni bela diri yang berjaya mengangkat maruah seni bela diri dalam pembikinan filem serta menimbulkan minat penonton mempelajari dan mendekati ilmu bela diri.

MUKADIMAH
Pejam celik, pejam celik, dalam bulan Mei ni sudah tiga artikel telah Berjaya saya hasilkan berbanding sebelum satu pun susah. Ada nilai dan usaha produktif dari saya, mungkin kerana masa dan keadaan sekeliling yang menyebabkan saya bersemangat sebegini. Dalam dua artikel yang lepas, saya menceritakan informasi, kritikan serta pendapat tentang Filem Aksi Beladiri dan 3 Srikandi Sejati Pelakon Aksi Beladiri, yang mana mungkin atau tidak pernah anda dengar dan lihat aksinya. Pada kali ini saya akan menyajikan barisan pelakon aksi beladiri lelaki seramai 22 orang yang pernah mewarnai dunia perfileman genre aksi seni beladiri. Oleh itu, selamat membaca dan sambil menambah pengetahuan…

KALI ini giliran pelakon aksi beladiri lelaki pula yang mengambil alih arena artikel saya selepas 3 srikandi yang saya tabalkan pelakon aksi beladiri wanita yang hebat. Berbeza pada kali, pelakon aksi beladiri lelaki lebih ramai berbanding wanita dan menyukarkan saya menyusun dan menilai pelakon mana yang dilabelkan hebat sepanjang masa untuk anda semua. Namun begitu, dapat juga saya huraikan dan dijadikan wadah serta sajian buat para pembaca, blogger dan peminat filem aksi beladiri di Malaysia ini. Semoga artikel boleh memacu perjuangan insan seni seperti saya dan membuka minda anda tentang dunia filem seni beladiri. Walaupun begitu, saya terpaksa mengulas secara kasar sahaja artikel kali ini kerana ‘keterhadan’ ruang dan masa. Jika mahu diulas secara teliti bagi 22 ‘wira’ filem ini, saya pasti ianya boleh jadi buku.

Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk menerbitkan artikel berhubung 22 wira filem bela diri ini kepada empat bahagian. Jika saya satukan informasinya dalam satu bab sahaja, pastinya penat untuk anda membaca, hahahaha… Itu belum lagi saya kupas dengan cara terperinci tentang penglibatan, kehidupan dan kejayaan mereka. Sekarang, terimalah informasi barisan pelakon aksi seni beladiri mengikut tahun kemunculannya dalam dunia perfileman. Mari kita mulakan dengan pakar seni bela diri Hong Kong, kalau sebut namanya kemungkinan anda tidak kenal tetapi kalau berdasarkan pada rupa mungkin mukanya ‘familiar’ dalam filem.

1# LAU KAR LEUNG (BAPA FILEM AKSI BELADIRI)

Lau Kar Leung, adalah tokoh dan legenda dalam filem seni beladiri di Hong Kong. Sehingga kini beliau masih mengajar ilmu beladiri, berlakon dan mengarah filem aksi. Gambar di atas antara cebisan filem terbaru arahannya 'Drunken Monkey', dijayakan oleh Wu Jing (kanan)...

Di lahirkan pada 28 Julai 1936, merupakan pelakon aksi, koreografer, pengarah dan pengamal seni beladiri Hong Kong yang pertama dan paling popular dikalangan penggiat filem seni beladiri. Memulakan kerjaya dalam perfileman pada 1953 hingga sekarang. Namun, perjalanan seninya begitu panjang untuk menggapai cita-citanya. Segalanya berubah apabila dia menyertai Shaw Brother Studio pada tahun 1970 sehingga 1980. Antara filem hebat sama ada lakonan atau belakang tabir ialah The 36th Chamber of Shaolin bersama adiknya iaitu Lau Kar Fai (Gordon Liu) dan Drunken Master 2 lakonan hebat Jackie Chan.

Sepanjang pembabitannya dalam filem sejak tahun 1953, Lau Kar Leung telah pun menjadi pengarah filem bagi kesemuanya filem seni bela diri sebanyak 23 buah, selaku pengarah aksi atau koreografer sebanyak 33 buah filem dan selaku pelakon aksi seni bela diri sebanyak 18 buah filem.

2# LEE ZHEN FAN @ LEE JUN FAN a.k.a BRUCE LEE

Bruce Lee, kehebatannya membuka laluan dan pasaran buat penggiat filem aksi seni beladiri Hong Kong ke seluruh dunia.

Beliau digelarkan ‘penggila’ bela diri, fanatik dan genius. Beliau juga merupakan orang pertama dari kalangan pelakon aksi Hong Kong menggegarkan dunia perfileman di Hollywood dan seantero dunia. Beliau juga sememangnya idola saya! Siapa lagi kalau bukan Li Zhen Fan (mandarin) atau Lee Jun Fan (kantonis)… pasti anda tidak mengenalinya dengan nama itu, tetapi pernahkah anda mendengar nama Bruce Lee? Maka itulah nama yang popular baginya sering meniti dibibir peminat atau penggemar filem aksi berbentuk semangat perjuangan serta pertarungan. Bruce Lee, sememangnya mempunyai karisma, perjuangan dan semangat! Tidak mudah mengalah, itulah yang menjadikan unik walaupun sasa tubuhnya yang kecil tetapi berhati waja. Sudah pasti ramai yang tahu walaupun anda dari golongan generasi baru…

Bruce lee dilahirkan pada 27 November 1940, di San Francisco, California, USA. Oleh kerana status kelahirannya, maka Bruce Lee mendapat tahap kerakyatan dua Negara yang sering menjadi pertikaian umum. Bruce Lee berlakon sejak kecil lagi, namun beliau dikenali selepas berhijrah daripada Hollywood ke Hong Kong. Antara drama dan filem aksi lakonannya yang berjaya di Hollywood dan Hong Kong adalah seperti berikut;

Penglibatan filem
1] Marlowe (1969) filem
2] Big Boss (1971) filem a.k.a fist of fury
3] Fist of Fury (1971) filem a.k.a chinesse conection
4] Way of the Dragon (1972) a.k.a return the dragon
5] Enter the Dragon (1973)
6] Game of Death (1978)

Filem Enter the Dragon, telah mengangkat dirinya selaku pelakon aksi seni beladiri bernilai dan setaraf dengan pelakon Hollywood...


Penglibatan siri TV
1] Green Hornet (1966-67) 26 episod
2] Batman (1966) 3 episod
3] Ironside (1967)
4] Blondie (1969)
5] Longstreet (1971) 4 episod

3# LAU KAR FAI a.k.a GORDON LIU

Gordon Liu (kanan, tidak berbaju), merupakan pakar kung fu cina turut berjaya bidang perfileman melalui filem seni beladiri kerana mereka ada maruah dan perjuangan yang perlu dijadikan contoh...

Nama beliau tidak segah Bruce Lee, namun mempunyai karisma dan kemahiran tinggi dalam seni beladiri cina kuno (aunthentic) dan juga merupakan seorang pelakon. Lau Kar Fai atau Gordon Liu nama popular adalah adik kepada tokoh dan  legenda filem aksi bela diri Hong Kong, Lau Kar Leung. Dilahirkan pada 22 Ogos 1955 di daerah Guangdong, China. Antara aksi pertarungan yang paling di ingati adalah pertemuan dua jaguh bela diri dalam filem Last Hero of China, iaitu Jet Li melawan Gordon Liu, cukup padat, menghiburkan dan penuh seni serta berkemahiran.

Sepanjang penglibatan dalam bidang perfileman, Gordon Liu telah pun berlakon dalam 88 buah filem dan juga siri TV luar ataupun tempatan. Kesemuanya itu adalah filem seni bela diri. Gordon Liu selalunya akan berlakon di bawah bimbingan abangnya dan sering menghormatinya dalam bidang kerja. Oleh itu, maka tidak hairanlah jika dia enggan menjadi koreografer apabila bekerjasama dengan abangnya.

4# CARLOS RAY NORRIS a.k.a CHUCK NORRIS

Hollywood pada era 70 atau 80an, turut menggunakan formula Hong Kong dalam menghasilkan filem berbentuk seni beladiri. Hasilnya, lahirlah hero pakar seni bela diri mereka seperti Chuck Norris atau Jim Kelly.

Chuck Norris adalah nama panggilannya, tetapi nama penuhnya adalah Carlos Ray Norris, dilahirkan di Ray, Oklahoma, USA pada 10 March 1940. Merupakan pelakon dan pengamal seni bela diri sepenuh masa. Memulakan karier dalam bidang perfileman sejak tahun 1968 sehingga kini. Sepanjang penglibatannya, Chuck Norris telah berlakon pelbagai versi dan genre filem aksi Hollywood atau Hong Kong. Antara yang terhebat dibawah arahan Bruce Lee (Way of the Dragon) dan Lo Wei (Slaughter in San Francisco).

Di bawah filem pembikin Hollywood, nama Chuck Norris semakin dikenali dengan kejayaan filem ‘propaganda’ perang seperti Missing in Action dan Braddock. Kini, beliau masih lagi aktif berlakon dan melatih pengamal beladiri dalam seni bela diri karate dan tang soo do.

5# CHAN KONG SANG a.k.a JACKIE CHAN

Fearless Hyena, satu garapan kreatif Jackie Chan dalam konsep sinematografi, menggabungkan elemen aksi dan komedi di samping kefalsafahan dalam seni tarung dan displin kendiri.

Beliau pada ketika dahulu pernah dilabel sebagai pengganti Bruce Lee, ada juga yang melabelkan beliau sebagai Jim Carey Hong Kong. Pada hakikatnya itulah yang berlaku pada Chan Kong Sang atau nama komersilnya Jackie Chan. Beliau memiliki aura yang berbeza serta identiti dalam aksi pertarungan. Ketangkasan dan kemahirannya setaraf Bruce Lee, tetapi gelagatnya lebih mencuit hati ketika bertarung dengan mimik dan gelagat lucu membuatkan beliau istimewa. Memang tidak dinafikan, aksi yang Jackie Chan lakukan adalah aksi berani yang mana pada satu ketika diguna pakai oleh Charlie Chaplin.

Jackie berasal dari Hong Kong, dilahirkan pada 7 April 1954, di Victoria Peak. Nenek moyangnya berasal dari daerah Linzi, Shandong, China. Bakatnya dicungkil dari sekolah opera bersama-sama rakan seperjuangan seperti Yuen Biao dan Sammo Hung. Memulakan karier bidang perfileman pada tahun 1962, sebagai pelagak ngeri untuk filem aksi, antara yang terhebat dalam filem Fist of Fury, adegan di tendang Bruce Lee hingga tercampak keluar dari pintu rumah melayang ke taman. Mungkin ‘berkat’ kaki Bruce Lee itulah Jackie Chan kini terkenal di seluruh dunia sama seperti Bruce Lee. Filem-filem hebat yang pernah Jackie hasilkan hingga ke tahap pecah panggung seperti Wheel on Meals (pertarungan dengan Benny the Jet), Drunken Master 1 & 2, Snake in Eagle Shadow dan My Lucky Star. Penuh dengan babak pertarungan yang hebat!

Industri Filem Hong Kong dikenali kerana filem seni bela diri yang mereka hasilkan mengikut peredaran masa, zaman, kepelbagaian rencah dan cerita yang sering kita lihat sesuatu menakjubkan...

Pada bahagian pertama ini, saya berikan secara kasar terlebih dahulu info tentang barisan pelakon aksi dunia ini. Jika kita perhati dan teliti biografi atau latar belakang mereka yang menjayakan filem aksi adalah berpaksikan pada kepakaran guru atau pengamal tegar dalam seni bela diri. Itu yang perlu disemai dalam baja pembikinan filem aksi. Bertemu kembali nanti dalam bahagian kedua topik ini… Bye, Bye ;-)


Monday, May 23, 2011

Pelakon Aksi Seni Beladiri Wanita, Tahukah Anda, Siapa Mereka Ini?

Pelakon Aksi Seni Beladiri? Tahukah anda, siapa mereka ini...secara realistiknya Malaysia belum ada tetapi bibik-bibik atau tanda-tanda sudah ada...

MUKADIMAH
Selamat kembali ke arena komentar saya pada kali ini… setelah berkurun lamanya tidak menulis menyalur idea & informasi, buat pertama kalinya saya memecah ‘tembok’ yang sering menghalang daripada saya berbuat demikian. Tembok itu adalah MASA! “…demi masa, sesungguhnya manusia kerugian, melainkan yang beriman dan beramal soleh…” Pada artikel yang pertama baru-baru ini, saya telah membahaskan pendapat dan luahan tentang kegagalan Malaysia menghasilkan filem-filem bergenre aksi seni beladiri. Namun berbeza pada kali ini, saya akan menceritakan informasi tentang barisan-barisan pelakon aksi seni beladiri wanita antarabangsa, yang mana mungkin atau tidak pernah anda dengar dan lihat aksinya. Oleh itu, selamat membaca…!

SEPERTI biasa, ruangan artikel ini akan saya sajikan buat para pembaca, blogger dan peminat filem aksi seni beladiri yang budiman, untuk dikongsikan bersama-sama. Untuk pengetahuan anda, artikel kali ini bukan berupa kritikan atau komen pedas seperti keluaran yang lepas tetapi menjurus kepada informasi yang sedikit sebanyak boleh membuka minda anda tentang pembikinan filem aksi seni beladiri amnya. Berhubung tajuk kali ini, ‘Pelakon Aksi Seni Beladiri Wanita’, di sini saya susun semula barisan srikandi filem aksi seni beladiri yang pernah menggegar dunia perfileman. 

Kita mulakan dengan pelakon aksi beladiri yang pertama di dunia pada era 70an. Pernahkah anda dengar nama Angela Mao? Saya pasti ramai dikalangan peminat filem aksi seni beladiri tidak kenal beliau. Angela Mao adalah pelakon seni beladiri wanita yang pertama dilahirkan dalam dunia perfileman.

Pernah berlakon sebagai pelakon jemputan dalam filem Enter The Dragon, ketika itu dia hanya dibayar dengan USD 100 sahaja untuk kerja-mengejar dan babak pertarungan di samping Bob Wall.

ANGELA MAO
Angela Mao atau nama sebenarnya Mao Ying@Angela Mao Ying@Mao Fu Ying telah dilahirkan di Taiwan pada 20 September 1950. Beliau merupakan pelakon aksi seni beladiri yang paling Berjaya di Hong Kong pada tahun 1970 sehingga mendapat jolokan dengan beberapa nama oleh peminatnya seperti Lady Whirlwind dan Lady Kung Fu. Beliau adalah pengamal Kung Fu di samping memiliki kemahiran dalam seni beladiri Hapkido dan Taekwondo yang menjadi asas seni pertarungan dalam filemnya. Antara filem hebat aksi lakonannya seperti filem sensasi Bruce Lee bertahap Hollywood iaitu Enter The Dragon (guest artist), Hapkido dan Lady Whirlwind yang telah mengangkat nama Angela Mao sebagai pelakon aksi seni beladiri sekitar 70an dan 80an. Berikut adalah senarai filem-filem lakonannya;

Filmography
The Angry River (1970) - Lan Feng
Thunderbolt (1970)
The Invincible Eight (1971)
Deadly China Doll (1972) - Hei Lu
Hapkido (1972) - Yu Ying
Lady Whirlwind (1972) - Miss Tien
Enter the Dragon (1973) - Su Lin
Back Alley Princess (1973) - Ying
Sting of the Dragon Masters (1973) - Wan Ling-ching
The Two Great Cavaliers (1973)
The Fate of Lee Khan (1973)
Naughty! Naughty! (1974)
The Shrine of Ultimate Bliss (1974) - Angela Li Shou-Hua
The Tournament (1974)
The Himalayan (1975)
Return of the Chinese Boxer (1975)
International Assassins (1976) - Queen of Cambodia
Lady Karate (1976)
Duel with the Devils (1977) – Chu
Invincible (1976)
The Eternal Conflict (1976) - Fei Fei
Duels in the Desert (1977)
Broken Oath (1977) - Lotus Lin
The Damned (1978)
Iron Maiden (1978) - Chin Lun
Return of the Tiger (1979)
Snake Deadly Act (1979) - Brothel Madam
Flying Masters of Kung Fu (1979)
Moonlight Sword and Jade Lion (1981)
The Stunning Gambling (1982)
Ninja, the Violent Sorcerer (1982) (uncredited) – Anna
Book and Sword Chronicles (TV series) (1984) - Luo Bing
Devil Dynamite (1987)
Ghost Bride (1992)

Aksi pertarungan Kung Fu klasik Angelo Mao memang 'aunthentic' ketika menentang penjahat dalam filem lakonannya...

Kalau kita perhatikan semua filem-filem hasil lakonannya adalah berunsur seni pertarungan. Itulah bezanya antara pelakon aksi dengan pelakon biasa sahaja. Barulah layak seseorang itu dilabel sebagai pelakon aksi. Cerita selanjutnya tentang dirinya, akan saya ceritakan pada artikel biografinya dalam masa yang terdekat ini.

Cynthia merupakan aksi wanita lasak yang pernah di lahirkan setanding dengan pelakon aksi seperti Jackie Chan kerana keberanian melakonkan aksi di pukul dalam adegan pertarungannya...

CYNTHIA ROTHROCK
Beliau merupakan pelakon filem aksi dan jurulatih seni beladiri gaya bebas di Amerika dan merupakan pelakon aksi seni beladiri wanita yang paling Berjaya di Hollywood. Di lahirkan pada 8 Mac 1956 bertempat di daerah Wilmington, Delaware adalah srikandi filem aksi beladiri Amerika yang paling cantik, mantap dan manis orangnya. Merupakan juara dunia sebanyak lima kali dalam kejohanan Karate berturut-turut di antara tahun 1981-1985. Selain itu, Cynthia juga merupakan pemegang enam tali pinggang tahap hitam dari berlainan disiplin beladiri seperti Tang Soo Do, Taekwondo, Eagle Claw Kung Fu, Wushu, Northern Shaolin dan Pai Lum Tao Kung Fu. Untuk pendedahan lain nanti akan saya kemukan dalam artikel khas untuk biografi pelakon aksi seni beladiri wanita pada keluaran akan datang. Berikut adalah senarai filem-filem aksi lakonannya;

Filmography
1985- Yes, Madam
1986- Millionaire's Express (Shanghai Express)
1986- Righting Wrongs (aka Above the Law)
1988- The Inspector Wears Skirts (aka Top Squad)
1989- Triple Cross (aka Angel of Fury)
1992- City Cops (Beyond the Law)
1993- Irresistible Force
1996- Sworn to Justice (formerly Blond Justice)
1996- Checkmate
1996- The Encyclopedia of Martial Arts-Martial Combat
1997- The Hostage
2000- Manhattan Chase
2001- Redemption
2003- Bala Perdida
2004- Xtreme Fighter (aka Sci-Fighter)

Cantik, Lasak & Berkemahiran, adalah pakej yang dimiliki Rothrock dan jarang ada bagi seseorang individu berggelar pelakon aksi lasak wanita...

Filem-filem di atas telah memberi penghormatan buat Cynthia selaku pelakon aksi seni beladiri yang unggul sekitar tahun 90an dan awal tahun 2000. Lebih daripada 40 buah filem aksi yang pernah beliau lakonkan termasuk di Hong Kong dan Hollywood.

Jeeja Yanin, produk aksi seni bela diri terbaru Siam yang berjaya selepas Tony Jaa...

YANIN ‘JEEJA’ VISMISTANANDA
Melepasi tiga dekad, dunia masih tidak ketandusan pelakon aksi bela diri yang berwibawa yang boleh mewakili kehebatan kaum wanita. Sinonim dengan Negara gajah, Siam meneruskan kesinambungan itu dengan mengambil-alih status pelakon aksi wanita yang berjaya di alaf baru ini selepas Hong Kong (Angela Mao) dan Amerika (Cynthia Rothrock). Sesuai dengan saiz wanita asia Yanin telah di ketengahkan oleh Prachya Pinkaew yang juga pencetus filem aksi di Siam. Pinkaew juga adalah individu yang sama bertanggungjawab menaikkan nama Tony Jaa ke persada dunia melalui sentuhan filem aksi mereka. Atas sentuhan magis beliaulah, nama Yanin juga turut dikenali dan terserlah bakat aksinya dalam filem arahan beliau.

Yanin ‘Jeeja’ Vismistananda atau nama sebenarnya dalam bahasa Siam adalah Nicharee Vismistananda. Sama seperti Angela Mao, terdapat beberapa nama mengikut sebutan dalam loghat keturunan mereka ini. Antaranya, Yanin ‘Chicha’ Wisamitanan@ Nee Chicharee Vismistananda@ Nitchari Wismitanan tetapi dalam credit tittle dalam filem sulung lakonannya iaitu Chocolate (Women Quanba), beliau menggunakan nama Yanin Mitananda. Namun, secara ringkasnya nama lain yang mudah disebut buat peminat adalah Jeeja Yanin. Di lahirkan pada 31 Mac 1985, di Bangkok, Thailand, wirawati Siam ini memiliki tali pinggang hitam dalam seni beladiri Taekwondo tahap 3 dan mahir dalam ilmu Muay Thai. Berikut adalah antara filem-filem aksi lakonannya;

Kemampuan Jeeja menendang dengan ala Bruce Lee, menjadikan dia istimewa berbanding pelakon-pelakon wanita lain di negaranya...

Filmography
Chocolate (2008) as Zen
Raging Phoenix (2009) as Deu
Jak Ka Ran (2011) as Jak Ka Ran
The Kick (2011)
Chocolate 2 (2011)

Aksi hebat Jeeja dalam filem pertama lakonannya, Chocolate a.k.a women quanba...

Itulah barisan pelakon aksi seni beladiri wanita yang terbaik setakat ini. Pasti ada yang tertanya-tanya, kenapa Michelle Yeoh, Zhang Zi Yi, Karen Mok, Shu Qi atau Anita Mui itu tidak tergolong daripada pelakon aksi seni beladiri yang saya nyatakan di atas? Sedangkan mereka banyak berlakon dalam filem-filem aksi sebelum ini bersama-sama pelakon aksi terkenal dunia seperti Jackie Chan, Jet Li atau Donnie Yen?

Ya, itu memang benar tetapi mereka semua bukanlah pelakon aksi yang sebenarnya seperti tiga individu yang di atas. Angela Mao, Cynthia Rothrock dan Jeeja Yanin merupakan pelakon aksi yang ‘bergelanggang’, pengamal, master atau jurulatih yang ada kelayakan. Berbeza pula dengan Michelle Yeoh, beliau berasal dari model, penari dan berlakon dalam filem aksi kerana kerjaya serta sebagai ‘batu loncatan’ untuk mengembangkan bakat dan pengaruh ke persada antarabangsa. 

Mendiang Anita Mui turut terlibat dalam filem aksi walaupun beliau merupakan model, penyanyi, penggubah lagu dan penerbit. Gambar di atas adalah kenangan gambarnya dalam filem Drunken Master part 2 yang turut di bintangi oleh Andy Lau. Mendiang juga pernah berlakon dengan Jet Li dalam My Father is A Hero. Kedua-dua filem ini dapat kita lihat bagaimana Anita tangkas berlawan...

Seperti sedia maklum, filem aksi Hong Kong sering mendapat tempat di pasaran luar. Sama juga dengan Zhang Zi Yi, Karen Mok, Shu Qi, Anita Mui atau Gong Li, mereka semua adalah model, penyanyi atau penggubah lagu yang Berjaya di Hong Kong. Untuk meluaskan empayar, mereka perlu mempelajari dan berlakon dalam filem aksi serta stunt. Di Malaysia masih belum ada yang menonjol dalam lakonan filem aksi seni bela diri, tetapi bagi generasi baru ini sudah ada beberapa orang calon yang saya lihat berpotensi.

Zhang Zi Yi dan Michelle Yeoh merupakan pelakon, model dan penari, tetapi mereka menggunakan kelebihan industri Hong Kong dalam filem aksi sebagai platform mereka mencipta nama di Hollywood...

Begitulah serba sedikit informasi buat anda tentang dunia filem aksi seni beladiri yang mungkin masih baru buat anda. Semoga rencana ini boleh memberi anda satu dimensi dan pandangan baru tentang filem aksi dan seni beladiri. Dari ketiga-tiga pelakon aksi ini dapatlah saya klasfikasikan mereka ini mengikut rating seperti berikut;

  1. Yanin ‘Jeeja’ Vismistananda
  2. Cynthia Rothrock
  3. Angela Mao
Insya-allah, pada keluaran akan datang, kita kenal pula barisan-barisan pelakon lelaki yang pernah dan terkini yang mewarnai dunia perfileman genre aksi seni beladiri. Rasanya pada topik ini, ramai pembaca dan peminat filem aksi kenal mereka, tetapi ada juga yang anda tidak kenal mereka. Nantikan pada isu yang akan datang. Pada anda yang membaca dan melayari blog ini, saya dahului ribuan terima kaseh atas sokongan anda!

Sekian, Salam Sejahtera dan Allah Melindungi anda… Amin ;-)