Thursday, April 22, 2021

5 Puak (Episod 12 : Pertarungan Antara Puak)

 

PUSINGAN akhir adalah perlawanan di antara puak harimau dan puak helang. Dua puak ini adalah puak yang paling handal dan tiada tandingan sejak zaman berzaman. Begitu juga dengan guru mereka, sering bersaing di peringkat akhir dalam pertandingan terdahulu. Pertarungan telah bermula. Anak Harimau menentang Anak Helang pada pusingan yang pertama. Pertarungan sengit bermula sejak nafas dan langkah pertama mereka berpadu. Tiada kesempatan untuk mereka berehat dan melepaskan lelah. Pertarungan sengit yang sudah dapat dijangka, kerana kedua-duanya adalah anak murid harapan kedua-dua puak. Pertarungan tangan kosong dengan kemahiran yang luarbiasa dipersembahkan di hadapan tetamu kehormat membuatkan Maharaja Segumpal Satria begitu kagum.

"Darah muda mereka semakin panas membara. Semoga tiada antara mereka mengalami kecelakaan," bisik hati Maharaja Segumpal Satria.

Pertarungan antara mereka berdua boleh dikatakan bertemu buku dengan ruas. Namun begitu, tiada satu pun serangan yang mengenai lawan masing-masing dek kerana kepantasan mereka mengelak semua serangan. Mereka saling mengenali antara satu sama lain, begitu jua teknik pertarungan yang sering digunakan. Tiba-tiba, Anak Harimau seperti cuba melarikan dirinya. Dia tidak langsung cuba menyerang balas, dan pergerakannya mula tidak tentu arah. Anak Helang segera mengambil kesempatan ini untuk menyerang. Anak Harimau jatuh terbaring di atas tanah. Setiap serangan Anak Helang cuba dielak tanpa dilihatnya. Amat menghairankan Anak Helang kerana tiada satu pun serangannya mengenai sasaran.

Anak Helang mencuba serangan dari udara. Teknik ini jarang menghampakannya, lalu digunakan sebagai senjata yang paling ampuh buatnya. Tiba-tiba, Anak Harimau memusingkan kakinya dalam keadaan kaki ke atas. Tangannya mencengkam tanah dan Anak Harimau tiba-tiba melonjak ke belakang. Serangan balas ini mengejutkan Anak Helang namun segalanya sudah terlambat. Kaki Anak Harimau telah berjaya menangkap kedua-dua belah tangan Anak Helang. Tok Harimau juga terkejut dengan serangan itu. Nampaknya Anak Harimau telah berjaya mengubah teknik hamburan menjadi teknik yang terbalik. Anak Harimau segera memusingkan tangan Anak Helang. Jika dia terus berkeras, tanganya mungkin akan patah. Anak Helang seorang yang bijaksana. Dia tahu bagaimana mahu menyesuaikan diri dengan sebarang serangan mengejut. Seperti aluran air di dalam sungai, begitulah pergerakan Anak Helang.

Pergerakan badannya turut sama mengikut corak serangan Anak Harimau.  Merasakan sesuatu yang pelik telah berlaku, Anak Harimau segera menyerang balas. Dilantunkan Anak Helang ke udara, lalu Anak Harimau menghambur dan menyerang balas dengan tangan dan kakinya. Udara adalah kelebihan dan keistimewaan buat Anak Helang. Ketika dilantunkan oleh Anak Harimau, Anak Helang turut sama menyerang balas. Kini barulah berlaku pertembungan antara mereka berdua. Pertarungan mereka sebenarnya baru bermula. Pertembungan itu membuatkan kedua-duanya melantun ke belakang. Nafas mereka mula tidak keruan, inilah masanya merehatkan nafas buat sementara waktu, mengumpul dan memulihkan tenaga dengan segera. Semasa tempoh bertenang itu, barulah mereka sedar seluar dan baju mereka sedikit terkoyak di beberapa tempat.

Kekuatan mereka hampir setara. Anak Harimau mula bertari teknik harimau sebagai cara penyembuhan otot dan sendi-sendinya. Anak Helang sudah tidak mahu bertangguh lagi. Dia mesti menewaskan Anak Harimau yang sering menewaskannya dalam setiap pertarungan. Dengan pergerakan yang pantas, Anak Helang berlari ke arah Anak Harimau. Kemudian dia melompat ke udara, mengembangkan kedua-dua tangannya seperti seekor helang yang terbang di udara. Kekuatannya telah dipertingkatkan. Satu serangan berbentuk cengkaman terus dihujankan ke arah Anak Harimau. Anak Harimau sudah lama menunggu. Tenaganya sudah hampir pulih sepenuhnya, lalu Anak Harimau segera menyerang balas dengan cakaran. Cengkaman bertemu cakaran, namun Anak Helang tiba-tiba mengubah bentuk serangan. Dia memusingkan badannya lalu menyerang dengan kakinya yang pantas.

Perubahan pantas begitu menyebabkan Anak Harimau kelam kabut. Beberapa tendangan Anak Helang mengenai beberapa tubuh badannya. Anak Harimau mula berasa kesakitan. Dalam satu raungan yang kuat, Anak Harimau sekali lagi menggunakan serangan sebelumnya yang dinamakan sebagai Serangan Ekor Harimau. Kali ini, tendangan itu lebih kepada bentuk libasan ekor hariyanmau g tepat mengenai kepala Anak Helang. Anak Helang telah mengalami kecederaan. Dia jatuh terbaring di atas lantai dan kemudian tidak sedarkan diri lagi. Kemenangan pertama nyata milik puak harimau. Mereka semua mula bersorak gembira. Keadaan meriah di puncak gunung tidak dapat dirasai oleh orang-orang di kaki gunung. Para pahlawan dari 5 puak yang ditugaskan berkawal, sedang meronda di setiap keliling kawasan perkampungan. Kali ini tiada peraturan ketat antara puak kerana mereka bergabung tenaga bersama panglima dari kerajaan Segumpal.

"Apakah firasat Mahaguru Naga Emas itu benar? Tidak pula ada pergerakan atau musuh yang mencurigakan. Semuanya baik-baik sahaja," bisik hati Panglima Besar kepada Maharaja Segumpal Satria.

Segala laporan disampaikan terus kepada Panglima Besar. Tiada satu pun yang tertinggal dalam setiap pemerhatian mereka. Namun begitu, mereka tidak boleh alpa dan leka. Tiba-tiba, segumpal asap berwarna putih mula 'menyerang' mereka. Panglima Besar mula tidak senang duduk. Bersama para panglima yang lain, dia mula menyerbu ke arah asap putih itu. Mereka mula menyerang, namun serangan mereka sia-sia sahaja. Serangan mereka hanya serangan angin. Sia-sia sahaja dan hanya menghabiskan tenaga dan masa. Namun begitu, mata mereka mulai terasa pedih, begitu juga pernafasan mereka. "Berundur, berundur segera," Panglima Besar mulai cemas dengan keadaan itu. Beberapa orang panglima sempat melarikan diri, namun begitu asap putih itu telah memakan mangsanya. Yang tidak sempat melarikan diri mulai berasa sengsara. Asap putih itu bukan sahaja menyerang setiap saraf dan sendi, malah terus memberi kejutan pada jantung mereka.

Panglima Besar tidak mahu mengambil sebarang risiko lagi. Segera diarahkan para pemanah agar menyerang dengan panah berapi. Panglima-panglima yang terperangkap di dalamnya sudah tidak dapat diselamatkan lagi.

"Ha ha ha ha! Sangat kejam seorang panglima kepada orang bawahannya. Sungguh aku tidak sangka," satu suara yang memekakkan telinga bergema di udara. Namun begitu, masih belum terlihat akan sosok empunya suara.

Panglima Besar bersama para panglima dan pahlawan puak mula bersiap siaga. Musuh yang datang ini sangat menggerunkan. Belum kelihatan tapi sudah amat menakutkan. Dari kepulan asap putih itu, tiba-tiba api yang panas membara mulai muncul dan bergerak ke hadapan mereka. Beberapa orang pahlawan dari pihak musuh membawa bersama anak panah berapi yang terpacak di tubuh badan mereka. Sangat mengerikan, mereka masih hidup dengan api yang membakar di tubuh badan. Salah seorang dari mereka telah mencabut anak panah itu dengan bersahaja. Darah berwarna hitam mulai mengalir dari luka di badan, namun lelaki itu tidak kesakitan malah dia menjilat mata anak panah itu tanpa perasaan. Perbuatannya segera dituruti oleh rakannya yang lain. Apakah mereka ini kebal dari sebarang serangan? Panglima Besar sekali lagi mengarahkan agar para pahlawan pemanah segera melepaskan anak panah mereka.  Lautan anak panah berapi seperti hujan, menyerang dan menjunam ke arah musuh-musuh mereka. Tiba-tiba semuanya hilang di dalam kabus yang berubah warna. Dari asap atau kabus berwarna putih, ia mula bertukar kepada warna hitam seperti minyak.

Dari asap hitam itu, muncul seorang lelaki yang dibawa di atas tandu. Pembawa-pembawa tandu adalah beberapa orang wanita yang agak pelik warna tubuh badannya. Ada yang berwarna hitam, ada yang berwarna ungu, ada yang berwarna merah dan ada yang berwarna biru. Anak-anak panah yang dilepaskan sebentar tadi, terlekat di atas perisai yang diangkat ke atas. Api-apinya sudah terpadam bersama anak-anak panah yang melekat pada perisai. Perisai itu seperti besi magnet, mengumpulkan semua anak-anak panah dari pihak lawannya. Lelaki yang di atas tandu itu punya rupa menggerunkan. Rambutnya panjang berwarna kelabu, tubuhnya berwarna hitam dan berotot kekar, matanya kelihatan berwarna merah bersama pandangan yang menggerunkan.

"Hanya ini pahlawan yang ada bagi menahan aku dan Puak Bisa? Ha ha ha ha ha! Kamu semua hanya menempah maut!" Gertak lelaki itu lalu melompat dari tandu.

Sebaik sahaja kakinya berjejak di atas tanah, pahlawan dari Puak Bisa segera bertekuk lutut. Suara mereka mula bergema kuat, menyambut kedatangan pemimpin mereka. "Selamat datang tuan kami yang gagah dan berbisa, Jin Naga Hitam!" Apakah itu Naga Hitam, adinda kepada Mahaguru Naga Emas? Bagaimanakah Naga Hitam masih kelihatan muda dan kuat berbanding Mahaguru Naga Emas? Apakah Jin Hitam masih menguasai tubuhnya atau Naga Hitam berjaya menyingkirkan roh Jin Hitam tersebut?

Bersambung...

Karya : MS MALAWI

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.

 

Thursday, April 15, 2021

5 Puak (Episod 11 : Pertandingan Bermula!)

HARI pertandingan telah tiba. Di saat ini, para peserta memberi tumpuan penuh pada latihan akhir sebelum pertandingan. Segala amanat ketua puak dijadikan sebagai azimat dan kata-kata semangat sebelum melangkah ke dalam gelanggang. Mahaguru Naga Emas sebagai pengadil pertandingan tersebut juga sudah bersiap sedia. Di sebalik kebimbangan, Mahaguru Naga Emas sentiasa berdoa agar firasatnya selama ini tidak menjadi kenyataan. Namun begitu, belum pernah sekali pun telahan akan firasatnya itu salah selama ini. Perkara inilah yang amat membimbangkan Mahaguru Naga Emas. Panji-panji 5 Puak berkibaran di atas Gunung Segumpal. Bunyi-bunyian seperti gendang memecah suasana, seolah-olah akan berlakunya peperangan. Para peserta sudah bersedia, begitu juga dengan pemimpin tertinggi kelima-lima puak.

Maharaja Segumpal Satria adalah tetamu kehormat pertandingan. Bersama para panglima, paduka baginda duduk megah di atas kerusi emas dan berpayung kuning. Di hatinya sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menonton pertandingan itu. Semasa ketibaannya di kaki gunung, rombongan Maharaja Segumpal Satria telah disambut oleh Mahaguru Naga Emas. Namun begitu, paduka baginda merasa hairan melihatkan keadaan di perkampungan 5 puak. "Mengapa mereka begitu bimbangkan sesuatu? Apakah sebabnya mereka mengetatkan kawalan?" Oleh kerana itu, sebahagian panglima dari kerajaan Segumpal bersama para tentera telah dititahkan untuk sama-sama berkawal dan menentang sebarang ancaman. Mahaguru Naga Emas terpaksa memberitahu akan firasatnya kepada paduka baginda sebelum pertandingan ini bermula. Jika tidak diberitahu, pasti keselamatan mereka semua akan terancam.

"Ketibaan Yang Teramat Mulia Maharaja Segumpal Satria ke Pertandingan Antara 5 Puak amat-amat disanjungi dan dihargai. Paduka Tuanku sudi mencemar duli dan berangkat ke Gunung Segumpal bagi merasmikan pertandingan ini yang sudah masuk tahun ke-10. Moga kita semua sentiasa dalam perlindungan dan rahmat Allah SWT. Aaminnnnnnn Aaminnnnnnn ya robbal 'alaminnnnn," kata-kata aluan yang ringkas dari pengerusi majlis.

"Terima kasih beta ucapkan di atas kesudian Mahaguru Naga Emas menjemput beta ke pertandingan ini. Ini adalah julung-julung kalinya Yang Mulia Mahaguru menjemput beta. Terima kasih dan selamat bertanding," ringkas sahaja kata-kata Maharaja Segumpal Satria seterusnya merasmikan pertandingan itu.

Para hadirin bertepuk tangan memberikan sokongan mereka. Begitu juga para pahlawan dari lima puak yang tidak bertanding. Mereka saling memberikan sokongan tidak berbelah bahagi buat pasukan mereka. Pertandingan pertama dimulakan dengan persembahan seni yang dimulakan oleh pemimpin-pemimpin puak. Sangat mengkagumkan melihat persembahan seni tangan kosong yang dimulai oleh Sang Harimau Garang atau Tok Harimau. Teknik yang dipersembahkan sangat menggerunkan. Selepas itu, anak muridnya memberikan Sundang Harimau kepada Tok Harimau. Dari tangan kosong, Tok Harimau bergerak pantas dengan sundangnya. Setiap orang yang berada di situ bertepuk tangan dan bulu roma mereka terasa meremang melihat kepantasan pergerakan dan teknik sundang yang ditunjukkan oleh Tok Harimau. Persembahan Tok Harimau berakhir selepas teknik senjata itu.

Selepas Tok Harimau, tiba giliran Puak Helang. Sang Helang Melayang atau dipanggil Tok Lang, melangkah gagah di atas gelanggang. Selepas memberi sembah hormat, Tok Lang mula membuka langkah tarinya. Tok Lang mula bertari silat. Geraknya sering terlihat melompat dan seakan-akan terbang menyerang musuh.  Selepas persembahan tangan kosong, anak-anak murid Puak Helang menyerahkan sejenis senjata yang agak pelik. Sejenis rantai berkuku helang yang buat pertama kalinya dipersembahkan oleh Tok Lang begitu menakjubkan. Senjata itu seperti dikawal dari jarak jauh dan boleh juga digunakan dari jarak dekat. Tok Lang akan memakai kuku besi helang itu yang kadangkala seperti sarung tangan berbulu helang. Rantai yang meliliti sarung tangan itu kemudiannya dililit di pinggang dan mudah disambungkan untuk menjadi senjata berbeza. Tiba-tiba, seorang dari anak muridnya melemparkan seketul batu yang agak besar ke arah gurunya.

Tok Lang segera melompat dan dengan sarung tangan berkuku besi itu ia mencengkam batu yang dilemparkan sehingga hancur berkecai. Satu kekuatan zahir yang disertai dengan kekuatan tenaga batin. Pemimpin-pemimpin puak yang lain hanya tersenyum melihat kekuatan yang ditunjukkan oleh Tok Lang itu. Selepas persembahan Tok Lang, Sang Gajah Gagah pula melangkah. Setiap derapan langkah kakinya membuatkan tanah di sekeliling bergegar. Walaupun berbadan besar, Tok Gajah Gagah mula mempersembahkan tari silatnya. Tari silat Tok Gajah Gagah amat berbeza dengan persembahan dua guru sebelumnya. Ini kerana setiap langkah kakinya disertakan dengan hentakan kaki. Selepas persembahan bertenaga itu, anak murid Tok Gajah Gagah memberikannya sejenis senjata seperti gading besar. Namun ia bukan gading biasa kerana ia diperbuat daripada besi.  Tok Gajah Gagah mula menunjukkan kehebatan seni senjatanya. Gading Besi itu ada dua jenis yang berbeza. Tok Gajah Gagah mula menunjukkan seni perang Gading Besi itu. Diputar-putarkan sehingga ia menghasilkan putaran angin yang begitu kuat.

Gading Besi itu juga boleh dicantumkan menjadi satu senjata. Apabila disambungkan, ia menjadi senjata yang berbeza. Ia kelihatan seperti sabit besi berkilauan keemas-emasan. Para penonton bertepuk tangan melihat kehebatan Tok Gajah Gagah.  Kini tiba giliran Sang Serigala Lincah. Walaupun bertubuh kecil, Tok Serigala sememangnya seorang yang lincah dan amat sesuai dengan gelaran yang diberi. Tari silatnya yang dipersembahkan ibarat sekawan serigala menyerang mangsanya. Di mana-mana sahaja dia melangkah terlihat Tok Serigala bukan seorang, tapi ada tiga bayangan yang berbeza. Pakaian samarannya berwarna kelabu, terkadang kelihatan berwarna hitam dan terkadang terlihat berwarna coklat. Ia begitu mengelirukan pandangan oleh kerana kelincahan Tok Serigala. Senjata yang dipakainya juga pelbagai jenis, dari yang kecil sehingga yang panjang seperti lembing. Semua dipertontonkan dengan begitu pantas.

"Tuan guru, ternyata anak-anak murid tuan guru begitu hebat dan handal. Entah mengapa, badan beta ini mula gatal-gatal. Bolehkah beta turut serta dalam persembahan ini nanti?" Kata-kata Maharaja Segumpal Satria mengejutkan Mahaguru Naga Emas.

 "Jika itu yang paduka tuanku mahukan, patik tidak akan menghalang. Tapi tunggu selepas persembahan yang ini," kata Mahaguru Naga Emas sambil menunjukkan kepada Sang Seladang Gempita atau Tok Seladang yang sedang bersiap sedia.

"Baik, beta akan tunggu".

Sang Seladang Gempita atau Tok Seladang pula mengambil giliran. Tubuhnya yang tegap dan gagah, tinggi dan besar namun berbeza dengan tubuh Tok Gajah Gagah. Tok Seladang memulakan persembahan tarinya. Mahaguru Naga Emas mula memerhatikan anak muridnya yang terakhir ini. Ternyata segala ilmu yang diperturunkan telah dipersembahkan tanpa cacat cela. Malah, ada juga seni tari silat yang ditunjukkan oleh Tok Seladang dan anak-anak murid yang lain tidak pernah diajar oleh Mahaguru Naga Emas. Namun begitu, Mahaguru Naga Emas tidak pernah memarahi mereka yang mengubah dengan menambah pergerakan yang berbeza.  Ilmu yang dipelajari oleh Mahaguru Naga Emas dari Mahaguru Tanpa Nama juga telah mengalami perubahan sesuai dengan diri dan keadaan persekitaran. Malah, Mahaguru Naga Emas juga ada belajar seni silat yang lain dengan guru yang berlainan. Tiada halangan buat Mahaguru Tanpa Nama, malah dia amat menggalakkannya. Sama jua kaedah pengajaran dari Mahaguru Naga Emas. Persembahan Tok Seladang begitu menggerunkan. Dia juga ada memakai sejenis senjata yang diletakkan di bahagian kepalanya. Dengan satu tandukan di kepala, sebatang pokok tumbang menyembah bumi. Nasib baik tiada sesiapa berhampiran pokok itu.

"Persembahan rasmi sudah dimulakan. Pertandingan dan pertarungan akan bersambung selepas Maharaja Segumpal Satria mempersembahkan tari perangnya," kata Mahaguru Naga Emas sambil mempersilakan Maharaja Segumpal Satria ke tengah gelanggang.

"Terima kasih, tuan guru. Terima kasih buat semua. Beta minta tunjuk ajar dari guru-guru sekalian," kata Maharaja Segumpal Satria sambil memberikan pakaian luarnya yang mewah itu kepada panglimanya. Lebih selesa dan mudah buatnya bergerak. Maharaja Segumpal Satria terus melangkah ke tengah gelanggang.

Bunyi gendang kembali bergema, mengiringi persembahan tari silat dari Maharaja Segumpal Satria. Tidak sedikit pun ada tanda-tanda kepenatan walau telah bermain sejak persembahan pertama lagi. Maharaja Segumpal Satria membuka langkahnya. Jari jemarinya mula bergerak, tangannya mula berputar lembut namun kelihatan cantik dan tegap. Dari perlahan, pergerakan Maharaja Segumpal Satria semakin pantas. Maharaja Segumpal Satria seperti Gunung Segumpal, kelihatan tegap dan gagah dan tak mudah ditumbangkan. Maharaja Segumpal Satria mula melompat dan menunjukkan ketangkasan kakinya. Mahaguru Naga Emas juga mula terasa ingin ke tengah gelanggang. Tanpa disedarinya, kakinya telah mula melangkah. Persembahan Maharaja Segumpal Satria terhenti seketika, lalu Mahaguru Naga Emas segera meminta keampunan kerana mengganggu.

"Patik ingin sekali meminta tunjuk ajar dari paduka tuanku. Ilmu tuanku memang luarbiasa dan menarik perhatian patik. Ampun tuanku," sembah Mahaguru Naga Emas kepada Maharaja Segumpal Satria.

"Dipersilakan, tuan guru".

Mahaguru Naga Emas pun berdiri di tengah gelanggang. Matanya dipejamkan dan memandang ke bawah.  Tiba-tiba, gendang perang kembali bergema. Mahaguru Naga Emas menarik nafas yang panjang dan kemudian mula menunjukkan seni tari Sang Naga. Kelembutan diselang selikan dengan keras, itulah keistimewaan keilmuan Sang Naga. Selepas persembahan yang mengkagumkan para penonton, tiba-tiba sahaja Mahaguru Naga Emas menyerang Maharaja Segumpal Satria. Walaupun agak terkejut, Maharaja Segumpal Satria yang masih muda itu begitu tenang. Dia segera mengarahkan para panglima tidak masuk campur dan dalam masa yang sama setiap serangan Mahaguru Naga Emas dihadapi dengan cara berhadapan. Setiap cakaran sang naga hanya mengenai ilmu perisai Maharaja Segumpal Satria yang diibaratkan seperti gunung yang kukuh dan megah. Namun begitu, Maharaja Segumpal Satria tidak hanya menunggu serangan itu. Makin lama, serangan Mahaguru Naga Emas itu bisa menembusi ilmu perisainya. Maharaja Segumpal Satria segera menyerang balas.

Jika dilihat pada mata kasar, pertarungan hebat itu seperti hanya persembahan silat sahaja yang tidak mengenai mana-mana jasad sesiapapun antara mereka berdua. Namun begitu, dengan ilmu kebatinan pada tahap tertinggi, keadaannya amat berbeza. Kelima-lima guru dari lima puak dapat melihat pertarungan zahir dan batin itu. Mahaguru Naga Emas dan Maharaja Segumpal Satria saling serang menyerang. Tidak terlihat seorang pun yang bertahan. Hanya mengelak dan menyerang balas dengan sepenuh kepantasan.

"Alangkah bertuahnya kita dapat melihat pertarungan yang hebat ini," kata Tok Harimau kepada keempat-empat rakan seperguruannya. Mereka berempat menganggukkan kepala, mengakui akan hakikat yang terlihat di depan mata.

Walaupun masih muda, ternyata ilmu Maharaja Segumpal Satria hampir setanding Mahaguru Naga Emas. Oleh kerana tubuh yang semakin tua, Mahaguru Naga Emas tidak lagi dapat bergerak selincah dahulu. Namun begitu, Maharaja Segumpal Satria masih belum mampu menewaskan Mahaguru Naga Emas. Pertarungan mereka akhirnya berakhir apabila kedua-duanya berundur beberapa langkah ke belakang selepas telapak tangan mereka bertembung antara satu sama lain. Berpeluh jua Maharaja Segumpal Satria, menyaksikan kekalahannya di tangan Mahaguru Naga Emas. Namun begitu, demi mengambil hati dan menjaga air muka sang maharaja, Mahaguru Naga Emas sengaja berundur beberapa langkah lagi. Hadirin semuanya bertepuk tangan. Mereka menyangkakan Maharaja Segumpal Satria telah menewaskan Mahaguru Naga Emas. Namun hakikat sebenar hanya diketahui oleh beberapa orang guru yang berada di situ.

"Ayahanda guru masih handal dan bertenaga," bisik Maharaja Segumpal Satria kepada Mahaguru Naga Emas. Dia amat mengetahui akan jalur keturunan Mahaguru Naga Emas itu yang berkait jua dengan keturunan diraja Segumpal. Walaupun layak bergelar ninda, namun demi penghormatan tertinggi, Maharaja Segumpal Satria memanggilnya dengan gelaran ayahanda.

"Paduka tuanku juga tidak kurang hebatnya. Marilah kita beristirehat terlebih dahulu sebelum menonton sambungan pertandingan seterusnya," pelawa Mahaguru Naga Emas ke bahagian makanan dan minuman.

Selepas jamuan makanan dan minuman itu, pertandingan mula bersambung. Kali ini tiba giliran anak-anak murid dari lima puak mengambil bahagian. Pertarungan kini bermula antara mereka. Matlamat pertandingan adalah jelas dan tanpa melibatkan sebarang kematian. Hanya pertarungan tangan kosong dan tanpa pertarungan senjata. Kesemua mereka bertarung bersungguh-sungguh demi puak yang diwakili mereka. Pada pusingan pertama, puak Harimau menentang puak Serigala. Pada pusingan pertama, peserta yang beraksi secara solo dari puak Harimau telah berjaya menumpaskan peserta puak Serigala. Masuk pula srikandi di pusingan kedua. Kali ini pertarungan keduanya amat sengit, namun srikandi dari puak serigala berjaya mengunci pergerakan srikandi puak harimau. Srikandi puak harimau tidak mampu melepaskan diri dan mengaku kalah. Maka, kedudukan kini berakhir dengan seri satu sama.

Pusingan ketiga adalah pusingan penentuan. Pusingan kali ini lebih kepada acara pertarungan yang melibatkan dua orang dalam satu pasukan. Anak harimau pertama kelihatan kecil dan menentang anak serigala yang hampir sama sahaja tubuh fizikalnya. Pertarungan tempur tangan kosong mereka setanding, namun anak serigala lebih lincah dan banyak tipu helah. Segera ia digantikan dengan anak harimau berbadan tegap dan gagah. Anak harimau ini membuka langkahnya. Ternyata gerak langkahnya menggerunkan anak serigala yang pertama tadi. Namun begitu, dia terus menyerang dengan kepantasan dan kelincahannya. Dicuba banyak tipu helah dan acahan serangan, namun semuanya dapat dibaca dengan mudah oleh anak harimau. Dalam satu tendangan padu yang tepat mengenai muka, akhirnya anak serigala itu telah tewas di tangan anak harimau kedua. Masuk pula anak serigala kedua, kali ini dia lebih tenang dan tidak terburu-buru. Dia berpusing-pusing dan cuba mencari kelemahan anak harimau, namun dia masih belum dapat menyerang.

Anak harimau tidak dapat bersabar lagi. Dia terus menerkam anak serigala yang terlihat tidak bersedia mempertahankan diri. Namun begitu, anak serigala berjaya mengelak serangan tersebut yang sangat ganas dan menggerunkan. Pada saat itu juga, anak serigala segera menyerang balas sehingga belakang badannya terkena cakaran. Anak harimau yang kesakitan mula meraung dan mengaum. Dalam satu serangan hamburan harimau, anak serigala tak dapat mengelak lagi. Dia terpaksa menerima serangan anak harimau secara berdepan. Kekuatan anak harimau di luar jangkaan sehingga anak serigala terpelanting jauh. Anak serigala yang tertewas hampir sahaja menghentam seketul batu besar. Namun dia sempat diselamatkan oleh anak harimau yang bertarung dengannya tadi. Anak harimau berjaya menyelamatkan anak serigala daripada terkena batu yang besar dan keras itu. Pertarungan ini bukan pertarungan berdarah sampai mati, namun kecederaan sememangnya tidak dapat dielakkan.

Kedua-dua petarung saling bersalaman sebagai salah satu semangat setiakawan. Kemenangan akhirnya memihak kepada puak harimau. Tok Serigala akur dengan kekalahan tersebut, namun dia masih punya peluang dalam pertarungan sesama mereka nanti. Pertarungan diteruskan dengan anak-anak gajah bertemu anak-anak seladang. Kedua-dua puak ini sama kuat dan sama gagah, namun keputusan akhirnya memihak kepada puak gajah. Puak helang pula akan bertemu dengan dua puak yang kalah sebelum ini iaitu puak serigala. Puak helang bertarung begitu hebat, mengambil kesempatan atas kekalahan yang dialami oleh puak serigala.

Mereka akhirnya berjaya menewaskan puak serigala tanpa sebarang kekalahan. Sementara itu, puak harimau pula menentang puak seladang. Pertempuran sengit berlaku di mana anak seladang berjaya memenangi pusingan pertama. Anak harimau kembali bangkit di pusingan kedua dan begitu juga di pusingan ketiga. Pusingan akhir adalah perlawanan di antara puak harimau dan puak helang. Dua puak ini adalah puak yang paling handal dan tandingan sejak zaman berzaman. Begitu juga dengan guru mereka, sering bersaing di peringkat akhir dalam pertandingan terdahulu. Apakah yang akan berlaku dalam pertandingan itu? Bagaimana pula keadaan mereka yang sedang berkawal di kaki Gunung Segumpal? Apakah firasat Mahaguru Naga Emas itu benar-benar akan terjadi?

Bersambung…

Karya : MS MALAWI

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.

Friday, April 09, 2021

5 Puak (Episod 10 : Pertandingan Kini Bermula!)

PERKARA yang berlaku puluhan tahun dahulu masih segar dalam ingatan Mahaguru Naga Emas. Di saat itu telah berlaku kejatuhan empayar pemerintahan Maharaja Indera Perkasa di tangan adindanya yang kemudian bergelar Maharaja Indera Samara. Namun begitu, Naga Emas dan Naga Hitam tiada di sisi Maharaja Indera Samara kerana awal-awal lagi telah dilarikan oleh keluarga mereka. Siapakah Maharaja Indera Samara di dalam kepada Naga Emas dan Naga Hitam? Mereka berdua sebenarnya adalah darah daging yakni anak kandung kepada Maharaja Indera Samara serta pewaris seterusnya kepada kesultanan Indera Kencana. Demi menyelamatkan Naga Emas dan Naga Hitam, Maharaja Indera Perkasa telah memerintahkan kaum wanita dan anak-anak mereka yang berdarah kerabat diraja lari dan menyembunyikan diri mereka. Naga Emas dan Naga Hitam ketika itu masih kanak-kanak kecil. Hanya kepada Indera Perkasa tempat mereka bergantung memandangkan bonda mereka telah lama meninggalkan dunia yang fana ini.

Pemerintahan Maharaja Indera Samara cuba mencontohi pemerintahan maharaja terdahulu. Namun begitu, apa yang menghalang adalah kerjasamanya dengan Puak Bisa. Tok Bisa telah menuntut janji-janji daripada Indera Samara agar memberikannya kuasa, kekayaan dan kebebasan. Setelah dilantik menjadi pembesar, Tok Bisa dengan gelaran Orang Besar Setia Bisa telah menjadi penasihat kepada Maharaja dan mendapat satu kawasan kurniaan Maharaja. Di kawasan itu telah dibina satu penempatan di mana Puak Bisa bebas menjalankan apa jua aktiviti mereka dengan syarat tidak mengganggu ketenteraman dan keamanan kampung-kampung lain. Akan tetapi, Tok Bisa mahu lebih dari itu. Dia bercita-cita tinggi dan merasakan dirinya lebih berhak memerintah Indera Kencana. Oleh kerana itu, Tok Bisa perlahan-lahan merencana strategi rampasan kuasa. Namun begitu, tiada seorang pun dari Puak Bisa mengetahui akan perancangan Tok Bisa itu memandangkan dia sering menghilangkan diri.

Tiada siapa yang mengetahui apa yang ada dalam pemikiran Tok Bisa termasuk isterinya, Nek Bisa.  Tok Bisa telah menyerahkan tugasnya buat sementara waktu kepada Nek Bisa sepanjang ketiadaannya.  Kejelitaan Nek Bisa telah membuatkan Maharaja Indera Samara mulai mabuk asmara. Kesepian tanpa permaisuri dan anakandanya itu membuatkan Maharaja Indera Samara hampir hilang akal dibuatnya. Mujur Nek Bisa sering datang ke istana dan menghiburkan hatinya yang duka lara. Walaupun maharaja tahu Nek Bisa umurnya jauh lebih tua darinya, cinta itu memang buta dan tidak kenal siapa. Keadaan Maharaja Indera Samara seolah-olah dia telah terkena ubat guna-guna yang digunakan oleh Nek Bisa. Maharaja Indera Samara terpukau dengan kejelitaan dan kelembutan Nek Bisa.

Sepanjang kehilangan Tok Bisa, Nek Bisa sering dijemput ke istana oleh para pengawal diraja. Sebagai penasihat diraja, tugas itu yang dahulunya disandang oleh Tok Bisa kini beralih kepada Nek Bisa. Dan selalunya Nek Bisa akan bermalam berhari-hari di istana tanpa siapa pun tahu apakah tujuan Maharaja Indera Samara memintanya berada di sisinya. Sepanjang kehilangan Tok Bisa, kepimpinan tertinggi Puak Bisa mula terumbang-ambing. Ditambah pula Nek Bisa kini sedang angau dengan Maharaja Indera Samara, boleh dikatakan pucuk tertinggi kepimpinan Puak Bisa mulai goyah. Kini mereka mula kembali kepada tabiat lama yang sukar dibuang, iaitu melakukan kerosakan di Indera Kencana. Jenayah  semakin berleluasa kerana tiada siapa pun yang berani mencegah mereka. Maharaja Indera Samara mulai murka dengan keadaan itu. Maharaja telah meminta Nek Bisa campur tangan, namun Nek Bisa lebih rela lepas tangan. Hal Puak Bisa itu biarlah diuruskan sendiri sesama mereka. Itulah kata-kata yang sering dilontarkan Nek Bisa.

Lantas Maharaja Indera Samara melupai akan janji-janjinya kepada rakyatnya untuk terus mengekalkan keamanan di bumi Indera Kencana. Segelintir yang melawan akhirnya dibunuh oleh orang-orang Puak Bisa. Mereka hanyalah rakyat biasa yang mahukan keamanan dan kedamaian agar dapat meneruskan hidup, namun akhirnya telah dibunuh dengan kejam. Pemerintahan Maharaja Indera Samara itu boleh disifatkan sebagai dunia kelam Indera Samara. Tiada siapa yang berani menegakkan keadilan dan menentang kebatilan dalam pemerintahan paduka baginda maharaja. Rakyat tidak tahu kepada siapa hendak diadukan segala masalah mereka. Ternyata Maharaja Indera Samara amat berbeza dengan Maharaja Indera Perkasa. Berita pergolakan yang berlaku akhirnya sampai jua ke pengetahuan Indera Perkasa. Hanya kerana jumlah bilangan pahlawan yang terselamat tidak ramai bilangannya, maka amat sukar buat Indera Perkasa merampas kembali takhtanya. Yang tinggal bersamanya kini lebih ramai terdiri dari kaum wanita, anak-anak kecil dan beberapa orang panglima yang menjadi pengawal mereka.

Panglima-panglima yang bertempur mempertahankan Istana Kencana ada yang terbunuh dan ada yang ditawan. Ada antara mereka akhirnya terpaksa menyertai Maharaja Indera Samara, namun mereka ini tetap berjanji setia kepada Maharaja Indera Perkasa. Panglima-panglima ini sebenarnya awal-awal lagi telah diarahkan oleh Indera Perkasa agar menjaga dan melindungi Maharaja Indera Samara demi kelangsungan empayar Indera Kencana. Mereka yang selamat terdiri daripada Panglima Besar, Panglima Kecil, Panglima Gemuk, Panglima Kurus, Panglima Pemanah, Panglima Pedang dan Panglima Lembing. Pahlawan-pahlawan ini adalah antara panglima-panglima yang setia kepada Empayar Diraja Indera Kencana. Walau bagaimanapun, mereka amat membenci Puak Bisa, namun terpaksa bekerjasama tanpa kerelaan hati. Pahlawan Bayang juga sering menyelinap masuk ke dalam istana dengan menyamar bagi bertemu dengan kesemua panglima ini. Segala perancangan sedang direncanakan dan akan dilaksanakan sejurus sahaja bantuan yang dinantikan tiba. Apakah bantuan yang akan tiba ke Indera Kencana?

Peperangan kembali meletus antara pahlawan Indera Kencana dengan Puak Bisa. Ketiadaan pemimpin seperti Tok Bisa membuatkan pasukan ketenteraan mereka lemah dan tiada kekuatan untuk melawan. Indera Perkasa bersama para kerabat diraja dan para panglima telah menerima bantuan dari Maharaja Segumpal Sakti dan pasukan tenteranya yang amat besar dan ramai bilangannya. Maharaja Segumpal Sakti mempunyai pertalian yang amat rapat dengan Indera Kencana memandangkan mereka dari jalur keturunan raja yang sama. Puak Bisa amat terkejut dengan serangan mendadak itu. Pertempuran kali ini bagaimanapun tidak sengit seperti pertempuran terdahulu. Ini kerana Puak Bisa kehilangan ketua mereka. Maharaja Segumpal Sakti dan pasukan ketenteraan telah diberikan segala maklumat sebelum peperangan bermula. Oleh kerana itu, persediaan kali ini lebih hebat dari yang terdahulu. Perisai berduri, pakaian besi dan pelindung racun termasuk senjata-senjata lain telah dibawa bersama oleh panglima-panglima Maharaja Segumpal Sakti.

Sebelum pertempuran itu, Indera Perkasa dan Maharaja Segumpal Sakti telah berjanji setia. Seandainya mereka menang dalam pertarungan itu, negara Indera Kencana akan menjadi milik Maharaja Segumpal Sakti. Indera Perkasa tidak akan sesekali mengambil kembali takhta itu dari tangan Maharaja Segumpal Sakti atau keturunan selepasnya. Akhirnya Puak Bisa berjaya ditumbangkan. Mana yang sempat lari akan dikejar sehingga dibunuh semuanya. Tiada lagi belas ihsan kerana kejahatan Puak Bisa ini tak terperi kejamnya. Namun begitu, ketua-ketua kanan Puak Bisa berjaya melarikan diri. Nek Bisa pula telah dijatuhi hukuman bunuh sampai mati. Maharaja Indera Samara tidak mampu menentang rampasan kuasa itu dan telah mangkat semasa dalam tahanan. Racun di dalam badannya semakin berkembang dan akhirnya membunuh dirinya tanpa sempat ditawarkan. Ke manakah perginya Tok Bisa? Beberapa orang panglima termasuk Pahlawan Bayang telah mencarinya namun tidak bertemu. Mungkin jua Tok Bisa telah lenyap dari muka bumi ini?

Kemunculan Jin Hitam telah menggegarkan dunia pahlawan. Jasad Naga Hitam telah ditawan olehnya. Ilmu hitam yang dimilikinya amat ampuh termasuk ilmu racunnya yang sangat hebat. Naga Hitam yang tersesat akalnya telah berjaya menumbangkan gurunya iaitu Mahaguru Tanpa Nama dengan akal dan tipu helah yang licik. Selepas berjaya meracuni Mahaguru Tanpa Nama dengan Racun Tanpa Bau dan Rupa, telah berlaku pertempuran antara keduanya. Memandangkan Mahaguru Tanpa Nama telah mengetahui rahsia Naga Hitam lebih awal lagi, dia telah mengarahkan Pahlawan Bayang agar melumpuhkan jasad Naga Hitam namun tidak berjaya. Malahan, Pahlawan Bayang turut hilang tanpa dapat dikesan. Ke manakah mereka ghaib tanpa sebarang berita? Namun begitu, bagaimana Mahaguru Tanpa Nama boleh terkena racun? Semuanya telah dirancang lebih awal. Naga Hitam yang telah diserap oleh roh Jin Hitam telah memukau isterinya sendiri iaitu Puteri Kesuma bagi menjalankan tugas mustahil tersebut.

Mahaguru Tanpa Nama atau nama sebenarnya Indera Perkasa yang selama ini sentiasa berhati-hati akhirnya tewas dengan tipu muslihat Jin Hitam. Racun yang berada di dalam tubuhnya tidak sempat dikeluarkan segera memandangkan Jin Hitam di dalam bentuk Naga Hitam telah menyerangnya. Seluruh sendi dan saraf Mahaguru Tanpa Nama terasa disekat dan dikunci sehingga dia tidak mampu bergerak lincah. Namun begitu, Mahaguru Tanpa Nama terus melawan musuhnya walaupun dia tahu tindakan sebegitu akan mempercepatkan proses racun itu dan akan meragut nyawanya sendiri. Semasa pertarungan itu, ilmu pukau Jin Hitam akhirnya terlerai. Puteri Kesuma akhirnya sedar dan bersatu dengan Mahaguru Tanpa Nama bagi melawan Jin Hitam, namun akhirnya dia telah terpelanting jauh. Mujur Puteri Kencana, isteri Naga Emas sempat menyelamatkannya dan melarikan diri bersama kedua-dua anak mereka.

Di saat itu, Naga Emas telah melengkapkan pertapaannya. Naga Emas mula merasa tidak sedap hatinya sejak melangkah keluar dari Gua Serambi. Dia segera mempercepatkan langkahnya dengan ilmu Apung Diri, salah satu ilmu pergerakan pantas dan meringankan diri. Namun begitu, semuanya sudah terlambat. Naga Emas menemui Mahaguru Tanpa Nama terbaring di atas tanah namun masih bernyawa. Darah merah dan hijau mengalir keluar dari mata,hidung dan mulut gurunya itu. "Naga Emas, Naga Hitam telah dikuasai sepenuhnya oleh Jin Hitam. Jin Hitam itu musuh aku dahulu, seorang manusia yang sudah sesat dan rosak akan dirinya. Jin Hitam itu adalah guru Tok Bisa, nampaknya Tok Bisa itu sudah lama mati dikorbankan oleh gurunya sendiri," kata Mahaguru Tanpa Nama kepada Naga Emas. "Ayah, biar aku pindahkan kekuatan yang ada bagi memulihkan ayah," Naga Emas cuba meletakkan telapak tangannya namun ditolak oleh Mahaguru Tanpa Nama. "Sudah, kau simpanlah kekuatan itu. Sudah takdir dan nyawaku hanya sampai di sini. Aku akan kembali kepada Allah Yang Maha Esa dan Maha Pencipta," suara Mahaguru Tanpa Nama semakin tersekat-sekat.

Tidak lama kemudian, Puteri Kencana dan Puteri Kesuma pun keluar dari tempat persembunyian bersama-sama anakanda mereka. Mereka bertangis-tangisan melihatkan keadaan insan yang paling mereka sayangi berada dalam keadaan yang semakin nazak. "Kesatlah air mata anakanda berdua. Ayahanda akan kembali kepada Allah SWT, ke tempat yang kekal abadi. Moga anakanda dapat membesarkan cucunda-cucunda ayahanda dengan penuh kasih sayang. Selepas mereka saling berpelukan, akhirnya Mahaguru Tanpa Nama yang dahulunya adalah Maharaja Indera Perkasa pun menghembuskan nafasnya yang terakhir. Persiapan sebelum pertandingan sudah sampai ke penghujungnya. Latihan demi latihan mereka lalui, kini mereka di fasa terakhir sebelum bermulanya pertarungan di antara lima puak. Esok harinya, hari yang akan menentukan siapakah antara pemimpin  lima puak yang bakal menjadi ketua dan seterusnya menerajui Sekolah Naga dan Mergastua.

Pada malam hari sebelum pertandingan, Naga Emas yang kini bergelar Mahaguru Naga Emas menjadi imam dalam solat berjemaah. Dalam tazkirah ringkasnya, dia mahu semua ahli tak kira puak manapun mesti saling menghormati dan menyayangi walaupun berbeza status dan pendapat. Dalam masjid itu juga, mereka menunjukkan keperibadian yang terpuji antara satu sama lain. Namun begitu, ada sesuatu yang mengganggu Mahaguru Naga Emas. Dia merasakan sesuatu akan berlaku pada hari pertandingan. Mahaguru Naga Emas telah menyampaikan amanatnya kepada ketua 5 puak agar sentiasa berwaspada pada setiap masa. Kepada yang tidak terlibat dalam pertandingan itu telah diarahkan mengawal kawasan perkampungan mereka sendiri dengan ketat dan waspada. Mereka telah menjalankan kawalan di setiap ceruk kawasan perkampungan 5 Puak. Apakah yang akan berlaku sesuatu yang buruk pada hari pertandingan itu nanti? Malapetaka apakah yang akan menimpa sehingga Mahaguru Naga Emas berfirasat sedemikian rupa?

Bersambung…

Karya : MS MALAWI

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.

Thursday, April 01, 2021

5 Puak (Episod 9 : Pertempuran Di Istana Kencana)

PANGLIMA Besar bersama-sama anak buahnya mula menyerang dengan senjata-senjata mereka. Setiap daripada askar-askar itu semuanya menutupi wajah mereka dengan kain hitam bagi mengelakkan mereka terbau racun berbisa yang ada pada tubuh anggota Puak Bisa. Namun begitu, amat sukar menentang pahlawan dari Puak Bisa yang seperti mayat hidup itu. Beberapa kali ditikam tepat ke jantung, mereka akan bangkit semula. Hanya setelah kepala bercerai dari badan, barulah tiada lagi penentangan. Setiap kali pahlawan Puak Bisa mati dibunuh, kawasan pertempuran akan dipenuhi dengan asap beracun. Terbentuk kabus yang tebal sehingga mengganggu pandangan mata pahlawan dari Indera Kencana. Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Puak Bisa yang tidak terjejas oleh kabus tersebut. Mereka kebal daripada asap beracun itu kerana diri mereka sendiri penuh beracun.

Panglima Pemanah semakin kurang sabar. Disalurkan Jurus Naga ke anak-anak panah, lalu dibidik ke arah musuh. Tiga batang anak panah sekaligus terus menerjah bersama aura naga lalu menembusi enam orang musuhnya. Melihatkan kehebatan Panglima Pemanah, Gagak Pemarah sebagai antara panglima Puak Bisa semakin berang. Lalu dia terus menyerbu ke arah Panglima Pemanah dengan senjatanya. Panglima Pemanah tidak sempat menarik anak panah, lalu terpaksa bertempur secara bersemuka dengan Gagak Pemarah. Panglima Pemanah juga bukan sebarangan orang. Dilahirkan sebagai kerabat diraja Indera Kencana, Jurus Naga walaupun tidak sehebat Jurus Cakar Naga mampu membunuh musuhnya. Gagak Pemarah dan Panglima Pemanah sama hebat dan sama handal. Pertembungan pertama boleh dikatakan seimbang kedua-duanya.

Panglima-panglima Puak Bisa yang lain terus menyerbu ke arah musuh mereka. Ular Bisa dan Lipan Bisa yang masih belum sembuh sepenuhnya turut dikerah dalam penyerbuan itu. Ular Bisa mengeluarkan Sumpitan Bisa lalu menyumpit ke arah pahlawan-pahlawan Indera Kencana. Beberapa orang pahlawan tidak sempat mengelak lalu gugur syahid. Melihat keadaan itu, Panglima Kecil segera menyerang Ular Bisa. Ular Bisa mula kelam kabut diserang sedemikian rupa. Tendangan yang dilepaskan bersama aura Jurus Naga begitu menggerunkan. Ular Bisa terpaksa mengelak dengan kepantasan luarbiasa yang dimilikinya. Dia segera melepaskan Sumpitan Bisa dan menyerang balas dengan Jurus Ular Menari. Pergerakannya begitu lembut namun mampu membelit musuh seperti seekor ular. Panglima Kecil terpaksa mengelak serangannya kerana racun hitam yang dilepaskan oleh Ular Bisa mampu menghakis kulit dan dagingnya. Kesakitan mula terasa kerana beberapa serangan Ular Bisa telah tepat mengenai kaki Panglima Kecil. Dia segera membuang bisa beracun itu dengan tenaga dalamnya. Rupa-rupanya beberapa jarum bisa telah menusuk ke dalam kulit Panglima Kecil.

Lipan Bisa turut sama membantu menyerang Panglima Kecil. Namun begitu, tiba-tiba sahaja muncul seorang lelaki berbadan agak gempal dan tinggi. Lelaki itu adalah Panglima Gemuk. Dengan senjata berbentuk seperti belantan berduri, ia mampu memecahkan kepala musuh. Lipan Bisa terperanjat dengan kemunculan Panglima Gemuk itu. Ternyata masih ramai panglima-panglima Indera Kencana yang belum menampakkan diri mereka. Lipan Bisa terpaksa mengelak serangan berat dari Panglima Gemuk itu, namun tiba-tiba muncul seorang lelaki yang agak kurus dari belakang Panglima Gemuk.  Lelaki berbadan kurus itu digelar Panglima Kurus. Panglima Kurus ini begitu lincah dan pantas. Dia menggunakan senjata lembing serampang tiga lalu menyerang dengan pantas. Kesemua panglima-panglima ini memiliki ilmu Jurus Naga, menunjukkan mereka adalah dari kerabat diraja Istana Kencana. Lipan Bisa mula kelam kabut. Gabungan serangan kedua-dua panglima itu sangat serasi dan kemas. Mereka berdua saling melengkapi antara satu sama lain.

Namun begitu tiba-tiba muncul Kelawar Gelap, salah seorang panglima Puak Bisa yang agak misteri. Dengan pakaian serba hitam, wajahnya juga tidak kelihatan. Hanya matanya sahaja yang dapat dilihat. Mengambil peluang atas kabus yang menguasai keadaan, dia menyerang Panglima Gemuk. Kini keadaan mereka berubah. Kelawar Gelap dengan senjata Kuku dan Taring Bisa menyerang Panglima Gemuk dengan pantas. Dia menyerang dan berundur dengan pantas di saat Panglima Gemuk menghayun belantan berduri. Kelincahannya amat luar biasa dan dia mampu melompat terbang di atas Panglima Gemuk. Tok Bisa dan Nek Bisa dengan dipimpin oleh Indera Samara bergegas masuk ke dalam istana. Mereka mesti menewaskan Maharaja Indera Perkasa dan seterusnya menakluk Indera Kencana. Semasa menaiki tangga ke tingkat atas, mereka terpaksa berhadapan rintangan dan serangan dari panglima dan pengawal-pengawal.

Namun begitu, tiada antara pengawal dan panglima yang mampu menyekat mereka. Tiba-tiba muncul tiga orang lelaki lengkap dengan pedang. Mereka bertiga ini digelar Panglima Pedang Bertiga. Kehebatan mereka bertiga tiada taranya. Ketiga-tiga mereka juga kerabat diraja Indera Kencana. Ketiga-tiga mereka terus menyerang dengan berani ke arah Indera Samara dan orang-orangnya. Indera Samara melompat ke atas bersama pedangnya. Ternyata Indera Samara memang hebat dengan gabungan pedang dan Jurus Cakar Naga. Jurus Cakar Naga adalah peringkat tertinggi dalam ilmu Jurus Naga. Oleh kerana itu, ketiga-tiga panglima pedang telah terpelanting ke belakang. Kala Menyengat mengambil alih dan menyerang ketiga-tiga panglima tersebut. Namun begitu, ketiga-tiga mereka segera bangkit bertahan dan kemudian menyerang balas. Oleh kerana itu, Nek Bisa terpaksa datang membantu. Dengan Seruling Bisanya, dia cuba menyerang sendi-sendi panglima pedang.

Kini tinggal Indera Samara dan Tok Bisa. Mereka berdua maju ke tingkat paling atas yang menempatkan balairong seri dan kamar Maharaja. Di saat pintu dibuka, Maharaja Indera Perkasa sudah menunggu ketibaan mereka bersama Panglima Bayang. Demi melindungi Maharaja Indera Perkasa, Panglima Bayang tidak teragak-agak lagi lalu terus menyerang. Tok Bisa segera menyekat mereka dengan tongkat beracun. Namun begitu, Tok Bisa telah memandang rendah kehebatan Panglima Bayang. Kedua-dua mereka walaupun masih muda, namun berpengalaman luas dalam pertempuran. Pahlawan Bayang bijak mempelbagaikan serangan sehingga Tok Bisa sendiri mulai keliru. Lalu dihembuskan asap berbisa bagi menyekat pergerakan kedua-dua lawannya itu. Namun begitu, Pahlawan Bayang sudah belajar dari pertemuan mereka dengan anak murid Tok Bisa. Mereka segera mengibas asap beracun itu dengan senjata seperti sebuah kipas.

Di samping menggunakan kipas, mereka juga menyerang Tok Bisa dengan senjata-senjata kecil. Di dalam keadaan yang kelam akibat asap beracun itu, mereka terpaksa menggunakan kaedah serangan jarak jauh. Tok Bisa mula kelam kabut akibat serangan tersebut. "Kanda, berikan sahaja takhta maharaja itu kepadaku," Indera Samara kini berhadapan kekandanya iaitu Maharaja Indera Perkasa. Sebilah pedang ditujukan bilahnya ke arah Maharaja Indera Perkasa, tanda sebagai cabaran dengan niat membunuh. "Telah aku berikan takhta ini kepadamu dahulu, namun mengapa kau masih ingin membunuhku? Bukankah lebih baik kita berdamai sahaja dan jangan melibatkan nyawa mereka yang tidak bersalah. Kesalahan kau amat besar, sudah ramai terkorban kerana sikap tamak kau itu. Kini, kau berpakat dengan Puak Bisa yang sememangnya berdendam dengan kita dan amat jahat perilakunya," Maharaja Indera Perkasa seorang lelaki yang boleh diajak berbincang, namun tidak akan berkompromi dengan kuasa jahat yang cuba merosakkan keamanan dan kedamaian Indera Kencana.

"Ah, terimalah serangan aku ini," Indera Samara tidak mahu terus bertikam lidah. Dia terus menyerang Maharaja Indera Perkasa dengan Jurus Cakar Naga. Maharaja Indera Perkasa yang duduk di atas takhta singgahsana penuh bergaya, menanggalkan kain mantel dan melompat tinggi. Jurus Cakar Naga menentang Jurus Cakar Naga. Keadaan di dalam balairong seri itu amat menggemparkan bukan sahaja di dalamnya malah di luar istana. Gambaran dua ekor naga saling menggigit antara satu sama lain mula kelihatan. Kedua-dua mereka sama hebat dan sama handal, namun begitu Indera Samara penuh dengan niat membunuh. Keadaan itu telah meningkatkan kuasa Jurus Cakar Naga. Maharaja Indera Perkasa masih siuman dan tidak menggunakan kekuatan sepenuhnya. Apakah dia sanggup membunuh saudara kandungnya itu? Sudah tentu tidak memandangkan takhta kerajaan Indera Kencana juga sedia dilepaskan. Namun begitu, Puak Bisa mesti dihapuskan dengan segera.

Momentum dari pertembungan telapak tangan mereka berdua digunakan sebaiknya oleh Maharaja Indera Perkasa untuk berganjak ke belakang Tok Bisa. Dia mahu membunuh Tok Bisa dengan segera lalu kekuatannya segera dipertingkatkan. Dengan niat membunuh, Maharaja Indera Perkasa semakin menggerunkan Tok Bisa. Sementara itu, Indera Samara yang terpelanting ke belakang juga cuba menyelamatkan rakan subahatnya iaitu Tok Bisa. Akan tetapi, Pahlawan Bayang muncul menghalang. "Ke tepi wahai dinda berdua jika tidak ingin mati". Tok Bisa semakin kelam kabut dengan serangan Maharaja Indera Perkasa. Namun begitu, tiba-tiba sahaja muncul Indera Samara yang datang membantu. Kedua-duanya bertembung dengan Maharaja Indera Perkasa yang semakin pantas dan kuat. Ternyata kekuatan Maharaja Indera Perkasa melebihi jangkaan Indera Samara. Hanya kerana sebelumnya Maharaja Indera Perkasa tidak bertarung sepenuh hati, kehebatannya tidak dapat disaksikan oleh mata Indera Samara.

Pahlawan Bayang telah berlumuran darah. Ternyata kekuatan mereka masih belum mampu mengatasi Indera Samara. Mereka cuba bangun, namun sebelah kaki mereka seakan tersekat. Ilmu Kunci Naga telah memaku kaki mereka berdua, lalu apa caranya bagi melepaskan diri. Kedua-duanya segera mempertingkatkan tenaga dalam mereka dengan sebelah telapak tangan mereka berdua saling bertembung antara satu sama lain. Indera Sakti lebih kuat dan gagah dari Indera Wira. Oleh itu, pertembungan kedua-dua telapak tangan mereka saling menyeimbangkan kedua-dua tenaga dalam. Perlahan-lahan ilmu Kunci Naga berjaya dibuka. Mereka kini mampu bergerak semula. Dari kejauhan, mereka dapat melihat kehebatan Maharaja Indera Perkasa. Namun begitu, Indera Samara penuh berhelah. Dia sedang mencari ikhtiar bagi memerangkap Maharaja Indera Perkasa. Dibiarkan Tok Bisa bergelut dengan Maharaja Indera Perkasa sementara dirinya sedang mengikhtiarkan sesuatu yang lebih hebat.

Indera Sakti dan Indera Wira sebagai Pahlawan Bayang yang ditugaskan melindungi Maharaja Indera Perkasa masih belum mampu bergerak. Oleh kerana itu, mereka segera melemparkan senjata-senjata kecil ke arah Indera Samara. Namun begitu, semua serangan itu seperti hanya mengenai dinding yang teguh. Indera Samara segera mengaktifkan Jaring Naga bagi menangkap Maharaja Indera Perkasa. Bersama ilmu bisa yang dipelajari, Jaring Naga tidak boleh dipandang enteng. Indera Samara menanti peluang keemasan sebelum menggunakan Jaring Naga Berbisa ke atas Maharaja Indera Perkasa. Di saat pertembungan dua kuasa dan kekuatan antara Maharaja Indera Perkasa semakin memuncak, kedua-dua petarung itu telah terpelanting ke belakang. Pada saat itu, Maharaja Indera Perkasa telah berundur ke arah Indera Samara. Peluang itu digunakan sepenuhnya oleh Indera Samara bagi memerangkap kekandanya itu.

Tok Bisa terbaring di atas lantai dan tidak mampu bergerak lagi. Mulut dan hidungnya mulai berlumuran darah. Akhirnya Tok Bisa tidak sedarkan diri lagi. Di saat Maharaja Indera Perkasa telah terperangkap dalam Jaring Naga Berbisa, dia juga sebenarnya telah mengalami kecederaan. Oleh kerana itu, Maharaja Indera Perkasa tidak mampu mengoyakkan Jaring Naga Berbisa itu dengan segera. Pahlawan Bayang terpaksa juga bergerak dan meluncur ke arah Indera Samara. Maharaja Indera Perkasa mesti dilindungi dan diselamatkan. Dengan paduan Jurus Naga Kembar, mereka cuba mengoyakkan Jaring Naga Berbisa. Serangan seumpama itu adalah serangan kekuatan sepenuhnya. Serangan itu menyamai kekuatan Indera Samara, namun oleh kerana dia sendiri juga telah mengalami kecederaan, Indera Samara telah terpelanting ke belakang dan Jaring Naga Berbisa telah berjaya dihancurkan.

Demi menyelamatkan Maharaja Indera Perkasa, Pahlawan Bayang segera memecahkan tingkap istana dan melarikan Maharaja Indera Perkasa. Mereka berdua meluncur laju dari Istana Kencana dengan Indera Sakti memeluk tubuh Maharaja Indera Perkasa yang telah terkena racun.  Akhirnya Istana Kencana telah dapat ditawan oleh Indera Samara dengan bantuan Puak Bisa. Apakah yang akan berlaku di kemudian hari? Apakah nasib rakyat Indera Kencana di saat pemerintahan telah bertukar tangan? Apakah janji-janji Indera Samara akan dikotakan?

Bersambung…

Karya : MS MALAWI

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata 

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.