MAHAGURU Naga Emas, sebelumnya
tiada gelaran apa-apa adalah seorang daripada pelajar Mahaguru Tanpa Nama.
Bersama adiknya Naga Hitam, mereka berguru ilmu pendekar dan ilmu agama dengan
Mahaguru Tanpa Nama. Setelah sekian lama berguru, Mahaguru Tanpa Nama telah
mengahwinkan kedua-dua anakandanya dengan kedua-dua anak muridnya itu.
Harapannya tinggi agar kedua-duanya dapat mengembangkan ilmunya selain berjuang
mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan Tanah Melayu yang bertuah ini.
Puteri Kencana, gadis yang
jelita dan menawan bak bulan purnama. Anak sulung Mahaguru Tanpa Nama itu telah
dikahwinkan kepada Naga Emas. Seorang wanita yang lemah lembut dan memiliki
keperibadian yang mulia. Puteri Kesuma, adinda Puteri Kencana pula dikahwinkan
dengan Naga Hitam. Wajahnya juga cantik dan manis, tak kalah jika hendak
dibandingkan dengan kekandanya itu. Seorang wanita yang punya semangat yang
tinggi dan kelihatan kuat zahir dan batin.
Tidak diketahui mengapa adanya
gelar nama Puteri pada pangkal nama kedua-dua anakanda Mahaguru Tanpa Nama itu.
Ini kerana Mahaguru Tanpa Nama seorang lelaki yang terlalu berahsia. Sejarah
silam hidupnya tidak dibenarkan dibuka atau ditanya. "Yang lalu biarkan
berlalu," kata-kata yang sering diungkapkan oleh Mahaguru Tanpa Nama. Mungkin
terlalu banyak peristiwa pahit dalam sejarah hidupnya. Naga Emas cuba
bertanyakan akan hal ini kepada isterinya, Puteri Kencana. Namun begitu jawapan
yang diterima amat menghampakan hati.
Puteri Kencana mengakui bahawa
dia tidak mengetahui peristiwa sebenar yang berlaku kerana mereka berdua masih
kecil dan tidak mengerti apa-apa pada ketika itu. Mahaguru Tanpa Nama ditemani
dua orang pahlawan handalan yang setia sehingga ke saat ini, menjadi
bayang-bayang yang jarang terlihat, namun akan muncul sekiranya Mahaguru Tanpa
Nama diancam musuh. "Kanda, usah ditanya lagi akan perihal perkara ini.
Benar, dinda tidak mengetahui kisah silam ayahanda kerana kami berdua ini telah
dilarikan ayahanda sejak kecil lagi. Yang lebih sakit dan menyedihkan, kami
tidak dapat mengingati siapakah bonda kami," begitulah jawapan Puteri
Kencana memberikan pandangan yang sayu dan kesedihan. Kelu Naga Emas untuk
melanjutkan pertanyaannya.
Jika benar Mahaguru Tanpa Nama
mahu melupakan peristiwa silam, mengapa tidak ditukarkan sahaja nama kedua-dua
puterinya itu? Bukankah ini akan membawa kesulitan dan bahaya di kemudian hari?
Apakah mungkin Mahaguru Tanpa Nama seorang kerabat diraja bergelar? Perkara ini
sering bermain di fikiran Naga Emas. Malah pernah dibincangkan bersama adiknya
Naga Hitam. Akan tetapi, Naga Hitam tidak mahu masuk campur akan perkara itu,
malah dia menasihatkan abangnya agar melupakan sahaja hajat untuk bertanyakan
perkara itu kepada mahaguru mereka.
Sebagai kayu pengukur dan
tanda aras kemajuan ilmu mereka, pertandingan antara kedua beradik itu sering
diadakan. Mahaguru Tanpa Nama mahu kedua-duanya bersaing secara adil. Dari situ
dia dapat melihat dan menilai keperibadian kedua-dua anak muridnya ini yang sangat
berbeza dari pelbagai segi. Naga Emas seorang pahlawan yang pintar, pantas dan
lebih bertimbang rasa berbanding Naga Hitam yang lebih gagah dan ganas.
Kedua-dua perkara ini menjadi perhatian Mahaguru Tanpa Nama akan hakikat
sebenar siapa antara mereka berdua yang layak menjadi pewarisnya. Bakal pewaris
segala ilmu dan bakal menjadi mahaguru seterusnya mesti memenuhi kriteria yang
ditetapkan olehnya yang hanya dirinya sendiri tahu.
"Aku sudah tua. Semakin
lama semakin dekat dengan kematian. Aku pohon agar keputusan yang akan aku
sampaikan ini dapat diterima dengan hati yang terbuka," Mahaguru Tanpa
Nama memulakan bicaranya sambil memandang kedua-dua anak muridnya itu penuh
pengharapan. "Marilah datang lebih dekat kepadaku. Duduk bersila di sini,
dan aku sendiri akan meletakkan tapak tanganku di kepala yang akan terpilih.
Buat yang tidak terpilih kelak, usahlah kecewa. Berilah kerjasama sebaiknya
kepada yang terpilih itu".
Kedua-dua adik beradik itu
kemudiannya melangkah ke hadapan dua tapak lagi sebelum duduk bersila. Selepas
itu, Mahaguru Tanpa Nama bangun dari duduk, berpusing-pusing beberapa kali di
antara mereka berdua. Tiba-tiba Mahaguru Tanpa Nama berhenti di belakang
mereka. Tangannya segera diangkat, lalu diletakkan di atas ubun-ubun salah
seorang dari dua beradik itu. Kehangatan terasa di kepala anak murid yang
terpilih itu, lalu dia pun bangun. Siapakah 'dia' yang terpilih itu?
Anak murid yang terpilih
menjadi pewaris segala ilmu Mahaguru Tanpa Nama adalah Naga Emas. Terpancar
sedikit kekecewaan di wajah Naga Hitam, namun dia cuba mengawal emosinya.
"Mengapa bukan aku yang terpilih?" Selepas pemilihan itu, Naga Emas
telah diberi tunjuk ajar akan segala ilmu rahsia milik Mahaguru Tanpa Nama.
Oleh kerana itu juga, Naga Hitam semakin cemburu dengan abangnya sendiri. Di
hatinya masih tersimpan rasa tidak puas hati dan hasad dengki yang meluap-luap.

"Sudah rezeki kanda Naga
Emas, wahai kanda pujaan hati beta. Usahlah bermuram durja, berilah sokongan kepadanya,"
bisik Puteri Kesuma kepada suami tercinta. Dia mahukan yang terbaik buat
suaminya itu, namun keputusan ayahandanya adalah muktamad. Tiada siapa dapat
mengubahnya lagi. "Usahlah dinda bimbang, kanda tak apa-apa. Kanda
menghormati keputusan ayahanda itu," balas Naga Hitam lalu memeluk
isterinya erat. Sambil dia memandang ke arah anakandanya yang masih kecil, dielus-elus dan diusap-usap wajah anakandanya
yang diberi nama Naga Sakti itu.
"Apakah begitu mudah kau
lepaskan semuanya kepada abang kau itu? Kau lebih gagah darinya dan lebih layak
menjadi pewaris". Tiba-tiba kedengaran satu suara mengejutkan Naga Hitam
yang sedang tidur lena. "Siapa kau? Apakah maksud kau berkata
begitu?" Naga Hitam seorang pahlawan yang berani dan tidak takut
menghadapi sebarang ancaman. Dia bersiap sedia menghadapi musuh yang tidak
kelihatan itu. "Aku bukan musuh kau. Aku datang mahu bantu kau rebut
peluang menjadi pewaris ilmu Tanpa Nama itu," balas suara itu lagi lebih
kuat dan bergema di seluruh bilik. Yang menghairankan hanya Naga Hitam yang
dapat mendengar suara itu. Isteri dan anaknya masih tidur lena.
Naga Hitam masih ragu-ragu.
Apakah dia sedang berbicara dengan manusia atau makhluk halus? Naga Hitam cuba
menenangkan dirinya, menarik nafas dan memejamkan matanya rapat-rapat. Dia cuba
memasuki alam kebatinan bagi mencari siapa yang berinteraksi dengannya. Naga
Hitam merasakan dirinya semakin lama semakin tenggelam dalam kegelapan. Tubuhnya
ditarik ke satu arah, lalu ditentang dengan segala kekuatan batin. Akan tetapi,
Naga Hitam telah terpelanting ke belakang.
Dia berjaya mendarat di atas
tanah yang hitam. Sebaik kekuda kakinya berjaya diperkukuhkan, Naga Hitam
menunggu sebarang serangan yang bakal dihadapinya. Dia merasakan satu angin
yang amat kuat datang menyerang, cuba menolak dan menjatuhkannya. Namun begitu,
Naga Hitam kekal bertahan. "Ha! Ha! Ha!" Kau memang seorang lelaki
yang gagah perkasa. Maka tak salah aku memilih kau bagi menjadi pewaris ilmu
aku ini," suara yang sama menjelma kembali, menerbitkan tanda tanya kepada
Naga Hitam.
"Siapa kau? Mengapa pula
aku mesti menjadi pewaris ilmu hitam kau?" Tempik Naga Hitam lagi.
Nampaknya Naga Hitam sudah dapat meneka makhluk yang cuba merapatinya. Oleh
kerana itu, makhluk itu tidak punya pilihan lain lagi selain menjelma terus di
hadapan Naga Hitam. Makhluk yang muncul mengejutkan Naga Hitam. Kerana ia
menyerupai dirinya, dengan aura naga hitam menyelubungi seluruh tubuhnya.
Matanya yang merah amat menyeramkan Naga Hitam. Dia tahu, makhluk yang ada di
hadapannya ini bukan manusia, tapi jin yang sentiasa menyesatkan manusia.
"Aku adalah kau, kau
adalah aku. Aku ini adalah diri kau pada masa hadapan. Terimalah aku, maka kau akan
mendapat kekuatan dan kuasa yang luarbiasa dan tiada tandingannya,"
makhluk itu terus cuba menghasut Naga Hitam. Akan tetapi, Naga Hitam bukan
mudah dipengaruhi walau hatinya mula terusik dengan ganjaran dan peluang di
depan mata. "Aku tahu kau adalah jin yang cuba memesongkan dan menyesatkan
hatiku ini dengan ganjaran sebagai pewaris ilmu hitam kau itu. Tak mungkin aku
mudah terpedaya dengan helah kau. Mari bertarung denganku jika kau benar-benar
hebat," cabar Naga Hitam.
Naga Hitam terus menyerang jin
yang menyerupainya itu, namun seperti angin ia menghilang. Kepantasan makhluk
itu luarbiasa, tiba-tiba ia menghembuskan sesuatu yang amat meloyakan dari
mulutnya. Keluar asap yang berbagai warna menyerang Naga Hitam. Naga Hitam
terpaksa memusingkan tangannya bagi menghalang angin berbisa itu dari
merapatinya. Namun begitu, putaran tangannya membuatkan asap berbisa itu
semakin merebak. Jin itu mula ketawa melihat perangkapnya telah mula mengena.
Walau ke mana jua Naga Hitam
mengelak, asap itu terus mengekori. Lalu dikeluarkan senjatanya iaitu tombak
pedang hitam. Naga Hitam perlu menghapuskan jin itu dengan segera, jika tidak
dia akan tewas. Naga Hitam terus menyerang jin itu. Tepat jangkaannya, asap
berbisa itu terus mengekorinya ke mana sahaja dia bergerak. Dengan kekuatan bak
seekor naga ganas, Naga Hitam menyerang balas. Namun jin itu kelihatan
bersahaja menghadapi serangan Naga Hitam itu. Malah asap berbisa yang disangka
Naga Hitam akan turut sama menyerang jin itu, disedut kembali dan dihembuskan
semula.
"Ha! Ha! Ha! Ini ruang
iblis kepunyaan aku. Sekali masuk, kau tidak mampu keluar. Dalam ruang ini, aku
yang mengawal segala-galanya," jeritan suara jin itu begitu kuat sehingga
menyakitkan telinga Naga Hitam. Sementara itu, asap berbisa kembali menyerang
Naga Hitam. Ia berjaya menembusi perisai pelindung tenaga batin Naga Hitam.
Kesakitan mula terasa apabila ia menyerang sendi-sendi dan saraf Naga Hitam. Naga
Hitam meningkatkan semula tenaga dalamnya. Cahaya kekuatannya mula muncul dan
semakin kuat menyebabkan jin itu mula gementar. Melihatkan akan perkara itu,
jin itu terbang dan meluncur ke arah Naga Hitam.
Ia terus menyerang Naga Hitam
dengan telapak tangan dan kukunya yang tajam. Merasakan ancaman dan serangan
semakin menghampirinya, Naga Hitam menahan serangan itu dengan telapak
tangannya. Terasa kesejukan mula menusuk ke dalam tulangnya. Jin itu cuba
membekukan tulang Naga Hitam, namun berjaya dihalang oleh kekuatan perisai
tenaga batin Naga Hitam. Serangan pertama tidak berjaya, lalu jin itu melayang
seperti angin dan menyerang tulang belakang Naga Hitam. Kesakitan kembali
terasa dan dia cuba menentang. Akan tetapi, jin itu telah mengubah corak
serangan dan ia terbang melayang ke udara dan menyerang ubun-ubun Naga Hitam.
Sebenarnya ia sudah nampak
kelemahan Naga Hitam, lalu dilancarkan serangan palsu ke bahagian tulang
belakang. Jin itu mengubah dirinya
menjadi asap hitam lalu menembusi ubun-ubun, telinga, mata dan mulut Naga
Hitam. Nampaknya ia cuba menguasai roh dan jasad Naga Hitam. Dengan cara itu,
jin itu akan mula membina istana di bahagian hati Naga Hitam yang sudah mula
rosak akibat perasaan cemburu dan hasad dengki. Apakah yang akan terjadi kepada Naga Hitam?
Apakah dia akan dikuasai oleh jin durjana itu? Atau mungkin dia dapat mengusir
jin itu dari hatinya?
Bersambung...
Karya : MS MALAWI
- Gambar dan ilustrasi adalah hiasan
semata-mata
- Cerita ini adalah cerita
rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan
orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia