Wednesday, December 26, 2012

Selepas 'The Expendables 3' Jackie Chan Bersara?


PELAKON aksi tersohor dunia, Jackie Chan mengesahkan akan terlibat bersama teraju utama filem aksi francais ‘Expendables’ iaitu Sylvester Stallone untuk projek ‘Expendables 3’ jika berpandukan pada olahan skrip awalnya. Jackie Chan berkata demikian dalam sidang akhbar ‘CZ12’ (Chinesse Zodiac 12) di Kuala Lumpur, pada 17 Disember 2012 baru-baru ini.

“Sly ada mengundang saya sejak pembikinan ‘Expendables 2’ yang lepas tetapi saya tidak dapat menerima pelawaan tersebut sebab saya terlalu sibuk dengan pembikinan filem saya iaitu ‘CZ12’ dan bimbang tidak dapat memberi komitmen untuk filemnya nanti. Sly menerimanya tetapi dia tetap mahukan saya terlibat dalam projek yang seterusnya. Dia menaruh harapan saya dapat menyertainya dalam sekuel yang ketiga nanti dan saya bersetuju dengan syarat saya tampil sebagai watak kecil dalam beberapa babak sahaja,” jelas Jackie Chan.


Jackie menambah, Sly berharap filem francaisnya ini akan dibintangi oleh ‘kawan-kawan’ filem aksi dunia.  Buat masa sekarang skripnya masih dalam kerja-kerja pengolahan kriteria.

Selain ‘Expendable 3’, Jackie turut terlibat dalam menjayakan sebuah lagi filem francais Hollywood untuk tahun depan. Filem tersebut bakal dilaksanakan sama seperti filem sekuel ‘Rush Hour’, yang mana Jackie akan bergandingan dengan bintang barat seperti Chris Tucker (Rush Hour) dan Owen Wilson (Shanghai Noon & Knight). Tajuk projek filem tersebut setakat ini ialah ‘Skip Tracer’.


 “Buat masa ini, skrip tersebut turut diteliti oleh Chris Tucker. Secara peribadi, saya rasa jika dia menerimanya, adalah lebih kami teruskan dalam ‘Rush Hour 4’ tetapi saya tidak fikir ketiga-tiga sekuel filem tersebut sudah menjadi penamat yang sempurna buat kami berdua. Ada lebih baik jika saya dapat bermula dengan seseorang dengan sesuatu yang baru,” ujarnya.

Dalam masa yang sama pada tahun 2013, filem ‘Police Story 2013’ akan menemui peminat dipawagam selain filem berbentuk muzikal bertajuk ‘I Am Jackie Chan’ yang pembikinannya dilakukan dalam tahun yang sama. Namun begitu, Jackie mengesahkan beliau tidak berlakon untuk filem berkenaan, sebaliknya dia sedang mencari watak pelakon cilik untuk memainkan peranannya ketika beliau masa kanak-kanak.


Disebabkan kesibukan yang memanjang, Jackie Chan membuat pengumuman ‘CZ12’ adalah filem aksi terakhir lakonannya. Pengumuman itu telah mengejutkan hadirin yang hadir, namun, Jackie menjelaskan memang beliau ada niat untuk bersara setelah tamat segala pembikinan filemnya. Walaupun begitu, Jackie menyakinkan pada peminatnya, tidak mungkin dia akan bersara begitu sahaja kerana filem aksi sudah menjadi darah dagingnya.

Katanya lagi, “apa yang boleh saya lakukan lagi jika saya berhenti membikin filem aksi? Kenapa perlu saya berhenti? Kesinambungan maksud saya berhubung pengumuman tadi adalah, ‘CZ12’ ialah filem aksi ‘besar’ saya yang terakhir. Saya tidak mahu lakukan lagi aksi-aksi berbahaya lagak ngeri dengan sendiri sekarang, dan saya akan gunakan teknologi CG efek pada masa depan buat filem-filem saya. Untuk berhenti atau bersara? Tidak sekali-kali...