Thursday, June 10, 2021

5 Puak ( Episod 19 : Hari Yang Ditunggu Telah Tiba!)

DUA hari telah berlalu. Dalam dua hari itu juga persiapan kedua-dua belah pihak telah giat dijalankan. Sama ada proses pemulihan, proses perwarisan atau latihan, semuanya telah sempurna. Mahaguru Naga Emas bukan sahaja telah mewariskan segala ilmunya, malah Tok Harimau akan diangkat menjadi sang mahaguru seandainya dia mati syahid dalam pertarungan itu. Semuanya sudah difikirkan sedalamnya memandangkan dirinya sudah berusia dan sudah tidak sekuat dahulu. Seandainya tidak berlaku apa yang difikirkan dan terlintas di hati Mahaguru Naga Emas, Tok Harimau akan tetap menjadi mahaguru buat 5 Puak. Seorang dari Anak Harimau akan menjadi Tok Harimau yang baharu bagi menggantikan bakal mahaguru tersebut.

"Harimau, lengkaplah sudah perwarisan ilmu zahir dan kebatinanku. Kini kau memiliki segala-galanya. Ingat apa yang telah kita rancangkan bersama, kekal lah ia menjadi rahsia antara kita," kata Mahaguru Naga Emas sejurus tamat segala proses perwarisan.

"Tapi tok, itu bermakna tok akan menggadaikan dan mengorbankan diri sendiri. Hamba tak setuju ia diteruskan. Mungkinkah ada rancangan lain yang bisa diatur bersama guru-guru yang lain?" Balas Tok Harimau dengan wajah yang muram.

"Adindaku sudah lama menderita dibelenggu kejahatan Jin Hitam yang durjana. Aku mesti membebaskan dia agar roh dan jasadnya bebas selama-lamanya. Sudah, turutkan sahaja rancanganku. Selebihnya kita berserah kepada Allah Yang Maha Mengetahui dan sebaik-baik perancang," jawapan Mahaguru Naga Emas itu sukar dipatahkan oleh sesiapa pun. Azam dan tekadnya kukuh dan tak mampu diruntuhkan.

"Kau akan naik menjadi Mahaguru Harimau Emas. Dengan ini, pimpinan 5 Puak akan diserahkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab mu. Ini amanah dan amanat dari ku sebagai guru mu," tambah Mahaguru Naga Emas lagi.

"Baik, tok guru. Hamba menerima amanah dan amanat ini sepenuh hati".

"Sebelum kita keluar, berikan sundang mu itu," pinta Mahaguru Naga Emas kepada Tok Harimau. Tok Harimau segera memberikan sundang berhulukan kepala harimau itu tanpa bertanya atau mengemukakan bantahan. Apabila sudah berada di tangannya, Mahaguru Naga Emas segera membacakan sesuatu selepas sundang itu ditarik keluar daripada sarungnya.

Mahaguru Naga Emas mengusap dan menggosok sundang itu bermula dari bilahnya sehingga ke bahagian hulu sundang beberapa kali. Walaupun sundang itu sangat tajam, ia sedikit pun tidak mencederakan Mahaguru Naga Emas. Beberapa kali digosok dan diusap, tiba-tiba sundang itu bercahaya keemasan. Tok Harimau tidak berani bertanya kerana dia tidak mahu mengganggu proses tersebut.

"Ambil lah sundang ini. Beritahu aku apa yang kau rasa," Mahaguru Naga Emas segera memberikan semula sundang harimau itu kepada Tok Harimau. Demi tersentuh sahaja bahagian hulunya, Tok Harimau merasakan satu arus yang pelik menusuk ke telapak tangannya.

Tiba-tiba dia merasakan tubuh badannya diselubungi oleh satu perisai emas.  Perisai emas itu sedikit berbeza daripada sosok perwira muda yang ditemuinya sebelum ini semasa proses perwarisan ilmu daripada Mahaguru Naga Emas. Tok Harimau kemudiannya bangun dari duduk silanya. Dia segera menggerakan tubuh badannya yang sudah lama tidak bergerak. Ia benar-benar memberikan Tok Harimau satu perasaan yang tidak dapat digambarkan. Kini dia tahu dan sedar akan siapakah sebenarnya sosok perwira yang dilihatnya semasa di alam kebatinan. Dia amat yakin kerana sosok perwira itu mempunyai corak sang naga emas pada bahagian dadanya.

Selepas itu, kedua-dua lelaki itu mulai berjalan keluar dari gua. Sewaktu melangkah keluar, Maharaja Segumpal Satria terpandang akan cahaya emas yang menyelubungi kedua-dua pahlawan tersebut. Sedarlah dia bahawa Mahaguru Naga Emas telah memberikan segala yang termampu kepada pewarisnya, Tok Harimau. Guru-guru yang lain segera menyambut Tok Harimau yang kelihatan amat berbeza dari sebelumnya. Tok Harimau amat gembira menyambut pelukan dari saudara-saudaranya, guru-guru dan ketua kepada lima buah puak.

"Mulai hari ini, Tok Harimau adalah Mahaguru Harimau Emas. Aku mahu kamu semua taat perintahnya selepas ini. Diriku ini sudah tidak bergelar sang mahaguru. Panggil lah aku ini Pendita Naga Emas sahaja dan aku akan menjadi penasihat kepada Mahaguru Harimau Emas sekiranya kita semua selamat dalam pertarungan maut yang akan datang tidak lama lagi".

Kata-kata itu telah menerbitkan kesedihan di dalam hati semua pahlawan dari 5 Puak dan para pahlawan dari Istana Segumpal yang diketuai Maharaja Segumpal Satria. Kata-kata Pendita Naga Emas adalah seperti kata perpisahan buat selama-lamanya. Mungkinkah itu yang akan terjadi kepada Pendita Naga Emas?

Keesokkan harinya, Jin Naga Hitam telah selesai memulihkan kecederaan dan tenaganya. Jin Naga Hitam melangkah keluar dari tempat pertapaan dengan wajah yang amat menggerunkan. Matanya yang merah menyala bak saga, segera melihat keadaan di sekeliling sebaik sahaja kakinya melangkah keluar dari rumah.

"Selamat kembali tok. Kami semua sedia menunggu arahan tok," kata Lelabah Hitam mewakili semua anggota Puak Bisa.

"Bagus, bagus! Apakah kamu semua sudah bersedia untuk menggempur musuh-musuh kita?"

"Kami semua sudah bersedia, tok!" Riuh rendah suara pahlawan Puak Bisa, penuh bersemangat dengan senjata mereka diangkat ke atas. Mereka nampaknya sudah tidak sabar untuk bertarung.

Jin Naga Hitam kemudiannya mengangkat tangannya ke atas. Dari telapak tangannya, keluar asap hitam yang berkepul-kepul terus menuju ke arah anak buahnya. Asap hitam itu terus masuk ke dalam rongga hidung dan telinga mereka. Mereka merasakan kekuatan semakin bertambah dan semangat yang semakin membara. Laungan dan ucapan terima kasih kepada Jin Naga Hitam kuat bergema di seluruh perkampungan puak yang berlima itu. Mereka bertambah yakin akan dapat menghancurkan musuh. Jin Naga Hitam memimpin Puak Bisa, meneruskan perjalanan ke Gunung Segumpal yang tidak berapa jauh dari perkampungan itu. Asap pelbagai warna mengiringi perjalanan mereka. Asap-asap itu adalah beracun adalah senjata utama mereka.

Perjalanan yang singkat itu akhirnya berakhir di kaki gunung. Telah menunggu Panglima Besar dengan bala tenteranya bersama-sama pahlawan-pahlawan dari lima buah puak. Mereka tetap bersatu hati walaupun berbeza puak. Panglima Besar segera meniup semboyan perang. Serentak dengan itu kedengaran bunyi gendang bersahut-sahutan bermula dari kaki gunung sehingga ke puncak. Penggunaan alatan tersebut adalah sebagai petanda perang atau pertempuran akan bermula, dan gendang-gendang perang yang bersahutan itu sebagai tanda semuanya telah bersedia serta sebagai kaedah yang digunakan untuk menakutkan lawan. Namun semua itu tidak menggentarkan Jin Naga Hitam dan Puak Bisa. Mereka sudah biasa menghadapi musuh yang menggunakan pelbagai cara sedemikian rupa. Tanpa mempedulikan akan kehadiran lawan mereka, Puak Bisa segera maju ke hadapan.

"Serangggggg!" Jeritan Panglima Besar bergema kuat. Tiba-tiba ratusan anak panah terbang dari atas, terus menyerang ke arah musuh. Dari bawah, ia terlihat seperti air hujan yang jatuh menimpa.

Anak-anak panah itu begitu rakus menuju mangsanya. Mereka terpaksa menghunuskan senjata bagi menangkis serangan dari atas tanpa menyedari sesuatu akan terjadi. Panglima Pemanah sudah bersedia bersama anak-anak buahnya. Melihatkan musuh mereka sedang alpa dan leka menghadapi serangan pasukannya yang berada di atas jalan pendakian, Panglima Pemanah mengetuai serangan di kaki gunung.  Anak-anak panah berterbangan mencari mangsa. Ada antara pahlawan Puak Bisa tidak sempat mengelak. Manakan tidak, serangan itu memang di luar jangkaan. Jin Naga Hitam segera bersiul kuat, memberikan isyarat yang tidak diketahui.

Tiba-tiba, muncul Askar Bisa. Mereka tidak bersenjata, namun mereka adalah perisai Puak Bisa. Anak-anak panah menembusi kepala, dada, tangan dan kaki mereka, namun mereka masih terus berjalan. Sekali imbas, Askar Bisa ini sudah menjadi seekor landak. Batang kayu yang menjadi sebahagian dari anak panah segera dipatahkan, yang tertinggal di seluruh tubuh mereka hanyalah mata panah sahaja. Melihat keadaan itu, Panglima Besar segera mengarahkan anak-anak buahnya menyerbu Puak Bisa. Kini berlaku pertempuran di kaki gunung. Asakan demi asakan Puak Bisa mampu dihadapi oleh Panglima Besar dan orang-orangnya, namun Jin Naga Hitam dan lima orang ketua di bawahnya masih belum beraksi.

Panglima Besar mahu menyekat Puak Bisa dari menghampiri jalan pendakian, akan tetapi bukan mudah menghadapi Puak Bisa tersebut. Melihatkan keadaan yang huru hara itu, Kala Hitam segera menyerbu ke dalam pertarungan itu bersama anak buahnya. Kehebatan Kala Hitam tidak terperi. Senjata berada di kiri dan kanan tangannya. Cemeti di tangan kanan dan sejenis senjata seperti rantai besi di tangan kirinya. Sebaik sahaja cemeti itu dilibas ke arah lawan, musuh akan segera tumbang, begitu juga di saat rantai besi melilit kepala mangsa, maka terpisahlah kepala dari badannya.

Panglima Besar terpaksa menghadapi Kala Hitam yang licik dan pantas itu. Pasukannya sudah tidak dapat lagi berkawal di jalan pendakian yang pertama, membuatkan Jin Naga Hitam dan Pasukan Bisa terus mara ke hadapan. Di saat Panglima Besar hampir-hampir ditewaskan, muncul seorang lelaki berbadan besar. Senjatanya seperti gading gajah, di hujungnya tajam dan mampu mengoyakkan mangsanya. Salah seorang anak murid Pendita Naga Emas telah muncul iaitu Tok Gajah Gagah. Sebilah lagi senjata seperti tukul besi dihayunkan ke kepala Kala Hitam. Panglima Besar segera berundur, namun undurnya bukan bermaksud dia mengaku kalah. Bersama sebahagian daripada pasukan tentera yang masih hidup, mereka segera berlari ke jalan pendakian. Mereka mahu mengejar Jin Naga Hitam dan pasukannya itu.

Kala Hitam bukan sebarangan lawan. Walaupun bertubuh kecil, namun dia amat pantas menyerang dan bertahan. Namun begitu, musuh yang dihadapi juga bukan sebarangan. Kedudukan sebagai seorang guru bagi Puak Gajah adalah sebagai salah satu petanda bahawa bukan mudah bagi Kala Hitam. Silap haribulan dia pula yang mati di tangan musuh. Kala Hitam mula berasa resah gelisah. Dia mahu bersama Jin Naga Hitam, namun amat sukar bagi dirinya melepaskan diri. Setiap pergerakannya dikawal ketat oleh Tok Gajah Gagah. "Tumpukan perhatianmu kepada pertempuran ini. Tuan kau itu pasti akan maut di tangan guruku. Sedarkan diri, baliklah dan bertaubatlah," Tok Gajah Gagah cuba menyerang secara psikologi. Hampir-hampir sahaja Kala Hitam terpedaya, lalu dia terus menyambung serangan.

Sementara itu, Panglima Pemanah yang sedang menghadapi Askar Bisa mula mati akal. Askar-askar bisa itu memang luarbiasa, seakan-akan mereka bukan lawan setanding. Panglima Pemanah berundur ke belakang. Dicapainya tiga bilah anak panah sekaligus, lalu mulutnya mula terkumat kamit membacakan sesuatu. Selepas dihembusnya ke arah anak panah tersebut, dia segera menarik tali dan melepaskan tiga das anak panah. Satu daripadanya menembusi kepala musuhnya, satu lagi anak panah menembusi kepala manakala satu lagi tepat ke bahagian hati manusia. Serentak dengan itu, Askar Bisa tersebut terus tumbang dan tidak bangun-bangun lagi. Nampaknya Panglima Pemanah sudah punya cara untuk menewaskan Askar Bisa.

"Sasarkan ke bahagian jantung dan hatinya dengan jampi(doa) yang diajarkan Pendita Naga Emas.  Allah Hu Akbar!" Jeritan Panglima Pemanah sedikit mengejutkan mereka yang sedang bertarung di jalan pendakian pertama.

Apakah yang akan terjadi seterusnya? Mampukah mereka mengekang musuh atau diri mereka yang akan mati syahid demi mempertahankan agama, bangsa dan negara?

Bersambung…

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.

 

Sunday, June 06, 2021

5 Puak (Episod 18 : Kejahatan Puak Bisa)

DALAM tempoh rehat itu, Tok Harimau berkesempatan melihat keadaan sekeliling di puncak Gunung Segumpal. Satu keanehan mulai terasa pada deria penglihatannya. Ia  dirasakan cukup luarbiasa kerana seolah-olah dapat menembusi sesuatu termasuk ke dalam diri seseorang.

"Apa nak dihairankan dengan kurniaan dari Allah itu, anak muridku," tersentak Tok Harimau dengan sapaan dari Mahaguru Naga Emas. Dari tadi dia hanya tersenyum sahaja melihat gelagat Tok Harimau yang sudah banyak kali menggosok matanya.

"Marilah tok, kita sambung semula kerja kita," Tok Harimau bangkit dengan penuh semangat. Dia segera menghlurkan tangannya kepada sang mahaguru.

"Sabarlah dahulu. Berikan tok masa untuk berehat sekejap. Berikan tumpuan penuh kepada anugerah yang baharu Allah kurniakan kepadamu itu," Mahaguru Naga Emas mahu Tok Harimau meneroka deria penglihatan ajaib itu sepenuhnya sementara dia berehat.

Tok Harimau mula 'meneropong' ke dalam salah seorang daripada anak muridnya iaitu petarung kedua Anak Harimau yang dilihatnya sebelum ini telah bertarung dengan penuh semangat dan luarbiasa aksinya. Dia begitu mengagumi semangat anak muda itu, mengingatkan dirinya dahulu sewaktu mula-mula berguru dengan Mahaguru Naga Emas. Sungguh luarbiasa, penglihatan ajaib itu mampu menembusi sehingga ke dalam jasad dan hati manusia. Dia dapat melihat organ-organ dalaman Anak Harimau itu. Dari seorang dia segera beralih kepada seorang lagi anak muridnya. Kini dia dapat melihat potensi seseorang itu dengan mata 'barunya'.  Agak lama juga dia melihat dengan penuh takjub, penuh kesyukuran dan penuh kesedaran hati bahawa ini semua bukan miliknya, tapi milik Allah, Tuhan Yang Maha Perkasa dan Maha Esa.

"Mungkinkah begitu caranya tok memilih bakal pewaris?" bisik hati Tok Harimau. Apabila difikirkan, Tok Harimau cepat-cepat beristighfar, dia tidak mahu berfikiran sebegitu lagi kerana semuanya adalah rahsia Mahaguru Naga Emas dan hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

"Usah banyak berfikir lagi. Mari kita sambung semula kerja kita," kata Mahaguru Naga Emas lalu meletakkan cawan besinya ke bawah. Tok Harimau menganggukkan kepala lalu mengikut Mahaguru Naga Emas sama-sama bangun dan berjalan semula ke dalam Gua Segumpal.

Puak Bisa yang diketuai Jin Naga Hitam juga sedang mempersiapkan segala-galanya. Semasa zaman pimpinan Tok Bisa, semuanya telah habis musnah dek kerana krisis dalaman dan perpecahan antara mereka. Oleh kerana itu juga, Puak Bisa disangkakan telah lenyap dari mukabumi. Kemunculan Jin Naga Hitam telah menghidupkan semula sisa-sisa perjuangan anggota asal Puak Bisa yang telah melarikan diri. Ketua-ketua di bawah Tok Bisa dahulu telah terbunuh oleh serangan Maharaja Segumpal Sakti dan gabungan kekuatan Mahaguru Tanpa Nama dan beberapa orang lagi pahlawan lain.

Pada ketika itu, Jin Hitam yang menumpang jasad Tok Bisa telah menemui sasaran baharu iaitu Naga Hitam. Naga Hitam tak mudah dipengaruhi, namun kekuatan Jin Hitam sedikit sebanyak melemahkan roh Naga Hitam. Dengan itu Jin Hitam telah berpindah kepada jasad Naga Hitam. Dengan jasad ini juga Jin Naga Hitam berhasil membunuh seterunya iaitu Mahaguru Tanpa Nama. Namun begitu, Jin Naga Hitam juga terpaksa membayar harga yang mahal dengan kemenangannya itu. Bukan sedikit dan kecil kecederaannya sehingga dia terpaksa mengasingkan diri dari dunia luar. Dia telah berkelana dan mula mencari perintis yang akan menjadi pengikut terbaharunya.

Tidak sukar mencari manusia yang punya sifat buruk dan durjana di dalam diri. Sifat-sifat itu sentiasa ada di dalam diri semua manusia, namun hanya yang tidak dapat mengawal hawa nafsu dan kejahatan sahaja yang akan melakukan kejahatan dan kerosakkan kepada diri dan orang lain. Seperti mana Tok Bisa yang menyembah dan memuja Jin Hitam hingga akhirnya jasad dan jiwanya ditakluk sepenuhnya. Roh Tok Bisa lenyap apabila Jin Hitam berjaya menguasai jasadnya itu. Tidak sukar kerana Tok Bisa benar-benar mahukan dirinya menjadi yang terkuat dan tidak terkalah. Tok Bisa sendiri yang mahu menyerahkan jasad dan jiwanya sebagai pertukaran untuk menakluk dunia.

Ternyata semua yang dilakukan itu hanya sia-sia. Dia telah diperdaya oleh Jin Hitam. Akan tetapi, pertarungannya dengan Mahaguru Tanpa Nama benar-benar telah menjejaskan jasad Tok Bisa itu sehingga dia tidak mampu berdiri dengan sendiri. Oleh kerana itu, Jin Hitam mesti mencari jasad yang baharu. Bukan satu atau dua, malah sudah banyak kali jasad-jasad manusia durjana yang ditakluki, namun semuanya tidak mampu bertahan lama. Lebih-lebih lagi kebanyakkan daripada mereka tidak mempunyai ilmu tinggi seperti Tok Bisa. Segala ilmu Tok Bisa itu akhirnya dimiliki Jin Hitam setelah roh Tok Bisa hancur dan musnah sepenuhnya.

Setelah menakluk Naga Hitam, maka ilmu Naga Hitam akan menjadi miliknya. Namun begitu, Naga Hitam agak sukar dikawal. Ada kalanya roh Naga Hitam menentang kemahuan Jin Hitam, terutama sekali pada  pertembungan dan pertarungannya dengan Mahaguru Tanpa Nama.  Dek kerana ilmu racun Tok Bisa, baharulah Jin Hitam berjaya melemahkan Mahaguru Tanpa Nama. Walaupun berjaya membunuh Mahaguru Tanpa Nama, sekali lagi Jin Hitam yang kini dikenali sebagai Jin Naga Hitam mengalami kecederaan yang agak parah dan terpaksa melarikan diri. Kecederaan yang dialami itu menyebabkan roh Naga Hitam mengambil kesempatan untuk menyerang. Akan tetapi, bukan mudah menewaskan Jin Hitam yang kini memiliki segala ilmu milik Naga Hitam. Tiada satupun yang mampu disembunyikan oleh Naga Hitam yang tidak dapat dicapai Jin Hitam itu. Semuanya menjadi kepunyaan Jin Hitam.

Naga Hitam tewas lagi di tangan Jin Hitam. Dia sudah tidak punya akal dan upaya bagi melawan Jin Hitam. Namun dia tidak akan mudah mengalah dan putus asa begitu sahaja. Dia berharap satu hari nanti akan ada sinar baru untuk dirinya atau bantuan dari sesiapa yang dapat menewaskan Jin Hitam seterusnya membebaskan dirinya dari belenggu kejahatan. Agak lama Jin Naga Hitam berkelana bagi menyembuhkan luka dalamannya. Di setiap tempat dia berada, akan ada nyawa-nyawa manusia yang dikorbankan bagi merawat lukanya. Bukan tiada yang cuba menentangnya, namun mereka itu ibarat durian dengan mentimun, menggolek rosak dan digolek binasa. Jin Naga Hitam mesti membalas dendamnya. Seluruh keturunan yang berkait dengan Mahaguru Tanpa Nama mesti dihapuskan. Namun, dia tidak akan bergerak sendirian. Puak Bisa mesti ditubuhkan semula.

Dalam perjalanan itu, dia bertemu dengan penjahat-penjahat yang sedang merompak, menyamun dan membakar sebuah kampung. Bukan itu sahaja perbuatan durjana mereka, kaum wanita tak kira tua atau muda akan menjadi mangsa hawa nafsu serakah mereka sebelum dibunuh. Jin Naga Hitam melihat segala perbuatan mereka itu dengan keseronokkan yang tidak terhingga. Dia tahu, di hadapannya kini ada di antara mereka yang akan dijadikan perintis dan bakal menjadi pengikutnya. Kumpulan durjana tersebut terkejut dengan kehadiran Jin Naga Hitam, lalu terjadilah pertarungan. Jin Naga Hitam bertembung dengan kumpulan perompak seramai 100 orang. Ketua perompak itu menyangkakan Jin Naga Hitam adalah salah seorang penduduk kampung tersebut, lalu dilancarkan serangan ke arahnya. Dan ternyata mereka semua itu bukan lawan Jin Naga Hitam.

Jin Naga Hitam tidak membunuh kesemua perompak-perompak tersebut. Hampir separuh daripada mereka dibunuh dengan kejam. Hanya yang kuat dibiarkan hidup, manakala yang lemah tidak akan sesekali dibawanya menyertai Puak Bisa. Akhirnya ketua perompak itu tunduk menyerah bersama-sama pengikutnya. Dia tahu, mereka tidak akan mampu melawan. Daripada mati, lebih baik hidup. Jin Naga Hitam menamakan ketua penyamun itu dengan gelaran Lelabah Hitam. Diajarkan segala ilmu bisa dan ilmu hitamnya. Demi keselamatannya, segala ilmu tersebut tidak diajar sepenuhnya. Pada ketika itu, Puak Bisa mula berkembang. Dengan kumpulan Lelabah Hitam itu, mereka mengembara sekali lagi. Di setiap tempat yang dikunjungi, pasti akan berlaku perkara jenayah yang sangat mengerikan. Dari satu kumpulan tersebut, mereka berkembang dengan tambahan seorang lagi ketua baharu yang digelar Ular Bercabang Hitam.

Ular Bercabang Hitam telah bertarung dengan Lelabah Hitam bersama pengikutnya yang lebih ramai. Namun begitu, mereka akhirnya tewas dengan separuh daripada mereka terselamat daripada dibunuh. Syarat dan perjanjian tetap sama. Lelaki yang digelar Ular Bercabang Hitam itu akhirnya menjadi anak murid kedua. Ular Bercabang Hitam diajarkan ilmu bisa dan ilmu hitam. Dari satu tempat ke satu tempat yang lain, mereka tidak pernah tertinggal dalam melakukan kejahatan. Sehingga akhirnya Jin Naga Hitam menambah lagi ketua-ketua baharu bersama-sama pengikut mereka. Selepas menghadapi puluhan pertarungan hidup dan mati, akhirnya lengkap 5 buah kumpulan kecil bersama ketua-ketua mereka yang terdiri daripada tiga orang lagi ketua iaitu Kala Hitam, Lipan Hitam dan Kelawar Hitam. Bersama-sama Jin Naga Hitam, mereka telah banyak melakukan kejahatan di mana sahaja mereka sampai atau kunjungi.

Mereka yang berlima ini dan para pengikut masing-masing telah menjadi ancaman di seluruh negeri di Tanah Melayu. Oleh kerana itu, setiap negeri di Tanah Melayu terpaksa memperkukuhkan dan memperkuatkan pertahanan mereka bagi menghadapi ancaman Puak Bisa. Jin Naga Hitam telah menanam ulat bisa kepada semua pengikutnya termasuk ketua mereka bagi mendapatkan kesetiaan mereka. Jika mereka mengkhianatinya, pasti akan maut sekiranya tidak mendapat penawar dalam masa yang terdekat. Ada di antara mereka ini yang telah melarikan diri, namun didapati telah menjadi 'mayat hidup' setelah dimakan oleh ulat-ulat bisa tersebut. Sekalipun telah mati, Jin Naga Hitam tak akan melepaskan mereka sebagai hukuman bagi menakutkan mereka yang cuba melarikan diri.

Mayat-mayat hidup ini telah dibentuk semula menjadi askar tidak terkalah. Mereka sudah tiada sebenarnya di dunia ini, namun Jin Naga Hitam telah memanggil jin-jin lain masuk ke dalam tubuh mereka lalu digelar Askar Bisa. Askar Bisa ini tidak punya akal fikiran, tiada rasa sakit dan juga sangat menyeramkan di saat mereka melakukan serangan hendap. Senjata mereka adalah racun berbisa yang sukar dikalahkan dengan senjata biasa.

Bersambung…

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.

 

Friday, May 28, 2021

5 Puak (Episod 17 : Pemulihan)

PAHLAWAN-pahlawan dari Puak Bisa benar-benar menikmati kemenangan mereka menawan perkampungan musuh mereka. Bekalan makanan semakin lama semakin berkurangan. Oleh kerana hawa nafsu mereka yang sentiasa membuak-buak, mereka pergi memburu. Bukan haiwan yang menjadi buruan. Mereka melakukan perkara yang dilaknat Tuhan dengan membunuh dan memakan daging manusia. Yang perempuan pula dijadikan mangsa hawa nafsu mereka yang serakah dan kemudian turut dibunuh. Perkampungan yang menjadi jiran kepada perkampungan 5 puak tidak mampu melawan. Ilmu bisa mereka sangat berkesan melumpuhkan mangsa sehingga tidak berdaya melawan. Selesai semua jenayah kejam itu, mereka pulang kembali ke perkampungan 5 puak.

Jin Naga Hitam tidak pernah menghalang. Malah dia turut menerima habuan yang dibawa oleh anak-anak buahnya. Beberapa orang tawanan wanita dibawa bersama sebagai hadiah kepada ketua mereka itu. Namun tiada siapa yang tahu bahawa Jin Naga Hitam sedang mengalami kecederaan. Semasa pertembungannya dengan Mahaguru Naga Emas di alam kebatinan, roh Naga Hitam hampir-hampir terlepas dari genggaman Jin Hitam. Malah, Naga Hitam turut sama membantu Mahaguru Naga Emas dalam pertarungan dengan Jin Hitam. Mungkinkah Naga Hitam cuba mengusir Jin Hitam yang menumpang jasadnya? Jin Hitam telah tersalah jangkaan akan kekuatan Naga Hitam yang disangkakan telah tunduk kepadanya. Kekuatan dan ilmu Naga Hitam telah terbendung pada satu titik hitam yang tak mungkin mampu dipecahkan oleh sesiapapun.

Hanya kesedaran dan semangat Naga Hitam sahaja yang dapat memecahkan titik hitam itu. Namun ia amat rumit sekali. Sudah berabad Naga Hitam cuba memecahkan tembok hitam dan mencari titik hitam itu, namun belum punya kekuatan. Pertembungan Mahaguru Naga Emas yang berlaku sebelum ini telah memberi peluang buat Naga Hitam memecahkan tembok-tembok yang berlapis 6. Pada saat dia berjaya memecahkan sehingga tembok ketiga, Jin Hitam mula ketakutan. Jin Hitam terpaksa melepaskan Panglima Besar yang menjadi alatnya bagi mencari jalan ke puncak Gunung Segumpal. Dalam satu pertembungan yang menggemparkan alam kebatinan, Jin Hitam berjaya mengundurkan Mahaguru Naga Emas dan mengurung kembali Naga Hitam dalam temboknya.

Panglima Besar pasti masih tertanya-tanya bagaimana dia boleh dirasuki oleh jin-jin kecil yang dihantar sebagai pengintip oleh Jin Hitam. Dalam pertarungannya dengan Jin Naga Hitam, Panglima Besar sememangnya tidak dapat mengesan kehadiran jin-jin itu yang dilepaskan oleh Jin Naga Hitam dan perlahan-lahan meresap ke dalam tubuh badannya. Pada saat Mahaguru Naga Emas merasakan ada sesuatu yang tidak kena, jin-jin kecil  itu sudah mula resah gelisah. Tujuan Jin Naga Hitam menghantar jin-jin itu bukan sahaja sebagai pengintip, malah ia juga jadi senjata kecil bagi menyerang Mahaguru Naga Emas. Oleh kerana itu, Mahaguru Naga Emas juga mengalami kecederaan dalam pertarungan mereka. Besar atau kecilnya kecederaan itu, tidak diketahui oleh sesiapapun. Hanya Mahaguru Naga Emas sahaja yang mengetahui keadaannya sendiri.

Usai pertarungan itu, tembok-tembok yang hancur musnah tidak berjaya diperbaiki semula. Jin Hitam terpaksa menggunakan segala kekuatan yang masih berbaki bagi mengurung semula roh Naga Hitam. Akhirnya ia berjaya, namun usahanya itu menyebabkan dia mengalami kecederaan dan kekurangan tenaga yang tak terkira banyaknya. Mangsa-mangsa yang dibawa oleh para pengikutnya menjadi makanan dan ubat bagi memulihkan semula tenaga dan kekuatannya. Ia memerlukan masa selama sekurang-kurangnya dua hari bagi memulihkan tenaga dan kekuatannya walau tidak dapat sepenuhnya. Para pengikutnya tidak akan mengganggu di sepanjang tempoh pemulihan Jin Naga Hitam. Jeritan mangsa yang amat mengerikan bergema di sepanjang Jin Naga Hitam meratah dan menghisap jiwa-jiwa mangsanya. Peringkat pertama, Jin Naga Hitam akan memuaskan hawa nafsunya sebelum mangsa dibunuh dan diratahnya hidup-hidup.

Setelah mangsanya nazak dan akhirnya menghembuskan nafas terakhir, roh-roh mereka akan dihisap dan dimasukkan ke dalam jasad Naga Hitam. Perlahan-lahan, tembok-tembok bisa dan hitam akan kembali terbentuk bagi menghalang roh Naga Hitam membebaskan dirinya. Mahaguru Naga Emas dan Tok Harimau berjalan perlahan-lahan menuju ke Gua Segumpal. Di sinilah tempat tinggal dan tempat pertapaan sang mahaguru. Walau sentiasa dipelawa untuk tinggal di rumah-rumah anak muridnya di kaki gunung, namun ia tidak akan sesekali diterima. Kekal lah sang mahaguru berdiam di puncak gunung.

"Duduk dahulu, tarik nafas dalam-dalam dan pejamkan matamu. Ingat zikir-zikir yang telah tok ajarkan dahulu?"

"Ingat, tok," ringkas sahaja jawapan Tok Harimau lalu dia segera duduk bersila. Matanya dipejam serapat-rapatnya sehingga kelam semua pandangan matanya. Zikir-zikir mula membasahi lidahnya. Dia tenggelam dalam zikrullah. Tasbih, tahmid dan takbir bersama nafi dan isbat mengakui kekuasaan dan keesaan Allah.

Mahaguru Naga Emas berdiri di hadapan Tok Harimau. Dia menarik nafasnya, mulutnya berkumat kamit membaca doa sambil di dalam hatinya berzikir meminta perlindungan hanya kepada Allah Yang Maha Memberi Perlindungan. Tiba-tiba, cahaya yang amat menyilaukan terpancar di seluruh tubuh Mahaguru Naga Emas. Telapak tangan Mahaguru Naga Emas segera dirapatkan ke bahagian ubun-ubun Tok Harimau. Ketika itu, Tok Harimau mula berasakan sesuatu menyerbu masuk melalui ubun-ubunnya. Ia semacam satu tenaga yang begitu hebat dan kuat. Namun begitu, Tok Harimau tetap memejamkan matanya dan terus berzikir walaupun pandangan matanya agak pedih diserang cahaya yang begitu kuat. Dalam pandangan yang agak kelam itu, Tok Harimau berasakan dirinya ditarik ke dalam satu cahaya. Di hadapannya terlihat seorang lelaki muda yang gagah perkasa, berpakaian perisai emas dan bersenjatakan dua bilah pedang.

Tiba-tiba, pedang itu mula bercahaya keemas-emasan, dan wajah lelaki itu juga ditutupi topeng besi juga berwarna keemas-emasan. Dan, tumbuh sayap yang berwarna keemas-emasan di belakang bahagian badan perisai emas itu. Dan, muncul lambang naga emas pada bahagian dadanya sehingga ke bahagian perutnya. Lelaki itu mula beraksi dengan pedang emasnya. Jurus Naga Emas mula terlihat di hadapan mata batin Tok Harimau. Kemudian, lelaki itu terbang ke udara dengan sayapnya. Pedang cahaya emasnya disimpan di belakang sebelum lelaki itu membuka kedua-dua telapak tangannya. Cahaya mula terpancar dari sepuluh batang jarinya. Lelaki itu berpusing dan berputar-putar ligat seperti gasing dan kemudian dia melemparkan sesuatu ke arah Tok Harimau. Tok Harimau merasakan telah dikurung dan ditangkap oleh sesuatu berbentuk seperti jaring. "Mungkinkah ini Jaring Emas Penangkap Naga?"

Tok Harimau tidak berani membuka matanya. Dia masih ingat pesanan gurunya itu dan tidak mahu proses keilmuan itu gagal. Dia masih teringat pengalaman lalu, mungkin kerana ketidaksabaran dirinya, proses keilmuan sebelum ini mengalami kegagalan. Sementara itu di luar Gua Segumpal, semua pahlawan yang telah mengalami kecederaan sama ada dalam pertempuran dengan Puak Bisa atau pertarungan dalam pertandingan antara 5 Puak sedang berusaha memulihkan diri mereka. Ada antara mereka juga sedang membersihkan diri dengan air mata air di puncak gunung. Airnya begitu jernih, menyejukkan dan menyegarkan tubuh badan sama ada untuk diminum atau semasa mandi. Ada antara mereka juga sedang membersihkan senjata-senjata mereka. Khasiat air Gunung Segumpal itu begitu mujarab dan berkesan sehingga senjata-senjata itu bersinar-sinar, malah kesan-kesan darah dari senjata tidak kelihatan lagi.

Sementara itu, pahlawan-pahlawan dari Istana Segumpal dan pahlawan-pahlawan dari 5 Puak sentiasa bergilir-gilir berkawal di setiap jalan pendakian. Tugas ini akan diamanhkan kepada seorang Panglima yang dilantik menjadi ketua kepada pos kawalan.

"Panglima Besar, usah dikenangkan lagi kisah yang lalu. Beta tahu tuan panglima tidak bersalah dalam hal ini. Jangan fikirkan lagi, pandang ke hadapan. Beta mahu tuan panglima terus kuat dan jangan tunjukkan kelemahan di hadapan orang-orang kita. Jika terus termenung, hulubalang dan pahlawan yang ada bersama kita akan turut terkesan," Maharaja Segumpal Satria yang masih belum tidur segera memberikan pandangannya.

"Ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun. Ampuni segala kesalahan patik, kecuaian patik sehingga telah mendedahkan segala-galanya dan membahayakan nyawa orang-orang kita,"

"Beta sudah lama memaafkan kamu. Teguhkan iman, mantapkan zikrullah, minta perlindungan daripada Allah Yang Maha Perkasa dan Maha Memberi Perlindungan. Selebihnya, berserah kepada-Nya. Urusan yang lalu telah menjadi kenangan dan pengalaman agar ia tidak berulang lagi. Berehatlah dahulu buat sementara waktu. Beta lihat kamu tidak pernah sekali pun melelapkan mata," titah Maharaja Segumpal Satria sekali lagi.

"Tapi, patik...," belum sempat Panglima Besar menghabiskan kata-katanya, Maharaja Segumpal Satria segera bangun dan berjalan meninggalkannya. Tiada gunanya lagi jika titah perintahnya tidak mahu didengar dan diingkari.

Panglima Besar merasa gerun apabila melihat air muka Maharaja Segumpal Satria sebentar tadi yang terlihat garang dan bengis. Sememangnya dia telah menambah satu lagi kesalahan jika terus mengingkari titah maharajanya. Lalu Panglima Besar segera mengambil keputusan dan meletakkan kepalanya untuk berbaring. Benar kata-kata Maharaja Segumpal Satria, dia mesti bertenang dan berehat. Urat-urat dan salur darah di seluruh tubuh Tok Harimau mula terasa panas dan kadangkala dingin. Sementara itu, otot-ototnya juga terasa berkembang dan tenaganya mula bertambah berlipat kali ganda. Tulang-temulang juga mula dirasakan keras seperti batang-batang besi.

Proses keilmuan dan pemindahan kuasa ini memakan masa yang lama, namun tidak dijalankan tanpa rehat. Ini kerana, kewajipan kepada Allah SWT iaitu solat akan tetap diutamakan. Mahaguru Naga Emas sendiri menjadi imam kepada mereka semua. Selepas selesai solat, Mahaguru Naga Emas akan memberikan sedikit tazkirah dan perancangannya. Selepas itu, Mahaguru Naga Emas dan Tok Harimau akan kembali ke dalam Gua Segumpal. Apakah yang akan berlaku seterusnya? Dapatkah mereka menyelesaikan proses keilmuan dan pemindahan kuasa itu tanpa gagal. Bagaimana pula dengan Puak Bisa, mungkinkah mereka akan mula bergerak ke Gunung Segumpal?

Bersambung…

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.

Friday, May 21, 2021

5 Puak (Episod 16 : Segalanya Sudah Tertulis)

"Tapi, bekalan makanan kita tidak mencukupi untuk bertahan selama 3 hari di sini," tambah Tok Helang pula.

"Usah dirisaukan akan hal makan dan minum. Pohon berbuah dan air mata air di atas puncak gunung ini lebih dari mencukupi. Sekarang, kita perlu perkukuhkan pertahanan kita di sepanjang jalan pendakian agar musuh tak mampu sampai ke puncak gunung ini. Bagaimana pendapat paduka maharaja?"

"Beta menurut sahaja. Lagipun beta belum puas menonton pertarungan akhir ini. Apa kata disambung semula?" Jawab Maharaja Segumpal Satria sambil tersenyum.

Sungguh hairan mereka semua yang berada di situ. Ancaman musuh bukan sebarangan, tapi Mahaguru Naga Emas dan Maharaja Segumpal Satria masih kelihatan tenang. Mungkinkah hati mereka begitu berserah kepada Allah, Yang Maha Esa?

"Teruskan pertarungan ini," Mahaguru Naga Emas segera mengarahkan pertarungan antara Puak Harimau dan Puak Helang disambung semula. Wajah kedua-dua petarung terakhir menunjukkan kepenatan, namun mereka terpaksa akur.

SAYEMBARA diteruskan semula. Anak Harimau yang diwakili petarung kedua mula menyerang petarung kedua dari Puak Helang. Serangan pertama menggunakan tendangan, disusuli dengan teknik lutut. Kekuatan petarung kedua ini bukan sahaja kerana tubuh badannya yang sasa dan tegap, namun kemahirannya juga melebihi petarung pertama. Setiap langkahnya terlihat berat, namun hanya petarung kedua dari Puak Helang dapat melihat keadaan sebenar. Pergerakan pertama lebih kepada satu helah dan acahan, maka selepas tendangan dan teknik lutut berjaya ditepis dan ditahan oleh petarung Anak Helang, satu serangan cakaran harimau menyusul dengan kekuatan yang luarbiasa. Namun begitu, Anak Helang tersebut sempat mengelak. Dia segera memutarkan seluruh tubuh badannya sehingga terjadinya satu serangan balas ke atas lawannya. Tangan Anak Harimau terkena serangan balas yang tidak disangka-sangka itu. Hampir sahaja dia tersungkur menyembah bumi.

Dia sempat menahan tubuh badannya dengan kedua-dua tangan yang keras bak waja. Selepas itu dia berpusing-pusing di udara dan mengatur semula pernafasannya yang terganggu dan menjadi tidak keruan. Belum sempat dia mendarat di atas tanah, Anak Helang tiba-tiba datang menyerang, sekali lagi dengan teknik putaran. Namun kali ini dia menggunakan kekuatan tendangan bagi menewaskan Anak Harimau. Anak Harimau sempat menangkis serangan itu dengan tumbukan. Kedua-duanya terpelanting ke belakang selepas pertembungan itu. Kedua-duanya mula mengalami kesakitan pada tangan dan kaki. Anak Helang segera mengatur semula pernafasannya, begitu juga dengan Anak Harimau. Kedua-dua petarung itu mula berasa lelah dan kepenatan. Tenaga dalaman yang berpunca dari teknik pernafasan mereka semakin berkurangan. Tiada cara lain lagi, mereka mesti menghabiskan pertarungan ini dengan secepat mungkin.

Kali ini Anak Helang menyerang terlebih dahulu walaupun dia belum pulih sepenuhnya. Peluang begini tidak akan disia-siakan. Lebih baik menyerang dari menunggu Anak Harimau berjaya memulihkan tenaga dalamnya. Namun begitu, Anak Helang punya perancangan yang licik. Semasa dia melancarkan serangan, ternyata semuanya palsu. Helahnya adalah bagi memastikan Anak Harimau bertahan dan menyerang balas. Satu peluang terhidang kepada mereka yang lalai dan leka dengan helah licik lawan masing-masing. Dari bahagian hadapan, Anak Helang cepat-cepat bergerak ke bahagian belakang Anak Harimau. Satu serangan menyentuh badan Anak Harimau, namun kemudian ditarik semula selepas Anak Harimau memusingkan badannya. Satu tendangan berbentuk putaran dilepaskan oleh Anak Harimau, nyaris-nyaris mengenai kepala Anak Helang.

Tiba-tiba terpancar dari anak mata Anak Harimau sesuatu yang menggerunkan dan menggetarkan hati. Semua yang berada di situ turut merasakan perasaan yang sama. Anak Harimau yang telah berjaya memulihkam tenaga dalamnya terus menyerang dengan kepantasan luar biasa. Anak Helang cuba mengelak setiap serangan, namun gerak langkahnya seperti sudah dapat dibaca. Pada saat langkahnya mula sumbang dan tidak teratur, Anak Harimau menyerang dengan Cakaran Berganda. Anak Helang kemudiannya melepaskan dua tumbukan berkembar. Namun begitu, kedua-dua tumbukan itu telah berjaya ditangkap oleh Anak Harimau. Anak Helang semakin ketakutan. Walaupun tubuh badannya sama tegap dan sasa, namun kemahiran dan ilmu yang dimiliki Anak Harimau ini melebihi kemampuannya. Anak Helang cuba melepaskan diri dengan menendang ke arah tangan Anak Harimau, namun ia tetap teguh dan keras seperti waja. Dia cuba memutarkan tubuh badannya, namun tenaga yang dimilikinya tidak lagi mampu menghasilkan tenaga dan teknik putaran.

Anak Helang diangkat ke atas oleh Anak Harimau dan pada saat dia dijulang ke atas, tiba-tiba Anak Harimau melepaskan cengkamannya. Anak Helang sedar, satu lagi serangan ganas akan menyusul. Selepas melepaskan genggamannya, Anak Helang yang berada di udara jatuh ke bawah. Pada saat itulah, Anak Harimau melancarkan teknik tendangan Kaki Berkembar. Pada saat tendangannya hampir mengenai leher Anak Helang, tiba-tiba sahaja muncul seseorang menahan serangan itu. Dan, pada saat itu juga Anak Harimau merasakan tubuh badannya telah ditarik oleh seseorang ke belakang. Tendangan yang dilancarkan sebentar tadi adalah serangan dengan sepenuh kekuatan. Oleh kerana itu, lelaki yang menahan serangan itu sedikit melayang ke belakang bersama Anak Helang yang dipegangnya. Tok Helang berjaya menyerap serangan Anak Harimau itu dan melepaskan sisa kekuatannya di atas tanah. Manakala Tok Harimau pula berjaya menarik Anak Harimau yang berbadan tegap dan sasa itu dengan sebelah tangannya. Mengapa pula ia terjadi sedemikian rupa?

Mahaguru Naga Emas sempat memberikan arahannya kepada Tok Harimau dan Tok Helang dengan pandangan matanya. Dia tidak mahu pertarungan itu berakhir dengan kematian atau kecederaan parah kerana ada musuh sedang menanti mereka untuk pertarungan maut.

"Cukup sampai di sini sahaja pertarungan ini. Kalah dan menang sudah tertulis. Kita tidak punya masa lagi. Puak Bisa akan mula menyerang kita lagi dua hari," Mahaguru Naga Emas segera memberikan jawapan yang agak mengejutkan. Bagaimana dia boleh tahu secepat itu?

Semuanya datang dari Allah SWT yang mengurniakan ilmu firasat kepada Mahaguru Naga Emas. Kekuasaan Allah tidak mampu dibandingkan atau difikirkan dengan akal fikiran manusia. Segalanya, semuanya adalah dari Allah Yang Maha Kuasa.

"Alhamdulillah, sudah terbukti Puak Harimau yang dipimpin oleh Tok Harimau adalah pemenangnya. Beta amat berbesar hati dapat melihat pertarungan yang hebat ini walau sedikit kecewa kerana tidak dapat melihat pertarungan antara ketua puak," panjang lebar Maharaja Segumpal Satria bertitah. Paduka baginda maharaja kemudiannya menyampaikan sebilah sundang sebagai hadiah kepada pemenangnya iaitu kepada Puak Harimau. Sundang diraja itu disampaikan oleh baginda kepada Tok Harimau.

"Patik menjunjung perintah dan kurnia tuanku," Tok Harimau mengangkat sembah semasa penerimaan sundang diraja itu. Semasa dia menggosok hulu sundang itu, tiba-tiba ia berubah bentuk kepada bentuk harimau. Tok Harimau menamakan ia sebagai Sundang Harimau.

"Harimau, sebagai bakal pemimpin utama 5 Puak, aku sebagai gurumu akan  mengurniakan ilmu tertinggi ku kepadamu. Gunakan ia nanti sebagai pembela agama, bangsa dan tanah air kita," kata Mahaguru Naga Emas.

"Dan anak-anak muridku yang lain, bantulah Harimau sebagai pewarisku. Saling bantu membantu itulah harapanku di kemudian hari. Walau kamu semua berbeza dan berbilang puak, namun kita semua sebenarnya adalah satu iaitu hamba Allah. Ingat pesananku," tambah Mahaguru Naga Emas lagi.

Mendengarkan akan kata-kata Mahaguru Naga Emas, pahlawan-pahlawan dari 5 puak pun saling berpelukan. Mereka tidak akan dapat dipisahkan walau badai datang melanda. Persiapan harus segera diatur rapi bagi menghadapi serangan Puak Bisa. Mahaguru Naga Emas segera membawa Tok Harimau ke dalam Gua Segumpal. Dia akan segera mewariskan segala ilmunya kepada Tok Harimau yang mungkin akan memakan masa selama dua hari sebelum ia benar-benar berjaya 'masak ranum'. Apakah benar firasat Mahaguru Naga Emas itu? Atau mungkin Puak Bisa akan mempercapatkan serangannya? Bagaimana pula persiapan 5 Puak dan pahlawan-pahlawan dari Istana Segumpal? Mampukah mereka menghadapi ancaman Puak Bisa yang tidak berperikemanusiaan itu?

Bersambung…

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.

Sunday, May 16, 2021

5 Puak (Episod 15 : Pertarungan Alam Kebatinan)

PERTARUNGAN itu terhenti seketika bagi mendengarkan laporan yang dibawa oleh Panglima Besar. Namun begitu, Mahaguru Naga Emas tiba-tiba menyerang Panglima Besar, menyebabkan keadaan di puncak Gunung Segumpal mula dilanda resah dan penuh tanda tanya. Panglima Besar terkejut dengan serangan Mahaguru Naga Emas dan hanya mampu mengelak. Serangan sang mahaguru begitu pantas walaupun sudah berumur lanjut. Tiada siapa di puncak gunung itu cuba menahan serangan itu. Mahaguru Naga Emas pasti ada alasan sendiri atas segala tindakannya.

Panglima Besar akhirnya terpaksa mengeluarkan pedangnya. Jika dibiarkan, pasti dirinya yang akan tewas dengan mudah di tangan Mahaguru Naga Emas. Ditetaknya pedang itu ke arah Mahaguru Naga Emas, namun Mahaguru Naga Emas tidak pula mengelak serangan itu. Ditangkisnya dengan tangan kosong menyebabkan Panglima Besar terkejut besar. Pedangnya seperti menentang sebilah pedang yang begitu keras seperti besi waja. Hampir-hampir sahaja pedangnya terlepas dari tangan Panglima Besar. Panglima Besar mula kelam kabut. Dia mengharapkan ada bantuan dari para panglima dan hulubalang lain, namun tiada yang sudi membantu. Tindakan mereka adalah tertakluk kepada titah perintah Maharaja Segumpal Satria. Selagi tiada titah dari paduka baginda maharaja, maka dia terpaksa menentang Mahaguru Naga Emas seorang diri.

Panglima Besar memperkuatkan tekadnya. Sekali lagi dia menyerang Mahaguru Naga Emas. Namun yang mengejutkan adalah Mahaguru Naga Emas tiba-tiba melompat ke atas. Bayangan seekor naga emas terpancar dari jasad Mahaguru Naga Emas. Pancaran cahayanya begitu menyakitkan mata Panglima Besar. Dia tidak dapat melihat dengan jelas. Tiba-tiba dirasakan sambaran angin yang begitu kuat di bahagian kepalanya. Dia cuba menyerang balas, namun semuanya sudah terlambat. Mahaguru Naga Emas menggunakan kedua-dua batang jari telunjuk kanan dan kirinya untuk menyerang bahagian kepala Panglima Besar. Kekuatan serangan itu menyebabkan Panglima Besar tewas dan jatuh pengsan. Mahaguru Naga Emas kembali berjejak di atas tanah dalam keadaan selamat dan lembut, seperti dedaun gugur di atas tanah.

"Angkat segera Panglima Besar dan baringkan dia di sini," arah Mahaguru Naga Emas. Tok Harimau melangkah ke hadapan dan segera mematuhi perintah gurunya itu. Dalam keadaan Panglima Besar yang sedang berbaring, Mahaguru Naga Emas meletakkan telapak tangannya pada ubun-ubun Panglima Besar sambil mulutnya berkumat kamit membacakan doa.

Perlahan-lahan, Mahaguru Naga Emas menutup matanya. Dirasakan dirinya mula tenggelam dalam zikir dan doa. Rohnya mula dibawa perlahan-lahan menuruni Gunung Segumpal. Ia melayang seperti angin dan akhirnya roh Mahaguru Naga Emas dibawa sehingga ke perkampungan 5 puak. Di sana ia berdiri di hadapan sebuah rumah. Di sekitar rumah itu dipenuhi kabus yang berwarna hitam. Tiba-tiba, seorang lelaki muda meluru keluar dari rumah itu. Tubuh badannya dipenuhi asap beracun dengan mata yang berkilauan dengan warna merah bak saga. Lelaki muda itu hanya tersenyum sinis dengan berpeluk tubuh.

"Akhirnya kau tiba jua,kanda. Tak kusangka ilmu kau masih tinggi. Pastinya kau sudah menangkap mata-mata yang kuhantar," gelak tawanya menggegar kawasan rumah itu namun hanya dapat dirasai oleh mereka berdua sahaja.

"Sudah, berani kau peralatkan panglima itu. Kau bukan adindaku lagi, dia telah lama pergi bertemu Yang Maha Pencipta," balas Mahaguru Naga Emas.

"Ha ha ha ha! Memang kau masih belum dapat menerima hakikat adikmu itu telah menyerahkan jasadnya kepadaku. Aku telah pelihara tubuhnya agar kekal muda dan gagah. Marilah bersamaku, kau pasti akan kuat dan gagah selama-lamanya," kata Jin Naga Hitam.

Yang berdiri di hadapan Mahaguru Naga Emas bukan lagi Naga Hitam yang dikenalinya selama ini. Melalui mata batinnya, dapat dilihat roh Jin Hitam yang menakluk jasad Naga Hitam selama ini. Ia sangat mengerikan dan menyeramkan, namun tidak pada Mahaguru Naga Emas.

Dia mula membacakan zikir dan doa agar dapat mengusir Jin Hitam itu. Kepanasan mulai terasa pada jasad Naga Hitam, lalu dia segera menyerang Mahaguru Naga Emas. Serangan yang begitu pantas, namun dapat dielak dengan kepantasan yang luarbiasa daripada Mahaguru Naga Emas.

Oleh kerana kepanasan itu juga, Jin Hitam mula menyerang dengan ilmu sihirnya. Tiba-tiba muncul tangan besar berwarna hitam menyerang Mahaguru Naga Emas. Lantas ia mula menangkap roh Mahaguru Naga Emas.

"Ha ha ha ha! Ternyata kau sudah semakin lemah! Begitu mudah kau diperangkap olehku," gelak tawa Jin Hitam mula memenuhi suasana.

Tiba-tiba, satu cahaya berwarna keemasan muncul dari celah-celah telapak tangan Jin Hitam. Cahaya itu begitu menyakitkan mata. Dalam satu serangan, ia berjaya memisahkan kedua-dua telapak tangan hitam itu. Roh Mahaguru Naga Emas berwarna keemas-emasan. Dia berjalan dan melangkah gagah tanpa sebarang kecederaan. Ketenangan masih kekal dan utuh dalam dirinya. Tiada yang dapat menandingi kekuatan ilmu Allah. Jin Hitam tetap makhluk yang dicipta oleh Allah. Jin Hitam mulai merasa kesakitan yang begitu dalam. Namun, dia tidak mahu menunjukkan kelemahannya di hadapan manusia yang dianggap lemah dan mudah diperdaya. Ia masih terlihat angkuh dan sombong.

"Kau tak mampu memperdayakan diriku, wahai Jin Hitam. Nyah kau dari sini dan jangan sesekali kau datang ke sini lagi!" Begitu keras amaran yang dilemparkan oleh Mahaguru Naga Emas kepada pemimpin Puak Bisa itu.

Masa untuk rohnya kembali ke jasad sudah semakin tiba. Kemudian, terasa ia ditarik kembali ke atas gunung dan memasuki jasadnya kembali. Berpeluh-peluh seluruh tubuh Mahaguru Naga Emas sebaik sahaja dia kembali ke alam nyata. Panglima Besar juga sudah sedar dari pengsan. Dalam keadaan separuh sedar, dia mula meminta air untuk diminum. Panglima Besar segera mengangkat sembah sebaik sahaja Maharaja Segumpal Satria tiba.

"Ampun tuanku beribu-ribu ampun. Sembah patik pacal yang hina harap diampun. Izinkan patik bertanya, bagaimana patik boleh berada di puncak gunung ini?" Pertanyaan Panglima Besar mengejutkan semua yang berada di situ, namun tidak kepada Mahaguru Naga Emas.

"Panglima Besar, Mahaguru Naga Emas mungkin lebih mengetahui apa yang terjadi," jawab Maharaja Segumpal Satria mempersilakan Mahaguru Naga Emas untuk memberikan jawapannya.

"Alhamdulillah, dengan izin Allah, hamba ini hanya membantu mengusir ilmu hitam yang dikenakan ke atas tuan panglima," jelas Mahaguru Naga Emas kepada semua yang berada di situ.

Panglima Besar masih kurang jelas dengan jawapan itu. Seingatnya, dia masih bertarung dengan musuhnya dari Puak Bisa. Pada waktu itu, dia sebenarnya sedang berhadapan serangan dan tentangan dari Jin Naga Hitam.

"Bagaimana tuan guru? Apakah pertandingan ini harus diteruskan? Musuh sudah tahu jalan dan perangkap yang kita gunakan di sepanjang jalan pendakian ke puncak gunung," Tok Harimau segera bertanya, memandangkan musuh mereka semakin hampir.

"Tak mengapa. Pertandingan ini akan tetap diteruskan. Mereka tidak akan tiba dengan mudah dalam 2 atau 3 hari ini ke atas puncak gunung," kata-kata Mahaguru Naga Emas itu menampakkan keyakinan.

"Tapi, bekalan makanan kita tidak mencukupi untuk bertahan selama 3 hari di sini," tambah Tok Helang pula.

Bersambung…

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.

Sunday, May 09, 2021

5 Puak (Episod 14 : Mata-mata Puak Bisa)

"Tok, mengapa kita berhenti di sini?" Bukankah kita harus mengejar mereka?"

"Tak perlu kita kejar dan ekori mereka semua. Lebih baik duduk bersenang lenang dahulu di perkampungan ini. Makanan pun banyak," jawab Jin Naga Hitam sambil tertawa besar. Anak-anak buahnya kurang mengerti dengan kata-kata pemimpin mereka.

"Tak perlu kamu semua risau akan perangkap yang dipasang di gunung itu. Aku sudah memasang mata-mata yang telah melihat semua keadaan di sepanjang perjalanan ke puncak gunung. Kita tinggal dahulu di sini dalam dua ke tiga hari. Kita habiskan bekalan makanan mereka semua. Ha ha ha ha!"

DAN kemudian kita akan melangkah dengan gagah tanpa perlu rasa gentar," tambah Jin Naga Hitam dengan matanya yang bersinar-sinar kemerahan bak saga. Senyuman menyeramkan mula terlihat di wajahnya, menandakan dia amat yakin dengan pengintip yang dihantar olehnya. Siapakah mata-mata yang dimaksudkan oleh Jin Naga Hitam? Apakah orang itu salah seorang pengikut kepada Puak Bisa? Pertandingan antara 5 puak masih berlangsung dengan penuh kemeriahan. Anak Harimau menentang Anak Helang, satu pertarungan yang seringkali terjadi antara dua puak ini. Namun begitu, kemenangan sering dimiliki Puak Harimau, bukan sekali malah boleh dikatakan hampir kesemuanya menjadi milik Puak Harimau. Namun kini Puak Helang menunjukkan peningkatan daripada segi kemahiran dan kekuatan. Anak-anak Helang giat berlatih dan sentiasa menunjukkan semangat yang membara semasa pertandingan sedang berlangsung.

Semua diibaratkan adalah pertandingan akhir buat mereka. Anak Helang kedua ini jelas seorang petarung yang tidak terikat dengan peraturan atau gaya Puak Helang. Dia tidak terlalu bergantung kepada teknik tempur helang yang sebenar. Bukanlah tiada langsung imej tempur dan perang sang helang, namun Anak Helang kedua ini lebih mementingkan kekuatan dalam pertarungannya. Anak Harimau pertama masih merasakan dia mampu terus bertarung. Walau keadaan jasadnya semakin lemah, namun semangatnya tetap tinggi membara. Dengan ertikata lain, dia enggan berputus asa dan masih yakin dengan kemampuan dirinya sendiri. Keyakinan yang terlalu tinggi itu lebih berupa kepada sikap ego dan memandang rendah keupayaan lawan. Dia masih cuba bermain-main dengan lawannya. Dengan sisa tenaga yang masih ada, Anak Harimau berpusing-pusing di sekeliling Anak Helang sebagai petarung kedua. Caranya itu lebih banyak menghabiskan tenaga.

Anak Helang lebih bijak dan tidak langsung terpengaruh dengan permainan minda Anak Harimau. Oleh kerana itu dia sentiasa berdiri dalam posisi tegak, dan pancaindera dipasang sebagai tindak balas bersiap siaga. Dia tidak terus menyerang balas kerana itulah yang dimahukan Anak Harimau agar lawan senantiasa melayani acahannya. Walaupun begitu, Anak Helang tahu Anak Harimau akan menyerangnya bila-bila masa dan dari arah yang tidak dijangka. Tepat seperti jangkaannya, Anak Harimau tiba-tiba sahaja menyerang dengan teknik sapuan kaki. Anak Helang sempat melompat bagi mengelak serangan tersebut dan kemudian menyerang balas dengan satu tendangan padu, namun sempat dielak Anak Harimau yang segera berundur dan kembali berpusing-pusing di sekelilingnya.

"Arghhhh, dia cuba menaikkan kemarahan aku," bisik hati Anak Helang yang kemudian menutup matanya. Deria pendengaran akan digunakan sepenuhnya bagi menggantikan mata. Ini adalah kali pertama ia digunakan dalam pertandingan setelah dia banyak kali berlatih dengan teknik seperti itu.

Anak Harimau masih teragak-agak untuk menyerang. Lebih-lebih lagi dalam keadaan Anak Helang yang dilihat menutup mata. "Apakah dia ada helah yang lain atau telah buntu dengan helahku?" Bisik hati Anak Harimau. Kedua-dua petarung muda itu semakin hilang sabar. Bukan sahaja mereka, para penonton juga begitu dan  ternanti-nanti apakah aksi seterusnya. Tok Harimau juga memerhati dengan penuh geram melihat sikap anak muridnya itu. Tiba-tiba, Anak Harimau menerkam ke arah Anak Helang. Mendengarkan pergerakan yang begitu pantas dari arah belakangnya, Anak Helang dengan mata tertutup melepaskan satu tendangan padu. Tendangan itu hampir-hampir mengenai Anak Harimau, namun sempat juga dia menghentikan langkahnya, seolah-olah dia dapat membaca sesuatu dalam fikiran si Anak Helang. Anak Harimau sempat menyambut tendangan kaki Anak Helang lalu cuba membanting dan menghumbannya. Anak Helang pula tidak sempat menyerang balas dan terpaksa merelakan dirinya dihumban. Anak Helang terpelanting jauh, namun dia segera bangkit dengan bibirnya yang dipenuhi darah.

Akan tetapi, Anak Harimau tidak terus menyambung serangan. Dia hanya melihat keadaan itu sambil tersenyum sinis, kemudian mendekati rakan seperguruannya yang akan menjadi petarung seterusnya. Selepas menepuk tangannya dengan rakannya itu, Anak Harimau pertama terus duduk bersila. Anak Harimau kedua ini punya tubuh yang lebih tegap dan sasa. Ketinggiannya melebihi ketinggian fizikal Anak Helang kedua. Walau bagaimanapun, gerak langkahnya begitu tersusun, sopan santun dan lemah lembut. Dia memberi salam sembah hormat kepada semua yang berada di situ sebelum membuka langkah tempurnya. Anak Helang yang geram, kini tidak mampu bertenang lagi. Dia segera menerkam lawannya dan mula menyerang dengan teknik Cakaran Helang. Akan tetapi, semua serangan itu dapat ditepis dan dielak dengan mudah. Sebaliknya, jari jemari Anak Helang pula yang mengalami luka-luka kecil. Tangan Anak Harimau kedua ini keras seperti besi waja. Oleh kerana pertarungan antara 5 Puak tidak membenarkan pertarungan ilmu kebatinan, semua petarung telah berlatih teknik pernafasan. Setiap otot-otot mampu menjadi keras dan pejal dengan teknik pernafasan itu.

Pertarungan kali ini lebih kepada kekuatan fizikal. Kedua-dua petarung punya kelebihan dan kekuatan yang luarbiasa. Masing-masing mampu menahan dan menyerap segala serangan dan tekanan. Anak Harimau kedua masih bertenaga. Ini kerana dia adalah petarung yang baru masuk ke medan pertempuran berbanding Anak Helang kedua. Pertarungan antara mereka bertambah sengit, kedua-duanya saling berbalas serangan. Tumbukan berbalas dengan tumbukan. Tendangan juga dibalas dengan tendangan. Tiada satu pun yang dielak, kerana mereka tidak sempat lagi mengelak serangan lawan dan mengatur strategi. Tiba-tiba, satu serangan Anak Harimau disambut dengan pertembungan telapak tangan. Mereka saling menolak antara satu sama lain dengan tenaga dalaman yang datangnya dari ilmu pernafasan peringkat tertinggi. Dalam keadaan tolak menolak itu, Anak Helang menyentap telapak tangan Anak Harimau. Anak Harimau terduduk apabila dapat dirasakan serangan balas itu begitu menyakitkan. Melihat keadaan Anak Harimau, Anak Helang tidak bertangguh lagi. Satu tendangan pantas dilepaskan ke arah sasarannya iaitu kepala Anak Harimau.

Walaupun berasa kesakitan, Anak Harimau sempat mengelak serangan itu dan kemudian mengepit kaki Anak Helang dengan lehernya. Anak Helang menjerit kesakitan dan akhirnya terpaksa melepaskan cengkaman tangannya. Dia segera berundur bagi memulihkan kekuatannya yang sedikit terjejas. Pada saat itu, tiba-tiba muncul panglima-panglima dan hulubalang diraja bersama para pengikut 5 Puak. Mereka kelihatan begitu cemas dan segera menyembah kepada Maharaja Segumpal Satria. Pertarungan itu terhenti seketika bagi mendengarkan laporan yang dibawa oleh Panglima Besar. Namun begitu, Mahaguru Naga Emas tiba-tiba menyerang Panglima Besar, menyebabkan keadaan di puncak Gunung Segumpal mula dilanda resah dan penuh tanda tanya.

Apakah yang berlaku sebenarnya? Mengapa Mahaguru Naga Emas tiba-tiba menyerang Panglima Besar yang juga rakan sekutunya?

Bersambung…

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.

 

Sunday, May 02, 2021

5 Puak (Episod 13 : Pertarungan Darah Bermula)

 

PERTARUNGAN di atas gunung kini memasuki pusingan terakhir setelah pada pusingan kedua dimenangi oleh Anak Helang. Keempat-empat peserta sudah bersedia untuk menghadapi lawan masing-masing. Pada pusingan terakhir ini, seorang pahlawan akan bertemu lawannya secara seorang demi seorang. Seandainya pada saat-saat akhir dan merasakan diri tidak meneruskan pertarungan,  mereka boleh bertukar ganti dengan rakan sepasukan dengan cara bertepuk tangan antara satu sama lain. Cara ini sudah lama digunakan dalam pertandingan antara 5 puak tersebut. Petarung yang mewakili kedua-dua puak sudah bersedia di tengah gelanggang. Saat gendang dibunyikan, itulah maksud bahawa pertandingan telah dimulakan. Anak Harimau menyerang terlebih dahulu. Serangan kiri dan kanan dengan tendangan, disusuli tumbukan pelbagai teknik.

Anak Helang mengelak dengan pantas. Dia sedang membaca serangan lawannya dan masih tidak membalas atau menepis sebarang serangan lawan. Anak Harimau mulai sedar akan tindakannya yang menyerang tanpa sebarang tujuan sebenar. Ia hanya akan menghabiskan tenaganya sahaja. Anak Harimau kemudian berundur beberapa langkah bagi mengatur semula pernafasannya. Namun, tindakannya itu mengundang padah. Anak Helang yang sebelumnya menyimpan tenaga telah menyerang Anak Harimau dari udara. Sepakan helang melayang singgah ke bahagian leher Anak Harimau. Apakah perjuangan Anak Harimau tersebut telah berakhir? Jawapannya belum. Anak Harimau yang merasakan kekuatan aura tendangan itu menghampirinya segera mengelak dengan kepantasan yang luarbiasa.

Anak Harimau segera menangkap kaki Anak Helang, namun begitu sebelah lagi kaki Anak Helang melibas bahagian belakang badan Anak Harimau. Anak Harimau terpaksa melepaskan sebelah kaki yang ditangkapnya lalu dia menyiku kaki Anak Helang yang menyerangnya itu. Sikuan Anak Harimau itu tepat bahagian tulang keting Anak Helang. Anak Helang menjerit kesakitan, lalu dia segera melompat ke belakang. Pertarungan yang sungguh mendebarkan itu belum diketahui siapa pemenangnya. Oleh kerana kesakitan itu, Anak Helang segera berlari menuju ke arah rakannya. Dia mahu rakannya itu menggantikannya. Belum sempat dia menepuk tangannya dengan tangan rakannya, tiba-tiba Anak Harimau menyerang bagi menahan perbuatan Anak Helang tersebut dari bertukar peranan.

Cakaran Harimau segera dihadapi dengan Cakaran Helang. Mereka saling berbalas cakaran sehingga telapak tangan mereka mulai mengalami luka-luka. Sudah beratus-ratus serangan, namun belum ada satu pun serangan mereka yang mengenai sasaran. Dalam pada pertahanan kukuh dari Anak Helang, tiba-tiba dia berpusing dan berputar ke belakang. Putaran kakinya telah membuatkan Anak Harimau terpelanting ke belakang. Kesempatan itu segera digunakan oleh Anak Helang bagi bertukar ganti dengan rakannya untuk mengambil alih pertarungan tersebut. Anak Helang kedua ini lebih besar dan gagah. Namun begitu jangan dipandang rendah akan fizikal seseorang. Selalunya orang memandang bahawa yang berbadan besar itu tidak mampu bergerak pantas dan lincah. Akan tetapi Anak Helang kedua ini membuktikan sesuatu yang berbeza apabila mampu menyerang dengan pantas dan lincah.

Anak Harimau belum sempat meredakan dan memulihkan tenaganya. Dia masih tidak mahu bertukar peranan dengan Anak Harimau kedua. Pasti ada perancangan lain yang mahu digunakannya. Anak Harimau melihat serangan Anak Helang sudah semakin hampir. Mahu tidak mahu dia terpaksa meningkatkan kekuatannya. Lawan yang dihadapi lebih besar bentuk fizikalnya. Anak Helang menyerang dengan tumbukan. Berbeza dengan teknik serangan helang, Anak Helang kedua ini lebih selesa dengan teknik tumbukan. Ada cerita di sebaliknya mengatakan bahawa dia mampu menumbuk batu-batu yang besar sehingga hancur berkecai. Reputasinya yang menggerunkan itu tidak pula membuatkan Anak Harimau gerun atau ketakutan. Namun begitu, tumbukan-tumbukan yang dihadapinya memang amat menyakitkan. Dia cuba menangkap tangan Anak Helang, namun tidak berjaya kerana Anak Helang cepat-cepat menarik semula tumbukannya.

Jin Hitam atau Jin Naga Hitam, pemimpin ulung kedua Puak Bisa selepas Tok Bisa kini kembali bagi menuntut bela. Kekalahan yang dialaminya sebelum ini amat berat untuk ditanggung. Dia terpaksa membunuh saki baki anak buahnya yang cuba melarikan diri atau cuba menyerahkan diri kepada musuh mereka. Maharaja Segumpal Sakti dengan gabungan kekuatan dan kepimpinan Mahaguru Naga Emas sekali lagi berjaya menumbangkan Puak Bisa yang kali ini dipimpin oleh Naga Hitam. Naga Hitam yang telah tersesat akal telah dikuasai jasad dan rohnya oleh Jin Hitam. Jika dahulu ia meminjam tubuh Tok Bisa, kini ia mahukan sesuatu yang lebih kuat dan muda. Naga Hitam adalah pilihannya. Oleh kerana wujudnya perasaan iri hati dan hasad dengki yang begitu membara, Jin Hitam berjaya 'menawan' jasad Naga Hitam. Buat permulaan, Jin Hitam menghadapi tentangan dari roh Naga Hitam.

Lama kelamaan, Naga Hitam akhirnya berjaya dikawal dan menyerahkan dirinya kepada Jin Hitam. Paduan putih dan hitam ini menghasilkan kekuatan ilmu yang berbeza. Roh Naga Hitam sebenarnya masih sedar dengan keadaan yang berlaku di sekelilingnya, namun tidak dipedulikannya lagi akan semua itu demi menggapai cita-citanya menjadi penakluk dunia.

"Hanya ini sahaja pahlawan yang ada bagi menahan aku dan Puak Bisa? Ha ha ha ha ha! Kamu semua hanya menempah maut!" Gertak lelaki itu lalu melompat dari tandu.

Sebaik sahaja kakinya berjejak di atas tanah, pahlawan dari Puak Bisa segera bertekuk lutut. Suara mereka mula bergema kuat, menyambut kedatangan pemimpin mereka. "Selamat datang tuan kami yang gagah dan berbisa, Jin Naga Hitam!"

Rupanya sangat menggerunkan. Tidak kelihatan langsung sebarang bentuk atau fizikal manusia kerana tubuh badannya diselimuti asap berwarna hitam dengan pakaiannya yang juga serba hitam. Semasa dia melangkah, bekas tapak kakinya meninggalkan asap hitam yang panas membara. Terlihat di hadapan Panglima Besar dan panglima-panglima yang lain, Jin Naga Hitam itu sering berubah bentuk tubuh badannya. "Seranggggg!!!" Panglima Besar tidak mahu mereka bertangguh lagi. Beberapa pahlawan dari 5 buah puak yang bersembunyi di bawah tanah terus menyerang musuh-musuh mereka. Jin Naga Hitam begitu bersahaja. Musuh-musuh yang menyerangnya ditumbangkan dengan satu serangan sahaja.

Melihatkan keadaan itu, Panglima Besar yang bersenjatakan sundang dan berlindungkan perisai terus menyerang Jin Naga Hitam. Serangan-serangan dari Panglima Besar begitu kuat dan pantas, malah sundang itu beberapa kali telah menembusi tubuh badan Jin Naga Hitam. Akan tetapi ia belum mampu mencederakan Jin Naga Hitam. Panglima Besar terpaksa berundur bagi mencari ikhtiar baharu. Setelah diamati dengan penuh teliti, barulah dia  dapat melihat bahawa Jin Naga Hitam ini seperti tidak mempunyai jasad. Jasad yang disangkakan jasad Jin Naga Hitam terawang-awangan. Panglima Besar kemudiannya menggunakan ilmu kebatinan bagi menyerang ilmu hitam yang dimiliki Jin Naga Hitam. Sekali lagi dia menyerang Jin Naga Hitam. Pada waktu ini baharulah serangannya lebih bermakna.

Namun begitu, Jin Naga Hitam bukan lawan sebarangan. Serangan sundang dari Panglima Besar ditangkis dengan tangan kosong. Bunyi dentangan besi  kedengaran kuat dan menggegar kawasan pertarungan mereka. Panglima Besar terus giat menyerang sama ada dengan senjata atau dengan kemahirannya yang ada. Jin Naga Hitam terus bergerak dengan pantas. Bayangan-bayangan jasadnya amat berbeza, seolah-olah dia adalah tiga orang yang berlainan. Jasad pertama lebih kelihatan seperti asap hitam, manakala jasad kedua seperti lelaki tua yang dipenuhi dengan racun. Jasad ketiganya terlihat seperti seorang yang punya darjat yang tinggi seperti kerabat diraja. Ketiga-tiganya sering bertukar-tukar tempat membuatkan Panglima Besar mula tersilap langkah. Jin Naga Hitam dapat menangkap perisai yang dipegang oleh Panglima Besar lalu dileburkan dengan api yang marak membara yang tiba-tiba sahaja muncul di tapak tangannya. Mudah sekali besi perisai itu lebur dan kemudian berlaku satu letupan kecil.

Panglima Besar terpaksa berundur ke belakang. Dia sudah kehilangan perisai namun bukan semangat melawannya. Tiba-tiba, "Panglima, sambut lembing keramat ini," jeritan seorang anak buahnya mengejutkan Panglima Besar. Sebilah lembing dilontarkan ke arah Panglima Besar. Dia segera melompat ke udara bagi menyambut lembing itu. Sebaik sahaja lembing itu berada di tangan, Panglima Besar terus menyerang. Lembing keramat itu adalah lembing yang diperbuat daripada 7 jenis besi yang istimewa. Ia tidak mudah untuk dileburkan oleh sebarang jenis api. Panglima Besar menyerang dengan penuh keyakinan dan bertenaga.

Kali ini Jin Naga Hitam agak terganggu dengan kemunculan lembing itu. Ini kerana terdapat tulisan wafak di sepanjang bilah itu. Jin Naga Hitam merasakan lembing keramat itu begitu berbahaya dan menyukarkan ia menyerang balas. Serangan-serangan Panglima Besar semakin pantas. Sewaktu Jin Naga Hitam menepis setiap serangan itu, tangannya mula mengalami kecederaan. Ini membuatkan Jin Naga Hitam berundur banyak kali. Tiba-tiba, muncul beberapa orang anak buah Jin Naga Hitam. Merasakan ketuanya berada dalam kesulitan, mereka segera membantu dengan menghembuskan asap-asap beracun. Panglima Besar terpaksa berundur dari medan pertarungan. Pasukan pemanah yang diketuai Panglima Pemanah pula muncul membantu dan menyerang dengan panah berapi.

Dalam keadaan berasap dan berkabus itu, sukar buat para pemanah menyerang. Sudah tentu anak-anak panah akan dibazirkan begitu sahaja. Para pemanah segera berundur setelah diarahkan oleh Panglima Pemanah.

"Bagaimana tuan? Dalam keadaan asap beracun ini, kita sudah terkepung. Sukar untuk menyerang. Apakah kita perlu berundur dan mendaki Gunung Segumpal?" Para panglima menunggu perintah seterusnya daripada Panglima Besar. Satu keputusan yang akan menyelamatkan diri mereka.

"Baik, kita berundur. Musuh kita bukan sebarangan musuh. Lebih baik kita maklumkan segera kepada Maharaja Segumpal," ringkas namun penuh bermakna buat semua panglima dan pahlawan dari 5 puak.

Pahlawan-pahlawan dari 5 puak segera mengetuai dan memimpin perjalanan ke puncak. Selain itu, pahlawan-pahlawan 5 puak yang lain juga berada di belakang para panglima. Para panglima kerajaan Segumpal berada di tengah-tengah pahlawan 5 puak sebagai perlindungan. Jalan ke puncak Gunung Segumpal itu penuh berliku dan penuh dengan perangkap. Para pahlawan 5 puak lebih mengetahui akan letaknya perangkap-perangkap itu. Begitulah yang terjadi ketika keberangkatan tiba Maharaja Segumpal Satria dan para rombongannya di kaki Gunung Segumpal itu. Apakah yang akan berlaku seterusnya? Apakah akan ada pertarungan di puncak Gunung Segumpal? Apakah strategi yang akan digunakan oleh Mahaguru Naga Emas bagi memerangi Jin Naga Hitam dan Puak Bisa?

Bersambung...

Karya : MS MALAWI

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.