SUDAH beberapa hari Anak-anak
Serigala merisik keadaan di rumah tumpangan milik orang dari Baratia. Belum
nampak akan perkara yang mencurigakan. Akan tetapi, sepanjang penyiasatan itu,
mereka lihat terlalu ramai rakyat Segumpal yang keluar masuk. Ada antara mereka
berada di dalam rumah itu dalam jangkamasa yang agak lama. Ada yang masuk dalam
tempoh yang singkat. Yang lebih menghairankan adalah, mereka yang keluar dari
rumah itu kelihatan seperti sedang berkhayal, senyum sahaja sepanjang masa.
Jika diikutkan hatinya, mahu
sahaja Naga Hitam itu menyerbu ke dalam rumah tersebut. Namun memikirkan akan
kata-kata Mahaguru Harimau Emas, terus dibatalkan sahaja akan niatnya.
"Kita mesti hati-hati. Cari bukti yang mencukupi sebelum dibawa ke pengetahuan
Maharaja Segumpal Satria."
Mata hijab Naga Hitam juga
tidak dapat menembusi ke dalam rumah itu. Seolah-olah ada dinding penghalang di
dalamnya sehingga amat sukar buat Naga Hitam merisik ke dalamnya. Rumah itu
akan ada seorang daripada pengikut Marvick berdiri di luar dengan menatang
secawan air. Apabila seseorang itu mahu masuk ke dalam rumah bagi bertemu
Marvick, mereka akan diminta untuk minum seteguk daripada air tersebut. Apakah isi kandungan air tersebut? Tiada
siapa pun yang tahu.
Untuk melancarkan siasatan,
seorang daripada pengikut Puak Serigala telah menyamar menjadi orang kampung.
Maka, berjalanlah perisik itu mengikuti beberapa orang kampung. Tidak lama
kemudian, perisik itu pun akhirnya tiba. Di saat tiba di hadapan rumah itu, beberapa
orang kampung yang berdiri di hadapannya telah diminta untuk minum air
tersebut. Setelah minum air itu, barulah dibenarkan masuk. Akhirnya tiba
giliran perisik itu, namun dia menolak untuk minum. Berlaku kekecohan di luar
menyebabkan Marvick terpaksa keluar melihat keadaan itu.
"Kalau hendak masuk
bertemu aku, kamu mesti minum air ini," kata Marvick dengan mata yang
merah menyala. Perisik itu agak terkejut melihat Marvick yang sedang dalam
keadaan marah. Ini kerana bukan sahaja wajah Marvick yang kelihatan. Ada
beberapa wajah jin mula menghantui perisik itu sehingga akhirnya dia minum jua
minuman yang telah disediakan.
Naga Hitam dan dua orang
perisik dari Puak Serigala melihat perisik itu sudah pun masuk dengan diiringi
oleh Marvick. Naga Hitam dan dua perisik puak Serigala pun menunggu dengan
sabar. Beberapa jam berlalu, perisik yang memasuki rumah Marvick belum
kelihatan keluar dari rumah itu. Sedangkan orang-orang yang masuk kemudian
selepasnya sudah ramai yang pulang ke rumah masing-masing.
"Mari kita serbu rumah
itu," bisik Naga Hitam kepada salah seorang perisik tersebut.
"Maaf, tuan. Amat
merbahaya kita serbu tanpa sebarang bukti. Mungkin nanti kita pula akan
dipersalahkan," bisik lelaki dari puak Serigala itu.
"Hurmmm, ada benar
kata-katanya itu. Tak mengapalah, kita tunggu sekejap sahaja lagi," bisik
hati Naga Hitam.
Tidak berapa lama kemudian,
perisik Serigala yang memasuki rumah itu pun keluar dari rumah tersebut. Bukan
sahaja itu, lelaki tersebut diiringi secara penuh hormat oleh Marvick. Selepas
mengucapkan selamat tinggal, lelaki perisik itu pun terus berjalan melepasi
tempat persembunyian mereka semua.
"Eh, mengapa dia tidak ke
mari?" Tanya Naga Hitam kepada lelaki yang berdua dari puak Serigala
tersebut. Mereka berdua juga kehairanan, lalu membuat keputusan agar segera
mengekori dan bertanya sendiri kepada lelaki tersebut.
Perlahan-lahan mereka berjalan,
agar tidak mengejutkan perisik Serigala itu. Kelihatan lelaki sang perisik itu
berjalan menuju ke perkampungan 5 puak. Oleh kerana tidak bersabar lagi, Naga
Hitam segera berlari bagi menahan lelaki tersebut sebelum tiba ke perkampungan
5 puak.
"Tunggu dahulu, saudara.
Mari kita berbual dahulu," kata Naga Hitam sambil menepuk bahu lelaki
tersebut. Tanpa diduga, lelaki itu tiba-tiba menyerang Naga Hitam dengan
sebilah pisau kecil. Mujur refleksi diri Naga Hitam lebih pantas.
Dua orang lelaki perisik dari
puak yang sama merasa hairan melihat perilaku lelaki tersebut. Tidak pernah
selama ini dia menyerang orang tanpa usul periksa. Naga Hitam mula memeriksa
lelaki tersebut dengan mata kebatinan. Dari pandangan matanya, lelaki itu telah
dipukau. Bergayutan beberapa ekor jin ganas di anak matanya dan belakang
tubuhnya. Tiba-tiba, lelaki itu sekali lagi menyerang Naga Hitam. Kali ini
pergerakannya lebih pantas daripada biasa.
Mereka dari sebuah keluarga
yang besar. Memegang akan hakikat itu, Naga Hitam tidak sedikit pun mahu
menyerang balas. Dia hanya berundur dan sesekali menepis serangan ganas itu.
Baginya, pisau yang ada pada lelaki tersebut memang amat ganjil. Pisau kecil
itu sesekali menyilaukan mata Naga Hitam membuatkan Naga Hitam mula terasa
sesuatu. "Mungkinkah pisau itu adalah sihirnya? Aku mesti jauhkan pisau
itu dari tangannya.
Akhirnya Naga Hitam menyerang
balas lelaki tersebut. Sudah dapat dibaca siapa yang akan menang. Perbezaan
tahap ilmu mereka amat ketara. Setelah berjaya menangkap pergelangan tangan
lelaki tersebut, Naga Hitam berjaya menjatuhkan pisau tersebut. Dengan tidak
semena-mena, lelaki itu tiba-tiba jatuh tersungkur dan tidak sedarkan diri. Dua
orang rakannya segera meluru ke arah rakannya itu. Mereka segera memeriksa nadi
dan jantung lelaki itu. Mujur buat mereka, lelaki itu hanyalah pengsan sahaja.
Sebelum mengambil pisau itu,
Naga Hitam segera menyingkirkan jin-jin yang ada di dalamnya. Setelah semuanya
selesai, Naga Hitam cuba mengambil pisau itu. Namun begitu, ia tiba-tiba sahaja
hilang dari pandangan.
"Cis! Ini semua permainan
ahli sihir dari Baratia itu," Naga Hitam begitu berang dengan kegagalannya
mendapatkan bukti dari pisau tersebut. Sementara itu, salah seorang perisik
dari puak Serigala segera mendukung rakannya.
Naga Hitam turut sama ke
perkampungan Puak Serigala. Dia mahu mendengar sendiri apakah yang berlaku
kepada lelaki tersebut setelah dia minum seteguk air yang diberikan dan apa
yang ada di dalam rumah tumpangan orang Baratia itu. Lelaki dari puak Serigala
yang menyerang Naga Hitam dibaringkan di ruang tamu rumahnya. Beberapa orang
berada di dalam rumah itu bagi mendengar sendiri apa yang dialami oleh lelaki
tersebut. Antaranya adalah Naga Hitam dan Tok Serigala.
Naga Hitam melihat dengan mata
hijabnya, namun tiada pula kelihatan akan sebarang makhluk halus di samping
lelaki tersebut. Sementara itu, Tok Serigala memerintahkan Anak Serigala duduk
di ubun-ubun lelaki tersebut dan dia sendiri akan berada di bahagian kaki.
Ayat-ayat suci Al-Quran mula berkumandang, termasuk seorang daripada mereka
mula melaungkan azan. Satu pergerakan daripada tubuh lelaki tersebut mula
menunjukkan reaksinya. Anak Serigala menekan bahagian ubun lelaki tersebut
dengan telapak tangan kanannya manakala Tok Serigala mula memicit-micit kaki
lelaki tersebut. Tiba-tiba, lelaki itu mula membuka matanya.
Apa yang terjadi seterusnya
mengejutkan semua yang berada di situ.
Naga Hitam mula melihat beberapa ekor jin belaan Marvick mula kepanasan.
Naga Hitam segera menutup matanya, lalu mulutnya mula berkumat kamit membacakan
beberapa potong doa dari ayat suci Al-Quran. Perlahan-lahan Naga Hitam mula
merasakan sesuatu. Bergetar tubuh badannya, dan kini dia mula berada di alam
kebatinan. Pada saat itu, Naga Hitam dapat melihat beberapa ekor jin itu
memeluk erat lelaki tersebut. Lelaki itu cuba melawan, namun pelukan mereka
semakin erat dan ketat.
"Nyah kamu semua dari
sini. Tinggalkan lelaki ini sebelum aku hancurkan kamu semua," jerit Naga
Hitam di alam kebatinan itu. Jin-jin itu terperanjat melihat kedatangan Naga
Hitam, namun mereka tidak menunjukkan sebarang perasaan gentar dengan kehadiran
Naga Hitam. Yang sebenarnya, kehadiran Naga Hitam telah membakar tubuh badan
mereka, namun jin-jin itu memang licik dan cuba menipu Naga Hitam. Mereka
menjelirkan lidah dan kemudian cuba menyerang dengan senjata daripada tubuh
badan mereka, namun semuanya hancur sebelum dapat mengenai tubuh badan Naga
Hitam.
Aura yang panas memancar dari
tubuh badan Naga Hitam. Naga Hitam membacakan lagi beberapa ayat suci Al-Quran.
Tanah di alam kebatinan itu mula merekah dengan cahaya mulai memancari dari
bawah tanah diikuti dengan gegaran yang agak kuat. Jin-jin itu cuba bertahan
lalu sekali lagi menyerang dari jarak jauh. Naga Hitam segera mengunci
pergerakan mereka dengan aura cahaya yang meliliti kaki mereka. Naga Hitam cuba
menyentak jin-jin itu dari jauh namun mereka enggan melepaskan lelaki tersebut.
Naga Hitam mulai marah.
Tiba-tiba dia menyerbu dengan kepantasan yang luarbiasa dengan tubuh badannya
telah terbahagi kepada tiga. Ketiga-tiga tubuh badan Naga Hitam itu memegang
senjata yang berlainan rupa. Melihat kepada serangan yang menggerunkan itu,
jin-jin itu merapatkan tubuh lelaki itu agar menjadi perisai mereka. Akan
tetapi, mereka mengalami masalah untuk menyeimbangkan diri. Tali yang mengikat
lelaki dari puak Serigala itu hampir-hampir sahaja terurai. Serangan Naga Hitam
semakin hampir bersama aura cahaya yang sangat menyilaukan mata.
"Lepaskan dia, kalau
tidak aku hancurkan kamu semua di sini," jerit ketiga-tiga tubuh badan
Naga Hitam itu serentak. Mahu atau tidak, jin-jin itu akhirnya terpaksa
melepaskan jua tubuh lelaki itu lalu segera disambut oleh salah satu daripada
tubuh Naga Hitam. Sementara dua lagi tubuh Naga Hitam terus menyerang dan
menghancur lumatkan jin-jin tersebut.
Sungguh hebat kekuasaan Allah.
Tiada yang dapat mengatasi kekuasaan dan kekuatan Allah itu. Dengan izin Allah
Yang Maha Esa, Naga Hitam akhirnya berjaya membawa lelaki itu pulang ke
jasadnya semula. Akhirnya, Naga Hitam dan lelaki itu membuka mata mereka.
Sebaik sahaja matanya terbuka, lelaki itu terus bangun dan memuntahkan sesuatu
yang sangat busuk. Mujur salah seorang daripada pahlawan puak Serigala sempat
menadah muntahnya itu dengan sebuah bekas besi daripad tembaga.
Apa yang dimuntahkan itu
adalah darah pekat yang agak cair dan berwarna hitam. Mungkin ia adalah
daripada air yang diminum ketika di rumah tumpangan Marvick. Anak Serigala
segera menepuk belakang tubuh lelaki itu bagi mengeluarkan segala bisa dan
racun yang ada. Selepas ianya telah habis dikeluarkan, Naga Hitam segera
mengambil bekas muntah itu dan dibawanya keluar. Naga Hitam segera membacakan
ayat suci Al-Quran dan tiba-tiba muntah yang berada di dalam bekas tembaga itu
terbakar dengaan sendirinya. Setelah beberapa minit, kesan muntah itu sudah
tiada lalu dibawa masuk semula oleh Naga Hitam dan diberikan kepada Anak
Serigala.
Apa yang terjadi kepada lelaki
itu? Adakah Marvick mengetahui identitinya? Apakah kandungan air itu dan adakah
orang yang meminumnya sudah menjadi pengikut Marvick?
Bersambung…
Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.