Thursday, February 18, 2021

5 Puak (Episod 3 : Ditakluk Ilmu Gelap)

JIN itu mengubah dirinya menjadi asap hitam lalu menembusi ubun-ubun, telinga, mata dan mulut Naga Hitam. Nampaknya ia cuba menguasai roh dan jasad Naga Hitam. Dengan cara itu, jin itu akan mula membina istana di bahagian hati Naga Hitam yang sudah mula rosak akibat perasaan cemburu dan hasad dengki. Perlahan-lahan ia sudah mula menguasai jasad Naga Hitam, namun belum dapat mengawalnya. Ini kerana semangat Naga Hitam masih ada dan kuat menentang jin itu. "Menyerah lah Naga Hitam, aku ini tuan baru kamu. Aku Jin Hitam akan menguasai jasad ini". "Nyah kau dari jasad ku. Aku bukan milikmu, jasad dan roh ini milik tuhanku Yang Maha Esa," tempik Naga Hitam. Melihatkan tentangan itu, Jin Hitam terus menyerang Naga Hitam. Kekuatannya semakin luarbiasa, tubuhnya tiba-tiba mengembang dan makin membesar sehingga menjadi seekor gergasi. Bukan itu sahaja, rupanya semakin menggerunkan. Kuku pada tangannya seperti sebilah pedang. Setiap kuku Jin Hitam itu membentuk sebilah pedang yang berkilau pada bilahnya. Kilauan yang beracun dan berbisa.

Naga Hitam mengetap bibirnya. Dia akan berhadapan dengan seekor jin yang ganas dan menggerunkan. Naga Hitam pasti tidak akan mudah menyerah kalah dan berputus asa. Naga Hitam terus menyerang Jin Hitam itu. Dia menyerang dengan sepenuh kekuatan dengan tombak pedangnya. Serangan itu begitu pantas, namun Jin Hitam kelihatan bersahaja. Setiap serangan ditepis dengan mudah, menyebabkan Naga Hitam terpelanting beberapa kaki jauhnya. Naga Hitam di alam semangat dan roh mula berasa kepenatan. Tenaganya semakin berkurangan menyebabkan semangatnya mula menurun. Jin Hitam kemudiannya menghembuskan angin hitam dan berbisa sekali lagi. Bau yang begitu busuk dan meloyakan. Ia mahu Naga Hitam terus lemah dan derita. Mudah baginya menguasai jasad dan roh Naga Hitam selepas ini. Oleh kerana itu, Jin Hitam terus menghembuskan angin hitam bisanya.

Akhirnya, Naga Hitam tertewas jua di tangan Jin Hitam. Semangatnya mula dikuasai, begitu juga jasadnya. Satu istana iblis telah dibina di hati Naga Hitam. "Arghhhhh," jeritan Naga Hitam mengejutkan isterinya, Puteri Kesuma dan anaknya, Naga Sakti. Naga Hitam terpinga-pinga, seluruh badannya berpeluh. Melihatkan keadaan itu, Puteri Kesuma pun menegur suaminya. "Kanda tak apa-apa? Mengapa tiba-tiba menjerit di malam hari, apakah kanda bermimpi ngeri?" Tanya Puteri Kesuma, cuba menenangkan suaminya. Naga Hitam masih kelu tidak dapat menjawab. Dia keliru apakah ia mimpi sebenar atau perkara yang benar-benar terjadi? Dia mula merasa sedikit kesakitan pada bahagian dadanya. Perlahan-lahan diatur semula pernafasannya, lalu dipujuk isteri dan anaknya agar kembali menyambung tidur yang telah terganggu.

 Isteri dan anaknya kembali menyambung tidur, manakala Naga Hitam cuba melelapkan matanya. Namun kerana perkara yang dihadapinya seperti benar-benar terjadi, Naga Hitam tidak dapat menyambung tidur. Dia pun segera keluar dari bilik tidurnya, menuju ke gelanggang latihan. Di sana, dia mula melatih dirinya. Sewaktu sedang berlatih seni tempur, tiba-tiba dia merasa sesuatu yang hebat telah berlaku kepadanya. Dia seolah-olah sedang melatih ilmu baharu yang diselubungi aura kehitaman. Naga Hitam mula berasa selesa dengan keadaan itu, mungkin jua Iblis Hitam telah menguasai dirinya sedikit demi sedikit. Beberapa hari telah berlalu, setelah dilantik menjadi pewaris ilmu Mahaguru Tanpa Nama, Naga Emas telah diperintahkan untuk bertapa di satu gua. Perkara berkhalwat atau juga bersuluk itu sudah menjadi perkara biasa kepada para pendekar ulung.

Naga Emas juga sudah kerap kali bertapa di Gua Serambi. Perjalanan ke Gua Serambi memakan masa beberapa hari, dan Naga Emas telah diperintahkan untuk bertapa selama satu purnama. Naga Emas sedia memenuhi syarat yang telah diatur dan diperintahkan kepadanya, meninggalkan isterinya Puteri Kencana dan anakandanya Naga Kuningan. Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada Mahaguru Tanpa Nama, Naga Hitam dan keluarganya, Naga Emas pun berangkat pergi. Semasa bersalaman dengan Naga Hitam, Naga Emas berasa satu aura yang pelik menyelubungi Naga Hitam. Namun begitu, dia tidak pula mempersoalkan perkara itu atau bertanya kepada Naga Hitam. Naga Hitam tersenyum ria dengan pemergian Naga Emas. Kini dia punya masa merancang sesuatu bagi mendapatkan haknya sebagai pewaris ilmu Mahaguru Tanpa Nama. Namun begitu, ada halangan yang besar perlu dihadapinya iaitu gurunya sendiri.

Setiap malam Naga Hitam akan berlatih bagi menguasai ilmu dan kekuatan baharu. Setiap malam, Iblis Hitam akan mengajarnya ilmu racun berbisa. Dia akan pergi mencari ramuan-ramuan bagi mempersiapkan racun yang sangat berbisa itu. Mahaguru Tanpa Nama mula mengesan sesuatu yang aneh pada anak muridnya itu. Dia cuba mengesan dengan ilmunya, namun Iblis Hitam bijak menyembunyikan diri. Oleh kerana itu juga, rasa curiga segera terpadam. Namun begitu, Mahaguru Tanpa Nama masih sentiasa berwaspada. Dia memerintahkan dua orang pahlawan yang sentiasa bersama dengannya agar merisik dan memerhatikan gerak geri Naga Hitam. Kedua-dua orang pahlawan bayang itu memang hebat dan handal dengan ilmu meringankan badan. Mereka berdua bergerak seperti angin dan sukar dikesan. Pahlawan bayang-bayang yang tiada bergelar dan bernama. Namun begitu, Iblis Hitam telah memberikan amarannya kepada Naga Hitam.

"Hati-hati, gerak geri kita sedang diperhati oleh dua orang pahlawan bayang. Jangan dikejutkan mereka, dan jangan dipertunjukkan apa yang tersimpan. Ilmu racun dan bisa telah aku perturunkan, ilmu hitamku juga telah kau kuasai walau belum sepenuhnya," bisik Iblis Hitam. "Baiklah, mahaguru. Aku akan berlagak seperti biasa dan buat-buat tidak tahu mereka sedang mengintai diriku ini," balas Naga Hitam. Matanya yang kemerahan bak saga itu kemudiannya berubah kembali ke asal. Bagi melindungi rahsia hitamnya, Naga Hitam hanya berjalan-jalan di kawasan pasar bagi membeli beberapa ekor ikan dan sayur-sayuran. Tempoh pertapaan Naga Emas semakin hampir ke pengakhirannya. Akhirnya dia akan kembali menemui keluarganya yang tercinta bersama tanggungjawab yang baru dan besar. Bukan satu tugas mudah bagi mengembangkan ilmu tersebut. Sepanjang pertapaan, pelbagai ujian dan dugaan datang bertimpa. Terkadang muncul imej isteri dan anaknya meminta Naga Emas agar pulang dengan segera. Kadangkala datang pelbagai haiwan buas datang menduga. Namun semua dihadapi dengan berani dan jayanya.

Seekor harimau belang yang besar cuba menerkam Naga Emas, namun terpelanting selepas terkena aura pelindungnya. Selepas itu ia menjadi peneman Naga Emas. Setelah kemunculan harimau itu, muncul pula gajah yang amat besar. Setiap geraknya membuatkan tempat duduk Naga Emas bergegar. Ia melihat sang harimau menjadi peneman Naga Emas di situ dan cuba menyerang Naga Emas. Akan tetapi sang harimau belang menjadi pelindung dan bertarung dengan sang gajah. Akhirnya kedua-dua haiwan itu terbaring di atas tanah, penuh dengan kesan luka-luka. Naga Emas tidak dapat membantu kerana masih belum memenuhi syarat pertapaan. Selepas kemunculan dua ekor haiwan itu, muncul pula seekor serigala yang licik. Sang harimau dan gajah yang selama ini terbaring di atas tanah, tiba-tiba muncul menemani Naga Emas. Sang serigala mendengus dan cuba menyerang. Serigala itu begitu pantas, namun tidak dapat mendekati Naga Emas. Sang harimau membuka mulutnya luas-luas, menayangkan taringnya yang tajam sementara sang gajah mengangkat kakinya, menghentak-hentak tanah. Semuanya dapat dilihat oleh Naga Emas. Ketika serigala mula menyerang, ia terpaksa bertempur dengan harimau dan gajah.

Harimau menampar muka serigala sehingga terpelanting jauh dan kemudian datang pula sang gajah memijak tubuh badan serigala. Akan tetapi ia tiba-tiba menghilangkan diri. Di saat itu juga, harimau dan gajah kembali menemani Naga Emas. Tiba-tiba muncul seekor helang. Helang itu terbang melayang, sengaja mengumpan harimau dan gajah keluar dari pintu gua. Ia sangat mengganggu tumpuan harimau dan gajah sehingga kedua-duanya datang menyerbu. Akan tetapi serangan mereka sia-sia kerana tiba-tiba ia muncul di dalam gua lalu menyerang Naga Emas. Pada saat itu, tiba-tiba muncul serigala menyerang balas menyebabkan sang helang cuba melarikan diri dan mengumpan serigala agar keluar dari pintu gua.

Namun begitu, sang serigala kekal bertahan di sisi Naga Emas. Ia tidak mahu berganjak walau seinci pun. Harimau dan gajah juga kembali ke dalam gua, berada di sisi Naga Emas. Yang terakhir dan gagah adalah seekor seladang. Seladang itu terus menyerang walau di sisi Naga Emas ada harimau,gajah dan serigala. Sungguh ia seekor haiwan yang gagah perkasa dan berani. Ia mampu menghadapi tentangan ketiga-tiga ekor haiwan itu, namun tiba-tiba sahaja muncul sang helang mematuk mata sang seladang. Sang seladang menjerit kesakitan lalu terpaksa berundur. Semua yang dipersembahkan itu sebenarnya adalah ilmu dari Kitab Mergastua, satu ilmu lama dan tambahan kepada ilmu sang naga. Ia hanya menjadi milik pewaris mutlak keilmuan Mahaguru Tanpa Nama.

Bersambung...

Karya : MS MALAWI

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia.