Thursday, August 11, 2011

Bruce Lee : Hidup dan Matinya Masih Hangat Di Perkatakan!

Lee Zheng Fan a.k.a Bruce Lee, Pengamal Seni Beladiri, Pelakon dan Pengasas Jeet Kune Do.

BERTEMU kembali di arena penulisan dalam blog saya. Ini merupakan hasil nukilan saya yang pertama dalam bulan ogos 2011 sempena bulan puasa umat Islam seluruh dunia. Pada mulanya saya ingin membataskan penulisan saya dalam bulan ramadhan terutama berhubung penulisan dalam topic seni beladiri dan aksi perfileman seperti mana saya membataskan aktiviti kelas latihan silat dan lakonan. Namun, gerak hati ini tidak mampu menghalang kepekaan idealogi dan gerak fizikal untuk menyampaikan sesuatu yang boleh kita kongsikan bersama-sama pada sudut kebaikan.

Bruce Lee, satu insan atau makhluk ciptaan Allah s.w.t yang kerdil, kemungkinan antara insan terpilih dalam bidang diceburi tetapi berjaya menggegar dunia perfileman dengan kehebatan, kontroversi & konspirasi. Sepanjang hidupnya pelbagai rentetan peristiwa direkodkan oleh beliau sama ada yang baik atau yang kurang baik, luar kehidupan atau dalam kehidupan. Barang kali inilah yang dikatakan dalam pepatah melayu, ‘harimau mati tinggalkan belang, manusia mati tinggal nama’. Barangkali bertetapan barangkali tidak. Sebenarnya ada sesuatu yang mengheret saya menulis kisahnya pada kali ini.

Seperti tajuk di atas Bruce Lee, Hidup dan Matinya Masih Hangat Diperkata... bukan untuk mendedahkan kronologi kehidupan dari saat kelahiran sehingga kematiannya tetapi ingin mengupas serba sedikit berhubung isu kematiannya. Kehebatan dirinya acapkali diperkatakan, ada yang boleh kita jadikan rujukan, kontroversi yang dilakukan diterjemah pelbagai versi, baik kita jadikan sempadan tetapi konspirasi terhadap diri masih belum jelas kita dengari sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi dari media masa dan cakap-cakap umum.

Di Malaysia, isu kematian Bruce Lee sering dikaitkan dengan pertarungan maut dalam bentuk seni beladiri yang memaparkan kehebatan sesebuah atau sesuatu seni beladiri. Ingat ketika saya masih kecil dan remaja, sering kedengaran isu kematian Bruce Lee disebabkan pertarungan maut melibatkan Dicky Zulkarnain (pelakon beladiri Indonesia). Penulis sendiri hampir percaya 100% pada masa itu. Mahu tidak? Sebagai seorang pesilat pasti bangga apabila ada pesilat menumbangkan raja kung-fu.

Beberapa dekad selepas itu muncul lagi satu pendedahan yang kononnya Bruce Lee matikan akibat terkena buah pukulan maut persilatan dari Malaysia pula. Agak mengejutkan, kenapa sekarang baru nak di war-warkan isu itu? Kenapa tidak diwar-warkan pada masa peristiwa kematian Bruce Lee. Lebih memalukan ianya melibatkan imej persilatan seni silat melayu di Malaysia yang penuh tradisi adab, tertib yang melambangkan kehebatan sebenar seni silat melayu Malaysia! Bukan itu sahaja, boleh dikatakan seluruh dunia, seluruh negara ada versi tersendiri berhubung kematian Bruce Lee yang memanjangkan ‘talian hayat’ sehingga ke hari ini walaupun hayat sebenarnya sudah lama bertitik noktah...

Pertarungan dalam Filem Way of the Dragon bersama Chuck Norris (juara karate Amerika) yang juga pelakon...
Kematian Bruce Lee sangat mengejutkan, unik dan penuh misteri. Bahkan ada yang tidak masuk akal langsung. Pelbagai cerita tentang kematiannya berkemunandang, antaranya;

1] Dibunuh oleh kumpulan samseng (yang nyata bukan KL Gangster {saja berlawak}) kerana tidak membayar wang perlindungan, suatu kelaziman dalam dunia perfileman Hong Kong saat itu.

2] Dibunuh pendekar shaolin yang marah kerana Bruce Lee telah menyebarkan ilmu dan rahsia kung fu kepada bangsa asing.

3] Terkena sumpahan kerana membeli rumah berhantu.

4] Bruce Lee meninggal di saat berasmara dengan Betty Ting Pei.

5] Kebanyakan orang Cina yakin Bruce mati kerana latihannya sendiri yang memang berat.

Berpandukan fakta perubatan, Bruce Lee meninggal setelah mengalami koma mengejut disebabkan berlaku Cerebral Edema, iaitu pembengkakan otak akibat pencairanan yang berlebihan. Fakta-fakta ini adalah sebahagian spekulasi, tetapi ada bermacam-macam versi yang ada masuk akal dan ada yang luar dari kotak fikiran kita. Di bawah, adalah antara fakta-fakta yang boleh kita kongsikan bersama-sama hal-hal mengenai Bruce Lee.

1] Bruce Lee bukan 100% berdarah cina, ibunya Grace Lee adalah kacukan Cina dan Jerman (Aryan), jadi boleh dikatakan Bruce Lee memiliki 1/4 darah Jerman.

2] Bruce Lee berlakon buat kali pertama ketika berusia 3 bulan. Beliau dibawa ayahnya, seorang yg cukup terkenal dalam Opera Cina.

3] Sebuah surat tulisan tangan Bruce Lee untuk memotivasikan dirinya sendiri dengan judul “My Definite Chief Aim” terjual dengan harga US$29,500.

4] Kepantasan pukulan tangan Bruce Lee adalah 1/500 detik dari jarak sekitar satu meter ke sasarannya.

5] Bruce Lee seorang yang sangat kuat tenaganya, beliau boleh melakukan pull-up sebanyak 50 kali dengan satu tangan. Bolo Yeung (aka Chong Li-dalam filem Bloodspot) merupakan bekas juara bina badan gagal menyainginya.

6] Bruce Lee berkebolehan membuat push-up dengan satu tangan hanya menggunakan dua belah jari (ibu dan jari telunjuk) dan kadang dengan dua tangan.

7] Bruce Lee mempopularkan teknik ‘one inch punch’ iaitu tinju dari jarak satu inci.

8] Pada umur 13 tahun Bruce Lee berguru pada Yip Man untuk belajar Wing Chun.

9] Terdapat tiga murid Bruce Lee yang pernah memenangi kejuaraan karate dunia, mereka ialah Chuck Norris, Joe Lewis dan Mike Stone.

10] Di Amerika, Bruce Lee mengajarkan kung fu kepada semua bangsa kerana itu beliau disanggah oleh perguruan kung fu lain dengan tuduhan membocorkan rahsia beladiri Cina pada bangsa lain.

11] Filem, Dragon : The Bruce Lee Story yang dilakonkan oleh Jason Scott Lee adalah filem yang sangat tidak menggambarkan cerita sebenar Bruce Lee. Di filem tersebut Bruce Lee menjadi lumpuh disebabkan kecederaan hasil pertarungan sulit dan duduk di kerusi roda. Dalam kejadian sebenar, kecederaan Bruce Lee disebabkan oleh latihan beliau yang terlalu berat dan menyebabkan tulang belakangnya cedera, dan sebenarnya dia tidak pernah duduk di kerusi roda.

12] Semasa proses ‘istirehatnya’ dari cedera tulang belakangnya Bruce Lee selama enam bulan, terciptalah buku “Tao of Jeet Kune Do” yg menjadi ‘best-seller’ di seluruh dunia.

13] Sebelum kematian Bruce Lee, Pa Kua (sejenis azimat dipercayai dapat menangkis semangat jahat) pada rumah Bruce Lee telah jatuh sebagai tanda ajalnya sudah tiba.

Otot sempurna Bruce Lee antara faktor X yang menyebabkan kita terpesona melihat kelebihannya...
Apa-apapun spekulasi, khabar angin atau fakta, saya percaya ianya pasti melibatkan satu kes yang lebih besar dari apa yang anda jangka. Saya lebih percayakan KONSPIRASI telah berlaku pada diri Bruce Lee yang menjadi dalang atau punca kematian sebenarnya. Fakta-fakta yang kita dengar dan lihat di dada akhbar atau di media elektronik adalah sekadar fakta yang masih misteri dan belum terbukti kebenarannya. Walaupun konspirasi ini jarang kita dengar tetapi faktanya yang logik telah menarik saya mengikutinya.

Mengikut fakta konspirasi, Bruce Lee mati akibat ‘pembunuhan terancang’ oleh syarikat pesaingnya. Kehebatan dan populariti Bruce Lee ketika itu telah membantu syarikat produksi yang asalnya kecil iaitu Golden Harvest mengatasi syarikat ‘gergasi’ perfileman di Hong Kong. Bimbang akan kejatuhan dan berkemungkinan akan ‘bankrup’ penangan dek Bruce Lee. Senario itu ada kaitan dengan keenganan Bruce Lee bekerjasama dengan syarikat terbabit yang dahulu memandang Bruce Lee sebagai ‘sampah’ dan tidak percayakan kebolehannya.

Punca keenganan Bruce Lee menyertainya disebabkan beliau pernah ‘ditolak’ oleh syarikat berkenaan, sebaliknya syarikat kerdil seperti Golden Harvest yang pertama memberikan beliau peluang sehingga berjaya. Oleh itu, Bruce Lee bertekad tidak akan membantu balik sesiapa yang pernak ‘menolaknya’ dulu. Telahan Bruce Lee benar, bermula dengan filem pertama The Big Boss, diikuti Fist of Fury, The Way of Dragon, usahasama dengan Hollywood Enter the Dragon dan yang terakhir, Game of Death (tak sempat habis), telah menaikkan nama Bruce Lee serta memberi keuntungan berlipat-ganda buat Golden Harvest yang hampir-hampir bungkus pada asalnya.

Melihat keadaan itu, pihak yang berkaitan dengan syarikat yang hampir-hampir bankrup ini telah merancang pakatan sulit untuk ‘menyingkirkan’ Bruce Lee. Setelah mendapat ‘jalan’, mahu atau tidak, Bruce Lee mesti dihapuskan untuk selama-lamanya, bukan setakat di arena perfileman tetapi dalam hayatnya. Mungkin ada sesuatu yang tersembunyi disebalik kata pemilik Golden Harvest yang turut menaikkan Jackie Chan, Sammo Hung dan Yuen Biao selepas itu. "Jadi garis besarnya, itu adalah kecelakaan," kata Raymond Chow yang juga merupakan salah satu perintis mendirikan studio filem Golden Harvest yang sangat popular di Hong Kong.

Sebenarnya Raymond Chow terkilan dengan pemergian Bruce Lee yang sedang memuncak naik, dan terpaksa meneruskan produksi filem GAME OF DEATH yang juga dibintangi oleh Bruce Lee separuh jalan. "Saya tidak berfikir tentang hal lain seperti masalah ini. Pada saat ini hal yang terpenting adalah saya merasa kehilangan seorang teman yang sangat baik," ujarnya. Kematian Bruce Lee memang masih menyimpan misteri sehingga ke saat ini, banyak pihak yang berspekulasi tentang penyebab kematiannya. Namun mantan produser filem Bruce Lee, Raymond Chow, memberikan pendedahan yang tegas bahawa kematian bruce Lee adalah ‘kecelakaan’. Apakah Kecelakaan itu? Itulah konspirasi yang telah berlaku keatas Bruce Lee yang akan saya kupas lagi pada keluaran yang akan datang...