Sunday, May 29, 2011

22 Pelakon Filem Aksi Beladiri Lelaki (Bahagian 1)

Bruce Lee dan Chuck Norris, merupakan ikon dunia seni bela diri yang berjaya mengangkat maruah seni bela diri dalam pembikinan filem serta menimbulkan minat penonton mempelajari dan mendekati ilmu bela diri.

MUKADIMAH
Pejam celik, pejam celik, dalam bulan Mei ni sudah tiga artikel telah Berjaya saya hasilkan berbanding sebelum satu pun susah. Ada nilai dan usaha produktif dari saya, mungkin kerana masa dan keadaan sekeliling yang menyebabkan saya bersemangat sebegini. Dalam dua artikel yang lepas, saya menceritakan informasi, kritikan serta pendapat tentang Filem Aksi Beladiri dan 3 Srikandi Sejati Pelakon Aksi Beladiri, yang mana mungkin atau tidak pernah anda dengar dan lihat aksinya. Pada kali ini saya akan menyajikan barisan pelakon aksi beladiri lelaki seramai 22 orang yang pernah mewarnai dunia perfileman genre aksi seni beladiri. Oleh itu, selamat membaca dan sambil menambah pengetahuan…

KALI ini giliran pelakon aksi beladiri lelaki pula yang mengambil alih arena artikel saya selepas 3 srikandi yang saya tabalkan pelakon aksi beladiri wanita yang hebat. Berbeza pada kali, pelakon aksi beladiri lelaki lebih ramai berbanding wanita dan menyukarkan saya menyusun dan menilai pelakon mana yang dilabelkan hebat sepanjang masa untuk anda semua. Namun begitu, dapat juga saya huraikan dan dijadikan wadah serta sajian buat para pembaca, blogger dan peminat filem aksi beladiri di Malaysia ini. Semoga artikel boleh memacu perjuangan insan seni seperti saya dan membuka minda anda tentang dunia filem seni beladiri. Walaupun begitu, saya terpaksa mengulas secara kasar sahaja artikel kali ini kerana ‘keterhadan’ ruang dan masa. Jika mahu diulas secara teliti bagi 22 ‘wira’ filem ini, saya pasti ianya boleh jadi buku.

Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk menerbitkan artikel berhubung 22 wira filem bela diri ini kepada empat bahagian. Jika saya satukan informasinya dalam satu bab sahaja, pastinya penat untuk anda membaca, hahahaha… Itu belum lagi saya kupas dengan cara terperinci tentang penglibatan, kehidupan dan kejayaan mereka. Sekarang, terimalah informasi barisan pelakon aksi seni beladiri mengikut tahun kemunculannya dalam dunia perfileman. Mari kita mulakan dengan pakar seni bela diri Hong Kong, kalau sebut namanya kemungkinan anda tidak kenal tetapi kalau berdasarkan pada rupa mungkin mukanya ‘familiar’ dalam filem.

1# LAU KAR LEUNG (BAPA FILEM AKSI BELADIRI)

Lau Kar Leung, adalah tokoh dan legenda dalam filem seni beladiri di Hong Kong. Sehingga kini beliau masih mengajar ilmu beladiri, berlakon dan mengarah filem aksi. Gambar di atas antara cebisan filem terbaru arahannya 'Drunken Monkey', dijayakan oleh Wu Jing (kanan)...

Di lahirkan pada 28 Julai 1936, merupakan pelakon aksi, koreografer, pengarah dan pengamal seni beladiri Hong Kong yang pertama dan paling popular dikalangan penggiat filem seni beladiri. Memulakan kerjaya dalam perfileman pada 1953 hingga sekarang. Namun, perjalanan seninya begitu panjang untuk menggapai cita-citanya. Segalanya berubah apabila dia menyertai Shaw Brother Studio pada tahun 1970 sehingga 1980. Antara filem hebat sama ada lakonan atau belakang tabir ialah The 36th Chamber of Shaolin bersama adiknya iaitu Lau Kar Fai (Gordon Liu) dan Drunken Master 2 lakonan hebat Jackie Chan.

Sepanjang pembabitannya dalam filem sejak tahun 1953, Lau Kar Leung telah pun menjadi pengarah filem bagi kesemuanya filem seni bela diri sebanyak 23 buah, selaku pengarah aksi atau koreografer sebanyak 33 buah filem dan selaku pelakon aksi seni bela diri sebanyak 18 buah filem.

2# LEE ZHEN FAN @ LEE JUN FAN a.k.a BRUCE LEE

Bruce Lee, kehebatannya membuka laluan dan pasaran buat penggiat filem aksi seni beladiri Hong Kong ke seluruh dunia.

Beliau digelarkan ‘penggila’ bela diri, fanatik dan genius. Beliau juga merupakan orang pertama dari kalangan pelakon aksi Hong Kong menggegarkan dunia perfileman di Hollywood dan seantero dunia. Beliau juga sememangnya idola saya! Siapa lagi kalau bukan Li Zhen Fan (mandarin) atau Lee Jun Fan (kantonis)… pasti anda tidak mengenalinya dengan nama itu, tetapi pernahkah anda mendengar nama Bruce Lee? Maka itulah nama yang popular baginya sering meniti dibibir peminat atau penggemar filem aksi berbentuk semangat perjuangan serta pertarungan. Bruce Lee, sememangnya mempunyai karisma, perjuangan dan semangat! Tidak mudah mengalah, itulah yang menjadikan unik walaupun sasa tubuhnya yang kecil tetapi berhati waja. Sudah pasti ramai yang tahu walaupun anda dari golongan generasi baru…

Bruce lee dilahirkan pada 27 November 1940, di San Francisco, California, USA. Oleh kerana status kelahirannya, maka Bruce Lee mendapat tahap kerakyatan dua Negara yang sering menjadi pertikaian umum. Bruce Lee berlakon sejak kecil lagi, namun beliau dikenali selepas berhijrah daripada Hollywood ke Hong Kong. Antara drama dan filem aksi lakonannya yang berjaya di Hollywood dan Hong Kong adalah seperti berikut;

Penglibatan filem
1] Marlowe (1969) filem
2] Big Boss (1971) filem a.k.a fist of fury
3] Fist of Fury (1971) filem a.k.a chinesse conection
4] Way of the Dragon (1972) a.k.a return the dragon
5] Enter the Dragon (1973)
6] Game of Death (1978)

Filem Enter the Dragon, telah mengangkat dirinya selaku pelakon aksi seni beladiri bernilai dan setaraf dengan pelakon Hollywood...


Penglibatan siri TV
1] Green Hornet (1966-67) 26 episod
2] Batman (1966) 3 episod
3] Ironside (1967)
4] Blondie (1969)
5] Longstreet (1971) 4 episod

3# LAU KAR FAI a.k.a GORDON LIU

Gordon Liu (kanan, tidak berbaju), merupakan pakar kung fu cina turut berjaya bidang perfileman melalui filem seni beladiri kerana mereka ada maruah dan perjuangan yang perlu dijadikan contoh...

Nama beliau tidak segah Bruce Lee, namun mempunyai karisma dan kemahiran tinggi dalam seni beladiri cina kuno (aunthentic) dan juga merupakan seorang pelakon. Lau Kar Fai atau Gordon Liu nama popular adalah adik kepada tokoh dan  legenda filem aksi bela diri Hong Kong, Lau Kar Leung. Dilahirkan pada 22 Ogos 1955 di daerah Guangdong, China. Antara aksi pertarungan yang paling di ingati adalah pertemuan dua jaguh bela diri dalam filem Last Hero of China, iaitu Jet Li melawan Gordon Liu, cukup padat, menghiburkan dan penuh seni serta berkemahiran.

Sepanjang penglibatan dalam bidang perfileman, Gordon Liu telah pun berlakon dalam 88 buah filem dan juga siri TV luar ataupun tempatan. Kesemuanya itu adalah filem seni bela diri. Gordon Liu selalunya akan berlakon di bawah bimbingan abangnya dan sering menghormatinya dalam bidang kerja. Oleh itu, maka tidak hairanlah jika dia enggan menjadi koreografer apabila bekerjasama dengan abangnya.

4# CARLOS RAY NORRIS a.k.a CHUCK NORRIS

Hollywood pada era 70 atau 80an, turut menggunakan formula Hong Kong dalam menghasilkan filem berbentuk seni beladiri. Hasilnya, lahirlah hero pakar seni bela diri mereka seperti Chuck Norris atau Jim Kelly.

Chuck Norris adalah nama panggilannya, tetapi nama penuhnya adalah Carlos Ray Norris, dilahirkan di Ray, Oklahoma, USA pada 10 March 1940. Merupakan pelakon dan pengamal seni bela diri sepenuh masa. Memulakan karier dalam bidang perfileman sejak tahun 1968 sehingga kini. Sepanjang penglibatannya, Chuck Norris telah berlakon pelbagai versi dan genre filem aksi Hollywood atau Hong Kong. Antara yang terhebat dibawah arahan Bruce Lee (Way of the Dragon) dan Lo Wei (Slaughter in San Francisco).

Di bawah filem pembikin Hollywood, nama Chuck Norris semakin dikenali dengan kejayaan filem ‘propaganda’ perang seperti Missing in Action dan Braddock. Kini, beliau masih lagi aktif berlakon dan melatih pengamal beladiri dalam seni bela diri karate dan tang soo do.

5# CHAN KONG SANG a.k.a JACKIE CHAN

Fearless Hyena, satu garapan kreatif Jackie Chan dalam konsep sinematografi, menggabungkan elemen aksi dan komedi di samping kefalsafahan dalam seni tarung dan displin kendiri.

Beliau pada ketika dahulu pernah dilabel sebagai pengganti Bruce Lee, ada juga yang melabelkan beliau sebagai Jim Carey Hong Kong. Pada hakikatnya itulah yang berlaku pada Chan Kong Sang atau nama komersilnya Jackie Chan. Beliau memiliki aura yang berbeza serta identiti dalam aksi pertarungan. Ketangkasan dan kemahirannya setaraf Bruce Lee, tetapi gelagatnya lebih mencuit hati ketika bertarung dengan mimik dan gelagat lucu membuatkan beliau istimewa. Memang tidak dinafikan, aksi yang Jackie Chan lakukan adalah aksi berani yang mana pada satu ketika diguna pakai oleh Charlie Chaplin.

Jackie berasal dari Hong Kong, dilahirkan pada 7 April 1954, di Victoria Peak. Nenek moyangnya berasal dari daerah Linzi, Shandong, China. Bakatnya dicungkil dari sekolah opera bersama-sama rakan seperjuangan seperti Yuen Biao dan Sammo Hung. Memulakan karier bidang perfileman pada tahun 1962, sebagai pelagak ngeri untuk filem aksi, antara yang terhebat dalam filem Fist of Fury, adegan di tendang Bruce Lee hingga tercampak keluar dari pintu rumah melayang ke taman. Mungkin ‘berkat’ kaki Bruce Lee itulah Jackie Chan kini terkenal di seluruh dunia sama seperti Bruce Lee. Filem-filem hebat yang pernah Jackie hasilkan hingga ke tahap pecah panggung seperti Wheel on Meals (pertarungan dengan Benny the Jet), Drunken Master 1 & 2, Snake in Eagle Shadow dan My Lucky Star. Penuh dengan babak pertarungan yang hebat!

Industri Filem Hong Kong dikenali kerana filem seni bela diri yang mereka hasilkan mengikut peredaran masa, zaman, kepelbagaian rencah dan cerita yang sering kita lihat sesuatu menakjubkan...

Pada bahagian pertama ini, saya berikan secara kasar terlebih dahulu info tentang barisan pelakon aksi dunia ini. Jika kita perhati dan teliti biografi atau latar belakang mereka yang menjayakan filem aksi adalah berpaksikan pada kepakaran guru atau pengamal tegar dalam seni bela diri. Itu yang perlu disemai dalam baja pembikinan filem aksi. Bertemu kembali nanti dalam bahagian kedua topik ini… Bye, Bye ;-)