Thursday, June 09, 2011

22 Pelakon Filem Aksi Beladiri Lelaki (Bahagian 2)

Filem Seni Beladiri melibatkan pertarungan identiti, fizikal, taktikal, kreatif dan falsafah, bukan sekadar membuatnya sekadar seperti 'melepaskan batuk ditangga' sahaja... tanpa rujukan dan maruah...
BULAN Jun ini memang antara bulan sibuk bagi saya, terlibat dalam dua produksi filem tamil dari India, namun hobi menulis tetap diteruskan disebalik kesuntukan masa. Artikel ini merupakan sambungan hasil dari keluaran yang lepas pada bahagian pertama 22 pelakon lelaki filem aksi seni bela diri. Pada keluaran yang lepas, nama-nama seperti Lau Kar Leung, Bruce Lee, Gordon Liu, Chuck Norris dan Jackie Chan mendahului senarai pelakon filem seni bela diri yang tersohor. Pada keluaran ini, lima lagi lagenda filem aksi seni bela diri dipaparkan buat tatapan umum. Di harap kemunculan siri artikel ini akan memberi anda penambahan informasi berkenaan dengan dunia filem aksi seni beladiri.

1# YANG SZE a.k.a BOLO YEUNG
Bolo...sering diberi peranan watak jahat dalam filem seni beladiri. Namun begitu, Bolo sering berjaya dengan tugasan yang diberi dengan pakej raut wajah yang bengis, fizikal tegap dan kemahiran beladirinya...
Di lahirkan pada 3 Julai 1946 di Guangzhou, China, merupakan ahli seni bela diri dan ahli bina badan yang kompetitif. Memulakan kariernya sebagai pelakon secara aktif pada tahun 1970 sehingga 2008. Sering membintang filem aksi seni beladiri sebaagai watak jahat kerana wajah penampilannya yang bengis. Beliau tidak setampan seperti Bruce Lee pada ketika itu, namun belaiu memiliki keunikan dari segi bentuk fizikal yang gempal, berotot dan sasa.

Oleh kerana keunikan itu, beliau terpilih dalam filem aksi Bruce Lee, Enter the Dragon yang menjadi batu loncatan untuknya mencipta nama selepas Bruce Lee. Pelbagai gelaran diberikan padanya seperti Hercules atau World Strongest Man. Filem lakonannya yang menjadi ingatan buat peminat adalah filem Holywood yang turut dibintangi oleh Jean Claude Van Damme iaitu Bloodsport. Bolo juga pernah berlakon memegang beberapa watak hero dalam filem seperti Shootfighting tetapi kurang Berjaya kerana kebanyakkan filem-filem tersebut bertaraf B-Movies.

2# HUNG KAM PO @ HONG JINBAO a.k.a SAMMO HUNG
Tidak Kacak, Fizikal Gemuk tetapi memiliki pasaran di Hollywood kerana kepakaran dalam ilmu seni beladiri mengangkat Sammo Hung setaraf dengan Bruce Lee, Jackie Chan, Jet Li dan Donnie Yen...
Sammo Hung atau nama tradisionalnya dalam bahasa mandarin Hong Jinbao atau Hung Kam Po semasa kelahirannya, dilahirkan pada 7 Januari 1952 di Hong Kong. Namun begitu, ahli keluarganya berasal dari daerah Ningbao, Zhengjiang, China. Merupakan seorang pelakon aksi, ahli seni bela diri, pengarah aksi, koreografer, penerbit dan penulis skrip. Beliau memulakan karier dalam industri filem pada tahun 1961 sehingga sekarang, masih lagi aktif serta merupakan antara ikon filem seni bela diri antarabangsa. Untuk makluman, walaupun rupanya tidak semenarik hero-hero filem aksi seni bela diri, beliau juga turut diberi peranan sama seperti Bolo Yeung.

Antara filem-filem lakonannya yang berjaya seperti Project A, Wheel on Meals, Dragon Forever, walaupun bergandingan bersama Jackie Chan dan Yuen Biao. Lakonan secara solo sebagai hero yang Berjaya adalah siri Tv seperti Martial Law keluaran Hollywood. Sammo Hung membuktikan paras rupa dan fizikal bukan ukuran untuk Berjaya tetapi bakat dan kemahiran yang menentukan. Sammo sama seperti Jackie Chan yang mereka berdua turut merasa buah tangan Bruce Lee. Jackie terdahulu menerima tendangan Bruce Lee dalam Fist of Fury, manakala Sammo dibelasah Bruce Lee dalam Enter of Dragon.

3# JYUN BIU@YUAN BIAO a.k.a YUEN BIAO
Merupakan 'fighter' seangkatan Jackie Chan dan Sammo Hung yang berjaya diarena perfileman. Ketangkasannya setaraf Jackie Chan dan Kekuatannya menyamai Sammo Hung...
Yuen Biao adalah nama yang akan kita dapat lihat pada skrin dalam filem lakonan beliau. Namun begitu, Yuen Biao ini memiliki pelbagai nama panggilan mengikut loghat bahasa kaum cina. Dalam bahasa mandarin berbunyi Yuán Biāo dan dalam bahsa kantonis berbunyi Jyun Biu. Dilahirkan pada 26 Julai 1957, di Castle Peak Road, Hong Kong. Merupakan seorang ahli seni bela diri, pelakon dan speacialises dalam akrobatik dan seni bela diri cina. Memulakan karier dalam industri perfileman Hong Kong pada tahun 1962 dan berpengalaman luas dalam pembikinan filem aksi seni bela diri lebih 80 buah sebagai pelakon, koreografer aksi dan pelagak ngeri.

Sebelum menceburi dunia perfileman, Yuen Biao mengasah bakat diri di Sekolah Opera Peking. Pada masa yang sama ramai yang tidak tahu, bahawa Jackie Chan dan Sammo Hung adalah rakan persekolahannya di Akademi Drama China serta dianggap ‘saudara’ di Sekolah Opera Peking. Mereka bertiga juga merupakan pelajar yang paling cemerlang di sekolah sehingga mendapat jolokan Seven Little Fortune.

4# BENNY URQUIDEZ a.k.a BENNY ‘THE JET’ URQUIDEZ
Benny The Jet... Menyinar bakatnya dilayar perak kerana aksi pertarungan ketika menentang Jackie Chan dalam filem Wheel on Meals dan Dragon Forever.
Benny Urquidez dilahirkan pada 20 Jun 1952, merupakan seorang ahli seni bela diri, koreografer dan pelakon. Mendapat jolokan ‘the jet’ kerana kehebatan dan kepantasan serangannya ketika aktif dalam pertandingan karate full-contact. Untuk makluman, Benny merupakan Juara Dunia sebanyak enam kali dalam sukan lasak ini dalam lima kelas berbeza dari tahun 1974. Benny juga mengekalkan gelaran itu selama 27 tahun penglibatannya sebagai fighter! Diantara tahun 1974 dan 1993, Benny merekodkan 67-0-0 dengan 57 keputusan knockout. Oleh kerana kehebatannya itu, majalah popular seni bela diri Amerika, Black Belt menabalkan Urquidez sebagai Fighter of the Year pada tahun 1978.

Ketika namanya sedang hangat di arena pertarungan, Benny meluaskan pengaruh dalam bidang lakonan pula. Benny telah pun membintangi pelbagai filem seni bela diri dan bermula dari Hollywood. Namun, kredibilitinya sebagai pelakon filem seni bela diri lebih terserlah apabila Jackie Chan menawarkan watak buatnya dalam dua filem hebat dan pecah panggung, iaitu Wheel on Meals dan Dragon Forever.

5# JEAN-CLAUDE CAMILLE FRANCOIS VAN VARENBERG a.k.a JEAN CLAUDE VAN DAMME
Beliau berjaya mengalih seketika tumpuan peminat filem seni beladiri kepada industri Hollywood selepas Chuck Norris dengan filem aksi lakonannya seperti No Retreat No Surrender!, Black Eagle, Bloodsport dan Kick-Boxer.
Selepas kejayaan Chuck Norris sebagai pelakon seni beladiri, muncul seorang lagi perwira kulit putih (nat su kaw) yang berjaya dilayar perak menerusi filem seni beladiri. Beliau ialah Jean-Claude Camille Francois Van Varenberg atau lebih dikenali dengan Jean Claude Van Damme (Van Damme). Dilahirkan pada 18 Oktober 1960 di Brussels, Belgium. Merupakan seorang pengamal bela diri, pelakon dan pengarah, yang terbaru filem arahannya ialah JCVD.

Memulakan karier dalam industri perfileman dari tahun 1984 sehingga kini dan semua filem lakonannya berversi filem seni bela diri. Antara filem-filem top belaiu yang mencecah box-office ialah Bloodsport, Kick-Boxer, Cyborg, Universal Soldier dan The Quest. Sepanjang kariernya, Van Damme bermula dengan pelagak ngeri dalam filem Missing in Action (Chuck Norris) sebagai pemandu teksi. Kemudian, beliau sering diberikan peranan watak jahat seperti filem No Retreat No Surrender dan Black Eagle. Selepas itu, barulah Van Damme diberi peranan hero dalam filem seni bela diri kerana kemahirannya.

Setakat ini dahulu bahagian kedua artikel ini yang dapat saya karangkan untuk anda semua. Insya-Allah, kita bertemu kembali nanti dalam bahagian ketiga yang akan saya siarkan dalam masa terdekat tidak lama lagi…

Wassalam!!!