Wednesday, June 30, 2021

5 Puak (Episod 21 : Siapa Lelaki Tua Itu?)

"Adinda Lang, sudahkah tuan hamba bersedia?"

"Tuan Mahaguru Harimau Emas, hamba bukan lagi adinda buat kanda tapi kini adalah seorang murid. Jika ditanyakan akan perihal ini, sudah tentu hamba bersedia. Hamba dan puak Helang tidak akan gentar dan sudah tidak sabar lagi menerkam musuh," jawab Tok Helang Melayang penuh bersemangat.

KABUS hitam semakin lama semakin menyelubungi dan 'menghantui' hampir ke segenap kawasan gunung. Pada ketika ini, Jin Naga Hitam semakin mara ke tingkat gunung yang seterusnya. Kini tinggal dua buah puak sahaja daripada Puak Bisa iaitu Puak Kelawar Hitam dan Puak Ular Bercabang mengiringi Jin Naga Hitam. "Siapakah gerangan lelaki tua yang membantu hamba ini? Gerak gerinya sangat pantas, liciknya tidak mudah dibaca," bisik hati Tok Seladang Ganas penuh tanda tanya dan kekaguman. Dia hanya mampu memerhati dari jauh akan pertarungan antara lelaki tua itu menentang Lelabah Hitam dan anak buahnya. Ternyata Lelabah Hitam mengalami kesukaran dalam menangani lelaki tua itu. Akhirnya, Lelabah Hitam melemparkan Jaring Bisa bagi memerangkap lelaki tua itu, namun rencananya itu sudah dapat dibaca. Lelaki tua itu segera berpusing di udara, mengelak jaring itu dan kemudian menetak beberapa orang musuh yang berhadapan dengannya sehingga bercerai kepala dari badan. Tumbangnya pahlawan dari puak Lelabah itu menambahkan lagi kemarahan Lelabah Hitam.

Melihat kepada peluang yang terhidang di depan mata, Lelabah Hitam bergerak pantas dan terus maju ke hadapan bagi menyerang lelaki tua itu yang telah membelakangi dirinya. Senjatanya yang tajam dan penuh bisa itu terus dihalakan menuju ke bahagian kepala lelaki tua tersebut yang sama sekali tidak menyedari dirinya telah terdedah kepada bahaya. Akan tetapi dan secara tiba-tiba, muncul satu sosok tubuh besar telah merempuh Lelabah Hitam sehingga dia terpelanting ke tepi dan melanggar anak-anak buahnya sendiri. Mungkin juga dia terlupa akan kehadira  Tok Seladang Ganas yang sebelumnya hanya menjadi pemerhati. Darah yang banyak mula memancut keluar dari mulutnya, tulang rusuknya sudah patah dan kecederaannya semakin bertambah parah. Beberapa orang pahlawan dari Puak Lelabah segera bertindak melindungi ketua mereka. Kemaraan Tok Seladang Ganas mesti ditentang habis-habisan. Namun begitu, kegagahan Tok Seladang Ganas tidak mampu dihadapi oleh pahlawan biasa seperti mereka.

Lelaki tua itu juga telah berjaya menyekat dan menewaskan musuh-musuhnya. Puak Lelabah terpaksa berhadapan dengan dua orang pahlawan yang handal dan pahlawan-pahlawan dari Puak Seladang yang terkenal dengan sifat kepahlawanan mereka yang tidak mudah mengaku kalah. "Berundur, berundur," terdengar suara Lelabah Hitam mengarahkan anak-anak buahnya agar berundur. Dia sudah tidak mampu bertarung lagi. Siapa yang tidak sayangkan nyawa? Lelabah Hitam masih mahu terus hidup. Akan tetapi, mampukah dia berundur dari medan pertarungan kerana di setiap tingkat ada pertarungan antara puak yang berbeza. Tok Seladang Ganas akhirnya berjaya menumbangkan beberapa orang anak buah Lelabah Hitam. Dia berjalan ke hadapan, menghampiri Lelabah Hitam yang sedang ketakutan. Apakah Tok Seladang Ganas akan menghabiskan nyawa Lelabah Hitam dan anggota puak nya?

Tok Helang Melayang dan puak Helang sudah berada di tempat mereka iaitu tingkat ketiga Gunung Segumpal. Setiap daripada anggota puak Helang telah bersedia dengan senjata mereka terutama sekali pasukan Pemanah Helang yang sudah terkenal di seluruh Segumpal dan kawasan jajahan nya. Pasukan Pemanah Helang telah dilatih dengan ketepatan panahan mereka, maka kerana itu mereka amat digeruni. Jin Naga Hitam semakin menghampiri pintu gerbang ke tingkat ketiga Gunung Segumpal. Baharu sahaja kakinya melangkah masuk, Tok Helang Melayang segera mengarahkan pasukan pemanah agar segera membidikkan anak panah mereka. Anak-anak panah meluncur laju ke arah Jin Naga Hitam dan Puak Bisa. Namun begitu tiba-tiba muncul seorang lelaki yang agak aneh, dengan pakaian serba hitam. Di sebelah kedua-dua tangannya, terdapat kain yang seperti sayap yang besar. Dia segera merentangkan sayapnya itu bagi melindungi Jin Naga Hitam. Anak-anak panah itu melekat di kedua-dua sayap tersebut menjadikan Kelawar Hitam seperti seekor landak.

"Seranggggg!!" Tanpa bertangguh puak Helang terus menyerbu dengan arahan ketua mereka. Tok Lang cuba menyerang Jin Naga Hitam, namun Kelawar Hitam menghalang serangannya. Mahu tak mahu, Tok Lang mesti menewaskan Kelawar Hitam sebelum dapat berhadapan dengan Jin Naga Hitam. Pertarungan antara kedua-dua belah pihak berlangsung sengit. Kekuatan mereka agak setanding, malah masih belum ada yang tewas dalam pertarungan itu. Kelawar Hitam bukan calang-calang orangnya. Wajahnya tersenyum seakan mengejek Tok Helang Melayang.  Kepantasan mereka hampir setara. Kelawar Hitam lebih banyak mengelak dan melarikan diri dari serangan Tok Helang Melayang. Tok Helang Melayang seorang pahlawan yang panas baran. Melihat serangannya tidak mengena sasaran, dia memesatkan lagi serangan bertubi-tubi. Tidak dihiraukan lagi akan tenaganya yang mungkin akan kehabisan.

Kelawar Hitam terus bergerak dengan kepantasan yang luarbiasa. Tok Helang Melayang terus mengejar dan menyerangnya, namun Kelawar Hitam seakan menyindirnya. Makin bertambah panas di hati Tok Helang Melayang dengan keadaan yang tidak menyebelahi dirinya. Tok Helang Melayang mempertingkatkan kekuatan pernafasan dan tenaga dalamnya. Dalam satu serangan, Tok Helang Melayang berteriak dan melompat ke udara. Kali ini Kelawar Hitam tidak lagi mampu ketawa, malahan tersenyum juga tidak kelihatan lagi di wajahnya. Tok Helang Melayang menerkam dari udara, membuatkan Kelawar Hitam terjatuh di atas tanah. Serangannya itu membuatkan Kelawar Hitam merasa sesak pada pernafasannya. Dalam keadaan mencemaskan itu, Kelawar Hitam menahan serangan Tok Helang Melayang dengan sejenis golok berkembar. Golok itu sememangnya senjata rahsia Kelawar Hitam yang berjaya disembunyikan di dalam pakaiannya. Kuku Helang adalah senjata yang dipasang pada kedua-dua tangan Tok Helang Melayang. Ia dicipta khas oleh tukang senjata yang digelar Tok Besi. Ia seperti sepuluh batang kuku yang amat tajam dan mampu menyiat daging lawan dengan mudah.

Kuku Helang bertemu golok berkembar, menghasilkan satu percikan api dan bunyi besi yang kuat. "Tang! Tang!" Tok Helang Melayang kemudiannya berundur ke belakang selepas pertembungan itu. Sebaik sahaja dia mendarat di atas tanah, tiba giliran Kelawar Hitam pula menyerang. Ditinggalkan kain mantel yang penuh dengan anak panah itu, lalu dilemparkan ke arah Tok Helang Melayang. Tok Helang Melayang tidak sempat mengelak kain itu, lalu dia terperangkap dengan helah licik Kelawar Hitam. Satu serangan pantas dari Kelawar Hitam sudah pasti akan membunuh Tok Helang Melayang. Ditusukkan golok berkembar itu tepat ke arah sasarannya. Akan tetapi, sesuatu yang mengejutkan telah berlaku. Serangan golok berkembar seperti telah tersekat pada tembok yang keras. Kelawar Hitam memusingkan golok nya, namun dia masih belum mampu mencabutnya dari kain mantel miliknya sendiri. Tiba-tiba, satu tendangan padu menyusul dari bawah kain tersebut.

Tendangan itu cukup pantas dan padu sehingga Kelawar Hitam terpaksa melepaskan goloknya. Dia mesti membuat keputusan dengan segera, memilih antara nyawanya atau senjatanya itu. Dia sempat menangkis tendangan itu dengan tepisan tangannya. Namun kekuatan tendangan itu yang disertai bersama tenaga dalaman, membuatkan Kelawar Hitam berundur ke belakang beberapa langkah. Tok Helang Melayang segera membuangkan kain itu ke atas tanah. Kini Kelawar Hitam sudah tidak bersenjata lagi. Dia cuba bertenang agar tidak terlihat di wajah lawannya akan perasaannya yang sedang dalam ketakutan. Tok Helang Melayang memang lebih handal darinya, maka Kelawar Hitam mesti merancang strategi baharu bagi menumpaskan lawannya.

"Apa yang kau tunggu lagi? Marilah serang aku," jerit Tok Helang Melayang, mencabar Kelawar Hitam. Peluh di dahi menitis laju, membasahi pakaiannya yang serba hitam itu. Pakaian yang disarungkan itu memang membebankan jiwa raga, namun dia terpaksa mengikut kehendak Jin Naga Hitam. Tiba-tiba, Kelawar Hitam membaling beberapa pisau belati beracun ke arah Tok Helang Melayang. Pada saat itu, muncul pahlawan-pahlawan dari Puak Helang memakai perisai, segera menghadang serangan tersebut. Kekuatan serangan itu menghentam perisai tersebut membuatkan mereka terpaksa berundur ke belakang. Terdapat kesan lekuk pada perisai Puak Helang, namun ia belum mampu menembusi perisai tersebut. Pahlawan-pahlawan dari Puak Helang tidak menunggu lebih lama. Belum sempat Tok Helang Melayang memberikan arahannya, mereka telah bertindak terlebih dahulu menyerang Kelawar Hitam. Semangat pahlawan Helang mungkin terdorong dari kejayaan mereka menyekat serangan Kelawar Hitam sebelum ini, namun mereka telah memandang rendah akan keupayaan musuh.

Kelawar Hitam seorang yang bijak dan licik. Kali ini dia menyerang lagi dengan beberapa bilah pisau belati. Akan tetapi serangannya berubah-ubah dan sukar diagak. Beberapa bilah pisau belati telah mengenai sasarannya, menikam ke jantung dan beberapa bahagian tubuh badan pahlawan Helang. Tiba-tiba, pisau belati itu kembali kepada tuannya. Apakah Kelawar Hitam  punya ilmu hitam yang mampu mengawal senjatanya dari jarak jauh. Tok Helang Melayang tidak mampu berbuat apa-apa. Tok Helang Melayang sendiri tidak punya jawapan akan kelicikan Kelawar Hitam. Jika sebelum ini beberapa bilah pisau belati terlekat pada perisai pahlawan-pahlawannya, mengapa kali ini Kelawar Hitam mampu menarik senjatanya kembali kepadanya? Apa yang Tok Helang Melayang tidak tahu, pada hulu bilah belati itu telah diikat dengan sejenis benang sutera. Benang sutera itu sejenis benang yang berwarna putih, tidak mampu dilihat sekali imbas. Jika rahsianya diketahui, sudah tentu sukar baginya menewaskan lawannya.

Kelawar Hitam segera menyimpan senjata tersebut yang akan digunakan pada waktu kecemasan. Beberapa orang pahlawan dari puak Kelawar segera membawakan sejenis senjata lain bagi menentang Tok Helang Melayang. Sejenis senjata seperti sebilah lembing, namun bilahnya lebih panjang berbanding kayu pemegang. Kelawar Hitam menunjukkan kehandalannya mengendalikan senjata yang panjang dan berat itu dengan memutarkan ia beberapa kali. Setiap kali ia berpusing, satu bunyi yang aneh akan kedengaran sehingga menyakitkan telinga. Kali ini, Kelawar Hitam pula mencabar Tok Helang Melayang agar menyerangnya. Tok Helang Melayang tersenyum dengam cabaran itu. Dia amat berpengalaman dalam medan pertempuran, oleh kerana itu dia tidak mudah terpengaruh dengan permainan lawan musuhnya. Jika sebelum ini dia kelihatan tidak mampu mengawal emosi, sebenarnya itu adalah salah satu dari rancangan Tok Helang Melayang.

Ditarik sebilah pedang lembut yang terlilit di pinggangnya. Selama ini pasti ramai tidak menyedari bahawa ia adalah salah satu senjata. Tok Helang Melayang kemudian menanggalkan Kuku Helang dan memberikan ia kepada anak buahnya untuk disimpan. Kelawar Hitam sudah menunjukkan teknik permainan lembingnya, kali ini tiba giliran Tok Helang Melayang. Dia memutarkan pedang lembut itu dan menunjukkan tari pedang sang helang. Kelawar Hitam pasti, itu adalah rancangan Tok Helang Melayang agar dirinya takut dan resah apabila melihat senjata baharu tersebut.

"Ah, senjata aku lebih panjang, lebih keras dan lebih segala-galanya berbanding pedang lembutnya," bisik hati Kelawar Hitam. Usai sahaja persembahan tari pedang oleh Tok Helang Melayang, Kelawar Hitam terus menyerang tanpa amaran lagi. Apakah yang akan berlaku seterusnya? Apakah mampu 5 buah puak ini mempertahankan tanah air mereka dari dicerobohi dan ditakluk musuh? Kekuatan bukan segala-galanya, tapi kekuatan itu mesti disertakan bersama kebijaksanaan dan keyakinan diri.

Bersambung…

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.