INDERA Sakti dan Indera Wira
dua putera kembar yang tampan wajahnya dan punya pesona menarik di Istana
Kencana. Namun, mereka berdua memiliki karakter berbeza. Indera Sakti
dilahirkan lebih awal 5 minit daripada Indera Wira. Sebagai abang kepada
kembarnya, Indera Sakti seorang yang lincah dan nakal berbanding Indera Wira
yang pemalu. Dayang-dayang di istana sering diusik oleh Indera Sakti yang
kadangkala menyamar sebagai Indera Wira yang pemalu. Kelima-lima putera dan
puteri ini berguru dengan guru yang sama iaitu Pendita Alif. Mereka belajar
ilmu agama, ilmu persilatan dan ilmu kehidupan. Pendita Alif mengajar putera
dan puteri sepenuhnya tanpa pilih kasih. Oleh kerana kelincahan pasangan kembar
ini, Pendita Alif sering menggelar mereka dengan nama Monyet Lincah. Gelaran
sebegitu tidak sesekali membuatkan putera kembar ini rasa terhina, malah mereka
begitu gembira dengan gelaran seperti itu dan menyanjung tinggi akan Pendita
Alif. Indera Sakti dan Indera Wira adalah putera yang rajin belajar. Oleh
kerana itu juga, Pendita Arif telah mengajarkan mereka berdua Ilmu Bayang.
Hanya mereka berdua diberikan ilmu ini, menunjukkan betapa Pendita Alif begitu
menyayangi mereka.
Dengan ilmu bayang ini, Indera
Sakti semakin nakal mengusik dan menyakat bukan sahaja dayang-dayang, malah
kekanda mereka, kerabat diraja dan para pembesar. Bukan itu sahaja, mereka juga begitu berani mengusik Indera
Perkasa yang terkenal dengan kehandalan ilmu persilatannya. Indera Perkasa
sering bermain-main dengan mereka berdua dan mengetahui tahap ketinggian ilmu
bayang yang dimiliki pasangan kembar ini. Semakin meningkat usia dan melepasi
usia remaja, kedua-dua pasangan kembar ini semakin matang dan dewasa. Di awal
pemerintahan Indera Perkasa sebagai Maharaja Indera Perkasa, kedua-dua putera
ini telah dilantik menjadi Panglima Bayang. Tugas mereka adalah khas sebagai
panglima yang mengiringi dan memastikan keselamatan Maharaja Indera
Perkasa di sepanjang pemerintahannya.
Bukan satu, malah mereka
terpaksa menghadapi banyak ancaman bunuh terhadap Maharaja Indera Perkasa.
Pakaian yang mereka pakai sentiasa berwarna hitam, bertutup muka dengan kain
semutar dan pergerakan mereka sentiasa tersembunyi tapi tersusun. Pembunuh-pembunuh
upahan terpaksa menghadapi Pahlawan Bayang tanpa sempat menyelesaikan tugas
mereka. Belum sempat mengangkat senjata atau membidik dengan busur dan anak
panah, tahu-tahu sahaja Pahlawan Bayang muncul di hadapan. Tugas Pahlawan
Bayang adalah menghapuskan sebarang ancaman, maka pembunuh yang cuba membunuh
maharaja akan terus dihukum bunuh oleh Pahlawan Bayang tanpa belas kasihan. Mereka
berdua adalah bayang-bayang Maharaja Indera Perkasa. Mereka bertiga tidak akan
pernah berpisah jika keluar dari istana dan akan sentiasa menghadapi sebarang
kemungkinan bersama-sama. Namun begitu, keamanan yang dikecapi tidak pernah
kekal lama. Indera Samara kini kembali ke Indera Kencana bagi menuntut haknya.
Kali ini dia hadir bersama pasukan tentera yang amat menggerunkan. Pasukan
tentera ini telah mula mengganas dan menyerang kampung-kampung dan negeri yang
bernaung di bawah Indera Kencana.
Siapakah mereka ini dan
mengapa mereka begitu kejam membunuh insan yang tidak bersalah? Apakah Indera
Samara sudah tidak menyayangi akan rakyat jelatanya sendiri semata-mata mahu
memenuhi hajatnya bagi memerintah Indera Kencana? Selepas kekalahan kepada
Indera Perkasa, Indera Samara telah melarikan diri dari istana bersama dua
panglimanya yang terbilang iaitu Si Pisau dan Si Parang. Kedua-dua panglima ini
amat terkenal dengan kemahiran mereka dalam seni perang pisau terbang dan
parang terbang. Indera Samara berjalan
tanpa hala tuju sebenar. Dia berasa malu yang teramat sangat kerana gagal
menjadi seorang maharaja. Kalaulah dia tidak sombong dan bongkak serta menerima
sahaja kata-kata Indera Perkasa tanpa perlu bertanding, sudah pasti dia yang
akan duduk megah di atas takhta singgahsana maharaja. Perkara yang lepas sudah
tidak berguna dikenangkan lagi. Setelah melalui perjalanan yang jauh, mereka
akhirnya telah tersesat di dalam sebuah hutan. Namun yang menghairankan mereka
adalah, hutan itu penuh dengan kabus dan bauan yang tidak enak dihidu oleh
hidung mereka.
Mereka bertiga mulai muntah
dan sendi-sendi di kaki mula terasa lemah, mata mula terasa pedih dan kepala
terasa berat dan sakit. "Di manakah beta berada?" Bisik hati Indera
Samara yang akhirnya turut sama pengsan tidak sedarkan diri bersama dua
panglimanya. Beberapa jam berlalu, Indera Samara telah tersedar dari pengsan.
Didapati tangan dan kakinya telah diikat, begitu juga dengan dua orang
panglimanya. Terlihat di mata kasar Indera Samara akan keadaan di dalam sebuah
gua yang kelam. Beberapa orang lelaki dan perempuan, tak kira tua atau muda,
semuanya berpakaian agak aneh. Kulit mereka juga kelihatan pelik dan menggerunkan.
Ada yang menggerutu seperti seekor katak, ada yang kulitnya berwarna merah
seperti udang yang dibakar. Di antara mereka itu, ada seorang lelaki tua dan
seorang perempuan yang sangat jelita. Rambut si lelaki panjang sehingga ke
paras lutut, warna kulitnya pelbagai. Sebahagian wajahnya terlihat berwarna
merah, di bahagian lain ada yang berwarna hitam dan ada yang berwarna kuning.
"Cakap, siapakah engkau?
Sungguh berani menceroboh di kawasan kami," tempik lelaki tua lanjut usia
itu. Tempikan lelaki itu menggetarkan jiwa sehingga kedua-dua orang panglima
kepada Indera Samara jatuh pengsan sekali lagi. "Cakap, siapakah engkau?
Atau kau hendak aku seksa baru hendak jawab?" gertak lelaki itu. Namun
begitu, Indera Samara tetap tenang dan cuba menentang lelaki tua tersebut.
Namun begitu, ikatan pada tangan dan kakinya sangat ketat. Dengan tenaganya
yang lemah, Indera Samara tidak mampu melawan. Keadaan di dalam gua itu begitu
menyesakkan nafas. Dengan bauan yang amat busuk, yang menghairankan adalah semua
mereka yang berada di situ tidak terjejas sedikit pun. Hanya Indera Samara dan
dua panglimanya sahaja yang merasa sesak nafas dan sakit segala sendi-sendi
mereka. Seorang daripada pengikut yang kelihatan gagah perkasa segera
menunjukkan hasil rampasannya daripada Indera Samara. Melihat kepada cop mohor
yang dibawa, tahulah mereka bahawa Indera Samara adalah kerabat diraja Indera
Kencana.
"Aku sudah tahu siapa
kau. Kau ini adalah musuh kami. Tiga puluh tahun yang lalu, kami telah
berperang dengan para tentera Indera Kencana, tewas dan diusir sehingga ke gua
ini. Apa yang kau mahu, wahai anakanda kepada Maharaja Indera Kencana?"
Teriak lelaki itu dalam nada yang marah dek kerana dendam yang meluap-luap.
"Sabar, kanda. Dengarlah
dahulu apa yang ingin diperkatakan. Jangan dibunuh mereka ini, tentu ada sebab
mereka bertiga ini berjalan sehingga datang ke tempat kita," pujuk seorang
wanita muda yang berkemungkinan adalah isteri kepada pemimpin Puak Bisa. "Tanggalkan
ikatan mereka, beri mereka makan dan minum," perintah lelaki tua itu yang
tidak sabar-sabar lagi mahu mengetahui duduk perkara sebenar. Akhirnya mereka
bertiga dilepaskan dari tawanan Puak Bisa. "Aku ini Tok Bisa dan ini
isteriku, Nek Bisa. Apakah tujuan seorang putera seperti engkau datang ke
tempat aku yang terpencil ini?" Tanya Tok Bisa kepada Indera Samara yang
sedang menikmati makanan dan minuman yang sedia terhidang. "Aku telah
tersesat sehingga sampai ke tempat ini. Tujuan aku adalah mencari satu pasukan
tentera yang kuat dan tidak terkalah. Aku mahu merampas kembali takhta maharaja
kepunyaanku dari kekanda ku," balas Indera Samara.
"Ha! Ha! Ha! Apakah aku
ini sedang bermimpi? Musuh yang amat aku benci kini merayu meminta bantuan
ku," ketawa besar Tok Bisa mendengarkan permintaan Indera Samara. Indera
Samara menyedari dia kini berada di dalam genggaman musuh yang pernah
ditewaskan oleh pasukan tentera Indera Kencana. Namun begitu dia nekad meminta
bantuan dari Puak 5 Bisa yang telah lama memencilkan diri dari dunia luar.
Indera Samara tidak kisah menjalin hubungan dengan musuh demi takhta yang amat
didambakan. "Kamu semua, periksa di luar dan lihat jika ada pasukan
tentera Indera Kencana yang bersama mereka. Bunuh mereka jika ada," ternyata
Tok Bisa masih meragui kedatangan Indera Samara lalu memerintahkan anak-anak
buahnya memeriksa keadaan di luar gua dan sekeliling hutan. "Jika benar
engkau mahu kami dari Puak Bisa ini menjadi sandaran, apakah yang akan engkau
berikan jika kami berjaya menghancurkan mereka?" Tanya Tok Bisa lagi. "Aku
akan melantik kau menjadi pembesar dan penasihat di dalam istana. Kau dan
anak-anak buah kau tak perlu lagi hidup sengsara di dalam gua. Segala kesalahan
kau sebelum ini akan dihapuskan oleh ku sebagai maharaja nanti dan kamu semua
akan hidup bebas tanpa batasan lagi," jawapan Indera Samara penuh
meyakinkan.
"Aku masih belum percaya.
Jika mahukan bantuan kami, engkau mesti jadi anak murid ku. Sebelum menjadi
anak murid ku, engkau mesti minum air bisa ini," kata Tok Bisa lalu
menghulurkan segelas air yang menggelegak. Tanpa keraguan lagi, Indera Samara
terus mengambil air bisa itu lalu meminumnya. Selepas selesai minum air bisa
itu, tiba-tiba perutnya mula terasa panas dan begitu juga seluruh sendi-sendi
di badannya. Indera Samara punya ilmu yang tinggi. Dia segera bertenang,
menarik dan mengatur semula nafasnya agar air yang beracun itu tidak dapat
merosakkan tubuh badannya. "Ha! Ha! Ha! Ternyata putera raja ini punya
ilmu yang tinggi. Bagaimana pula dua panglimanya?" Tambah Tok Bisa dan
menghulurkan dua lagi gelas air bisa kepada Panglima Si Pisau dan Si Parang.
Selepas meminum air bisa itu, keadaan yang sama dialami oleh kedua-duanya, lalu
mereka cuba menentang dengan ilmu mereka. "Ha! Ha! Ha! Ilmu kamu berdua
belum setanding putera ini. Tak guna menentang, kerana isi di dalam perut akan
mudah dihakis. Serap air bisa ini dan biarkan ia mengalir di setiap sendi
kamu," kata Tok Bisa sambil disambut oleh gelak ketawa Nek Bisa.
Mereka segera mengikut panduan
yang diberikan lalu perlahan-lahan kesakitan mula berkurangan. Apa yang tidak
diketahui oleh mereka, sebenarnya Tok Bisa telah menanam ulat bisa di dalam
tubuh mereka. Hanya dia punya
penawarnya. Begitulah cara Tok Bisa mengawal para pengikutnya. "Kamu
bertiga telah menjadi anak murid ku. Oleh itu, sebelum kami semua dari Puak
Bisa ini menjadi rakan sekutu, benarkan kami berbincang dahulu. Sila, sila tambah
makanan lagi. Ha! Ha! Ha!" Indera Samara dan kedua-dua panglima
berpandangan antara satu sama lain. Kini mereka telah menjadi anak murid Tok
Bisa dan pengikut Puak Bisa. Semasa dalam perbincangan itu, Indera Samara
menyedari dirinya dipandang dengan penuh minat oleh Nek Bisa yang jelita dan
cuba menggoda dirinya. "Apakah Nek Bisa ini masih muda umurnya?"
Bisik hati Indera Samara. "Ha! Ha! Ha! Aku sudah berbincang dan sudah
mendapat keputusan. Kami semua telah bersetuju untuk menyerang seluruh Indera
Kencana, dengan syarat aku yang akan memimpin," gelak ketawa Tok Bisa
kembali bersambung.
"Terima kasih, tok
guru," ketiga-tiga mereka segera mengangkat sembah ke atas Tok Bisa. Tok Bisa semakin angkuh dan bongkak
memandangkan anak raja sendiri mengangkat sembah kepadanya. Tok Bisa semakin
teruja. Selepas mengangkat sumpah setia, Indera Samara dan kedua-dua panglima
akhirnya menjadi anak murid Tok Bisa. Sebelum menggempur Indera Kencana, mereka
bertiga telah dilatih oleh Tok Bisa dengan ilmu racun dan ilmu sihir. Namun
begitu, Tok Bisa tidak mengajar mereka sepenuhnya. Ada ilmu yang sengaja
disembunyikan. Mereka juga baru mengetahui akan hakikat ulat bisa telah ditanam
di dalam perut mereka. Mereka mesti mendapatkan penawar pada setiap 3 purnama
bagi mengurangkan kesakitan di dalam badan. Kini mereka makin mengganas di
Indera Kencana. Setiap tempat yang diserang akan dipenuhi dengan kabus beracun
dan haiwan-haiwan berbisa. Rakyat jelata semakin menderita akibat serangan Puak
Bisa. Mereka tidak mampu menentang kemaraan tentera jahat ini. Maharaja Indera
Perkasa kini semakin tertekan. Pasukan tenteranya kini tidak mampu lagi
mengatasi serangan Puak Bisa. Paduka baginda ingin turut sama menghadapi musuh,
namun tidak dibenarkan oleh para pembesar.
"Bagaimana, dinda?
Bolehkah kamu berdua merisik keadaan semasa di sana? Tanya Maharaja Indera
Perkasa kepada kedua-dua adindanya iaitu Panglima Bayang. Indera Sakti dan
Indera Wira saling berpandangan. Mereka tidak gentar menghadapi musuh-musuh
namun siapakah yang akan melindungi Maharaja Indera Perkasa? Menyedari keadaan
mereka berdua yang masih kelu dan membisu, Maharaja Indera Perkasa segera
menambah, "usah dirisaukan akan keadaan kanda ini. Kanda tahu menjaga
diri. Mohon risik segera kerana perisik-perisik yang kita hantar telah lenyap
tanpa khabar berita," desak Maharaja Indera Perkasa. Pahlawan Bayang
akhirnya terpaksa bersetuju dengan perintah Maharaja Indera Perkasa. Mereka pun
bersegera meninggalkan istana dan terus menuju ke arah perkampungan yang telah
ditakluki Puak Bisa. Mayat-mayat rakyat jelata bergelimpangan di atas tanah.
Bau mereka begitu busuk dan ada antaranya telah mulai mereput. Bagaimana boleh
terjadi perkara sedemikian rupa sedangkan baru beberapa hari mereka dibunuh?
Kepantasan luarbiasa
dipertontonkan oleh Panglima Bayang. Kehadiran mereka tidak disedari oleh
anak-anak buah Tok Bisa yang telah membuat onar di kampung itu. Mereka begitu
asyik melakukan jenayah. Bagai bayang, kedua-dua Pahlawan Bayang membaling
sejenis senjata kecil yang kemudian telah memenggal kepala musuh. Kepala
terpisah dari badan dan kemudiannya sejenis wap mulai keluar dari tubuh badan
mereka. "Nampaknya mereka bukan orang yang kebal," bisik hati Indera
Sakti. Tubuh badan penjahat Puak Bisa itu akhirnya rebah ke tanah dan tiba-tiba
terbakar dan hancur musnah. Apakah yang akan terjadi di kemudian hari? Apakah
Pahlawan Bayang akan bertembung dengan Puak Bisa? Mampukah mereka menghadapi
anggota tentera bisa yang begitu ramai?
Bersambung…
Karya : MS MALAWI
Gambar dan ilustrasi adalah hiasan
semata-mata
Cerita ini adalah cerita rekaan.
Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang
masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah
ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula
samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu
mendapat kebenaran dari admin blog ini.