Saturday, May 14, 2011

Kenapa Malaysia masih gagal menghasilkan filem aksi seni beladiri?

Aksi 'Tripple Flying Kick' oleh Akmal Edge dalam drama aksi penyiasatan EJEN RAHSIA 5...

MUKADIMAH
Buat pertama kali setelah sekian lama tidak menulis atau membuat komentar dalam bidang yang diceburi sejak berakhirnya zaman kewartawanan saya pada tahun 2004. Sebelum menceburi bidang lakonan saya bekerja di sektor penerbitan majalah dan reka bentuk grafik. Oleh itu, saya sering prihatin dan aktif dalam memberi pendapat terhadap persekitaran yang berkaitan dengan bidang kerja saya. Kini, masa yang menentukan, sekian lama asyik menulis skrip cerita aksi yang masih belum di terima oleh golongan yang buta apa itu aksi seni beladiri, maka bermula semula curahan atau luahan peribadi yang boleh kita kongsikan bersama-sama buat tatapan umum supaya kita beroleh sesuatu yang positif dalam memartabatkan seni beladiri Malaysia di mata dunia! Bukan ‘Lu Langsi Lu Mati’ atau ‘8-JAM’ atau copy-balik cerita aksi luar tau, macam cerita gangster sana-sini…! Mana maruah kita orang Malaysia atau Melayu yang kaya dengan kehebatan seni beladiri kalau dibiarkan ‘kaki bangku’ membikin filem aksi sambil menidakkan peluang dan kehebatan ‘sejati’ pelakon aksi bela diri yang ada di Malaysia nih! Oleh itu, saya akan kupas sedikit demi sedikit, satu per satu berhubung tajuk yang saya nyatakan; Kenapa Malaysia masih gagal menghasilkan filem aksi seni beladiri menembusi pasaran tempatan dan setanding Hong Kong atau Siam? Indonesia pun berani buat eksperimen sekarang…

Ip Man bukanlah filem aksi seni beladiri yang baru buat Hong Kong, tetapi antara filem aksi seni beladiri yang hebat pernah dilakarkan oleh Bruce Lee, Jackie Chan, Jet Li, Sammo Hung atau Yuen Biao...

BILA sebut sahaja filem aksi bela diri, sudah tentu anda sebagai penonton dan peminat terbayang atau menantikan filem aksi bela diri datangnya dari Hong Kong! Jarang mengecewakan… Seolah-olah seperti gergasi atau ‘King Kong’ tiada tolok bandingnya dijadikan ‘cermin’ sejak azali lagi oleh pembikin filem antarabangsa. Industri filem Hollywood juga tidak terlepas daripada ‘berguru’ dengan industri filem aksi bela diri Hong Kong yang tunjangnya berlandaskan prinsip dan kefalsafahan seni wushu sejak berkurun lama. Memng tidak dinafikan ilmu perang bangsa Cina telah teruji begitu banyak dalam peperangan beribu-ribu tahun lamanya. Pelbagai revolusi dan transformasi tercetus yang mencipta keagungan dan kegemilangan yang tiada tolok bandingnya…

Berbalik pada topik yang dibincangkan, kenapa fenomena ini terjadi? Ini kerana dasar keterbukaan dan kesungguhan mereka memartabatkan industri perfileman mereka ke tahap yang lebih tinggi. Untuk menyaingi kehebatan filem luar seperti dari Hollywood khususnya yang berbekalkan kecanggihan teknologi memang tidak boleh di sangkal masyarakat dunia. Begitu juga industri Bollywood yang sentiasa memberi keunikan melalui kehebatan seni tari yang memang diperakui serta kelebihan dan keanggunan ‘primadona’ mereka. Kesedaran itu membuatkan industri perfileman Hong Kong perlu mencari identiti tersendiri jika mahu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pesaingnya seperti Hollywood dan Bollywood. Usaha itu membuahkan hasil apabila mereka telah menjumpai formula atau tonik yang boleh memartabatkan industri mereka pada tahap dibanggakan sekarang. Apa ianya tonik itu?

Di Malaysia, ketika zaman kegemilangan allahyarham P.Ramlee, kita Berjaya membuka mata pasaran antarabangsa dan membuktikan kemampuan industri perfileman kita bersaing dengan penggiat luar. Kini? Ianya tidak lagi… kita ibarat ‘tiada arah, panduan, tiada maruah, tiada identiti dan tiada perjuangan’ yang hendak dihidangkan pada penonton. Seolah-olah kekeringan idea! Malu saya ketika menonton filem Hikayat Merong Mahawangsa yang di canang-canangkan sebagai filem epik terbaik Malaysia! Pada saya filem tersebut tidak setanding pun dengan filem-filem epik lakonan P.Ramlee seperti Hang Tuah dan berada di bawah tahap filem Puteri Gunung Ledang yang lebih kemas penceritaan serta teknikalnya walaupun PGL itu tidaklah sebagus mana pun buat peminat yang seolah-olah tertipu dengan ‘sandiwara’ Hang Tuah (lakonan M.Nasir) dari mitos wira kepada ‘romeo & juliet’.

Bruce Lee merupakan pengasas kepada seni tempur Jeet Kune Do (JKD) dan Chuck Norris merupakan pemegang black belt dalam Tang Soo Do serta Karate...

Walau bagaimanapun, segala percubaan atau eksperimen filem-filem sedemikian sekurang-kurangnya memecahkan tembok minda penggiat filem Malaysia yang lebih gemar mencari jalan selamat untuk mengaut keuntungan tanpa memikirkan masa depan industri filem kita yang semakin malap dan lesu. Ini kerana penggiat filem kita sering memberi sajian cerita-cerita genre yang sama seperti cinta, lawak dan hantu buat kita sehingga selera penonton mula muak antara faktor filem kita dipinggirkan. Berbanding pada zaman kegemilangan, pelbagai cerita disajikan sehinggakan mencetuskan ramai ahli-ahli fikir dan kreatif dalam penulisan skrip dan pengarahan, kadang-kadang filem yang dihasilkan diluar kotak fikiran kita! Intipati cerita sarat dengan pengajaran, ilmiah, sindiran dan banyak lagi… Itu yang kita mahukan… berani menongkah arus dan mencari kelainan, kalau tidak apa guna slogan ‘filem kita, wajah kita…’ tetapi tiada keprihatinan sendiri penggiat, penerbit, persatuan, perbadanan serta kerajaan sendiri…?

Filem kita wajah kita… Itulah tonik yang diterjemahkan oleh para penggiat filem Hong Kong walaupun bukan itu yang mereka lafazkan dalam ikrar perjuangan mereka. Maksudnya, untuk berjaya menembusi pasaran luar dan membawa kelainan, kita perlu ada identiti!!! Jangan ikut Hollywood, sebab mereka bukanlah merujuk pada satu bangsa dan budaya sebaliknya mereka universal. ‘Everybody has come!’… Identiti yang dikenal pasti boleh memacu kejayaan industry filem ke peringkat tertinggi ialah seni budaya melalui seni bela diri. Walaupun perjuangan tersebut memakan masa yang lama sehingga Bruce Lee berjaya membuka mata Hollywood tentang kehebatan orang cina yang di anggap hamba ketika itu. Kejayaan itu kemudiannya diteruskan oleh Jackie Chan, Sammo Hung, Yuen Biao, Jet Li, Donnie Yen.

Begitu juga dengan Bollywood, mereka mempunyai identiti mereka seni budaya yang ditonjolkan melalui tarian klasik dan kontemporari yang asyik, kreatif di samping anugerah kecantikan pelakonnya. Ini terbukti dengan memperkenalkan seni budaya dalam perfileman boleh mengangkat martabat sesuatu industri perfileman ke tahap yang mengagumkan. Cuma kita perlu bijak membuat pilihan atau kepastian seni budaya apa yang boleh kita ketengahkan dalam mempromosi imej Negara dan budaya kita ke mata dunia.

Jackie Chan merupakan pakar seni bela diri purba cina dan pelagak ngeri yang hebat kerana beliau berasal dari sekolah opera cina bersama Yuen Biao serta Sammo Hung, manakala Jet Li merupakan Juara Wushu Remaja Cina yang di angkat menjadi wira kebangsaan filem cina...

Bukankah kita kaya dengan seni budaya dan peradaban? Tiada guna slogan ‘Filem kita Wajah kita’, sedangkan filem kita berwajahkan generasi ‘import’ dari segi idea, pelakon, bahasa dan budaya ‘dilacurkan’! Marilah sama-sama kita perbetulkan fenomena supaya kedaulatan bangsa dan budaya kita kembali dihormati. Tidak dinafikan, terdapat penggiat yang berani menongkah arus dalam menghasilkan filem-filem bergenre aksi. Tahniah! Kerana anda berani dan cuba untuk membuat satu anjakan paradigma. Namun, perkara itu tidak akan berjaya jika ianya dilakukan seperti melepaskan batuk ditangga! Benar, Malaysia kini sudah mampu melakukan filem aksi lasak seperti aksi KL Drift, Impak Maksima atau Remp-it berlandaskan ‘stunt-man’. Namun, bukan semua filem aksi mempunyai formula yang sama dengan filem-filem yang lain terutama kategori filem aksi seni beladiri yang sememangnya menuntut kemahiran yang tinggi dalam semua aspek.

Di sini, sebagai penulis, pelakon aksi beladiri, koreografer dan pengarah aksi ingin berkongsi bersama-sama dengan penggiat, peminat, blogger dan pembaca sekalian, bagaimana jika kita ingin berjaya dalam menghasilkan filem-filem bergenre aksi seni beladiri yang gagal kita lakukan selama ini. Bahkah Thailand dan Indonesia mula berani menggunakan formula yang dilakukan oleh Hong Kong sejak sekian lama dan kesannya begitu releven. Antara-antara faktor yang wajib di titik berat dalam pembikinan filem aksi seni bela diri.

Steven Seagal antara pelakon aksi seni bela diri yang berjaya seangkatan dengan Van Damme, Wesley Snipes dan Mark Dacascos, tetapi yang membezakan pelakon yang berjaya dalam cerita Hard to Kill, On Deadly Ground dan Under Siege ini ialah, beliau adalah master dalam seni Aikido dan merupakan orang pertama bukan berbangsa Jepun yang berjaya membuka 'do-jo' di Tokyo...

1] Pemilihan Pelakon
Untuk menjayakan sesuatu filem berunsurkan seni mempertahankan diri, inilah fakta dan faktor yang amat dititikberakkan. Faktor utama adalah;

  1. Pelakon Beladiri
  2. Pakar Seni Bela Diri
Sejarah telah membuktikan bahawa formula ini jarang sekali menemui kegagalan! Tambahan pula, tonik ini jugalah penggiat filem Malaysia kita tidak nampak atau saja-saja membutakan mata dan hati dalam menghasilkan filem berunsur seni bela diri, kerna demi memenuhi selera dan keegoan mereka. Maklumlah, duit aku keluar, maka akulah yang berhak menentukan semua tanpa memikirkan kerugian yang amat besar di masa hadapan.

Kalau kita kaji pendekatan Hong Kong satu ketika dahulu, apabila Raymond Chow berani membuat ‘perjudian’ dengan membawa masuk Bruce Lee seorang Guru dan pengasas kepada bela diri Jeet Kune Do telah mengubah ‘cuaca’ di Hollywood yang sebelum ini menganggap Bruce Lee sebagai pelakon kelas bawahan di Hollywood dalam siri Green Hornet! Selepas kemunculan filem aksi kung-fu Bruce Lee iaitu The Big Boss, Fist of Fury dan The Way of Dragon, baru Hollywood sedar dan mula berlumba-lumba menghasilkan filem seni bela diri.

Melalui filem aksi seni bela diri, Sammo Hung turut berjaya ke Hollywood dalam siri 'Martial Law' walaupun rupanya tiada nilai komersil pun... fikir-fikirkan, berapa tinggi nilai ilmu bela diri kalau nak dibandingkan dengan nilai komersil yang tiada kemahiran...

Menyedari kesilapan mereka, Hollywood ‘memancing’ semula Bruce Lee dan berjaya menghasilkan filem aksi bela diri yang bertajuk Enter The Dragon sebagai tanda hormat dan perakui kelebihan seorang ahli bela diri memartabatkan filem aksi beladiri. Selepas itu, diikuti dengan Game of Death, filem yang tidak sempat dihabiskan Bruce Lee kerana kematiannya yang mengejut. Walau bagaimanapun, cerita itu tetap disiapkan dengan melibatkan pengolahan jalan cerita baru dan menggunakan teknik tampilan penglibatan Bruce Lee.

Selepas memperoleh sambutan memberangsangkan hasil ‘pengorbanan’ mendiang Bruce Lee, Hollywood terus menghasilkan filem aksi bela diri. Bela diri yang sering menjadi pilihan adalah kung fu, karate, ninja dan taekwondo yang menjadi pilihan walaupun ada di antaranya tidak menampilkan secara berkesan nilai-nilai murni yang sepatutnya bagi sebuah filem bela diri. Sewaktu ketika filem-filem berunsur beladiri keluaran Hollywood selalu merupakan hasil buah tangan Mark Di Salle seperti Bloodsport, Kick Boxer, No Retreat No Surrender!, Only The Strong, Blade, On Deadly Ground atau Karate Kid. Ironinya, Hollywood masih berpaut pada formula Hong Kong untuk berjaya dalam filem bela diri yang mendapatkan khidmat pelakon bela diri seperti Jean Claude Van Damme selain Wesley Snipes, Steven Seagal dan Mark Dacascos.

Jean Claude Van Damme, menggegarkan dunia filem aksi seni bela diri bagi menyaingi Hong Kong menerusi filem Bloodsport, Kick Boxer, The Quest, No Retreat No Surrender dan Hard Target... Seorang Pengamal seni bela diri Karate...

Kesimpulan bagi pemilihan pelakon, kejayaan sesuatu filem aksi seni bela diri adalah bergantung pada pembabitan pelakon aksi seni bela diri yang juga pakar dan pengamal sejati. Bukan barisan pelakon popular atau biasa yang mengaku pernah belajar seni bela diri, semasa kecil, tengah atau sudah lama tinggalkan bela diri yang menjadi pilihan. Jika itulah pilihannya, maka hancurlah filem tersebut.

2] Pengkhususan Pengarah
Selain perkara di atas, pengkhususan pengarah adalah perkara kedua terpenting dalam menghasilkan filem bergenre aksi ini. Bukan sahaja barisan pelakon perlu memiliki kemahiran dan pengetahuan bela diri, sebaik-baiknya pengarah juga bagi menjamin kualiti filem. Namun begitu, masih terdapat pilihan jika pengkhususan pengarah di fahami dan dilakukan;

  1. Pengarah Biasa di bantu Pengarah Aksi seni bela diri
  2. Pengarah Aksi diangkat sebagai pengarah penuh filem aksi seni bela diri
Mark Dacascos, pakar dalam seni bela diri brazil, Capoeira dan Wushu. Antara filemnya yang berjaya adalah Only the Strong dan Crying Freeman...

Di Malaysia masih lagi tidak mengamalkan sistem pengkhususan, sebab industri perfileman Malaysia belum lagi bersedia dengan satu bentuk pengagihan kerja. Pengarah di Malaysia saya perhatikan sejak dari mula penulis berjinak-jinak dalam bidang lakonan secara serius bermula dari tahun 2004 sehingga sekarang, tiada seorang pun layak mengarah skrip cerita aksi kecuali pengarah aksi pilihan saya. Apabila terbaca di dada akhbar tersohor nama mereka sebagai pengarah yang hebat tetapi apabila cuba mengarah cerita aksi pasti hancur! Kata pengarah terbaik! Itulah, bukan senang nak buat filem aksi bela diri sebab ianya unik, bukan sama dengan filem-filem cinta, masyarakat, seram, aksi ganas dan komedi.

Kita perlu ingat, setiap kerja ada pengkhususan, berikan dan berkongsi pada yang ada bakat dan ada kemahiran dalam pengarahan cerita tertentu. Pasti kita akan berjaya menghasilkan satu produktiviti yang hebat. Dengan ini akan membuka peluang yang luas pada pengarah mengikut genre. Kita manusia, bukan semua perkara kita boleh buat dalam satu masa dan satu tempat. Lain pula di Malaysia, pengarah di sini tidak memilih cerita, tanpa meneliti kebolehan mengarah sesuatu cerita, mereka sanggup terima asalkan dapat duit. Mereka tidak sedar dengan cara itu mereka sebenarnya menutup peluang bagi mereka yang berbakat dalam genre-genre tertentu sambil menggadai maruah (maksudnya; melacurkan kualiti) kerana duit.

Pengkhususan kerja dalam pengarahan adalah mengikut cerita. Bagi cerita aksi seni bela diri, haruslah di beri peluang itu pada pengarah yang berpengetahuan dalam ilmu bela diri. Jika tidak bahagikan kerja pada pengarahan cerita dan aksi bela diri seperti yang saya nyatakan seperti perkara di atas. Selain itu, seorang pengarah dalam memastikan filem aksi bela diri berjaya mesti berpengetahuan luas tentang sinematografi dan suntingan bela diri. Dalam filem aksi bela diri amat menekankan angle dan shoot yang sesuai dalam penggambaran, saya yakin ramai dikalangan pengarah Malaysia tidak tahu angle dan shoot dalam seni pertarungan. Sebab itu hasilnya seperti drama biasa walaupun filem. Buat cerita aksi jadi lawak! Kebanyakkan pengarah di Malaysia juga hanya mengejar ‘job’, selepas habis kerja penggambaran mereka jarang turun ke post-production untuk memastikan cerita arahannya berjaya. Bila di serah bulat-bulat pada editor yang tidak tahu tentang aksi seni bela diri, maka malanglah hasilnya…

Dulu tiada siapa kenal Tony Jaa, dia bukanlah pelakon cinta atau 'Romeo & Juliet' atau pelakon popular Siam, tetapi kejayaannya dalam filem aksi seni bela dirinya yang pertama iaitu Ong Bak, terus mengangkat diri dan industri filem Siam ke mata dunia... Malaysia? Balik-balik pelakon popularlah, nilai komersil lah, tapi kalau bukan kena ceritanya, pasti akan gagal...

3] Plot Penceritaan
Perkara yang ketiga pentingnya dalam menghasilkan filem berunsur pertarungan dan seni bela diri adalah jalan cerita. Ramai yang menganggap cerita pertarungan seni bela diri adalah cerita ketinggalan zaman oleh para penerbit. Bukan saya berkata kosong atau fitnah, tetapi perkara ini berlaku pada diri saya semasa bertemu salah seorang pelakon lama dan kini dirinya menjadi penerbit. Kononnya pada asalnya ingin mengetahui dan berminat dengan proposal yang saya bawa bertajuk FULL CONTACT, malangnya setelah dibentang padanya, belum habis saya bercerita tentang ceritanya, proposal saya itu ditolak mentah dan di hina. Dia lebih sukakan cerita aksi masa kini kononnya lebih baik seperti yang berkaitan sosial remaja, samseng dan kenderaan. Pada saya itulah hasil karya ‘sampah’ yang negatif nilai-nilai murni dan tidak elok dipertontonkan pada umum kerana tiada keaslian dan ‘duplicate’!

Sebenarnya, cerita aksi seni bela diri bukanlah satu plot yang membosankan dan ‘straight-forward’ saja. Ianya boleh dipelbagai dan dikembangkan sehingga luar kotak pemikiran kita. Cerita bela diri tidak semestinya berlandaskan latar belakang zaman-zaman klasik, sekolah-sekolah bela diri dan pertandingan, sebaliknya ianya boleh dikaitkan dengan pencegahan gejala sosial remaja dalam bentuk pendidikan, kefalsafahan dan kemahiran. Bukan itu sahaja, dalam globalisasi sekarang pun kita boleh jadikan filem berunsur seni bela diri sebagai penyelesaian krisis dan konspirasi. Bagaimana? Hanya penulis yang berilmu luas dalam ilmu seni bela diri sahaja boleh mengangkat karya filem seni bela diri…

Iko Uwais, anda kenal beliau? pasti tidak jika bukan filem 'Merantau' bukan... Indonesia pun berani ke hadapan membuta eksperimen... dia bukanlah 'Ari Wibowo' atau pelakon popular tetapi seorang pengamal bela diri pencak silat serta pelakon... di Malaysia pun sama, tetapi golongan seperti kami ini dipandang dingin dan diperkecilkan kemahirannya serta tidak di beri peluang!

4] Kesimpulan
Sebenarnya, pelakon-pelakon popular yang sedia ada di Malaysia sekarang tiada seorangpun berkemahiran dalam seni beladiri tetapi pelakon itu juga tetap menjadi piihan penerbit! Buta mata, hati dan kayu agaknya! Mereka tidak layak!! Sebutlah nama-nama pelakon popular jika anda ingin membuat filem aksi sebegini, 100% saya jamin, memang saya ‘reject’! Jawapannya; pasti mereka mengaku dulu-dulu atau sekarang tengah mendalami seni bela diri, bila suruh beraksi, pasti sumbang! Macam mana penonton dan pengamal seni bela diri mahu ‘respek’! Sedangkan pengamal bela diri yang sedia pasti boleh melakukan aksi yang dipertontonkan lebih baik dan berkesan.

Penonton atau pengamal seni bela diri mahu melihat contoh ‘ikon’ bela diri yang boleh jadi ikutan, bukan sekadar ‘mempelecehkan’ kemahiran, maruah dan kewibawaan’ seni bela diri menjadi seperti sampah! Ambil mudah saja! Kalau nak dibandingkan mereka dengan Bruce Lee, Jackie Chan, Donnie Yen, Sammo Hung, Yuen Biao, Donnie Yen, Steven Seagal dan lain-lain, siapalah mereka? Macam langit dan bumi. Mereka semua masih seorang pengamal bela diri yang ada gelanggang, kelas atau Do-jo. Buka mata, mereka semua tu master dalam bidang masing-masing, bukan budak terencat yang genggam tumbuk pun tak betul! Kalau itu pun sudah ‘fail’, macam mana nak jadi adiwira filem aksi kita?

Itulah serba-sedikit yang dapat saya kongsikan dengan anda berhubung topik ini kali ini. Saya tidak memaksa mana-mana pihak untuk menurut atas apa yang saya nyatakan ini. Terpulang buat anda, ‘tepuk dada tanya selera…’ keputusan ditangan anda, andalah berhak menentukannya! Bagi saya, inilah antara formula yang akan saya gunakan jika saya yang akan menerbitkan filem aksi seni bela diri yang sejati… bukannya yang ‘plastik’…

Dengan ini, saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan jika ada penulisan saya ini menyinggung mana-mana pihak, sebenarnya niat saya murni untuk memartabat seni bela diri dan industri filem kita supaya tidak tenggelam oleh arus perubahan globalisasi yang semakin mencabar. Ingat akan asal-usul kita, kenali dan kaji semula sejarah kita, di situ kita akan dapat jawapan pada diri, keluarga, bangsa dan agama kita, sebenarnya siapa kita jika tidak mengetahui sejarah kita selama ini, erti kata lain, identiti! Tiada identiti, tiada keistimewaan!

Sekian, bertemu lagi pada komentar saya yang akan datang pula demi memartabatkan seni bela diri Malaysia di mata antarabangsa melalui perfileman, insya-allah...

wassalam