Friday, March 18, 2022

5 Puak (Episod 34 : Gempar di Istana Segumpal) Oleh MS Malawi

SUDAH kerap kali Marvick mengadu kepada Maharaja Segumpal Satria akan perihal Naga Hitam dan anak-anak buahnya dari 5 Puak yang sering mengganggu dan mengintai kegiatan mereka. Oleh kerana itu, Naga Hitam dan Mahaguru Harimau Emas telah dipanggil mengadap Maharaja Segumpal Satria di Istana Segumpal. Pada hari kedua pemimpin itu dipanggil, Marvick ingin turut serta bagi menyelesaikan masalah itu. Namun, Maharaja Segumpal Satria tidak membenarkan mereka bersua muka.

"Tak perlu, beta akan selesaikan dengan mereka berdua. Beta tak mahu jadi perkelahian pula di istana beta".

"Baik, tuanku. Patik menjunjung titah," balas Marvick yang sudah agak fasih berbahasa Melayu walaupun agak pelat.

Selepas pertemuan dengan Marvick, keesokan harinya dua pemimpin besar 5 puak itu masuk mengadap Maharaja Segumpal Satria. Hanya mereka bertiga di kamar diraja kerana ini perbincangan sulit yang tidak boleh dketahui seorang pun.

"Beta berterima kasih kerana tuan berdua sudi mengadap beta. Ada pun si Marvick itu sudah datang mengadap beta, mengadu akan perbuatan tuan berdua yang selalu mengganggu di rumah ibadat mereka. Juga, selalu ada orang-orang dari 5 puak yang sering mengintai mereka," kata Maharaja Segumpal Satria.

"Ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun. Ada pun sebenarnya kami mengesyaki ada ajaran lain selain Islam yang diajarkan oleh Marvick itu. Bukan kah kita mesti mempertahankan akidah umat Islam di Segumpal ini? Ampun tuanku," jawab Mahaguru Harimau Emas. Naga Hitam hanya menganggukkan kepalanya tanda bersetuju dengan perkara itu.

"Beta panggil kamu ke sini bukan kerana hendak menghalang kamu berdua. Beta panggil kerana hendak memberikan bantuan. Beta dapat tahu, ada dari kalangan keluarga beta ini telah terpedaya dan mengikuti ajaran si Marvick itu. Malah, kerabat beta itu sudah hampir seminggu tidak pulang ke istana. Walaupun adinda saudara beta itu bukan orang penting dalam Segumpal, tapi dia tetap penting di hati beta," jelas Maharaja Segumpal Satria. 

"Apakah maksud tuanku? Ampun tuanku," tanya Naga Hitam pula kurang mengerti.

"Begini...," Maharaja Segumpal Satria pun menyampaikan amanat dan kepercayaannya kepada 5 Puak untuk menyelesaikan perkara itu. 

"Ampun tuanku. Titah tuanku kami junjung dan akan kami pertaruhkan nyawa kami untuk agama dan negeri kita ini. Ampun tuanku," kata kedua-dua pemimpin 5 Puak itu serentak.

Sejak kedua-dua pemimpin besar itu dipanggil mengadap Maharaja Segumpal Satria, maka tiada lagi aduan dari Marvick tentang pengintipan atau gangguan dari 5 Puak. Hati Marvick amat gembira kerana kali ini tiada siapa lagi dapat menghalangnya dari menyebarkan fahaman yang sesat kepada penduduk Segumpal. Juga, dia dapat menambah kekuatan ilmu hitamnya dengan 'korban' manusia yang terus setia mengunjunginya tiap hari.

Antara mangsa yang menjadi idaman Marvick adalah adinda kepada Maharaja Segumpal Satria. Putera bangsawan itu berhajat menjadi manusia yang gagah dan bijaksana bagi merampas takhta Segumpal. Namun tanpa disedari, putera itu telah termasuk perangkap sihir durjana. Marvick mengambil peluang ini menghisap semangat dan jiwa putera tersebut. Lalu diberikannya kekuatan palsu yakni jin-jin hitam yang perlahan-lahan menakluk roh dan jiwanya. Putera tersebut merasakan dirinya kini sudah semakin kuat dan handal, namun hakikat sebenarnya dirinya sudah dikuasai oleh jin.

Setelah beberapa hari, putera raja itu kembali ke istana dalam keadaan yang begitu berbeza. Semangatnya begitu membara, wajahnya tampak berseri-seri di mata orang yang melihatnya. Ada antara kerabat mula terpukau dengan kata-katanya. Itu terlihat dari mata kasar kerabat diraja yang tidak memiliki sebarang ilmu persilatan dan kebatinan. Berbeza sekali di saat Maharaja Segumpal Satria bertemu kembali dengan adinda saudaranya. Baginda mula berasa aura hitam cuba menyerang dirinya. Namun begitu, aura hitam itu belum dapat menembusi perisai emas diraja milik Maharaja Segumpal Satria.

Setiap tengah malam, putera raja tersebut akan menghilangkan dirinya untuk bertapa dan mencari korban darah di kalangan manusia. Ilmu jin membuatkan dirinya boleh terbang dan berjalan di atas air dengan mudah. Tubuhnya yang putih itu akan berubah menjadi hitam pada setiap tengah malam, punya sayap bak kelawar dan bulu-bulu kasar mula tumbuh pada tubuh badannya dan taring pada giginya. Dia telah berubah menjadi kelawar hitam yang sangat besar. Keadaannya itu walau bagaimanapun tidak disedari oleh diri putera raja tersebut. Pada saat dia membunuh dan memakan mangsanya lalu dibuang ke dalam sungai, jin-jin hitam telah menguasai dirinya. Boleh dikatakan putera raja tersebut sudah tidak punya kesedaran diri sepenuhnya.

Pabila siang menjelma, tubuh badannya dirasakan semakin kuat dan gagah. Pernah sekali sebatang pokok kelapa di luar istana tumbang dan menghempap diri putera raja tersebut. Akan tetapi sedikit pun tidak mendatangkan kesan, malah pokok kelapa itu pula terbelah dua. Kejadian seperti itu sudah tentu mendatangkan keriuhan di dalam istana. Putera raja tersebut telah menjadi gagah perkasa dan hebat. Kata-kata itu mendatangkan rasa bangga diri pada putera tersebut, lebih-lebih lagi dia semakin terkenal setelah lama terpinggir di dalam hierarki pemerintahan Segumpal.

Pada tengah malam itu, putera raja itu mula berasa gelisah. Makanan yang dinikmatinya beberapa jam sebelumnya tidak mendatangkan nikmat kepada dirinya. Dia mula menanggalkan semua pakaian sehingga tidak meninggalkan seurat benang pun. Bulu-bulu halus sudah mula tumbuh memenuhi setiap liang pada tubuh badannya. Telinganya mula berubah, bentuk mukanya mula memanjang. Sedikit demi sedikit, gigi taring mula muncul. Tiba-tiba, muncul sesuatu pada celah rusuk di kanan dan kirinya. Sesuatu berbentuk sayap mula menjelma.

Putera raja itu terus melompat keluar dari tingkap kamarnya. Dia telah berubah menjadi kelawar raksasa yang terbang mencari mangsa. Kelawar rasaksa itu berpusing-pusing mencari mangsa, kali ini melepasi Istana Segumpal. Naga Hitam yang acap kali tidak lena tidur di tengah malam, telah keluar daripada rumahnya di Perkampungan 5 Puak. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang 'hitam' berlegar-legar tidak jauh daripada perkampungan itu. Lalu dia memandang ke udara, didapatinya seekor kelawar sebesar manusia sedang memandang ke arahnya.

Sejak kepulangan putera raja berkenaan ke Istana Segumpal, keadaan di sekitar kawasan itu mula kacau bilau. Beberapa mayat tanpa lengkap anggota tubuh badannya telah dijumpai di tebing sungai. Ada yang tanpa kepala, ada yang tinggal separuh badan malah ada yang tinggal hanya sebelah tangan sahaja. Oleh kerana keadaan itu, tiada lagi manusia yang sanggup keluar di tengah malam. Siapa yang berani hendak menunjukkan muka dan menjadi korban si kelawar raksasa itu? Tapi pada malam ini, kelawar rasaksa itu sangat lapar. Tiada manusia yang berani menjejakkan kaki ke tanah kecuali si Naga Hitam. Naga Hitam kini menjadi sasaran si kelawar raksasa.

 Ia terus menyerang dari udara. Serangannya bagaimanapun berjaya dielak oleh Naga Hitam. Daripada pandangan mata batin Naga Hitam, dia tahu bahawa putera raja itu tidak bersalah. Oleh kerana itu, Naga Hitam tidak boleh membunuh putera raja tersebut. Naga Hitam mempertingkatkan ilmunya sehingga terbentuk aura seekor naga berwarna hitam. Kelawar raksasa itu terkejut dengan aura sang naga lalu cuba melarikan diri. Namun begitu, Naga Hitam lebih pantas dan terus berpaut pada kelawar raksasa itu. Jika ada yang melihat pada pertarungan itu, pasti menyangka seekor naga berwarna hitam telah menggigit sayap si kelawar raksasa.

Sang kelawar mula menjerit nyaring, mengejutkan penduduk kampung 5 Puak. Namun begitu, mereka adalah pahlawan-pahlawan handalan. Tiada ketakutan pada diri mereka malah mereka keluar menyerbu dengan senjata masing-masing. Terlihat di mata mereka, seekor naga berwarna hitam sedang bertarung dengan kelawar hitam raksasa di udara. Tahulah mereka apa yang berlaku kerana sang naga berwarna hitam itu adalah Naga Hitam, seorang daripada pemimpin tertinggi 5 Puak.

Kelawar raksasa sedang bertarung dengan sekuat hati agar dapat melepaskan cengkaman sang naga yang kini mencengkam lehernya. Sudah puas ia cuba melepaskan diri, namun sang naga hitam itu lebih kuat daripadanya. Cengkaman sang naga makin kuat sehingga akhirnya kelawar raksasa jatuh ke tanah. Aura sang naga akhirnya berubah sebaik sahaja Naga Hitam menjejakkan kakinya ke lantai. Kelawar raksasa itu tidak sedarkan diri lagi lalu Naga Hitam mula membacakan ayat suci Al-Quran sambil disambut dengan azan oleh semua penduduk kampung 5 Puak.

Naga Hitam meniupkan nafasnya kepada kedua-dua belah tapak tangannya dan kemudian meletakkan ia kepada bahagian dada si kelawar raksasa. Perlahan-lahan ia berubah kembali menjadi seorang manusia yang dalam keadaan telanjang tidak berpakaian. Salah seorang penduduk kampung segera mengambil sehelai selimut lalu menutupi tubuh badan putera raja tersebut. Nun jauh di Tanah Suci Mekah, Pendita Naga Emas mendapat mimpi. Mimpi akan aura naga hitam yang telah menelan seekor kelawar besar. Terukir senyuman di bibir Pendita Naga Emas bahawa adindanya itu belum tersesat akal. Aura naga hitam itu bukanlah aura Jin Hitam yang pernah merasuk tubuh adindanya.

Bersambung…

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.

Wednesday, March 09, 2022

Zul Yahya 'Hentam' KKM

ZUL Yahya tidak puas hati SOP hanya benar solat jemaah lengkap dos penggalak

KEMBALI bersuara di media sosial, selebriti, Zul Yahya sekali lagi mengecam tindakan kerajaan berhubung kebenaran yang hanya diberikan kepada individu yang mengambil dos penggalak untuk solat jemaah di masjid. Menurutnya ketetapan sedemikian tidak melambangkan ajaran Islam yang sebenar dan ia merupakan satu penghinaan kerana menghalang umat Islam melakukan ibadah.

"Sudah melampau, kerajaan jadikan rumah-rumah ALLAH hak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jadikan amalan umat Islam ikut syarat KKM."

"Di dunia kita nak dapat kejayaan sebab itulah kita mahu ajak manusia."

Dia juga memohon ulama dalam negara supaya bersuara perkara ini kepada Majlis Raja-Raja supaya umat Islam dalam menjalankan ibadah di masjid tanpa halangan. Jelasnya lagi, dia sedih dengan keadaan semasa yang mana umat Islam semakin jauh dari rumah ALLAH, agama dan kejayaan.

“Kenapa nak halang umat Islam daripada mendapat kejayaan dan rahmat dari ALLAH, itu semua datang daripadanya dan bukan dari kerajaan.

“Umat menderita hari ini tetapi tiada satu agamawan yang bersuara tentang perkara ini dan masing-masing menyembah keduniaan, bertelagah tentang ilmu masing-masing, itu yang berlaku hari ini,” ujarnya.

 SUMBER DARI FACEBOOK

Wednesday, March 02, 2022

“Ilmu Akhirat Itu Lebih Penting Dari Segala-gala Ilmu” – Zul Yahya

BEKAS pelakon Zul Yahya nekad memberhentikan anak-anaknya daripada sekolah demi memberikan pendidikan agama yang lebih mendalam sebagai bekal ke akhirat. Jelas Zul, dia tidak menidakkan sistem persekolahan di Malaysia sebaliknya percaya pada ketentuan qada’ dan qadar serta rezeki Allah.Saya dan isteri berpakat ini jalan yg terbaik. Hari ini bukan zaman nak kejar anak dapat berapa A tapi ilmu akhirat yang masih lagi nipis.

"Mereka memang sudah diberhentikan sekolah. Apa yang dipentingkan adalah ilmu agama. Dalam agama pasti ada kejayaan, bukan di akhirat tetapi di dunia lagi," kata Zul Yahya dalam sesi siaran langsung di Facebook baru-baru ini. Zul yang mendirikan rumah tangga bersama Siti Raihan Mohd Rodzi mempunyai enam cahaya mata dan tiga daripadanya perempuan.

"Ada yang tanya anak-anak nak makan apa nanti? Tak kasihankan anak-anak? Saya percaya pada qada dan qadar. Yakin pada rezeki.

"Dunia semakin tua takkan tak nampak, sistem yang datang kepada kita hari ini luar biasa dan ramai yang rasa boleh hidup lama.

"Saya sendiri sudah berusia 50 tahun, apa akan jadi pada 50 tahun akan datang. Bagaimana agama dalam diri anak-anak kita? Mampukah degree dan master menyelamatkan mereka daripada dajjal?" soalnya lagi.

Terdahulu, Zul berkongsi pandangannya untuk tidak meneruskan persekolahan anak-anaknya di Instagram dan Facebook hingga mencetuskan pelbagai keraguan dan provokasi.

"Kami ibu bapa berhentikan anak-anak kami dari sekolah bukan "Yang penting usaha, kalau ada sijil tapi malas tak guna juga.

"Kita bukan nak tolak dunia, tapi dunia ini untuk jambatan ke akhirat. Harus ditekankan pendidikan agama betul-betul dalam kehidupan anak-anak," katanya yang turut menganggap modul pembelajaran di sekolah 'tunggang-terbalik'.

Terdahulu, Zul berkongsi pandangannya untuk tidak meneruskan persekolahan anak-anaknya di Instagram dan Facebook hingga mencetuskan pelbagai keraguan dan provokasi.

“Kami ibu bapa berhentikan anak-anak kami dari sekolah bukan kerana tak ambil berat masa depan mereka tapi kami nak anak-anak kami lebih berjaya di akhirat kelak. Insya-Allah.

“Ilmu akhirat itu lebih penting dari segala-gala ilmu,” tulisnya hingga dituduh sebagai ekstrimis agama.

“Sijil pada anak-anak pun belum tentu berikan kehidupan. Saya pun SRP tak ada, menulis pun tak pandai tapi Allahuakbar, Allah bagi rezeki macam-macam bentuk.

“Yang penting usaha, kalau ada sijil tapi malas tak guna juga.

“Kita bukan nak tolak dunia, tapi dunia ini untuk jambatan ke akhirat. Harus ditekankan pendidikan agama betul-betul dalam kehidupan anak-anak,” katanya yang turut menganggap modul pembelajaran di sekolah ‘tunggang-terbalik’.

SUMBER DARI FACEBOOK