Tuesday, December 25, 2012

EP5 : Panduan Beladiri Wanita : JENAYAH KEJAM & GANAS

”Atas sokongan para sahabatku di facebook, artikel ’Panduan Beladiri Wanita’ ini akan saya terbitkan 3 kali setiap minggu... terima kasih atas dorongan dan semangat untuk menerbitkan naskhah ini supaya dapat dikongsi bersama buat para pembaca artikel diblog saya ini, moga-moga ianya dapat memberi manfaat yang berguna buat semua. Sekian, terima kasih. Selamat Membaca Sambil Menimba Ilmu...”


Apa itu Jenayah Kejam dan Ganas?
Jenayah Kejam dan Ganas lebih menjurus kepada perbuatan kasar melalui serangan atau tindakan yang melibatkan kecelakaan pada fizikal dan melibatkan kehilangan dan rampasan barang serta wang ringgit atau pecah masuk premis. Jenayah kategori ini adalah lebih berat berbanding Jenayah Harta Benda seperti rompakan, kecurian dan pecah premis kerana ianya melibatkan dua aktiviti dalam satu masa seperti ragut.

Apa itu Bunuh?
Pengertian bunuh adalah menghentikan kehidupan seseorang atau makhluk yang dilakukan oleh individu ke atas individu lain sama ada dengan izin atau tanpa kerelaannya, sengaja atau tidak sengaja.

Di Malaysia, kes pembunuhan jelas berlaku tanpa mengenal usia, jantina, agama atau bangsa dan taraf kehidupan. Semua diancam bahaya yang sama tidak kira motif kes yang akan berlaku baik perkara kecil atau besar.

Secara purata setiap pembunuhan yang berlaku di Malaysia lapan per sepuluhnya berlaku dengan penggunaan senjata. Setiap satu daripada dua pembunuhan berlaku secara kejam dan ganas!

Oleh itu, jika anda menyangka kaum lelaki yang kerap mencetuskan permasalahan ini akan menjadi mangsa tertinggi adalah silap. Kini kaum wanita turut tidak terkecuali dan kerap terdedah pada bahaya ini. Wahai golongan hawa! Persiapkan diri anda untuk berdepan ancaman ini yang tidak dijangka dengan ilmu bela diri!


Apa itu Ragut?
Ragut bermaksud menyentak atau merampas sesuatu benda tanpa keizinan pemilik dan melarikannya. Kalau dahulu masyarakat tidak ambil kisah mengenai kes ragut yang dilabel sebagai Jenayah Harta Benda biarpun ada kalanya individu terbabit kehilangan sejumlah besar wang tunai dan barang kemas.

Ketika itu, kes ragut masih dianggap sebagai terpencil dan tidak memudaratkan mangsa. Namun perubahan masa telah menyaksikan ragut sebagai satu jenayah serius yang sejak akhir-akhir ini turut meragut nyawa manusia dan telah dikategorikan sebagai Jenayah Fizikal yang Kejam dan Ganas!

Walaupun kaum lelaki ada juga menjadi mangsa ragut tetapi jumlahnya adalah sedikit jika dibandingkan dengan kejadian ragut dikalangan wanita. Wahai para wanita, berhati-hatilah!!! Bagaimana untuk anda mencegahnya. Terdapat dua cara iaitu informasi dan bela diri.

Setiap masalah pasti ada pencegahannya, mungkin anda sendiri boleh menambah mana yang patut daripada senarai tips di bawah bagi menggelakkan anda menjadi mangsa seterusnya kes ragut. Tips elak jadi mangsa ragut, antaranya;-


a.   Letak beg tangan dalam bakul terbuka di depan motosikal.

b.   Simpan beg tangan dalam ruang atau tempat simpan berpenutup pada motosikal.

c.   Bawa dompet yang boleh disimpan dalam kocek.

d.   Bawa payung untuk melindungi diri bila berdepan penjenayah.

e.   Berjalan bertentangan arus kenderaan supaya boleh nampak tindakan mencurigakan.

f.    Berhati-hati setiap masa dan tunjukkan kelakuan seolah-olah sangat cermat.

g.   Berwaspada mengeluarkan duit daripada mesin ATM atau ketika keluar masuk bank.

h.   Ketika berjalan, rapatkan beg tangan ke badan dan pegang erat dengan kedua-dua tangan.

i.     Jangan tinggalkan dompet atau beg tangan atas meja ketika makan di kedai.

j.    Jangan tunjukkan pamerkan kandungan dompet, terutama wang tunai atau barang kemas.

Pada keluaran akan datang, saya akan bincang dan kongsikan bersama anda dengan lebih mendalam lagi untuk isu-isu jenayah yang lain. Sila ikuti sambungan artikel ini pada keluaran keluaran seterusnya dalam EP6 : Panduan Beladiri Wanita : JENIS-JENIS SENJATA PENJENAYAH, Insya-Allah ;-)

Monday, December 24, 2012

EP4 : Panduan Beladiri Wanita : JENAYAH HARTA BENDA



Apa itu Jenayah Harta Benda?
Jenayah Harta Benda lebih mudah diperkatakan kerana ianya tidak melibatkan kecelakan pada fizikal. Ianya hanya melibatkan kehilangan dan rampasan barang serta wang ringgit atau pecah masuk premis. Jenayah kategori ini adalah ringan sedikit berbanding Jenayah Fizikal yang dilabel lebih kejam dan ganas. Jenis-jenis jenayah harta benda adalah seperti rompakan, kecurian, pecah premis dan juga ragut.

Oleh kerana topik perbincangan di sini adalah perihal jenayah, eloklah juga anda memahami dan mengambil berat secara mendalam akan terminologi tertentu berkenaan beberapa isu yang bakal kita bincang dan terjemahkan.

Jenis-Jenis Jenayah Harta Benda
Apa itu Rompakan atau Samun?
Rompakan atau samun adalah jenayah berbentuk rampasan harta persendirian samada secara berdepan dengan pemilik tuannya atau secara mengejut kehadirannya dengan menggunakan pendekatan kekasaran atau kekerasan dan paksaan. Kekerasan atau paksaan di sini bukan sekadar peras ugut dengan tangan kosong tetapi melibatkan senjata api atau tajam.

*sila lihat huraian jenis-jenis senjata api dan tajam pada lampiran seterusnya.


Apa itu Kecurian?
Kecurian atau singkatan curi, bermaksud mengambil harta benda tuan pemilik (persendirian) tanpa keizinan dan dengan niat untuk sembunyi atau menghilangkan terus dari simpanan pemilik. Kecurian harta benda juga melibatkan kehilangan wang ringgit selain sesuatu barang atau aksesori.

Untuk pengetahuan, hampir 37 peratus kecurian berlaku dilaporkan adalah mengenai kecurian komponen-komponen dan aksesori kenderaan. Mungkin anda tidak sedar tetapi ramai orang sukar untuk membezakan antara jenayah-jenayah yang berlaku seperti apa itu rompak, curi dan pecah premis!

Apa itu Pecah Premis?
Pecah Premis boleh didefinisikan sebagai tindakan memecah mask rumah, kedai atau kawasan larangan persendirian untuk tujuan melakukan aktiviti mencuri terutama pada waktu malam. Namun begitu, ada juga aktiviti pecah premis di siang hari berlaku.


Mengikut statistik dan kajian, jenayah pecah premis dilaporkan 66 peratus berlaku di kediaman persendirian. Dua per tiga jenayah pecah premis berlaku adalah berbentuk ’paksaan masuk’ dan satu per tiga adalah kecuaian atau ’dibenar masuk’.

Pada keluaran akan datang, akan dibincangkan dan dikongsi bersama dengan lebih mendalam lagi untuk isu jenayah membabitkan rogol. Sila ikuti sambungan artikel ini pada keluaran keluaran minggu depan dalam EP5 : Panduan Beladiri Wanita : JENAYAH KEJAM & GANAS, Insya-Allah ;-)

Saturday, December 22, 2012

TOM YUM GOONG 2, Pecah Tradisi Tony Jaa




GET ready for a rumbleeee!!!! Amboi, macam jurucakap sukan gusti la pulak... maafkan saya, saja gurau-gurau... tetapi memang khas buat peminat fanatik Tony Jaa... Ya, benar, Tony Jaa akan muncul dengan naskhah aksi yang terbaru iaitu Tom Yum Goong 2 dalam bentuk 3D lagi... Cuma kali ini Tony Jaa akan membuat kelainan. Perbezaan kali ini, Tony Jaa akan melakukan aksinya dengan bantuan rigging dan CGI tidak seperti filem-filemnya yang sebelum.

JEEJA & JAA... Kali Pertama di Gandingkan... Bagaimanakah Impak Cerita Kali Ini?

Pada filem sebelumnya, baik Ong-Bak, bodyguard atau tom yum goong sendiri, dibawah pengarah yang sama iaitu Prachya Pinkaew ataupun Panna Rittikrai, semua aksinya Tony Jaa adalah tulen tanpa bantuan tali atau komputer grafik. Oleh itu, bagi peminat Tony Jaa semua, bersedialah untuk menonton kelainan filem Tom Yum Goong 2 dalam 3D ini akan menemui anda tidak lama lagi. Adakah anda berpuashati atau sebaliknya.

Barisan Pelakon Beladiri Thai & Amerika Bergabung Menjayakan TYG 2... Dari Kiri, Tony Jaa, Maresse Crump, Yanin Jeeja, Kazu Neda dan Dan Chupong.

Tambahan pula, filem yang diklasfikasikan filem aksi seni beladiri ini telah diperkuatkan oleh barisan pelakon seni beladiri Siam dan Amerika. Mereka terdiri daripada Yanin Jeeja a.k.a Jija Yanin (Chocolate, Raging Phenix, Kick), Dan Chupong (Born To Fight, Dynamite Warrior, Ong Bak 2 & 3), Kazu Neda a.k.a Kazu Tang (BKO : Bangkok Knockout, Raging Phoenix) dan Marrese Crump, pelakon beladiri Amerika yang pernah berlakon dalam filem Wrong Side of Town dan The Protector 2.

Pelakon Komedi... Mum Jokmok (dua dari kiri) Turut Di Kekalkan Bagi Menjaga Kesinambungan Cerita Ini...
 
Selain mengekalkan Tony Jaa, filem ini turut mengekalkan pelakon komedi Thai iaitu Mum Jokmok a.k.a Petchai Wongkamlao selain pengarah aksinya Panna Rittikrai. Kali ini pengarah aksinya terpaksa bekerja keras untuk memberi impak baru tidak seperti sebelumnya kerana ianya dilakukan dalan 3D. Filem sebelum ini seperti Mercury Man dan Dynamite Warrior kedua-duanya menggunakan teknik kabel dan CGI. Di harap filem ini ada kelainan aksi dan persembahannya.


Harapan peminat adalah tinggi apabila sesebuah filem aksi itu berjaya memberi impak, maka keluaran keduanya pasti peminat mahukan lebih dari yang pertama. Tunggulah keluarannya nanti yang akan diberitahu pada masa terdekat.

Wednesday, December 19, 2012

Donnie Yen : Cabaran ‘Ip Man 3’, ‘Dragon’ dan ‘Steenbeck’

Filem Wu Xia diubah tajuknya di Amerika dikenali sebagai Dragon...

DONNIE YEN, kini di angkat sebagai ‘Lagenda Filem Seni Beladiri’, menceritakan tentang babak-babak pertarungan filem yang paling beliau ingati dan saat-saat delimanya dalam memilih pelakon yang selayaknya untuk mendokong watak ‘Bruce Lee’ di dalam filem sekuel Ip Man yang terbaru iaitu ‘Ip Man 3’.

Filem terbaru Donnie Yen di Action Fest ketika itu bertajuk ‘Wu Xia’. Namun, selepas itu Radius TWC meminda tajuk tersebut kepada ‘Dragon’. Ianya diterbitkan dipanggung wayang pada 30 November 2011 selepas VOD run. Donnie Yen memegang watak bekas penjenayah dan wira seni beladiri menyembunyikan identiti diri di sebuah kampung yang terpencil kerana insaf dari melakukan kejahatan. Wawancara ini dirakamkan melalui perbualan telefon kerana Donnie Yen kesibukan masa dalam menyiapkan filem terbaru yang sedang berlangsung iaitu Ip Man 3 dalam 3D. Ikuti sessi wawancaranya yang telah dirakamkan oleh laman web CraveOnline.com

Soalan : Adakah susah untuk anda membuat babak-babak pertarungan seni beladiri dalam filem yang sememang realitinya anda sendiri tidak mampu melakukannya?
Donnie Yen : Ianya subjektif pada seni itu sendiri. Untuk membina kerjaya yang kukuh dalam bidang perfileman, mustahil dalam jangka masa yang pendek, mesti memakan yang panjang serta pelbagai pengalaman yang ditempuhi. Begitu juga secara fizikalnya dalam seni beladiri. Mahu tak mahu anda perlu menjadi pakar dan menguasai seni beladiri untuk mendapatkan kualiti yang bagus dalam pembikinan filem aksi seni beladiri. Memang susah untuk diterangkan dengan cara begini tetapi apa yang telah kami lakukan ini boleh dikatakan ‘sofikated’ selepas 30 tahun yang lalu, sejak era ‘Bruce Lee’. Kini, setiap aspek dan elemen dalam seni beladiri boleh kita paparkan atau tontonkan dalam multimedia, tidak kira ianya di dalam filem, TV, internet, animasi, MTV, apa-apa sahaja, termasuk dikolabrasi dalam tarian. Cuba lihat dalam filem Hollywood sekarang, setiap pelakon utama yang ditawarkan watak aksi baik dari Spiderman ke Batman ke James Bond, Bourne Identity, setiap persembahan aksinya memerlukan pengetahuan dan kemahiran seni beladiri. Pada 30 tahun yang lalu ianya tidak begitu di Hollywood, untuk menjadi pelakon anda perlu menguasai lakonan, tarian dan menyanyi sahaja. Sekarang? Tidak lagi... jika anda bercita-cita menjadi pelakon aksi, salah satu syarat yang perlu ada dalam diri anda ialah kemahiran seni beladiri! Penggiat filem Hong Kong sudah 30 tahun ke depan mendahului mana-mana industri dalam pembikinan filem aksi seni beladiri. Masih teringat lagi pada zaman ‘batu’ industri filem kami, setiap hari kami berlatih terpaksa menumbuk dan menendang sehingga terkena muka untuk mendapatkan ‘shoot’ yang baik. Maklumlah, ketika itu filem kami dilabelkan dengan filem ‘popcorn’, ‘B-Movie’ atau ‘Sunday Mantinee Afternoon’. Kini tidak lagi, kami sudah diangkat sebahagian filem ‘mainstream commercial’.

Wang Yu atau namanya Jimmy Wang dan Kara Hui, adalah pelakon seni beladiri yang popular zaman 'Shaw Brothers' di Hong Kong.

Wang Yu (Jimmy Wang) datang dari era tersebut, adakah sukar untuk anda melakukan sessi koreografing aksi pertarungan dengannya dalam filem Dragon a.k.a Wu Xia?
Tidaklah sukar kerana beliau juga seorang yang berpengalaman. Koreografi babak pertarungan sememangnya perkara penting dan mula mendapat tempat industri perfileman. Ianya berkaitan dengan ekspresi tubuh badan atau bahasa tubuh. Contoh terbaik adalah filem Charlie Chaplin, yang mana kita semua menghargai dan memahami lakonan bahasa tubuh yang dilakonkannya dengan berkesan dalam filem tanpa suara. Cuba kita lihat kembali pada 70an atau jauh sikit, 60an, kebanyakkan filem seni beladiri datang daripada Hong Kong, kesemuanya tiada penekanan dalam jalan cerita yang menarik, tetapi ramai orang meminatinya. Semuanya disebabkan persembahan mantap seni beladiri itu sendiri. Disebabkan itu, penerbit filem Hong Kong mula mengorat langkah meluaskan pasaran kerana sedar peluang dan potensi genre filem aksi seni beladiri boleh menjadi ‘besar’ pada masa akan datang. Padahal, pada masa itu kami semua tidak tahu apa-apa secara mahir dalam pembikinan filem, semuanya daif. Kami semua memulakan perfileman dengan peralatan yang primitif. Dengan peralatan yang primitif itulah kami bermula dan kini, semuanya sudah berubah. Saya antara salah seorang yang datang dari generasi itu dan benar-benar memahami dunia sekeliling ketika itu. Apabila saya memulakan karier pada pertengahan 80an, saya membuat pemotongan filem di atas ‘steenbeck’. Pada ketika itu saya tidak tahu apa itu steenbeck. Apa itu steenbeck? ‘Mesin Suntingan’.
 
Semestinya saya tahu. Saya pernah gunakan ia ketika menuntut di sekolah perfileman?
Saya gunakan mesin itu untuk memotong filem aksi yang seperti kebiasaan jika anda tahu ianya mempunyai ratusan ‘shot’. Itu formula kebiasaan digunakan dalam membuat filem aksi. Terutama filem Kung Fu, terlalu banyak ‘fast cut’, maka beribu-ribu ‘shot’ telah dipisahkan menggunakan mesin steenbeck usang ini. Teringat dulu semasa saya membuat satu projek seni beladiri di China , mereka tiada langsung mesin steenbeck, yang mereka ada hanya mesin model Russia yang lama. Mesin tersebut hanya mempunyai 4 atau 8 roda sahaja. Tahukah kamu berapa punya teruk untuk melakukan suntingan menggunakan sebelah tangan? Walau bagaimanapun, itulah permulaan karier saya, dari situ juga saya mengambil peluang untuk menjadi pelakon, mempelajari selok belok lakonan dan cara-cara pembikinan filem yang sebenar.
 
Pengalaman bekerjasama dengan Wang Yu dan Kara Hui?
Bagus! Saya lebih suka bekerja dengan pelakon lama kerana saya boleh mempelajari banyak perkara daripada mereka terutama dari segi pengalamannya. Seronok dapat mendengar cerita-cerita lama ketika era mereka berlakon, ada masa kelakar ada masa sebaliknya. Kadang-kala, ianya perlu semasa penggambaran bagi menghilangkan stres terutama melibatkan pembikinan filem aksi yang mana saya sendiri menjadi pengarah aksi serta sering menuntut aksi yang berkualiti tinggi. Setiap filem saya akan cuba yang terbaik serta inovatif. Oleh itu, adalah baik jika kita seimbangkan perkara menghiburkan di dalam set bagi menjamin sesuatu kualiti.

Filem sekuel Ip Man banyak memberi impak dalam industri perfileman seni beladiri dunia...

Cerita Dragon a.k.a Wu Xia, adakah anda fikir ada persamaan dengan sebuah filem Amerika, A History of Violence?
Saya ada merujuk pada Peter Chan (pengarah), katanya, itulah inspirasinya.
 
Apa pendapat anda tentang tajuk Wu Xia ditukar kepada Dragon di Amerika Syarikat?
Tidak kisahlah apa yang syarikat fikirkan. Apa-apa yang berlaku itu luar bidang kuasa saya. Mereka lebih memahami dan mengetahui berhubung perkara pemasaran. Itu juga sebahagian dari bentuk seni itu sendiri. Saya selalu menasihati penggiat filem baru, ianya bukan sekadar tentang lakonan atau seni itu sendiri tetapi ianya melibatkan berapa kuat atau berapa besar sambutan penonton yang ingin menonton filem anda. Jika kita tidak berhati-hati dalam pemasaran filem ini, silap hari bulan tiada siapa yang akan minat menontonnya. Tidak kiralah berapa bagus anda mempamerkan aksi dalam filem tersebut, jika pemasaran tidak cermat ianya akan menemui kegagalan. Begitu juga perihalnya tentang nama atau tajuk. Syarikat rasa tajuk itu bagus dalam strategi pemasaran, maka baguslah ianya.
 
Bagaimana dengan filem Ip Man 3D?
Soalan yang baik. Ramai yang bertanyakan tentang Ip Man 3. Bila nak buat sambungannya. Terpulang pada masanya. Saya memahami bahawa peminat amat menyukai saya melakonkan watak Ip Man lagi. Saya memang menyukai watak Ip Man seperti yang saya bawa secara berkesan dalam dua filem sekuel yang sebelumnya (Ip Man 1 & 2). Ianya sebahagian dari kejayaan buat diri sendiri dalam karier ini tetapi ianya bukan perkara mudah. Saya bertemu dengan ramai pemuda, anak-anak kecil dan juga ibu-bapa, mereka berterima kasih kerana berjaya memberi inspirasi yang baik pada mereka melalui filem tersebut. Saya cadangkan jika anda mahu membuat filem tentang wira, sematkanlah unsur-unsur moral di dalamnya.
 
Saya fikir itulah puncanya anda mampu menjadikan watak tersebut hebat. Adakah projek Ip Man 3D ini adalah penyebab untuk anda kembali buat sekuel ini?
Yeah, semestinya. Saya tidak mahu ketinggalan bersama menjayakan filem ini sepertimana yang telah saya lakukan sebelum ini. Bayangkan filem Kung-Fu dimainkan dalam 3D? Wow! Pasti menakjubkan.

 
Ada tak anda membuat rujukan informasi tentang ‘The Grandmaster’, filem Wong Kar Wai?
Tidak banyak. Kalau ada pun, itu dulu-dulu. Saya lebih suka menonton dan memahami cara mereka bekerja pada lima tahun yang lepas dan berharap saya boleh mendapat sesuatu daripadanya.

Filem sekuel Ip Man & Ip Man 2 ada mengaitkannya dengan lagenda Bruce Lee. Adakah sekuel seterusnya akan melibatkan ‘Bruce Lee’ secara jelas?
Terpulang pada pengarahnya iaitu Wilson Yip, apakah beliau akan melakukannya. Ramai orang menantikan watak tersebut tetapi siapa yang mampu atau sesuai memegang watak tersebut? Terlalu banyak perkara atau ‘expectations’ berhubung watak tersebut. Beliau seorang ikon, bukan mudah bagi seseorang untuk menyamai dengannya, nampak mudah tetapi sukar sebaliknya. Kemungkinan atau tidak, kami tidak pasti berhubung perkara itu.
 
Saya setuju! Ianya salah satu teka-teki yang membuatkan filem ini akan hebat. Selain itu, filem kegemaran saya ‘Iron Monkey’, pada penghujung babak akhir pertarungan, anda berdiri diatas kayu pancang tinggi, adakah kabel yang dipakai cukup kuat untuk menampung berat dan imbangan anda diatas kayu tersebut?
Semestinya! pada ketika itu, belum ada lagi kepakaran CGI atau kefahaman, pengetahun dan bajet pun tidaklah sehebat sekarang. Kami gunakan api sebenar yang membakar lantai dibawahnya. Api membakar disekeliling kami, memang panas dan berbahaya. Jikalau waktu itu kabel putus, kami semua akan mati.
 
Walaupun masih disokong oleh kabel, namun kebarangkalian anda jatuh tetap ada?
Yeah, betul tu. Susah sebenarnya untuk melakukan koreografing pertarungan terutama diatas kayu pancang tinggi begini. Kami mesti membuat keputusan yang tepat. Ianya tidak kelihatan seperti kami membuat persiapan dalam masa sebulan atau dua bulan. Satu lagi perkara di Hong Kong atau mana-mana filem Hong Kong, kami tidak mempunyai masa yang banyak untuk membuat ‘rehearsal’.  Kenapa? Ianya tidak dipraktikkan dalam industri kami. Pembikinan filem kami bergerak pantas dan para pelakon sentiasa sibuk. Apabila anda mendapat skrip, anda perlu tandatangani kontrak, dapatkan kostum, cuba dua atau tiga kali dan mulakan kerja anda. Ok, kamu ada 65 babak, faham tak?

 
Dalam ‘The Lost Bladesman, terdapat babak yang baik, yang mana anda menutup pintu dan penonton tidak nampak langsung adegan pertarungan itu. Adakah itu perancangan koreografnya menggambarkan belaiu mampu mengalahkan semua lawannya?
Banyak perkara yang perlu saya sentuh sewaktu membuat koreograf untuk adegan itu. kami masih terikat dengan kebenaran catatan sejarah. Keduanya, kami kekurangan bajet untuk meneruskan adegan itu dengan lebih lama. Pengarah kata, “kami sudah tiada duit untuk mendapatkan lagi 1000 askar, tambahan pula, Jeneral Guan perlu membunuh 1000 askar dan perlu dirakamkan lagi. Saya fikir begitulah pengakhirannya.”
 
Bagaimana dengan pengalaman anda berlakon dalam filem Hollywood seperti ‘Shanghai Knight’, ‘Blade 2’ dan ‘Highlander : Endgame’?
Ada baik, ada buruknya. Saya belajar tentang organisasi, perancangan dan profesionalisma ‘mesin’ (bekerja). Di Hollywood, kadang-kala banyak sekatan yang mengganggu kreativiti kerja, ianya seperti 50 orang bawa trak, dan mereka selalu buat lencongan yang salah. Berbeza di sini, hanya seorang atau dua orang sahaja yang ‘call the shot’.
 
Terakhir, filem seni beladiri kegemaran anda?
Banyak, tetapi sudah tentu kesemuanya filem Bruce Lee, saya peminat fanatik beliau. Semua orang ada menyimpan filem-filem klasik seni beladiri, ada yang Jackie Chan atau Jet Li. Bagi saya, filem sekuel Ip Man, Kill Zone a.k.a Sha Po Lang (SPL) dan Flash Point, adalah sesuatu yang membanggakan buat saya. Saya harap saya mampu melakukan lagi di masa hadapan.

Monday, December 17, 2012

EP3 : Panduan Beladiri Wanita : JENAYAH FIZIKAL



Apa itu Jenayah Fizikal?
Jenayah Fizikal ini lebih menjurus kepada kesakitan, kemudaratan atau kecelakaan terhadap tubuh badan atau sebagainya. Lebih tepat ianya melibatkan perbuatan menyentuh, mencedera dan mendera secara kejam dengan serangan keras atau menyeksakan seperti rogol dan dera. Manakala culik dan buli tergolong dalam jenayah fizikal kelas dua. Kebanyakan mangsa dalam jenayah fizikal akan sengsara atau trauma dan melibatkan kematian pada individu.

Jenis-jenis Jenayah Fizikal
Apa itu Rogol?
Mengikut seksyen 375, panel kod Malaysia, seorang lelaki itu dikatakan telah melakukan perbuatan rogol jika dia telah mengadakan persetubuhan dengan seorang perempuan dalam keadaan-keadaan seperti berikut;-

  1. Tanpa kerelaan perempuan tersebut.
  1. Tanpa mendapat keizinan perempuan tersebut.
  1. Dengan kebenaran, tetapi kebenaran itu diperolehi dengan ugutan bunuh atau kecederaan kepada beliau atau kepada orang lain, atau menyalahanggap fakta yang sebenar dan lelaki tersebut tahu atau mempunyai sebab untuk percaya akibat dari salah anggapan tersebut.
  1. Dengan kebenaran perempuan tersebut tetapi dengan menipu.

  1. Dengan kebenaran, tetapi semasa kebenaran itu diberi, perempuan itu tidak faham apa sebenarnya yang berlaku dan akibatnya dari memberi kebenaran tersebut, contohnya sewaktu perempuan itu mabuk, kurang sedar dan kecacatan mental.
  1. Jika perempuan tersebut di bawah umur, walaupun dengan kebenaran.
  1. Ia berlaku apabila seseorang dipaksa melakukan hubungan seks tanpa kerelaannya (penis di masukkan kedalam vagina atau dubur mangsa tanpa mengira peringkat umur).
  1. Rogol boleh berlaku secara paksaan, ugutan atau pujuk rayu.
  1. Wanita dan kanak-kanak sering menjadi mangsa rogol.
  1. Wanita sering terperangkap apabila :
    • Tidak memahami implikasi hubungan seks.
    • Terpedaya dengan rawatan bomoh yang menggunakan seks sebagai rawatan.
    • Di bawah pengaruh dadah dan alkohol.
    • Terpedaya dengan pujukan lelaki yang dikenali/tidak dikenali untuk aktiviti sosial.

Klasfikasi Jenayah Rogol
Terdapat empat jenis jenayah rogol yang kerap berlaku di Malaysia. Ianya adalah seperti berikut;-

  1. Rogol Domestik
    • Rogol kategori ini berlaku di antara pasangan atau saudara terdekat dengan mereka. Kebiasaannya berlaku di rumah.
  1. Rogol Temujanji
    • Rogol yang ’berlangsung’ kerana perjanjian atau pertemuan dengan seseorang individu.
  1. Rogol Kenalan
    • Rogol yang dilakukan oleh rakan atau kenalan tidak kira peringkat umur tetapi bukan melalui kaedah temujanji.
  1. Rogol Orang Asing
    • Rogol yang terjadi akibat perbuatan kejam oleh orang yang tidak dikenali.
Cara yang paling baik untuk kita mengatasi atau menghadapi isu rogol ini adalah dengan mendidik dan mengambil berat tentang diri kita berhubung subjek ini. Selain itu, dapatkan bahan-bahan mengenai isu ini dan bincangkan bersama pakar atau rakan-rakan. Di samping, ringankan tulang anda melakukan aktiviti kesihatan dan bela diri.

Pada keluaran akan datang, akan dibincangkan dan dikongsi bersama dengan lebih mendalam lagi untuk isu jenayah membabitkan rogol. Sila ikuti sambungan artikel ini pada keluaran keluaran minggu depan dalam EP4 : Panduan Beladiri Wanita : JENAYAH HARTA BENDA, Insya-Allah ;-)