Wednesday, December 19, 2012

Donnie Yen : Cabaran ‘Ip Man 3’, ‘Dragon’ dan ‘Steenbeck’

Filem Wu Xia diubah tajuknya di Amerika dikenali sebagai Dragon...

DONNIE YEN, kini di angkat sebagai ‘Lagenda Filem Seni Beladiri’, menceritakan tentang babak-babak pertarungan filem yang paling beliau ingati dan saat-saat delimanya dalam memilih pelakon yang selayaknya untuk mendokong watak ‘Bruce Lee’ di dalam filem sekuel Ip Man yang terbaru iaitu ‘Ip Man 3’.

Filem terbaru Donnie Yen di Action Fest ketika itu bertajuk ‘Wu Xia’. Namun, selepas itu Radius TWC meminda tajuk tersebut kepada ‘Dragon’. Ianya diterbitkan dipanggung wayang pada 30 November 2011 selepas VOD run. Donnie Yen memegang watak bekas penjenayah dan wira seni beladiri menyembunyikan identiti diri di sebuah kampung yang terpencil kerana insaf dari melakukan kejahatan. Wawancara ini dirakamkan melalui perbualan telefon kerana Donnie Yen kesibukan masa dalam menyiapkan filem terbaru yang sedang berlangsung iaitu Ip Man 3 dalam 3D. Ikuti sessi wawancaranya yang telah dirakamkan oleh laman web CraveOnline.com

Soalan : Adakah susah untuk anda membuat babak-babak pertarungan seni beladiri dalam filem yang sememang realitinya anda sendiri tidak mampu melakukannya?
Donnie Yen : Ianya subjektif pada seni itu sendiri. Untuk membina kerjaya yang kukuh dalam bidang perfileman, mustahil dalam jangka masa yang pendek, mesti memakan yang panjang serta pelbagai pengalaman yang ditempuhi. Begitu juga secara fizikalnya dalam seni beladiri. Mahu tak mahu anda perlu menjadi pakar dan menguasai seni beladiri untuk mendapatkan kualiti yang bagus dalam pembikinan filem aksi seni beladiri. Memang susah untuk diterangkan dengan cara begini tetapi apa yang telah kami lakukan ini boleh dikatakan ‘sofikated’ selepas 30 tahun yang lalu, sejak era ‘Bruce Lee’. Kini, setiap aspek dan elemen dalam seni beladiri boleh kita paparkan atau tontonkan dalam multimedia, tidak kira ianya di dalam filem, TV, internet, animasi, MTV, apa-apa sahaja, termasuk dikolabrasi dalam tarian. Cuba lihat dalam filem Hollywood sekarang, setiap pelakon utama yang ditawarkan watak aksi baik dari Spiderman ke Batman ke James Bond, Bourne Identity, setiap persembahan aksinya memerlukan pengetahuan dan kemahiran seni beladiri. Pada 30 tahun yang lalu ianya tidak begitu di Hollywood, untuk menjadi pelakon anda perlu menguasai lakonan, tarian dan menyanyi sahaja. Sekarang? Tidak lagi... jika anda bercita-cita menjadi pelakon aksi, salah satu syarat yang perlu ada dalam diri anda ialah kemahiran seni beladiri! Penggiat filem Hong Kong sudah 30 tahun ke depan mendahului mana-mana industri dalam pembikinan filem aksi seni beladiri. Masih teringat lagi pada zaman ‘batu’ industri filem kami, setiap hari kami berlatih terpaksa menumbuk dan menendang sehingga terkena muka untuk mendapatkan ‘shoot’ yang baik. Maklumlah, ketika itu filem kami dilabelkan dengan filem ‘popcorn’, ‘B-Movie’ atau ‘Sunday Mantinee Afternoon’. Kini tidak lagi, kami sudah diangkat sebahagian filem ‘mainstream commercial’.

Wang Yu atau namanya Jimmy Wang dan Kara Hui, adalah pelakon seni beladiri yang popular zaman 'Shaw Brothers' di Hong Kong.

Wang Yu (Jimmy Wang) datang dari era tersebut, adakah sukar untuk anda melakukan sessi koreografing aksi pertarungan dengannya dalam filem Dragon a.k.a Wu Xia?
Tidaklah sukar kerana beliau juga seorang yang berpengalaman. Koreografi babak pertarungan sememangnya perkara penting dan mula mendapat tempat industri perfileman. Ianya berkaitan dengan ekspresi tubuh badan atau bahasa tubuh. Contoh terbaik adalah filem Charlie Chaplin, yang mana kita semua menghargai dan memahami lakonan bahasa tubuh yang dilakonkannya dengan berkesan dalam filem tanpa suara. Cuba kita lihat kembali pada 70an atau jauh sikit, 60an, kebanyakkan filem seni beladiri datang daripada Hong Kong, kesemuanya tiada penekanan dalam jalan cerita yang menarik, tetapi ramai orang meminatinya. Semuanya disebabkan persembahan mantap seni beladiri itu sendiri. Disebabkan itu, penerbit filem Hong Kong mula mengorat langkah meluaskan pasaran kerana sedar peluang dan potensi genre filem aksi seni beladiri boleh menjadi ‘besar’ pada masa akan datang. Padahal, pada masa itu kami semua tidak tahu apa-apa secara mahir dalam pembikinan filem, semuanya daif. Kami semua memulakan perfileman dengan peralatan yang primitif. Dengan peralatan yang primitif itulah kami bermula dan kini, semuanya sudah berubah. Saya antara salah seorang yang datang dari generasi itu dan benar-benar memahami dunia sekeliling ketika itu. Apabila saya memulakan karier pada pertengahan 80an, saya membuat pemotongan filem di atas ‘steenbeck’. Pada ketika itu saya tidak tahu apa itu steenbeck. Apa itu steenbeck? ‘Mesin Suntingan’.
 
Semestinya saya tahu. Saya pernah gunakan ia ketika menuntut di sekolah perfileman?
Saya gunakan mesin itu untuk memotong filem aksi yang seperti kebiasaan jika anda tahu ianya mempunyai ratusan ‘shot’. Itu formula kebiasaan digunakan dalam membuat filem aksi. Terutama filem Kung Fu, terlalu banyak ‘fast cut’, maka beribu-ribu ‘shot’ telah dipisahkan menggunakan mesin steenbeck usang ini. Teringat dulu semasa saya membuat satu projek seni beladiri di China , mereka tiada langsung mesin steenbeck, yang mereka ada hanya mesin model Russia yang lama. Mesin tersebut hanya mempunyai 4 atau 8 roda sahaja. Tahukah kamu berapa punya teruk untuk melakukan suntingan menggunakan sebelah tangan? Walau bagaimanapun, itulah permulaan karier saya, dari situ juga saya mengambil peluang untuk menjadi pelakon, mempelajari selok belok lakonan dan cara-cara pembikinan filem yang sebenar.
 
Pengalaman bekerjasama dengan Wang Yu dan Kara Hui?
Bagus! Saya lebih suka bekerja dengan pelakon lama kerana saya boleh mempelajari banyak perkara daripada mereka terutama dari segi pengalamannya. Seronok dapat mendengar cerita-cerita lama ketika era mereka berlakon, ada masa kelakar ada masa sebaliknya. Kadang-kala, ianya perlu semasa penggambaran bagi menghilangkan stres terutama melibatkan pembikinan filem aksi yang mana saya sendiri menjadi pengarah aksi serta sering menuntut aksi yang berkualiti tinggi. Setiap filem saya akan cuba yang terbaik serta inovatif. Oleh itu, adalah baik jika kita seimbangkan perkara menghiburkan di dalam set bagi menjamin sesuatu kualiti.

Filem sekuel Ip Man banyak memberi impak dalam industri perfileman seni beladiri dunia...

Cerita Dragon a.k.a Wu Xia, adakah anda fikir ada persamaan dengan sebuah filem Amerika, A History of Violence?
Saya ada merujuk pada Peter Chan (pengarah), katanya, itulah inspirasinya.
 
Apa pendapat anda tentang tajuk Wu Xia ditukar kepada Dragon di Amerika Syarikat?
Tidak kisahlah apa yang syarikat fikirkan. Apa-apa yang berlaku itu luar bidang kuasa saya. Mereka lebih memahami dan mengetahui berhubung perkara pemasaran. Itu juga sebahagian dari bentuk seni itu sendiri. Saya selalu menasihati penggiat filem baru, ianya bukan sekadar tentang lakonan atau seni itu sendiri tetapi ianya melibatkan berapa kuat atau berapa besar sambutan penonton yang ingin menonton filem anda. Jika kita tidak berhati-hati dalam pemasaran filem ini, silap hari bulan tiada siapa yang akan minat menontonnya. Tidak kiralah berapa bagus anda mempamerkan aksi dalam filem tersebut, jika pemasaran tidak cermat ianya akan menemui kegagalan. Begitu juga perihalnya tentang nama atau tajuk. Syarikat rasa tajuk itu bagus dalam strategi pemasaran, maka baguslah ianya.
 
Bagaimana dengan filem Ip Man 3D?
Soalan yang baik. Ramai yang bertanyakan tentang Ip Man 3. Bila nak buat sambungannya. Terpulang pada masanya. Saya memahami bahawa peminat amat menyukai saya melakonkan watak Ip Man lagi. Saya memang menyukai watak Ip Man seperti yang saya bawa secara berkesan dalam dua filem sekuel yang sebelumnya (Ip Man 1 & 2). Ianya sebahagian dari kejayaan buat diri sendiri dalam karier ini tetapi ianya bukan perkara mudah. Saya bertemu dengan ramai pemuda, anak-anak kecil dan juga ibu-bapa, mereka berterima kasih kerana berjaya memberi inspirasi yang baik pada mereka melalui filem tersebut. Saya cadangkan jika anda mahu membuat filem tentang wira, sematkanlah unsur-unsur moral di dalamnya.
 
Saya fikir itulah puncanya anda mampu menjadikan watak tersebut hebat. Adakah projek Ip Man 3D ini adalah penyebab untuk anda kembali buat sekuel ini?
Yeah, semestinya. Saya tidak mahu ketinggalan bersama menjayakan filem ini sepertimana yang telah saya lakukan sebelum ini. Bayangkan filem Kung-Fu dimainkan dalam 3D? Wow! Pasti menakjubkan.

 
Ada tak anda membuat rujukan informasi tentang ‘The Grandmaster’, filem Wong Kar Wai?
Tidak banyak. Kalau ada pun, itu dulu-dulu. Saya lebih suka menonton dan memahami cara mereka bekerja pada lima tahun yang lepas dan berharap saya boleh mendapat sesuatu daripadanya.

Filem sekuel Ip Man & Ip Man 2 ada mengaitkannya dengan lagenda Bruce Lee. Adakah sekuel seterusnya akan melibatkan ‘Bruce Lee’ secara jelas?
Terpulang pada pengarahnya iaitu Wilson Yip, apakah beliau akan melakukannya. Ramai orang menantikan watak tersebut tetapi siapa yang mampu atau sesuai memegang watak tersebut? Terlalu banyak perkara atau ‘expectations’ berhubung watak tersebut. Beliau seorang ikon, bukan mudah bagi seseorang untuk menyamai dengannya, nampak mudah tetapi sukar sebaliknya. Kemungkinan atau tidak, kami tidak pasti berhubung perkara itu.
 
Saya setuju! Ianya salah satu teka-teki yang membuatkan filem ini akan hebat. Selain itu, filem kegemaran saya ‘Iron Monkey’, pada penghujung babak akhir pertarungan, anda berdiri diatas kayu pancang tinggi, adakah kabel yang dipakai cukup kuat untuk menampung berat dan imbangan anda diatas kayu tersebut?
Semestinya! pada ketika itu, belum ada lagi kepakaran CGI atau kefahaman, pengetahun dan bajet pun tidaklah sehebat sekarang. Kami gunakan api sebenar yang membakar lantai dibawahnya. Api membakar disekeliling kami, memang panas dan berbahaya. Jikalau waktu itu kabel putus, kami semua akan mati.
 
Walaupun masih disokong oleh kabel, namun kebarangkalian anda jatuh tetap ada?
Yeah, betul tu. Susah sebenarnya untuk melakukan koreografing pertarungan terutama diatas kayu pancang tinggi begini. Kami mesti membuat keputusan yang tepat. Ianya tidak kelihatan seperti kami membuat persiapan dalam masa sebulan atau dua bulan. Satu lagi perkara di Hong Kong atau mana-mana filem Hong Kong, kami tidak mempunyai masa yang banyak untuk membuat ‘rehearsal’.  Kenapa? Ianya tidak dipraktikkan dalam industri kami. Pembikinan filem kami bergerak pantas dan para pelakon sentiasa sibuk. Apabila anda mendapat skrip, anda perlu tandatangani kontrak, dapatkan kostum, cuba dua atau tiga kali dan mulakan kerja anda. Ok, kamu ada 65 babak, faham tak?

 
Dalam ‘The Lost Bladesman, terdapat babak yang baik, yang mana anda menutup pintu dan penonton tidak nampak langsung adegan pertarungan itu. Adakah itu perancangan koreografnya menggambarkan belaiu mampu mengalahkan semua lawannya?
Banyak perkara yang perlu saya sentuh sewaktu membuat koreograf untuk adegan itu. kami masih terikat dengan kebenaran catatan sejarah. Keduanya, kami kekurangan bajet untuk meneruskan adegan itu dengan lebih lama. Pengarah kata, “kami sudah tiada duit untuk mendapatkan lagi 1000 askar, tambahan pula, Jeneral Guan perlu membunuh 1000 askar dan perlu dirakamkan lagi. Saya fikir begitulah pengakhirannya.”
 
Bagaimana dengan pengalaman anda berlakon dalam filem Hollywood seperti ‘Shanghai Knight’, ‘Blade 2’ dan ‘Highlander : Endgame’?
Ada baik, ada buruknya. Saya belajar tentang organisasi, perancangan dan profesionalisma ‘mesin’ (bekerja). Di Hollywood, kadang-kala banyak sekatan yang mengganggu kreativiti kerja, ianya seperti 50 orang bawa trak, dan mereka selalu buat lencongan yang salah. Berbeza di sini, hanya seorang atau dua orang sahaja yang ‘call the shot’.
 
Terakhir, filem seni beladiri kegemaran anda?
Banyak, tetapi sudah tentu kesemuanya filem Bruce Lee, saya peminat fanatik beliau. Semua orang ada menyimpan filem-filem klasik seni beladiri, ada yang Jackie Chan atau Jet Li. Bagi saya, filem sekuel Ip Man, Kill Zone a.k.a Sha Po Lang (SPL) dan Flash Point, adalah sesuatu yang membanggakan buat saya. Saya harap saya mampu melakukan lagi di masa hadapan.

Monday, December 17, 2012

EP3 : Panduan Beladiri Wanita : JENAYAH FIZIKAL



Apa itu Jenayah Fizikal?
Jenayah Fizikal ini lebih menjurus kepada kesakitan, kemudaratan atau kecelakaan terhadap tubuh badan atau sebagainya. Lebih tepat ianya melibatkan perbuatan menyentuh, mencedera dan mendera secara kejam dengan serangan keras atau menyeksakan seperti rogol dan dera. Manakala culik dan buli tergolong dalam jenayah fizikal kelas dua. Kebanyakan mangsa dalam jenayah fizikal akan sengsara atau trauma dan melibatkan kematian pada individu.

Jenis-jenis Jenayah Fizikal
Apa itu Rogol?
Mengikut seksyen 375, panel kod Malaysia, seorang lelaki itu dikatakan telah melakukan perbuatan rogol jika dia telah mengadakan persetubuhan dengan seorang perempuan dalam keadaan-keadaan seperti berikut;-

  1. Tanpa kerelaan perempuan tersebut.
  1. Tanpa mendapat keizinan perempuan tersebut.
  1. Dengan kebenaran, tetapi kebenaran itu diperolehi dengan ugutan bunuh atau kecederaan kepada beliau atau kepada orang lain, atau menyalahanggap fakta yang sebenar dan lelaki tersebut tahu atau mempunyai sebab untuk percaya akibat dari salah anggapan tersebut.
  1. Dengan kebenaran perempuan tersebut tetapi dengan menipu.

  1. Dengan kebenaran, tetapi semasa kebenaran itu diberi, perempuan itu tidak faham apa sebenarnya yang berlaku dan akibatnya dari memberi kebenaran tersebut, contohnya sewaktu perempuan itu mabuk, kurang sedar dan kecacatan mental.
  1. Jika perempuan tersebut di bawah umur, walaupun dengan kebenaran.
  1. Ia berlaku apabila seseorang dipaksa melakukan hubungan seks tanpa kerelaannya (penis di masukkan kedalam vagina atau dubur mangsa tanpa mengira peringkat umur).
  1. Rogol boleh berlaku secara paksaan, ugutan atau pujuk rayu.
  1. Wanita dan kanak-kanak sering menjadi mangsa rogol.
  1. Wanita sering terperangkap apabila :
    • Tidak memahami implikasi hubungan seks.
    • Terpedaya dengan rawatan bomoh yang menggunakan seks sebagai rawatan.
    • Di bawah pengaruh dadah dan alkohol.
    • Terpedaya dengan pujukan lelaki yang dikenali/tidak dikenali untuk aktiviti sosial.

Klasfikasi Jenayah Rogol
Terdapat empat jenis jenayah rogol yang kerap berlaku di Malaysia. Ianya adalah seperti berikut;-

  1. Rogol Domestik
    • Rogol kategori ini berlaku di antara pasangan atau saudara terdekat dengan mereka. Kebiasaannya berlaku di rumah.
  1. Rogol Temujanji
    • Rogol yang ’berlangsung’ kerana perjanjian atau pertemuan dengan seseorang individu.
  1. Rogol Kenalan
    • Rogol yang dilakukan oleh rakan atau kenalan tidak kira peringkat umur tetapi bukan melalui kaedah temujanji.
  1. Rogol Orang Asing
    • Rogol yang terjadi akibat perbuatan kejam oleh orang yang tidak dikenali.
Cara yang paling baik untuk kita mengatasi atau menghadapi isu rogol ini adalah dengan mendidik dan mengambil berat tentang diri kita berhubung subjek ini. Selain itu, dapatkan bahan-bahan mengenai isu ini dan bincangkan bersama pakar atau rakan-rakan. Di samping, ringankan tulang anda melakukan aktiviti kesihatan dan bela diri.

Pada keluaran akan datang, akan dibincangkan dan dikongsi bersama dengan lebih mendalam lagi untuk isu jenayah membabitkan rogol. Sila ikuti sambungan artikel ini pada keluaran keluaran minggu depan dalam EP4 : Panduan Beladiri Wanita : JENAYAH HARTA BENDA, Insya-Allah ;-)

Monday, December 10, 2012

EP2 : Panduan Beladiri Wanita : INFO KESELAMATAN


BILAKAH kali terakhir anda berkata, ‘berhati-hati’? Barangkali kita berkata-kata mengenai berulang kali pada ahli keluarga kita, kawan-kawan dan juga pada orang yang kita tidak kenali. Tapi yang pastinya bukan itu yang menjadi perbincangan kita di sini. Cuma ianya memetik tentang keselamatan diri yang senang kita lafazkan tetapi kerap kita abaikan. Inilah topik yang ingin saya bincang dan kongsi dengan pembaca dalam BLOG ini yang bertajuk 'Panduan Beladiri Wanita'.

Untuk makluman, jenayah kini berlaku dalam pelbagai bentuk dan sifat. Malah ia kini menjadi sebahagian dari budaya dan hiburan bagi golongan mereka yang berstatus samseng! Walaupun sekolah-sekolah beladiri tumbuh melata di sekitar negara seluruh dunia, ia sedikit pun tidak mampu mendatangkan gentar di lubuk hati mereka yang bergelar samseng atau pembikin jenayah ini.
Situasi ini amat membimbangkan kita, apa yang akan terjadi pada generasi kita akan datang? ...Jawapannya ; hancur, punah-ranah dan yang paling menakutkan kita bakal dijajah semula!

Buat kaum wanita, anda perlu berhati-hati. Saya mengingatkan pada semua kerana anda golongan hawa ini sering dan senang terdedah kepada sasaran penjenayah. Memang tidak dinafikan, kaum lelaki juga turut menjadi sasaran tetapi semua pemangsa akan tertumpu pada golongan yang lemah dan senang di atasi.

Sebelum anda menjadi mangsa kepada pemangsa yang buas ini, lebih baik anda mempersiapkan diri dengan ilmu beladiri, bak kata orang, ‘tak dapat banyak pun tak apa, janji sedikit tu ada dan berkesan tapi jangan tiada langsung!’. Ingat!!! Bahaya akan menimpa anda tidak kira tempat dan masa, jangan berserah sahaja pada tuhan tanpa kita usahakan sesuatu.

Tahukah anda? Apakah bentuk bahaya yang sering menimpa diri buat seorang wanita? Disini klasfikasikan bahaya yang di hadapi oleh seorang wanita mengikut turutan...

JENIS-JENIS JENAYAH
3J’s. Singkatan daripada tajuk di atas iaitu jenis-jenis jenayah. Sebelum mempelajarinya, anda perlu kenali atau selidik dahulu jenis-jenis bahaya yang sering mendekati kaum wanita. Jenis-jenis Jenayah yang sering berlaku terbahagi kepada dua bahagian iaitu Jenayah Fizikal, Jenayah Harta Benda dan Jenayah Kejam dan Ganas. 

Wanita@Perempuan@Gadis@Anak Dara... Tidak Terlepas Dari Kanta 'Mata Pemangsa' (Penjenayah) Setiap Hari, Setiap Masa, Setiap Saat, Pasti Musibah Menanti Mereka Di Mana-Mana. Buktinya, Data Rekod Polis Menunjukkan Jenayah Rogol Negara Kita Puratanya Berlaku Mencecah 6 Kes Setiap Hari...

Terdapat tujuh bentuk jenayah yang sering berlaku di Malaysia ;
1. Jenayah Rogol (fizikal)
2. Jenayah Ragut (kejam & ganas)
3. Jenayah Bunuh (kejam & ganas)
4. Jenayah Rompak atau Samun (harta benda)
5. Jenayah Curi (Harta Benda)
6. Jenayah Buli (fizikal)
7. Jenayah Dera (fizikal)
8. Jenayah Culik (fizikal)
9. Jenayah Pecah Premis (harta benda)

Semua jenis-jenis jenayah yang tercatat di atas merupakan kebarangkalian bahaya yang akan ‘mengganggu’ para wanita. Kaum lelaki juga turut tidak terlepas dengan ancaman yang di sebutkan di atas, tetapi tidaklah masuk akal jika ada dikalangan kaum lelaki menjadi mangsa pada pemangsa rogol? Mungkin pemangsa itu perogol itu adalah gay atau pondan, itu ada kemungkinan...

Kenyatan ini bukan ingin menakut-nakutkan kaum wanita tetapi ianya ialah informasi dan  peringatan berguna supaya anda lebih berwaspada. Perlu diingat! Jenayah rogol yang sering menimpa wanita makin meningkat dari masa ke semasa. Kes rogol yang dilapor di negara ini meningkat sebanyak 31.5 peratus bagi tempoh Januari hingga September tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas, dengan lebih 70 peratus membabitkan mangsa berumur 18 tahun ke bawah.

Bagaimana untuk kita membanteras gejala rogol ini...Jawapannya satu satu sahaja! Anda sendiri yang boleh mengurangkan kadar bahaya itu jika anda berilmu dan mendalami ilmu bela diri. Jangan kita mengharapkan pihak berkuasa sahaja yang melakukan jika anda tidak mahu membantu dan berusaha melindungi diri sendiri. Harus diingat! Ianya juga bukan satu jaminan sekiranya memiliki ilmu bela diri jika kita mahir dan matang menggunakan ilmu yang dipelajari.

Atas rasa tanggungjawab dan azam untuk membantu, edisi asas ini saya akan beri penekanan kaedah mencegah dan mengatasi gejala jenayah seperti rogol, ragut dan bunuh. Sekiranya anda dapat menguasai ilmu bela diri wanita ini mengikut panduan, petua dan praktikalnya, bukan satu jaminan tetapi sekurang-kurangnya anda sudah mempunyai modal atau persediaan dan pendedahan untuk membela diri dalam satu sistem tapi berguna untuk semua. Ini bermakna apa yang akan anda pelajari di sini akan meningkatkan lagi keyakinan dan keupayaan anda untuk berhadapan dengan gejala ini.
Sila ikuti sambungan dalam EP3 : Panduan Beladiri Wanita : JENAYAH FIZIKAL pada keluaran akan datang minggu depan, Insya-Allah ;-)

Monday, December 03, 2012

EP1 : Panduan Beladiri Wanita : PENGENALAN


SEJAK kebelakangan ini pelbagai gejala negatif seperti rogol, rompak, ragut, buli, dera, bunuh dan penculikan kerap berlaku. Budaya negatif ini semakin menular mewarnai sebahagian daripada kehidupan manusia khususnya negara kita Malaysia. Disebabkan gejala itu, masyarakat setempat mula kembali prihatin betapa pentingnya ilmu beladiri dalam kehidupan seharian.

Tidak kira apa jenis seni beladiri pun ianya wajib diwarisi oleh kita untuk menghadapi gejala yang tidak sihat ini yang kian menular. Siapa lagi kalau bukan diri kita perlu bersedia membanteras gejala ini. Mangsa kepada pemangsa ini tidak kira peringkat usia, jantina atau status ; tua, muda atau kanak-kanak, miskin atau kaya, lelaki atau perempuan, kuat atau lemah semuanya akan menerima padah jika tidak berwaspada.

Atas kesedaran dan keprihatin, maka lahirlah 'Panduan bela diri wanita' yang telah diperkenalkan hasil daripada penyelidikan teori, praktikal dan pengalaman saya terdahulu. Di atas rasa tanggungjawab wajib di kongsi bersama, saya sedia memberi tunjuk ajar untuk golongan wanita yang mengambil berat tentang keselamatan dengan mempelajari dan memperkasakan diri selain satu langkah berjaga-jaga mempertahankan diri di saat tidak terduga. 

Apa itu 'Panduan bela diri wanita'? Ternyata ianya bukanlah satu penemuan baru dalam beladiri tetapi ia adalah cara atau sistem mudah yang berkesan untuk mempertahankan diri dalam bentuk realiti dan praktkal menggunakan kepelbagaian kaedah beladiri seperti SILAT dan MMA iaitu Mix-Martial Art. Gabungan teknik ini, maka terpaculah idea saya untuk menerbitkannya. Mudah-mudahan 'Panduan bela diri wanita' ini mendapat sokongan dari pelbagai pihak dalam menyebarkan ideologi bela diri dan keselamatan ini disamping berbakti pada semua masyarakat yang memerlukan.

Sila ikuti sambungannya dalam EP2 : Panduan Beladiri Wanita : INFO KESELAMATAN pada keluaran minggu depan, Insya-Allah ;-)

Sunday, November 25, 2012

'November Rain'


"...Kegagalan Tidak Bererti GAGAL Selamanya... Kita Mampu Merancang, Tuhan Menentukan... Tingkatkan Usaha..." Insya-Allah ;-)

SEPATUTNYA selepas menamatkan penggambaran filem BALUN, saya akan meneruskan projek seterusnya untuk sebuah filem berbajet rendah genre aksi dan sebuah drama bersiri 13 episod yang juga jurnal semi-aksi. Apa yang berlaku ialah kekecewaan apabila kedua-dua projek tersebut saya diketepikan walau pada awal perancangannya saya yang mengemudikannya. Biarlah... Tuhan lebih mengetahui, oleh itu, saya bermuhasabah diri kerana apa yang berlaku ada hikmah dan perlu bersabar... Bak kata Ustaz Azhar Idrus, "Ketika Tuhan Sesuatu Daripada Genggamanmu, Sedarlah, Dia Hanya Buka Tanganmu Untuk Menerima Sesuatu Yang Lebih Baik", Insya-Allah ;-) Kata-kata itu menguatkan semangat dan Imanku untuk maju walau terpaksa menempuhi kesukaran.

Hikmah disebaliknya rupa lebih dari itu, pertama, saya mempunyai kelapangan untuk memperbaiki diri dalam Agama, yang nyata sebelum begitu kesibukan sehingga melalaikan. Baru-baru ini, dapat kembali saya pergi ke kuliah Agama Ustaz Azhar Idrus... Alhamdulillah... Kedua, saya boleh memfokuskan kembali perancangan yang awal dahulu sepatut saya kerjakan terbengkalai dan kembali ke landasan untuk diusahakan seperti kelas silat, persembahan silat dan memberi tutorial tentang kesedaran beladiri. Dan ketiga, saya dapat kembali menulis diruang wawancara majalah-majalah seperti seni beladiri dan seleksi ang bakal dimuatkan pada keluaran akan datang pada majalah tersebut di samping menyampaikan maklumat tentang di laman blog dan facebook saya. Insya-Allah ;-)